“Kamal mana?”
Seorang wanita cantik dengan pakaian ranggi tiba-tiba
menerpa masuk ke dalam pejabat. Cuma
Rini dan Fatin sahaja yang ada di dalam pejabat ketika itu. Yang lain sudah
keluar untuk makan tengahari.
“Rini, Kamal mana? Kau pekak ke aku tanya ni?” Melingas
mata gadis itu memandang sekeliling.
“Kamal keluar jumpa klien Cik Zulaikha,” jawab Rini
perlahan.
“Bila dia masuk balik?” tanya Ika.
“Saya tak pasti,” jawab Rini jujur.
“Macam mana pulak kau tak pasti? Kau kan kerja dengan
dia. Makan gaji buta ke korang ni?” jerkah Ika.
“Saya dah tak jaga jadual kerja Encik Kamal lagi.”
Rini membela diri.
“Habis tu siapa yang susun jadual kerja dia sekarang?” Ika
menjerkah lagi.
“Saya.”
Ika memandang Fatin. Cermin mata gelap yang terletak
cantik di atas batang hidung mancungnya ditarik kasar. Meja kerja Fatin
dirapati. Bau minyak wanginya yang terlalu kuat memualkan tekak Fatin. Dia malu sendiri melihat skirt singkat wanita itu.
“Hei, kita pernah jumpa kat rumah Kamal kan? Apa kau buat
kat sini?” tanya Ika.
“Dia pekerja baru kat sini Cik Ika. Dia pembantu Encik
Kamal.” Rini tolong jawabkan untuk Fatin yang masih tergamam.
“Kau diam, aku tak tanya kau. Dia ada mulut kan? Biar dia
yang jawab.” Jari telunjuk Ika tertuding dekat dengan muka Rini.
“Encik Kamal keluar jumpa klien Cik Ika,” jawab Fatin. Matanya
tajam merenung Ika yang memandang sinis padanya.
“Kat mana dia jumpa klien?” Ika menyoal lagi.
“Maaf, saya tak boleh bagitau.” Fatin menjawab dengan
berani.
“Apsal pulak tak boleh bagitau? Aku sepupu dia. Aku berhak
tahu kat mana dia sekarang,” bentak Ika.
“Saya tak boleh dedahkan aktiviti majikan saya pada orang
luar. Kalau nak tahu dia ada kat mana, Cik Ika call dia sendiri.” Puas hati Fatin dapat menyakitkan hati wanita
itu. Setelah beberapa bulan yang lalu, dia sendiri hampir lupa dengan wajah wanita
itu. Kini dia muncul kembali, seakan menggores parut di hati Fatin yang masih basah.
Ika diam. Wajah Fatin dicerlang dengan pandangan
menyinga. Dia betul-betul ingin tahu di mana Kamal berada saat ini. Ada perkara
yang perlu dibincangkan. Tak sangka pula boleh bersua dengan Fatin di sini.
Jengkel hatinya bila teringat layanan
Kamal yang ‘beku’ ketika Fatin bertamu ke rumah lelaki
itu satu masa dulu.
“Eh budak, kau jangan berlagak sangat dengan aku ya. Kau
tak layak dengan Kamal tu, tahu tak?” Zulaikha menunjal lembut kepala Fatin.
“Apa maksud Cik Ika?” tanya Fatin. Menggigil badannya
menahan marah. Mahu saja dia melempang pipi Ika yang tebal dengan pemerah pipi
itu.
“Cermin sikit diri tu. Layak ke kau jadi bini dia? Sekolah
pun tak habis lagi, berangan nak jadi bini peguam,” perli Zulaikha. Senyum
mengejek terpamer di wajahnya. Cermin mata yang berada di tangan di letakkan
semula di atas batang hidung.
“Kalau Kamal masuk nanti, bagitahu dia bakal bini dia
cari. Ingat betul-betul, bakal BINI okey!” Zulaikha melangkah keluar. Pintu
pejabat dihempas kuat. Fatin dan Rini menarik nafas lega. Namun kata-kata terakhir
yang diucapkan oleh Zulaikha tadi masih terngiang-ngiang di telinga Fatin.
“Kau jangan ambil serius sangat apa yang dia cakap tadi
Fatin. Aku dah lama kenal dia. Dia memang suka merapu.” Rini cuba menenangkan
Fatin.
Fatin tersenyum kelat. Dia kembali menyambung
kerja-kerjanya yang terhenti. Tapi tumpuannya agak terganggu. Mungkin dia masih
dalam keadaan terkejut. Fatin bangun, ingin menyegarkan muka.
