Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 18, 2014

APA DAH JADI? BAB 7

               
            “Kau dengan Durani bergaduh ke?”
            “Bergaduh? Taklah mak. Okey aje. Kenapa?”
            “Dah seminggu mak tak dengar kau sebut nama dia. Kalau tidak tu pantang celik mata, nama dia dulu yang keluar dari mulut kau.”
            Aku tersengih mendengar komentar mak. Dah seminggu ke? Aku buat kira-kira sendiri. Yalah, dah seminggu aku tak call  Durani. Sejak ambil alih stesen minyak Abang Zali, aku rasa macam tak cukup masa untuk diri sendiri. Masih banyak benda yang aku perlu belajar di stesen minyak. Walaupun dah  setahun bekerja di situ, menjadi orang bawahan dengan menjaga orang-orang bawahan adalah dua perkara yang berbeza. Kalau dulu, habis waktu kerja boleh terus balik. Tapi sekarang, banyak benda aku kena pantau. Susah juga menjaga amanah orang ni.
            “Mie tengah sibuk kumpul duit ni mak...”
            Dengusan halus mak kedengaran di telinga. Aku tahu dia tidak yakin aku mampu menyediakan amaun yang diminta oleh abah Durani. Aku sendiri pun hampir hilang keyakinan sebenarnya. Dua puluh ribu. Memang tiap-tiap hari aku kena bawa bekal dari rumahlah jawabnya. Pergi kerja naik basikal. Jimat duit minyak. Tapi itu pun masih belum cukup. Dua puluh ribu untuk Durani. Untuk mak? Takkan nak kenduri bergulaikan ikan masin? Pasti mak nak buat kenduri yang sempurna sebab aku anak lelaki tunggal.
            “Nanti mak cuba-cuba tanya bapa-bapa saudara kau. Mana tahu kalau diaorang boleh tolong.”
            “Eh, janganlah mak. Mie tak suka mak buat macam tu. Sampai bila nak berhutang?”
            “Kalau tak buat macam tu, sampai bila nak cukup dua puluh ribu tu? Simpanan kau ada berapa sekarang?”
            “Adalah...”
            “Ada tu... berapa?”
            “Dalam empat ratus  ringgit.”
            Terbeliak mata mak. Aku buat sengih kambing. Bersedia Johaimi. Mak dah nak tergelak tu. Mak letak penyapu di tepi tangga. Dia menyapu punggung sebelum duduk mengemas sila di atas pangkin. Mak tak gelak pun. Serius betul muka dia. Aku hulur botol bekas air putih pada mak. Perlahan saja tegukkannya. Aku tahu, permintaan abah Durani dah buat mak tak lena tidur.
            “Empat ratus tu... nak  beli seekor lembu pun tak lepas Mie...”
            “Kalau macam kita jangan beli seekor lembu. Kita beli daging kotak aje...”
            “Mie!”
            Peha jadi mangsa lepukan mak. Aku gelak sekejap. Sekejap saja. Aku pun susah hati. Tapi susah hati saja tak guna kalau tak berusaha. Aku pegang jemari tua mak. Ada air jernih sedang bertakung di matanya.
            “Laaa... apsal sedih sangat ni?”
            “Mak risau Mie. Kalau kau tak dapat kumpul dua puluh ribu tu, mak takut kau kecewa nanti...”
            Aku pandang mak. Cepat-cepat dia tarik hujung tudung lusuhnya, mengeringkan mata yang semakin banjir. Dia alihkan pandangan ke arah lain. Tapi kemudian dia pandang aku dan tepuk-tepuk tangan aku yang masih menggenggam tangannya.
            “Janganlah macam ni mak. Mak ni, suka takutkan Mie lah...”
            “Mak bukan nak takutkan kau. Tapi ni mak Mie. Mak rasa Pak Zahar tu sengaja nak aniaya kau.”
            Kali ini aku pula yang bersila rapat mengadap mak. Wajah keruh mak dah berjaya buat aku tak sedap hati. Selalunya apa yang dia rasakan memang betul-betul terjadi.
            “Kita ni bukan orang senang Mie. Dia pun tahu. Tapi kenapa dia sengaja letak hantaran tu tinggi-tinggi? Mesti dia ada muslihat Mie...”
            “Itu perasaan mak aje. Mie kan dah jadi Supervisor sekarang mak. Nanti Mie nak berbincang dengan Abang Zali. Kalau boleh Mia nak buat personal loan dengan dia. Nanti tiap-tiap bulan dia potonglah sikit gaji Mie...”
            Mak pandang macam orang tak percaya. Aku senyum dan angguk banyak kali. Tapi wajah mak masih belum nampak riak lega. Apa lagi yang mak fikir ni?
            “Sampai bila dia nak potong gaji kau? Takkan kau nak kerja kat stesen minyak tu sampai beranak-pinak?”
            “Laaa... Apa salahnya? Mie bukannya pinjam dengan Along. Abang Zali tu dah lama kenal Mie. Dia pun dah cakap, dia boleh pinjamkan Mie duit tu.”
            Maknanya selagi hutang belum langsai, kau kena kerja dengan Zali? Macam tu?”
            Aku angguk. Mak lepaskan pegangan tangan. Lama kemudian dia tarik nafas lega. Dia berlunjur kaki, kebas agaknya. Aku picit hujung kaki mak. Mak cuma pandang. Sayu pula hati aku tengok dia. Tak pasal-pasal dia pun risau sama.
            “Mak jangan risau ya. Inshaa Allah... jodoh Mie dan Dura kuat. Kalau tidak, dah lama Pak Zahar halang kami. Tapi mak tengok sendiri kan? Sejak sekolah, Pak Zahar tak pernah halang pun.”
            Mak diam. Dia turun dari pangkin dan terus masuk ke rumah. Dah sampai masa untuk menjemput Zarith dari sekolah. Aku pun ikut masuk. Ternampak telefon di atas meja solek. Terus teringat Durani. Memang dah lama aku tak dengar suara manja dia. Kepenatan menguruskan stesen minyak sepanjang minggu ni buat aku tak sempat langsung nak call dia. Balik kerja terus mandi, makan, letak saja kepala di bantal, terus hanyut. Memang penat betul. Otak dan badan sama penatnya.
            Nombor Durani aku cari. Ketika menanti panggilan dijawab, baru aku perasan. Dia pun dah seminggu tak call aku. Pelik. Selalunya kalau sehari aku tak call dia, pasti bersusun SMS daripada dia yang akan aku dapat.
            “Assalamualaikum...”
            Dahi berkerut ketika mendengar salam dari Durani. Walaupun hanya ucapan yang pendek, aku dapat rasa tidak ada keterujaan dalam suaranya.
            “Waalaikumsalam sayang... Lamanya tak dengar suara Dura...”
            “Dura sibuklah Joe. Orang tu pun dah lama tak call kita...”
            “Bukan tak nak call... Orang tu kan sibuk... Kita malaslah nak kacau...”
            Dalam lembut aku pulangkan semula kata-kata Durani. Dia tidak menjawab. Memang sangat pelik. Dia tidak ramah seperti selalu. Aku kerling jam di dinding bilik. Dah nak habis waktu sekolah. Kalau  ajak dia lunch date rasa-rasanya dia nak tak?
            “Dura... Kita keluar lunch date, nak? Joe dah lama tak keluar makan dengan Dura. Tak rindu Joe ke?” Buat suara merengek sikit. Mana tahu kalau-kalau dia terpancing, kan?
            “Err... Bila?” tanya Durani.
            “Minggu depan.” Aku ketawa di hujung kata. Dia ni dah kenapa? Tak pernah dia tanya soalan macam tu sebelum ni. Selalunya pantang aku ajak, laju saja dia bersetuju.
            “Hari inilah sayang.”
            “Errr... Hari ni tak bolehlah  Joe. Dura ada meeting lepas sekolah nanti.”
            “Kalau macam tu kita lunch date lepas Dura habis meetinglah.”
            “Joe tak kerja ke hari ni?”
                Uik, kenapa tiba-tiba dia ubah topik perbualan ni? Ini memang sudah betul-betul menghairankan.

