Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

December 02, 2014

APA DAH JADI? BAB 13

                   “Hai Joe...”
            Aku cuma angkat tangan, membalas sapaan Azie. Aku tunggu sekejap di pintu kereta, sengaja biarkan Azie masuk ke pejabat terlebih dahulu. Pura-pura betulkan kolar baju, tak nak nampak sangat yang aku cuba menghindari dia.
            “Pandai kau, ya.” Rahim menyeringai suka.
            “Nak hidup...”
            Terkekek-kekek Rahim ketawa apabila melihat aku masih tercangak-cangak di luar pintu pejabat. Bahu ditepuk Yassin. Ditolaknya pintu kaca lalu terus ke tempat kad perakam waktu. Ketika Yassin dan Rahim menunggu giliran untuk merekodkan waktu ketibaan di mesin perakam, hidung aku dah terhidu bau haruman yang selalu dipakai oleh Azie. Cepat-cepat aku tanggalkan kad matrik yang aku klipkan di baju.
            “Rahim, tolong scan kad aku. Nak pergi toilet kejap.”
            Aku tarik tangan Rahim dan letak kad matrik di tangannya. Aku meluru naik ke tingkat atas. Harap-harap tak bertembung dengan Azie. Bukan tak suka dia. Tapi dia daring sangat. Kot ya pun nak main ayat dengan aku, cover lah sikit. Ini tidak, depan kawan-kawan yang lain pun selamba saja ajak aku keluar lunch, nak tumpang keretalah dan macam-macam taktik lagi  dia buat untuk menarik perhatian aku.
            Aku betul-betul masuk ke toilet. Sengaja menyorok di situ sekejap. Mujurlah tandas pejabat ni wangi. Aku tunggu dalam lima minit. Rasanya tak mungkin Azie akan ke sini. Dia di bahagian HR. Tak ada sebab dia nak masuk ke bahagian kaunter ni. Telefon bimbit tiba-tiba berbunyi. Aduh! Kenapalah benda ni berbunyi waktu ni? Kantoilah dengan Azie nanti.
            “Helo...” Suara berbisik keras. Tangan memulas tombol pintu. Keadaan di luar aku amati terlebih dahulu. Belum ramai lagi yang tiba. Aku tutup pintu semula.
            “Amboi! Dah tak reti nak bagi salam ke?”
            Aku tepuk dahi. Nama di skrin telefon aku lihat. Mak rupanya. Aku bagi salam dengan suara yang perlahan. Rasa berdosa pula beri salam di dalam tandas.
            “Kenapa suara kau bergema ni? Kau kat dalam jamban ke?” tanya mak.
            “Eh....tak adalah. Mie kat dalam lif ni.” Nak tergelak pula dengan jawapan sendiri. Mana  pulak datangnya lif dalam bangunan tiga tingkat ni? Lebih baik aku keluar sebelum ada orang  lain pula yang terdengar perbualan aku.
            “Macam mana kerja kat tempat baru? Seronok?” Mak memulakan perbualan.
            “Alhamdulillah. Mie dah tak kekok sangat buat kerja kat kaunter mak. Kawan-kawan pun ramah, senang nak minta tolong.”
            “Emm, baguslah tu. Sekejap aje Mie, kan? Dah dua minggu kau kerja kat sana. Sunyi pula mak tak ada kawan bergaduh kat rumah.”
            Sayu pula hati. Mak ni, pagi-pagi dah buat dialog sayu. Aku hilang modal nak bercakap. Sudahnya aku keluar dari situ. Mungkin kerana terkurung di tempat kotor, sebab itulah idea nak bersembang tak ada. Aku terus duduk di kaunter. Masih ada lima belas minit lagi sebelum kaunter dibuka. Layan mak berbual sekejaplah.
            “Mak...”
            “Ya...”
            “Mie pun rindu mak. Serunding yang mak bekalkan tu dah habis...”
            “Eleh! Buruknya orang jantan merengek. Habis tu, kau makan lauk apa? Makan kat kedai ke? Atau hari-hari goreng telur aje?”
            “Mie masak dengan kawan-kawan. Mie jarang makan kat kedai, mak. Malas nak keluar malam-malam.”
            “Baguslah tu. Eh, mak nak bagitau sesuatu ni. Pasal Durani.”
            Terjatuh pen yang dipegang. Dah dua minggu, aku berjaya hindari fikiran ini dari mengingati Durani. Kesibukan kerja buat aku tak sempat nak merindui gadis itu. Aku tunduk untuk mengambil pen di lantai berkarpet. Pada masa yang sama, ada tangan lain yang cuba membantu. Tangan berlaga. Aku mendongak untuk melihat gelaran empunya tangan.
