Kamal
melabuhkan punggung di atas sebatang balak hanyut. Sengaja dia keluar lebih
awal hari ini dengan harapan menggunung. Fatin Syuhada, gadis itu nampak lebih
matang dari usia sebenar. Pertemuan pertama antara mereka berdua membuatkan
Kamal tersenyum sendiri. Kerana Milo, Fatin mulakan ucapan perkenalan dengan
sumpah seranah. Disusuli dengan pelanggaran di depan tandas. Makin lebar senyum Kamal. Langsung tak terlintas di benak
Kamal akan bertemu dengan Fatin di Pulau Tioman.
“Kalau dah sampai tiga kali jumpa
dalam satu hari tu, mungkin dah jodoh agaknya kot.” Kamal berkata perlahan.
Dia memandang ke laut lepas. Bayu
pagi yang menggigit kulit membuatkan Kamal kesejukan. Dia memeluk tubuh. Bibirnya
menyungging senyum lagi. Teringat baju panas yang diberikan pada Fatin.
“Tak dapat peluk tuannya, baju
tolong pelukkan pun jadilah!”
Makin lebar senyumnya. Lucu hatinya
dengan kata-kata sendiri.
“Hai Abang Kamal! Senyum
sorang-sorang nampak. Teringatkan girlfriend ya?”
Kamal tersentak. Dia bangun dan
menoleh ke belakang.
“Lina,” ucap Kamal perlahan
Gadis itu tersenyum lebar. Tapi
senyumnya tidak berbalas. Melingas mata Kamal mencari seseorang di belakang
Lina.
“Abang Kamal cari siapa?” tanya Lina. Dia turut menoleh ke
belakang.
“Lina keluar seorang?” Kamal
berbalas soal.
“Ha’ah,” jawab Lina sambil
mengangguk laju.
“Kawan-kawan yang lain mana?” tanya
Kamal. Matanya masih mengharap untuk memandang seseorang .
“Diaorang tidur lagi,” jawab Lina.
Tanpa segan, dia duduk di atas balak hanyut. Sengaja dia duduk mengadap Kamal
yang sedang berdiri. Kesempatan yang ada dimanfaatkan oleh Lina untuk menikmati haruman wangian yang
digunakan oleh Kamal. Ikutkan hati, mahu saja dia memeluk tubuh lelaki
itu.
“Abang Kamal pergi jogging ya? Lina nak ikut boleh?”
Suara manja Lina langsung tidak berjaya memancing
perhatian Kamal. Dia cuma memandang sekilas. Tingkah Lina amat menjengkelkan.
Terasa menyesal pula keluar awal pagi
pada hari itu.
“Saya dah selesai jogging,” jawab Kamal sepatah.
“Abang Kamal temankan Lina jalan-jalan kat tepi
pantai boleh tak? Lina nak tengok matahari terbit,” rengek Lina.
Kamal pandang muka Lina. Dia perasan, sejak semalam
Lina memang sengaja menarik perhatiannya. Bukan dia tidak suka berkawan dengan
Lina. Tapi perempuan itu terlalu gedik, itu
yang dia tak berkenan. Lina dan Fatin bagai langit dan bumi. Walaupun
susah nak melihat Fatin tersenyum, kematangannya benar-benar buat Kamal
terpancing.
“Sss...aduh...” Kamal memegang perut. Dengan muka
yang berkerut, dia membongkok sedikit.
Dia sedang menahan kesakitan.
“Kenapa ni?”
Lina cuba memegang tangan Kamal. Tapi Kamal tolak perlahan. Dengusannya semakin
kuat.
“Saya nak balik bilik kejaplah, nak buang air. Jangan
jalan sorang-sorang kat sini, bahaya. Kalau tak ada sesiapa yang temankan,
lebih baik Lina balik ke bilik.”
Kamal terus berlari-lari anak sebaik selesai
menyampaikan pesanan. Lina mengetap bibir sekuat hati, menahan rasa marah yang
membuak tiba-tiba. Gara-gara Fatin, Kamal dingin dengannya. Lina meramas peha
sendiri sekuat hati. Rancangannya gagal lagi. Tidak guna dia menunggu di situ. Dengan
hati yang kecewa dia balik semula ke bilik.
