Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 01, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 11


           “Sampai juga Fatin ke rumah umi. Jangan malu-malu, buat macam rumah sendiri.”
Umi Kamal menegur ramah. Dia sedang menyediakan hidangan tengahari ketika Fatin tiba bersama si kembar. Fatin hanya tersenyum. Matanya menyorot persekitaran rumah Kamal.Terasa bagai berada di dalam taman. Penuh dengan pohonan bonsai dan bunga-bungaan harum. Dalam diam Fatin mengagumi Puan Umairah. Pandai wanita itu menyusun atur perabot dan tanamannya. Walaupun ruang di rumah teres setingkat itu tidak seluas rumahnya, Fatin masih berasa selesa. Cuma dia agak segan dengan Puan Umairah. Wanita itu sangat ramah, tidak seperti mamanya  yang agak pendiam.
"Fatin duduklah dulu. Umi nak sambung masak."
"Biar Fatin tolong, ya?"
"Eh, tak payahlah. Fatin kan tetamu. Duduklah  temankan adik-adik."

Puan Umairah meninggalkan mereka bertiga di ruang tamu. Fatin menghenyak punggung semula. Dia memerhatikan adik-adiknya. Leka betul mereka bermain permainan video yang dipasang oleh Kamal. Seketika kemudian Kamal yang sedari tadi menghilang muncul sambil menatang dulang berisi empat gelas jus oren.
“Maaflah, rumah abang ni tak ada bibik. Kalau tak sedap jangan marah. Abang buat sendiri tau air ni. Khas untuk Fatin.” Kamal tersenyum nakal. Segelas jus oren dihulurkan pada Fatin.
“Eh, maknanya makcik sorang ajelah kat dapur? Fatin nak pergi tolonglah.”
Fatin meletakkan gelas di dalam dulang dan bingkas bangun. Tapi langkahnya sempat ditahan oleh Kamal.

“Tak payahlah sayang. Ummi lebih selesa kerja sorang-sorang kat dapur tu.”
 Kamal menarik tangan Fatin untuk duduk kembali. Dalam masa yang sama, Fatin cuba melepaskan tangannya dari pegangan  Kamal.
“Cakap aje boleh tak? Tak payah nak pegang-pegang tangan Fatin. Malulah kalau makcik nampak.”
“Sebab itulah abang nak ajak kahwin cepat. Abang takut tak boleh kawal diri abang ni bila berdua dengan Fatin. Bila tengok Fatin, rasa macam nak gigit-gigit aje pipit tu.”
Fatin menjeling tajam. Kurang senang dengan gurauan Kamal. Sejak dah dapat lampu hijau dari papa Fatin semalam, Kamal mula menunjukkan perangai sebenarnya. Dalam perjalanan ke rumahnya tadi pun Kamal cuba mencium tangan Fatin.

“Abang nak masuk bilik kejap.”
 Kamal bangun dan melintas di sebelah Farisya dan Farina yang sedang asyik bermain playstation .
“Nak ikut!” jerit Farisya lantas bangun membontoti Kamal. Farina menyusul di belakangnya.
Berseorangan di situ buat Fatin mati kutu. Majalah yang tersusun kemas di atas meja dicapai sebuah. Laju  diselaknya helaian halaman majalah. Tidak ada satu pun tajuk yang menarik minatnya. Fatin meletakkan kembali majalah itu di atas meja. Dia bangun dan berjalan ke arah gambar-gambar yang tergantung di dinding. Gambar keluarga, gambar Kamal dan gambar abangnya ditatap sekali imbas.
“Kak Atin, meh tengok bilik Abang Kamal. Cantik!”
Farina tiba-tiba muncul dan menarik tangan Fatin. “Tak mahulah, tak malu ya masuk bilik orang lelaki ?” tegur Fatin.
“Alah, Abang Kamal tak marah pun. Kat bilik dia kan, ada gambar Kak Atin. Besar!”

