Ramai betul jemputan pada hari ini. Rakan sekolah, rakan seuniversiti, jiran-jiran tetangga, semua ada. Meriah betul majlis pertunangan aku dan Durani. Dah macam majlis kahwin pula. Pelaminan di anjung rumah Pak Zahar nampak indah dari jauh. Dah jadi trend zaman sekarang. Bertunang pun nak berpelamin bagai. Aku yang lelaki ni pun dapat cincin perak. Berbaju melayu siap bersamping, macam nak nikah terus rasanya. Durani tersenyum manis diapit mak yang baru saja menyarung cincin ke jari manisnya. Akhirnya apa yang aku hajatkan tercapai juga.
“Johaimi...”
Bahu disentuh lembut dari belakang. Pak Zahar. Segera aku
berpaling. Senyum lebar aku sedekahkan padanya.
“Lepas ni aku nak kau kumpul duit cepat sikit. Tak payah
tunang lama-lama.” Pak Zahar bersuara tegas. Tak ada senyum pun di wajahnya.
“Inshaa Allah abah... akan saya usahakan.”
“Oi! Belum rasmi lagi jadi menantu aku, jangan berangan
nak panggil aku abah.”
Aku garu kepala yang tidak gatal. Aduh mulut ni! Macam
mana boleh tersasul pula? Rasa macam tak selesa pula bila Pak Zahar duduk
semeja. Dalam banyak-banyak meja yang ada di bawah khemah ni kenapa di sini
juga yang dia pilih? Serba tak kena aku dibuatnya. Aku ambil cawan kosong dan
tuangkan Teh O suam untuk Pak Zahar.
“Apa rancangan kau lepas ni?”
Pak Zahar menyua cawan ke mulut. Dia yang minum Teh O,
tapi aku yang telan air liur. Berbual dengan Pak Zahar ni kena susun ayat
cantik-cantik. Salah cakap nanti memang berdesing telinga kena perli.
“Kumpul duit,” jawab aku perlahan. Ada garis senyum sinis
terukir di bibir Pak Zahar.
“Sempat ke nak kumpul dua puluh ribu dalam masa setahun?
Berapa gaji kau sekarang?” tanya Pak Zahar. Kopiah di kepala di tolak sedikit
ke belakang, menampakkan jambulnya yang penuh uban.
“Inshaa Allah sempat. Kalau tak sempat, saya buat loan ajelah nanti.” Aku tunjuk sengih
nakal. Pak Zahar menjuih bibir. Dia ni tak makan gurau langsunglah.
“Huh! Belum apa-apa lagi dah nak berhutang. Nanti dah
beranak-pinak pun hutang masih tak berbayar. Cubalah cari alternatif yang lebih
bagus sikit. Lagipun kau nak buat loan dengan
bank mana? Kau kerja kat stesen minyak aje kot? Lepas ke?”
“Saya bukan nak buat loan
dengan bank?”
“Habis tu, kau nak pinjam along? Kau jangan cari pasal Johaimi. Tak pasal-pasal anak aku jadi
janda berhias nanti.” Pak Zahar menyua kembali cawan Teh O ke bibir.
“Hish! Tak pernah terlintas dalam kepala saya nak
meminjam dengan jerung besar tu Pak Zahar. Saya buat loan dengan Pak Zahar ajelah, boleh?”
Burrrr!!!!
Aku sapu muka yang basah dengan air Teh O. Kurang asam
betullah Pak Zahar ni. Kot ya pun
terperanjat janganlah sampai menyembur orang. Aku dengar orang gelak. Tapi
bukan suara dia. Itu suara mak. Eh, suara Zarith pun ada. Air semburan Pak
Zahar yang berada di hujung bibir aku jilat sikit. Kenapa rasa macam air paip
pula?
“Mie!”
Bahu digoncang kuat. Serentak dengan itu, aku rasa
seperti ada orang menyelak kaki seluar.
“Awww!!!”
Mata terbuka. Orang pertama yang aku nampak adalah Zarith.
Ada beberapa helai bulu kaki aku di hujung jarinya. Kurang asam!
Baru nak jerit nama dia, aku rasa kepala aku basah.
Kepala mendongak ke atas. Mak sembur kepala aku dengan penyembur air yang
selalu dia gunakan ketika menggosok. Eh, mana pergi Pak Zahar tadi?
