Baru saja buka pintu
pejabat, telefon yang aku letak di dalam beg selepang berbunyi. Aku kenal nada
dering itu. Durani call. Kelam-kabut aku
tutup pintu pejabat dan seluk telefon di dalam beg. Sukanya hati sebab Durani
tak lupa janjinya nak telefon aku pagi ini.
“Assalamualaikum sayang...” Aku henyak punggung di
kerusi. Fail-fail di atas meja aku tolak sikit ke tengah. Apa-apa hal layan
Durani dulu. Kejap lagi baru aku tengok fail-fail tu.
“Waalaikumsalam Joe. Dah masuk kerja?” Suara Durani
kedengaran ceria. Lapang dada mendengar suara lunak dia. Aku pasti, abah dia
tak ada bersama ketika ini.
“Baru masuk office.
Tadi buat kerja kat luar. Dura kat mana ni?”
“Dah dalam perjalanan ke JB. Berhenti sekejap kat Pagoh.
Joe dah breakfast?”
“Dah... Dura dengan
siapa tu?”
“Dengan kawan. Dia tumpang kereta Dura. Kami
bergilir-gilir pandu kereta.”
“Lelaki ke perempuan?” Tak puas lagi aku menyoal dia.
“Lelaki.”
Aku ketap bibir. Durani terkekek ketawa di dalam talian.
Kalau dia ada di depan mata sekarang memang dah aku cubit pipi gebu dia. Aku
tahu dia cuma bergurau. Bibir hampir nak tersenyum, tapi teringatkan mimpi di awal pagi tadi. Hati
terus jadi kurang enak. Macam mana kalau betul-betul dia bersama cikgu lelaki?
Aku bukannya nampak kalau dia menipu pun, kan?
“Joe...”
Aku tak menyahut. Masih bermain teka-teki dengan otak
sendiri.
“Joe!”
“Ehem... ya... ya... Joe dengar ni.” Johaimi. Sila kawal
emosi. Mimpi itu penyeri tidur. Tak mungkin Durani menipu. Kau kenal dia, kan?
“Joe percaya ke Dura ke JB dengan cikgu lelaki?” Masih
ada sisa tawa Durani. Aku paksa diri untuk senyum walaupun dia tak nampak.
Sedang cuba menyedapkan hati sendiri.
“Kalau Dura tipu pun, manalah Joe tahu...”
“Eleh, sajalah tu. Jangan nak cari pasal dengan Dura, ya.
Dura dengan cikgu perempuanlah. Kami bertiga aje ni. Mana ada cikgu lelaki.”
“Baguslah kalau macam tu.” Aku capai pen di atas meja
lalu aku ketuk-ketuk perlahan. Tiba-tiba hilang modal nak berbual dengan
Durani.
“Kenapa ni Joe. Macam tak happy aje bila Dura call?”
Durani keluarkan nada rajuk pula.
“Pagi tadi Joe mimpi, Dura kahwin dengan orang lain.”
Sengaja aku pancing mood Durani. Nak
mengorek rahsia pun ya juga sebenarnya. Rahsia kenapa Pak Zahar terlalu
mengawal pergerakan dia sekarang. Manalah tahu kalau-kalau mimpi aku tu benar.
“Patutlah mood
macam perempuan datang bulan. Mimpi ngeri rupanya. Handsome tak lelaki yang kahwin dengan Dura tu?” tanya Durani.
“Kalau nak tengok
handsome, Joe lagi handsome dan macho dari dia. Tapi yang buat Joe kalah
dengan mamat tu, duit dia. Punyalah banyak duit dia sampai kenduri kat rumah
Dura pun dia support.”
Dah macam anak kecil mengadu dengan mak sebab dibuli
kawan pula rasanya aku ni. Habis semuanya aku ceritakan pada Durani. Tapi dia, aku
dengar cuma tawa manjanya yang tak henti-henti. Kelakar ke cerita aku ni?
“Kalau Joe nampak muka lelaki tu maknanya lelaki tu
setan! Hahaha! Dahlah... Dura dah nak bergerak ni. Nanti dah sampai JB Dura call, ya.”
“Dura...” Aku panggil cepat-cepat sebelum dia menamatkan
panggilan.
“Ya...”
“Joe sayang Dura tau. Jaga diri baik-baik ya sayang.
Jangan curang ya.”