“Rini, kau jangan bagitau Kamal pasal ni ya. Nanti dia
risau. Biar dia tahu sendiri dari Ika.” Sempat lagi Fatin menitip pesan.
Rini mengangguk faham. Walaupun Fatin nampak tenang, dalam
hatinya ada luka yang tercalar. Luka yang hampir menyiat dinding hatinya. Dalam diam dia
berdoa agar apa yang diperkatakan oleh Zulaikha tadi tak menjadi kenyataan.
Kejadian Zulaikha menyerang Fatin terus dirahsiakan dari
pengetahuan Kamal. Mungkin Zulaikha tidak mencari Kamal selepas dia
menghamun Fatin di pejabat tempoh hari. Kamal juga tidak bertanyakan apa-apa
mengenai perihal gadis itu sama ada pada Rini atau Fatin sendiri. Semakin hari
luka di hati Fatin semakin pulih. Perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan
oleh Kamal nyata tidak berbelah bagi. Fatin yakin cinta Kamal hanya untuk
dirinya.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
“Abang,
besok keputusan STPM keluar. Nak temankan Fatin pergi ambil result tak?”
Fatin
mempelawa Kamal dengan harapan buah hatinya akan menghantarnya ke sekolah esok.
Bukan tidak boleh pergi sendiri. Dia mahu berkongsi saat-saat penting itu
bersama Kamal.
“Alamak sayang, pagi ni abang kena pergi mahkamah. Ambil
result petang boleh tak?”
“Tak apalah, Fatin pergi dengan Ayu. Itu pun kalau Abang
Hairi tak hantar dia. Kalau tak, Fatin pergi dengan mama aje.” Suaranya
kedengaran merajuk.
“Ambil petanglah sayang. Abang temankan Fatin lepas
selesai perbicaraan nanti.” Kamal cuba memujuk. Dia tahu Fatin sudah berjauh
hati.
“Ala...kalau ambil result petang, dah ramai kawan-kawan yang tak ada kat sekolah.
Fatin nak jumpa kawan-kawan...” rengek Fatin.
Kamal terdiam. Kalau ikutkan hati mahu saja dia
ponteng kerja esok. Tetapi urusan di mahkamah tidak boleh ditunda sesuka hati.
Apalagi modal yang dia ada untuk memujuk
Fatin?
"Tak apalah abang, Fatin faham. Nanti Fatin
ajak mama temankan..." Nadanya mendatar sahaja.
"Fatin marah abang ya?" Kamal menduga. Dia
tahu, Fatin bukanlah gadis yang suka bergantung pada orang lain. Tapi jika
datang angin manjanya, pening juga Kamal dibuatnya.
"Taklah, Fatin okey." Dipandangnya Kamal
sekilas. Fatin tersenyum kelat. Kamal hanya menghantar Fatin hingga depan pintu
pagar. Tidak menyinggah seperti selalu. Penat katanya.
“Abang tunggu good
news dari Fatin besok, ya. Good luck
sayan,” ucap Kamal.
Pagi
esoknya…
“Fatin! Aku tumpang kau pergi sekolah boleh tak?
Abang Hairi pergi Kuala Lumpur,” laung Ayu.
Fatin yang sedang mengundur kereta berhenti
sebentar. Pintu kereta dibukakan untuk
Ayu. “Sejak bila pula main minta-minta izin nak tumpang aku ni? Menyampah
pulak aku.”
Ayu cuma tersengih. Pintu kereta ditutup. Fatin
memulakan perjalanan ke sekolah dengan lafaz Basmallah.
“Mama pun tak dapat temankan aku pergi ambil result. Ada meeting pulak pagi ni. Abang Kamal ada court case. So... kita
pergi berdua ajelah. Lagipun dah lama tak beronggeng dengan kau.”
Ayu menyeringai.Tapi riak wajahnya tiba-tiba berubah
risau. “Aku takutlah Fatin. Kau tak rasa apa-apa ke?” Kedua-dua tapak tangannya
digosok seperti orang dalam kesejukkan.
“Adalah sikit-sikit. Tapi nak buat macam mana.
Harap-harap berbaloilah dengan usaha keras kita selama ini kan?” Fatin menjawab
perlahan. Perhatiannya lebih tertumpu di jalanraya.
“Kejap aje masa berlalu kan, Fatin. Lepas ni aku
sibuk dengan majlis bertunang pulak,” ujar Ayu perlahan.
“Aik, mengeluh nampak. Dah berubah hati ke?” usik
Fatin. Pehanya menjadi sasaran tamparan tangan debab Fatin.
