Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 22, 2014

APA DAH JADI? BAB 10

 
            “Mie...”
            Aku alihkan suratkhabar yang menghadang pandangan. Serta-merta aku betulkan duduk. Abang Zali sedang berdiri di sebelah mak. Aku lipat suratkhabar dan letak di atas meja kopi. Tak tahu nak buat apa, aku bersandar kembali di sofa. Nak senyum pun, macam tak boleh nak bergerak pula bibir ni.
            “Kau duduklah dulu Zali. Makcik nak pergi jemput Zarith.”
            Mak tinggalkan aku bersama Abang Zali. Abang Zali tak terus ke sofa. Dia menunggu sehingga motor mak hilang dari pandangan. Kemudian baru dia melabuhkan punggung di sebelah aku. Alamak! Dalam banyak-banyak kerusi, kenapa dia duduk di sini. Aku pandang dia sekilas sebelum melarikan mata ke arah televisyen yang terpasang. Entah apa rancangan yang sedang ditayangkan, aku pun tak tahu.
            “Berapa hari nak cuti ni?”
            Aku garu kepala yang tidak gatal tatkala mendengar soalan Abang Zali. Hari pertama aku ponteng kerja dengan alasan sakit kepala. Hari kedua alasannya motor pancit. Hari ini dah tak ada alasan yang munasabah dapat aku berikan. Tiba-tiba jadi malu pada diri sendiri. Frust punya pasal, kerja aku terabai. Mujur dapat bos macam Abang Zali. Kalau orang lain rasanya dah lama aku kena buang kerja. Tapi nak buat macam mana? Semangat aku hilang bersama cinta Durani. Habis dibawanya  segala kekuatan aku untuk  berdepan dengan orang-orang kampung. Malu beb! Bercinta bertahun-tahun. Tapi kesudahannya? Hampeh!!!
            “Malulah Joe kalau berkurung dalam rumah sebab perempuan...”
            Amboi! Ini perli ke bagi nasihat? Bahu aku ditepuk berkali-kali oleh Abang Zali. Lepas tepuk dia goncang-goncang pula. Aku senyum juga akhirnya. Tercuit dengan cara Abang Zali memancing perhatian aku.
            “Masin mulut mak saya bang...”
            “Kenapa? Dia guna lipstick  perisa garam ke?”
            Senyum makin lebar. Pandai pula dia buat loyar buruk. Mujur lebih tua dari aku. Kalau tidak memang dah lama dia makan siku. Aku tengah sedih, dia buat lawak budak sekolah pula.
            “Joe...orang tua ni, selalunya ada extra feeling tau. Dia boleh rasa kalau ada benda buruk nak jadi.”
            “Kalau macam tu Abang Zali pun dah termasuk dalam golongan tualah. Abang tahu apa yang akan terjadi pada saya. Sebab itulah abang bagi saya pinjam duit tu, kan?”
            “Siapa kata aku tua? Aku tolong kau ikhlaslah. Kalau aku tahu bapak Durani nak reject kau, aku dah rekomen kau dengan adik ipar aku. Dia lagi cun dari anak dara Pak Zahar tu.”
            Spontan dia menunjal kepala aku. Aku tunjuk sengih kambing. Terlepas cakap sebenarnya. Almaklumlah, hati tengah ‘bengkak’. Semua orang aku nak marah. Tak sepatutnya aku cakap begitu pada Abang Zali. Aku pasti, mak yang ceritakan kisah tragis aku pada dia. Mungkin mak juga yang panggil dia datang ke rumah menjenguk aku.
            Tiit!!!
            Motor posmen masuk ke perkarangan rumah. Aku bangun menuju ke pintu. Sebuah sampul surat berukuran kertas A4 dihulur. Laju aku menuruni tangga. Pasti surat penting sebab itu surat berdaftar. Aku masuk semula ke rumah bersama surat yang sudah aku tandatangan.
            “Surat apa tu? Macam surat urusan rasmi aje,” ujar Abang Zali.
            Aku jongket bahu. Perlahan-lahan aku buka sampul dan keluarkan isi perutnya. Mata menyorot setiap perkataan yang tertulis di kertas putih. Benar kata Abang Zali. Surat rasmi. Surat yang buat aku terduduk membungkam sekejap. Abang Zali ambil surat yang masih terpegang di tangan. Dia berdeham sebentar sebelum membaca surat itu. Dah macam pembaca berita pula gayanya.