            “Azie...” Aku sebut namanya perlahan. Gadis itu tersenyum sambil menghulur pen yang dikutip tadi.
            “Bergayut dengan awek, ya?” tanya Azie.
            “Taklah. Mak...” Aku tekup telefon di bahagian mikrofon. Kononnya tak nak mak mendengar perbualan aku dan Azie.
            “Oh...makcik sihat?”
            Aduh! Banyak tanya pula minah ni. Dah bagi pen tu apalagi, blah ajelah.
            “Alhamdulillah.. sihat.” Tangan masih menekup telefon. Tapi Azie masih tidak beredar. Dia duduk pula di sebelah aku. Alamak! Takkanlah dia nak menelinga perbualan aku dan mak? Ini sudah lebih.
            “Mie...”
            “Ya.. ya mak. Mie ada ni...” Tergagap-gagap aku menjawab panggilan mak. Azie senyum. Dia bagi isyarat, suruh aku kirim salam pada mak. Aduhai Azie, kenapalah kau ni tak bagi peluang untuk aku bernafas barang sekejap? Dah tak ada orang lain ke kau nak kejar?
            “Err...mak. Ni, kawan Mie kirim salam.”
            “Waalaikumsalam...siapa?” tanya mak.
            “Azie...” Aku menjawab malas. Pasti akan ada soalan susulan selepas ini.
            “Ewah-ewah! Dah ada pengganti ke?” Suara mak bertukar ceria. Azie yang berada di depan aku juga tiba-tiba kelihatan teruja. Eh, dia dengar ke apa yang mak cakap?
            “Kawan ajelah... Eh, tadi mak kata ada cerita pasal Durani. Ceritalah cepat. Mie dah nak mula kerja ni.”
            Berubah airmuka  Azie bila aku menyebut nama Durani. Aku buat-buat tak nampak. Padan muka. Aku rasa dia ni perasan yang aku ni syok dengan dia agaknya. Sorry lah. Aku bukan jenis yang mudah beralih arah. Walaupun Durani dah nak jadi milik orang, tapi masih ada sisa sayang untuknya di dalam hati aku. Memang payah aku nak beri peluang pada perempuan lain untuk masuk ke situ buat masa sekarang.
            “Dia lari dari rumah.”
            Aku pejam mata rapat-rapat. Macam tak percaya Durani akan bertindak sebegitu. Badan tersandar di kerusi. Aku tak tahu nak cakap apa. Berkali-kali aku beristighfar di dalam hati. Ke mana Durani pergi?
            “Dia tidur kat rumah kita, satu malam.”
            “Ya Allah! Mak gila ke?” Tiba-tiba aku tertinggi suara. Azie yang masih berada di sebelah tidak aku pedulikan. Di ruang mata terbayang wajah bengis Pak Zahar datang menyerang mak di rumah.
            “Sebab mak tak gilalah mak tumpangkan dia kat rumah kita. Mak telefon Pak Zahar, datang jemput Durani besok paginya.” Tenang suara mak memberi penjelasan.
            “Pak Zahar macam mana?”
            “Mula-mula dia nak mengamuk juga. Tapi bila mak ugut nak bawa Durani ke balai polis, baru dia janji takkan apa-apakan Durani lagi.”
            “Kenapa sampai nak bawa ke balai polis pulak?”
            “Durani kena bantai dengan Pak Zahar. Dia tak nak bertunang dengan Jalil.”
            “Astaghfirullah halazimmm!!! Teruk tak keadaan Dura mak?”
            “Tak, lebam-lebam sikit aje. Kesian pula mak tengok dia. Tapi nak buat macam mana. Dah itu kehendak Pak Zahar. Hujung bulan ni, bertunanglah budak Durani tu...”
            Aku raup muka berkali-kali. Dada berombak menahan perasaan yang tidak dapat aku tafsirkan sekarang. Tangan tiba-tiba ditepuk lembut. Baru tersedar, Azie masih berada di situ. Azie tunjuk jam di tangan, isyarat waktu kerja hampir bermula. Aku mengangguk faham. Aku kemaskan duduk dan hidupkan suis komputer.
            “Mak, Mie dah nak mula kerja ni, Nanti petang-petang sikit Mie call mak. Kirim salam Zarith, ya. Mak jaga diri baik-baik, ya. Kalau mak jumpa Durani, minta dia bersabar ya mak.”
            “Hmm, kita ni dah tak layak cakap apa-apa dah Mie. Siapalah kita ni?”
