Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 25, 2014

APA DAH JADI? BAB 11

       “Baju, seluar, tuala mandi, kain pelikat, deodorant,underwear, hmmm.... apalagi yang nak dibawa ni Mie?”
            Mak masih meneliti senarai barang di tangan. Beginilah keadaan dia semasa nak menghantar aku ke universiti dulu. Bukannya tak boleh siapkan sendiri segala barang keperluan, tapi mak yang beria-ia nak menyiapkan beg. Biarkanlah. Bila lagi aku nak bermanja dengan mak, kan?
            “Abang, tak dengar ke mak tanya tu?” Zarith yang turut sibuk membantu mak memancing perhatian aku.
            “Kejap...”       
            Aku bangun dan masuk ke bilik. Mata terus terpandang ke arah meja solek. Sebak terus menerjah hati. Aku terduduk lemah di atas katil. Gambar Durani aku ambil. Lama ku tenung bibir manis Durani yang tersenyum manja. Lepas ni tak mungkin aku akan lihat senyuman ini lagi. Berbalas tatap pula dengan mata redup Durani. Ya Allah! Aku rindukan dia.
            Gambar Durani aku kucup perlahan. Terpejam mata menahan pilu. Memang aku lelaki. Buruk dipandang orang kalau aku menangis kerana seorang wanita. Tapi aku manusia. Ada perasaan. Durani adalah cinta pertama. Sudah seminggu peristiwa memalukan di rumah pak Zahar berlalu. Namun impaknya masih terasa hingga sekarang. Ke mana-mana saja aku pergi pasti akan terdengar kata-kata sinis bertanya mengenai majlis pertunangan Durani. Mujur iman masih kuat. Kalau tidak rasanya pasti ramai yang hilang kepala dalam kampung ni aku kerjakan.
            “Hek eleh! Geli aje cium-cium gambar Kak Durani.”
            Hish! Budak ni langsung tak bagi peluang aku nak melayan emosi sekejaplah. Laju tangannya mengambil gambar Durani di tangan.
            “Abang nak bawa gambar Kak Durani sekali ke?” tanya Zarith.
            “Kalaulah abang boleh bawa orangnya, kan?”
            Terjuih bibir Zarith. Dia duduk bersila di atas katil. Gambar Durani diserahkan semula. Aku tunduk, mengusap gambar yang tidak bernyawa. Lengan terasa dipeluk. Aku toleh ke kanan. Durani sedang merebahkan kepalanya ke bahu. Serta-merta senyum menguntum.
            “Eh! Durani. Bila sayang sampai?”
            Pertanyaan aku tidak berjawab. Tak apalah. Aku faham, dia pun sedang bersedih. Perlahan-lahan, tangan memaut bahu Durani. Dia tidak membantah. Tidak seperti selalu. Pantang tersentuh saja, pasti ditepisnya tangan aku dengan kasar.
            “Ikutkan hati, Joe nak bawa Dura lari dari sini. Kurang ajar betul abah Dura tu!”
            Aku meramas peha sendiri. Namun serentak dengan itu, terasa tangan yang sedang memaut bahu Durani dikucup lembut. Eh, beraninya dia. Dia tak pernah seberani ini.
            “Sabarlah...mungkin ada hikmah di sebalik kejadian...”
            Kening dengan spontannya berkerut. Telinga menangkap tawa kecil seseorang. Makin lama semakin kuat.
            “Zarith!” Tak semena-mena aku tolak dia sampai dia tergolek dari katil. Tetapi Zarith masih ketawa, sampai terguling-guling di lantai.
            “Adoi!!! Abang ni dah parahlah.” Zarith menepuk-nepuk lantai.
            Aku kemam bibir. Dalam celik pun aku terbayangkan Durani. Betullah kata Zarith agaknya, kan? Aku ni dah parah. Parah dan kalah dalam usaha mengawal rasa kecewa, rindu dan  sedih. Ya Allah, aku tidak kuat. Sangat sukar untuk aku membuang Durani. Wajahnya, tawanya dan segala kenangan bersamanya masih enggan keluar dari hati aku.
