Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 07, 2014

APA DAH JADI? BAB 1


             Kringgg!!!
            Aku tekup telinga dengan bantal. Mata masih belum puas beradu. Jam di atas meja belum berhenti berbunyi, telefon pula bernyanyi-nyanyi nyaring mengejutkan aku. Adoi! Menyesal pula aku kunci jam malam tadi. Dua nada bergabung menjadi satu nada yang cukup menyemakkan telinga.
            “Johaimi! Ooo Johaimi!
            Alahai! Mak pula bergendang pintu. Kalau dah macam ni gayanya memang jangan haraplah aku nak sambung tidur.
            “Johaimi!”
            “Ya! Mie dah bangun ni...” Badan dan tegak, tapi mata  masih tertutup. Susah betul mata ni nak celik. Inilah padahnya kalau ‘bergayut’ sampai lewat malam. Aku menung sekejap. Pandang dinding yang terhias bingkai surah-surah empat  ‘Qul’. Tapi lama-kelamaan pandangan menjadi berbalam-balam dan aku terlelap semula.
            “Mie!”
            Gedebuk!
            Adoi! Sakitnya punggung aku. Tak sempat nak menggosok punggung yang sakit, aku  cepat-cepat bangun dan buka pintu bilik. Selagi mak tak tengok muka aku, selagi itulah mulut dia tak penat-penat menjerit di luar. Buntang terus mata bila ternampak gayung air di tangan mak. Sebelah tangan yang mengetuk pintu tadi dah bersedia dengan kunci bilik. Satu badan dah berserkup dengan telekung.
            “Subuh dah nak habis ni...”
            “Mie tahu...”
            Aku menguap panjang. Sebelum masuk semula ke bilik mengambil tuala, mak hadiahkan aku dengan satu lepukan di bahu. Begitulah dia setiap pagi. Nampak macam garang, tapi dia sayang aku. Macam mana aku tahu? Aku tahulah. Sebab setiap pagi dia akan tunggu aku untuk Subuh berjemaah. Kalau dia tak sayang, baik dia biarkan aku bergulung saja dalam selimut. Betul tak?
            “Cepat sikit Mie! Mak nak siapkan sarapan adik ni...”
            Malas aku nak menjawab. Air pancut aku buka. Sambil membasahkan kepala, aku berus gigi. Kemudian bersyampu, gosok terus satu badan dengan buih syampu yang banyak di kepala. Jimat masa. Selesai membilas syampu di badan, aku terus ambil wuduk. Beres semua urusan mandi dalam masa tak sampai pun lima minit. Cepat tak?
            “Cepatlah Abang Mie...”
            Zarith pula menggesa. Dia ni pun dah klon perangai mak. Tak padan dengan kecik. Aku capai kain pelikat dan kilas sampai atas dada. Lepas tu berdiri di tikar sejadah.
            “Mana baju?” tanya mak.
            “Tak apa... Bukannya  nampak pusat.” Aku dah bersedia nak angkat takbir.
            “Kalau pergi dating pandai pula pakai lawa-lawa...”
            Merah muka sekejap kena perli dengan mak. Nak menjawab ke tak? Hmm...baik tak payah. Subuh dah nak habis ni. Selesaikan yang wajib dulu. Lima minit kemudian, selesai pun solat Subuh. Hari ini aku baca doa yang ringkas saja sebab terlewat  bangun. Mak terus berkejar ke dapur selepas aku cium tangan dia.
            “Abang Mie, mak suruh minta duit belanja kat abang.”
            “Kejap...”
            Aku tinggalkan Zarith yang sedang mengemas sejadah-sejadah di bilik sembahyang. Dalam kepala tengah mengira hari. Jauh lagi nak gaji ni. Masuk bilik, aku seluk dompet dalam  poket seluar. Nipis semacam aje. Bila buka, ada dua helai not warna merah dan sehelai not lima puluh ringgit. Aduh! Cukup ke nak sampai hujung bulan?
