Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 02, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 13


             Diam tak diam lagi beberapa minggu saja lagi Fatin dan rakan-rakan sebayanya akan menghadapi STPM. Hubungannya dengan Kamal juga semakin baik. Adat orang bercinta, gurau dan rajuk menjadi asam garam dalam mengenali hati budi masing-masing. Sejak pertemuan terakhir Kamal dan Lina beberapa bulan yang lepas, gadis itu telah banyak berubah. Perubahannya lebih menjurus ke arah positif. Siapa sangka Lina yang dulunya cukup anti dengan Fatin kini telah menjadi kawan. Sering kelihatan mereka mengulangkaji bersama.
            “Amboi! Orang tu, kan. Sejak dah jadi kawan baik Lina ni, macam dah lupa aje kat aku ya.” Ayu menegur ketika mereka di dalam bas.
            “Hello! Tolong sikit. Betulkan ayat kau tu.” Fatin menepuk  kuat  peha Ayu. Berdesing juga telinganya diperli Ayu. Salahkah dia berkawan dengan Lina?
“Apa pulak? Betul apa aku cakap.” Ayu masih tetap dengan kata-katanya.
            “Yalah tu. Cuba kalau aku terbalikkan ayat tu. Sejak kau berkawan dengan Abang Hairi, kau tu yang macam dah lupa kat aku. Pergi dan balik sekolah pun dengan cik abang kau.” Fatin memulangkan paku buah keras.
            Ayu ketawa mengekek. Terkena balik batang hidung. Memang betul apa yang Fatin katakan. Kalau bukan sebab Hairi ada kes di luar kawasan Melaka, pasti dia tidak berada di dalam bas bersama Fatin hari ini.
            “Macam tak sangka, kan Fatin? Lina yang jahat tu boleh baik pulak dengan kau.”
            “Eh, tak baiklah kau cakap macam tu. Dia tak jahat, cuma perlukan perhatian. Lepas apa yang terjadi dulu, aku rasa Lina tu okey sebenarnya. Mungkin dia tertekan dengan keadaan keluarga dia. Tapi sekarang aku tengok dia dah banyak berubah. Harap-harap  dia tak kembali ke perangai lama.”
            “Hmm... Kalau dia kembali ke perangai lama, memang  gigit  jarilah  kau. Bayangkan kalau  dia berjaya mengurat Abang Kamal. Pergh!!! Aku rasa memang ada yang frust menonggeng nanti!” Ayu gelak  terbahak-bahak. Makin kuat gelaknya bila  Fatin cuba mencubit pehanya yang pejal.
Puas bergelak ketawa, akhirnya Fatin dan Ayu diam. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Bas yang mereka naiki agak padat dengan penumpang. Walaupun perjalanan pulang tidaklah sejauh mana, Fatin hampir-hampir terlelap.
            “Fatin, aku ada benda nak cakap dengan kau ni?”
            Fatin tersentak. Pehanya ditepuk kuat oleh Ayu. Dia menggosok-gosok mata yang pisat.
            “Kau ni buat aku terperanjat aje tau. Baru nak layan mata kejap. Apa bendanya?” tanya Fatin pura-pura marah.
            “Lepas STPM ni, aku nak bertunang.”
            “Dengan Abang Hairi?”
            “Taklah, dengan benggali jual roti.”
            Fatin mengemam bibir, geram dipermainkan Ayu.
            “Mestilah dengan dia. Aku mana ada orang lain lagi.” Ayu tersengih lebar. Memandang Fatin yang masih merenung tajam padanya.
            “Kau tak rasa cepat sangat ke?” tanya Fatin.
            “Mula-mula aku pun fikir macam tu. Tapi sampai bila aku nak ke hulu-hilir dengan Abang Hairi? Orang sekeliling memandang aje. Lepas berbincang, kami setujulah untuk bertunang. Aku masih boleh sambung belajar lagi.”