Farina mendepangkan tangan menzahirkan kata-kata yang diungkapnya tadi. Berkedut seribu dahi Fatin. Seingatnya, tidak pernah sekali pun dia bergambar Kamal. Fatin juga tidak pernah memberikan gambarnya pada Kamal. Kalau ada pun, gambar dia berdua dengan Ayu. Dia memang tidak gemar bergambar.
“Gambar orang lain kot. Kak Atin mana pernah bergambar dengan Abang Kamal.” Fatin masih menafikan sambil membetulkan ikatan reben baju Farina .
"Ina tak salah tengoklah. Memang gambar Kak Atin. Kak Atin pakai t-shirt lengan panjang warna hijau, seluar jeans warna hitam.”
 Tangan Fatin ditarik ke bilik Kamal. Daun pintu bilik Kamal ditolak Farina.
“Tengok tu.”
Jari kecil kanak-kanak itu tertuding ke arah dinding. Fatin menyelak langsir berwarna ungu yang menabiri pintu bilik. Ternganga mulutnya melihat gambar yang melekat di dinding. Betul-betul berhadapan dengan katil kelamin milik Kamal. Memang gambar dia. Seakan kertas dinding yang menghiasi sebahagian dinding dalam bilik Kamal. Fatin memandang sekeliling bilik. Tatarias bilik itu juga sangat rapi. Bagaikan kamar bulan madu .

“Terkejut?”
Tegur Kamal dari belakang. Tangannya melingkar di pinggang Fatin. Baru Fatin tersedar si kembar sudah tidak ada di dalam bilik itu.
“Mana dapat gambar tu? Fatin tak pernah bagi abang gambar kan?” tanya Fatin gugup. Dalam masa yang sama, dia cuba melepaskan rangkulan Kamal.
“Ayu bagi,” jawab Kamal pendek. Rangkulannya makin erat. Dengusan nafasnya menggelikan telinga Fatin. Hidungnya bergesel lembut di pipi gadis itu.
“Janganlah, berdosa tau,” tegur Fatin. Dia melarikan muka dari bibir Kamal. Fatin mengetap gigi sekuat hati.
“Abang sayang Fatin…” ucap Kamal lembut.

Fatin menggigil. Meremang bulu tengkuknya. Dia juga sayangkan Kamal. Tapi perlakuan Kamal tika itu menakutkan Fatin. Beginikah cara Kamal menunjukkan rasa sayang? Ditahannya nafas dalam-dalam. Fatin cuba mengawal hatinya agar  tidak terjebak  dengan godaan  Kamal.
“Argh!!!”
Perut Kamal disiku sekuat hati. Rangkulan terlerai. Dia segera keluar dari bilik itu. Kamal terduduk di birai katil menahan sebu. Matanya cuma mampu memandang ikatan  langsir  pintu  yang  terlerai dilanggar Fatin.

"Kamal, mari makan. Abah dah balik ni.” Uminya memanggil.
Kamal keluar lepas sakitnya reda. Fatin tiada di meja makan bersama yang lain.
“Fatin mana umi?” tanya  Kamal.
“Kat dapur, basuh tangan.”
Kamal masuk ke dapur. Fatin masih di sinki. Kamal menghadang pintu, menunggu Fatin disitu. Wajah gadis itu direnung tajam.
“Sampai hati Fatin buat macam tu. Sakit tau. Tak sayang abang ya?”
“Biarlah sakit sekarang dari menanggung dosa seumur hidup.”
“Tapi abang sayang Fatin.”
“Sayang apa macam tu? Dah macam perogol bersiri aje Fatin tengok. Kalau abang sayang Fatin, abang kena jaga Fatin. Bukannya menghancurkan Fatin.”
Kamal terdiam. Makin bercambah rasa sayangnya pada gadis itu. Memang Fatin tidak sama seperti bekas-bekas teman wanitanya. Kamal senyum melihat muka Fatin yang mencuka.

“Apa senyum-senyum? Fatin tak suka abang buat macam tu. Tak ingat ke apa jadi kat dahi tu? Kalau rasa parut kat muka tu tak cukup banyak, buatlah lagi macam tadi. Memang ke ICU Fatin kerjakan abang nanti,” gertak Fatin.
Kamal ketawa kecil. Dia merapati  Fatin di sinki. Fatin menjarakkan diri dari Kamal. Kamal mengangkat dua-dua tangan. Seperti orang menyerah diri ketika ditangkap.
“Jangan takut sayang, abang takkan buat lagi. Abang sengaja uji Fatin tadi. Fatin dah lulus dengan cemerlang. Fatin memang layak jadi isteri abang.”
“Sengaja nak uji? Abang ingat Fatin ni apa? Bahan ujikaji? Melampaulah abang ni. Tepilah!”
Badan Kamal ditolak kasar, menjauhi pintu dapur. Fatin duduk di meja makan. Dia cuba memaniskan muka walaupun hatinya masih sakit. Kamal duduk di depannya. Renungan nakal lelaki itu langsung tak dihiraukan.