            Aku terpaksa matikan  talian. Tak selesa berbual di situ. Sejurus selepas menjawab salam mak, Azie bangun mendekati aku.
            “Joe, awak okey tak ni?” Lembut tangan Azie mendarat di bahu.
            Aku senyum sikit dan mengangguk. Aku tolak perlahan tangannya di bahu apabila melihat Rahim dan beberapa orang rakan yang lain sudah pun masuk untuk memulakan kerja masing-masing. Tapi Azie masih tidak berganjak dari situ.  Dia ni tak faham bahasa ke?
            “Emmm... kata tak ada girlfriend.” Azie buat suara merajuk. Fahamlah aku kenapa dia tak mahu beredar dari situ.
            “Correction... Ex-girlfriend.” Sengaja aku keraskan sedikit suara. Muka memang tak senyum. Rasanya aku tak perlu cakap yang aku tak suka Azie. Takkanlah dia tak tahu reaksi aku setiap kali dia cuba mendekati.
            “Oops! Sorry. So, betullah awak solo lagi, kan?”
            “Azie, please! I’m not in a good mood to talk about it. Please leave, I have to work now!”
            Fulamak! Tak sangka pula berhabuk Bahasa Inggeris aku. Dia tergamam. Rahim yang berada di sebelah pura-pura tak mendengar. Azie pandang aku, tapi muka dia tak nampak macam orang marah. Dia dekatkan wajahnya, dekat dengan telinga aku. Mak ai! Minyak wangi dia betul-betul buat aku ketaq lutut habaq hang!
            “Hari ni birthday saya. Lunch ni awak kena belanja saya makan. Faham? No excuses okay!”
            Azie terus melenggang pergi. Rahim bersiul-siul kecil. Aku cuma memandang Azie hilang di balik pintu. Pejabatnya di tingkat tiga. Agak-agaknya boleh tak kalau aku keluar melalui tingkap masa waktu makan tengahari nanti. Rimas pula melayan keletah Azie.
            “Untunglah badan. Aku dah lama nak try dia. Tapi dia jual mahal. Aku tengok dengan kau, dia pula yang jual minyak. Hebatlah kau Joe! Ilmu apa yang kau guna?”
            Malas aku nak melayan ocehan Rahim. Makin melalut pula nanti. Kisah Durani masih memenuhi kepala aku. Adakah dia lari rumah sebab masih sayangkan aku? Atau, Jalil cuba buat sesuatu yang tak senonoh pada Durani? Ya Allah, peliharalah kesucian Durani. Lindungilah dia dari anasir-anasir jahat.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ ~
            “Hey birthday girl! Kenapa monyok aje ni?” Rahim cuba mencuit dagu runcing Azie. Tapi tangannya ditepis kasar. Masam betul muka Azie. Matanya dari tadi asyik menjeling aku.
            Bukannya aku tak tahu. Dia sedang makan hati. Makan hati sebab aku tak tunaikan kehendaknya untuk makan tengahari berdua dengan dia. Sambutan harijadi konon! Dari sumber-sumber maklumat yang aku perolehi daripada Rahim, Azie memang seorang penggoda. Tapi tidak semua lelaki yang bernasib baik menjadi mangsa godaannya. Cuma lelaki-lelaki yang memenuhi kriteria dia sahaja yang bernasib baik. Kiranya aku ni memenuhi kriteria yang dia mahu agaknya.
            Phui! Entah apalah yang menarik sangat pada aku ni sehingga Azie tak henti-henti mencuba untuk menarik perhatian aku. Sejak dari hari pertama, perhatian yang dia berikan sudah lebih dari seorang pegawai perhubungan awam dengan pekerja baru. Keramahan Azie membuat aku rimas. Tapi kadang-kadang rasa seronok pula dimanjakan Azie. Sudah beberapa kali dia bancuhkan air untuk aku di pantri. Sebagai pekerja baru, terasa sangat dialu-alukan bila dia buat begitu
            “Kalau setakat nak celebrate birthday saya kat kedai mamak, lebih baik celebrate kat office aje.” Azie mendengus perlahan. Mi goreng mamak yang sudah sejuk langsung tidak dijamah.
            “Tadi saya dah tanya. Awak nak makan kat mana? Awak juga yang cakap, kat mana-mana pun boleh. So... kedai mamak aje yang saya mampu untuk hari ini. Take it, or leave it...”