“Kau mengigau apa ni budak bertuah? Sebab itulah mak
pesan, lepas Subuh tak elok tidur.”
Eh! Aku mimpi ke? Biar betul ni. Aku tengok diri sendiri.
Mana pergi baju melayu sedondon dengan persalinan Durani tadi? Aku raba diri
sendiri. Muka, tangan dan badan. Cincin perak yang tersarung di jari aku pun
dah tak ada.
“Pak Zahar mana mak?”
“Kat rumah dialah!”
Kuat suara mak menempelak, sama kuat dengan dekahan tawa
Zarith. Bulu kaki yang masih dipegang dia lempar pada aku.
“Abang Mie ni dah parah tau. Ingatkan mimpi Kak Dura aje.
Abah dia pun enterframe sekali?”
Zarith tolak kedua-dua kaki aku ke bawah. Eh, aku di atas
katil rupanya. Maknanya, adegan sarung-menyarung cincin tadi tu hanya mimpi.
Tak boleh jadi. Kalau sampai dah terbawa-bawa dalam mimpi, aku harus
realisasikan mimpi itu. Hal duit, akan aku usahakan kemudian. Apa yang penting, aku mesti
bertunang dengan Durani dalam masa terdekat ni.
“Mak...”
Aku melompat turun dari katil dan terus tarik tangan mak
duduk di kerusi meja solek. Aku berlutut depan mak. Hilang terus gelak tawa
orang tua tu. Zarith pun dah menyibukkan diri di sebelah mak.
“Tolong pinangkan Durani mak... please...” Terkeluar suara sengau aku merayu mak.
“Amboi! Celik biji mata terus suruh mak pinang budak
Durani tu? Hmmm.... Kau ni gelojoh sangatlah Mie.”
“Mie tak main-main ni mak. Mie tak nak Dura jatuh ke
tangan orang lain. Mie cuma nak kahwin dengan Dura.”
Tangan mak aku goncang kuat. Makin serius muka mak. Aku
pun sama. Teringat pula jumlah hantaran yang Pak Zahar katakan di dalam mimpi
tadi. Dua puluh ribu. Tak banyak mana pun jumlah tu. Akan aku usahakan sampai
sehingga cukup nanti. Apa yang penting sekarang, aku nak ‘ikat’ Durani dulu.
“Mak, Mie dah apply
banyak jawatan kosong dalam internet. Mie yakin Mie akan dapat kerja yang
sesuai dengan kelulusan Mie tak lama lagi. Tolonglah mak. Kita bertunang dulu.
Mie janji, Mie akan kerja lebih kuat lepas ni.”
Mata dah berair. Hilang kejantanan aku bila berhadapan
dengan mak. Sumpah, aku sayang Durani sepenuh hati dan sanubari. Biarlah Pak
Zahar tak suka aku. Aku yakin bila dah dapat kerja tetap dan bergaji besar
nanti, pasti dia akan terima aku sebagai menantunya. Tapi apa pun terjadi, aku
nak bertunang dulu dengan Durani. Sekurang-kurangnya hati ni taklah risau
sangat bila terpaksa berjauhan nanti.
“Malam nanti kita pergi rumah dia.”
Mata terbeliak. Betul ke apa yang aku dengar ni?
“Kejap lagi mak call
Pak Zahar. Kalau dia free malam ni,
lepas Maghrib kita pergi rumah dia.
Aku terus peluk mak. Ya Allah, langkah pertama sudah
terbuka. Lega sikit hati. Mak bersetuju juga akhirnya. Dua-dua pipi mak aku
cium kemudian capai tuala dan terus ke bilik mandi. Eee... lambatnya nak tunggu
malam.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
“Amboi! Senang hati nampaknya hari ni. Kena loteri ke?”
Abang Zali, pengusaha stesen minyak tempat aku bekerja
menepuk bahu aku berkali-kali. Aku senyum tak terkata apa. Memang tengah senang
hati pun. Rasa macam nak saja aku peluk Abang Zali dan bagitau dia yang aku nak
bertunang dengan Durani. Tapi takut dia cakap aku buang tebiat pula nanti.
Johaimi, sila kawal diri. Aku berdeham perlahan sambil membetulkan topi di
kepala.