“Bila masa pulak aku berubah hati? Aku macam tak
percaya aje, tak lama lagi dah nak jadi tunang orang.”
Fatin tersenyum lebar mendengar omelan Ayu. “Tak
percaya ke dah tak sabar? Kalau lepas ni kau tak sambung belajar pun, aku rasa
kau masih boleh hidup senang. Abang Hairi tu kan dah ada kerja tetap. Peguam
pulak tu. Nak risau apa lagi?”
“Amboi, pandai kau ceramahkan aku. Kau tu pun apa
kurangnya. Kalau malas sambung belajar pun kau masih boleh kerja dengan papa.
Keluar ada bisnes besar, boyfriend peguam. Apa lagi yang kurang?” Giliran Ayu
pula mengusik.
“Aku tak nak
kerja dengan papa. Aku nak jadi cikgu. Sebab tu aku harap sangat dapat
keputusan yang baik. Aku nak masuk maktab. Dan sebab tu jugalah aku tak nak
terikat dengan Abang Kamal.”
Perbualan terhenti. Mereka tiba di sekolah. Sudah
ramai rakan-rakan sebaya yang dah berada di dalam dewan sekolah. Berbagai-bagai
riak wajah terpampang di depan mereka. Fatin dan Ayu berpandangan. Debaran mula
terasa. Langkah dipercepatkan. Masuk sahaja ke dalam dewan, mereka berdua
terdengar seeorang memanggil nama mereka berdua.
“Kenapa Cikgu Shazatul panggil kita Ayu?” tanya
Fatin.
“Manalah aku tahu. Apa kat tangan dia tu?” Mengecil
bola mata Ayu melihat Cikgu Shazatul melambai-lambai pada mereka. Terkibar-kibar
kertas yang sedang dipegang. Mereka melajukan langkah. Beberapa langkah sebelum
sampai pada Cikgu Shazatul, bekas guru kelas mereka itu sudah mendepangkan
tangan. Bersedia untuk memeluk Fatin dan Ayu.
“Kenapa lambat sampai? Awak berdua apa khabar?”
tanya Cikgu Shazatul. Sempat lagi dia bertanya khabar walaupun mata Fatin dan
Ayu sudah tetancap pada kertas di tangan Cikgu Shazatul.
“Kami
baik-baik saja cikgu. Err...” Fatin teragak-agak nak bertanya mengenai kertas putih
yang dipegang Cikgu Shazatul. Ayu
pula mencuitnya berulang kali. Ternyata
kertas itu lebih mendapat perhatian
mereka berdua.
“Dah tau keputusan?” tanya Cikgu Shazatul.
Mereka berdua menggeleng. Cikgu Shazatul tersenyum
lebar. Perlahan-lahan dia menghulurkan kertas yang dipegang. Senyumnya masih
tidak lekang, menanti reaksi Fatin dan Ayu pula.
“Aaa!!!” Ayu menjerit keriangan. Dia menekup mulut, menyedari
lepas lakunya. Wajah Cikgu Shazatul dan Fatin dipandang silih berganti. Ditariknya
kertas yang dipegang oleh Fatin kerana sahabat baiknya itu tiba-tiba mematung.
“Wow! Flying
colours!”
Ayu menggoncang-goncang bahu Fatin. Mengembalikan
Fatin ke alam realiti. Mereka berdua berpelukan. Airmata masing-masing
menzahirkan kegembiraan mereka kala itu. Keputusan STPM mereka berdua adalah
antara yang terbaik di kalangan calon-calon STPM yang lain. Fatin dan Ayu dikerumuni
rakan-rakan yang ingin berkongsi kegembiraan dengan mereka. Tak putus-putus
ucapan tahniah diucapkan antara satu sama lain.
"Tahniah Fatin..."
Fatin menoleh
ke belakang. Agak terperanjat melihat gadis yang sedang berdiri di depannya. Tapi
tangannya tetap menggenggam tangan gadis itu.
"Terima kasih Lina," balas Fatin perlahan.
Lina juga menghulurkan tangan pada Ayu yang
merenungnya dengan rasa jengkel.
"Macam mana keputusan kau Lina?" tanya
Fatin.
"Biasa-biasa aje. Aku tak sepandai kau berdua,"
jawab Lina.
Fatin mengangguk perlahan. Tiba-tiba dia menjadi
kekok berhadapan dengan kawan lamanya itu. Dikerlingnya tangan Lina. Slip
peperiksaan yang bergulung disimpan ke dalam beg. Fatin dan Ayu berpandangan.
Masing-masing hilang modal untuk merancakkan perbualan. Lina juga hanya diam
merenung mereka berdua.
