Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 06, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 15


       “Betul ke kau nak buat sendiri hantaran untuk Abang Hairi, Ayu?”
“Betullah, apsal? Kau tak percaya aku boleh buat? Kau lupa ke siapa yang hias kelas kita dulu?”
“Kelas tu lain, ini hantaran atas dulang tau. Jangan jadi  macam tikus baiki labu pulak.”
“Hei, tengok tanganlah. Ini Ayu tau!”
Fatin senyum lebar melihat Ayu ketawa mengekek. Makin berseri-seri wajah tembam gadis itu menanti saat-saat bergelar tunangan orang. Lepas satu kedai ke satu kedai dibawanya Fatin. Tak puas-puas lagi dia mencari barang-barang untuk majlis pertunangannya minggu depan.

“Fatin, mama tak tanya ke kenapa kau tak pergi kerja lagi?” tanya Ayu. Nadanya kedengaran berhati-hati.
“Aku cakap aku dah berhenti kerja, penat...” Acuh tak acuh saja Fatin menjawab soalan Ayu.

Ayu cuma mampu mengemam bibir. Hatinya bagai digaru untuk bertanya mengenai Kamal. Mereka masuk ke dalam kedai cenderahati. Sesekali Fatin memberikan pendapatnya mengenai barang yang dipilih oleh Ayu. Ketenangan Fatin amat menghairankaan Ayu. Tak rindukah Fatin pada Kamal?
“Fatin, dia ada telefon kau tak?”
Sengaja Ayu menyelitkan soalan mengenai Kamal ketika mereka sedang memilih barang.
“Tak.”
“Tak?” Ayu tanya balik. Tak percaya dengan jawapan Fatin.

Fatin bercekak pinggang. Dipandangnya wajah Ayu. “Dia kan dah ada Ika, buat apa dia cari aku lagi?” Fatin tanya Ayu semula.
“Maksud kau, dia langsung tak cuba pujuk kau?”
“Tak! Aku pun tak harap dia pujuk aku. Selama ni aku rasa aku buang masa bercinta dengan dia. Mujur keputusan STPM aku okey. Lepas ni aku nak isi borang sambung belajar. Kalau boleh, nak apply tempat yang jauh-jauh. Aku nak keluar dari Melaka ni.” Bersungguh-sungguh benar nampaknya Fatin kali ini.

“Mama tahu tak yang kau krisis dengan dia?” Ayu masih ingin mengorek rahsia.
“Tak ada sorang pun yang tahu. Diaorang sibuk dengan urusan masing-masing.”
Ayu terdiam. Rasa kesal turut menghantui Ayu kerana satu ketika dulu, dialah yang menggalakkan Fatin berkawan dengan Kamal. Bila Fatin dipermainkan sebegini, dia turut  terasa sakitnya. Ternyata perangai Kamal tak sebaik Hairi. Hairi lebih setia dalam perhubungan berbanding Kamal.

“Aku minta maaf  Fatin...”
“Eh, apsal pulak tiba-tiba minta maaf ni?” Fatin kehairanan.
Ayu memegang tangan Fatin. Wajahnya nampak sugul. Teragak-agak untuk dia menutur kata. Risau kalau-kalau Fatin tiba-tiba melenting nanti.

“Kalau aku tahu nak jadi macam ni, aku tak bagi kau kawan dengan dia.”
Fatin ketawa. Dia menolak lembut pipi Ayu yang kemerah-merahan. Tercuit hati fatin mendengar pengakuan ikhlas Ayu.
“Tak ada sebab kau nak rasa bersalah. Kita ni manusia, tak ada siapa pun yang tahu apa akan jadi pada diri masing-masing pada masa akan datang. Betul tak?”
Fatin memeluk bahu Ayu. Sebak di hatinya cuba dibuang jauh-jauh. Bohonglah kalau dia tidak ralat dengan apa yang telah berlaku. Namun dia tidak mahu hanyut dengan rasa kecewa itu. Apa yang penting bagi Fatin sekarang, dia perlu merawat hatinya yang berkecai. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah, melupakan Kamal.

