Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

May 18, 2015

HEY MR.SPOTLIGHT! BAB 7

Dah berulang kali  aku  baca  senarai  pemadam  api  di  dalam fail. Tekak  ni  dah rindu  nak  merasa  Milo  ais tabur  bancuhan Raisya.  Tapi  sehingga kini  gadis  berlesung pipit  itu  masih belum  muncul. Melampaulah dia  ni. Mentang-mentanglah  aku kenal  abang dia, suka-suka  hati  dia saja  nak datang pukul berapa.
Interkom di  atas meja  berbunyi. "Ya  Munirah..."
"Encik  Azfar, Raisya  cakap  dia  lambat  sikit  hari."
"Kenapa?" Aku  bertanya bersama kerutan  di dahi.
"Dia  pergi  klinik  sekejap."
"Okey."
Perbualan tamat.  Aku  capai  telefon dan terus  dail  nombor  telefon Raisya. Dua kali  aku mendail,  tiada  jawapan. Siapa yang sakit? Sambil  berfikir, mata mengerling  kalendar yang tergantung di  dinding. Tak  semena-mena  senyum tersungging   di bibir.
Aku  bangun  dan terus  keluar  dari  pejabat. Nak beli  sesuatu  sebelum  Raisya tiba. Tapi bila sudah berada di depan kedai runcit, rasa serba-salah pula  nak  masuk.  Tak  melampau  sangat  ke  kalau  aku  bergurau  macam tu? Masih berkira-kira lagi  ni. Kalau  dia  merajuk nanti  macam mana?
"Huh! Raisya  nak  merajuk? Budak  hati kering tu mana pandai  merajuk."
Dengan kata-kata  itu  aku  masuk  ke dalam kedai  dan terus  ke rak yang berkenaan. Alamak! Nak beli  yang mana satu  ni? Yang ni wing, overnight, soft...with  fragrance  pun ada? Aduh! Mana satu  yang elok  ni?
Aku  tahu siapa  yang boleh membantu. Aku  seluk handphone  di  poket seluar. Tak sabarnya  nak  tunggu  mak  menjawab panggilan.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam. Mak, apa  jenama  pad  mak?"
"Hah! Pad? Pad apa? Knee pad yang mak pakai untuk  aerobik  tu  ke?"
Aku tepuk dahi.  Berapa  banyak pad yang  mak pakai? Ini  betul-betul  tak faham soalan atau  dia  sengaja nak  main-mainkan aku?
"Pad tu lah mak... Yang orang perempuan selalu  pakai  tiap-tiap  bulan tu..." Aku berbisik  perlahan.  Malu juga kalau ada orang terdengar.
"Tuala wanita  ke?" Mak  bertanya lagi.
"Ya.. Benda  alah itulah yang Azraf  tanya  ni."
“Ooo! Cakaplah ‘roti’..”
Uik, dah tak ada  istilah lain ke  nak guna? Sambil  bercakap  dengan mak, aku  belek-belek jenama tuala wanita  di  situ.  Lain-lain harganya.  Ada yang murah, ada yang mahal.

