“Kau tak kerja ke hari ni Mie?” Mak melaung di dapur.
“Kerja petang...” Aku mengeliat malas. Dari duduk di sofa,
aku bangun meninjau halaman rumah. Bosannya. Apa aku nak buat pagi-pagi Sabtu
ni? Nak basuh motor, sekarang musim hujan. Membazir air dan tenaga saja nanti.
“Abang...” Zarith tarik hujung baju. Ditangannya
terpegang sebuah buku kerja. Hmmm, nak tanya kerja sekolahlah ni.
“Tolong tunjukkan jalan kerja latihan Matematik ni boleh
tak?” Buku di tangan dia hulur. Aku berjalan ke meja belajarnya di tengah
rumah. Sekali tunjuk, dia tak faham. Aku tunjukkan jalan yang mudah pula. Dia
tak faham juga. Sekali lagi aku tunjukkan jalan penyelesaian latihan Matematik
itu. Zarith menggaru kepala.
“Takkan tak faham lagi?” Aku letak pensel. Kedua-dua
tangan aku silangkan ke dada bila melihat Zarith menggeleng perlahan.
“Kau ni banyak sangat makan kepala ikan bilis. Sebab tu
ilmu susah nak masuk.”
“Banyaklah abang punya kepala ikan bilis. Cara abang ajar
tak sama dengan yang cikgu ajar.”
“Apa yang tak sama?”
“Ayat Matematik abang tak tersusun langsung. Tak best! Macam ni ke abang mengurat Kak
Durani dulu?”
“Eh! Apasal melencong ke situ pulak? Kau jangan nak
main-mainkan abang, ya? Nak kena sekeh?”
Aku bangun. Panas telinga diperli Zarith. Tak padan
dengan kecik. Mulutnya mengalahkan murai. Ikut sedap mulut dia saja nak cakap
apa.
“Nak ajar ke tak ni?” Dia sudah menjerit.
“Tak kuasa! Kau pergi tanya orang lain.”
Aku masuk ke dapur. Ambil botol air di dalam peti sejuk.
Punggung ku henyak di kerusi meja makan dengan kasar. Berkeriut bunyi meja
makan, tertolak sedikit. Terhenti tangan mak menyiang ikan.
“Kenapa nampak serabut sangat ni?” Mak sambung
membersihkan ikan yang sudah bersiang.
“Entahlah mak. Hati Mie ni rasa tak sedaplah.” Aku raup
muka berkali-kali.
“Cuba tambah sos tiram, bubuh garam lebih sikit. Mesti
lagi sedap...”
Mak terkekek ketawa dengan lawak sendiri. Aku senyum
sikit saja. Senyum ambil hati. Air di dalam botol aku tuang ke dalam gelas
untuk kali yang kedua. Tak cukup sejuk lagi tekak ni.
“Mak...”
“Hmmm...”
“Mak tolong pinangkan Durani, boleh?”
“Allah hu akhbar!!! Kau mimpi apa malam tadi Mie? Tiba-tiba
nak suruh mak pinang budak tu?”
Ligat tangan mak melumur kunyit pada ikan. Ke sana ke
mari mata aku mengikut pergerakannya. Dia fikir aku main-main ke? Tak boleh
jadi ni. Sambil dia menunggu minyak di dalam kuali panas, mak letak bakul
berisi kacang panjang di atas meja. Aku tarik bakul itu ketika dia sudah
bersedia bersama pisau pemotong sayur.
“Mie cakap betul-betul ni mak. Mie dah bersedia...”
“Dah bersedia? Bersedia dari segi apa?” Mak senyum sinis.
Dia ambil bakul yang aku tarik tadi dan duduk di hujung meja. Dia kerling aku
sekejap sebelum menyambung kerja.
“Kau jangan cakap yang kau dah bersedia dari segi zahir
dan batin.” Mak beri amaran bersama kerlingan tajam.
“Memang itulah yang Mie nak cakap pun.” Aku buat sengih
nakal. Spontan tangan mak membaling batang kangkung ke arah aku.
“Gatal kau ya? Sekarang ni bukan setakat zahir dan batin
aje perlu bersedia. Tu, poket tu pun kena tebal juga tau tak?” Panjang muncung
mak bebelkan aku.
“Mie dah lama berkawan dengan Dura tu mak. Dah kenal pun
hati budi masing-masing.”
“Yang tu satu kampung dah tahu. Sejak zaman sekolah lagi,
korang berdua tu macam belangkas...”
“Sebab itulah Mie nak kahwin cepat.” Laju aku potong
cakap mak. Harap-harap mak dapat tunaikan hasrat hati aku yang satu ni. Aku nak
buktikan pada Pak Zahar, aku betul-betul sayangkan anak dia tu.
