Kamal merenung fail yang bersusun di atas meja. Berlambak lagi kerja-kerja yang tertunda. Perbicaraan di mahkamah juga masih banyak yang tertangguh.Tumpuannya terganggu kebelakangan ini. Semuanya gara-gara Fatin. Rajuk jantung hatinya itu masih berlarutan. Hampir dua minggu Fatin tidak melayan panggilannya. Hendak menjenguk ke rumah, fatin dah beri amaran. Fatin tidak mahu keluarganya tahu konflik yang sedang berlaku antara mereka. Atau, Kamal takkan berpeluang berjumpa dengan Fatin lagi.
Mula-mula Lina. Kemudian Ika pula muncul bagaikan pisau
yang menoreh hati gadis itu. Kamal mendengus kasar. Dia mesti melakukan
sesuatu. Tapi dia tidak tahu di mana harus dia mulakan. Ika atau Lina? Kedua-duanya
penagih cinta yang giankan belaian seorang kekasih. Seorang masih terlalu muda,
seorang lagi sudah matang. Tapi perangainya pula mengalahkan remaja belasan
tahun.
“Fatin... Abang rindu Fatin,” lirih Kamal perlahan.
Dia mengurut jambang yang melata di wajah. Kamal tidak
mampu menguruskan dirinya sejak Fatin enggan bercakap dan berjumpa dengannya. Kuat
betul penangan asmara gadis itu. Jam tangan di pandang sekilas. Masih awal. Dia
ingin menunggu Fatin di sekolah. Rindunya tidak tertanggung lagi. Tiba-tiba dia
teringatkan seseorang. Seseorang yang mungkin boleh membantu menyelesaikan
masalahnya dengan Lina. Laju Kamal mendail nombor Shahrul.
“Hello.”
Kamal berdiri dan mundar-mandir di dalam pejabatnya. Tiba-tiba
lidahnya kelu tatkala mendengar suara cikgu itu.
“Mal!” Shahrul menyergah di dalam talian.
“Hah!”
“Apa hal? Aku kat dalam kelas ni.” Suara Shahrul agak
perlahan.
“Alamak Shahrul! Sorrylah
ganggu kau tengah mengajar. Aku, aku nak minta tolong sikit boleh tak?” Kamal
menggigit hujung bibir. Berharap agar Shahrul sudi membantu.
“Tolong apa? Kalau tolong duit, minta maaf banyak-banyak. Yang ada dalam poket ni ngam-ngam sampai gaji minggu depan.” Shahrul
ketawa di hujung kata-katanya.
“Bukan pasal duitlah. Ni pasal Lina,” ujar Kamal.
“Kenapa dengan Lina?”
Serta-merta Shahrul teringatkan insiden yang berlaku di
rumah Fatin beberapa minggu yang lalu. Jantungnya
tiba-tiba berdegup kencang. Adakah Lina sudah membocorkan rahsia? Melingas
matanya mencari Lina. Kebetulan pula dia sedang berada di dalam kelas gadis
itu. Mengecil anak matanya memandang Lina yang berada di tengah-tengah kelas. Gadis
itu sedang menyudahkan latihan di papan
putih. Fatin yang berada di hujung kelas
juga sedang melakukan perkara yang sama.
“Boleh tak kau tolong aku aturkan temujanji dengan budak
tu. Aku dah tak boleh tahanlah. Rimas aku asyik kena kacau dengan dia. Tak
pasal-pasal aku krisis dengan Fatin.”
Kamal meluahkan segala rasa tak puas hatinya. Dia sangat
mengharapkan pertolongan Shahrul untuk
menemukan dia dengan Lina. Hari ini juga. Dia tidak mahu gadis itu mengganggu
hidupnya lagi.
“Kau tolong bagitahu dia yang aku nak jumpa. Tapi tak nak
jumpa kat luar, kat dalam sekolah aje. Kau boleh tolong kan?” tanya Kamal lagi.
Di sebelah sana, Shahrul menggaru kepala yang tidak
gatal. Mengatur temujanji untuk mereka berdua bukanlah masalah besar. Tapi dia
takut Lina akan membocorkan rahsia. Shahrul diam sebentar.
“Shahrul!”
“Hah, apa?” Shahrul tersentak. Dia pula disergah Kamal.
“Boleh tolong tak?”
“Err, okey. Nanti kau datang lepas waktu sekolah. Dalam pukul dua,” jawab
Shahrul laju.