“Lina, kau pergi mana? Tiba-tiba hilang aje dari
bilik?” tanya Ayu.
Terus disoalnya Lina sebaik saja rakan sebiliknya
itu muncul di muka pintu. Lina tidak terus menjawab. Dia menanggalkan kasut
yang berpasir lalu dicampak ke beranda. Matanya mengerling Fatin yang sedang
mendandan rambut di hadapan almari solek. Tiba-tiba dia senyum lebar. Akal
jahatnya sudah bertandang.
“Aku pergi jogging
dengan abang Kamal tadi. Kitaorang pergi jalan-jalan kat tepi pantai. Seronok
tau!”
Bukan main riang lagi Lina menyusun ayat. Dia nampak
riak terkejut di wajah Ayu. Tapi Fatin masih seperti tadi, tenang dan tidak
menunjukkan tanda-tanda cemburu.
“Kau pergi jogging
abang Kamal? Biar betul kau ni. Tadi aku nampak abang Kamal balik sorang-sorang
aje,” bidas Ayu.
“Memang dia balik dulu tadi. Abang Kamal sakit
perut.” Lina menjawab dengan muka selamba.
Dia melenggang masuk ke bilik air sambil menyanyi
kecil. Sempat dia menyenggol bahu Ayu yang masih memerhatikannya. Dia nak
sangat melihat wajah cemburu Fatin. Hatinya puas dapat menyakitkan hati gadis
itu. Selesai urusannya di dalam bilik air, Lina keluar dan mendapati Fatin dan
Ayu masih lagi berehat santai di dalam bilik.
“Fatin, kau jangan lupa makan ubat tahan muntah. Nanti
tak pasal-pasal mabuk lagi. Susah betul aku nak kawal budak-budak kalau kau tak
ada,” kata Lina.
Ayu mencebik. Dia ingin membidas kata-kata Lina tapi
ditahan oleh Fatin. Lina cuma senyum sinis melihat Fatin meletakkan tangannya
di peha Ayu.
“Apsal Ayu? Kau tak puas hati ke? Kau pun jangan
lupa makan sekali ubat tu. Kalau kau pengsan nanti lagi parah. Kena angkat
pakai kren pulak nanti.” Lina ketawa mengekek.
“Eh apa masalah kau ha? Aku tengok kau ni asyik tak
puas hati aje dengan kitaorang. Kau ada masalah mental ke?” jerkah Ayu.
Dia bukan macam Fatin yang lebih suka beralah dari
melawan. Wajah Lina dipandang dengan mata yang menyinga. Tapi Lina langsung
tidak gentar. Tawanya makin panjang. Dia
bangun dan menyarung kembali kasut yang dicampak ke luar.
“Aku nak ingatkan aje. Dah tau awak tu jenis mabuk
laut, yang gatal-gatal buat program kat sini kenapa? Macam dah tak ada tempat
lain. Kalau buat aktiviti perkhemahan pun okey apa? Tak payah nak naik bot. Nak
tunjuk yang awak tu pandai buat kerja ke?” Lina tersenyum puas. Dapat juga dia
menyindir Fatin.
Ayu semakin panas hati. Dia bangun dan bersedia untuk menerkam Lina. Namun
Fatin lebih pantas memegang erat lengan Ayu. Dia tidak mahu perang mulut itu
berlanjutan.
“Biarlah dia Ayu. Kalau kau layan, kau juga yang
makan hati nanti.” pujuk Fatin.
“Pagi-pagi dah cari pasal. Aku campak dia ke laut
nanti baru dia tahu. Biar kena makan dengan dugong jantan.”Ayu meluahkan rasa
jengkelnya.
Fatin ketawa mendengar bebelan Ayu. Mereka keluar
dari bilik dan bersiap sedia untuk menikmati sarapan. Hari ini mereka akan
pergi menyambung aktiviti snorkeling di Pulau Renggis. Awal-awal lagi Fatin sudah bersiap
sedia. Pil tahan muntah sudah ditelan. Minyak angin dan jeruk mangga juga sudah
tersimpan di dalam beg.
“Hai Ayu, Fatin. Apa yang bising-bising tadi tu? Sampai
kat bilik kitaorang dengar.” Hairi menegur.
