Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

December 10, 2014

APA DAH JADI? BAB 16

       Dari jauh aku perhatikan Jalil mengucup ubun-ubun Durani. Hati terhiris tapi bibir aku paksa untuk menguntum senyum. Kini sudah sangat pasti. Impian untuk memiliki Durani hanya tinggal kenangan. Dia sangat cantik petang itu. Sangat terserlah seri pengantinnya.Tak jauh dari Durani, Azie sedang tersenyum manis. Matanya tajam merenung aku yang duduk berdekatan dengan pintu. Aku tahu dia sedang memberi semangat. Mak menepuk-nepuk peha Azie. Pasti dia pun makan hati juga. Tapi kehadiran Azie banyak membantu aku dan mak. Masih terbayang lagi saat mak menarik Azie duduk di belakang Durani. Mata tetamu-tetamu wanita tertumpu pada Azie. Hilang glamer Durani sekejap.
             “Kenapa tak datang pagi tadi?”
            Aku menoleh sebelah kiri. Pak Zahar. Dia hulur tangan untuk bersalam. Aku sambut pantas dan goncang dengan kuat. Mata sempat lagi mengerling Azie dan mak. Nak sangat mereka berdua ada di sini. Boleh aku mulakan lakonan bersama Azie nanti.
            “Pagi tadi bertunang aje, kan? Malas nak berulang-alik banyak kali. Jadi saya datang petang ajelah. Lagipun malam ni dah nak balik Penang.” Jawapan jujur dari aku disambut Pak Zahar dengan juihan bibir.
            “Kau malas nak ulang-alik ke, tak sanggup makan hati tengok anak aku sarung cincin dengan orang lain?”
            Aku senyum sikit sambil garu kening. Adoi orang tua ni. Kalau aku hayun buku lima ni, mahu senget muka dia ni karang. Tak puas-puas lagi ke nak menjatuhkan air muka aku?
            “Apahal pulak dia nak makan hati Abang Zahar? Kawan tu dah ada pengganti...”
            Aku hembus nafas lega perlahan-lahan. Mak tiba tepat pada masanya. Dengan isyarat mata sahaja, mak perkenalkan Azie pada Pak Zahar. Berkerut dahi orang tua tu melihat Azie memimpin mak. Kami bertiga keluar dari ruang tamu rumah Pak Zahar yang dijadikan tempat untuk majlis akad nikah. Ada jamuan ringan sedang berlangsung di bawah khemah
            “Sayang... you nak makan apa? I ambilkan untuk you. Makcik nak apa? Zarith... Jom ikut Kak Azie ambil makanan.”
            Mak senyum. Dia bagi isyarat untuk aku menoleh ke belakang. Pak Zahar masih mengekori kami rupanya. Apahal dia ni? Tetamu-tetamu dia masih berada di atas rumah. Tapi dia, sampai terteleng kepala Pak Zahar melihat Azie beriringan dengan Zarith ke meja hidangan. Apa macam? Menitik air liur nampak!
            “Budak mana tu?” tanya Pak Zahar. Kerusi ditarik dan dia duduk di antara aku dan mak.
            “Budak Georgetown, sama tempat kerja dengan Johaimi,” jawab mak.
            “Ooo...” Bulat mulut Pak Zahar. Matanya masih mengikut langkah Azie.
            “Anak Sal ni, tak ada selera dah dengan minah-minah kampung ni...”
            “Lawa budak tu. Maintenance tinggi tu Johaimi. Kau mampu ke?” Pak Zahar menyiku perlahan lengan aku.
            “Eh! Apa pulak tak mampu? Anak Sal tu kan pegawai bank. Gaji dia dengan Durani dah berganda-ganda bezanya Abang Zahar oi! Budak Azie tu pun bukannya jenis suka melawa. Natural beauty kata orang. Bagus budak tu. Tak banyak songeh.”
            Mak bangun dan beri ruang pada Zarith dan Azie yang tiba dengan pulut kuning dan beberapa jenis kuih di dalam pinggan. Dia letak sepinggan pulut kuning di depan aku dan sepinggan lagi di tempat dia.
            “Sayang, kita share air boleh kan? Tak cukup tangan nak pegang gelas tadi.” Azie merapatkan kerusi. Aku kerling dengan ekor mata, Pak Zahar sedang meraup wajah berkali-kali. Apa macam? Menyesal ke reject aku jadi menantu dulu?
            “Makan dulu, ya. Joe nak basuh tangan kejap.” Aku bangun, meninggalkan Pak Zahar yang masih terkulat-kulat di situ.