            Panjang lebar ulasan Ayu. Dipegangnya tangan Fatin. “Kau macam mana?”
            “Macam mana apa?” Fatin tanya balik. Tidak faham dengan soalan Ayu.
            “Yalah, tak ada ke ura-ura nak mengikut jejak langkah aku?” usik Ayu.
            Fatin mencebik. Pipi montel Ayu dicubit kuat. Terjerit sahabat baiknya itu, memancing perhatian penumpang lain yang berada di dalam bas.
            “Aku tak gatal macam kau,” gerutu Fatin.
            “Ini bukan masalah gatal, dah jodoh!” Ayu membela diri.
            “Pandainya kau cakap. Aku tak bersedia lagilah. Abang Kamal ada juga cakap hal ni tapi aku buat bodoh aje. Masih awal lagilah. Aku nak sambung belajar dulu. Tak nak terikat dengan sebarang komitmen buat masa ni.” ujar Fatin.
            “Kau tak takut ke kalau dia tersangkut dengan orang lain masa kau sambung belajar nanti?”
            “Kalau dah ditakdirkan dia bukan untuk aku, redha ajelah.”
            “Senangnya kau cakap. Macam tak sayang kat dia aje.” Ayu menegur.
            “Bukan tak sayang. Tapi aku pun ada cita-cita. Kalau dia sayang aku, mesti dia faham. Takkan lari gunung di kejar.”
            “Banyaklah kau punya gunung. Kau jangan lupa Fatin, zaman sekarang ni, bunga dalam taman lebih banyak dari kumbang. Buatnya Lina tu kembali ke perangai asal, gigit jari kau nanti.”
            Sengaja Ayu menakut-nakutkan Fatin. Bukan dia cemburu. Tapi  dalam hatinya masih ada rasa syak. Terlalu  mudah Lina berubah. Tak mungkin sesenang  itu  dia dapat melupakan Kamal?
            “Kau ni tak habis-habis dengan Lina. Cubalah fikir positif sikit.” Fatin menegur. Susah buat membuang prasangka buruk dalam  diri Ayu.
“Aku dah cuba fikir yang elok-elok Fatin. Tapi...”
“Dahlah, tak nak cakap pasal ni lagi. Apa pun,tahniahlah kat kau. Jom turun, dah sampai.”
            Habis topik bertunang, datang pula musim peperiksaan. Bermula dari hari pertama hinggalah ke kertas peperiksaan yang terakhir, Kamal dengan sukarelanya  menjadi pemandu peribadi Fatin. Sengaja dia berbuat demikian, untuk  memberi semangat  pada kekasih hati. Dia juga turut  membantu Fatin mengulangkaji. Cuma itu  saja yang mampu dia lakukan. Sementelahan pula  Fatin begitu serius dalam membuat persediaan untuk  periksa besar ini.
            “Hari ni hari terakhir Fatin periksa kan?” tanya Kamal.
            “Hmm…”
            Mulut saja menjawab. Mata Fatin masih tertumpu pada nota-nota di tangan. Dia menoleh pada Kamal setelah lelaki itu hanya mendiamkan diri.
            “Kenapa abang tanya? Dah penat jadi driver Fatin ya?” usik Fatin.
            “Taklah, abang tanya aje. Apa Fatin nak buat lepas ni? Takkan duduk kat rumah aje.”
            “Fatin tak terfikir pun lagi. Mungkin nak pergi belajar komputer kot. Tengoklah nanti,” jawab Fatin acuh tak acuh. Dia menyimpan nota-nota yang telah dibaca ke dalam beg.
            “Kerja dengan abang nak?” tanya Kamal tiba-tiba. Entah kenapa idea itu yang menerjah mindanya. Dalam diam dia berharap sangat  agar Fatin menerima tawarannya. Cuma dengan  cara itu  saja dia dapat mengubat rindu. Memang tiada halangan bagi  Kamal untuk melawat Fatin di rumah. Tapi jika Fatin bekerja dengannya, lebih banyaklah masa yang dapat diluangkan bersama.