"Alolo...baiknya hati  nak  belikan untuk  mak.  Mimpi  apa  malam tadi  tiba-tiba nak buat baik  dengan mak  ni? Nak mak masakkan something special  ke?"
Aku  tarik  nafas panjang-panjang. Banyak  pula  soal  mak  ni.  Lain aku  tanya  lain pula  yang dia  jawab. Bila masa  pula aku  cakap  nak belikan pad  untuk  dia? Perasan betul!
"Cepatlah mak. Azraf dah ada  kat  kedai ni." Aku  keraskan suara  sikit. Mak ni  kalau dilayan makin melalut nanti.
"Alang-alang kau  yang nak belikan, mak  nak request pad paling mahal yang ada  kat kedai tu. Bukan selalu  dapat pakai  pad  mahal ni.  Selalunya  mak  pakai  yang murah-murah aje." Mak mengekek  ketawa.
"Okey, Azraf  nak letak telefon dah ni..."
"Eh kejap! Tolong carikan mak  spender saiz  M. Dah alang-alang  kau nak  belanja  mak, kan? Bukan senang mak  nak dapat peluang 'pau'  budak kedekut  ni. Hahaha!"
Panggilan tamat.  Dah  satu  kerja  pula  nak  kena belikan spender  mak. Aduh! Padan muka  kau Azraf. Nak  kenakan Raisya  sangat. Sudahnya  kau  sendiri yang  terkena. Dua tiga kali  aku  mengelilingi  rak di  bahagian  tuala wanita. Rambang mata aku. Mana satu  nak pilih ni?
“Encik nak  cari  apa?”
Alamak! Pembantu kedai dah datang. Aku  angkat  tangan isyarat tak  mahu  diganggu.  Tapi wanita berbangsa  Cina itu  masih mengekori. Menyampah betullah! Sudahnya  tak ada  satu  pun barang yang  berjaya  aku  beli. Lain kali  ajelah jawabnya. Harap-harap  sakit  Raisya  tidak  seteruk  mana.  Aku  memang tak  ada pengalaman dengan benda-benda  macam ni.  Kalau  ada  adik  perempuan boleh juga minta tolong.
Sampai  sahaja di  pejabat  Raisya  sudah menunggu  di  luar  pintu bilik. Macam cuka  tumpah  aku  tengok  muka  dia. Siap  dengan pakej  bercekak  pinggang.  Dah macam mak tiri  tunggu  anak  tiri  balik  dari main bola di lewat  petang. Garang betul.
“Dah balik dari  klinik? Awak sakit apa?” Aku  terus bertanya.  Tengok  pada  luaran dia tak  nampak  macam orang sakit  pun.
“Siapa  pula  yang sakit? Saya bawa mak  pergi ambil  ubat kat klinik kesihatan.” Raisya  menjawab  kasar.
"Apsal lambat  ni Encik  Azraf? Tak  ingat ke hari  kita nak buat  inspection kat Tanjung  Langsat?"

Uik! Budak  ni  breakfast  mikrofon ke  pagi  tadi? Aku  berdiri  di  depan dia saja. Tapi  suara dia  punyalah nyaring sampai  bergegar gegendang telinga aku. Satu lagi, siapa  yang terlambat sebenarnya? Aku  atau  dia? Dengan muka cemberut, dia menghulur  briefcase. Kemudian menonong keluar  dari  pejabat.
"Raisya." Aku masih  berdiri  di  tepi meja Munirah.
Ketika  Raisya  menoleh, aku gamit dia supaya datang dekat. Laju  dihayunnya kaki  yang berbalut  dengan palazo merah hati. Cantik! Sesuai dengan kulit dia yang putih gebu. Dipadankan dengan  cardigan hitam. Ah! Dia pakai apa  pun memang nampak cantik.
“Tunggu apa  lagi  ni  Encik Azraf? Tanjung Langsat tu bukannya dekat. Kalau kita waktu  macam ni  silap-silap  hari bulan kita tersangkut  dalam jem nanti.” Raisya  menunjuk-nunjuk jam di tangan. Mendengar  Raisya  menyebut ‘hari bulan’  tak semena-mena  aku  teringat  sesuatu.
Spontan aku tersengih lebar.  Patutlah macam mak tiri  hari ni. Bendera  Jepun tengah berkibarlah tu!
“Apa sengih macam orang gatal ni  Encik Azraf? Kalau tak nak pergi cakap aje terus-terang.  Saya boleh pergi  dengan Zaini. Malik  pun ada.” Raisya mendengus kasar. Dah macam seladang pun ya juga dia  ni. Dahsyat betul penangan orang datang bulan ni ya.
“Suruh Malik pergi  dulu. Nanti  saya menyusul  di  belakang. Ada sikit lagi kerja yang belum selesai.”
“Kalau macam tu  saya pergi  dengan diaoranglah. Senarai tabung yang perlu  diperiksa  ada pada  saya.” Raisya membuat keputusan sendiri.
“Eh! Pandai-pandai  buat keputusan sendiri  nampak.  Siapa bos  kat sini?”