            Terduduk sekejap atas katil. Mata terpandang tabung yang aku buat dari bekas Mister Potato. Laju kepala menggeleng. Tidak! Apa pun terjadi aku takkan guna duit dalam bekas tu. Duit tu untuk masa-masa kecemasan  saja. Buat masa ni, guna sajalah duit yang ada tu dulu. Mana tahu kalau-kalau  ramai pula yang beli burger malam ni. Bolehlah aku top up lagi duit  dalam tabung tu.
            “Abang Mie... Adik nak sepuluh ringgit tau.” Zarith muncul di pintu bilik. Dah siap bertudung dan berstokin. Mungkin dah siap bersarapan juga.
            “Banyaknya. Nak buat apa bawa duit banyak-banyak?”
            “Adik nak beli buku. Hari ni ada salesman datang sekolah, jual buku-buku rujukan dan  buku cerita.”
            Aku telan air liur. Memang lemah sikit kalau dia cakap bab buku. Kalau dia kata nak beli jajan, memang jangan haraplah aku nak bagi. Tapi sebab buku, aku relakan saja duit merah aku melayang sehelai ke tangan dia. Yalah, aku cari duit pun untuk siapa kalau bukan untuk mak dan  Zarith. Cuma mereka berdua saja yang aku ada sekarang.
            “Jangan beli yang bukan-bukan. Balik nanti tunjuk kat Abang Mie buku apa yang kau beli, faham?”
            “Okey bos! Terima kasih...saaayang dia.”
            Zarith cium pipi aku. Bernyanyi-nyanyi dia keluar rumah menyarung kasut. Aku,cuma mampu senyum kelat. Bilik aku kemas ala kadar saja sebelum aku pula bersiap nak ke tempat  kerja. Terpandang pula telefon di atas bantal. Ya Allah! Aku lupa nak call dia.
            Laju tangan mendail nombor Durani. Harap-harap dia belum masuk ke kelas lagi. Macam mana boleh terlupa perkara rutin yang satu ni? Adoi! Minta-minta dia tak merajuk. Penat tau nak pujuk buah hati yang suka merajuk ni.
            Baru sekali berbunyi, panggilan dah berjawab.
            “Joe... Maaf, Dura tak sempat nak kejut awal hari ni. Dura terbangun lambat.”
            Mulut dah tersengih lebar. Lega hati bila dengar buah hati minta maaf. Ingatkan aku yang lewat bangun. Dia pun sama juga.
            “Dura dah sampai sekolah ke?”
            “Belum. Baru nak pakai tudung.”
            “Aik, ini betul-betul punya lewat ni. Sempat  Subuh tak?”
            “Errr... cuti...”
            Aku tekup mulut. Dapat bayangkan muka Dura yang kemerahan menahan malu. Aku pandang kalendar di atas meja. Patutlah dua tiga hari ni asyik nak merajuk dan naik angin. ‘Bendera merah’ dah berkibar rupanya.
            “Dura pergilah bersiap. Nanti kita jumpa kat tempat biasa, ya.”
            “Okey... Sorry again...
            “Okey sayang. Joe tak marah pun. Kita jumpa nanti, ya.”
            Selesai ‘bergayut’ sekejap. Sempat lagi aku usap gambar Durani di atas meja kecil di tepi katil. Dah enam tahun berkawan, cuma gambar dia masa zaman sekolah saja yang aku ada. Dia bukan minah selfie. Aku pula jenis berat mulut nak meminta-minta. Gambar yang aku ada ini pun ehsan dari Durani. Tapi dalam  handphone memang ada gambar dia yang aku simpan. Bohonglah kalau tak ada, kan?
            “Kau kerja pagi ke petang hari ni Mie?”
            Mak pula posing cantik di depan pintu. Dihulurnya baju kerja aku yang dah siap bergosok. Cepat-cepat aku letak gambar Durani di tempat asal dan capai baju kerja di tangan mak.
            “Mie kerja pagi. Hari ni mak jemput adik kat sekolah, ya. Mie ada hal sikit petang ni.”
            “Eleh! Cakap ajelah kau nak pergi dating dengan anak Pak Zahar tu. Selama ni pun memang mak yang jemput adik kau, kan?”
            Dengan mak, memang tak boleh kalah. Dia tahu saja setiap gerak-geri aku. Walaupun dia suka membebel, tapi itulah hiburan telinga aku kalau hati sedang gundah. Dialah mak, dialah penasihat peribadi yang terbaik. Semua kisah cinta aku dan Durani tak pernah kurang dari ‘kocek’nya.