“Alolo... comelnya dia cakap macam tu. Baiklah sayangku
Johaimi. Saya, Durani Binti Azhar berjanji akan menjaga kelakuan saya. Tidak
curang, tidak bermain mata dan tidak mengurat mana-mana lelaki sepanjang saya
berada di Johor Bahru. Tapi kalau ada yang main-main mata dan mengurat,
itu bukan salah saya tau. Nak buat macam
mana? Girlfriend awak ni kan cun giler!”
Dia berjaya buat aku gelak melambak. Sekali datang dia
punya sengal, hilang terus mood risau
aku. Fail-fail di atas meja aku semak sebaik saja kami menamatkan perbualan.
Tak sampai sepuluh minit menyemak fail akaun, Abang Zali mengetuk perlahan
cermin yang menjadi dinding pejabat. Bos besar dah datang nak melawat cawangan
nampaknya. Itulah rutin Abang Zali setiap pagi Isnin. Aku gamit dia masuk ke
pejabat. Dalam masa yang sama aku bangun dan buka pintu.
“Busy?” tanya
Abang Zali.
“Tak sangat. Periksa fail akaun dengan buku log aje.”
Aku bagi dia duduk di tempat aku. Tempat duduk dia yang
lama. Abang Zali cuma menyemak sekilas fail-fail yang belum habis aku periksa.
Dia pandang aku dan fail-fail tadi ditutup perlahan.
“Macam mana? Okey tak handle
budak-budak ni?” tanya Abang Zali.
“Bolehlah.” Aku jawab pendek saja.
Sebenarnya ada perkara lain yang aku nak bincangkan
dengan Abang Zali. Tapi tak tahu macam mana nak mulakan. Aku rapatkan badan ke
meja. Abang Zali masih tersandar di kerusi. Tapi matanya dah tertumpu pada aku.
“Ada masalah lain ke?” Abang Zali yang buka mulut dulu.
“Bukan masalah kerja bang.”
Aku telan air liur dan membetulkan letak punggung.
Tiba-tiba tak tahu macam mana nak susun ayat. Abang Zali memang sempoi
orangnya. Tapi setakat hari ini, aku tak pernah lagi berbincang hal personal
secara serius dengan dia. Abang Zali
jongket kening. Dia masih sabar menunggu aku bersuara. Aduh Johaimi! Kenapa
tiba-tiba jadi pemalu ni?
“Kau nak pinjam duit ke?”
Terjegil sikit mata aku. Pandai betul Abang Zahar membaca fikiran aku. Kepala macam nak
mengangguk, tapi rasa macam terkejang sekejap. Malunya! Durani, Joe sanggup
tanggung rasa malu ini untuk awak tau. Harap-harap Abang Zali akan luluskan ‘personal loan’ aku.
“Boleh ke bang?” Akhirnya keluar juga soalan dari mulut
aku.
“Tengok dulu berapa amaunnya...”
Kaki dah bergoyang-goyang di bawah meja. Bimbang juga nak
sebut amaun yang aku nak pinjam. Takut kalau Abang Zali terperanjat, mahu
terbang meja ni nanti. Tapi dari tadi aku tengok muka dia tenang saja. Atau,
dia memang tak ada masalah nak pinjamkan aku duit? Yalah, dia dah ada dua buah
stesen minyak. Setakat dua puluh ribu tu celah gigi dia saja agaknya.
“Berapa kau nak?”
Abang Zali pula rapatkan badannya ke meja. Mulut ni masih
berat nak bercakap. Sekali lagi keningnya terjongket. Perlahan-lahan aku angkat
dua jari kanan. Muka ni tak tahu nak cakap dah rupa apa. Panas, kembang,
berpeluh, semua ada. Abang Zali bersandar semula di kerusi sebaik saja melihat
dua batang jari yang aku tunjukkan pada dia. Makin serius aku pula raut
wajahnya. Alamak! Banyak sangat ke aku minta?
“Dua ribu?” tanya Abang Zali.
“Dua puluh ribu...” Walaupun perlahan, aku yakin
Abang Zali dapat mendengar dengan jelas.
“Hmm... Banyak juga tu.”
Aku pun turut sama tersandar di kerusi. Lemah segala
sendi bila dengar dia cakap macam tu. Ringan saja tangan ni nak tampar mulut
sendiri. Kenapalah aku tak minta separuh saja tadi? Johaimi, kenapalah lembap
sangat otak kau ni?