“Nak jumpa kat mana? Eh, kau jangan bagitau Fatin pulak. Haru
nanti. Aku nak selesaikan satu-satu dulu.” Kamal mengingatkan.
“Sebab tu aku suruh datang lepas waktu sekolah. Nanti
terus pergi ke makmal. Aku tunggu kat sana.” Shahrul memberi arahan.
Talian dimatikan. Shahrul termenung sebentar di muka
pintu kelas. Memandang Lina yang tekun menulis.
‘Macam mana nak cakap dengan dia ni? Takkan aku nak ugut
dia pulak.’
Shahrul menggumam sendiri. Matanya masih tertancap pada
gadis itu. Berpeluh tangannya memikirkan jalan terbaik untuk membuat Lina
menutup mulut. Jika sebelum ini dia sanggup memberikan nombor telefon Kamal
untuk pada gadis itu, kini apa pula akalnya.
“Lina.”
Gadis itu mengangkat kepala. Dia bangun dan pergi ke meja
Shahrul.
“Ada apa cikgu?”
“Awak nak jumpa Abang Kamal tak?”
“Kamal? Nak… nak..” Lina mengangguk laju.Wajahnya berubah
teruja.
“Shh, perlahan sikit suara tu.” Shahrul menegur.
Lina menekup mulut, menyedari lepas lakunya. Dibongkokkan
sedikit badannya mendekati Shahrul.
“Nak jumpa kat mana cikgu? Bila?” tanya Lina kurang
sabar.
“Kat sini. Tapi ada satu syarat.” Shahrul berhenti
sebentar. Fatin tiba-tiba datang ke meja untuk menghantar latihan yang sudah
selesai. Lina memberi sedikit ruang di sebelahnya untuk Fatin berdiri. Shahrul
memeriksa kerja Fatin. Lina masih lagi di situ.
“Wah! Semua betul tu. Kau memang pandailah Fatin. Pandai
serba-serbi. Pikat lelaki pun kau
pandai. Betul tak cikgu?”
Shahrul tidak menjawab. Dia memulangkan semula buku
latihan yang telah diperiksa pada Fatin. Wajah gadis itu kelihatan cemberut. Dia
tahu punca kesuraman wajah Fatin adalah kerana Lina.
“Lina, kalau awak nak jumpa Kamal, awak kena janji dengan
saya. Jangan usik Fatin lagi.”
Lina menentang mata Shahrul. Tidak lama. Dia tersenyum, kemudian
mengangguk-anggukkan kepala. Dipandang Fatin yang berada di hujung kelas.
“Kalau dapat jumpa Kamal, saya janji saya takkan ganggu
Fatin atau cakap yang bukan-bukan lagi pada dia. Rahsia cinta dia dengan cikgu
pun saya akan simpan sampai mati.” Lina menutur janji.
“Saya nak ingatkan awak sekali lagi. Saya tak bercinta
dengan Fatin. Tak pernah, okey. Apa yang awak dengar tu adalah luahan hati saya
pada dia. Fatin tak bersalah pun dalam hal ni. Rasanya awak pun dengar apa yang
dia cakap kan?”
Suara Shahrul agak keras. Hilang senyum di wajah Lina.
“Okey, saya janji takkan cakap lagi pasal tu. Cepatlah
cakap, bila boleh jumpa Abang Kamal?” tanya Lina kurang sabar.
“Lepas sekolah ni, pergi makmal. Tunggu saya kat sana,”
arah Shahrul.
Lina tersenyum lebar. Matanya kelihatan bercahaya.
“Awak jangan kecoh-kecoh pada sesiapa ya. Terutamanya …”
“Fatin, kan?” Lina lebih pantas memotong cakap Shahrul.
Shahrul mengemam bibir. Tak dapat dibaca kejujuran di
wajah gadis itu. Mengingatkan perangai Lina yang boleh berubah dalam sekelip
mata membuat Shahrul risau. Shahrul tidak dapat bercakap lama lagi dengan gadis
itu kerana guru untuk subjek berikutnya sudah pun tiba.
“Diam-diam aje tau. Nanti jumpa saya kat makmal,” pesan
Shahrul sekali lagi. Dia bangun dan berjalan keluar dari kelas.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~ ~ ~ ~
Kamal
masih belum tiba pada waktu yang dijanjikan. Lina resah menunggu di dalam
makmal. Jam di tangan dikerling berulang kali. Shahrul yang menjadi orang
tengah juga tidak senang duduk. Hampir sejam dia berdua-duaan dengan Lina di
situ. Timbul perasaaan tidak enak dalam hatinya. Bimbang kalau-kalau Kamal
lupa. Pasti Lina akan mengamuk sekiranya Kamal tidak muncul hari ini. Dia
semakin kalut apabila telefon bimbit Kamal tidak aktif. Dia buntu, tidak tahu
bagaimana caranya untuk menghubungi Kamal.