“Apa perancangan Fatin selepas STPM ni.”
Bapa Kamal menyoal ketika mereka sedang menjamu selera di meja makan. Dia duduk dihujung meja, antara Fatin dan Kamal. Kamal menghentikan suapan. Menanti jawapan yang bakal keluar dari mulut gadis itu. Sementara itu, kakinya tak boleh diam di bawah meja. Sedari tadi mencari kaki Fatin. Dia menahan tawa apabila sasaran sudah mengena. Kaki gadis itu digesel perlahan.

"Kalau keputusan bagus, Fatin rancang nak sambung belajar.”
Fatin mengerling Kamal yang sedap menyuap makanan. Sekali-sekala dia melayan Farisya dan Farina menceduk lauk ke dalam pinggan .
“Fatin nak ambil kursus apa?" Puan Umairah pula mencelah .
“Fatin nak ambil jurusan pendidikan,” jawab Fatin ringkas.
“Oh! Nak jadi cikgu. Bagus! Kalau Fatin dapat masuk maktab, empat tahun masanya nak habis belajar. Sepanjang masa tu kalau tak silap, tak dibenarkan kahwin kan?”
Ibu Kamal senyum memandang Fatin. Terhenti suapan gadis itu. Dijelingnya Kamal yang tersenyum nakal.

“Fatin tahu syarat-syarat tu pakcik,kenapa?”Fatin menyoal kembali.
"Lama lagilah jawabnya Kamal kena tunggu. Umi dah tak sabar nak timang cucu ni.”
“Uhuk...uhuk!”
Abah Kamal mengurut dada. Diteguknya sedikit air untuk melegakan rengkung. Matanya mengerling Kamal yang sedang laju menyuap makanan. Kemudian dia menoleh  pada Fatin. Gadis itu  cuma menjongket kening, tidak faham dengan bahasa tubuh lelaki itu.

“Mal..”
“Ya abah.”
“Kucing pun pandai bezakan ikan jantan dan betina.”
Kamal memandang abahnya dengan kerutan di dahi. Tidak dapat menangkap maksud kata-kata abahnya.
“Abah cakap  apa? Mal tak faham...”
Tiba-tiba Fatin bangun membawa pinggannya ke dapur. Terbeliak mata Kamal. Diselaknya alas meja ke atas. Abahnya ketawa terbahak-bahak. Kamal tersipu-sipu menahan segan.

“Apa kena pulak dua beranak ni?” tanya Puan Umairah.
“Anak awak ni dah jadi kucing miang. Punyalah miang sampai kaki saya dah nampak macam kaki Fatin.”
Giliran uminya pula mengekek ketawa. Tergeleng-geleng kepala wanita itu. Dibawanya Farina dan Farisya yang sudah selesai makan ke dapur untuk membasuh tangan.

“Biarkan aje pinggan tu kat dalam sinki Fatin. Nanti umi basuh.”
“Tak apa makcik, tak banyak pun,” jawab Fatin.
"Panggillah umi, kan sedap bunyinya. Nanti Fatin tolong umi potong buah tembikai tu, ya."
 Dia hanya mampu tersenyum. Ekor matanya menghantar umi  Kamal keluar dari dapur. Dalam hatinya tercuit  rasa kurang senang. Terlalu banyak perubahan yang berlaku pada dirinya sejak dia  berpacaran dengan  Kamal.
‘Ish, mula-mula cerita pasal kahwin. Lepas tu suruh panggil umi pulak!’ Bebel Fatin dalam  hati.