“Kalau tak boleh tak apalah bang.”
“Kau nak pakai bila?”
Abang Zali bangun. Eh, dia ni dah habis berbincang ke?
Pening betullah melayan orang macam ni. Dia bagi ke tidak aku pinjam duit dia ni?
Aku bangun sekali, ikut dia keluar dari pejabat. Semasa beriringan jalan, dia
paut bahu aku.
“Hari Jumaat ni kau ikut aku pergi bank. Kita pergi lepas
solat Jumaat.”
Langkah terhenti. Adakah itu jawapan bagi permohonan pinjaman
aku tadi? Semudah itu? Abang Zali tepuk bahu aku berkali-kali sebelum menolak
pintu kaca kedai serbaneka. Berlari-lari anak aku mengejar dia hingga ke
kenderaan pacuan empat roda yang dibawa.
“Abang!” Aku melaung bila melihat dia dah masuk ke dalam kenderaan.
Larian semakin laju bila dia dah hidupkan enjin kereta. Hish! Dia ni macam
lipas kudunglah.
“Abang tak kisah ke saya pinjam banyak tu?” Aku tahan
pintu dari tertutup. Abang Zali ambil cermin mata gelap di atas dashboard. Sambil diletaknya cermin mata di atas hidung, dia senyum.
“Abang dah kenal kau sejak dari kecik lagi. Arwah ayah
kau tu banyak tolong abang dulu. Kalau abang tak tolong kau sekarang, bila lagi
kan?”
Macam ada air sejuk yang menyiram kepala. Satu kelegaan
yang tak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Spontan aku peluk Abang Zali.
Tak cukup dengan peluk. Aku goncang-goncang tangannya. Kemudian aku peluk dia
untuk kesekian kali. Ya Allah, kau berikan aku pertolongan di saat aku
benar-benar memerlukan. Alhamdulillah... syukur. Durani, permintaan abah Dura
sudah tertunai. Hari bahagia kita pasti akan tiba. Tunggu Joe sayang.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~ ~
“Kau dah beritahu Durani ke Mie?”
“Belum lagi mak. Mie tunggu duit tu dah ada depan mata
baru Mie beritahu dia.”
Terangguk-angguk mak mendengar jawapan aku. Zarith yang
sedang menonton dipandang sebentar. Wajah mak nampak lega. Aku tahu dia pun
tertekan kebelakangan ini. Tapi sekarang bolehlah dia tidur lena. Siapa sangka,
Abang Zali yang bukan siapa-siapa pun dengan kami sudi membantu di saat kami
benar-benar memerlukan. Kalau nak harapkan aku seorang, memang berjanggutlah
jawabnya Durani menunggu. Sekarang Pak Zahar sudah tidak ada alasan lagi untuk reject aku.
“Berapa Zali potong gaji kau untuk bayar balik hutang tu
nanti Mie?” Mak menyambung perbualan.
“Mie belum sempat berbincang lagi perkara tu dengan Abang
Zali mak.”
Hanya itu saja yang mampu aku jawab. Lega betul hati aku
sekarang. Dah terbayang pelamin indah, khemah-khemah tetamu yang cantik berhias
bunga-bungaan segar. ‘Pelamin dalam taman’, itu
tema yang Durani mahukan. Aku senyum lebar. Lambatnya nak tunggu hari
Jumaat. Dapat saja duit tu nanti aku akan bawa mak ke rumah Pak Zahar. Tak
payahlah nak bertunang bagai. Nikah terus, senang tak serabut lagi kepala aku.
“Nasib baiklah ada Zali. Tak sangka pula dia nak tolong
kita kan Mie...”
“Hmm...dia kata arwah ayah banyak tolong dia. Ini kira
balas budilah kata orang.”
Lama mak pandang aku. Seperti dia tergamam mendengar
kata-kata aku tadi. Terhenti tangannya melipat kain. Beberapa ketika kemudian
barulah dia tunduk menyambung kerja. Ada sekelumit senyum yang terukir. Pasti
mak sedang memikirkan sesuatu.
“Tak besar mana pun pertolongan ayah kau dulu. Apa yang
dibalas sekarang pun dah lebih dari cukup.” Perlahan saja mak menutur kata.
Tak tahu pula selama ni ayah pernah berkawan dengan Abang
Zali. Arwah ayah yang aku kenal adalah orang yang pendiam. Dia tak ramai kawan.