“Abang ada hal nak cakap dengan kau ni. Masuk office kejap, boleh?” tanya Abang Zali.
“Boleh. Kejap ya bang. Saya layan customer ni dulu. Nanti saya masuk office.”
Abang Zali menunjukkan tanda bagus kemudian dia pergi ke
pam sebelah, memeriksa kerja-kerja Malik pula. Sambil membersihkan cermin
kereta pelanggan yang sedang mengisi minyak, otak ligat berfikir. Apa halnya
Abang Zali nak jumpa aku? Selalunya dia suka berbual santai. Kalau buat briefing pun dia lebih suka buat di tempat terbuka.
Jarang sangat pekerja-pekerja bawahannya diajak masuk ke dalam pejabat. Setahun
aku bekerja di sini, rasanya baru tiga kali aku masuk ke pejabatnya.
“Joe!”
Abang Zali melaung dari pintu masuk Mart. Dia bagi
isyarat suruh aku ikut dia.
“Bos panggil tu. Pergilah, biar aku cover.” Malik di pam sebelah pula melaung. Suara masing-masing dah
tak payah guna mikrofon. Satu batu dah boleh dengar. Cepat-cepat aku berkejar ke
pintu Mart yang hampir tertutup.
“Ada apa hal ni bos?” Aku terus duduk di depan meja dia.
Berlumba-lumba nafas mengah keluar dari hidung. Berlari tak jauh mana pun.
Nampak sangat aku dah lama tak bersenam. Stamina dah kurang.
“Bulan depan aku nak buka satu lagi stesen minyak. Kau
jaga stesen minyak kat sana, nak tak?”
“Sana tu kat mana?”
“Tampin.”
“Mak ai! Jauh tu bang. Tak naklah.”
Cepat betul aku buat keputusan. Tampin? Jauh tu kalau nak
berulang-alik dari Melang. Kalau kena kerja shif pagi, pukul berapa aku nak
bertolak dari sini?
“Aku tak nampak orang lain yang sesuai buat kerja ni.
Bolehlah, ya? Nanti aku carikan rumah sewa untuk kau. Atau, kau boleh pakai
kereta aku kalau kau nak ulang-alik dari sini.”
Pergh! Gila ke apa Abang Zali ni? Senang-senang aje dia offer macam-macam. Dia nak prank aku ke? Aku amati sekejap
sekeliling bilik Abang Zali. Manalah tahu kalau-kalau ada kamera tersembunyi.
“Petang ni lepas kerja aku bawa kau pergi tengok stesen
minyak kat sana, ya.”
“Eh, saya belum bagi apa-apa keputusan lagi ni bang. Jauh
sangat tu. Kalau ada apa-apa hal dengan mak dan Zarith nanti, susah pulak
saya.” Meluncur laju alasan munasabah dari mulut aku. Memang aku berat hati nak
meninggalkan mak dan Zarith.
Tersandar Abang Zali. Wajah aku ditatap tajam. Aku geleng
perlahan. Kalau dia berkeras, aku lebih rela berhenti kerja. Apa jadi sekali
pun aku takkan sanggup berjauhan dengan mak. Dari wajah serius, Abang Zali
menguntum senyum.
“Atau...” Dia rapatkan dada ke meja.
“Kau jaga stesen minyak kat sini, aku yang pindah ke
sana.”
Terbeliak mata aku. Pantas betul otak dia ni berfikir.
Abang Zali menggoyang-goyangkan kening. Dia hulur tangan, nak berjabat dengan
aku. Amboi! Dah ada kata putus ke? Dia yakin ke aku mampu jaga stesen minyak
dia ni. Dalam teragak-agak, aku hulur perlahan tangan kanan. Laju dia menggoncang
tangan. Kemudian dia berdiri. Poket seluar diseluk. Segugus kunci dihulur.
“Tahniah! Mulai dari hari ini, semua staff yang bekerja
di stesen minyak ni berada di bawah pengawasan kau.”
“Eh! Apa ni bang? Mendadak sangat ni. Saya belum bersedia
lagi.”
Aku cuba serahkan semula kunci di tangan. Tapi Abang Zali
lebih pantas menggenggam tangan aku. Mata bersabung. Aku menggeleng, tapi Abang
Zali mengangguk.
“Sampai bila nak jadi pam atendan?” tanya Abang Zali.
