Jumlah pengunjung setakat ini .

Google+ Followers

Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

November 13, 2014

APA DAH JADI? BAB 4


              “Mie! Jawablah telefon tu. Bisinglah...”
            Aku abaikan arahan mak. Aku turun dari katil dan capai tuala. Mandi lagi bagus. Gara-gara nasihat percuma mak semalam, aku jadi tawar hati nak berbaik-baik semula dengan Durani. Kalau betullah seperti yang mak katakan, apa daya aku untuk menghalang Durani untuk mencari orang lain?
            “Abang hantar Zarith hari ni, ya?”
            “Suruh mak hantarlah.”
            Aku terus masuk bilik mandi. Zarith dah menghentak-hentak meja. Lantak dialah. Manja tak bertempat. Aku tengah moody ni, dia nak mengada-ada pula. Sambil berus gigi aku tengok muka di cermin. Jambang dah tumbuh melata. Misai pun dah lama tak bergunting. Mujurlah Durani suka tengok aku dalam keadaan macam ni. Kalau tak, memang dah lama aku cukur habis bulu-bulu di muka ni.
            Durani? Eh, kenapa pula aku nak fikirkan pasal dia? Yang berjambang aku, yang bermisai pun aku. Suka hati akulah nak buang habis ke, nak bela sampai tertutup seluruh muka sekali pun. Selama ni apa yang aku buat, semua untuk dia. Aku sanggup bertapa di kampung ni pun sebab dia. Telinga ni bertahan menadah sindiran orang kampung pun, sebab dia.
            “Argh!!!”
            Aku basuh mulut yang berbuih dan terus capai pisau cukur. Habis semua jambang dan misai aku togelkan. Puas hati. Terjongket kening aku melihat wajah sendiri di cermin. Dah macam budak nak masuk asrama pula gamaknya. Bersih licin!
            “Hahaha! Mak, cuba tengok abang ni.”
            Zarith gelak melambak bila nampak aku keluar dari bilik mandi. Kelakar sangat ke muka aku? Mak datang dekat. Sengihnya makin lama makin lebar. Dia pegang dagu dan pipi yang dah tak berjambang.
            “Kau bayar nazar ke?”
            Makin kuat gelak Zarith mendengar pertanyaan mak. Aku ketap bibir. Mak pun dah joint Zarith, gelakkan aku secara berjemaah.
            “Sucinya muka Abang Mie!” Zarith masih tak penat ketawa. Mak pun makin kuat hilainya.
            “Huh! Entah apa-apalah korang berdua ni.”
            Sempat lagi aku tunjal perlahan kepala Zarith sebelum berlari masuk ke bilik. Tak kuasa nak melayan. Sehari kalau tak mengusik aku tak boleh agaknya. Tunggulah bila aku dah tak tinggal di sini nanti. Masa tu baru diaorang rasa sunyi.
            Selesai bersiap, aku capai kunci motor dan helmet. Laju kaki melangkah ke dapur, mencari mak. Dia kemam bibir dan tahan senyum bila kepala aku menjenguk di pintu dapur. Tapi senyumnya terus hilang bila aku bersalam dan terus menyarung helmet.
            “Tak sarapan dulu ke?”
            “Tak apalah...”
            “Laaa... Takkanlah terasa hati kot. Mak dengan Zarith bergurau ajelah.”
            Mak ikut aku sampai ke pintu depan. Aku buat bodoh aje. Sarung stoking cepat-cepat dan turun ke tanah. Enjin motor aku hidupkan. Zarith dan mak berpandangan sesama sendiri. Aku gamit Zarith mendekati aku yang dah duduk di atas motor. Dompet di poket belakang aku ambil. Sekeping not lima ringgit aku hulur padanya. Tapi dia cuma pandang aku dengan wajah sinis.
            “Apsal pandang abang macam tu? Kau nak ke tak duit ni?”