Hidupnya cuma di rumah dan tempat kerja. Tapi kalau ikutkan, di tempat kerja
pun dia kurang bergaul. Dia seorang posmen. Lama mana sangatlah dia berada di
pejabat. Pagi, ambil surat di pejabat dan terus buat penghantaran sampai ke petang.
“Zali tu dulu, selalu pergi sekolah dengan ayah kau.
Setiap pagi ayah kau tumpangkan dia ke sekolah. Masa tu kau masih dalam buaian
lagi. Sekolah pula jauh. Zali tu mana ada orang lain. Mak ayah dah meninggal
dalam kemalangan. Nak harapkan nenek dia. Manalah nak larat orang tua nak
hantar dia ke sekolah. Dah alang-alang ayah kau memang lalu depan sekolah
setiap pagi, dia tumpangkan Zali tu. Mak rasa itu aje yang ayah kau buat.”
Patutlah sejak aku kecil, Abang Zali tu selalu bertandang
ke rumah. Dia memang rapat dengan ayah. Alhamdulillah. Kiranya Abang Zali ni
bukanlah golongan yang tak mengenang budi. Dapatlah juga aku menumpang senang.
Inshaa Allah, aku takkan sia-siakan peluang yang dah terbuka di depan mata.
Terdengar bunyi motor di luar rumah. Pak Zahar! Spontan
aku dan mak bangun. Dia datang seorang. Aku buka pintu rumah lebih luas. Mak
memasukkan semula kain-kain yang belum selesai dilipat ke dalam bakul.
“Assalamualaikum Pak Zahar.” Aku beri salam dulu. Terus
hulur tangan. Pak Zahar sambut dengan kasar. Muka dia, macam selalulah. Macam
cuka tumpah.
“Waalaikumsalam. Eh, aku nak tanya ni. Macam mana dengan
hantaran Durani? Dah mula mengumpul ke?”
Pak Zahar bertanya sambil mata dia pandang atas bawah.
Sinis betul cara dia senyum. Sabar Johaimi. Bakal bapa mertua kau tu.
“Naiklah dulu Bang Zahar...” Mak menyertai aku di kaki
tangga.
“Eh, tak payahlah. Aku tak boleh lama ni. Saja datang
nak bertanya. Maklumlah...”
Pak Zahar berhenti sekejap menarik nafas. Dia nyalakan
api rokok. Huh! Berlagak betul gayanya. Mak tekup hidung. Dia memang tak suka
bau rokok. Arwah ayah dulu pun selalu kena bebel dengan mak kalau dia merokok.
Aku pernah kena bantai sampai lembik sebab curi-curi merokok. Memang pantang
besar mak kalau orang merokok depan dia.
“Dah berapa banyak kau kumpul sekarang?” tanya Pak Zahar.
“Apa yang tergesa-gesa sangat ni Bang Zahar? Hari tu kata
boleh tunggu.” Mak dah mula berang. Suara dia kedengaran keras. Aku usap perlahan
lengan mak, minta dia bertenang. Mak tepis tangan aku. Dia mengadap Pak Zahar
yang baru saja melabuhkan punggung di mata tangga. Marah punya pasal, sanggup
dia menyedut asap rokok yang berkepul-kepul keluar dari hembusan mulut Pak
Zahar.
“Aku cuma bertanya. Kalau dah mula mengumpul, baguslah.
Tapi aku nak ingatkan anak kau. Anak dara aku bukan barang. Lama-lama
‘disimpan’, takut tak laku pula nanti.”
Pak Zahar menghembus kuat asap rokok ke arah mak. Aduh!
Tangan aku dah ringan ni. Durani, kenapa kurang ajar sangat abah awak ni?
“Cakap tu biar berlapik sikit Bang Zahar. Jangan samakan
anak-anak dengan benda-benda tak elok.” Mak beri amaran. Aku masih jadi pemerhati
walaupun hati dah mula rasa kurang enak. Pak Zahar ni datang nak cari pasal ke?
“Siapa pula yang samakan
Durani tu dengan barang? Aku cuma nak ingatkan aje. Kalau lambat sangat
nanti, jangan salahkan aku kalau ada orang lain yang dapat dia dulu...”
“Mana boleh macam tu Pak Zahar. Pakcik dah janji nak bagi
saya masa.”
