Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 10, 2014

APA DAH JADI? BAB 2

           Sesungguhnya inilah rezeki Kami kepada kamu yang tidak habis-habisnya.’
            Ayat ke lima puluh empat dari surah Shad itu aku ulang sebanyak tiga puluh tiga kali. Mudah-mudahan murah rezeki kami sekeluarga pada hari ini. Banyak lagi impian yang belum tercapai. Aku nak bawa mak menziarahi rumah Allah. Nak beli kereta, tambah tabungan pendidikan Zarith dan yang paling penting... aku nak kahwin dengan Durani.
            “Abang Mie...”
            Aku toleh ke pintu. Zarith masih belum lengkap berpakaian sekolah. Aku jongket kening bila dia menggamit laju. Muka dia seperti ternampak sesuatu yang mengejutkan. Apahal pula budak ni?
            “Kenapa?” Aku tanya dia.
            “Marilah keluar kejap...” Suara dia perlahan, tapi agak keras.
            Aku lipat sejadah dan ikut dia ke ruang tamu. Zarith terus menonong ke pintu. Dibukanya  pintu utama lebih luas. Dia pandang aku sekali lagi sebelum jari telunjuknya lurus menuding ke arah motor. Tak ada apa-apa yang pelik pada motor mak. Tapi motor aku....
            “Alahai, bila pulak pancit ni?” Aku tepuk dahi. Cepat-cepat aku sarung selipar Jepun yang tunggu masa saja nak putus dan menyangkung di tepi motor. Kopiah yang masih berada di kepala aku tolak sikit ke belakang.
            “Hmm...cepat betul DIA bagi ‘rezeki’ pagi ni...”
            “Abang cakap apa?” Zarith turut menyangkung di sebelah aku. Kepoh betullah budak ni.
            “Eh, tak ada apa-apalah. Pergi masuk dalam, siap.”
            “Tayar dah pancit, macam mana nak pergi sekolah?”
            “Motor mak kan ada...”
            Zarith bercekak pinggang. Dah mulalah  tu. Macamlah aku tak tahu akal sekupang dia.
            “Tapi hari ni adik nak Abang Mie hantar. Motor Abang Mie dah pancit. Jadi, tak payahlah pergi sekolah.”
            Kan... Betul tak tekaan aku. Suka hati dia saja nak ponteng sekolah. Dia ingat aku ada share ke di sekolah tu? Kain aku kilas tinggi. Telinga dia aku jadikan sasaran. Aku bawa dia masuk ke rumah dengan tangan masih memiat cuping comelnya.
            “Kau jangan nak ngelat eh. Helah kau tu semua dah ada dalam poket abang. Pergi ambil kunci motor mak. Abang hantar dengan motor mak nanti.”
            Terjerit-jerit dia minta aku lepaskan piatan. Eleh, macamlah aku tak tahu. Dia sengaja memancing perhatian mak. Bukannya kuat pun aku tarik telinga dia. Sempat juga aku lepuk punggung Zarith ketika dia berjaya melarikan diri. Panjang betul akal budak kecik ni.
            Aku keluar semula ke laman rumah. Aduh! Lambatlah aku pergi kerja hari ni. Kalau aku pinjam motor mak, macam mana dia nak jemput Zarith di sekolah nanti. Aku bukannya boleh tinggalkan sekejap stesen minyak tu. Kepala yang tidak gatal aku garu laju. Serabutlah!
            “Motor kau kenapa?” tanya mak ketika berselisih dengan aku di ruang tamu.
            “Pancit.” Aku jawab pendek. Apa-apa hal kena maklumkan pada bos dulu yang aku masuk lambat hari ni.
            Aku duduk di ruang tamu sambil mendail nombor bos stesen minyak. Harap-harap dia tak bising. Lagipun bukan selalu aku datang lambat. Zarith dah siap menggalas beg. Dia duduk mengadap aku sambil menyarung stokin.
            “Hari ni adik nak abang hantar. Jangan ngelat eh!”