            “Memanglah nak...” Zarith tinggi suara. Tangan dengan pantas mengambil duit di tangan aku. Dia menjeling tajam sebelum mendaki pantas anak tangga dan berdiri semula di sebelah  mak.
            “Kalau ya pun nak merajuk, takkan pergi kerja pakai kasut sukan sebelah lagi pakai  selipar!”
            Spontan mata terus terarah ke kaki. Sekali lagi telinga terpaksa menadah gelak hilai mak dan Zarith. Apa kena aku ni? Motor aku tongkat semula. Selipar di kaki aku campak ke tanah.
            “Salah pakai  kasut pun nak gelak. Macamlah kelakar sangat.” Aku mengomel sambil menyarung kasut.
            “Hati-hati bawa motor Mie...”
            Aku kerling mak. Dia senyum sambil melambai perlahan. Aduh!Rasa bersalah pula buat perangai dengan mak pagi ni. Aku senyum jugalah walaupun tak berapa nak nampak mulut aku tersengih. Separuh muka dah tertutup dengan helmet.
            Sampai di stesen minyak, aku buat kerja lebih awal dari biasa. Tukar air di setiap bekas air, sapu dan buang sampah. Sebelum waktu kerja sebenar bermula, aku ambil peluang berbual-bual dengan rakan sekerja yang akan selesai shif kerjanya pagi itu.
            Burrr....
            Aku pegang perut. Budak Bangla yang jadi teman berbual cuma tersenyum nipis. Cacing di dalam perut bagi isyarat. Alahai! Menyesal pula mogok lapar dengan mak tadi.
            “Joe, mata air awaklah...”
            Kereta Durani berhenti di sebelah tempat pam. Aku terus bangun, masuk ke dalam Mart. Biarlah Budak Bangla tu yang layan Durani. Tak ada tempat nak aku tuju, sudahnya aku masuk ke tandas. Basuh muka dan kepala. Ketika aku tenung muka sendiri di cermin, aku rasa macam wajah tu mengejek aku.
            ‘Apalah kau ni? Merajuk mengalahkan perempuan. Kena kebas betul-betul nanti baru padan dengan muka sendiri.’
            Hish! Tak boleh jadi. Aku sikat rambut dan cepat-cepat keluar. Harap-harap Durani masih berada di situ. Tapi harapan cuma tinggal harapan. Memang padanlah dengan muka aku. Durani dah pergi. Aku keluar dari Mart dan berjalan longlai menuju ke tempat pam minyak.
            “Joe...”
            Langkah terhenti. Betul ke suara Durani yang aku dengar di belakang? Budak Bangla yang berbual dengan aku tadi beri isyarat suruh aku menoleh. Tapi aku buat jual mahal. Aku sambung melangkah ke tempat pam.
            “Dia ikut belakang awaklah Joe...” Budak Bangla yang bernama Malik itu berbisik perlahan. Aku mengangguk dan suruh dia pergi ke pam sebelah.
            “Selamat pagi Joe...”
            “Pagi.” Aku jawab acuh tak acuh. Badan masih membelakangkan Durani.
            “Joe dah breakfast?”
            “Semalam dah, hari ni belum.”
            “Jom pergi breakfast nak?” Durani paut lengan. Aku pandang dia sambil lepaskan pautannya.
            “Please behave! Joe tengah kerja ni.”
            “Tipu! Waktu  kerja Joe belum mula lagi, kan?” Durani menghadang badan di depan aku.
            “Saya buat OT. Maklumlah... Gaji kita ni tak besar macam gaji orang tu...”
            Sebuah kereta masuk ke stesen minyak dan berhenti di tempat pam. Ketika pemandunya keluar, aku terus ambil window wiper dan bersihkan cermin hadapan kereta itu. Durani masih tegak berdiri di sebelah tempat pam. Sesekali aku mengerling, melihat wajah Durani yang merah padam. Huh! Nak menangislah tu. Biar dia rasa. Selalunya aku yang pujuk dia. Hari ni biar dia pula yang pujuk aku.