            Mata terpandang Durani dan Jalil menuruni tangga ketika aku membasuh tangan di hujung khemah. Muka terasa panas apabila melihat tangan Durani dan Jalil bertaut erat. Kaki seakan terlekat di situ. Johaimi, sila terima hakikat. Dia dah jadi milik orang. Mata masih mengawasi kedua-dua mempelai. Mungkin terasa diperhatikan, Durani menoleh ke arah aku. Serentak dengan itu, kakinya terpijak hujung kain yang agak labuh.
            “Abang!”
            Durani menjerit. Laju tangan Jalil memaut pinggang Durani. Keadaan kecoh sekejap. Ada sekumpulan anak-anak muda di bawah khemah bersorak gembira. Seronok pula dapat tengok adegan peluk di depan mata. Pautan tangan Durani di lengan Jalil semakin erat.Berdesing sekejap telinga aku tatkala mendengar Durani memanggil Jalil dengan panggilan abang. Sepatutnya aku yang menyandang gelaran itu, bukan Jalil. Tiba-tiba aku rasa bahu dipaut dari belakang.
            “Dah jadi hak orang Joe. Redha ajelah...”
            Azie menepuk-nepuk perlahan bahu aku. Baru perasan mak juga berada tidak jauh dari situ. Entah berapa lama dia berada di belakang agaknya. Jari telunjuk mak lurus menuding ke bawah khemah. Makanan yang diambil oleh Azie tadi masih belum berusik. Dia menggamit aku dan Azie menyertai. Tapi selera ni dah mati. Apa yang aku nak buat sekarang adalah balik ke rumah dan berkemas pulang ke Georgetown.
            “Jom makan dulu,” ajak Azie.
            “Tak naklah. Aku tak sanggup nak tengok dia main suap-suap karang.”
            “Kalau betul tak nak tengok, kenapa gatal sangat nak datang tadi. Dah alang-alang ada kat sini, jamahlah sikit makanan tu. Kata nak berlakon. Aku belum dapat sakitkan hati awek kau lagi.”
            “Aku bukan suruh kau sakitkan hati dia. Aku cuma nak bapa dia tutup mulut aje bila tengok kau.”
            Azie menjuih bibir. Dengan selambanya dia menarik tangan aku dan duduk semula di bawah khemah. Mak dan Zarith sudah hampir selesai mengosongkan pinggan masing-masing. Elok saja aku menyuakan pulut kuning ke mulut. Pasangan pengantin melintas di depan kami. Mereka bersalam-salam dengan para jemputan.
            “Duduk situ. Biar dia datang sini. Aku nak kau kenalkan aku pada dia...” Azie berbisik keras di telinga.
            “Tak naklah. Aku tak sampai hati nak tengok dia sedih. Bukan salah dia Azie. Salah abah dia.”
            Aku jegil mata pada Azie. Tapi Azie buat-buat betulkan hujung lengan baju kurung yang dipakai. Bersungguh-sungguh benar pula dia. Ketika Durani berhenti di meja kami, mak yang terlebih dahulu bangun. Aku pura-pura minum air. Tak semena-mena Azie meletakkan tangan di peha aku. Mujur tak tersembur air yang ada di dalam mulut.
            “Selamat pengantin baru Durani. Semoga bahagia dengan pilihan abah kau.”
            Sinis betul ucapan mak. Durani salam mak. Dia kucup tangan mak dan terus peluk mak dengan erat. Aku tak sanggup nak tengok lagi. Memang nak sangat angkat kaki sekarang juga.
            “Maafkan Dura makcik,” ucap Durani lirih. Mak ketawa kecil.
            “Sudahlah tu. Dah tak ada jodoh. Mie pun dah ada pilihan lain...”
            Pelukan Durani terlerai. Dia pandang aku yang masih duduk menguis pulut di dalam pinggan. Aku tahu ke mana arah mata Durani. Pasti dia sedang melihat tangan Azie di peha aku. Jalil menyusul di belakang Durani beberapa ketika kemudian. Saat itu aku bangun. Azie pun sama.
            “Tahniah Jalil. Selamat pengantin baru.”
            Kami berjabat tangan. Aku cuma mampu senyum apabila sebelah lagi tangan Jalil memaut pinggang Durani.
            “Sayang, yang mana satu ex-schoolmate you?” Azie tiba-tiba memancing perhatian.
            Durani pandang Azie atas bawah. Aku pula dengan spontannya memaut bahu Azie. Ketika itu semangat nak menyakitkan hati Durani tiba-tiba membuak. Kebetulan pula Pak Zahar juga berada tidak jauh dari situ.
            “Yang perempuan ni, ex-schoolmate I. Nama dia Durani.”
            “Hai, saya Azie. Tahniah, ya. Cantik betullah awak petang ni. Tak macam masa awak bertunang pagi tadi, nampak sugul. Konsep pelamin awak pun cantik. Joe, I pun nak pelamin macam tu nanti tau.” Azie buat suara manja. Sengaja dia merapatkan badannya. Durani mengemam bibir. Aku buat muka selamba.