“Mana Kamal ni cikgu? Betul ke dia nak jumpa kat sini?”
Shahrul menelan liur. Lina sudah mula bersuara. Pintu
makmal dibuka berulang kali, menjenguk Kamal yang tidak kunjung tiba. Pintu
makmal ditutup dengan kuat.
“Saya tak boleh lama ni cikgu. Mak dan adik saya kat
rumah tu kena bagi makan. Kebulur diaorang kalau saya lambat balik,” getus
Lina.
“Saya dah cuba telefon, tapi telefon dia tutup,” kata
Shahrul.
“Saja nak main-mainkan saya ke apa ni?” Lina mula tinggi
suara.
Kedengaran bunyi kereta di luar makmal. Lina meninjau
melalui tingkap. Cermin kereta yang gelap menyukarkan dia melihat penumpang
yang berada di dalam kereta. Shahrul berlari menuju ke pintu. Lega hatinya
kerana gerangan yang ditunggu sudah pun tiba.
“Awak tunggu sini. Saya jumpa dia kejap.” Shahrul lebih
dahulu keluar dari makmal.
Lina menyeringai kegirangan. Detak jantungnya berdentum
laju. Matanya tidak lepas memerhatikan Kamal yang baru keluar dari kereta.
“Aduh, handsomenya
dia!” Lina menggenggam sepuluh jemarinya sekuat hati. Penampilan Kamal yang
lengkap dengan tali leher dan berkaca mata gelap benar-benar membuatkan
adrenalin dalam tubuhnya melonjak naik.
“Apsal lambat? Budak tu dah nak meroyan kau tau tak? Naik
risau aku,” bebel Shahrul.
“Ada klien nak jumpa tadi. Aku ingatkan kejap aje tadi. Handphone habis bateri pulak. Aku lupa
cas malam tadi.”
Kamal beri penjelasan. Tali leher yang menjerut leher
dilonggarkan sedikit. Lengan kemeja putihnya dilipat hingga pangkal siku.
Keadaan sekeliling diperhatikan sebentar. Risau juga kalau-kalau
terserempak pula dengan Fatin. Pasti keadaan akan semakin berserabut.
“Dia dah lama tunggu kat dalam tu. Cepat sikit tau. Tak
sedap pulak kalau ada yang nampak nanti,” pesan Shahrul.
“Kau temankan aku sekali Shahrul. Dibuat apa-apa kat aku
nanti, masak aku nak menjawab lagi dengan Fatin.”
Shahrul mengangguk perlahan. Dia dan Kamal melangkah
masuk ke makmal mendapatkan Lina yang sudah lama menunggu.
“Abang Kamal! Lamanya Lina tak jumpa abang. Rindunya!”
Tubuh Kamal diterpa Lina. Tergamam Shahrul dan Kamal
seketika. Tanpa silu Lina memeluk erat tubuh sasa Kamal. Shahrul ingin menegur
tapi Kamal memberi isyarat untuk membiarkan gadis itu melepaskan rasa rindunya
buat seketika. Kedua-dua tangan Kamal terdepang luas. Tak sanggup membalas
pelukan gadis itu. Perlahan-lahan tangannya menolak bahu Lina, meleraikan
pelukan kemas gadis itu.
“Abang Kamal pun rindu Lina, kan? Sebab tu nak jumpa Lina
kat sini,” ujar Lina penuh yakin.
Matanya redup memandang wajah Kamal. Senyum manis
dihadiahkan pada lelaki itu.
“Ada sebab abang nak jumpa Lina ni. Tapi sebelum tu abang
minta Lina bertenang dan dengar betul-betul apa abang nak cakap ni.” Kamal
memandang Shahrul yang duduk agak jauh dari mereka. Dibawanya Lina duduk. Kedua-dua
bahu Lina dipegang lembut. Kamal memberanikan dirinya merenung mata Lina. Tapi
hanya seketika. Mata gadis itu terlalu menikam hulu hatinya.
“Lina, tolong lupakan abang,” ucap Kamal perlahan.
“Apa maksud abang?”