“Tapi bang...”
“Abang bagi kau peluang untuk majukan diri. Tak teringin
ke nak kahwin dengan Durani? Harga minyak makin naik sekarang tau. Tak mustahil
hantaran pun akan naik juga.”
Mendengar nama Durani saja, semangat aku melonjak
tiba-tiba. Sejak sekolah lagi aku dah syok kat dia. Bohonglah kalau aku tak
teringin nak jadikan dia isteri. Tawaran Abang Zali aku fikirkan semula. Inilah
peluang untuk aku kumpul duit. Jadi Penyelia Stesen Minyak, gajinya pasti lebih
tinggi dari atendan pam, kan?
“Tapi kalau kau betul-betul menolak tuah, aku offer job ni pada Malik aje...”
“Eh, jangan bang! Saya... saya terima. Saya terima...”
Ada ke Budak Bangla tu nak dijadikan ketua. Habis semua
main drama Hindustan nanti. Kalau ikutkan, kerja penyelia taklah sesusah mana.
Sebelum ini pun dah banyak kali aku menggantikan tempat Abang Zali.
Beruntungnya aku dapat jadi orang kepercayaan dia.
Telefon berbunyi. Nak dijawab, serba-salah pula. Abang
Zali tepuk bahu aku berulang kali. Matanya
menunjuk isyarat, suruh aku jawab panggilan.
“Besok dah mula kerja dengan jawatan baru tau. Jangan
datang lewat pula. Rugi stesen minyak aku nanti.”
Kembang rasa dada bila Abang Zali berseloroh macam tu.
Bangganya dengan diri sendiri. Abang Zali masuk semula ke pejabat. Nak berkemas
agaknya. Aku berlari keluar dari Mart. Telefon yang masih berbunyi terus aku
tekan butang hijau.
“Assalamualaikum...” Suara di dalam talian terlebih
dahulu memberi salam.
“Waalaikumsalam. Pak Zahar ke tu?” Tak perlu pengesahan
pun sebenarnya. Tertera nama ‘Rumah Durani’ di skrin. Kalau suara lelaki, siapa
lagi kalau bukan abah dia, kan?
“Kau habis kerja pukul berapa? Pakcik nak jumpa kau malam
karang, boleh tak?”
“Boleh.... Saya habis kerja pukul tujuh nanti.”
Tenang pula suara ni menjawab soalan Pak Zahar. Tak
terketar-ketar seperti selalu. Mungkin keyakinan makin tinggi sejak dinaikkan
pangkat kot. Aku sengih sorang-sorang. Pak Zahar. Bakal menantu awak ni dah
naik pangkat tau.
“Jangan lupa bawa mak kau sekali. Assalamualaikum.”
Dia terus matikan panggilan. Huh! Dasar orang tua poyo.
Mujurlah aku sayang kat anak dia. Kalau tidak memang taubatlah aku nak
berbaik-baik dengan dia. Bibir tersengih kembali bila teringat Durani.
Dura...Siapa kata Joe tak boleh berjaya di tempat sendiri? Lepas ni pasti mata
bapa mertua aku akan terbuka luas. Menantu dia dah jadi penyelia stesen minyak.
Giler tak bangga?
Habis waktu kerja petang itu, aku terus ke gerai burger. Tercengang-cengang
Mazli dan Fauzi tengok aku datang dengan baju kerja. Kelam-kabut masing-masing
menyiapkan dapur. Huh! Tahu pula takut. Kalaulah aku dah tak buat kerja part time ni, rasanya memang ada potensi
gerai ni ‘bungkus’ nanti. Modalnya lebih banyak keluar dari untung yang masuk.
“Awal kau sampai hari ni Joe.” Mazli menegur.
“Saja nak buat spotcheck.”
Terjuih mulut Fauzi. Dia tahu aku cuma bergurau. Gerai
burger tu didirikan dengan modal bersama. Tak ada siapa pun yang jadi bos. Tapi
aku memang serius menjayakannya. Tak tahulah mereka. Kalau boleh aku nak gerai
tu bertahan sampai bila-bila.
“Aku tak dapat nak joint
korang malam ni. Ada hal sikit.”
“Nak pergi datinglah
tu...” Mazli memerli dengan suara meleret.
“Bukanlah. Aku nak pergi jumpa bakal bapak mertua.”