Giliran aku  pula tinggikan suara. Kalau  dia  nak  naik angin dengan aku, itu  masih boleh aku hadap. Tapi  aku takkan benarkan dia pergi ke mana-mana dengan lelaki  lain. Bukan nak mengawal  pergerakan dia. Tapi Hazri  dah amanahkan aku  untuk  menjaga adik  dia. Sementelah lagi aku takut  api  cemburu menyala di dalam  hati  ini  bila  melihat  Raisya  bersama  lelaki  lain.
“Pergi  bagi  checklist tu pada  Zaini.  Tahulah dia nak  buat apa  nanti. Sebelum awak kerja kat sini pun, diaorang dah buat kerja-kerja tu.” Suara tegas dah keluar. 
Kalau tadi  laju  dia berjalan, sekarang dah macam kereta mainan habis  bateri. Biarkan. Sebenarnya mana ada kerja yang perlu aku siapkan. Memang sengaja  aku  tipu dia. Aku tak nak ‘angin bulan mengambang’  Raisya merebak. Nanti tak pasal-pasal  semua orang dihamunnya. Lagi  satu perangai zaman kanak-kanaknya yang masih belum terkikis.
Aku ambil  kunci pejabat  daripada  Munirah dan terus  masuk. Dari situ aku meninjau  Raisya. Dia sedang menyerahkan kertas  senarai semak pada  Malik. Eh! Aku suruh dia serahkan checklist, tapi dia  boleh berbual-bual pula di sana. Angin cemburu aku pula datang menerpa. Pedih pula  hati bila melihat mata  jantan Malik melihat Raisya  dari atas  ke bawah.  Hish! Ada juga aku  hantar  Malik ni balik ke  Bangladesh nanti. Bakal  bini  aku  tu!

“Raisya.” Aku melaung dari tingkap pejabat. Kunci kereta aku  campak  pada  Raisya  sebaik saja dia  menoleh.
“Pergi duduk  dulu  dalam kereta. Kita gerak  kejap lagi.”
Pap!
Tingkap  aku  tutup kasar. Lengan baju  yang berbutang aku  buka  dan aku  sinsing hingga  ke siku. Sambil membetulkan lipatan lengan baju, aku  keluar dari  situ. Malik dan Zaini  sudah pun bergerak. Mujur  dia  beredar  cepat. Bukan nak memandang rendah pada  pendatang asing. Tapi  aku  memang  tak berkenan  dengan cara mereka ni melihat  gadis-gadis  tempatan. Macamlah aku tak tahu  apa  yang ada  dalam kepala  otak mereka.

“Kalau pergi sekali  dengan diaorang kan senang? Jimat duit minyak.” Raisya  terus  membebel sebaik saja aku  menutup  pintu  kereta.
“Diamlah! Tak penat ke mulut  tu?”
Raisya  senyap. Bagus! Lega sikit  telinga aku. Lima minit  memandu, masing-masing masih bungkam. Aku pun tak ada idea nak berbual dengan Raisya.  Rasa-rasanya lebih  elok  macam ni.Kalau tidak  nanti  tak pasal-pasal Raisya  akan naik angin semula. 