            “Sampai bila nak usung anak dara orang ke hulur ke hilir ni Mie?”
            Aku tak ada jawapan untuk soalan mak. Selesai bersikat, aku keluar dari bilik dan terus ke dapur. Mak ikut sekali. Dia  pasti akan terus menyoal aku dengan soalan yang sama. Takkan puas hatinya selagi aku tak berikan jawapan yang pasti.
            “Petang ni mak keluarkan dulu daging-daging burger dalam peti sejuk, ya. Kalau Mie lambat balik, mak bagi aje kat Mazli.” Aku cuba alihkan perhatian mak. Tak nak dia mengulang semula soalan tadi.
            “Ramai ke orang beli burger kat gerai tu? Mak tengok hasilnya tak seberapa pun.”
            “Eh, ramai juga mak. Kalau ada orang gunakan balairaya, lagi ramai yang beli.”
            “Huh! Ramai manalah  orang yang gunakan balairaya tu Mie? Dapat hasilnya, kena bahagi tiga. Banyak mana aje kau dapat?”
            “Dapatlah juga tu mak daripada tak ada langsung...”
            “Hmm, kalau macam tu gayanya memang lambat lagilah kau nak dapat Durani...”
            Tak jadi aku mencedok bihun goreng ke pinggan. Terbantut terus selera aku bila mak cakap macam tu. Kalau orang lain yang cakap, bolehlah aku abaikan saja. Tapi kalau dengan mak, aku anggap apa yang dia cakap tu satu doa. Takkanlah dia tak tahu aku sedang berusaha mengumpul duit? Durani pasti jadi milik aku satu hari nanti.
            Pinggan makan aku tolak ke tengah meja. “Merajuklah tu...” Mak menjuih bibir.
            “Mak cakap benda yang betul ni Mie. Tak nak ke cuba-cuba apply kerja yang elok sikit?”
            “Kerja yang Mie buat sekarang ni tak elok ke mak?” Tersinggung betul bila mak cakap macam tu. Walaupun kerja yang aku buat sekarang taklah sehebat kerja Durani, sekurang-kurang gaji aku masih mampu menampung mak dan Zarith. Tambah lagi dengan pencen arwah ayah. Mak dan Zarith tak pernah pula aku biarkan tak berganti baju setiap bulan.
            “Mak bukan cakap kerja yang kau buat sekarang ni tak elok. Tapi, kalau boleh kau carilah kerja lain yang lebih sesuai dengan kelulusan kau.” Mak nak meletakkan bihun di dalam pinggan. Tapi aku tahan tangannya. Sumpah, memang dah tak ada selera nak menelan makanan. Aku cuma habiskan air nescafe yang sudah suam di dalam cawan.
            “Berapa kali Mie nak cakap. Mie dah cuba, tapi semuanya belum berjawab. Dahlah mak. Mie dah lambat ni...”
            Aku salam tangan dan cium pipi mak. Walaupun berkecil hati, tapi dia tetap mak. Tak berkat rezeki yang aku dapat kalau aku pula yang buat dia tersinggung. Dia hantar aku sampai ke luar. Dia hulur helmet yang aku letak di kaki tangga. Mak pandang dan senyum.
            “Bilalah nak merasa pakai kereta ya Mie?”
            “Nanti Mie pergi sewa kereta Pak Zahar. Hujung minggu ni kita pergi jalan-jalan kat pekan, nak?”
            “Mak tak nak naik kereta orang. Mak nak kereta kau.”
            “Ala... Naik motor kan best! Boleh peluk-peluk!”
            Aku gelak melambak. Mak pun sama. Dah banyak kali dengar dia mengulang permintaan yang sama. Nantilah mak. Ada rezeki nanti, pasti Mie akan beli kereta sendiri. Aku pecut motor ke tempat  kerja. Ada lima belas minit lagi sebelum waktu kerja bermula. Lepas punch card, aku beli roti, tujuh puluh sen sebungkus. Aku beli dua. Cukuplah untuk alas perut sepanjang pagi ni.