            Aku senyum lebar sebaik menghabiskan kata-kata. Azie menjuih bibir. Habis disedutnya segelas fresh orange. Panas sangat agaknya hati Azie diperlakukan begitu. Bagi aku, itu bukan satu kesalahan yang besar. Sebabnya, aku tak tahu tempat-tempat makan yang istimewa di bandar Georgetown ini. Kedua, hari lahir Azie di tengah-tengah bulan. Poket memang tengah kempis. Duit Abang Zali sudah ku berikan sebahagiannya pada mak. Sebahagiannya lagi memang aku simpan untuk kecemasan. Jadi, takkanlah aku nak ‘joli katak’ dengan duit pemberian Abang Zali. Tak syoklah, kan?
            “Jom balik office. Waktu lunch dah nak habis ni.” Rahim menggamit pelayan. Tapi aku cepat-cepat keluarkan dompet. Aku yang ajak Rahim menemani aku dan Azie. Akulah yang sepatutnya membayar harga makanan, bukannya Rahim.
            “You still owe me a candle light dinner,” ujar Azie perlahan ketika kami sudah berada di dalam kereta. Boleh terasa hembusan nafasnya di telinga ketika dia berbisik manja dari tempat duduk belakang.
            “Rahim, Azie ajak kita candle light dinner.” Sengaja aku cari pasal dengan Azie. Mana tahu dengan cara ini dia akan bosan sekaligus terus menguburkan niatnya untuk terus menggoda aku.
            “Hmm, susah betullah nak ‘racun’ kawan kau ni Rahim. Iman dia kuat betul, tak macam kau!”
            Terhambur tawa Rahim. Azie yang duduk di belakang merenung aku tanpa kerdipan. Eh dia ni. Ada juga aku tersondol bahu jalan ni nanti. Aku kemaskan pegangan stereng. Berkali-kali aku telan air liur tatkala melihat Azie sengaja menjilat bibir seksinya. Ya Allah, kenapalah kau jelmakan setan lawa ni di depan aku? Janganlah uji keutuhan iman aku di waktu ini. Berkali-kali aku istighfar. Aku tumpukan perhatian pada pemanduan. Mujur kedai mamak tidak berapa jauh dari pejabat. Aku yang terlebih dahulu keluar dari kereta. Kunci ku lempar pada Rahim. Biar dia saja yang menguncikan kereta aku. Tak sanggup rasanya menadah diri digoda Azie sekali lagi nanti.
            “Joe.”
            Bertembung pula dengan Yassin di front desk. Aku menoleh ke arah pintu. Azie sedang berjalan beriringan dengan Rahim untuk masuk ke ruang pejabat. Yassin gamit aku untuk mendaki tangga bersamanya.
            “Malam ni tak payah masak. Kita nak buat surprise party untuk Azie,” ujar Yassin.
            “Surprise party? Kat mana?” Aku bertanya. Mata meninjau-ninjau tangga. Manalah tahu kalau-kalau Azie curi-curi dengar perbualan kami.
            “Kalau aku sebut pun, kau bukannya tahu tempatnya. Malam nanti lepas Isyak kita pergi dua kereta.”
            Yassin terus masuk ke pejabatnya sebaik saja tiba di tingkat dua. Tak sempat aku nak mereka alasan. Malas betullah nak keluar rumah malam-malam. Suasana malam di bandar tak sama dengan keadaan di kampung. Suasana lebih tenteram di kampung dengan bunyi cengkerik dan unggas-unggas malam. Di Georgetown? Huh! Aku tak tahu pukul berapalah mereka ni tidur. Siang dan malam macam dah tak ada beza.
            Balik saja dari pejabat aku terus kerjakan solat Asar. Sementara menantikan masuk waktu Maghrib aku duduk di ruang tamu. Tak ada sesiapa ketika itu. Rayqal sudah lama tidak kelihatan. Nama saja tinggal serumah. Tapi rasanya aku baru tiga kali bertembung dengan dia. Manakan tidak? Masing-masing berkurung di dalam bilik. Tinggal serumah tapi jarang berbual.
            “Dah siap ke?” Rahim menegur. Dia cuma bertuala. Di telinganya terselit sebatang rokok. Uik, rasanya aku masih ingat peraturan Yassin ketika pertama kali masuk ke sini. Dia tak suka perokok. Adakah setiap orang yang masuk ke sini dikenakan syarat-syarat yang berlainan?
            “Belum, awal lagi kan?”
            Rahim cuma menjongket kening sambil menyalakan api rokok. Dia duduk berhadapan dengan aku. Walaupun jarak kami agak jauh, asap rokok yang berkepul-kepul keluar dari mulut dan hidungnya buat aku risau. Risau kalau-kalau dia kantoi dengan Yassin nanti. Tapi aku tengok Rahim selamba saja.