            Aku jelir lidah padanya. Mujurlah adik yang aku ada cuma dia seorang. Dialah teman bergurau dan teman bergaduh. Tak apalah, demi dia aku layankan juga. Kunci motor mak di atas meja aku ambil. Tangan kanan masih memekup  telefon di telinga. Bos aku ni membuta lagi ke?
            “Nak apa Joe?”
            Uik, macam tu ke cara dia jawab panggilan? Aku telan air liur, nak legakan rasa terperanjat. “Sorry bos, ganggu pagi-pagi ni..”
            “Ya... ya... apa hal?”
            “Motor saya pancit. Saya...”
            “Okey, lepas tukar tayar nanti masuk kerja macam biasa. Nanti kau balik lambat sikit. Ganti balik berapa jam yang kau lambat tu.”
            “Bos, saya... hello...hello...”
            Dah senyap? Laa... macam tu ke dia berurusan dengan pekerja? Senangnya dia buat keputusan. Aku pandang mak. Tapi sekejap saja. Apa-apa hal kena hantar Zarith ke sekolah dahulu. Kalau nak pergi kedai motor pun, mana ada kedai yang buka pagi-pagi buta ni.
            “Kau pergilah tukar tiub tayar tu. Biar mak hantar adik.”
            “Tak apa mak. Mie dah janji dengan dia semalam. Merajuk pula budak kecik tu nanti.”
            Aku masuk bilik dan salin kain pelikat. Tabung Mister Potato aku ambil. Dah ringan. Berat betul rasa hati nak buka penutup tabung. Tapi apa pilihan yang aku ada? Mak nak duit lauk. Zarith nak yuran tiusyen di sekolah. Barang-barang jualan burger perlu ditambah. Semuanya perlukan duit. Duit! Duit! Duit! Nak minta tolong Durani? Tak mungkin. Jatuhlah saham aku.
            “Abang Mie! Cepatlah...Dah pukul berapa ni?”
            Zarith dah melaung di luar rumah. Dengan pantas aku buka penutup tabung. Dua keping not lima puluh aku tarik keluar dari tabung. T- shirt lusuh yang tergantung di belakang pintu aku ambil.
            “Tolong isi minyak motor tu sekali ya Mie.”
            Aku cuma angguk. Helmet untuk Zarith aku ambil dari tangan mak. Dia pun turut menyarung selipar. Ketika aku hidupkan enjin motor, mak letakkan beg sekolah Zarith di dalam bakul motor. Aku perhatikan meter minyak. Sempat ke nak sampai sekolah ni?
            “Mak ni kan, sama aje dengan Durani tau?”
            “Eh, apsal pulak?”
            “Tahu guna aje. Tapi tak reti nak isi.”
            Aku tunjuk meter minyak yang dah paras nyawa-nyawa ikan. Mak tersengih sambil tunjuk muka tak bersalah. Aku buat-buat jeling marah.
            “Apa guna ada orang lelaki kat rumah? Bila lagi mak nak manja-manja dengan kau...”
            “Nak manja-manja konon. Suruh cari abah baru tak nak pulak...”
            Mata mak membulat. Aku tekup mulut. Zarith dah ketawa mengekek di belakang. Laju tangan mak melepuk-lepuk lengan aku.
            “Banyaklah kau punya abah baru. Pergi hantar adik tu cepat!”
            Aku pulas minyak dan motor meluncur perlahan meninggalkan mak yang tersengih lebar. Mujur mak jenis yang tahan bergurau. Kalau tidak, agaknya dah lama mak makan hati dengan aku.
            “Abang Mie...” Zarith memanggil sambil menepuk-nepuk bahu aku.
            “Ada apa?” Aku menjerit sedikit. Melawan suara kenderaan yang memotong kami.
            “Kita singgah kedai kejap boleh tak? Adik nak beli kertas lukisan.”