“Kau nak bagi anak orang tu makan apa nanti Mie?”
“Setakat makan kami berdua, Mie masih mampu lagi mak.”
“Huh! Kau fikir abah Durani tu bagi ke kau kahwin dengan
anak dia? Orang tua kedekut pahit tu, dalam kepala dia cuma ada gambar duit aje
Mie. Kau ingat senang ke nak buat kenduri kahwin ni? Kalau setakat gaji kau
kerja kat stesen minyak dan jual burger tu, nak beli baju dalam Durani pun tak
lepas tau tak?”
Pergh! Berdesing telinga aku. Tajam betul kata-kata mak.
Lemah segala saraf bila mak jatuhkan semangat aku begitu. Merah padam muka
menahan bengang. Mak buat-buat tak nampak bila aku merenungnya tajam. Seekor
demi seekor ikan dimasukkan ke dalam kuali. Kemudian dia menyambung kerja-kerja
memotong sayur.
“Mak bukan nak kondem
anak sendiri. Tapi kalau mak jadi orang tua Durani pun, mak mestilah nak
yang terbaik untuk anak-anak. Kau sendiri pun boleh berfikir. Takkanlah bila
dah kahwin nanti, kau nak makan duit bini?”
Aku diam. Tak tahu nak cakap apa. Ikutkan hati nak saja
aku tekup-tekup mulut mak, suruh dia diam. Makin banyak ulasan mak, makin pedih
hati aku. Tapi memang itulah kebenarannya. Hairannya aku. Kenapalah mak bapak
sekarang ni lebih mementingkan harta-benda?
“Tolong mak balik-balikkan ikan tu. Nak habiskan potong
sayur ni kejap.”
Aku bangun dan laksanakan suruhan mak. Melihat ikan yang
sedang digoreng buat tekak aku kembang. Hari-hari ikan selayang. Mak ni dah tak
pandai masak lauk lain ke?
“Ikan lain tak ada ke mak?” Aku tanya dia sambil duduk
semula mengadap mak.
“Itu aje yang kita mampu beli tengah-tengah bulan ni.
Kalau nak merasa makan ikan mahal, tunggulah duit pencen ayah kau masuk
nanti...”
Apa yang mampu aku katakan lagi? Makan ajelah apa yang
mak dah masak. Buatnya orang tua tu mogok nanti, tak pasal-pasal kena makan
Maggie lagi nanti. Masih banyak waktu yang terluang. Apa kata kalau aku call Durani sekejap. Mana tahu kalau-kalau dia
boleh keluar, bolehlah aku bincangkan perihal nak masuk meminang tu dengan dia.
“Mie nak pergi jumpa Dura kejap mak.”
Aku bangun, botol air aku simpan semula di dalam peti sejuk.
Muka aku basuh ala kadar di sinki. Pagi tadi dah mandi. Setakat nak jumpa
sekejap tak perlulah nak bersiap sakan.
“Mie...”
Tak jadi nak menapak ke anak tangga. Aku menoleh pada mak
sambil meraup muka yang masih basah berkali-kali.
“Kau timbang-timbangkanlah apa yang mak cakap hari tu.
Sampai bila kau nak terperuk dalam kampung ni? Ijazah yang kau dapat tu takkan
nak jadi penghias dinding aje? Mak nak sangat tengok anak-anak mak hidup
senang. Takkan hari-hari kau nak jamu tekak bini kau dengan ikan selayang. Mak
ni pun, sekali-sekala nak juga merasa makan ikan mahal.”
“Sekarang tak cukup senang ke mak?”
“Sekarang ni kita cukup-cukup aje. Belum boleh nak
bersenang-lenang lagi. Takkan nak buat kenduri kahwin, jamu orang dengan pisang
setandan? Kau faham tak mak cakap ni?”
“Mie faham... Mie keluar dululah.”
Aku bukan melawan. Tapi mata mak dah merah. Jadi sebelum
dia buat drama airmata, lebih baik aku angkat kaki. Beria benar dia nak aku
keluar dari kampung ni. Dah tak sayang aku lagi agaknya.
“Abang Mie nak jumpa Kak Dura, ya?” Zarith pula menahan
aku di ruang tamu.
“Tak payah ikutlah. Abang pergi sekejap aje.” Cepat-cepat
aku cantas akal panjang Zarith. Pantang tengok aku pegang kunci motor, sibuk
nak jadi bodyguard.
“Ala... adik nak
tanya Kak Dura kerja sekolah ni.” Zarith ketuk-ketuk buku latihan Matematik
tadi dengan hujung pensel.