            Fatin pandang Kamal. Mencari kesungguhan dengan tawaran yang Kamal buat. Kamal mengerling sekilas. Kemudian dia senyum. “Kenapa pandang abang macam tu? Abang tanya betul-betul ni. Tak lama lagi abang dah nak buka office baru. Masih ada kekosongan untuk kerani, Fatin nak tak? Kalau nak abang tak payah cari orang lagi.”
            “Tapi Fatin tak pandai buat kerja-kerja pejabat ni.”
“Kerani Hairi kan ada. Nanti dia ajarlah Fatin. Senang aje kerjanya.”
“Hmm…” Fatin menggumam. Sedang memikirkan sesuatu.
“Gaji macam mana?” tanya Fatin. Ada senyum nakal tersungging di bibirnya.
“Gaji macam gaji keranilah, ikut kelulusan.” Kamal menjawab riang. Dia yakin pasti Fatin  akan menerima tawarannya.
“Aik, jadi buah hati bos pun gaji sama macam orang lain? Tak bestlah macam tu.” Fatin mencebik.
“Amboi, demand  nampak! Kalau nak gaji lebih, kena kahwinlah dengan bos tu. Lebih pada gaji Fatin boleh dapat.”
“Kalau macam tu, Fatin tak nak kerjalah. Sebab lambat lagi Fatin nak kahwin dengan bos tu,” jawab Fatin selamba.
Tawa Kamal mengendur. Walaupun hanya bergurau, Kamal tahu Fatin serius dengan kata-katanya. Kadang-kadang Kamal rasa Fatin seperti tidak serius dengan perhubungan ini. Dia tidak seperti Ayu. Terlalu banyak perkara yang menjadi  kepantangannya. Setiap kali keluar berlibur, pasti dibawanya adik-adik kembarnya. Fatin lebih suka berada di rumah saja, mengelak dari umpatan orang katanya. Kamal menghela nafas kasar. Dipandangnya Fatin yang membuang pandang ke luar tingkap.
“Fatin boleh kerja dengan abang, tapi dengan satu syarat.” Tiba-tiba Fatin bersuara.
“Syarat?” tanya Kamal. Dia senyum dalam hati. Itulah Fatin,ada sajalah syarat yang dikenakan oleh gadis itu. Tak boleh pegang-pegang, tak boleh keluar berdua, tak boleh balik lewat malam. Macam-macam lagi syaratnya. Tapi semuanya diterima Kamal dengan hati yang terbuka.
“Fatin nak abang layan Fatin sama macam pekerja abang yang lain. Tiada sebarang keistimewaan.”
“Fatin pasti ke dengan syarat tu? Jangan menyesal tau. Abang ni tegas dan garang dengan pekerja. Takut Fatin tak tahan aje nanti.” Kamal tersengih lebar. Sengaja dia menakut-nakutkan Fatin. Tapi Fatin buat muka selamba.
            “Kalau Fatin tak tahan, Fatin berhenti aje. Bukan susah pun!” Lancar saja jawapan itu keluar dari mulut Fatin.
            Mereka ketawa mengekek. Kamal mengetap bibir. Geram dengan keletah Fatin. Senang hatinya melihat senyuman gadis itu setiap hari. Walaupun jadual kerjanya agak padat dengan perbicaraan di mahkamah dan perjumpaan dengan klien, seboleh mungkin dia akan meluangkan masa untuk bersama Fatin setiap hari.
            Seminggu kemudian Fatin memulakan tugas di tempat  kerja Kamal. Awal-awal pagi lagi dia dah menjemput Fatin di rumah. Bersarapan bersama dan memberitahu Fatin serba sedikit mengenai perjalanan kerja di pejabatnya. Fatin  lebih banyak diam dari bercakap.
"Sayang, senyap aje. Okey tak ni?" Kamal menyinggung lembut bahu Fatin.
"Fatin nervous lah," ujar Fatin perlahan.
Kamal tersengih lebar mendengar penjelasan Fatin. Geli hatinya melihat Fatin menghembus nafas melalui mulut dengan keras. Jelas  kelihatan dia sedang mengawal rasa gugup.