"Kau buat apa sekarang?" tanya Ayu sekadar
berbasa basi.
"Aku dah kahwin." Lina tersenyum lebar.
Terbeliak mata Ayu dan Fatin. Ayu lebih lagi terkejutnya.
Anak matanya terus terarah ke jemari Lina. Betul, masih merah lagi
kuku-kuku bekas teman sekelasnya itu.
"Bila?” tanya Fatin pula.
"Bulan lepas, dengan doktor." Lina
tersenyum lebar. Ada riak sombong di wajahnya.
"Pergh! Doktor tu! Tahniah Lina. Kalau macam
tu, tak payahlah susah-susah nak sambung belajar lagi. Suami dah kerja
bagus!" ujar Ayu.
Dia
menepuk-nepuk bahu Lina. Gadis itu hanya tersenyum. Matanya menyorot
Fatin yang sedang menghubungi seseorang. "Kau sekarang macam mana
Fatin?"
"Dia masih setia pada yang satu, kau ingat lagi
tak?" Ayu menjawab bagi pihak Fatin. Fatin hanya senyum sambil berbual di
telefon.
"Masih dengan Kamal? Kawan Cikgu Shahrul."
Lina menyoal kembali. Ada ombak cemburu sedang bergelora di hatinya. Dia
mengetap bibir apabila melihat Ayu mengangguk laju.
‘Panjang lagi jodoh diaorang rupanya.’ Getus Lina
dalam hati.
"Eh! Sebut pasal Cikgu Shahrul, kau ada nampak
dia tak?” Melingas mata Ayu memerhati
persekitaran sekolah yangbaru sahaja beberapa bulan ditinggalkan.
“Aku dengar dia sambung belajar buat Master.” Lina
menjawab, tapi matanya mengerling Fatin yang masih sibuk dengan telefon
bimbitnya. Penampilan Fatin yang ringkas tapi nampak elegan membuatkan Lina
berasa dirinya terlalu kerdil. Memang dari dulu dia sering kalah dengan Fatin.
“Okeylah Lina, kami berdua gerak dululah. Ada rezeki
kita jumpa lagi ya," kata Ayu. Laju tangannya menggenggam tangan Lina. Fatin
sekadar menganggukkan kepala. Dia sedang berbual dengan mama di talian. Lina
memandang Fatin dan Ayu sehingga mereka hilang dari pandangan. De
“Huh! Berkawan? Sedangkan yang kahwin pun boleh
bercerai, ini sekadar kawan? Kau tunggulah Fatin...Kamal tetap akan jadi milik
aku,” omel Lina sendirian.
Nadanya kedengaran perlahan tapi tonasinya agak
keras. Lina mengenggam jemarinya seerat mungkin. Dendamnya pada Fatin tidak
pernah luntur. Seutuh cintanya pada
Kamal. Walaupun sudah berkahwin, hatinya masih disimpan untuk Kamal.
~
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
“Kau dah call abang Kamal?” tanya Ayu.
“Dah, tapi handphone
dia tutup,” jawab Fatin sambil menghidupkan enjin kereta.
“Kau pergilah rumah dia. Tunggu dia kat sana, boleh
kau bagitau pada bakal mak mertua kau sekali.” Ayu membuat cadangan.
“Tak naklah! Malu.” Fatin tersengih nakal. Sejak
pertemuannya dengan Ika di rumah Kamal
beberapa bulan yang lepas, dia tidak pernah lagi pergi ke rumah itu. Lagipun
menurut papanya tidak elok anak dara sering ke rumah orang bujang.
“Alah, kau bukan pergi sorang. Kau kan pergi dengan
aku. Kalau tak jumpa Kamal pun kau boleh bagitau kat ibunya pasal result kau,” pujuk Ayu lagi.
Akhirnya Fatin termakan juga pujukan Ayu. Kereta
menghala ke rumah Kamal. Fatin juga tidak sabar ingin menyampaikan khabar
gembira itu pada bakal mertuanya.
"Tak sangka Lina dah kahwin, kan Ayu?"
Fatin mengajak Ayu berbual.
"Hmm, aku fikir aku yang gatal.Rupa-rupanya ada
lagi yang lebih gatal dari aku." Ayu ketawa mengekek.
"Tak baiklah cakap macam tu. Dah jodoh..."
Fatin menegur.
Dia
meneruskan pemanduannya sementara Ayu menjawab panggilan telefon dari Hairi. Lima
belas minit kemudian, mereka sudah berada di depan rumah Kamal. Kelihatan
sebuah kereta turut berada di situ. Fatin pandang sekilas. Setelah gagal mengecam siapakah tuan
punya kereta, Fatin menghampiri pintu pagar.