“Ada apa-apa lagi tak yang kau nak beli? Dah dekat dua jam kita berjalan ni. Kaki aku ni dah lenguh!” rungut Fatin.
“Aku rasa semuanya dah lengkap kot. Kau tunggu kejap, aku nak pergi bayar kat kaunter.”
Fatin merayau-rayau di dalam kedai sementara menunggu Ayu melunaskan bayaran. Melihat cenderahati-cenderahati  yang terletak di atas rak, buat Fatin  terleka. Matanya terhenti pada sebuah kotak muzik berbentuk hati. Perlahan-lahan dibukanya kotak berwarna merah tua itu. Sepasang itik yang bercantum di bahagian muncung berpusing-pusing perlahan di sekeliling kotak. Irama yang dialunkan benar-benar meresap di sanubari Fatin.
Tak semena-mena kenangan-kenangan bersama Kamal bermain kembali di ruang mata. Senyuman nakal Kamal semasa di Pulau Tioman kembali menerjah ke ruang ingatan. Fatin mengetap bibir. Dia rindukan lelaki itu. Rindu dengan gurauan dan kata-kata rindu dari Kamal. Sebak mula bertandang. Menggigil bibir Fatin menahan walang di hati. Tak sedar airmatanya menitis membasahi pipi.
‘Abang, kenapa buat Fatin macam ni? Apa salah Fatin? Kenapa abang main-mainkan hati Fatin?’ Fatin bermonolog sendiri .Laju diseka airmata yang sedang mengalir laju tatkala melihat Ayu kembali dengan bungkusan plastik di tangan.

“Dah bayar?” tanya Fatin,cuba menyembunyikan matanya yang merah.
“Dah...jom balik. Eh, apsal mata kau merah? Kau menangis ya?”
Ayu cuba melihat mata Fatin tapi Fatin lebih pantas mengalihkan wajahnya.
“Mana ada. Aku bersinlah tadi. Banyak betul habuk kat kedai tu tadi.” Laju Fatin mereka alasan. Langkahnya sengaja dilajukan mendahului Ayu.

“Oi! Lajunya jalan. Tunggulah aku.” Ayu separuh menjerit.
“Cepatlah! Dah nak Zohor ni.” Fatin menggesa.
Alat kawalan jauh segera ditekan. Ketika  Ayu sibuk memunggah masuk barang-barang ke dalam bonet, Fatin pula dengan segera masuk ke dalam kereta. Bedak kompak yang tersimpan di dalam dashboard diambil. Segera ditepek ke muka untuk menutup kesan pipinya yang sembab. Cermin mata gelap juga dikenakan untuk melindungi matanya yang merah.
Ayu menelek kembali senarai barangan yang telah ditulis. Rasanya semuanya telah lengkap Pulang ke rumah  nanti bolehlah dia memulakan proses menggubah hantaran. Fatin menumpukan perhatian pada pemanduan. Ketika kereta menghala ke jalan utama, telefon bimbit Fatin berbunyi.

“Ayu, tolong jawabkan. Ada polis kat depan tu. Aku lupa pakai handsfree.
Ayu akur dengan permintaan Fatin. Telefon bimbit bertukar tangan. Ayu menjawab panggilan dari Along Faiz. Fatin melepaskan keluhan. Sangkanya panggilan itu adalah dari Kamal. Stereng digenggam kuat. Menahan rasa hati yang semakin tenat.

“Along Faiz kirim Roti Nan Tandoori. Dia malas nak keluar,” ujar Ayu sebaik saja menamatkan perbualan.
“Dah nak sampai rumah baru nak bagitahu.” rungut Fatin.
“Fatin, kau nak pergi kedai mamak yang selalu kita pergi tu kan?” tanya Ayu.
“Ha’ah, kenapa? Kau nak berhenti makan ke?” tanya Fatin.
“Taklah. Kau turunkan aku kat butik mama Abang Hairi, boleh tak? Aku balik dengan abang Hairi aje nanti. Aku baru teringat, mama dia suruh aku cuba baju untuk majlis tu nanti.”
Fatin cuma mengangguk.Tiada masalah baginya untuk memenuhi permintaan Ayu. Sementelah, butik bakal ibu mertuanya terletak berdekatan dengan kedai mamak.  Selepas menurunkan Ayu, Fatin terus ke kedai mamak. Agak ramai juga pengunjung pada waktu itu. Fatin duduk berdekatan dengan kaunter sementara menunggu makanan yang dipesan siap. Diselaknya helaian akhbar untuk membuang waktu.   

“Ika tak peduli! Apa pun yang jadi Mal kena tolong Ika. Mal jangan lupa, kalau arwah ayah tak tolong dulu, Mal tak jadi peguam tau. Tolonglah Mal. Ika cuma ada Mal aje. Mak pun cuma percaya pada Mal sorang.”
Fatin sangat kenal dengan suara manja itu. Dia tidak berani mengalihkan surat khabar yang menghadang pandangannya. Fatin memasang telinga. Dia yakin suara itu adalah suara Zulaikha.