            “Yassin tak bising ke kau merokok dalam rumah ni Rahim?” Aku beranikan diri bertanya. Bimbang juga, baru dua minggu tinggal di sini. Nanti dia fikir aku dah naik tocang pula.
            “Dia ada cakap ke yang dia tak bagi kita merokok dalam rumah?” Rahim menyoal aku kembali. Aku perhatikan juga riak wajah Rahim. Tak ada gaya orang tak puas hati pun. Makin laju dia menyedut benda yang mengandungi nikotin itu.
            “Dia cakap dia tak suka orang merokok,” jawab aku perlahan.
            “Tapi dia tak cakap yang tak boleh merokok dalam rumah dia kan? Dah tiga tahun aku tinggal kat sini. Tak ada pula dia bising kalau aku merokok depan dia. Cuma...”
            Rahim menenyeh puntung rokok di dalam bekas abu rokok. Dia bersandar kembali sambil menyudahkan hembusan terakhir asap rokok yang masih berada di dalam mulutnya.
            “Yassin ni pembersih. Kalau dah merokok, dia tak nak bekas abu rokok tu bersepah-sepah kat atas meja. Alah, lama-lama nanti kau fahamlah perangai dia. Mula-mula dulu aku rimas juga. Pantang nampak habuk sikit, dia dah membebel. Mengalahkan mak aku. Tapi dia okey. Anak orang kaya, kan. Apa susah? Dia panggil aje cleaning service. Siapkan duit aje.”
            Seronoknya jadi orang kaya ni, kan? Keluarkan duit, semua benda boleh settle. Hmm, tak apa Johaimi. Satu hari nanti kau pun boleh jadi macam Yassin. Inshaa Allah.
            “Him...Kalau aku tak pergi malam ni boleh tak? Aku rimaslah dengan Azie tu.”
            “Kau biar betul Joe? Tadi dah sedepa muncung dia. Ada banjir Georgetown ni karang kalau dia tak nampak muka kau. Jangan cari pasal dengan Azie tu.”
            Bunyi cakap Rahim tu seakan memberi amaran. Tapi badan dah terhenjut-henjut ketawakan aku. Kurang ajar sungguh! Aku betulkan songkok yang terletak di kepala. Panas hati juga tengok Rahim yang masih tidak berhenti.
            “Apa kurangnya Azie tu? Orang lain bersusah-payah nak tackle dia. Tapi dengan kau? Rezeki dah di depan mata beb! Apalagi? Sambar ajelah...”
            “Aku bukan kaki perempuan Him. Jauh sangat potensi Azie tu untuk jadi calon isteri aku. Kalau mak aku tengok, mahu pengsan orang tua tu.”
            “Ala... Apa susah? Kau berkawan aje dulu. Lama-lama nanti gerenti tersangkut punya.”
            Rahim masih berusaha memujuk. Sumpah, memang aku tak ada hati nak menyertai Surprise Party untuk Azie yang dianjurkan oleh Yassin. Aku tak tahu di mana party itu akan diadakan dan kalau boleh aku tak mahu ambil tahu pun tempatnya. Entah kenapa, pada waktu ini aku nak sangat duduk senyap-senyap di dalam bilik. Kalau boleh nak telefon mak dan berbual lama-lama dengan dia. Rindu betul dengan suasana kampung. Rindu dengan Zarith, Mazli, Fauzi, Abang Zali dan...Durani.
            “Kau takut mata air kat kampung tahu kau curang, ya?”
            Aku yang baru nak bangkit dari kerusi, terus terbangun dan bercekak pinggang. Menyirap darah panas ke muka bila Rahim serkap jarang begitu. Mata air kepala hotak dia! Rahim menyeringai. Ringan pula rasa tangan ni. Pipi dia pun aku tengok memang cukup lebar. Muat-muat aje tapak tangan aku ni.
            “Jangan masuk campur hal peribadi aku.” Menggigil suara menahan bengang. Sebelum muka dia aku tuam dengan buku lima, ada baiknya aku beredar.
            “Joe... Ala... takkan marah kot? Sportinglah sikit. Aku bergurau aje. Aku ni dah bertunang pun. Tapi, bak kata orang. Pandai makan, pandai-pandailah simpan. Kau takkan tak biasa buat?”
            Aku tak sanggup tunggu lagi di situ. Rahim aku tinggalkan. Memang confirm aku tak nak ikut diaorang berparti malam ini. Azie, maafkan aku. Kau masih belum layak untuk menggantikan tempat Durani.

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.