            Bingit telinga aku mendengar tawa Zarith. Tak penat agaknya dia ketawa. Aku keluar dari bilik bersama gambar Durani. Tapi langkah terhenti pula di ruang tamu. Belum apa-apa lagi mak dah merenung tajam ke arah tangan. Aku sorok gambar Durani di sebalik punggung.
            “Mak belum buta lagi Mie...”
            “Buat penghilang rindu aje mak.”
            “Huh! Dia dah nak jadi bini orang Mie. Tak guna kau berharap lagi.”
            “Baru bertunang mak. Orang kahwin pun boleh cerai..”
            “Kau jangan habiskan ayat tu. Mak cili mulut tu karang!”
            Tepat telunjuk mak menuding aku. Matanya membuntang, tanda tidak suka aku lepas cakap. Lama kami berlaga mata. Tapi aku yang terlebih dahulu menyerah kalah. Tak sanggup nak bergaduh dengan mak. Aku nak pergi jauh ni. Tak seronoklah kalau bermasam muka dengan mak.
            “Lupakan dia Mie...”
            Gambar Durani yang masih di belakang badan aku pegang erat. Pedih hati mendengar permintaan mak.
            “Mak  faham, bukan senang nak lupakan cinta pertama. Tapi jodoh kau dengan Durani tu tak panjang. Tinggalkan semua kenangan pahit di sini. Mak nak kau jadi Johaimi yang kuat semangat di tempat baru nanti. Di sana nanti berpuluh-puluh Durani kau akan jumpa.”
            Tapi tetap tak sama dengan Durani Binti Azhar. Kata-kata itu hanya mampu ku telan sendiri. Tak guna bertekak dengan mak. Aku mengerti, dia juga sedang berkecil hati dengan keluarga Durani. Sudahnya gambar Durani yang aku sorokkan tadi aku bawa semula ke dalam bilik. Tak apalah. Dalam handphone masih ada lagi gambar dia yang aku simpan.
            Hari ini aku ingin habiskan masa di rumah saja. Besok dah nak bertolak ke Teluk Intan. Awal pagi dah kena bangun. Kerja-kerja di stesen minyak sudah aku serahkan semula pada Abang Zali. Aku calonkan Mazli untuk menggantikan tempat aku. Yalah, sampai bila nak mengharapkan hasil yang tak seberapa dari gerai burger tu? Mujur Mazli menerima tawaran ini dengan senang hati. Kalau tidak kasihan juga Abang Zali. Bukan senang nak mencari pengganti yang sesuai. Mazli tu, walaupun tak sekolah tinggi tapi aku yakin dia boleh diharapkan. Selama dia bekerja dengan aku di gerai burger pun dia tak pernah beri masalah pada aku.
            Terdengar bunyi kereta di luar rumah. Laju aku menjenguk tingkap. Dalam kepala sudah terbayangkan seseorang. Tapi harapan hanya tinggal harapan. Bukan seperti yang aku bayangkan.
            “Abang Zali... Ingatkan siapa tadi..”
            “Kau fikir Durani yang datang ya?”
            Abang Zali tersengih melihat muka cemberut aku di sebalik langsir. Dia tak datang seorang. Mazli pun ada. Tapi dia datang dengan motor. Aku keluar dari bilik dan terus ke ruang tamu. Merek berdua tak perlu diajak lagi. Beberapa hari kebelakangan ini, memang kerap mereka bertandang ke sini. Menemankan aku menghabiskan hari-hari terakhir di kampung kononnya. Mak bingkas bangun mencapai anak tudung sebaik saja melihat Mazli di tangga rumah. Dia bangun dan terus ke dapur. Mak memang tak suka tetamunya berbual kosong. Paling tidak pun mesti ada minuman yang dihidangkan.