Akhirnya aku menyampuk. Kesabaran dah makin tergugat. Makin
mengecut pula aku tengok abah Durani ni. Mahu saja aku ‘tuam’ muka dia dengan
buku lima.
“Memanglah aku cakap macam tu dengan kau. Tapi kalau dah
ada orang ‘minta’? Orang tu pula menepati citarasa aku. Bodohlah kalau aku
tolak, kan?”
Rokok yang masih berasap disedut dalam-dalam. Mak berdiri
di sebelah aku. Mungkin dah tak sanggup menelan asap beracun yang dihembus oleh
Pak Zahar. Dipegangnya lengan aku. Agak mencengkam juga pegangannya. Fahamlah
aku yang dia juga sedang menahan lahar kemarahan dari meletus.
“Macam ini ajelah. Pak Zahar baliklah dulu. Inshaa Allah,
hujung minggu ni saya datang ke rumah Pak Zahar dengan mak.”
Aku halau dia dengan bahasa yang paling lembut. Dalam hati berharap sangat dia
beredar cepat. Aku takut kalau-kalau ada yang pecah muka aku kerjakan nanti.
Kesabaran dah makin nipis ni.
Pak Zahar bangun. Dia pandang aku sambil menjentik rokok
yang sudah tinggal puntung. Kakinya menenyeh rokok di tanah, tapi matanya masih
merenung aku dan mak silih berganti. Perlahan-lahan Pak Zahar menaikkan tongkat
motornya. Enjin motor dihidupkan sebelum dia menunggang di atas motor yang
sudah usang tempat duduknya.
“Pastikan kau tak datang dengan tangan kosong hujung
minggu ni Mie. Kalau tak aku takkan benarkan kau berkawan lagi dengan Durani. Dah
lama sangat aku ‘hulur tali’. Selama ni aku perhatikan aje kau berkawan dengan
anak aku tu. Waktu berkawan, aku tak kisah kau nak kerja apa pun. Tapi sekarang
anak aku tu dah jadi cikgu. Kerja dengan kerajaan pulak tu. Kau? Setakat
bekerja kat stesen minyak tu, tak ada bezanya kau dengan budak-budak Bangla
tu.”
Laju aje kaki aku ni nak menerpa Pak Zahar. Tapi mak
lebih pantas memeluk lengan aku. Rahang atas dan bawah bertaup rapat. Menggigil badan aku menahan geram.
Orang tua ni betul-betul mencabar kesabaran aku. Tanpa salam, Pak Zahar memulas
pedal minyak dan keluar dari halaman rumah.
“Sabar Mie...”
Itu saja yang mampu mak keluarkan dari mulutnya sebab aku
tahu dia sendiri pun sedang mengawal marah. Buku lima ku genggam kemas. Kau tunggulah
Pak Zahar. Akan aku lambakkan dua puluh ribu tu di depan mata kau nanti.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~ ~ ~
Perkara yang paling aku menyampah, kalau panggilan tak
berjawab. Dah naik kebas jari menekan skrin, Durani masih tak membalas mesej
pesanan ringkas atau menghubungi aku semula. Hari ni adalah hari terakhir dia
berkursus. Hari ini jugalah aku akan ke rumahnya. Tapi sebelum itu, aku perlu tahu
di mana dia berada sekarang. Dan dia perlu tahu tujuan aku ke rumahnya hari
ini.
“Dapat call dia
Mie?”
Aku cuma menggeleng. Mak dah lama bersiap. Buah tangan
yang nak dibawa ke rumah Durani juga sudah diletakkan ke dalam bakul motor.
“Betul ke dia balik dari JB hari ni?” Sekali lagi mak
bertanya.
“Ya. Durani ni suka buat Mie risau tau. Dari semalam Mie
tak dapat call dia...”
“Dahlah tu...
Jangan fikir yang bukan-bukan. Entah kot telefon dia rosak ke...”
Mak dah turun ke tanah. Aku masih berat hati nak keluar
dari rumah. Aku belum maklumkan pada Durani mengenai hal yang bakal berlaku hari
ini. Sampul surat berisi dua puluh ribu ringgit aku masukkan ke dalam beg
selepang. Abang Zali benar-benar menunaikan janjinya untuk membantu aku. Bukan setakat
bantu, dia langsung tak menetapkan tempoh untuk aku bayar balik duit yang aku
pinjam. Ada duit nanti baru bayar, itu saja katanya. Memang senang betul
berurusan dengan Abang Zali. Kalaulah Pak Zahar pun senang diuruskan begitu...