            Hish! Budak ni ada saja kehendaknya. Agaknya macam inilah setiap pagi mak melayan karenah dia. Aku singgah di kedai, tunaikan permintaannya. Kedudukan sekolah dan rumah bukannya jauh sangat. Tapi apa yang merisaukan aku sekarang, minyak motor mak ni cukup ke nak sampai ke sekolah? Aku tengok jam di tangan. Kalau aku singgah di stesen minyak, mungkin Zarith akan lewat masuk ke sekolah. Kalau aku terus hantar Zarith ke sekolah, besar potensinya untuk aku menolak motor ke stesen minyak pula nanti.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ ~ ~  ~
            “Eee! Tak pasal-pasal kena tolak motor. Kalau aku isi dulu minyak ni tadi kan bagus! Macam-macam hal!”
            Pagi-pagi buta dah kena ‘ukur jalan’. Tak ada pula sesiapa yang aku kenal lalu di waktu begini. Ketika melintas papan tanda stesen minyak, aku baca kilometer yang tertulis di bahagian bawah. Lima ratus meter lagi. Fuh! Lima ratus meter dah macam lima kilometer. Mencungap nafas aku menolak motor.
            “Joe! Kau tak kerja ke hari ni? Bos cakap kau masuk lambat.”
            Aku cuma pandang Arif, kawan sekerja yang sedang melayan pelanggan di pam sebelah. Malas aku nak menjawab. Peluh masih meleleh. Aku tongkat motor dan terus ke kaunter. Zara, Si Minah Kepoh dah bercekak pinggang ketika aku menyeluk dompet. Johaimi... Sila pasangkan alat kalis bebel.
            “Pam dua...penuh.” Aku letak wang kertas sepuluh ringgit di atas kaunter. Lepas tu terus ke peti sejuk, ambil air mineral botol kecil. Kering tekak aku kena tolak motor pagi-pagi buta ni.
            “Joe, baki ni kau tak nak ke?” Zara melaung sebelum aku menarik pintu kaca. Berjaya juga dia menarik perhatian aku. Kalau tengah loaded, memang aku sedekahkan saja duit baki tu. Tapi sekarang tengah ‘kering.’ Sepuluh sen pun sangat berharga buat aku sekarang.
            “Kau nak masuk kerja pukul berapa ni? Kesian Arif tu kena handle pam sorang-sorang.”
            “Hek eleh! Kau ni lebih-lebih pulak! Aku dah cakap dengan bos tayar motor aku pancit.”
            “Habis tu? Dah tukar ke belum tiubnya?”
            “Mana ada kedai buka waktu ni. Kau apa tahu? Apa, kau ingat aku ni jenis suka ‘tuang kerja’ ke?”
            Menyampah pula aku tengok dia pagi ni. Makin menjadi-jadi perangai kepohnya. Ringan aje tangan aku nak melempang orang. Panas betul hati tengok dia menjuih mulut. Macam dia pula yang bayar gaji aku. Baik aku keluar dulu dari situ sebelum lebam biji mata dia aku balun.
            Dah terlepas dari Zara, ada seseorang pula yang buat aku kaku sekejap di depan pintu Kedai Serbaguna. Abah Durani! Aduh, mana nak menyorok ni. Aku pandang baju sendiri. Ya Allah! Selekehnya. Nak masuk dalam kedai semula, pasti Zara akan bersoal-jawab lagi dengan aku. Apa pilihan yang aku ada? Ah!Buat macm biasa sajalah.
            “Assalamualaikum pakcik... Isi minyak ke?” Cewah! Pandai pula aku beramah mesra dengan bakal bapa mertua. Cayalah Johaimi.
            “Waalaikumsalam. Kalau datang sini, takkan nak makan nasi lemak pulak?” Pak Zahar senyum. Tapi mata dia pandang aku dari atas ke bawah. Dah macam gurubesar pencen. Eh, dia memang  bekas gurubesar pun.
            Dia masuk dalam Kedai Serbaguna, aku terus ke pam. Baik aku isi minyak cepat sebelum dia keluar dari kedai. Segan betul bertembung dengan abah Durani dalam keadaan macam ni.
            “Ni motor mak kau, kan?”