            “Dura pergi PPD semalam, ada urusan kerja...”
            Aku buat bodoh, sambung bersihkan cermin di bahagian belakang pula. Pemilik kereta dah datang. Dia sendiri yang tuang minyak. Aku duduk semula di sebelah pam.
            “Dura minta maaf. Semalam tak sempat nak beritahu Joe. Lagipun Dura pergi sekejap aje...”
            “Huh! Senangnya mulut orang perempuan ni, kan? Sikit-sikit maaf. Besok-besok buat lagi.”
            Durani mendengus kasar. Dia terus berlari menuju ke kereta yang diletak di tepi stesen minyak. Alahai, aku belum puas dipujuk lagi. Nampak gayanya memang kena beralah lagi ni.
            “Durani!”
            Dia langsung tak menoleh. Makin laju pula dia berlari.
            “Malik, kau cover aku kejap.” 
            Ada sebuah lagi kereta di belakang kereta tadi. Tapi aku tak peduli. Biarlah Budak Bangla tu layan. Aku kejar Durani yang dah nak masuk ke dalam kereta. Mujur sempat pegang pintu. Durani pandang aku dengan mata yang merah menyala.
            “Nak merajuk sikit pun tak boleh...” Aku buat suara manja. Bibir dah menyungging senyum kambing.
            “Dura malu tau tak? Orang pandang! Joe buat Dura ni macam patung aje kat situ.”
            “Eh, kalau betul-betul Dura jadi patung kat situ lagi bagus. Lepas kerja nanti boleh Joe bawa balik. Tak adalah rindu sangat nak tengok muka dia.”
            Durani mengetap bibir. Aku tahu dia sudah kehabisan modal. Sudahnya dia mencari perut aku sebagai sasaran cubitannya. Sakit tau dia cubit. Tapi sayang punya hal, kan. Sakit pun aku senyumlah juga. Mati beragan aku kalau dia merajuk pula nanti.
            “Sayang... Joe laparlah. Pergi breakfast jom.” Aku tarik tangan dia keluar dari kereta. Durani nampak keberatan. Dia pandang jam di dashboard.
            “Dura guru bertugas minggu  ni...”
            Fahamlah aku kalau dia dah cakap macam tu. Tangannya aku lepaskan. Tengahari nantilah baru dapat dating dengan dia. Aku paksa bibir mengukir senyum. Ketika Durani nak tutup pintu kereta, perut aku yang masih tidak berisi berbunyi lagi.
            “Amboi! Lapar betul cacing dalam perut Joe. Pagi tadi tak makan apa-apa ke kat rumah?” tanya Durani.
            “Tak... mogok lapar.” Selamba saja aku bersungut. Durani ketawa sambil menarik sebuah bungkusan beg plastik di dalam beg kertas di sebelah tempat duduk pemandu.
            “Nah.” Dia hulur beg plastik tadi. Ada tiga biji karipap. Ini sudah bagus. Bolehlah jadi alas perut sementara nak tunggu makan tengahari.
            “Nanti Dura nak makan apa?” Tangan masih menahan pintu kereta. Tak puas pula rasanya berbual dengan dia pagi ni. Yalah, rajuk dah hilang.
            “Dura banyak waktu free hari ni. Nanti Dura pergi makan kat kantin aje.”
            “Hmm, jangan makan banyak-banyak tau. Nanti tengahari nak makan lagi.” Aku mengingatkan dia. Hidung mancungnya aku tarik perlahan. Lawanya buah hati aku ni.
            “Alamak!” Durani menepuk dahi.
            “Kenapa?” Pintu kereta aku tolak luas. Durani pandang aku sambil buat muka comel. Hmmm, ni mesti ada hal.
            “Joe... tengahari ni tak boleh nak dating lah. Dura kena hantar student pergi pertandingan pidato...”