"Isya, Ina... Lepas makan ni kita balik, ya. Pergi cakap dengan Abang Kamal kita nak balik."
"Tak naklah Kak Atin! Isya nak main playstation lagi. Jom Ina."
Belum sempat Fatin memujuk, si kembar sudah berlari keluar. Fatin mengeluh. Dia menatang pinggan lebar berisi buah tembikai yang sudah dipotong ke ruang tamu. Perbualan mereka selepas makan tengahari itu lebih santai. Abah Kamal tidak dapat menyertai mereka kerana ada hal di luar.
Kerancakan perbualan terbantut apabila kedengaran suara seorang wanita memberi salam. Belum sempat umi Kamal bangun dari tempat duduk, seorang wanita berkaca mata hitam muncul di muka pintu.

“Ramainya orang, ada majlis istimewa ke?” tegur wanita itu.
Dia bersalam dan mencium pipi ibu Kamal. Wajahnya tebal dengan palitan mekap. Pakaiannya sangat ranggi. Dia nampak sangat betah berada di rumah Kamal. Farina dan Farisya yang terperanjat dengan kehadiran tetamu baru itu merapatkan duduk mereka bersama Fatin. Tinggal terus permainan video mereka.
"Mana bos?"
Mata wanita itu melingas melihat sekeliling. Bos yang dimaksudkan adalah abah Kamal.
"Dah keluar,” jawab Kamal.
 Wanita itu terangguk-angguk. Matanya tertancap pada Farina dan Farisya.
"Eh, budak-budak ni kembar ke?” Dia memicit hidung si kembar yang asyik memandangnya dari tadi. Kemudian dia memandang Fatin yang tersenyum nipis. Terpancar rasa tidak puas hati pada wajahnya.

“Siapa ni Mal?”
Wanita itu menolak cermin mata gelapnya ke atas kepala. Dia hanya menghulur hujung tangannya pada Fatin. Fatin tersenyum nipis, menyambut huluran tangan yang tidak ikhlas itu. Wanita itu  mengambil tempat di sebelah Kamal. Sebelah mendarat di atas peha Kamal. Berderau darah Fatin melihat perlakuannya. Dia pasti Kamal ada hubungan dengan wanita itu. Fatin memalingkan mukanya ke arah lain. Ada luka yang terhiris di hatinya.

“Fatin, kenalkan ini Zulaikha. Ika ini adik-adik Fatin... Farina dan Farisya."
Kamal mengalihkan tangan wanita itu dari pehanya. Dia memandang Fatin mohon pengertian. Fatin mengalihkan pandangan ke arah ibu Kamal. Pedih hatinya melihat tingkah Zulaikha.

“Umi, Fatin nak minta diri dulu.”
“Eh, dah nak balik? Cepatnya, belum sempat nak bersembang pun.” Ika duduk  tegak. Tapi  cuma  sebentar. Kemudian dia menyandarkan bahunya ke bahu Kamal. Fatin tersenyum kelat. Jengkel hatinya melihat Kamal langsung tak  berusaha untuk bangun dan menjauhkan diri dari Zulaikha.

“Tunggulah dulu Fatin. Umi ada buat bubur kacang. Lepas minum petang nanti baru balik ya,” pujuk Puan Umairah.
Dia faham apa yang bergolak dalam hati Fatin saat itu. Dikerlingnya Kamal, mahu anaknya  turut sama memujuk  Fatin untuk berada di situ lebih. Dia belum puas berbual-bual dengan Fatin. Kesopanan gadis itu telah  berjaya memikat hatinya. Namun Kamal sedang sibuk menepis  tangan Zulaikha yang asyik merayap di bahu dan pehanyaa ketika itu. Geram pula dia dengan Zulaikha. Kedatangannya langsung tak kena masa. Mujurlah anak  saudara. Kalau  tidak  memang  dah lama dihalaunya  balik.
“Tak apalah umi. Lagipun Fatin tak bawa telekung.” Fatin beri alasan.
“Pinjamlah telekung umi. Mari umi tunjukkan bilik solat.” Puan Umairah menarik tangan Fatin agar mengekorinya. Farisya dan Farina turut bangun. Mereka juga tidak selesa dengan kehadiran wanita gedik itu .