            “Amboi, awalnya dah rancang konsep pelamin. Dah ada plan nak kahwin ke?” Jalil pula menyampuk.
            “Inshaa Allah. Kalau dah sampai seru kami nikah nanti, kami tak buat di sini. Semua majlis buat kat sebelah perempuan aje. Itu pun rasanya buat di hotel. Betul tak mak?” Aku pula memainkan peranan. Azie semakin gedik. Kepalanya melentuk di bahu aku.
            Boleh nampak wajah Durani menahan rasa. Tanpa pamitan, dia meninggalkan meja kami. Tergesa-gesa Jalil mengekori Durani. Sebaik saja Durani beredar, aku keluar dari khemah.
            “Mak, Azie, Zarith...jom balik. Lakonan dah tamat.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Dah satu jam kami meninggalkan Felda Pasoh 3. Azie pun dah lama terlelap. Penat agaknya. Mahunya tidak, dari pagi dia jadi pengikut setia mak. Dari majlis bertunang hinggalah Durani nikah. Dia berdandan secantik mungkin semata-mata ingin menyakitkan hati Pak Zahar dan Durani. Terbayang-bayang wajah puas hati mak ketika dia bercerita tentang reaksi orang kampung tatkala melihat Azie buat pertama kali.
            ‘Sebulan anak aku kerja kat Penang. Sekali dia balik bawa calon menantu!’
            Beria-ia dia bercerita di kaki tangga rumah sebelum kami berlepas pergi tadi. Mak ketawa besar bila melakonkan semula memek-memek muka orang kampung ketika diperkenalkan kepada Azie.
            “Kalaulah dia tahu aku dan Azie cuma berlakon, ada potensi dia sumpah aku jadi ikan. Lepas tu dia siang hidup-hidup dan goreng. Makan pula dengan nasi panas!”
            Aku gelak mengekek. Apa benda yang aku merapu ni? Stereng ku hentak-hentak perlahan. Azie yang sudah lena di sebelah aku pandang sekejap. Kasihan dia. Tak pasal-pasal aku heret dia sekali dalam masalah aku. Jam di dashboard menunjukkan pukul sembilan malam. Pasti majlis di rumah Durani sedang berlangsung dengan meriah sekarang. Memang Pak Zahar tu kedekut taik hidung masin! Apa salahnya buat kenduri besar-besarannya besok. Ini tidak, nak juga buat sesudah majlis nikah. Buat kenduri-kendara di malam hari berapa ramai saja yang boleh datang? Pandai betul dia menyukat belanja kahwin Durani.
            Malam ini juga merupakan malam pertama Durani bersama Jalil. Malam pertama? Hish! Kenapa aku pula yang sibuk-sibuk nak fikir pasal malam pertama diaorang? Ya, memang aku yang sibuk. Sebab sepatutnya aku yang menjadi pasangan malam pertama Durani. Bukannya Jalil!
            “Argh!!!”
            Aku berhentikan kereta di bahu jalan. Sekali lagi aku menjerit sekuat hati. Berkali-kali stereng kereta menjadi mangsa hentakan tangan. Aku tak sanggup bayangkan tubuh Durani disentuh Jalil. Aku yang sepatutnya menjadi perasmi, bukan Jalil. Bukan Jalil!
            Puas menjerit, sudahnya aku tertunduk di stereng kereta. Nafas tercungap-cungap. Airmata sengaja aku biarkan menitik tanpa henti. Ketika leka melayan sendu, terdengar dengusan perlahan di sebelah kiri.
            “Joe...” Azie memanggil perlahan.
            Aku tak menyahut. Kepala masih tertunduk. Terasa tangan digenggam lembut. Hati semakin sayu diperlakukan begitu. Tak semena-mena aku tarik Azie ke dalam pelukan. Apa yang aku inginkan ketika ini adalah menangis semahu-mahunya. Aku sudah puas menahan. Hari ini aku tidak mampu menipu lagi. Sumpah! Aku sangat terkesan dengan perbuatan Pak Zahar.
            “Aku sayang dia Azie. Kenapa abah dia buat aku macam ni? Kenapa duit yang menjadi kayu pengukur abah dia untuk cari calon menantu? Aku benci bapak dia!”
            Pelukan semakin erat. Azie cuma membatu. Aku masih melayan sendu yang berlagu-lagu. Agak lama juga aku memeluk Azie. Tapi dia tetap seperti tadi. Dibiarkan saja aku menggugu di bahunya. Sesekali dia mengelus lembut belakang kepala aku. Agak tenang juga diperlakukan begitu. Ketika hati semakin reda, handphone berbunyi. Serta-merta pelukan terlerai. Kelam-kabut Azie mengemaskan rambutnya yang kusut. Suasana sekeliling yang agak gelap menyukarkan aku untuk melihat raut wajah Azie. Ada kemungkinan tak dia marah bila aku peluk dia tadi?