Lina cuba berdiri tapi ditahan oleh Kamal. Wajahnya sudah
berubah warna.
“Bertenang dulu. Abang takkan teruskan kalau Lina buat
perangai lagi macam kat rumah Fatin hari tu.” Kamal mengeraskan suaranya.
Lina tergamam. Dia akur dengan arahan Kamal. Matanya
tidak lepas dari lelaki itu.
“Abang tahu permintaan abang ni akan melukakan hati Lina.
Tapi abang harap Lina faham. Hati abang cuma untuk Fatin.”
Lina mengetap bibir. Pedih telinganya mendengar kata-kat
Kamal.
“Apa kurangnya Lina? Sebab Lina ni orang miskin? Tak
cantik, tak lemah lembut macam Fatin? Kenapa semua orang suka sangat dengan
dia?” Lina cuba mengawal tonasi suaranya.
“Tak ada kurangnya Lina, tak ada lebihnya Fatin. Ini semua
masalah hati dan perasaan. Lina mungkin tak ditakdirkan untuk abang. Mana tahu,
satu hari nanti ada seorang lelaki yang lebih bagus dari abang yang berjaya
menawan hati Lina.”
“Tapi Lina tak nak orang lain. Lina nak abang.”
Suaranya sudah sengau. Matanya berkaca-kaca. Namun masih
melekat pada wajah Kamal. Lina memegang kedua-dua tangan Kamal. Dikucupnya
berulang kali. Kamal tergamam, namun tidak terus merentap. Dia tidak mahu Lina
mengamuk di situ.
“Lina, kalau Lina dapat abang pun tak mungkin Lina dapat
miliki hati abang. Ni, kat dalam ni cuma ada Fatin. Lina tak boleh paksa abang
untuk jatuh cinta dengan Lina.”
“Tapi abang boleh bagi peluang pada Lina. Lina akan
buktikan yang Lina betul-betul sayang abang.” Lina cuba memujuk.
Kamal menggeleng perlahan. Dia menarik nafas dalam-dalam.
Mengendalikan Lina lebih sukar dari mengendalikan kes-kes di mahkamah. Apa pun
yang Kamal katakan dapat dibidas oleh Lina.
“Abang nak tanya Lina satu soalan. Kalau Lina dapat
merebut hati abang dari Fatin, tapi abang tak gembira. Lina puas hati tak?”
Lina diam. Dia tertunduk. Tiba-tiba dia kehilangan kata. Airmatanya
gugur satu persatu membasahi lantai.
“Mungkin Lina puas hati sebab dapat merampas abang dari
Fatin. Tapi apa gunanya kalau abang tak gembira,” ucap Kamal perlahan.
Lina tidak menjawab. Semakin laju airmatanya jatuh ke
lantai. Kamal mengangkat perlahan dagu Lina. Memaksa gadis itu memandang
wajahnya. Hujung jarinya mengeringkan pipi Lina yang basah.
“Mencintai seseorang tak semestinya harus memilikinya. Kalau
ingin melihat orang yang disayangi itu bahagia, kita harus sentiasa mendoakan
kebahagiaannya. Insha Allah satu hari nanti Lina akan jumpa seseorang yang
lebih baik dari abang. Mungkin waktu tu
nanti ada pulak yang cemburu dan sakit hati tengok Lina bahagia dengan lelaki
tu.” Kamal cuba mengusik.
Lina senyum dalam sendunya. Walaupun dia kecewa kerana
Kamal terang-terangan menolak cintanya, namun hatinya puas. Sekurang-kurangnya
dia dapat memeluk Kamal buat kali terakhir.
“Mal, dah lewat ni. Aku belum solat lagi.” Shahrul
mencelah perbualan mereka.
Lina
melihat jam di tangan. Laju dia mengeringkan lelehan airmata yang masih
bersisa. Dia bangun dan mengambil beg sekolah yang diletakkan di atas meja makmal. Kelam kabut dia
merapikan baju. Sebelum keluar sempat dia membasuh muka di sinki. Lina
kelihatan kalut.
“Lina...” panggil Kamal.
Lina menoleh sambil menyeluk sapu tangan di poket baju
kurungnya. Dikeringkan wajah yang basah. Masih menunggu Kamal membuka mulut.
“Maafkan abang,” ucap Kamal.