“Assalamualaikum”.
Sudah kali
ketiga Fatin dan Ayu memberi salam. Masih tiada jawapan.
“Tak ada orang kot?” kata Fatin.
“Tapi pintu rumah dia terbuka. Cuba kau tengok pintu
kecil tu. Kunci tak? Lagipun kereta siapa pulak kat depan rumah dia ni?"
Mata Fatin terarah pada kereta berwarna merah yang
diletakkan di hadapan pintu pagar rumah Kamal. Sekali lagi kereta itu gagal
menarik minatnya. Ayu cuba menolak pintu kecil di sebelah pintu pagar utama.
“Eh, tak kuncilah!” Ayu sudah melangkah masuk. Fatin
mengikut Ayu sambil meninjau-ninjau sekeliling rumah. Setahu Fatin, Puan
Umairah tidak bekerja. Sepanjang masa dia sentiasa berada di rumah. Tapi mengapa
salam mereka tidak berjawab?
Halaman rumah itu masih sama keadaannya sewaktu
pertama kali Fatin menjejakkan kaki ke
situ. Sorotan matanya terhenti di bahagian garaj yang terletak di tepi rumah
teres setingkat itu. Kereta Kamal? Dia melihat jam di tangan, pukul 12.30.
‘Dia balik makan tengahari kot...’ Fatin meneka-neka
sendiri.
Dia terus menuju ke pintu masuk utama yang terbuka.
Jantungnya mula bergendang laju. Sepasang kasut bertumit tinggi dan kasut
lelaki terdampar di depan pintu masuk. Dia mula memikirkan sesuatu yang tidak
enak sedang berlaku di dalam rumah itu.
“Assalamualaikum...” Ayu memberi salam. Kakinya
terus melangkah masuk ke dalam rumah. Fatin tidak sempat menghalang. Tiba-tiba
langkahnya terhenti. Dia sedang pegun melihat sesuatu. Fatin menyorotkan
pandangan ke arah yang menyebabkan rakan baiknya itu kekagetan.
“Fatin!”
Kamal
terkejut dengan kehadiran Fatin dan Ayu di situ. Ika yang berada di
dalam dakapannya ditolak kuat hingga
tersandar ke sofa. Mata Ika nampak bengkak. Mungkin dia baru lepas menangis. Haba
panas menyimbah ke muka Fatin. Terlepas kunci kereta yang dipegangnya. Kamal
segera bangun mendapatkan Fatin dan Ayu yang masih tercegat di situ.
“Fatin, dengar dulu penjelasan abang...”
“Sampai hati kau buat kawan aku macam ni!”
Ayu lebih pantas melepaskan amarahnya. Dia
menghadang Kamal dari menghampiri Fatin yang berdiri di belakangnya.
Pang!
Satu tamparan
singgah di pipi Kamal. Fatin cuma memandang pipi Kamal yang berbekas
tapak tangan montel Ayu. Matanya berkaca-kaca. Kamal memegang pipinya yang
kebas.
“Sabar Ayu. Fatin, biar abang terangkan...” rayu
Kamal.
Dia tidak berjaya
merapati Fatin kerana dihadang oleh badan besar Ayu. Mata Fatin sudah mula
kabur akibat menahan takungan air mata yang menunggu masa untuk melimpah.
“Weh! Kau tak payahlah buat dialog cerekarama. Dasar
buaya! Menyesal aku kenalkan kau dengan kawan aku. Jom balik Fatin, tak payah
layan jantan kabaret macam ni!”
Ayu menarik tangan Fatin keluar dari rumah Kamal. Kamal tergesa-gesa menuruti mereka berdua.
“Mal ...” Suara lirih Ika mematikan langkah
Kamal.
Fatin dan Ayu sudah berlari keluar menuju ke kereta. Ayu menolak Fatin masuk ke tempat
duduk sebelah pemandu.
“Biar aku drive,”
kata Ayu.
Ketika dia sedang menghidupkan enjin kereta, Kamal
meluru keluar dari pintu pagar. Dia mengetuk-ngetuk tingkap kereta.
“Fatin, tunggu dulu! Jangan macam ni Fatin. Dengar
abang cakap dulu!” jerit Kamal.
Fatin menekup kedua belah telinga. Suara Kamal dan
ketukan tingkap membingitkan telinga.
“Jalan Ayu!” Fatin menjerit. Dan kereta meluncur
laju meninggalkan Kamal yang berkaki ayam.
No comments :
Post a Comment