            “Azie...”
            Dia menoleh tanpa suara. Aku cuba cari anak matanya, tapi agak sukar mencari arah pandangan Azie di dalam gelap.
            “Maaf, aku bukan nak ambil kesempatan. Cuma...”
            “Jawab call tu dulu,” arah Azie.
            Dia hulur handphone yang aku letak di tempat meter. Sambil mata masih merenung dia, aku menjawab panggilan.
            “Joe...”
            Aku pandang skrin handphone. Aku tak salah dengar rupanya. Memang Durani yang call. Serta-merta darah panas menyirap ke muka. Apa lagi yang dia nak? Mati aku kalau abah dan suaminya tahu Durani masih menghubungi aku. Tak boleh ke dia terima hakikat aku dan dia tak mungkin bersama lagi? Telefon aku genggam sekuat hati. Kalau boleh aku tak nak dengar lagi suara dia. Tapi hati meronta-ronta nak tahu apa tujuan dia menelefon aku.
            “Buat apa call Joe lagi? Hubungan kita dah berakhir Durani. The end...” Aku keraskan suara. Menahan sebak pun ya juga. Aku tumbuk stereng kereta berulang-kali. Bergegar-gegar benda bulat itu aku kerjakan. Azie pegang tangan kiri aku dengan kedua-dua tangannya. Dalam gelap aku nampak kepalanya tergeleng-geleng. Eh, lupa pula. ni kereta dia. Jahanam pula stereng kereta orang aku kerjakan nanti.
            “Joe... Dura masih sayang Joe. Dura terpaksa buat semua ni.” Durani teresak-esak. Aku genggam tangan Azie yang masih memegang tangan aku dengan kuat. Cuba mencari kekuatan untuk berlawan bicara dengan Durani.
            “Kau dah jadi milik orang. Aku tak mahu jadi pemusnah rumahtangga orang. Layanlah suami kau baik-baik Durani. Jangan call aku lagi. Aku dah ada Azie.”
            “Joe tipu! Dura kenal hati budi Joe. Dura tak relakan orang lain sentuh tubuh Dura. Tubuh Dura hanya untuk Joe. Kita dah janji nak lahirkan anak-anak yang comel. Joe tak boleh mungkir janji. Joe kena tunggu Dura.”
            “Kau jangan buat tindakan yang bodoh Durani. Mak bapak kau orang baik-baik. Jodoh kau dah tertulis dengan Jalil. Jangan ganggu aku lagi.”
            “Joe...”
            Aku dah tak sanggup nak berdebat dengan Durani. Mendengar suara dia buat nafas aku makin sesak. Dari jauh kelihatan cahaya lampu kenderaan. Tidak pasti pula aku jenis kenderaan yang berada di belakang kami. Pegangan tangan Azie aku lepaskan. Ketika kenderaan di belakang semakin dekat, dengan spontan aku campak handphone ke tengah-tengah jalanraya.
            “Oi! Handphone mahal tu,” jerit Azie.
            “Biarkan. Aku tak nak Durani cari aku lagi.”
            Bibir ku ketap sekuat hati ketika tayar lori satu tan melenyek telefon bimbit aku hingga berkecai. Sama hancurnya dengan hati aku di saat itu. Jalanraya gelap kembali. Aku tersandar lemah. Tiba-tiba hidung terhidu sesuatu. Saat aku menoleh ke arah Azie, asap sedang berkepul-kepul keluar dari mulutnya. Hish! Dah macam GRO pula gaya dia ni.
            “Bagi sini.”
            Rokok yang terkepit di celah jari Azie aku ambil. Sebelum aku campak ke luar, aku tenung bara yang menyala di hujung puntung. Tak semena-mena aku suakan rokok ke mulut. Sedutan pertama buat aku terbatuk-batuk. Tekak terasa perit. Aku keluar dari kereta, cuba mencari udara segar. Tapi rokok di tangan masih belum dibuang.
            “Jangan merokok kalau tak biasa...” Azie pun keluar dari kereta.
            Aku teruskan dengan sedutan kedua. Kepala terasa ringan. “Kau drive pula...” Sekejapan saja, aku sudah pandai mengeluarkan asap melalui hidung. Bukannya susah pun nak belajar benda-benda yang lagha ni, kan?
            Azie meneruskan pemanduan tanpa bantahan. Aku, masih meneruskan sedutan demi sedutan. Melayan benda ni lebih baik dari melayan hati yang sedang frust. Kalau Durani tahu aku merokok pasti dia tidak suka. Ah! Peduli apa aku? Mulai hari ini aku akan lakukan semua perkara yang Durani tak suka. Hanya dengan cara itu saja akan buat aku terus lupakan dia. Mungkin...

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.