Lina tersenyum nipis. Dia mengangguk perlahan. “Lina pun
nak minta maaf. Lina banyak menyusahkan semua orang. Besok Lina akan minta maaf
pada Fatin. Cikgu, saya pun nak minta maaf pada cikgu. Mungkin saya ni terlalu
mengikut perasaan. Terlalu banyak yang saya fikirkan sekarang ni. Dengan
keadaan mak dan adik yang sakit, SPTM, semuanya buat saya tertekan. Saya
perlukan seseorang untuk mendengar luahan hati saya.”
Kamal dan Shahrul berpandangan. Terbit rasa simpati pada
gadis itu.
“Saya balik dululah. Dah lambat ni.” Lina menolak daun
pintu. Sebelah kakinya sudah melangkah keluar dari bilik itu.
“Lina...” Sekali lagi Kamal memanggil. “Boleh abang
hantar balik?”
Lina nampak terperanjat. Dia tidak segera menjawab.
“Jangan salah faham. Lina masih boleh berkawan dengan
abang. Tapi tak lebih dari seorang kawan. Lina faham kan?” ujar Kamal.
Lina tersenyum dan mengangguk laju. Dipandangnya Shahrul
yang berada di belakang Kamal.
“Cikgu, jomlah ikut sekali. Nanti boleh jadi saksi yang
saya tak buat apa-apa pada abang Kamal. Senang saya nak bercakap dengan Fatin
besok.” Tenang sungguh Lina menutur kata.
Kamal mengangguk pada Shahrul. “Nanti kita singgah
sekolah balik, ambil motor kau,” kata Kamal.
Shahrul tiada pilihan. Diikutkan juga permintaan Kamal
kali ini. Perjalanan ke rumah Lina hanya memakan masa sepuluh minit. Ibu Lina
sudah menunggu di depan rumah tatkala mereka tiba di rumah teres kos sederhana
itu.
“Yang berkerusi roda tu ibu awak ke Lina?” tanya Shahrul.
“Ha’ah. Dia lumpuh. Yang tengah main kat tepi pintu pagar tu adik saya,” jawab
Lina tanpa segan.
“Sindrom down?” tanya Kamal.
Lina mengangguk. Kamal menyeluk poket seluar. Membuka
dompet dan mengeluarkan beberapa helai not-not kertas. Dihulurnya pada Lina
yang sedang membuka pintu kereta.
“Apa ni?” tanya Lina kehairanan.
“Untuk Lina dan adik. Jaga diri baik-baik ya,” ucap
Kamal.
Kasihan dia melihat keadaan rumah Lina yang serba
kekurangan. Walaupun tidak menjengah masuk. Dia tahu rumah itu tidak diuruskan
dengan sempurna. Sepeninggalan Lina, mereka hanya diam melayan perasaan
masing-masing.
“Dah lega?” tanya Shahrul
“Legalah sikit. Ni tengah cari akal nak memujuk cik kak
tu pulak. Lama betul dia mogok tak nak cakap dengan aku. Sawan aku kejap.”
Shahrul ketawa mendengar
omelan Kamal. “Kan aku dah cakap dia tu garang.”
Kamal senyum sumbing. “Terima kasih Shahrul. Minta-minta
Lina tak kacau kitaorang lagi lepas ni.”
“Harap-harap macam tu lah. Aku pun nak minta maaf juga
dengan kau ni.”
“Kenapa pulak?”
Shahrul diam sekejap. “Kalau aku cakap, kau janji tak
tumbuk aku.”
“Cakap ajelah. Pasal apa pulak aku nak tumbuk kau? Kau
ada buat salah pada aku ke?”
“Bukan kat kau. Tapi Fatin.”
Tertoleh kepala Kamal memandang Shahrul. Ada kerutan di
dahinya. Pegangan tangannya dieratkan di stereng kereta. Shahrul menceritakan
semula kisah luahan hatinya yang tidak bersambut. Kamal nampak terperanjat. Tapi
kemudiannya dia ketawa. Shahrul kehairanan.
“Ramai betul peminat buah hati aku tu, ya. Ini yang buat
aku makin sayang kat dia ni. Eh, kau betul-betul dah tak syok kat dia, kan?”
tanya Kamal.
“Kalau masih lagi kenapa pulak?” soal Shahrul kembali.
“Aku tinggalkan aje kau
kat tepi jalan ni.” Kamal ketawa kuat.
Walaupun cuma bergurau ada sedikit gusar juga dalam
hatinya. Jika dihitung, masa Fatin bersama Shahrul lebih panjang. Bimbang juga
Kamal seandainya Shahrul masih mengintai peluang untuk memikat Fatin.
No comments :
Post a Comment