            “Uik, hari ni tak sempat breakfast dengan buah hati ke?” Zara, budak kaunter yang sama shif kerjanya dengan aku pagi ini menegur. Budak ni kepoh sikit. Bukan boleh dilayan sangat. Sama sekolah juga dengan aku dulu. Tapi berlainan kelas.
            “Diet.” Aku jawab sepatah dan terus keluar. Tak payah nak ramah sangat. Takut dia syok kat aku pula nanti. Maklumlah, muka handsome sikit dari Azlee Khairi. Wah! Perasan sendiri. Eh, bukan perasan sendirilah. Durani yang cakap macam tu.
            “Mie... tank lapan kosong.”
            Suara Zara dari kaunter di dalam Mart kedengaran. Aku lajukan langkah ke tempat yang dimaksudkan. Sebelum aku layan customer, apa-apahal kena senyum dulu. Itulah polisi yang paling penting. Mujurlah pakcik tua yang nak isi minyak. Tauke stesen minyak ni pun satu. Tempat lain dah buat servis layan diri. Tapi dia tetap nak manjakan customer. Eh, tapi bagus juga. Kalau dia buat servis layan diri, aku nak kerja kat mana?
            Dah dekat setahun aku bekerja di stesen minyak ni. Aku paling suka kerja shif pagi. Walaupun sibuk sikit, tapi aku suka. Sebab malamnya aku boleh buat kerja part time. Dan perkara yang paling aku suka sebenarnya adalah, dapat dating hari-hari dengan Durani. Waktu kerja aku berakhir sama dengan waktu Durani keluar dari sekolah. Malamnya pula dia mengajar tiusyen di balai raya. Sekali lagi rezeki aku nak jumpa dia.
            Tin!!!
            Aku kenal bunyi hon tu. Sekali berpaling, terus hilang segala penat bekerja seharian. Aku tengok jam di tangan sebelum berjalan ke arah tangki nombor empat. Laa... Dah habis waktu  kerja. Macam mana aku boleh tak perasan? Cepat betul masa berlalu hari ini.
            “Joe kena overtime ke hari ni?” tanya Durani sebaik saja tingkap kereta diturunkan.
            “Taklah. Tak perasan waktu kerja dah habis. Dura tunggu kat kedai biasa, ya. Joe nak punch card sekejap.”
            “Tolong isikan minyak kereta, boleh?” Durani hulur dua puluh ringgit. Begitulah kebiasaannya. Kalau awal bulan, aku dengan rela hati bayarkan duit minyak. Tapi sekarang tengah-tengah bulan. Makan buburlah mak dan Zarith di rumah kalau aku terlalu bermurah hati. Durani tak kisah pun. Kadang-kadang aku pinjam duit dia. Nanti cukup bulan aku bayar balik. Sebab itulah aku sayang Durani. Dia tak lokek dan faham perangai aku.
            Selesai isi minyak, Durani bergerak ke gerai bersebelahan stesen minyak. Port biasa tempat kami selalu dating. Aku berjalan kaki saja ke kedai yang sama selepas aku selesai buat  acara serah-menyerah tugas dengan pekerja shif petang.
            “Eh, dah siap airnya?”
            Aku sedut sampai separuh gelas sirap limau yang sudah sedia ada di atas meja. Durani cuma pandang dan senyum. Tak lama kemudian, makanan pula sampai. Set asam pedas dengan  nasi putih dua pinggan.
            “Awak ni memang dah boleh sangat jadi isteri saya tau...” Aku ambil sudu yang dihulur Durani.
            “Kenapa?”  Dia bertanya. Eleh! Buat-buat tak faham. Tapi senyum dah lebar sampai telinga.
            “Awak dah faham perangai saya. Apa yang saya suka minum, makan, pakai... semua awak dah tahu.” Aku mulakan suapan. Sebelum tu aku baca doa makan, Durani aminkan. Eee... macam dah betul jadi suami isteri. Indah betul rasanya.
            “Joe pun sama juga. Dah masak dengan perangai Dura. Jadi... apa kata kalau  Joe masuk meminang.”
            “Adoi!”
            Kunyahan terhenti. Garfu tergores di lelangit. Aku diam sekejap. Cuba redakan sakit dengan menyedut sirap limau. Pedih!