"Amboi, mesranya budak tu dengan Mak Lang. Panggil umi pulak tu. Ada apa-apa ke?" Panjang leher Ika menghantar  Fatin meninggalkan ruang tamu bersama ibu saudaranya. Kamal menjarakkan duduknya dengan Zulaikha.
"Dia kawan Mal,” jawab Kamal.
"Kawan? Kawan biasa ke bakal bini?" Ada nada cemburu dalam suara Zulaikha .
"Apa hal datang  ke rumah ni?" Kamal mengubah topik.
"Ika nak hantar fail sebut harga projek baru pada Pak Lang. Lepas itu Ika nak ajak Mal keluar. Dah lama kita tak keluar sama-sama."
Zulaikha mengelus rambut Kamal. Kamal menolak tangan Zulaikha dengan cara baik. Dia bangun, mengambil sepotong buah di atas meja. Kemudian  duduk di sofa yang bertentangan dengan gadis itu. Cuak hatinya kalau-kalau Fatin nampak perlakuan Ika tadi.
"Malaslah Mal nak keluar. Lagipun tetamu belum balik. Takkan Mal nak keluar pula. Tak eloklah macam tu."
“Ala...Mak Lang kan ada..." Ika merengek.
"Fatin dan adik-adik dia datang dengan Kamal. Jadi Mal yang akan hantar diaorang balik.”
“Huh! Mengada-adanya dia. Balik ajelah dengan bas...” Zulaikha menyilang  kaki, menampakkan pehanya yang terdedah. Ada niat yang terselindung di sebalik perbuatannya. Dia tahu Kamal sedang menjamu mata melihat pehanya yang  gebu.
“Mal nak pergi solat dulu. Nanti kalau Ika nak keluar, jangan lupa tutup pintu pagar.”
 Zulaikha  mendengus kasar. Dia tahu  Kamal menghalaunya  dengan bahasa yang paling  halus. Serta-merta hatinya jadi berbuku dengan kehadiran Fatin. Gara-gara perempuan itu Kamal  enggan  berlibur  dengannya.

"Ika tak solat?" perli Kamal sebelum masuk ke bilik.
"Bocor!" bentak Ika.
Beg tangan dicapai lalu terus keluar dari rumah Kamal.

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

Selesai melipat telekung, Fatin  mengikut Puan Umairah ke dapur. Umi Kamal membekalkan bubur kacang untuk Fatin dan adik-adiknya.Ternyata alasan sakit kepala berjaya meyakinkan wanita itu untuk membenarkan Fatin pulang lebih awal. Mereka berdua kembali ke ruang tamu bersama sebuah mangkuk tingkat yang telah terisi dengan bubur kacang. Hanya Kamal sahaja yang berada di situ.
“Mana Ika?” tanya Puan Umairah.
“Dah balik, merajuk sebab Mal tak nak keluar dengan dia.”
Mulut menjawab tapi mata melihat Fatin yang  berdiri  di belakang  uminya.  Buah hatinya nampak sugul. Kamal diserang rasa bersalah. Dia tahu ada yang tak kena. Kalau tidak, tak mungkin Fatin  akan menarik  muka  sebegitu.

“Hish, budak tu tak habis-habis nak mengganggu. Apa lagi yang dia nak, tak tahulah umi.” Puan Umairah mengomel sambil bersalaman dengan Farisya dan Farina .

“Dah nak balik ke?” tanya Kamal.
Pelik dia melihat Fatin dan adik-adiknya sudah keluar menyarung sepatu masing-masing.
“Ha’ah. Dia cakap dengan umi tadi dia sakit kepala. Mal hantar dia balik terus tau. Jangan melencong pula, kesian dia.” ujar Puan Umairah.
Fatin dan adik-adiknya dihantar hingga ke pintu kereta. Dia sudah berkenan dengan  Fatin Zulaikha. Ternyata calon menantu  yang dibawa oleh Kamal kali ini berjaya  menambat hati tuanya.
“Kirim salam pada mama dan papa. Senang-senang datanglah lagi ya Fatin.,” pesan Puan Umairah lagi .
Fatin hanya mengangguk dan tersenyum. Senyumnya  terus  hilang  apabila kereta meluncur keluar dari  perkarangan rumah. Dia diam membungkam. Hatinya masih sakit. Kemesraan Zulaikha tadi masih terbayang-bayang di matanya.

“Fatin...”
“Siapa dia?” tanya Fatin tiba-tiba.
Kamal menarik nafas dalam-dalam. Sudah dijangka Fatin pasti akan bertanya mengenai Ika.