“Ika sayang Mal. Kita memang dah ditakdirkan bersama. Ika tau Ika salah sebab putuskan pertunangan kita dulu. Tapi masa tu Ika belum matang lagi. Ika nak bersama dengan Mal semula. Ika  yakin, keluarga kita pun nak kita bersatu.”
Suara Ika semakin jauh. Dia sudah beredar dari restoran itu. Fatin menurunkan surat khabar yang menghadang pandangan. Menggigil badannya melihat Ika melenggang-lenggok masuk ke dalam kereta. Benarlah  tekaannya  tadi. Fatin mengumpul kekuatan untuk berdiri. Dia berlari keluar dari kedai. Tidak sanggup lagi menunggu di situ. Tersandar  dia di tempat duduk kereta, cuba menyabarkan diri sambil menarik nafas dalam-dalam .

“Sudah Fatin, sudah! Tak guna buang airmata untuk jantan keparat tu! Aku muda lagilah. Masih ramai lelaki yang setia kat luar sana tu. Tak payah ingat pada Kamal lagi! Come on Fatin. Lupakan jantan tu!”
Fatin menjerit di dalam kereta. Memberi semangat pada diri sendiri. Brek tangan diturunkan. Dia pulang ke rumah tanpa makanan yang dipesan oleh Faiz. Apa yang ingin dilakukan sekarang adalah menyendiri di dalam bilik. Dia perlukan masa untuk  bertenang.

“Mana roti nan yang along pesan?” Along Faiz sudah tercegat di pintu utama sebaik saja Fatin mematika  enjin kereta. Sudah lapar benar agaknya. Namun keningnya  berkerut seribu tatkala melihat Fatin pulang dengan tangan kosong.
Sorry along. Fatin sakit perut ni. Tak sempat nak singgah mana-mana. Kalau along nak, pergi beli sendirilah.”
Tanpa rasa bersalah, Fatin tarik tangan Along Faiz dan diletaknya kunci di tapak tangan abangnya. Tangga didaki selaju mungkin. Malas dia nak bersoal jawab dengan sesiapa. Dikuncinya pintu bilik, tidak mahu sesiapa yang mengganggu. Tuala mandi dicapai lalu masuk ke bilik air. Hampir sejam dia menyejukkan badan. Berteleku dibawah pancuran. Macam-macam yang dia fikirkan kala itu.
Dan untuk kesekian kalinya, Fatin menangis semahu-mahunya. Dia tewas dengan janjinya sendiri. Memang sukar untuk dia membuang Kamal dari kotak ingatan. Dia keluar dari bilik air tatkala terdengar telefon bimbitnya bernyanyi-nyanyi pinta diangkat.

‘Nombor siapa ni?’ Fatin menggumam sendiri .
“Hello.”
“Fatin Syuhada ke?” Suara di sana seperti pernah didengar .
“Ya, siapa ni?” Fatin menyoal balas.
“Saya nak jumpa awak di Jusco Parade. Tunggu di Sushi King pukul enam petang ni.”
“Siapa ni?" Fatin meninggikan suara.
“Jangan banyak tanya. Kita jumpa kat sana nanti.”
Talian dimatikan. Fatin mengetap bibir. Pemanggil tadi cuba dihubungi semula. Namun panggilannya  tidak  berjawab.

“Siapa pula yang nak jumpa ni?”
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~

Tepat jam 6 petang Fatin sudah tercongok di depan Sushi King. Perjumpaan dia dan pemanggil  misteri itu  telah diceritakan pada Ayu. Ayu ingin  turut serta tapi Fatin tidak mengizinkan. Dia cuma berpesan, maklumkan  perkara ini pada Along Faiz sekiranya  dia  tidak  pulang ke rumah semula  dalam masa sejam. Mana tahu sekiranya ada perkara buruk yang berlaku padanya.
“Fatin!”
Dia mencari suara yang melaung namanya. Matanya terarah pada lambaian seorang wanita yang berada di dalam Sushi King. Fatin mendengus kecil. Dia kenal perempuan itu. Berat kakinya mengatur langkah ke dalam restoran. Beberapa langkah sebelum sampai ke meja, Fatin ternampak seorang wanita separuh abad yang baru selesai mencuci tangan.