            “Dah siap berkemas ke?” tanya Abang Zali. Matanya terarah ke beg pakaian yang masih belum berzip.
            “Ada sikit-sikit lagi.” Aku jawab sambil memperlahankan suara televisyen.
            “Besok kau  naik bas pukul berapa?” Mazli menyertai perbualan.
            “Dalam tiket, bas pukul lapan setengah. Aku keluar awal sikit kot. Mak dengan Zarith pun nak ikut ke bus stand.
            Masing-masing diam bila mendengar jawapan aku. Mazli dan Abang Zali berpandangan. Seperti ada sesuatu yang diaorang nak sampaikan pada aku. Abang Zali terangguk-angguk. Dia letakkan kunci kereta di atas meja kopi. Mazli menjongket kening. Amboi! Dah main bahasa-bahasa tubuh nampaknya mereka berdua ni.
            “Kau pakai dulu kereta aku tu Joe.”
            Tepat tekaan aku, kan? Aku tak terus menjawab. Tak tahu nak cakap apa lagi. Terlalu  banyak pertolongan yang Abang Zali hulurkan. Mula-mula duit, sekarang kereta pula. Dia dah buat aku segan sendiri pula.
            “Kalau bawa kereta senang sikit kau nak bergerak ke mana-mana nanti. Sementara nak dapat rumah sewa, kau tidurlah dulu dalam kereta,” seloroh Mazli.
            Mulut ni teragak-agak nak senyum. Abang  Zali dah gelak mengekek. Matanya mengarahkan aku mengambil kunci kereta di atas meja. Tapi aku masih keberatan. Apa alasan aku nak menolak pemberian dia kali ini?
            “Mazli, kau tengok-tengokkan mak dan adik aku nanti, ya.” Aku ubah topik perbualan. Mak pun baru muncul dari dapur. Aku bangun dan bantu dia meletakkan dulang di atas meja.
            “Kat kampung ni masih ramai lagi yang boleh tengok-tengokkan mak. Kau tu, duduk kat  tempat orang nanti jangan lupa diri pula. Jangan sampai lupa jalan nak balik ke sini pula nanti.”
            Masing-masing memerhatikan mak menuang Teh O nipis ke dalam cawan. Sayu pula rasa hati. Lepas ni semua kena buat sendiri. Dah tak adalah Teh O suam setiap pagi, bebelan mak mengejutkan aku untuk solat Subuh dan jeritan Zarith menggesa aku untuk menghantar dia ke sekolah.
            “Mak, besok mak tak payah hantar Mie ke bus stand, ya.”
            “Kenapa?” Terhenti tangan mak menuang air.
            Aku ambil kunci di atas meja lalu aku tayangkan pada mak. Matanya terus terarah pada Abang Zali. Mak menggeleng perlahan. Dia selesaikan kerja menuang air terlebih dahulu, kemudian dia duduk berhadapan aku dan Abang Zali.
            “Dah banyak sangat pertolongan kau ni Zali. Hari tu duit. Ini, kereta pula...” Perlahan mak menutur kata.
            “Daripada kereta tu tersadai aje kat dalam garaj tu makcik, biarlah Johaimi guna. Lagipun senang nanti dia nak balik jenguk makcik. Tak adalah alasan tak sempat beli tiket nak balik raya nanti.”
            “Terima kasih bang. Saya tak tahu nak cakap apa lagi.” Aku tepuk perlahan peha Abang Zali. Ketika dia menoleh, aku terus peluk dia. Sayu, sebak, terharu dan gembira semua ada.
            “Tak payah cakap apa-apa. Kau jaga aje kereta tu elok-elok. Dah mampu beli sendiri nanti kau pulangkan balik. Betul tak Abang Zali.” Mazli yang cuma jadi pemerhati sejak tadi menyampuk perbualan.