            Aku tinjau pam sebelah. Eh, bila pula dia ada di situ? Aku mengangguk dan buat-buat sibuk mengisi minyak. Terasa lambat pula minyak ni nak masuk dalam tangki motor. Pak Zahar, tolonglah jangan tanya lebih-lebih. Rasa macam dia tengah buat temuduga terbuka untuk cari  calon menantu pula. Selesai isi minyak, aku terus melompat naik atas motor. Pak Zahar masih belum selesai. Almaklumlah, dia empat tayar. Pasti lebih besar tangkinya dari tangki motor aku.
            “Tak kerja ke hari ni?” Alamak, sempat dia sambung menyoal aku. Jawab aje Joe. Jangan sombong sangat.
            “Kerja pakcik. Masuk lambat  sikit. Tayar pancit.” Dalam senyum kelat, aku jawab perlahan soalan Pak Zahar.
            “Hmm... mujur motor mak kau ada. Eh, kau tak teringin ke nak pakai kereta? Dah setahun kau kerja kat sini kan? Takkan tak boleh cari kereta secondhand sebuah?”
            “Simpanan belum cukup lagi pakcik. In sha Allah... Ada rezeki nanti merasalah saya pakai kereta.” Aku paksa diri untuk terus tersengih macam kambing kena simbah air walaupun telinga ni dah makin panas. Dalam baik dia perli aku. Sabar Johaimi... sabar. Bakal bapa mertua tu.
            “Kalau nak cerita pasal duit ni, sampai bila-bila pun tak pernah cukup. Betul tak? Anak aku tu, tak sampai setahun kerja dah boleh pakai kereta. Senang sikit dia nak bawa mak dia ke pasar. Kau carilah sebuah... Kesian mak kau tu. Dari muda sampai ke tua tak pernah merasa duduk bersandar dalam kereta.”
            “Eh, merasa juga pakcik... Kereta sewa...”
            “Itu kereta orang! Mana sama dengan kereta sendiri...”
            “Kereta yang Dura pakai tu pun belum habis bayar lagi, kan? Kiranya dia pun macam pakai kereta sewa jugalah. Beza kereta sewa yang saya pakai tu, bayar ikut  hari. Cukup masa kena pulangkan balik. Kereta Dura bayar tiap-tiap bulan. Tapi kalau missed bayar, silap-silap haribulan tengah-tengah malam orang datang tarik. Lagi haru... Balik dulu pakcik. Assalamualaikum...”
            Aku bagi abah Durani telan asap motor. Sengaja aku pulas minyak kuat-kuat. Panas hati aku beb! Baik aku blah sebelum orang tua ni reject aku jadi menantu dia. Apa, dia fikir dah cukup bagus ke bila anak dia pakai kereta? Eleh! Kalau jalan jammed, motor juga yang untung tau!
            Sampai rumah aku terus ambil spanar dan perkakas lain untuk buka tayar motor aku yang dah kempis. Tak masuk pun dalam rumah. Hati masih panas lagi. Aku takut nanti mulut ni laju aje mengadu dengan mak. Mak aku tu bukannya boleh terasa hati. Habis satu kampung diamukkan nanti.
            “Tak nak sarapan dulu ke?” Mak muncul dari pintu  dapur. Aku cuma angkat kepala sikit kemudian sambung buat kerja.
            “Mie nak buka tayar ni dulu. Mak makanlah dulu.”
            “Mak dah makan. Bos kau tak kisah ke kau masuk lambat Mie? Kedai motor buka pukul sepuluh. Kau MC ajelah hari ni. Boleh tolong bakar sampah kat belakang rumah tu. Mak tak larat nak angkat kayu-kayu kering tu sorang-sorang.”
            “Tak boleh mak. Orang tak ada kat stesen minyak tu. Malam ni pun rasanya Mie balik lambat. Bos suruh ganti balik waktu kerja yang Mie pakai...”
            “Ooo, patutlah dia tak marah kau masuk lambat ya?”
            “Hmmm...” Aku teruskan kerja-kerja membuka tayar. Mak masih jadi pemerhati.