“Dia bekas tunang abang,” jawab Kamal perlahan.
“Apa?” Fatin terperanjat. Ditenungnya Kamal dengan mata yang membundar.
“Biar abang jelaskan...” Dia cuba menenangkan Fatin. Tangan kirinya mencari jemari Fatin.
“Jangan sentuh!” Fatin merentap kasar tangannya lalu membuang pandang ke luar kereta. Matanya sudah terasa panas. Kolam air matanya hampir melimpah. Segera diseka dengan hujung baju. Dia  tidak pasti,  adakah dia sudah bersedia untuk mendengar sejarah cinta Kamal dan Zulaikha. Rupa-rupanya masih banyak lagi kisah hidup Kamal yang  masih belum diketahui.

“Itu kisah lama sayang. Abang bertunang dengan dia semasa baru belajar di universiti dulu. Kami sepupu, tapi kami bertunang bukan atas dasar suka sama suka.”
Kamal berhenti sebentar. Melihat Fatin menyeka airmata buat Kamal rasa bersalah. Pedih hatinya melihat Fatin berhiba. Tapi dia perlu menjelaskan kedudukan sebenar. Dia tidak mahu menyorokkan apa-apa dari Fatin. Dalam masa  yang sama dia menyumpah Zulaikha. Kemunculan sepupunya itu telah  membuatkan hubungan dia dan Fatin sedikit goyang.

“Keluarga Ika dah banyak menolong keluarga kami. Umi dan abah tak sampai hati nak tolak permintaan ayah Ika untuk berbesan pada masa itu. Lagipun ayah dia tengah nazak. Jadi pihak kami terus bersetuju. Tak lama lepas tu ayah dia  meninggal dunia, kami putus tunang.”
Kamal mengerling Fatin yang masih memandang ke luar tingkap. Ligat otaknya memikirkan modal untuk mengembalikan semula senyuman Fatin. Dia tidak suka Fatin berkeadaan begini.

“Sayang, percayalah abang tak ada apa-apa perasaan pun pada Ika. Sepanjang kami bertunang pun, kami jarang keluar bersama. Ika pun masa tu dah ada pilihan sendiri.”
“Kalau betul dia dah ada pilihan lain, apsal gedik sangat dengan abang tadi?”  tanya Fatin kasar.
 “Dah memang perangai dia macam tu. Lagipun dia sepupu abang. Bekerja dengan abah pula tu. Tak ada sebab abang nak halang dia datang ke rumah. Sayang... sumpah, abang tidak  ada perasaan langsung pada dia. Kami bertunang hanya atas nama saja.” Kamal mengulangi kata-katanya.
“Huh! Macam cerita telenovela pulak. Mulut aje cakap tak ada perasaan. Tapi tadi elok aje bergesel-gesel. Kenapa boleh putus tunang? Dia kan lawa. Fesyen pun up to date, suka meraba-raba,  macam abang juga. Memang sepadan sangat! Fatin ni kolot, bergambar bersama pun tak pernah. Keluar dating pun payah. Kalau nak keluar kena bawa escort!”
 Termengah-mengah Fatin meluah rasa. Air matanya mengalir deras. Ikutkan hatinya, mahu   saja dia melompat  keluar dari  kereta. Hatinya tidak terpujuk dengan sumpah palsu Kamal.
“Sayang, dalam hati abang ni dah tak ada orang lain. Cuma Fatin aje dalam hati abang. Please trust me...” pujuk Kamal.

Telefon Kamal berbunyi. Dia berhenti di tepi simpang masuk ke kawasan rumah Fatin. Dikerlingnya Fatin dengan dahi yang berkerut dan berkira-kira untuk menjawab panggilan. Nombor yang tertera tidak ada rekod di dalam telefonnya.
“Kenapa tak angkat telefon tu? Jawablah, mana tahu kot-kot Ika yang telefon,” perli Fatin.
“Abang tak tahu siapa yang call. Kalau Fatin masih tak percaya pada abang, Fatin jawabkan panggilan ni...”
Sepantas kilat Fatin menyambar telefon di tangan Kamal. Butang hijau ditekan. Gajet kecil itu dipekap ke telinga. Fatin diam sebentar. Ingin mendengar suara di dalam talian terlebih dahulu.

