Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 19, 2014

APA DAH JADI? BAB 8

            Lenguh-lenguh rasa badan hari ini. Dah berapa malam, asyik pulang lewat. Banyak pula kerja di stesen minyak kebelakangan ini. Malam ni aku cuma berseluar pendek dan berlenging saja lepas mandi. Panas dan penat, aku terus tergolek di atas katil. Mak dan Zarith pun dah lama tidur. Tangan teraba sesuatu di bawah bantal. Aku tarik keluar benda itu, serta-merta aku terbangun. Buku akaun simpanan.
            “Kalaulah aku boleh tambah angka kosong kat dalam buku ni.”
            Aku campak buku akaun di atas meja solek. Terpandang pula telefon. Teringat Durani. Susah betul nak jumpa dia sekarang. Kalau dapat jumpa pun, sekejap sangat. Pak Zahar dah macam pengawal peribadi Durani pula sekarang ni. Ke mana sahaja Durani pergi, pasti dia pun ada sama.
            Aku tekan nombor Durani. Teringin sangat nak dengar suara dia sebelum tidur. Tak dapat jumpa, dengar suara pun jadilah.
            “Helo...”
            “Hai sayang.”
            Aku ambil bingkai gambar Durani dan bawa ke katil. Gambar Durani aku letak di dada. Rindunya pada dia.
            “Siapa ni?”
            Uik, dia dah tak kenal suara aku ke? Aku pandang telefon sekejap. Manalah tahu kalau-kalau tersalah telefon orang lain pula. Betul, memang nombor Durani. Tapi kenapa dia tak cam suara aku?
            “Dura dah tak kenal Joe ke?” Nada suara aku keraskan sedikit. Tersinggung sebenarnya.
            “Oh... Joe... Assalamualaikum.”
            Salam Durani aku jawab perlahan. Aku diam sekejap. Sengaja nak tunggu dia mulakan perbualan terlebih dahulu. Tapi apa yang tertangkap di telinga aku hanya dengusan nafas Durani. Hati makin tersinggung. Lain benar sikapnya kebelakangan ini. Dia dah ada orang lain ke? Hish! Apa yang aku fikir ni? Tak mungkin Durani berubah hati. Dia sayang aku seorang saja.
            “Kalau nak call orang sekadar nak diam aje baik tak payah call. Membazir top up aje!”
            Uik, dia dah pandai mengherdik aku. Mana pergi Durani yang lemah-lembut dulu?
            “Garangnya. Dah tak sudi nak berbual dengan Joe lagi ke?”
            “Bukan tak sudi. Joe tahu tak sekarang dah pukul berapa? Besok Dura kerja tau.”
            Mata terus terarah ke jam dinding. Spontan aku menepuk dahi. Dah pukul 2 pagi. Patutlah dia naik hantu. Tengah sedap tidur rupanya. Durani memang tak pernah tidur lewat. Itu aku tahu. Dia perlu tidur yang cukup, kalau tidak dia mudah diserang sakit kepala.
            “Sorrylah sayang. Joe rindu nak dengar suara Dura. Dah lama rasanya kita tak ‘bergayut’. Dura tak rindu Joe ke?”
            “Bukan tak rindu. Tapi Dura mengantuk ni. Lagipun Dura takut, nanti abah dengar.” Durani berbisik keras.
            “Kenapa sekarang baru nak takut? Dulu boleh aje ‘bergayut’ lama-lama. Cuba Dura cakap terus-terang. Abah tak bagi Dura berkawan dengan Joe lagi ke?”
            Hati aku ni cepat betul panas bila Durani libatkan abahnya. Lagi-lagi Pak Zahar. Orang tua tu memang sengaja menjauhkan Durani dari aku. Kalau tak suka, cakap sajalah. Tak perlu susah-susah mengawal gerak-geri Durani. Kasihan pula dengan buah hati aku tu. Kadang-kadang bila dapat berjumpa sekejap, dia nampak takut-takut. Mulut ni memang gatal saja nak bertanya terus dengan Pak Zahar. Tapi aku takut nanti keadaan akan bertambah  buruk. Sekarang berpeluang jugalah berjumpa sekejap. Itu pun kalau kebetulan Durani mengisi minyak kereta di stesen minyak. Dah tak ada lagi lunch date seperti  dulu. Tiusyen di balai raya juga sudah dihentikan. Apa punca sebenarnya, aku sendiri pun tak tahu.
            “Joe, dah lewat ni. Tidur ya...” 
            “Dura belum jawab lagi soalan Joe.”
            Suara lembut Durani tidak berjaya menurunkan haba hati aku yang masih panas. Aku nak tahu punca sebenar Durani tiba-tiba berubah jadi orang lain. Aku dah tak nampak Durani yang periang, banyak cakap dan manja. Semuanya berubah sejak Pak Zahar meletakkan amaun hantaran untuk Durani. Apa? Dia fikir aku tak mampu? Hei! Ini Johaimilah. Demi Durani, dia minta sejuta pun akan aku usahakan.