                “Kerja. Tapi boleh aje kalau setakat nak keluar lunch kejap.”
            “Dura tak tahu meeting habis pukul berapa...”
            “Tak kisahlah pukul berapa pun sayang. Joe tunggu. Boleh ya?”
            “Dura tak berani nak janji. Sebab...”
            “Ada latihan sukan pulak ke?”
            Mulalah aku nak panas hati ni. Banyak sangat pula songehnya. Atau, dia sengaja pura-pura merajuk. Yalah, dah seminggu aku tak call  dia. Mungkin dia sengaja nak jual mahal agaknya.
            “Joe... Dura balik dengan abah. Sekarang ni abah yang hantar dan jemput Dura di sekolah. Jadi...”
            Okey, aku dah faham sekarang. Pak Zahar sedang cuba menjarakkan hubungan aku dan Durani rupanya. Bertenang Johaimi. Jangan fikir negatif. Mungkin ada sebab Pak zahar buat macam tu. Aku kehilangan modal nak bercakap sekejap. Terperanjat pun ya juga.
            “Kalau macam tu, bila boleh jumpa Dura? Tak rindu Joe ke?”
            “Rindu... rindu sangat...” Ada getaran di suara Durani. Seperti sedang menahan sebak. Kenapa tiba-tiba sedih pula ni?
            “Joe... Dura ada kerja ni. Nanti kita sembang  lagi, ya. Bye sayang. Assalamualaikum.”
            Panggilan tamat. Eh, aku belum cakap lagi yang aku sayang dia. Cepat sangatlah dia tamatkan perbualan. Aku termenung  sekejap. Cuba flashback semula perbualan aku dan Durani sebentar tadi. Memang lain benar rasanya. Durani bercakap seperti orang ketakutan. Tapi, apa yang dia takutkan? Abah dia? Ya, abah dia. Sekarang Pak Zahar dah menaikkan pangkat diri sendiri menjadi ‘supir terhormat’ Durani.
            Tersungging senyum sinis di bibir sendiri. Sedap pula gelaran tu aku tabalkan pada Pak Zahar. Supir terhormat. Huh! Kau kawal pergerakan buah hati aku, tak apa. Nanti bila dia dah jadi bini aku, jangan haraplah kau dapat kawal dia lagi.
            Aku capai tuala dan bergerak ke bilik mandi. Solat dulu sebelum pergi kerja. Kena berdoa banyak-banyak semoga Allah permudahkan urusan aku untuk mengumpul wang hantaran Durani. Dura... Joe  rindu.
                

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.