“Aduh!”
Raisya menekan perut.Sampai  tertunduk-tunduk dia menahan sakit. Alamak! Dia kena sesungut ke? Apa  aku nak buat ni? Alahai! Lupa pula nak tanya  mak ubat apa  yang bagus  untuk  perempuan yang kena  sesungut ni.
“Ini  semua Encik Azraf  punya pasal!” Tiba-tiba dia menempelak  aku.
Sabar  Azraf, jangan melawan. Dia tengah sakit  tu. Mungkin hari  ini  adalah hari pertama.  Tak hairanlah  kalau dia meroyan semacam pagi ni. Pasti dia  rasa  sangat  tak selesa sekarang.
“Kalau  ada mana-mana  kedai runcit  kat tepi jalan nanti tolong berhenti. Belikan roti.”
Aku  mengangguk  dengan penuh yakin.  Tak  sia-sia  menuntut ilmu cara-cara membeli  tuala wanita  dengan mak. Permintaan Raisya  itu  senang sangat. Mana kedai? Dah tak  sabar nak  berhenti ni.
“Argh!!! Sakitnya. Cepatlah Encik Azraf. Saya dah tak tahan ni...” Raisya mendesah. Berpeluh-peluh muka  dia menahan sakit.  Ya Allah! Kesiannya  dia. Kalaulah aku pun boleh merasakan kesakitan itu. Sabar  ya sayang.
“Teruk juga sesungut awak  ni ya.” Aku  cuba  ajak  dia  berbual. Mana tahu  boleh mengurangkan sakit.
“Senggugutlah! Kalau  tak reti  sebut baik diam aje. Huh!”
Eh, salah ke aku  cakap? Okey, dah nampak kedai kat depan. Tak apa. Apa-apahal  kena belikan dia ‘roti’  dulu. Tak sampai  seminit pun aku  di  dalam kedai. Dari luar  aku  nampak  Raisya  sudah memandang dengan penuh mengharap. Pergh! Rasa macam Superman pula. Bangga  sekejap  sebab dapat membelikan sesuatu  yang amat penting buat Raisya.
“Nah! Saya beli  dua  bungkus. Ini  untuk  pengaliran tenat. Yang ini  pula  panty liner. Kat  depan sana ada kedai makan.  Kita berhenti  kat sana sekejap, tumpang tandas dia ya.”
Raisya  merenung tajam. Aku  tahu  dia sedang menahan malu. Aku letakkan beg plastik di atas  peha Raisya. Senyum manis aku  hadiahkan padanya.  Pasti  dia sedang terharu, kan? Mata Raisya terpejam dan diam menarik  nafas  dalam-dalam.
“Arghhh!!! Bila masa pula saya suruh beli  roti ni? Saya ni tengah lapar  tahu tak? Encik Azraf  punya pasal saya tak sempat nak breakfast  kat rumah tadi. Eee!!!”
Sambil mencerabih dia  baling bungkusan plastik itu pada  aku  semula. Laaa! Dia tengah kebuluran rupanya.  Tarikh period dia  dah bertukar  ke?
Bersama dengusan kasar,  Raisya  keluar.  Dia pula yang masuk  ke  dalam kedai. Aku? Termangu-mangu  di  dalam kereta  sambil  mengutuk  diri  sendiri. Bungkusan plastik  yang dibaling oleh Raisya  tadi aku campak ke  tempat  duduk  belakang. Huh! Tak pasal-pasal aku  kena mengadap  mood swing   Raisya sepanjang hari  ini. Erk! Sepanjang hari? Oh  tidak! Azraf, jangan cari pasal. Baik  buat  sesuatu.
Jemari sudah mengetuk-ngetuk stereng. Ligat  otak  aku  memikirkan alasan  yang terbaik  untuk tidak meneruskan perjalanan ke  Tanjung Langsat.  Dalam pada itu  Raisya keluar  dari  kedai  runcit. Cepat-cepat aku ambil handphone  dan hubungi  Malik. Perjalanan ke  Tanjung  Langsat  aku batalkan. Segala tugas  aku  serahkan pada  dia  dan Zaini.
“Jom!” Raisya  menutup  pintu. 
Plastik yang penuh  berisi  dengan barang makanan dia  letak  di  atas  riba. Aku  bagi dia peluang untuk mengisi perut.  Tapi  baru  saja dua kali mengunyah, dia dah tersandar. Matanya  terpejam dan terdengar  dia mendesis perlahan. Tangan kiri memegang perut.
“Hmm, dah masuk  anginlah tu. Jom baliklah.”
Pandai  tak aku  cari alasan? Tanpa berlengah  lagi  aku  berpatah balik ke  pejabat. Raisya cuma diam. Rasanya  dia memang sedang berada  dalam keadaan yang  tidak  selesa. Tak  habis  pun roti  yang dibeli.
“Lain kali kalau  dah tahu  perut  awak tu  tak boleh berlapar, ambillah breakfast dulu. Kalau  awak  datang lambat  tadi  pun tak  menjadi hal.” Nasib kaulah Raisya. Aku  nak memulakan sesi  ceramah  percuma ni.
“Encik  Azraf  ni langsung tak  reti  berterima kasihlah. Saya ni  terkejar-kejar dari pagi  tadi. Hantar  mak  ke  klinik,lepas  tu  datang  pula ke  pejabat. Kalau  saya tahu  Encik Azraf nak layan saya  macam ni,  lebih baik  saya MC  saja  hari ni.” Raisya  dah keluarkan suara sengau. Plastik  makanan diikat kuat lalu  diletakkan di  tempat  duduk  belakang.  Dia berpeluk  tubuh dan memalingkan pandangan ke luar  tingkap.