“Mie... Jomlah. Dah nak masuk Asar ni. Cepat kita pergi,
cepat kita balik. Mak malas nak berlama-lama kat sana nanti.”
Aku nak membantah, masih berhajat nak menunggu Durani.
Tapi bila melihat wajah keruh mak, aku batalkan saja niat itu. Tak apalah. Nanti
pasti Pak Zahar akan beritahu Durani juga.
“Zarith, jangan merayau tau. Abang dengan mak pergi
sekejap aje.” Aku titipkan pesan pada Zarith yang sedang menyiapkan kerja
sekolah.
“Okay. Kirim salam Kak Dura tau,” pesan Durani.
Aku usap kepalanya perlahan dan segera menutup pintu
rumah. Sebaik saja enjin motor di hidupkan, mak membonceng di belakang. Dalam perjalanan
ke rumah Durani, aku masih berteka-teki mengenai keghaiban Durani yang
mendadak. Sebenarnya kali terakhir aku berbual dengannya dua hari lepas, ada
sedikit perbalahan yang berlaku. Tapi bagi aku itu cuma perkara lumrah pasangan
bercinta. Tak tahulah kalau Durani masih memanjangkan rajuknya hingga ke hari
ini.
Semuanya gara-gara dia mendesak supaya aku mencari kerja
yang lebih baik dari sekarang. Aku pun hairan, apa yang tak eloknya dengan
pekerjaan yang aku lakukan sekarang? Dia nak tengok aku bertali leher,
berkemeja kemas dan bekerja di pejabat berhawa dingin. Eleh! Di stesen minyak
tu pun ada aircond juga. Malu agaknya
dia melihat aku duduk bersebelahan budak-budak Bangla. Tak berbaloi langsung
kalau pakai tali leher dan duduk di pejabat eksklusif, tapi gajinya ciput! Aku selesa dengan kerja yang aku
buat sekarang. Gaji yang aku dapat pun dah lebih kurang sama dengan gaji orang
kerja kerajaan, malah lebih lagi.
“Oi budak bertuah! Nak ke mana ni?” Mak tepuk bahu aku.
Ya Allah! Terlangsung pula dari pintu pagar rumah Durani. Boleh pula aku
berangan sambil bawa motor.
Dahi berkerut seribu ketika membuat pusing U. Hati terus
berdetak kencang. Berkali-kali aku menggonyoh mata. Enjin motor aku matikan
segera sebaik saja masuk ke perkarangan rumah Durani. Aku biarkan motor
bergerak perlahan tanpa enjin dihidupkan.
“Pak Zahar jemput saudara-mara dia sekali ke untuk sambut
kita mak?”
“Manalah mak tahu.”
Kami berbisik sesama sendiri. Mak tercangak-cangak,
mencari kelibat manusia yang dia kenal. Aku pula pasang telinga. Manalah tahu
dapat mendengar apa-apa yang dibualkan oleh orang-orang di dalam rumah.
“Jomlah naik Mie,” ajak mak. Dia sudah menanggalkan
sandal. Kakinya baru menapak mata tangga pertama. Tapi dengan pantas aku tarik
tangan mak. Dia turun semula ke tanah.
“Mie tak sedap
hatilah mak. Cuba mak tengok kat garaj kereta tu. Kereta Durani ada dalam garaj. Maknanya
dia dah sampai lebih awal. Tapi kenapa dia tak beritahu Mie?”
Mak cuma menoleh sekejap. Dia tarik pula tangan aku yang
masih memegang tangannya untuk mendaki anak tangga. Semakin kaki mendekati pintu, telinga dah menangkap suara orang
sedang berbual-bual. Tapi biji butir
perbualan tidak dapat aku pastikan.
“Assalamualaikum...” Mak memberi salam.
Semua yang berada di dalam rumah menoleh ke arah kami.
Senyap sunyi ruang tamu rumah Durani. Pegangan tangan mak terlepas. Kami berdua
pegun di muka pintu. Saat ini, aku sangat pasti mata mak sedang terarah ke
tempat yang sama seperti yang sedang aku lihat sekarang. Tepak sirih di
tengah-tengah rumah bersama kotak cincin berbaldu merah yang terletak cantik di
atas dulang tembaga berjaya membuat lutut aku menggigil. Aku pegang jenang
pintu, menyokong badan yang semakin lemah.