            Abang Zali menepuk-nepuk perlahan belakang badan. Beruntungnya aku ada kawan-kawan yang banyak memberi sokongan ketika aku hampir rebah. Walaupun hati masih belum terawat, aku tetap akan pergi. Pergi kerana ingin menyempurnakan hajat mak. Dia ingin melihat  aku jadi pegawai korporat, kan? Aku akan tunaikan permintaannya. Aku juga tahu, dia ingin aku melupakan Durani. Ya Allah, permintaan mak yang satu ini memang sangat payah untuk aku realisasikan. Betulkah sudah tidak ada peluang untuk aku dan Durani dijodohkan semula?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            “Banyaknya makanan mak bekalkan ni? Dah macam nak pergi berkelah pula.”
            Naik berpeluh ketiak menyusun barang-barang di dalam bonet kereta. Perginya cuma seorang. Tapi barang-barang macam nak pindah satu rumah. Siap dengan bantal, selimut dan toto. Dapur masak dan tong gas kosong pun ada. Mujur tak muat katil bujang aku tu. Kalau muat rasanya mesti disumbatnya sekali.
            “Kau tu bukannya pandai masak. Lauk yang mak bagi tu lauk-lauk kering aje. Sambal hitam, serunding daging dan ikan bilis goreng berlada aje. Tahanlah untuk beberapa hari. Jangan membazir duit. Gunakan untuk perkara-perkara yang perlu aje. Ingat, duit orang tu. Kita perlu  bayar balik nanti.”
            Mulut mak tak henti-henti mengingatkan aku tentang duit Abang Zali. Dari pagi tadi, dia  yang sibuk keluar ke dalam menyiapkan sarapan, menggosok baju aku dan basuh kereta Abang Zali. Puas ditegah, tapi mak aku ni bukannya jenis dengar cakap orang. Sudahnya aku biarkan  saja dia buat semua. Nanti dah penat dia berhentilah.
            “Pastikan tak ada barang-barang yang tinggal Mie. Jauh nak berpatah balik nanti.”
            “Rasanya tak ada yang tertinggal mak. Terlebih bawa adalah rasanya...”
            Mak buat-buat tak dengar saja. Tahu aku perli dia. Dia pergi ke bonet. Puas hati dengan susunan barang di situ, ditutupnya bonet kereta. Kemudian dia menjenguk tempat duduk belakang. Dikemaskan susun letak bantal-bantal dan selimut di situ. Aku duduk di tangga menyarung kasut. Rasanya sudah sampai masa untuk aku bergerak. Kalau tidak makin banyak barang yang mak nak letak nanti.
            “Duduk rumah, jaga mak tau. Belajar elok-elok. Cuti sekolah nanti boleh datang Penang, kita pergi  jalan-jalan.” Aku titipkan pesan pada Zarith yang duduk di sebelah aku. Dia cuma mengangguk perlahan. Muka dah muram. Adoi! Kejap lagi pasti ada babak airmata. Tolonglah Zarith. Kalau boleh aku tak nak sesiapa pun menangis hari ini.
            “Itu aje? Tak ada pesanan terakhir untuk Kak Durani ke?”
            Muka terus berbahang bila mendengar nama itu. Memang nak marah. Tapi bila aku tengok wajah suram Zarith, apa yang mampu aku lakukan adalah mengusap kepalanya.
            “Sorrylah Zarith, tak ada rezeki nak jadikan Kak Durani tu kakak ipar...”
            Zarith peluk pinggang aku. Boleh dengar esakkan perlahannya. Aku cuba tolak perlahan bahunya tapi dia mengeratkan lagi pelukan.
            “Tak apa Abang Mie. Kat sana nanti cari kakak ipar yang lebih baik dari Kak Durani. Nanti kita tayang pula pada Pak Zahar.” Zarith memujuk. Aku senyum senget. Pandai pula dia menyejukkan hati aku.