"Relakslah, nak pergi kerja aje. Bukan nak pergi perang. Abang kan ada.”
Kamal cuba menenangkan Fatin. Fatin senyum sikit. Namun senyumnya nampak janggal. Berkali-kali dia menelek wajah di cermin.
“Bedak Fatin okey tak?” tanya Fatin cemas.
“Okey, tak bercapuk-capuk  pun...” Kamal matikan enjin kereta. Belum sempat dia membuka  pintu  kereta, Fatin memanggil  lagi.
“Baju Fatin ni sesuai ke? Tak over sangat?” Dia masih tak puas hati.
“Tak  over pun. Sayang, tak payah nak risau sangatlah. Buat macam  biasa aje.” Kamal menggeleng perlahan. Hari ini baru dia  tahu, Fatin ada darah gemuruh rupanya.

Kamal keluar dari kereta. Sampai sahaja di pejabat Kamal, Fatin diperkenalkan dengan seorang kerani yang bernama Rini. 
“Saya ni tak tahu apa-apa kak Rini. Tolong ajarkan ya," kata Fatin. Gementarnya masih belum hilang. Sejuk tangannya  bila Kamal meninggalkan dia bersama Rini. Dia cuma mampu memandang Kamal masuk  ke biliknya.

"Kerja kat sini senang aje Fatin. Taip surat, buat salinan dokumen, angkat panggilan telefon dan catatkan temujanji.”  Rini sudah memulakan taklimat ringkas.
“Kak  Rini ajar saya satu-persatu boleh?”
“Fatin... panggil  Rini aje.  Terasa tua sangat pula bila  Fatin panggil  kakak.”
Akhirnya  Rini berjaya membuang rasa gemuruh Fatin. Tersungging  juga  sengihan di bibir Fatin mendengar gurauan Rini. Dia dibawa pula ke meja kerja bersebelahan dengan meja Rini. Hari pertama Fatin di situ, dia sudah dihidangkan dengan lambakan dokumen yang perlu dikemaskini dan dibuat salinan. Tapi Fatin tidak merasa kekok kerana Rini sentiasa membantu. Sesekali Kamal akan menjenguk Fatin melalui cermin pintu biliknya. Hari pertama terasa cepat berlalu. Kamal gembira Fatin dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Rini juga  kelihatan  selesa  bekerja  dengan  Fatin.

“Macam mana hari pertama kerja hari ini? Seronok ?” tanya Kamal. Tersenyum dia melihat Fatin yang tersandar di sebelahnya.
“Penat, tapi seronok. Mujur ada Rini.” Fatin tersengih menampakkan lesung pipit di sebelah pipi kirinya. Bergetar hati lelaki Kamal melihat senyuman Fatin. Mahu saja dia menarik hidung Fatin. Tapi dia sedia maklum Fatin tidak suka dia lepas laku.
“Senang aje rupanya  kerja kat situ...” Fatin menyeringai  suka.
“Kan  abang dah  cakap. Sayang tu  yang cemas sangat. Bos dia pun  baik, kan?”
“Eeee... Tak malu! Masuk bakul angkat sendiri. Beranilah bos tu nak  marah-marah Fatin... Fatin mogok nanti...”
Kamal ketawa berdekah-dekah. Dia tahu Fatin sedang memberi amaran padanya. Dia suka dengan sikap gadis itu. Fatin langsung tak menggunakan statusnya  sebagai  teman wanita Kamal  untuk ‘tuang kerja.’ Caranya sangat profesional. Panggilannya pada Kamal juga berubah ketika  dia  sedang bekerja.
Kini diam tak diam sudah sebulan Fatin bekerja. Dia sudah mahir melakukan semua tugas yang pernah diajar oleh Rini satu masa dulu. Malah dia juga yang merekodkan semua jadual perbicaraan peguam-peguam, termasuklah Kamal. Kerjanya sangat tangkas. Ringan sedikit kerja Rini.

“Abang, besok abang tak payah jemput  Fatin, ya. Fatin nak drive sendiri.”
Setelah lama ditimbang-timbangkan, akhirnya terluah juga permintaan  Fatin pada petang itu. Dia tak berani mengangkat muka. Dia tahu pasti Kamal takkan setuju.
“Abang ada buat salah  ke? Tiba-tiba merajuk ni...” Kamal mengemaskan pegangan di stereng. Hati mula gelisah. Adakah dia sudah menyinggung perasaan Fatin?
“Eh, bukan merajuk..”
“Kalau tak merajuk, kenapa nak bawa kereta  sendiri? Fatin dah tak  suka dengan abang, ya”
Fatin menepuk dahi sendiri. Belum apa-apa  lagi Kamal sudah fikir yang bukan-bukan. Dia melihat wajah  cemberut  Kamal. Tergeleng-geleng kepalanya melihat  tingkah lelaki  itu.