“Apa semua ni Pak Zahar?” Suara ni antara dengar dan
tidak. Mak Durani bangun. Dia menghampiri mak. Huluran tangannya tidak
bersambut.
“Kenapa kau buat anak aku macam ni?” Mak bertanya keras.
Mak Durani menoleh pada suaminya. Pak Zahar nampak
tenang. Dia kerling aku dengan pandangan sinis. Tetamu-tetamunya masih
memerhatikan kami berdua. Saat ini aku mencari Durani. Di mana dia? Adakah dia
juga terlibat dalam ‘drama’ arahan abahnya ini?
“Pat pat siku lipat. Siapa cepat dia dapat.”
Aku ketap bibir mendengar pantun dua kerat Pak Zahar.
Tapak kaki terasa kebas. Makin kuat pegangan tangan aku di jenang pintu.
“Banyaklah kau punya siku lipat! Hei Abang Zahar!
Keturunan aku tak pernah dilayan sebangsat ini tau. Syukurlah, Allah dah tunjuk
perangai buruk kau sebelum kita berbesan. Kau memang manusia kepala ular. Kalau
tak suka, kenapa tak berterus-terang? Kau ingat anak aku ni apa?”
“Salbiah...kau tak payah nak meroyan sangatlah. Aku dah
beritahu awal-awal. Anak aku tu bukan barang yang boleh disimpan. Aku dah bagi
anak kau peluang, tapi ada orang yang lebih
cepat dan yang pentingnya... lebih berkelayakan dari dia. Aku nak beri
yang terbaik pada Durani. Jadi...” Pak Zahar menjongket bahu. Dicapainya kotak cincin
yang berada di atas dulang tembaga. Sebentuk cincin dikeluarkan dari kotak itu.
“Cincin ni saja, harganya dah dekat dua puluh ribu...”
Pak Zahar pandang aku. Diletaknya semula kotak itu ke dulang.
“Kau terlambat sikit aje Mie. Kami baru aje habis
berbincang. Dua bulan dari sekarang, Durani dan anak kawan lama aku ni akan
bertunang. Bertunang pun tak lama. Siang bertunang, malam lepas Isyak aku akan
nikahkan diaorang.”
Terlepas pegangan tangan di jenang pintu. Mata panas, menahan takungan airmata yang semakin penuh.
Sebelum aku meraung di situ, ada baiknya aku beredar. Mak dah terjerit-jerit
memarahi Pak Zahar. Durani langsung tak kelihatan. Tapi sebelum aku pergi, aku perlu lakukan sesuatu.
“Pak Zahar letak syarat... dua puluh ribu untuk dapatkan
Durani. Saya dah kotakan janji saya. Nah...”
Aku keluarkan sampul surat yang tersimpan duit yang
dipinjamkan oleh Abang Zali, lalu ku hulur kepada mak Durani. Orang tua itu
kelihatan serba salah. Dipandangnya Pak Zahar, mohon pertolongan.
“Kau boleh simpan balik duit kau tu. Apa yang aku dapat
ni dah lebih dari cukup. Kau gunalah duit tu, belikan mak kau kereta. Kesian
dia... dari muda sampai dah berkedut, naik motor aje.”
Tiba-tiba mak merampas sampul surat di tangan aku. Dalam
sekelip mata, dilemparnya sampul itu ke arah Pak Zahar. Bertaburan duit di
hadapan orang tua itu. Dia kelihatan gamam. Tetamu-tetamunya juga nampak kurang
selesa.
“Aku lebih rela jadi orang miskin dari jadi orang
munafik. Kau tidurlah dengan duit-duit
tu. Harap-harap anak kau bahagia dengan jodoh yang kau carikan untuk
dia. Ingat! Aku takkan benarkan anak aku jejak rumah kau ni lagi. Durani budak
baik. Aku berkenan sangat dengan perangai dia. Tapi kita tak layak berbesan.
Sebab perangai kau lebih jijik dari peminta sedekah. Mie... jom balik.”
Airmata gugur juga di saat mak menarik tangan aku keluar
dari rumah Durani. Beginikah berakhirnya kisah cinta aku dan dia? Mimpi buruk
sudah menjadi kenyataan. Pak Zahar, terima kasih sebab telah menaikkan taraf
aku lebih mulia dari kau.
No comments :
Post a Comment