            “Sudah tu. Tak payah nak tangkap leleh sangatlah Zarith. Mie, mak rasa baik kau gerak sekarang. Hari masih redup ni. Kalau sampai awal kat sana, bolehlah berehat lama sikit kat hotel. Besok dah nak lapor diri, kan?”
            Aku cuma mengangguk, menjawab soalan mak. Zarith sudah melepaskan pelukan. Laju tangannya mengeringkan pipi yang basah. Sebelum aku bangun, dia peluk aku sekali lagi. Pipi aku dicium kiri dan kanan. Alahai adik aku ni. Tak habis sedih lagi ke?
            “Jaga perangai elok-elok tau. Awak tu dah nak jadi anak dara.” Aku cubit perlahan pipi  Zarith. Ada senyum di sebalik airmata yang masih mengalir.
            Aku hampiri mak. Dia mengesat peluh di dahi dengan hujung baju kurungnya. Eleh! Berlakon juga tu. Macamlah aku tak tahu dia pun nak menangis juga. Ketika aku hulur tangan nak bersalam, dia terus peluk aku. Lepukkan mak di belakang badan lebih kuat dari biasa. Seperti Zarith juga, habis pipi aku diciumnya berulang kali.
            “Jangan pandu kereta laju-laju. Kalau penat berhenti dulu. Dah sampai Teluk Intan nanti jangan lupa telefon mak. Jangan duduk kat hotel yang mahal-mahal pula Mie. Jimat-jimat sikit  duit yang ada tu....”
            “Mak... Mie dah naik hafal semua pesanan-pesanan mak. Jomlah ikut Mie.”
            Aku buat-buat tarik tangan mak, nak masukkan dia ke dalam kereta. Terjerit-jerit mak menghalang aku. Zarith mengekek ketawa melihat mak meronta minta dilepaskan. Aku pun gelak juga. Mujur mak. Kalau bini aku yang membebel macam tu memang aku gigit mulut dia laju-laju.
            Aku  masuk dalam kereta dan hidupkan enjin. Mak mengurut dada yang mengah.Sisa tawa masih berbaki. Mereka berdua berdiri di sisi kereta. Suis penghawa dingin aku putar, cermin pandang belakang aku laraskan dan tali pinggang keledar aku kenakan. Aku sudah bersedia untuk memulakan perjalanan.
            “Mie gerak dulu mak. Zarith, kalau ada apa-apa hal nanti call abang tau.”
            Zarith mengangguk. Dia peluk lengan kurus mak. Ada genangan air di matanya. Sebelum dia ‘hujan’ lagi, lepas baik aku pergi.
            “Assalamualaikum...”
            Sejurus memberi salam, kereta bergerak perlahan keluar dari perkarangan rumah. Melalui cermin pandang belakang, boleh nampak mak dan Zarith sedang melambai. Selamat tinggal mak. Abang pergi dulu Zarith. Semoga pemergian aku kali ini dapat mengubah nasib keluarga aku satu hari nanti.
            Telefon berbunyi sebaik saja aku keluar menuju ke jalan besar. Untuk keselamatan, aku berhentikan dulu kereta di bahu jalan. Lupa nak pasang handsfree sebenarnya. Enjin kereta terus aku matikan tatkala melihat nama pemanggil yang tertera di skrin. Aku pandang sekeliling. Entah apa yang aku cari, aku sendiri pun tak tahu. Tapi yang pastinya aku gugup sekejap untuk menjawab panggilan telefon.
            Tiga kali telefon berbunyi, akhirnya dengan satu helaaan yang berat aku sentuh gambar gagang yang berwarna hijau. Ketika telefon melekap di telinga, aku tak terus bercakap. Sengaja beri peluang orang di dalam talian memulakan perbualan.
            “Joe...”