            “Joe...abah tu tengah menjaga nama baik kita. Kalau dia tak suka kita berkawan, takkanlah dia suruh Joe siapkan duit hantaran tu, kan? Tidurlah sayang. Besok Dura call, ya.”
            “Hmm... yalah tu. Sejak kena kawal dengan abah, Dura dah tak pernah call Joe. SMS? Lagilah tak. Kot ya pun abah tak bagi jumpa, takkan bercakap dalam telefon pun tak boleh? Kadang-kadang Joe rasa Dura tengah melarikan diri dari Joe...”
            Aku gigit hujung  bibir. Cuba mengawal suara. Kalau boleh aku tak nak bergaduh dengan Durani. Tapi aku rindu. Tak dapat jumpa, aku masih boleh tahan lagi. Tapi kalau dah sampai nak bercakap telefon pun sorok-sorok, ini dah melampau beb!
            “Dura tak pernah larikan diri dari Joe. Dura masih sayangkan hubungan ni. Tapi Dura kena jaga hati ayah juga. Joe kena yakin dengan Dura. Apa yang perlu Joe buat sekarang adalah kerja keras. Buktikan pada abah  Dura yang Joe mampu jaga anak dia. Dura akan sentiasa sokong Joe. Ingat tu.”
            Sekali dia dapat bebelkan aku, dah macam anak murid dia pula dibuatnya. Aku sedut nafas dalam-dalam. Kalaulah dia ada di depan aku sekarang, memang aku peluk dia kuat-kuat. Aku terlalu sayangkan dia. Tak dapat aku bayangkan kalau perhubungan ini dihalang oleh Pak Zahar. Gambarnya aku kucup perlahan. Ada rasa sebak cuba bertandang. Aku hembus nafas perlahan-lahan. Mata terpejam. Ada rasa tenang sedikit.
            “Sayang...” Aku panggil dia perlahan.
            “Hmm...”
            “I’m sorry. Joe stress, rindu, penat, marah...”
            “Dura faham. Dura pun rasa benda yang sama. Tapi kita kena sabar Joe. Kalau Dura boleh yakin dengan cinta Joe, Joe pun kena yakin dengan Dura. Kita dah lama berkawan, kan? Takkan Joe tak percayakan  Dura?”
            Macam nak terlelap mendengar pujukan Durani. Cepat betul hati ni sejuk bila dipujuk  begitu. Aku mengiring ke kanan. Kaki sudah mengepit bantal guling. Gambar Durani masih di tangan. Seronoknya kalau waktu ini dia dapat dodoikan aku. Bilalah nak cukup dua puluh ribu ni Johaimi!
            “Joe...”
            “Ya sayang.”
            “Ada satu perkara lagi nak cakap ni.”
            “Cakaplah sayang. Joe dengar ni...” Mata dah terpejam. Tapi telinga masih melayan suara manja Durani.
            “Besok Dura akan pergi berkursus.”
            “Kat mana?”
            “Johor Bahru.”
            “Emm...berapa hari?”
            “Seminggu.”
            Celik balik mata aku. Jauh tu satu hal. Seminggu pula tu. Sejak dia mengajar, tak pernah lagi dia tinggalkan aku lama-lama. Inilah pertama kali. Kepala dah terfikir yang bukan-bukan kembali.
            “Joe dah tidur ke?”
            “Eh, tak. Joe dengar. Kalau tak pergi tak boleh ke sayang? Lama tu. Tempat kursus tu mesti ramai cikgu dari tempat lain kan? Mesti ada cikgu lelaki, kan?”
            Durani ketawa. Walaupun tak kuat, dah cukup buat aku bengang. Aku serius, dia main-main pula.
            “Macam budak-budaklah Joe ni. Dura kan cikgu baru. Biasalah kalau dihantar berkursus ni. Sepatutnya Joe bersyukur tau. Bila Dura pergi kursus, abah tak ikut. Bila abah tak ikut, bolehlah Dura call Joe bila-bila masa pun. Mujur jauh aje. Kalau dekat, habis kursus aje Dura ajak Joe keluar dating.”
            Tercuit hati dengan ocehan Durani. Nakal juga buah hati aku ni. Aku jeling sekali lagi jam di dinding. Hari semakin lewat. Tak sampai hati pula nak biarkan Durani bersengkang mata melayan aku berbual. Rindu tu memanglah rindu. Besok-besok pun boleh berbual lagi.
            “Okeylah sayang. Kita tidur, ya.” Aku menguap panjang. Sebenarnya mata aku ni yang dah mula berat.
            “Yalah. Bila Dura tak ada kat sini, Joe jangan nakal-nakal tau.”
            “Joe nakal dengan Dura aje. Cium sikit sayang. Joe dah nak tidur ni...” Aku buat suara gatal. Makin lebar senyum aku bila mendengar ketawa kecil Dura.
            “Ummmmmuah! Selamat malam Joe.”
            “Ala...mana cukup sekali. Nak tiga kali, boleh?”