“Hello Abang Kamal...”
Buntang mata Fatin. Darah menyirap hingga ke muka. Dia kenal suara gedik itu. Menggigil bibirnya menahan marah. Telefon bimbit bertukar tangan. Kamal kehairanan melihat reaksi Fatin.
“Hello...” ucap Kamal.
“Abang Kamal, Lina ni.”
Kamal tersentak. Wajah Fatin dipandang dengan rasa terkejut. Laju Kamal menggeleng, cuba menyatakan sesuatu. Tetapi Fatin lebih pantas memalingkan muka ke luar.
“Mana dapat nombor abang ni?” tanya Kamal.
“Adalah...Abang kat mana tu? Boleh kita jumpa kejap tak?” rengek Lina.
“Abang dengan Fatin ni.”
“Dengan Fatin? Boleh Lina cakap dengan dia. Ada hal sekolah Lina nak tanya,” pinta Lina.

Kamal serba-salah. Dia menyinggung lembut bahu Fatin.
“Lina nak cakap.” ujar Kamal perlahan.
Fatin berpaling. Telefon di tangan Kamal beralih lagi.
“Hello, kau nak apa?” jerkah Fatin.
“Eh, apsal marah-marah ni? Tak boleh cakap elok-elok ke?”
Tawa Lina di dalam talian mendesingkan telinga Fatin.

“Apahal kau telefon ni?”
“Saja nak ingatkan Abang Kamal pasal besok?”
“Besok? Kenapa dengan besok?”
“Abang Kamal janji nak bawa aku pergi jalan-jalan. Jomlah ikut sekali.” Lina ketawa lagi.

Fatin ketap gigi sekuat hati. Dia sudah tidak mampu mengawal amarah. Telefon di tangan dibaling sekuat hati ke arah Kamal. Balingan Fatin tersasar ke cermin tingkap. Terburai isi perut telefon Kamal.
“Penipu! Fatin benci abang!”
Fatin cuba membuka pintu kereta. Tapi berkunci. Kamal memegang pergelangan tangan Fatin. Menghalang Fatin keluar dari kereta.
“Lepaslah! Fatin benci dengan abang. Semalam beria-ia sangat nak lari dari Lina. Tapi hari ni, tak cukup dengan Ika. Dalam diam abang bagi nombor telefon pada Lina!”
“Abang tak pernah bagi nombor telefon abang pada Lina. Sumpah!”
“Tak payah nak bersumpah sangatlah! Abang tu memang gatal! Lepaslah, Fatin nak balik!”
“Takkan nak jalan kaki? Adik-adik tu macam mana?”
Fatin menoleh ke belakang. Baru sedar si kembar sedang nyenyak tidur. Kamal memulakan perjalanan semula. Tangan kirinya masih memegang tangan Fatin.
“Lepaslah tangan ni!” bentak Fatin.
Kamal buat tak tahu. Fatin semakin bengang. Berombak dadanya menahan marah.
“Abang tak pernah bagi nombor telefon abang pada Lina.” Kamal cuba membela diri lagi.
“Kalau bukan abang yang bagi,macam mana dia dapat nombor telefon tu.Nombor tu turun dari langit?” bentak Fatin.

Kamal menghembus nafas kasar. Tak tahu macam mana cara lagi untuk memujuk gadis itu.
“Sayang, kita tak boleh berbincang dalam keadaan macam ni. Kita hantar adik-adik dulu ya. Nanti kita keluar kejap,” ucap Kamal lembut.
Fatin tidak menjawab. Dia memeluk tubuh. Airmata yang mengalir di sapu kasar dengan belakang telapak tangan. Dia mengejutkan Farina dan Farisya. Terpisat-pisat kembar itu membuka mata.
“Dah sampai ni, jom turun.”
Dia dan Kamal keluar dari kereta dan membantu kembar keluar dari kereta.”
“Abang tunggu Fatin  kat luar ya. Nanti abang bagitau Along Faiz.” kata Kamal.
Fatin tidak menjawab. Dipimpin Farina dan Farisya masuk ke dalam rumah. Dan dia tak keluar-keluar lagi selepas itu.


No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.