            Ala...dia ni memang sengaja kacau mood aku tau. Hati baru nak sejuk. Dia pegang tangan aku, sambil mulut berulang kali memohon maaf. Ada rasa nak marah juga ni. Tapi apa kuasa aku nak menghalang. Aku bukan suami dia. Lagipun dia bukan pergi merayap.
            “Hmm, yalah. Dah sampai rumah nanti jangan lupa call.
            Itu sajalah yang mampu aku titipkan. Nak lebih-lebih, belum halal lagi. Aku sambung kerja bila kereta Durani bergerak keluar dari stesen minyak. Makan kat rumah ajelah jawabnya tengahari ni.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ ~ ~
            “Mana Mazli ni? Dia beli roti ke buat roti?” Fauzi mengomel sendirian. Tangan masih tak henti mendail nombor Mazli.
            “Kejap lagi dia sampailah tu...” Aku jawab acuh tak acuh. Masih ada sebungkus lagi roti burger yang tinggal. Murah betul rezeki hari ni. Ramai juga yang datang beli burger. Sambil membalik-balikkan daging di atas dapur leper, mata sempat lagi mengerling ke balai raya. Gelap saja, tidak seperti selalu. Hairan, Durani tak cakap pula yang dia tak ada kelas tiusyen malam ni.
            Sejak gerai dibuka petang tadi, aku masih belum berkesempatan untuk menghubungi dia. Kaki pun sudah lenguh menyiapkan burger yang dipesan oleh pelanggan. Ada masanya sampai naik kembang punggung, lama sangat duduk menunggu pelanggan. Tapi malam ni, sudah dua kali Mazli ke kedai membeli roti burger. Alhamdulillah, dapatlah untung lebih sikit malam ni.
            “Ha! Baru sampai...” Fauzi bercekak pinggang di tepi jalan.
            Bunyi motor kapcai Mazli semakin lama semakin dekat. Dia keluarkan dua bungkus roti burger dari dalam bakul. Fauzi melompat naik ke atas motor yang baru ditongkat. Tergesa-gesa dia menghidupkan semula enjin motor.
            “Nak ke mana?” Aku tanya dia. Kerja belum habis, dia nak merayap pula. Potong gaji nanti baru dia tahu.
            “Nak ‘melabur’ kejap...”
            Fauzi terus pecut motor ke balairaya. Eleh, nak pergi jamban pun naik motor. Kalau jalan kaki tadi dah lama sampai. Bukannya aku tak tahu, lepas ‘melunaskan hajat’ nanti mesti dia nak merayap. Kawan aku yang seorang ni bukannya bersungguh sangat nak cari duit tepi. Anak orang senang. Hasil kebun bapa dia pun tak habis kalau dia makan seorang. Anak tunggal pula tu.
            “Joe, tadi aku lalu depan rumah Dura...”
            Aku jeling Mazli. Bagi isyarat suruh diam. Nanti ada yang tak siap masak burger ni pula. Mazli diam. Roti burger yang sudah dibelah dua disapu mentega kemudian diletak di atas dapur. Ada tiga biji burger lagi yang perlu disiapkan. Kalaulah tak ada orang lain di gerai tu, memang dah lama aku suruh Mazli habiskan ceritanya. Aku memang alergi betul kalau ada yang menyebut nama buah hati pengarang jantung aku tu.
            Aku tarik dia duduk di kerusi plastik sebaik saja pelanggan terakhir membayar duit burger yang dipesan. “Dura ada kat rumah tak?” Aku tanya Mazli.
            “Dia ada. Tapi ada banyak kereta kat depan rumah dia...”
            “Mana kau tahu dia ada kat rumah? Kereta siapa kat depan rumah dia?”
            Mazli nyalakan api rokok yang terkepit di hujung bibir. Ala... cerita tersangkut-sangkut inilah yang aku kurang gemar. Mazli sedut dalam-dalam sebaik saja rokok menyala. Berlumba-lumba asap keluar dari hidung dan mulut pada hembusan pertama. Dia sedut lagi. Eee... Bila dia nak jawab soalan aku ni?