            “Hmm... baru suruh masuh meminang dah nak telan garfu ke?”
            Aku gelak. Dia pun gelak juga. Tapi aku gelak bersama sedikit rasa sebal di dalam hati. Kenapa aku rasa macam Durani sedang menyindir aku? Dia macam tak faham pula kedudukan kewangan aku sekarang. Mana mungkin aku meminang dia buat masa ni.
            “Dura tak malu ke jadi tunangan budak pam minyak? Awak tu cikgu...”
            “Eh, kerja tu halal ke haram? Halal kan? Jadi apa masalahnya pulak?”
            “Memanglah tak ada masalah. Tapi...”
            “Tapi apa?”
            Dia dah letakkan sudu dan garfu di tepi pinggan. Aku cuba berlagak macam biasa. Apa-apa hal kena habiskan makan dulu. Sedap betul asam pedas ni.
            “Joe ni suka sangat merendah diri. Dura tak sukalah! Berapa kali Dura nak cakap? Dura tak kisah semua tu...”
            “Dura tak kisah. Tapi Joe kisah...”
            Masih lagi dengan suara bersahaja. Padahal kaki dah bergoyang-goyang di bawah meja sambil menahan bengang. Aku sayang dia. Ikutkan hati mahu saja aku rompak bank. Lepas tu buat majlis kahwin yang kebaboom untuk Durani. Tak payah tunang-tunang. Nikah terus. Tapi, berkat ke aku buat macam tu? Itu kerja gila namanya.
            “Okey, leave it. Tak nak cakap lagilah benda ni. Joe berniaga tak malam ni?”
            Aku mengangguk. Mata pandang tempat lain. Rasa sebal masih belum hilang. Tapi sedikit terpujuk bila dia dah cuba ubah ke topik lain. Aku bangun sekejap nak cuci tangan. Padahal tangan tak kotor pun. Saja nak cuci muka sekali. Takut dia nampak mata aku yang dah berpasir.
            “Malam nanti kita jumpa kat balairaya, ya. Dura kena balik awal. Petang ni nak pergi sekolah kejap. Ada latihan sukan.”
            “Okey...” Aku seluk dompet. Tapi Durani lebih pantas bangun dan pergi ke kaunter. Aku biarkan saja. Tak apa. Besok aku pula bayar. Begitulah kebiasaannya. Aku yang terlebih dahulu berjalan kembali ke stesen minyak. Nak ambil motor. Selalunya aku akan naik kereta dengan Durani dan dia hantar aku semula ke stesen minyak. Hari ni aku tak ada mood nak berbual panjang. Dia pun nampak penat. Malam nanti sajalah kami sambung dating
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~
            “Mana orang ni Joe? Dari petang tadi, satu bundle pun tak habis lagi ni...”
            Mazli buka tong putih, mengira bungkusan daging burger yang masih ada. Tak perlu kira pun sebenarnya. Sejak petang tadi. Baru satu keping saja daging ayam yang digunakan. Daging lembu, kambing dan arnab masih tak berusik.
            “Ni mesti ada yang tak mandi dari petang tadi. Sebab tu tak ada orang datang beli burger...” Fauzi yang dari tadi leka memetik gitar menyampuk perbualan.
            Aku senyum nipis. Dah pukul tujuh setengah. Lagi setengah jam pasti Durani akan lalu di sini. Aku perlahankan api dapur dan ambil kopiah di dalam bakul motor.
            “Aku pergi Maghrib kejap. Aku baca doa murah rezeki panjang-panjang, ya. Manalah tahu lepas ni ramai yang datang beli burger, kan?”
            Lemah betul kaki melangkah ke surau bersebelahan balairaya. Kalau ikutkan badan yang penat ni, mahu saja aku berehat di rumah. Tapi kalau aku tak buat kerja part time, macam mana nak kumpul duit? Makin lambatlah aku dapat meminang Durani nanti.
            Selesai solat, aku duduk sekejap di luar surau. Memerhatikan gerai burger dari jauh. Mazli dan Fauzi masih bersenang-lenang  di sana. Seorang leka dengan gitar, lagi seorang berkepul-kepul asap rokok di mulut. Nak buat penghalau nyamuklah tu.