Dua-dua pandang aku. Aku sengih sambil menjongket kening.
Kenapa? Tak percaya? Hei! Ini Johaimi lah. Apa barang dating-dating ni. Amboi! Poyonyaa aku.
“Macam serius aje bunyinya tu.” Fauzi pula menyampuk.
“Memang serius pun. Banyak benda aku nak bincang dengan
abah dia. Satu lagi, aku ada berita baik ni. Aku dah naik pangkat jadi supervisor...”
“Pergh!!! Dasatlah kawan aku. Tahniah Joe. Patutlah confident aje nak jumpa bapak mertua.”
Mazli menepuk-nepuk bahu aku. Fauzi pun turut berjabat
tangan. Siap high five lagi. Siapa
tak bangga, kan? Budak jual burger pun layak jadi supervisor tau.
“Aku pergi dululah. Nak balik cuci motor. Jumpa bapak
mertua mesti kena bersih-bersih, kan?”
Enjin motor aku hidupkan bersama kenyitan nakal buat sahabat-sahabat
susah dan senang aku tu. Tak boleh berlengah lagi. Aku yakin mak juga sedang
bersiap-siap di rumah. Durani... tunggu Joe datang ya. Datang membawa harapan
untuk membina mahligai bahagia.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
“Berapa gaji Penyelia yang Zali tu bagi?”
Berkerut kening mak mendengar soalan Pak Zahar. Ada riak kurang
senang terpancar di wajah tua itu. Makcik Intan, ibu Durani juga nampak serba
tak kena. Muka dia antara nak senyum dan tidak. Aku pula, cuba mengawal
kesabaran sebaik mungkin.
“Abah...”
Suara Durani yang sangat perlahan buat aku rasa macam nak
bangun dan peluk dia. Aku tahu dia cuba mempertahankan aku. Hanya dengan
jegilan mata, Durani berlari masuk ke dalam bilik. Garang betullah Pak Zahar
ni.
“Bang Zahar... Kami ni datang...”
“Suruh anak kau jawab dulu soalan aku tadi.” Cepat betul
dia memangkah kata-kata mak. Aku mengemaskan sila. Orang tua ni pun, yang nak
menggarang tak tentu pasal ni kenapa? Aku dah datang dengan cara baik ni. Tak
boleh ke cakap elok-elok? Bawa lari anak dara dia nanti, baru dia tahu.
“Pasal gaji tu...”
Aku pancing perhatian Pak Zahar. Berjaya. Pandangannya
terarah pula pada aku. Susah betul nak tengok orang tua ni senyum. Punyalah
lebat misai dia, sampai tak nampak bibir sebelah atas. Dah berapa lamalah
agaknya dia simpan misai tu?
“Kalau aku nak kau siapkan dua puluh ribu, sanggup?”
Pertanyaan Pak Zahar buat duduk mak jadi tegak. Dia dan
mak Durani berpandangan. Aku masih berlawan tatapan dengan Pak Zahar. Cepat
fikir Johaimi. Dua puluh ribu tu! Bukan dua puluh sen. Otak dah jadi
kalkulator. Tambah tolak bahagi darab semua pendapatan aku bekerja siang dan
malam, yes! Aku dah tahu jawapannya.
“Dua puluh ribu. Itu saja?”
Macam nak tersembul keluar mata Pak Zahar bila aku
menyoal dia. Mak lepuk peha aku dengan kuat. Aku pandang mak dan mengangguk
dengan yakin.
“Kau mampu ke?” tanya Pak Zahar.
“Kalau pakcik bagi saya masa, inshaa Allah akan saya
siapkan dua puluh ribu yang pakcik nak.”
“Ya ke ni? Kau ada duit ke?” Pak Zahar tertawa kecil. Eh,
berani dia perlekehkan aku?
“Duit boleh cari pakcik. Durani punya pasal, berpuasa
setahun pun saya sanggup. Dua puluh ribu saja, kan?”
“Hmm, dua puluh ribu. Selagi aku tak nampak dua puluh
ribu tu, aku tak nak kau datang sini.”
“Saya tak datang sini. Tapi kalau saya nak jumpa Durani
kat luar, boleh kan?”
“Mie...” Mak menegur. Tak berkenaan agaknya dengan cara
aku berbual dengan bakal besannya.