            “Assalamualaikum.” Sengaja aku tekankan suara. Nak perli dia pun ya juga. Suara Durani perlahan saja menjawab salam. Aku amati suara latar di dalam talian. Agak senyap. Dia ada di rumah ke? Boleh pula dia menggunakan telefon. Setahu aku, sejak abah dia memutuskan  hubungan aku dan dia, telefon adalah satu-satunya gajet yang dirampas.
            “Joe dah ke Penang hari ni ya?” tanya Durani.
            “Dah tahu buat apa tanya?” Suara masih keras. Menahan sebak sebenarnya.
            “Sampai hati Joe tak tunggu Dura. Dura ada buatkan kuih sikit untuk Joe. Boleh buat bekal dalam perjalanan.”
            “Dah tak ada sebab Joe nak tunggu lagi. Nanti tak pasal-pasal kena perhambat dengan abah Dura. Bagilah ajelah kuih tu kat mak Joe. Biar dia wakilkan Joe untuk makan kuih tu.”
            “Dura dah pergi tadi, tapi...”
            Aku ketap bibir mendengar suara sayu Durani. Dapat aku bayangkan reaksi mak. Tak mungkin dia akan menerima sebarang pemberian daripada Durani lagi. Hati mak lebih hancur dari hati aku. Mak dah cakap, sampai mati pun dia takkan lupakan perbuatan abah Durani.
            “Joe... Maafkan Dura.”
            “Tak mahu cakap lagi perkara tu. Ketentuan Allah tu dah termaktub. Kita bukan ditakdirkan bersama. Mulai hari ini Dura mesti lupakan Joe. Tukar wajah buah hati dalam kepala  tu. Dulu wajah Joe, kan? Sekarang ni bayangkan wajah bakal suami pilihan ABAH Dura.”
            Aku tekan perkataan abah, sengaja nak berkias dengan Durani bahawa aku ni bukanlah calon pilihan abahnya.
            “Dura tak boleh. Dalam hati Dura cuma ada Joe. Dura tak nak kahwin dengan Jalil.”
            “Oh, nama dia Jalil? Hmm...”
            Tangan meramas stereng dengan kuat. Pedih betul rasa hati bila mendengar Durani menyebut nama lelaki lain. Kalau dulu, pantang dia menyebut mana-mana nama kawan lelaki, mulalah aku tarik muka empat belas. Tapi sekarang, dah tak ada sebab untuk aku cemburukan dia.
            “Dura masih sayangkan Joe...”
            Aku meraup muka. Suara lirih Durani buat aku sebak. Telinga menangkap esakan halus di dalam talian. Aduh! Ini yang aku lemah. Aku memang tak boleh dengar dia menangis. Terus longgar sendi-sendi badan. Ya Allah! Kuatkan semangat ini.
            “Dura...” Bergetar suara aku memanggil dia. Esakan semakin kuat. Mata aku sendiri pun dah makin kabur. Aku tekan kelopak mata, cuba menahan airmata dari keluar.
            “Maafkan Dura. Sumpah! Dura tak tahu semua rancangan abah. Dia boleh paksa Dura kahwin dengan Jalil. Tapi hati Dura tetap untuk Joe. Sampai bila-bila pun Dura takkan lupakan Joe.”
            Kalau dia ada di depan aku sekarang, memang aku peluk dia. Hampir setengah jam aku habiskan di bahu jalan mendengar tangisan Durani. Tak tahu dengan cara apa lagi untuk memujuk dia. Yalah, hati aku pun terguris juga. Kerana perbuatan abah dialah , hari ni aku keluar dari kampung.
            “Dura... Joe kena gerak sekarang.” Akhirnya aku bersuara. Tangisan Durani juga sudah reda.
            “Dura nak jumpa Joe. Please...”
            Aku pandang jam di tangan. Otak mula ligat berfikir. Tiba-tiba aku terpandang botol air di tempat duduk sebelah penumpang. Serta-merta terbayang wajah mak. Dia yang meletakkan botol air itu di situ. Kalau dia tahu aku masih berhubung dengan anak Pak Zahar ni, pasti dia mengamuk.