“Bagi sini, nanti abang tanya dia. Balik nanti abang ajar
kau. Pergi tolong mak kat dapur tu.”
Aku terus keluar dari rumah. Buat-buat tak dengar saja
rengekan Zarith. Kacau daun saja nanti kalau aku bawa dia. Motor ku pecut laju.
Harap-harap Pak Zahar tak ada di rumah pada waktu-waktu begini. Selalunya dia
ke kebun. Tak teringat pula nak call Durani
terlebih dahulu tadi.
Senyum lebar terus menguntum bila ternampak Durani sedang
menyidai baju di ampaian. Hati makin lapang bila motor Pak Zahar tak kelihatan
di laman rumah. Line clear! Aku tekan
hon motor berulang kali. Sengaja menarik perhatian Durani. Terkedek-kedek buah
hati pengarang jantung aku tu menghampiri pintu pagar. Wajahnya nampak cemas.
Telunjuk runcingnya melekap di bibir. Isyarat supaya aku jangan buat bising.
“Hai sayang!”
“Shhh! Bisinglah Joe ni.”
Aku menyeringai suka bila Durani hadiahkan aku dengan
satu lepukan di lengan. Lepas matikan enjin, aku tolak motor ke tepi pagar.
Pangkin di bawah pokok rambutan jadi tempat rasmi kami dating pagi itu. Durani mengemaskan ikatan tuala di kepala. Baru
lepas mandi agaknya. Bau sabun mandi pun masih kuat lagi. Geramnya aku. Mujur
belum jadi bini.
“Apahal datang rumah orang pagi-pagi ni? Joe kerja kejap
lagi, kan?”
“Amboi garangnya dia. Tak suka Joe datang ke?”
Hampir-hampir nak rasa tersinggung ni. Durani tak nampak
ceria seperti selalu. Matanya liar memerhatikan sekeliling. Aku cuba cuit
hidungnya tapi dia menjauhkan diri. Lain benar tingkahnya hari ini.
“Kenapa tak call dulu nak datang? Kalau abah balik nanti, masak
Dura kena marah...”
“Joe ada hal penting nak cakap dengan Dura ni.” Aku
mengemaskan duduk. Aku tepuk-tepuk tempat duduk di sebelah aku, mahu Durani
duduk di situ. Tapi laju kepalanya menggeleng. Makin jauh pula dia berdiri
menjauhi aku. Apa kena dengan dia ni? Macam baru kenal semalam pula gayanya.
“Cakaplah cepat,” gesa Durani.
“Joe dah bincang dengan mak pagi tadi. Joe nak suruh mak
masuk...”
“Joe!”
Tersangkut kata-kata aku dengan jeritan kecil Durani. Tak
semena-mena dia duduk dengan kasar di sebelah aku. Mulutnya seperti ingin
mengatakan sesuatu. Tapi matanya masih melingas mengawasi keadaan sekeliling.
Tingkah Durani buat aku rasa tak sedap hati. Serta-merta teringat perihal
kereta-kereta yang bersusun cantik di depan rumah Durani semalam.
“Dura rasa buat masa ni baik kita postponed dulu hal-hal nikah kahwin ni. Banyak persediaan yang
perlu dibuat...”
“Joe bukan nak ajak kahwin. Kita bertunang dulu. Dalam
pada tu nanti kita kumpullah duit.” Dapat pun aku luahkan hasrat hati. Tapi
wajah Durani langsung tak mempamerkan riak suka.
“Apa kata kalau Joe cari kerja yang elok sikit. Lepas tu
nanti baru kita buka balik cerita ni.”
“Oh... maknanya selama ni Dura malu dapat boyfriend yang kerjanya cuma pam atendan
aje, ya? Hina sangat ke kerja Joe ni? Joe bukan buat kerja haram. Kalau setakat
nak bela Dura sorang, gaji Joe sekarang masih cukuplah. Janganlah materialistik
sangat. Duit tak bawa ke mati.”
Panas hati tiba-tiba. Menyesal pula main terjah saja ke
rumah Pak Zahar pagi ini. Harapan aku nak tengok muka teruja Durani lebur
sudah. Dulu dia yang beria-ia suruh aku masuk meminang. Tapi sekarang, kenapa
reaksinya langsung tak seperti yang aku bayangkan. Aku pandang dia. Durani
melarikan wajah. Tak puas hati ni. Aku bangun dan berdiri di depan dia. Dia
cuba bangun. Aku tolak bahu dia perlahan dan Durani terduduk semula. Matanya
masih enggan memandang aku.
“Dura dah tak sayang Joe, ya?” Sengaja aku serkap jarang.