            Malam ni tak dapatlah aku berniaga. Aduh! Dah rugi sehari. Gerenti balik lambat malam ni. Kedai motor ni pun satu. Kenapalah tak buka awal-awal. Menyusahkan orang betul. Mak dah masuk ke dalam. Penat berdiri agaknya. Nak suruh dia tolong pun bukannya dia tahu bab-bab motor ni. Selesai buka tayar. Aku masuk dalam, keringkan  peluh dan tukar baju yang elok sikit. Risau juga kalau terserempak sekali lagi dengan Pak Zahar.
            Sementara menanti pukul sepuluh, aku isi perut sambil mengadap televisyen. Tak ada rancangan yang menarik pun pagi ni. Kebanyakannya cuma rancangan untuk surirumah. Baru nak tambah air Milo di dapur, telefon yang aku letak di atas meja berbunyi. Durani call. Serta-merta aku teringat abah dia. Sindiran Pak Zahar masih berdesing di telinga. Maka dengan itu aku abaikan saja panggilan Durani. Tak lama kemudian, telefon rumah pula berbunyi.
            “Mak, kalau Dura yang call cakap Mie tertinggal handphone kat rumah...”
            “Uik! Bergaduh dengan mata air ke?”
            Bibir terkemam. Aku berdiri di pintu dapur sambil menunggu mak menjawab panggilan. Nak pastikan tekaan aku betul atau tidak.
            “Assalamualaikum... Ya Dura... Johaimi?” Mak membeliak mata. Laju kepala aku menggeleng tanda tidak mahu Durani tahu aku masih berada di rumah.
            “Err... Mie pergi kedai tayar. Motor dia pancit. Dura tak call handphone dia ke? Ooo...kejap ya. Makcik tengok kat dalam bilik dia kejap.”
            Mak tekup gagang telefon dengan tangan. “Satu...dua...tiga...empat...sepuluh!”
            Gagang telefon diletakkan kembali di telinga. “Helo Dura. Budak Mie ni tertinggal handphone dalam biliklah. Hish budak ni! Entah apa yang dia ingat, entah.”
            Aku tekup mulut, tahan gelak. Pandainya mak aku berlakon. Bagus! Aku ke dapur. Pandai-pandailah mak nak ‘cong’ Durani. Banyak kerja lagi yang perlu aku selesaikan hari ni. Mula-mula pergi tukar tiub. Lepas tu pergi kerja dan ganti balik waktu kerja pagi tadi sampai malam. Lepas tu balik rumah, tidur. Besoknya bangun, pergi kerja. Malam jual burger... aduh! Tak menarik betul putaran hidup aku ni rupanya.
            “Mie... nanti singgah kedai belikan mak tepung. Kau nak pergi tukar tayar, kan?”
            “Ya... Mak, Dura cakap apa?”
            “Dia kata malam ni dia tak ada tiusyen. Tak berapa sihat.”
            “Ha? Dia tak sihat? Ala.. apsal mak tak cakap dengan Mie tadi?”
            “Ewah-ewah! Tadi kau yang suruh mak menipu. Sekarang kau nak salahkan mak pula. Dia senggugutlah! Bukan sakit teruk pun. Biasalah, orang perempuan. Kalau dia yang sakit,  bukan main kelam-kabut lagi kau, ya. Cuba kalau mak suruh kau belikan panadol. Sampai berjanggut pun belum tentu dapat lagi.”
            “Alololo... Merajuk pula ketipang payung buah hati pengarang jantung Mie ni.”
            Aku peluk mak dari belakang. Pandai betul dia ambil kesempatan meluahkan rasa hati. Mak tolak muka bila aku nak kucup pipi berkedutnya. Aku cuba sekali lagi. Nampak mata dia berair. Aku berdiri depan mak. Betullah, ada air di mata dia.
            “Eh! Mak betul-betul merajuk ya? Mak, Mie minta maaf. Mie...”
            “Sudahlah. Mak acah aje...”