            “Tuan...status permohonan jawatan Pegawai Eksekutif Bahagian Khidmat Pelanggan. Sukacita dimaklumkan permohonan tuan untuk jawatan ini telah diluluskan....”
            “Diluluskan?”
            Pembacaan terhenti. Mak meluru ke arah Abang Zali. Helmet di kepala pun belum sempat ditanggalkan. Surat ditangan Abang Zali diambil laju lalu dibacanya dengan nafas yang tercungap-cungap.
            “Alhamdulillah. Mak dah nampak posmen tu dari simpang masuk tadi. Mak dapat rasa hari ini pasti ada surat untuk kau Mie. Alhamdulillah... Akhirnya Allah makbulkan doa mak. Anak makcik dah dapat kerja Zali. Boleh duduk dalam pejabat besar. Pakai baju kemeja lengan panjang, bertali leher. Boleh pakai wangi-wangi. Tak berpanas. Ya Allah, syukur!”
            Mak nampak tak tentu arah. Sampaikan Abang  Zali pun dipeluknya juga. Dengan aku, jangan cakaplah. Habis seluruh muka kena cium. Zarith yang tak tahu apa-apa itu pun dipeluknya. Aku tak tahu apa yang aku rasakan  di  saat ini. Melihat airmata gembira mak buat aku rasa lega. Akhirnya  dapat  juga aku menyenangkan hatinya. Tapi dalam masa yang sama aku sedih. Sedih sebab tak dapat berkongsi berita gembira ini bersama Durani.
            “Memang masin mulut mak kau Joe. Lepas ni aku kena buat temuduga terbukalah jawabnya. Mana pula aku nak cari pengganti kau ni?”
            Abang Zali senyum sambil menjongket kening. Riak mukanya nampak gembira. Tapi aku tahu dalam masa yang sama dia pun akan menghadapi masalah. Surat di tangan mak aku ambil dan perlahan-lahan tangannya aku pegang.
            “Mie tahu mak tengah happy. Tapi Mie belum bersedia nak keluar dari kampung ni. Mie belum bersedia lagi nak tinggalkan mak.”
            “Belum bersedia nak tinggalkan mak ke, Durani?”
            Pergh! Sentapnya bila mak sebut nama  ex-girlfriend aku tu. Ex? Aduh! Buruknya gelaran tu. Tak pernah terlintas dalam kepala Durani akan jadi ex-girlfriend aku sudahnya. Sebaknya dada. Aku peluk mak. Tak malu langsung dengan Abang Zali. Tiga hari aku menahan, akhirnya hari ini aku kalah. Aku menangis semahu-mahunya di bahu mak.
            “Eee, tak malunya! Dah besar-besar pun menangis,” perli Zarith.
            Aku tak peduli. Pelukan semakin erat bila mak usap perlahan belakang badan aku. Terasa tepukan lembut di bahu. Aku tahu itu tangan Abang Zali. Hening sekejap suasana di dalam rumah. Lama kemudian, mak lepaskan pelukan. Eh, mata dia pun berair? Ya Allah! Berdosanya aku buat mak menangis. Cepat-cepat aku cium tangan mak.
            “Dahlah tu. Penatlah buat drama airmata dengan kau ni.” Mak merentap perlahan tangannya. Sekali lagi surat bertukar tangan. Aku kembali duduk di sofa. Abang Zali pun ikut sama. Mak membaca sekali lagi isi kandungan surat. Jelas kelihatan dia menarik nafas dalam-dalam lalu dihembus perlahan.
            “Mak nak kau keluar dari kampung ni Mie. Dah sampai masanya kau ubah nasib keluarga kita.”
            “Apa bezanya kalau kerja kat sini mak? Gaji yang Abang Zali bagi sekarang ni lebih dari cukup untuk kita bertiga. Mak tunggu, hujung tahun ni inshaa Allah... merasalah mak naik kereta.” Aku cuba meyakinkan mak. Tapi wajah tua itu masih  keruh. Dikesatnya sisa airmata dengan hujung tudung.