Dia tak menjawab. Terdengar dengusan halus dari mulut Durani.
“Sampai bila Joe nak macam ni?”
Tergamam aku bila Durani tiba-tiba meninggikan suara. Ada
air yang bertakung di matanya. Apahal pula sampai nak buat drama airmata ni?
“Kalau Joe sayang Dura... Joe kena lakukan sesuatu. Kalau
tidak, lupakan ajelah cinta monyet kita ni...” Durani dah tertunduk. Aku
menyangkung, nak tengok wajahnya tapi dia palingkan muka ke arah lain.
“Sayang... ini bukan cinta monyet. Joe betul-betul sayangkan
Dura. Kenapa ni? Abah tak suka kita berkawan, ya?”
Mengangguk tak, menggeleng pun tak. Tangisan Durani makin
berlagu-lagu. Ditekupnya mulut dengan kain tuala yang masih membalut kepala.
“Siapa datang rumah Dura semalam?”
“Mana ada orang lain yang datang sini kecuali Joe malam
tadi.”
“Tak, maksud Joe... sebelum Joe datang. Mazli kata ada
banyak kereta kat depan rumah Dura. Kereta siapa tu?”
“Tu kereta... kereta... kereta kawan-kawan abah. Diaorang
saja datang melawat abah.”
Durani kelam-kabut bangun. Laju tangannya mengeringkan
pipi yang basah. Tak semena-mena dia tarik tangan aku dan pimpin aku ke pintu
pagar. Fahamlah aku, dia nak aku beredar segera dari situ. Tapi kenapa? Dia
seperti menyembunyikan sesuatu.
“Malam ni kita jumpa ya sayang?” Aku hidupkan enjin
motor. Hati masih belum lega sebab sejak datang tadi aku tak nampak lagi
senyuman Durani.
“Dura batalkan kelas malam ni. Joe, janji dengan Dura...
Joe kena cari kerja yang sesuai dengan kelulusan Joe, ya.”
“Aduh! Tak habis-habis lagi dengan isu ni. Dura...”
“Dura dah cakap apa yang perlu. Sebelum terlambat, lebih
baik Joe buat sesuatu. Buktikan pada abah Dura yang Joe bukan pengecut. Asyik
duduk bawah ketiak mak.”
“Eh! Apa kena-mengena ketiak mak Joe dalam hal ni?”
Tersungging senyum nipis Durani. Mulut memang buat lawak.
Tapi hati cukup terguris dengan sindiran itu. Nantilah Pak Zahar. Aku akan
buktikan, aku mampu bagi anak kau makan. Tanpa menunggu aku beredar, Durani
sudah terlebih dahulu masuk ke dalam rumah. Sehingga pintu rumahnya tertutup,
aku masih menimbang-nimbangkan permintaan Durani.
Buktikan sesuatu? Hmmm... aku tahu apa perlu aku buat
sekarang. Motor ku pulas laju menghala ke rumah. Sampai saja di rumah, aku
berkurung di dalam bilik. Sijil-sijil yang telah lama tersimpan di dalam almari
aku keluarkan. Nafas ku tarik dalam-dalam.
‘Takkan nak jadikan sijil-sijil kau ni sekadar perhiasan
dinding?’
Suara mak bergema di dalam benak. Aku tekan punat on pada laptop yang sudah lama tidak aku gunakan. Sijil-sijil yang aku
biarkan berselerak di atas katil aku pandang untuk kesekian kali. Sudah sampai
masanya aku buktikan pada orang kampung. Degree
in Business Accounting & Banking yang aku perolehi tahun lepas mampu
mengubah hidup aku selepas ini.
Lebih sejam mencari kerja-kerja yang sesuai di dalam
internet. Di saat aku hampir berputus asa, satu laman web perbankan yang
terpampang di depan mata buat aku senyum lebar. Keluar dari kampung? Kalau itu
yang mereka nak, mungkin inilah peluang aku untuk merealisasikan permintaan
Durani dan mak.
Usai mengisi segala butiran peribadi. Aku tutup laptop dan termenung sebentar. Betul ke
apa yang aku buat ni? Ahh...kalau permohonan tak lulus pun tak apa. Durani nak
aku dapat kerja yang bersesuaian dengan kelulusan aku, kan? Kalau dah payah sangat,
aku pujuk bos stesen minyak tu naikkan pangkat aku jadi penyelia. Aku kan dah
jadi orang kepercayaan di stesen minyak itu. Pasti senang-senang saja jawatan
itu akan menjadi milik aku.
Durani, tolong doakan Joe berjaya. Aku buat semua ni
untuk kau sayang.
No comments :
Post a Comment