            Dia lepuk tangan aku dan cepat-cepat ke sinki. Habis diputarnya kepala paip. Aku ikut, nak tengok sekali lagi. Betul ke dia tak menangis? Mata aku tak pernah silap. Muka mak merah. Betullah dia menangis. Ya Allah! Apa aku dah buat ni?
            “Mak... Mie minta maaf. Janganlah menangis. Mie tahu kadang-kadang Mie suka bergaduh dengan mak. Tapi Mie bukan nak jadi anak derhaka. Mie gurau aje...”
            Aku pun dah nak menangis juga. Tangan mak yang basah aku kucup. Aku nak peluk tapi mak tolak badan aku. Matanya yang masih berair merenung aku dengan tajam. Lama dia pandang aku. Tak semena-mena tangannya melempang perlahan pipi aku.
            “Bertuah punya anak! Kau memang tak boleh buat mak nak marah lama-lama dengan kau.”
            Dia senyum bersama. Fuh! Lega. Nasib baik mak cepat sejuk. Aku pegang tangan mak dan aku lekapkan ke pipi. “Nanti Mie belikan panadol satu papan eh.”
            Terukir senyum lebar di bibir mak. Dahi aku ditunjal lembut. Reaksi spontan mak pagi ni buat aku sedar yang dah terlalu lama aku abaikan perasaan mak. Kalau masa belajar dulu, asal balik kampung pasti aku akan sewa kereta dan  bawa mak jalan-jalan. Tapi sekarang aku sibuk mengumpul duit. Nak meminang Durani kononnya. Tapi dah setahun, tabung  aku tu tak penuh-penuh. Mungkin mak tak berapa suka dengan apa yang aku buat sekarang. Sebab itu rezeki susah nak melekat agaknya.
            Sabarlah mak. Satu hari nanti Mie pasti benda alah bertayar empat tu akan berada di laman rumah kita, Buat masa ni kita gunalah dulu yang bertayar dua. Erk! Tayar? Aku tengok jam. Dah dekat pukul sembilan setengah.
            “Mie pinjam motor mak kejap, ya.”
            Aku peluk mak lagi sekali kemudian terus ke ruang tamu, ambil kunci motor. Tayar motor yang sudah aku tanggalkan dari badannya motor aku ambil. Minta-minta kedai motor disimpang masuk ke kampung ni dah buka.
            “Handphone ni memang tak nak bawa ke?” Mak muncul di pintu. Dia hulur handphone yang aku letak di meja tadi.
            “Biarlah tinggal mak.”
            Aku terus memecut ke kedai motor. Alhamdulillah, kedai dah buka. Mujur belum ada pelanggan lain yang datang. Dekat setengah jam di kedai motor. Sempat juga aku ke kedai belikan tepung untuk mak. Siap tukar tayar, kena pasang di motor pula. Waktu semakin larut. Pukul sebelas setengah baru semuanya selesai. Kalau macam ni, dah serupa macam nak masuk kerja shif petang.
            “Mak! Mie tak tunggu makan tengahari tau. Dah lambat ni.”
            Aku melaung pada mak yang sedang memasak  di dapur. Tuala mandi aku capai. Kalau aku masuk kerja pukul dua belas, maknanya aku kena ganti lima jam waktu kerja yang telah aku gunakan. Pukul lapan malam nanti baru habis kerja. Hmm... memang tak berniagalah aku malam ini nampaknya. Minta-minta Mazli dan Fauzi buka gerai malam ni. Kalau tidak, rosaklah roti-roti burger tu. Rasanya besok adalah tarikh luputnya.
            Sampai stesen minyak, bos dah tunggu. Dia cuma pandang saja bila aku tergesa-gesa punch card. Kebetulan pula kenderaan tengah banyak, aku terus ke pam. Mana-mana pelanggan yang terkial-kial nak isi minyak, aku bantu. Ada yang pandai isi minyak sendiri, aku tolong lapkan cermin depan dan belakang saja.
            “Joe! Masuk sekejap.”