            “Joe dah lambat ni. Takut lewat pula sampai ke Penang.”
            “Sekejap aje...”
            “Kalau dah jumpa Dura, mana boleh sekejap. Joe nak pergi jauh ni. Bukan pergi dengan rela hati tau. Joe terpaksa pergi sebab frust dengan perbuatan abah Dura. Joe takut bila jumpa Dura nanti, lain pula jadinya...”
            Durani tertawa kecil. Tapi aku tidak. Memang aku serius dengan apa yang aku lafazkan.
            “Nak jadi apa? Takkanlah Joe nak buat tak senonoh pada Dura.”
            “Tak, Joe takkan buat macam tu. Tapi Joe akan bawa Dura lari dengan Joe. Alang-alang dah malu, biar dua-dua keluarga tanggung sama-sama. Lagipun Dura memang sayang Joe, kan?”
            “Joe!” Kuat betul jeritan Durani di dalam talian.
            “Kenapa? Tak berani ke nak lari dengan Joe? Tadi cakap sayang sangat, kan? Nak jumpa, marilah. Joe tunggu kat simpang ni. Jangan lupa bawa kain baju sekali.”
            Makin bersemangat pula aku mempengaruhi Durani. Dah nekad ni. Kalau dia betul-betul datang memang aku bawa dia ke Penang. Tapi aku dah kenal dia sangat-sangat. Tak mungkin Durani seberani itu.
            “Joe...”
            “Ya sayang? Tak berani, kan? Okey, kalau macam tu Joe kena gerak dululah. Selamat berbahagia dengan Jalil. Bye...
            Aku terus matikan talian. Tak perlu menunggu lagi. Selamat tinggal Durani
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~
            Hampir enam jam mengharung perjalanan ke utara, akhirnya aku sampai juga di bandar Georgetown. Mujurlah ada aplikasi canggih. Kalau tidak, rasanya matahari dah tenggelam pun belum tentu sampai lagi ke sini. Pandai betul orang yang mencipta aplikasi Wayz ni. Semua jalan dan tempat dapat dicari.
            Apa-apa hal kena cari hotel dulu. Badan dah melekit, pinggang dah lenguh. Kalau dapat  lelapkan mata sekejap pun bagus juga. Sekali lagi gajet canggih yang sama lebar dan panjang tapak tangan itu aku gunakan. Sekali Google saja, tersenarai nama-nama hotel yang terdapat di sini. Pilih saja, nak yang murah atau yang mahal. Aku pilih hotel yang paling dekat dengan tempat aku melapor diri esok. Senang sikit, tak payah nak tergesa-gesa keluar awal pagi. Lagi pun aku bukannya biasa sangat dengan tempat ni.
            “Pergh!!! Sedapnya mengeliat...”
            Bahagianya dapat merebahkan badan. Urusan check in di Hotel Mingood tak mengambil masa yang lama pun. Apa-apa hal kena telefon mak. Aku pasti dia sedang menunggu panggilan aku ketika ini.
            “Assalamualaikum Mie. Dah sampai ke?”
            “Waalaikumsalam. Baru aje check in mak.” Aku menjawab sambil menguap lebar.
            “Dah jumpa ke tempat kau nak lapor diri besok?” Mak menyoal lagi.
            “Dah...Dekat dengan hotel ni aje. Besok lepas lapor diri Mie nak cari rumah sewa pula.” Aku panjangkan jawapan. Sebenarnya mata ni dah makin berat. Kalau aku tak mandi sekarang,  rasanya memang terlelap sambil berbual dengan mak nanti.
            “Pagi tadi tak lama lepas kau bertolak, Dura datang rumah.”