            Dah diberi betis, nak peha. Aku tunggu, tapi Durani senyap. Aku pandang telefon. Laaa... dia dah letak. Aku senyum sambil geleng kepala. Jinak-jinak merpati dia ni. Tapi itulah yang buat aku makin sayang pada Durani. Aku bangun dan tutup lampu. Ketika badan rebah semula di katil, gambar Durani masih setia di dalam pelukan. Sayang, datanglah dalam mimpiku.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            “Aku terima nikahnya Durani Binti Azhar dengan mas kahwinnya...”
            Durani teresak-esak. Kenapa dia menangis? Sepatutnya dia gembira kerana apa yang diimpikan sudah tercapai. Ketika semua tetamu menadah tangan mengaminkan doa, dia pandang aku. Eh, kalau aku sedang memandang dia, siapa pula yang duduk di hadapan Pak Zahar?
            Keliru sekejap. Bukan aku ke yang melafazkan qabul tadi? Aku rapati pengantin lelaki  yang sedang khusyuk mengaminkan doa. Esakkan Durani semakin kuat. Dia cuba bangun tapi ditahan oleh ibunya.
            “Joe...maafkan Dura.”
            Lirih suara Durani tidak berjaya menghentikan langkah aku merapati pengantin lelaki yang sedang meraup muka. Lelaki itu terlalu elok paras rupanya. Dia senyum sambil mengangguk kepala.
            “Kau siapa?” Aku tanya lelaki itu.
            “Akulah suami Durani. Kami baru saja diijab-qabul sebentar tadi.”
            Terduduk aku mendengar jawapan lelaki itu. Serta-merta pandangan terarah pada Durani. Wajahnya yang cantik bersolek lencun dengan airmata. Aku tengok pula Pak Zahar. Lelaki tua itu cuma tersenyum sinis.
            “Tidak! Durani aku punya. Pak Zahar dah janji akan nikahkan aku dengan Durani.”
            “Tapi aku lebih dulu berjaya tunaikan permintaan dia. Malah aku bagi lebih. Bukan setakat dua puluh ribu, semua perbelanjaan kenduri kahwin aku yang tanggung. Siap dengan pakej berbulan madu.”
            Aku bangun sambil mencekak leher pengantin lelaki. Yang lain pun turut bangun, nak membantu kononnya. Tapi aku tepis setiap orang yang cuba masuk campur. Termasuklah Pak Zahar.
            “Pak Zahar penipu! Pak Zahar tak boleh buat macam ni pada saya.” Aku herdik orang tua itu. Tangan sebelah kanan masih mencekak leher menantunya.
            “Lepaskan dia Johaimi,” arah Pak Zahar.
            “Tidak!” Aku goncang tubuh lelaki itu sekuat hati. Dia langsung tak melawan. Eleh! Nak tunjuk baiklah konon. Mampus kau aku kerjakan nanti.
            “Joe... lepaskan dia.” Durani pula memujuk. Membuntang mata aku merenung dia.
            “Tidak! Dura penipu! Kau dan bapak kau semua penipu. Penipu!”
            Pang!
            Pipi terasa pijar. Mata terasa silau. Aku gonyoh mata laju-laju. Mata pergi orang-orang tadi. Adoi! Mimpi ke tadi?
            “Dah tua-tua pun tidur mengigau lagi.”
            Baru sedar, mak perhatikan aku dari tadi. Dia duduk di birai katil. Mak yang melempang aku rupanya. Aku selak selimut. Tangan laju meraba bawah bantal, mencari gambar Durani. Jumpa saja gambar itu terus ku dakap.
            “Astaghfirullahalaziimmm...”
            Berkali-kali aku beristighfar. Gambar Durani aku kucup, kemudian istighfar lagi.
            “Siapa yang penipu?” tanya mak.
            “Mie mimpi aje mak. Minta-minta benda tu tak betul. Tak mungkin... tak mungkin betul, kan mak?”
            Aku bangun dan terus peluk mak. Tiba-tiba jadi takut. Takut kalau mimpi itu benar-benar berlaku. Bila mak usap belakang badan, aku rasa macam nak menangis. Tapi aku tahan. Tak jantanlah kalau menangis depan mak.
            “Kau mimpi Durani kahwin dengan orang lain ke?”
            “Mana mak tahu?” Terus terlerai pelukan. Dah mula berdebar ni. Betul ke aku bermimpi tadi? Atau ianya benar-benar berlaku?
            “Mana mak tahu?” Aku soal lagi.
            “Mak teka aje. Tapi kalau...”
            “Mak!!!”
            Mak tergamam. Aku bangun. Dada berombak kuat. Tak ada niat nak tinggikan suara. Tapi aku tak mahu mak menghabiskan ayat. Telinga tak sanggup dengar. Sayup-sayup aku dengar suara tahrim. Aku capai tuala dan tinggalkan mak yang masih merenung aku. Mengadap DIA lebih tenang rasanya ketika ini.




No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.