            “Mak tak kisah dengan semua tu. Tapi kau perlu cari suasana baru.” Mak masih  berusaha memujuk
            “Mie boleh tukar tempat dengan Abang  Zali. Abang, apa kata kalau abang jaga stesen minyak kat sini. Saya pula handle stesen minyak yang lagi satu. Seminggu sekali saya boleh balik jenguk mak dan Zarith. Lagipun taklah jauh sangat.” Aku pandang Abang Zali, mohon sokongan. Tapi dia cuma diam. Matanya terarah pada mak. Ada dengusan kasar yang keluar dari mulutnya.
            “Tapi kerja yang kau dapat kat sana lebih sesuai dengan kelulusan yang kau ada. Pergilah Mie. Tak guna kau ingatkan Durani lagi. Buktikan pada abah dia kau mampu jadi lebih baik dari sekarang.”
            Aku bungkam. Modal apa lagi yang perlu aku gunakan untuk membantutkan hasrat mak. Hati masih berat nak meninggalkan segala kenangan yang ada di sini. Walaupun hati sangat terluka dengan perbuatan abah Durani, tapi masih ada secebis rasa sayang buat gadis itu. 6 tahun bukanlah satu tempoh yang sekejap. Sumpah! Aku masih sayangkan dia. Durani tak bersalah. Yang bersalah adalah Pak Zahar.
            “Assalamualaikum...”
            Ada orang beri salam di luar rumah. Masing-masing  berpandangan. Zarith terlebih dahulu meluru ke pintu.
            “Macam suara dia,” ujar mak perlahan.
            “Siapa mak?”
            Mak tak menjawab soalan aku. Dia bangun dan berlenggang ke pintu utama. Aku dan Abang Zali berpandangan. Bila aku menoleh kembali ke pintu, gaya mak sudah bertukar. Lengan baju disinsing  hingga ke siku. Dia mencekak pinggang. Uik, apsal dah macam gaya nak bergusti pula ni?
            “Balik! Aku tak nak tengok muka kau anak-beranak. Berambus aku kata!”
            Terbangun aku dan Abang Zali tatkala mendengar tempikan mak. Rasanya aku tahu siapa yang datang. Lambatlah berjalan, aku berlari menghampiri mak di pintu. Abang Zali cuma menjenguk di tingkap.
            “Dura...”
             Mak menjeling tajam pada aku. Serta-merta tangannya terhadang di jenang pintu. Uik! Dah macam babak dalam cerita Ibu Mertuaku pula.
            “Joe...Dura datang nak minta maaf. Sumpah! Dura tak tahu langsung rancangan abah.”
            Luluh hati melihat Durani terduduk di tangga. Kaki nak sangat melangkah keluar dan memeluk dia. Tapi mak dah macam kaki pukul. Sebelah tangan menghadang aku, sebelah lagi mencekak pinggang. Mak Durani pun ada. Sugul betul wajah masing-masing.
            “Jadi kau datang ni nak apa? Kalau setakat nak minta maaf, kami ni tak layak nak maafkan kau. Kami ni orang miskin. Nak beli kereta pun tak mampu. Orang macam kami ni jadi bahan cacian bapak kau aje. Betul tak Kak Intan? Laki kau ajelah orang yang paling bagus dalam kampung ni. Orang lain ni nampak buruk aje di mata dia.”
            Tercungap-cungap mak menghabiskan bebelannya. Tangan yang menghadang pintu sudah diturunkan. Aku pegang bahu mak, bantu dia untuk bertenang. Tapi mata masih tak lepas pada Durani yang masih tunduk dihujung kaki mak. Aku tahu dia bercakap benar. Dia memang tak tahu rancangan jahat abahnya.
            “Baliklah Dura. Susah nanti kalau abah Dura tahu. Kami ni masih boleh lagi terima kata-kata kesat dia. Tapi Joe tak boleh tahan kalau tengok Dura kena maki dengan abah nanti. Makcik Intan, bawalah Dura balik.”
            Dura mengangkat muka. Dia mengesat pipi yang basah dengan belakang tapak tangan. Perlahan-lahan dia bangun dan mengeluarkan sesuatu di dalam beg tangan. Bulat mata aku melihat sampul surat yang  Durani pegang. Itu sampul duit yang diberi oleh Abang Zali.
            “Dura nak pulangkan semula duit Joe...” Durani menghulur sampul duit itu pada mak.