            Uik! Macam ada spring dalam badan, aku terus terbangun dari katil. Mata celik serta-merta. Hebat betul aura tenaga Durani. Aku kemaskan lekapan telefon di telinga. Tak sabar nak  dengar mak bercerita. Walhal aku dah tahu ceritanya dalam versi Durani.
            “Dia kata nak jumpa kau. Dia ada kirimkan kuih. Untuk mak pun ada. Tapi...”
            “Mak buang ke kuih yang Dura bagi tu?” Laju aku memotong cakap mak.
            “Mak ni seteruk itu ke? Mak memang menyampah dengan bapak dia. Tapi kalau dia datang bawa rezeki, takkanlah mak nak menolak.”
            Lega hati mendengarnya. Aku duduk semula di birai katil. Teringat segala perbualan bersama Durani pagi tadi. Beruntunglah Jalil dapat isteri yang pandai memasak seperti Durani. Siapa Jalil tu ya? Huh! Meluat pula rasa bila mendengar Durani menyebut nama jantan itu. Penangguk di air keruh!
            “Susahlah Mie nak lupakan dia mak...”
            “Mula-mula memanglah. Lama-lama nanti, bila dah sibuk dengan kerja kau lupalah kat dia tu...”
            “Dia ada call  Mie tadi. Merayu-rayu minta maaf. Ikutkan hati Mie nak bawa aje dia lari. Nikah kat Thailand. Biar terlopong mulut Pak Zahar tu...”
            “Yalah tu. Kalau terlopong. Dibuatnya dia penggal kepala mak ni sebab geram dengan kau, apa macam? Bercakap jangan main ikut sedap mulut aje boleh tak?”
            Aku terkekek ketawa mendengar bebelan mak. Kalau aku ada di depan dia sekarang memang confirm  kena sekeh. Butang baju kemeja t-shirt aku buka satu-persatu. Rasanya elok kalau aku bersihkan badan dahulu. Perut pun dah lapar. Lauk yang mak bekalkan untuk aku tadi  ada aku bawa sekali ke bilik.
            “Mie nak mandi ni mak. Nanti besok Mie call lagi, ya. Kirim salam Zarith.”
            “Hmm.. yalah. Berehatlah. Jaga diri baik-baik.”
            Aku terus ke bilik mandi sebaik saja mak menamatkan perbualan. Buka paip di bathtub dan letak syampu. Bukan selalu dapat masuk hotel. Alang-alang dah dapat peluang ni, rugilah  kalau tak berendam. Baru separuh penuh, aku dah masuk ke dalam bathtub. Fuh! Leganya. Alangkah seronoknya kalau ada yang memicit-micitkan bahu di waktu ini. Bathtub ni pun besar. Muat untuk dua orang.
            Kepala aku sandarkan di hujung bathtub. Wajah Durani datang bertandang. Indahnya andai dapat bersama dengan dia di saat ini. Dia belai aku, aku belai dia. Sama-sama bersabun, main simbah-simbah. Kedudukan kepala aku rendahkan, betul-betul di bawah kepala paip. Mata terpejam rapat, nak sambung berangan lagi. Senyum Durani masih menghiasi ruang mata.
            Tangan mengusap buih sabun di badan. Membayangkan tangan lembut Durani sedang memanjakan aku. Bila tangannya sampai di dada, aku pegang tangannya dan aku kucup lembut. Jemari Durani merayau ke pipi, hidung dan telinga. Aku gigit bibir sendiri apabila tangannya mengusap perlahan rambutku yang basah. Aku pegang tangannya yang sedang meramas rambut. Jemari kami sama-sama menari di kepala ku. Semakin lama semakin...
            “Awww!!! Panas!!!!”
            Tercampak kepala paip shower yang bergetah panjang ke lantai. Serta-merta aku bangun  dan melompat keluar dari bathtub. Nasib baik tak melecur kepala aku. Sambil memulas kepala paip air panas, aku senyum sendiri. Berangan lagi Johaimi!!!


No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.