            “Burger sebiji baru tiga ringgit setengah. Kalau dapat jual sepuluh biji baru dapat tiga puluh lima ringgit. Bahagi kita... Adoi! Bilalah nak kaya ni!”
            Aku mengomel sorang-sorang. Serabut betullah. Apalagi yang boleh aku buat untuk menambah pendapatan? Jual nasi lemak? Atau... jual karipap frozen?
            Aku mengekek ketawa. Ada ke jual karipap frozen? Tak sesuai! Aduh! Boleh biul aku fikir pasal duit ni.
            Telefon di dalam poket seluar berbunyi. Tapi cuma sekejap. Serentak dengan itu aku bangun. Hilang tawa, berganti senyum. Segera aku berlari ke balairaya. Bukakan lampu, buka tingkap dan susun kerusi di meja. Tak lama kemudian terdengar bunyi kereta di luar. Duranilah tu.
            “Budak-budak tak sampai lagi?” tanya Durani sambil memunggah buku-buku  di dalam kereta.
            “Budak ni aje yang dah sampai cikgu.”
            “Eleh, ini bukan budak. Ni bapak budak!”
            Durani hempuk buku-buku yang dipegang ke dada aku. Seronoknya dapat bergurau-senda dengan orang tersayang. Wangi betul dia malam ni. Aduhai! Kalaulah boleh dibuat teman tidur... alangkah bahagianya.
            “Kenapa lawa sangat malam ni  sayang? Geram pulak Joe tengok.” Aku bawakan buku-buku pelajar Durani ke dalam. Ini pun salah satu rutin yang dengan sukarelanya aku buat sejak Durani mengajar tiusyen di balai raya itu.
            “Hari-hari pun Dura lawa apa? Joe aje yang tak perasan.”
            “Joe perasanlah sayang. Tapi malam ni lawanya lebih sikit...” Tangan dah gatal nak menarik pipi gebu dia. Tapi Durani lebih pantas melepuk tangan aku.
            “Please behave okay. Dura gigit nanti...”
            “Gigitlah sayang.. Joe rela...”
            Durani mengemam bibir. Aku suka menyakat dia. Suka tengok muka dia kemerah-merahan menahan malu. Dia capai pembaris kayu di papan putih. Belum sempat pembaris tu mendarat di punggung aku, terdengar suara budak-budak memberi salam. Pelajar-pelajar Durani dah sampai. Kacau daun betullah!
            “Joe, nanti buatkan tiga biji  burger special. Abah dengan mak pesan tadi. Kejap lagi Dura bayar, ya.”
            “Eh, apa pulak nak bayar ni? Joe belanja.”
            “Janganlah macam tu. Joe kan berniaga...”
            “Ala... bukan selalu. Lagipun bila lagi nak ambil hati bakal mertua, kan?”
            Terdiam juga dia. Aku keluar dari situ dan terus ke gerai. Kuali leper aku panaskan. Roti aku belah dua dan sapu mentega kemudian letak di atas kuali leper. Sementara menunggu dapur panas, aku ambil daging di dalam kotak putih.
            “Joe...”
            “Hmm...”
            “Siapa order burger tu?”
            “Bakal orang rumah aku...” Aku sengih. Seronok pula bila dapat menggelar Durani macam tu.
            “Dia order burger special...” Aku sambung lagi.
            “Duit dah ambil?”
            “Dah...”
            Laju betul mulut aku berbohong. Mazli mengangguk puas hati. Fauzi sambung main gitar. Aku tarik nafas lega. Lega sebab tak payah bersoal-jawab lagi dengan Mazli. Tapi dalam kepala dah terbayang sesuatu. Terbang lagilah duit poket aku malam ni. Durani... Oh Durani!.

1 comment :

Anonymous said...

Casino Bonus Codes - December 2021
No deposit https://access777.com/ bonus casino sol.edu.kg promotions. We recommend 2021 https://septcasino.com/review/merit-casino/ casino bonus codes and promos for new poormansguidetocasinogambling.com players. We also list new casino bonuses for https://octcasino.com/ December 2021.

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.