‘Umi? Dia buat apa kat sini? Dia pun nak jumpa Ika ke? Atau... Dia datang dengan Ika? Kamal pun ada sekali ke?’
Bermacam-macam soalan bermain di kepala Fatin tika itu. Namun kaki tetap melangkah  menghampiri  Zulikha.
“Duduklah,” pelawa Ika. Dia senyum sinis melihat wajah Fatin yang terkejut. Fatin bersalam dengan Puan Umairah dan kemudian menghulurkan tangan pada Ika. Hulurannya tidak bersambut. Fatin menarik kerusi di hadapan ibu Kamal.

“Fatin apa khabar?” sapa Puan Umairah.
Fatin tersenyum kelat. Ditentangnya mata redup wanita itu. Ada riak sedih di wajah Puan Umairah.
“Baik umi.” Fatin menjawab sopan. Dia mengalih pandangan pada Ika. “Apahal nak jumpa saya ni Ika?” Dia tidak ingin berlama-lama di situ. Hatinya sakit melihat wajah Ika.
“Tak nak order apa-apa?” Ibu Kamal mencelah sebelum sempat Ika membuka mulut.
“Terima kasih umi. Saya datang bukan nak minum. Saya datang sebab Ika yang nak jumpa saya. Awak nak apa Ika? Tolong  jangan buang masa saya”
Kekuatan untuk menentang mata Ika datang tiba-tiba. Mungkin kerana marahnya yang masih bersisa. Senyum sinis  Ika semakin menyakitkan hati. Mahu saja dia mencekik perempuan gedik itu untuk segera bercakap.

“Mak Lang...Ika rasa baik Mak Lang aje yang bagitau dia.” Ika memegang  lembut bahu ibu Kamal. Matanya sengaja dilirikkan pada Fatin.
“Err, sebenarnya Fatin...umi ada perkara nak beritahu Fatin. Tentang Kamal…”
Puan Umairah meneguk liur. Dia memandang Zulaikha yang sedang meneguk teh Jepun di dalam cawan comel. Meluat  Fatin melihat perlakuannya. Puan Umairah menarik perlahan tangan  Fatin. Ada takungan air di dalam tua itu. Fatin menjongket kening, masih menunggu ayat-ayat  yang bakal keluar dari mulut wanita itu.

“Umi… umi…” Tersekat-sekat Puan Umairah mengeluar kata-kata dari mulutnya.
“Okey,macam ni ajelah. Lambatlah Mak Lang ni,” tegur Ika. Tangan umi Kamal yang  sedang  memegang  jemari  Fatin ditarik  kasar.
“Aku dan Kamal akan berkahwin tak lama lagi.” Ika tersenyum sambil melentukkan kepalanya  ke bahu umi Kamal. Tiada reaksi dari Fatin. Dipandangnya umi Kamal pohon kepastian. Puan Umairah cuba mengelak renungan tajam Fatin.

“Umi dan abah dah bersetuju untuk menyambung semula pertunangan Kamal dan Ika. Umi harap Fatin faham. Diaorang pernah bertunang dulu. Kamal pernah beritahu umi, Fatin belum bersedia nak berumahtangga. Umi ni dah tua Fatin.Umi dah tak sabar nak timang cucu.”

Masih tiada sebarang reaksi dari Fatin. Dua wanita di hadapannya disorot berulang kali dengan pandangan berbalam.
“Kami akan nikah hujung bulan lapan ni. Tunggu ajelah kad jemputannya.” Ika tersengih sambil menaikkan sebelah keningnya,ala-ala Ziana Zain.
Hati Fatin tersalai. Dia perlu beredar dari situ. Dia tidak mahu airmatanya tumpah di hadapan Ika. Fatin tidak mahu Ika mentertawakannya. Dia perlu nampak kuat di depan perempuan gedik itu.

“Itu aje? Kalau dah tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu.” Fatin bingkas bangun dan bersalam dengan umi Kamal.
"Satu lagi!” Ika berdiri, cuba menahan Fatin dari beredar.
"Jangan jumpa Kamal lagi.”
Kata-kata Ika bagai jentolak yang  telah berjaya meruntuhkan empangan air mata Fatin . Pantas dia keluar dari restoran. Dia ingin segera pulang ke rumah. Dari berjalan laju, Fatin berlari  keluar dari pusat membeli-belah. Tanpa disedari, sepasang mata sedang menyaksikan drama swasta yang sedang berlaku.

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.