Aku capai cawan di atas meja. Dah dekat sejam air
terhidang. Karipap yang digoreng oleh Durani pun dah hilang garingnya.Ketika
hujung cawan hampir mengena bibir, mata terpandang Durani yang sedang mengintai
di balik langsir. Aku senyum. Dia tak balas tetapi terus masuk ke bilik dan
tutup pintu. Malulah tu. Betul-betul macam gadis pingitan. Sukanya aku. Sabar
ya sayang. Sampai masanya nanti pasti aku berpeluang juga masuk ke bilik itu.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, kami balik dululah Bang
Zahar. Maaflah, kami datang sehelai sepinggang aje....” Mak berbasa-basi. Dia
cuit aku, ajak beredar.
“Aku memang tak nak kau bawa apa-apa pun. Cuma nak suruh
siapkan duit aje. Ingat tu Johaimi. Dua puluh ribu. Tak lebih tak kurang...”
Sekali lagi Pak Zahar mengingatkan aku.
“Hish! Abang ni macam nak menjual anak pula.” Mak Intan
menyanggah kata-kata Pak Zahar.
“Apa pulak menjual anak? Zaman sekarang ni zaman duit tau
tak? Anak aku tu cikgu. Paling tidak pun biarlah setimpal dengan usaha kita
hantar dia pergi belajar tinggi-tinggi. Ya tak?”
Aku bangun, senyum sikit dan terus salam Pak Zahar. Baik
aku keluar dari situ sebelum tangan aku terhayun ke muka dia. Kalaulah arwah
abah ada sekarang, pasti dah bertikam lidah. Baran dia pun boleh tahan sama
jugak dengan Pak Zahar.
“Sal... kau jangan ambil hati pula dengan Abang Zahar tu,
ya. Mulut dia tu memang macam tu.”
Mak Durani menghantar kami hingga ke luar. Pak Zahar tak
peduli pun dengan kami. Lepas bersalam dia duduk semula mengadap televisyen.
“Kak Intan, mujurlah budak berdua ni dah lama berkawan.
Saya pun memang dah lama berkenan dengan Durani. Kalau tidak, memang saya suruh
Johaimi cari orang lain. Dua puluh ribu tu kak. Tak boleh kurang lagi ke? Dah macam
menjual anak pulak.” Walaupun suara mak perlahan, tetapi agak keras. Baru
berpeluang nak melepaskan geram.
“Kalaulah Kak Intan boleh membangkang, mahu terbalik
rumah ni agaknya. Kau faham-faham ajelah Abang Zahar kau tu. Cakap dia aje yang
betul.”
Sedap betul mak Durani mengumpat laki dia sendiri. Aku
hidupkan enjin motor. Hati mengharap Durani aku keluar meninjau. Namun hampa.
Tak apalah. Mungkin takut dimarahi Pak Zahar. Sebaik saja mak membonceng di
belakang, kami keluar dari perkarangan rumah Durani.
Tiba saja di rumah, aku dan mak tak terus masuk. Zarith
yang menjenguk ke luar aku suruh masuk sambung menonton di dalam. Aku tahu,
banyak perkara yang ingin mak bincangkan.
“Betul ke kau boleh siapkan duit tu Mie? Banyak tu.
Barang kemas yang mak ada tu pun tak sampai lima ribu kalau kita tolak kat
kedai.”
Sebak rasa hati. Mak sanggup bergadai demi aku.
Perlahan-lahan aku pegang tangan mak.
“Mak doakan Mie, ya. Inshaa Allah...”
“Mak memang selalu doakan anak-anak mak. Kau jangan buat
benda yang bukan-bukan pula Mie. Tak baik makan duit haram.”
“La... apa sampai ke situ pulak?”
“Manalah tau. Nak kahwin punya pasal, kau sanggup
merompak bank ke... pinjam Ah Long ke...”
Tercuit hati mendengar andaian mak. Pipi mak aku cium.
Bahunya aku peluk erat. Kami diam melayan bunyi-bunyian unggas malam. Mak, Mie
takkan bertindak sebodoh itu. Mie takkan conteng arang ke muka mak. Bagaimana
cara sekali pun akan Mie usahakan dua puluh ribu itu. Tapi dengan cara yang
halal. Ya Allah, permudahkan usahaku...
No comments :
Post a Comment