            “Kereta dia ada kat garaj, mestilah dia ada, kan?” Mazli menjongket kening. Dijentik-jentik pangkal rokok untuk membuang habuk.
            “Kereta siapa yang banyak-banyak tu?” Aku masih belum puas mengorek rahsia. Hati dah rasa tak sedap ni.
            “Entah. Kereta kaum kerabat dia kot,” jawab Mazli acuh tak acuh. Hampir tertutup matanya menghalang asap rokok.
            Aku ketuk-ketuk meja dengan hujung jari. Ikutkan hati nak saja aku tengok dengan mata sendiri. Kereta siapa pula yang Mazli maksudkan. Dalam pada aku tengah berfikir-fikir, tak semena-mena Mazli gelak melambak. Apahal pula dengan dia ni?
            “Aku rasa aku tahu kereta siapa banyak-banyak tu...” Mazli menenyeh puntung rokok dengan selipar Jepunnya. Tawa masih kedengaran.
            “Siapa?”
            “Kereta dari bakal mertua dia kot!” Mazli menepuk meja. Terpercik-percik air liurnya seiring dengan ketawa yang mengekek. Wah! Melampau betul cara dia bergurau.
            “Kau jangan main-main Li. Tak kelakar pun tau!”
            Ringannya rasa tangan ni nak menghayun ke muka dia. Hati makin panas bila Mazli masih tak berhenti ketawa. Aku bangun dan ambil botol air di tepi  tong tempat simpan daging-daging burger. Aku gogok sampai habis air yang tinggal separuh. Mata masih mengerling Mazli yang merenung aku dengan wajah sinis.
            “Takut rupanya buah hati kena kebas. Joe, cuba bayangkan kalau betul ada orang masuk meminang Durani. Orang tu pulak lagi handsome dari kau. Bukan setakat handsome. Ada kereta, kerja kat ofis besar... banyak duit pulak tu. Kau rasa-rasakan...”
            Buk!
            “Ha... Itu yang aku rasa sekarang! Mulut kau ni macam longkang kau tau tak? Nak bergurau pun agak-agaklah!”
            Tak pasal-pasal Mazli dapat penumbuk sulung. Puas hati aku tengok dia tertonggeng di bawah meja. Celupar sangat mulut tu.
            “Kau ni apahal Joe?” Mazli bangun. Hujung lidah menjilat bibir yang berdarah. Dia meludah berkali-kali sambil menyapu bibir dengan lengan baju.
            “Benda lain aku boleh tahan lagi. Tapi kalau hal Durani kau jangan bawa bergurau. Putus kawan pun aku sanggup!”
            Sebelum aku hayun penyepak pula ke perut Mazli, lebih baik aku blah. Aku perlu cari Durani. Gurauan Mazli tak boleh dipandang ringan. Terjerit-jerit Mazli memanggil. Panas hati punya pasal aku tinggalkan dia sorang-sorang di situ. Pandai-pandailah dia nak masak burger tu nanti.
            Lima puluh meter sebelum sampai di depan pintu pagar rumah Durani, aku matikan enjin motor. Dalam rumah masih terang. Tapi bilik Durani gelap. Dia ke mana pula malam-malam ni? Aku tolak motor perlahan-lahan. Sampai di depan pintu pagar, aku tongkat motor. Tercangak-cangak aku memerhatikan sekeliling rumah Durani.
            “Ehem!”
            Sepantas kilat aku toleh ke belakang. Abah Durani! Alamak, jatuhlah saham aku. Abah Durani menjongket kening.
            “Abah... eh salah.. pak.. pakcik...” Serba tak kena aku dibuatnya. Abah Durani berdiri tegak. Tangan kanannya memegang lampu suluh. Dah macam pegawai pencegah maksiat pula gayanya.
            “Apa kau buat kat depan rumah aku ni?”