So, sekarang ni  nak  MC ke  tak?”Sengaja  aku  menyakat. Suka melihat  wajah mencuka  Raisya. Walaupun sedang marah, wajahnya  tetap  nampak  manis. Duhai hati, please  don’t  be gelojoh. Permainan baru bermula ni.
Raisya mengesat pipi.  Alahai! Dia  dah buat  drama airmata. Ini  satu  lagi  modal yang dia suka  guna masa  kecik-kecik dulu. Raisya, awak dah besar  sekarang. Kalau dulu  bolehlah dipeluk-peluk, upah dengan gula-gula dua puluh sen lima  biji. Sekarang mana boleh. Kalau aku  peluk  nanti  takut jadi  hal lain pula.
“Lain kali kalau  nak hantar  mak pergi  klinik, tak payah datang kerja. Saya  faham, bukannya  sekejap  nak  menunggu  di  klinik kesihatan  tu. Hari  ni  awak  MC ajelah. Jangan risau, saya akan beritahu  bahagian gaji  untuk  bayar  awak penuh  hari  ni.”
Aku  rasa macam tengah bercakap  dengan stereng kereta. Dia langsung tak  memberi  respons.  Oh, masih nak mogok  bercakap  ya. Nanti  kau! Telefon  bimbit aku  ambil  dan nombor  Hazri  aku  dail. Sementara  itu, kereta terus  ku halakan ke rumahnya.
“Eh, motor saya macam mana?” Raisya  buka mulut  juga  akhirnya.
Tapi  sudah terlambat. Hazri  sudah pun menjawab panggilan. Aku  senyum sinis padanya dan bagi  isyarat  supaya  dia diam.
“Helo Hazri, aku  nak hantar  adik  kau  balik ni. Ada  orang kat  rumah tak?”
“Mak aku  ada kat  rumah. Eh, tapi kenapa  dengan dia?”
Aku  pandang Raisya. Bergerak-gerak  rahang  dia menahan bengang. Lantaklah. Siapa  suruh  buat perangai depan aku? Aku  pasti  Raisya  turut  mendengar  pertanyaan  abangnya. Loud speaker  yang aku  gunakan sudah cukup kuat.
“Dia skip breakfast  tadi.  Hazri,  nanti  kau  datang  office   aku  ambil  motor dia. Aku  tak  berani  nak benarkan dia  balik dengan motor. Jadi  apa-apa  kat  tengah jalan, kempunanlah aku  nak tengok  batu  lesung kat  muka  dia lagi.”
Aku  gelak. Tapi  tidak Raisya. Kedua-dua  tangannya  meramas  peha  sendiri  sekuat hati. Aku pasti  kalaulah bukan sebab dia  yang beria-ia  sangat  nak kerja di tempat  aku, pasti  dah lebam biji mata  aku  ni  dia  kerjakan. Pemegang tali  pinggang  hitam Silat  Cekak  Hanafi tu. Kereta berhenti  betul-betul  di  depan rumah Raisya  sebaik  saja perbualan dengan Hazri  tamat.  Tapi Raisya  seperti enggan keluar  dari  kereta.
“Saya masih pekerja  Encik  Azraf, kan?”
“Uik! Kenapa  tanya  macam tu?  Awak ada terima apa-apa  surat  buang kerja  ke?”
“Memanglah  tak ada.  Tapi saya  dah berkasar  dengan Encik  Azraf  hari ni. Manalah tahu...”
“Awak  belum tahu  sepenuhnya tentang saya lagi  Raisya. Walaupun awak  yang paksa  saya terima awak bekerja, tapi  saya  takkan ambil kesempatan. Selagi  awak boleh bertahan, awak kerja ajelah. Tapi kalau nak  berhenti, awak  kena siapkan lima  puluh  alasan yang paling relevan.  Sebab masa  awak paksa  saya  terima awak dulu cuma satu  alasan aje yang awak  bagi. Ingat tak?”
Raisya  mengangguk  perlahan. Nampaknya  dia  terpaksa berpuas  hati  dengan apa  yang aku  katakan. Tapi dia masih teragak-agak  untuk keluar  dari  kereta. Alahai! Dia nak apa lagi  ni. Tak bestlah  kalau mak nampak.
“Encik Azraf pun pasti  ada alasan kenapa  Encik  Azraf masih terima saya  bekerja, kan?”
“Ada. Sebab saya memang nak awak sentiasa  ada  bersama  saya.”
“Hah?”
Alamak! Apa aku cakap  ni? Terkial-kial  aku membuka  pintu kereta dan segera keluar. Makin dilayan Raisya  ni makin banyak pula  soalannya. Aku bukakan pintu  kereta  untuknya.
“Masuk  berehat. Kita  jumpa esok.”

Itulah pesanan terakhir  aku  sebaik saja  dia keluar  dari  kereta. Duhai mulut.  Kenapa laju  sangat  kau  menuturkan kata-kata manis. Masih terlalu  awal untuk melontarkan ayat-ayat  ‘beli  jiwa’ untuk Budak Lesung itu. 

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.