“Boleh tak  bagi Fatin  explain  dulu?” Suara Fatin meninggi  sedikit.
“Okey, silakan. Tapi  kalau penjelasannya tidak memuaskan hati, abang tak benarkan Fatin bawa kereta. Full  stop!”
Terjuih  mulut Fatin mendengar amaran Kamal. “Fatin nak memudahkan abang dan menjaga keselamatan diri sendiri...”
Sekali lagi  Kamal menoleh. Dia masih tak faham penjelasan yang Fatin berikan.
“Kalau abang kena  jumpa client  kat luar, abang tak payah  susah-susah nak datang pejabat  semula  semata-mata nak ambil Fatin. Fatin pun tak payah nak jadi  penunggu kat  office tu sampai malam. Takut  tau tak? Orang lain semua dah balik. Fatin  sorang-sorang aje kat  situ. Kalau jadi apa-apa, siapa yang menyesal?”
Kamal menggaru dagu yang berjanggut  halus. Terfikir juga dia dengan hujah-hujah Fatin. Memang berat hatinya untuk membenarkan gadis itu memandu sendiri. Tapi memikirkan keselamatan gadis itu, akhirnya Kamal terpaksa akur. Kalau mama dan papa Fatin sendiri sudah membenarkan, apa dayanya untuk menghalang?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
"Fatin, masuk kejap," arah Kamal menerusi di interkom.
Rini tersenyum memandang Fatin. "Cepat, cik abang awak dah panggil tu..." usik Rini.
Fatin tersenyum malu. Dia masuk ke bilik Kamal dengan sebuah buku di tangan.

"Assalamualaikum Encik Kamal Akasyah. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Fatin tersenyum nakal di balik daun pintu.
Kamal tersenyum lebar melihat buah hatinya menolak daun pintu. Lucu hatinya mendengar Fatin memanggilnya ‘Encik Kamal’.
 "Sayang, hari ni kita keluar lunch sama-sama ya." Kamal mengharapkan persetujuan dari Fatin. Sudah lama rasanya dia tidak keluar bersama. Sejak Fatin memandu sendiri, dia hanya sempat berbual dengan Fatin  pada malam hari sahaja. Itu pun sekadar 'bergayut ' di telefon. Di pejabat, Fatin lebih suka mereka menjarakkan diri. Tak manis dilihat oleh rakan-rakan sekerja yang lain katanya. Kalau Kamal tidak sibuk, barulah Kamal memanggil Fatin masuk ke bilik. Itu pun hanya seketika.

"Rini ajak Fatin makan ikan bakar dekat sebelah Mydin." Fatin memberi alasan. Dia senyum  nipis melihat muncung Kamal yang sudah memanjang.
"Pergi lain kalilah. Abang dah lama tak keluar dengan Fatin," rengek Kamal. Dia cuba memegang tangan Fatin. Tapi Fatin lebih pantas melarikan tangannya. Dia memandang Kamal dengan jelingan tajam. Kamal tersengih nakal.
"Besoklah kita keluar. Fatin dah janji dengan dia. Nanti kecil pula hati Rini." Fatin masih mengelak.
"Hati Rini sayang jaga. Hati abang ni siapa nak jaga?"
Kedengaran nada rajuk pada suara Kamal. Dia memandang Fatin dengan pandangan mengharap. Tapi pandangan itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi renungan nakal. Dia tersengih lebar sambil menekan interkom di atas meja.

"Rini, tengahari ni awak cuti dating dengan Fatin boleh tak? Saya nak culik dia kejap, nanti saya pulangkan balik.”
Ada tawa dihujung kata-kata Kamal. Terbeliak mata Fatin mendengar kata-kata Kamal. Dia terdengar suara Rini ketawa di dalam interkom. Fatin bangun dan memberi satu cubitan di lengan Kamal.
"Okey Encik Kamal, no problem !" Rini mematikan punat interkom.
Kamal mengangkat kedua belah tangannya tanda menang. Fatin hanya menggeleng kepala. He is the boss!

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.