            Bos panggil aku melalui mikrofon. Budak Bangladesh yang sedang melayan pelanggan di pam sebelah cuma tersengih. Mesti dia fikir bos nak ‘sembur’ aku. Eleh, apa nak takut? Bukan ke pagi tadi bos juga yang suruh aku overtime? Ni mesti ada hal lain.
            “Joe, kau jaga kaunter hari ni. Budak kerja petang tu aku dah berhentikan. Tangan panjang!”
            Uik, dia dah pecat Zara? Tak sangka pula kawan sekolah aku tu buruk perangainya. Emm, memang tak boleh dibuat bini. Aku masuk ke kaunter. Tak ada masalah bagi aku untuk bekerja di mana-mana bahagian di stesen minyak ni. Dah senior, kan? Semua skop kerja di sini aku dah tahu. Kiranya aku ni bolehlah dikatakan orang kepercayaaan bos juga. Sebab itulah dia tak bising bila aku masuk lambat hari ni.
            Lenguh habis satu badan hari ni. Lepas kaunter, bos suruh pantau pekerja yang baru diambil bekerja hari ni. Cepat betul dia cari pengganti Zara. Setengah jam sebelum waktu kerja aku habis, lori tangki pula datang. Bila tengok lori lapan belas tayar tu parking di depan stesen minyak, aku tahu yang aku bakal balik lambat hari ni.
            “Joe, lori sampai...” Bos menjenguk kepala dari pejabatnya.
            “Kau pergi tengok, biar aku cover kaunter.” Dia keluar dari pejabat dan terus masuk ke kaunter. Tak pasal-pasal hari  ni pun dia jadi pekerja juga.
            Aku terus buat kerja aku sebaik saja dah berada di atas tangki lori dua belas tayar itu. Buka pam, periksa level plumbum, periksa ‘deeping meter’ dan sign buku  log. Siap! Okey, dah boleh balik. Malam ni aku tak singgah di gerai burger. Biarlah Mazli dan Fauzi yang jaga gerai hari ini. Sampai rumah dah pukul sepuluh malam. Mak dan Zarith sudah tidur. Aku tak ambil masa yang lama untuk mandi dan makan. Apa yang aku nak buat lepas ni adalah, tidur. Tapi sebelum tu, kena dengar suara buah hati dahulu.
            Bibir menguntum senyum bila  terbaca mesej dari Durani. Miss you so much! Eleh, baru tak jumpa sehari dah rindu? Aku terus dail nombor dia. Tapi lambat pula dia menjawab. Dah tidur ke?
            “Assalamualaikum Joe...” Suara Durani di hujung sana buat penat aku hilang. Belum tidur lagi rupanya.
            “Waalaikumsalam sayang... Belum tidur lagi?” Aku menjawab sambil memeluk bantal panjang. Kononnya macam tengah peluk Duranilah tu.
            “Belum... Joe, Dura nak tanya sikit  ni. Tadi Joe jumpa abah Dura ya?”
            “Emm, pagi tadi. Kenapa?” Hairan aku mendengar suara Durani yang agak keras. Serta-merta teringat pertemuan dengan Pak Zahar pagi tadi. Apa pula yang diadukan oleh orang tua Durani tu?
            “Joe ni kan, langsung tak reti nak ambil hati abahlah. Kenapa Joe ajak orang tua tu berbahas? Joe tau tak? Abah kata Joe kurang ajar.”
            “Eh, bila masa pula Joe kurang ajar? Joe cakap benda yang betul...”
            “Ah, malaslah nak dengar. Lain kali kalau orang tua membebel, Joe diam ajelah. Yang nak berbalas-balas tu kenapa? Tak pasal-pasal  Dura pun kena bebel sekali.”
            “Dura sayang. Cuba dengar dulu Joe cakap...’
            “Malaslah nak dengar. Dura dah mengantuk ni. Bye.
            Ceh! Ingatkan boleh hilang penat bila dengar suara buah hati. Rupa-rupanya makin serabut kepala aku. Membazir prepaid aje. Tidurlah!
            

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.