            “Tak... tak ada apa-apa?” Aku garu kepala yang tidak gatal. Sempat lagi aku kerling ke rumah Durani. Malu besarlah aku kalau Durani tahu aku kantoi dengan abah dia.
            “Kau cari anak aku, ya?”
            Suara tegas Pak Zahar buat aku rasa nak terkucil. Cara dia pandang, sebiji macam Sarjan Misai dalam cerita Gerak Khas. Gigil lutut aku siot! Aku angguk perlahan sambil pamer senyum ikhlas. Ikhlas tau. Memang aku nak jumpa Durani. Apa yang Mazli sampaikan pada aku tadi perlu disahkan. Kalau tak memang percuma saja dia kena buku lima tadi.
            “Durani tak ada. Dia pergi rumah sepupu dia.”
            “Eh, dia tak kerja ke besok Pak Zahar?” Terus jadi berani. Pelik. Selalunya Durani akan maklumkan pada aku kalau dia nak ke mana-mana.
            “Dah banyak sangat makan daging burger sampai lupa besok hari Sabtu?”
            Hambik! Sekali dia dapat peluang sindir aku memang sentap habis. Macam manalah aku boleh tak perasan besok tak sekolah. Adoi! Dah dua kali malu ni. Pak Zahar buka pintu pagar. Aku ikut dari belakang. Tiba-tiba mata ternampak kereta Durani di garaj kereta.
            “Eh, tu kereta Dura ada?” Laju mulut aku bertanya.
            “Dia tumpang kereta sepupu dialah. Kau pergi balik sekarang. Tak malu ke bertandang rumah anak dara orang malam-malam ni? Tak senonoh betul! Macam ni ke nak jadi menantu aku?”
            Mulut dah terbuka, kononnya nak mempertahankan diri sendiri. Tapi Pak Zahar dah menonong berjalan ke pintu utama. Sebelum dia buka pintu, sempat lagi dia menoleh. Aku telan liur dan cepat-cepat melompat naik ke atas motor. Sebelum dia perhambat aku dengan capal runcing dia tu, lebih baik aku pergi dari situ. Nampak sangat abah Durani tak berkenan dengan aku.
            Telefon berbunyi sebaik saja aku tiba semula di gerai. Aku cuma matikan enjin, tak turun dari motor. Panggilan dari Durani aku jawab dulu.
            “Joe datang rumah ke tadi?” Durani terus menyoal aku.
            “Mana tahu?” Aku pula soal dia. Tadi bukan ke abah dia cakap dia tak ada di rumah. Cepat betul abah dia bagi laporan.
            “Dura dengar suara Joe berbual dengan abah kat luar rumah tadi...”
            “Dura ada kat rumah? Bukan pergi rumah sepupu ke?”
            “Sepupu mana pulak? Dura ada aje kat rumah ni. Kenapa Joe tak nak jumpa Dura?”
            “Uik, siapa cakap?” Tegak badan aku mendengar soalan Durani. Walaupun aku tahu jawapannya tapi aku nak dengar sendiri jawapan yang bakal keluar dari mulut Durani.
            “Abah kata Joe lalu depan rumah terserempak dengan abah. Joe berhenti sekejap nak bertegur sapa aje dengan abah.”
            Tergamam sekejap. Aku pandang Mazli yang sedang melayan pelanggan di gerai. Kata-kata dia tadi terngiang-ngiang di telinga aku. Patut tak kalau aku tanya tentang kehadiran kereta-kereta di rumahnya petang tadi.
            “Joe... nanti kita sembang lagi ya. Abah panggil tu. Bye...”
            Sekali lagi aku pandang Mazli. Telefon yang sudah senyap masih terlekap di telinga. Hati dah mula rasa tak sedap ni. Macam mana kalau apa yang dikatakan oleh Mazli menjadi kenyataan? Tidak! Durani sayang aku. Tak mungkin dia akan khianati cinta kami.

Post a Comment

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.