            “Kami bukan keturunan buruk siku. Kau bagi kat bapak kau duit tu. Suruh dia tidur atas duit. Intan! Kak Sal dah anggap Durani ni macam anak sendiri. Aku ikhlas biarkan Johaimi berkawan dengan anak kau. Tapi begini cara kau balas keikhlasan kami? Semuanya sebab kerja anak aku tu tak sebagus anak kau, kan? Kau tengok ni...”
            Mak tolak aku ke tepi. Dia masuk semula ke dalam rumah dan mengambil surat tawaran yang baru aku dapat tadi. Aku menggeleng laju, tak mahu mak tunjukkan surat itu pada Durani. Tapi sia-sia saja. Mak turun mendapatkan Durani dan ibunya sambil menayang surat tawaran.
            “Ni...Allah sentiasa menolong orang yang teraniaya tau tak? Intan, kau cakap dengan laki kau, lepas ni dia takkan tengok anak aku dalam kampung ni lagi. Dia dah dapat kerja bagus! Tak lama lagi dapatlah aku pakai kereta. Bukan setakat kereta. Entah-entah dapat menantu, lebih lawa dari anak kau!”
            Seronoknya mak melepaskan geram. Kali ini aku pula yang terkelu. Durani mengambil surat di tangan mak. Jelas kelihatan tangannya menggeletar ketika membaca isi kandungan surat itu. Tapi kemudian dia senyum. Senyum yang bersulamkan  airmata.
            “Tahniah Joe... Dura bangga dengan Joe. Selamat bertugas di tempat baru ya, sayang...” ucap Durani penuh lirih
            “Terima kasih. Tapi semua tu dah tak ada maknanya Dura.” Bergetar suara aku membalas kata-kata Durani.
            “Jangan macam tu Joe. Apa jadi sekali pun Dura akan tetap sayangkan Joe...” Durani cuba meyakinkan aku. Dia cuba menapak satu anak tangga menghampiri aku. Tapi dengusan kasar mak mematikan langkahnya.
            “Huh! Sayang konon. Pergilah balik. Nanti datang pula bapak kau yang garang nak mampus tu. Cukup-cukuplah dia malukan kami tempoh hari. Muka ni, dah tak tahu nak letak kat  mana.”
            “Saya akan pergi makcik. Tapi duit ni saya tetap nak pulangkan. Duit ni bukan hak saya.”
            Durani meletakkan sampul duit di atas tangga, betul-betul di hujung kaki mak. Kemudian dia terus berlari masuk ke kereta. Ibunya pun tergesa-gesa mengikut Durani. Kami cuma mampu memandang hingga kereta Durani hilang dari pandangan. Aku tak mampu menghalang kerana tak mahu menyinggung hati mak. Zarith yang dari tadi cuma jadi ‘Pak Pacak’ mengambil sampul duit tadi.
            “Beratnya! Banyak ke duit dalam sampul ni?” Zarith nak membuka sampul duit itu. Tapi dengan pantas mak menegahnya.
            “Bagi sini.” Sampul duit diambil dari tangan Zarith. Mak masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke Abang Zali yang berada di tepi tingkap. Ditariknya tangan bos aku tu lalu diletaknya sampul duit tadi di tapak tangan Abang Zali.
            “Makcik pulangkan balik duit kau. Dah tak ada sebab Johaimi nak pinjam duit ni lagi...”
            Mak terus berlalu. Dia dan Zarith ke dapur. Mungkin baru nak menyiapkan minuman untuk Abang Zali.
            “Joe...”
            Abang Zali menggamit aku.
            “Apa dia bang?”
            “Ambil duit ni. Gunakan untuk beli barang-barang nak ke Penang nanti.”
            “Tapi bang...”
            “Pergi aje Joe. Sebagai anak, dah jadi kewajipan kita untuk gembirakan hati dia. Buatlah sebelum terlambat. Jangan risau, bagi can lah aku nak menumpang kasih mak kau pulak. Aku janji akan tengok-tengokkan diaorang berdua bila kau tak ada nanti. Okeylah , aku balik dulu.”
            Abang Zali terus keluar, tinggalkan aku yang masih terpinga-pinga. Susahnya nak jumpa orang sebaik dia sekarang ni, kan?

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.