Ayu dan Fatin menoleh serentak. Hairi, Kamal dan Cikgu
Shahrul berada di belakang mereka. Ayu menyeringai suka. Dia melepaskan
pegangan tangan Fatin lalu berjalan seiring dengan Hairi dan Kamal. Fatin tidak
sempat memberi isyarat pada Ayu supaya tidak membesar-besarkan kejadian perang
mulut tadi. Lancar saja Ayu melaporkan pada Hairi. Cikgu Shahrul memandang Fatin yang berjalan di sebelahnya.
“Habis tu awak dah makan ke belum ubat tu?” tanya
Shahrul.
Kasihan pula dia melihat muka Fatin yang merona
merah. Fatin hanya mengangguk perlahan. Sebaik sahaja sampai di restoran, Fatin
terus menuju ke meja hidangan dan mencedok bihun goreng ke dalam pinggan. Dia
memilih untuk makan bersama rakan-rakan yang lain. Ayu dan rakan-rakan Shahrul
menikmati sarapan di tempat lain.
Program hari ni berjalan dengan lancar. Keseronokan
jelas terpancar di wajah Fatin. Lapang hatinya tika itu kerana tidak mengalami
sebarang masalah ketika menaiki bot. Jemarinya lincah merakamkan gambar-gambar menarik di sekitar Pulau
Renggis. Sejak berlabuh di pulau itu, Fatin leka dengan kamera di tangan. Sebahagian
dari rakan-rakannya sudah pun berada di dalam air, menikmati keindahan dasar
laut.
“Hai! Takkan datang sini nak ambil gambar saja.”
Nyaris terlepas kamera di tangan Fatin. Fatin
merenung tajam ke arah Kamal. Kamal cuma tersenyum menampakkan barisan giginya
yang putih.
“Assalamualaikum!”
Sengaja Fatin mengeraskan suaranya sebagai tanda tak
puas hati.
“Waalaikumsalam, maaf.” Kamal menggaru kepala yang
tidak gatal dengan senyum lebar. Dia
menanggalkan baju yang disarung lalu dihamparkan di atas batu besar yang
berdekatan. Dia sudah bersiap- siap untuk aktiviti menyelam. Sambil bersiap, Kamal
memerhatikan gerak geri Fatin. Tingkah gadis itu kelihatan serba tak kena. Matanya
menyoroti wajah Fatin yang bujur sirih, rambut yang ditocang melepasi bahu. Wajah
gadis itu telah mengganggu tidurnya sejak dua hari ini.
“Jom, jangan beritahu saya yang Fatin tak tahu
berenang,” usik Kamal.
Fatin memandang Kamal dengan sebuah senyum sinis.
“Kalau tak tahu berenang, kenapa pulak?” Fatin
menyoal kembali.
Dia mencekak pinggang dan menunggu jawapan yang
bakal keluar dari mulut Kamal.
“Kalau tak pandai berenang, saya boleh tolong
ajarkan. Tak perlu yuran pendaftaran. Untuk Fatin, segalanya percuma!” Kamal
ketawa di hujung katanya.
“Terima kasih ajelah Cikgu Kamal. Saya tak perlukan
jururenang sebab saya memang dah pandai berenang sejak kecil lagi. Kalau Cikgu
Kamal nak buka kelas renang, saya rasa orang yang paling layak jadi anak murid
cikgu adalah Lina.”
Kamal tersentak. Tak sangka Fatin akan berkata
begitu. Dia mendekati Fatin yang kembali sibuk dengan kamera.
“Bunyi macam ada orang cemburu aje.” Kamal mengusik.
“Siapa cemburu? Saya? Eee, tolonglah. Saya tak ada
masa nak cemburu hal-hal yang remeh-temeh ni. Baik cikgu masuk dalam air tu
cepat. Boleh saya ambil gambar cikgu dengan kawan-kawan saya,” kata Fatin.
Dia langsung tidak mempedulikan Kamal yang masih
merenungnya. Sekali-sekala Fatin terjerit-jerit memanggil kawan-kawannya yang
sedang bermain di gigi air untuk memberikan aksi spontan. Semuanya diabadikan
oleh Fatin di dalam kamera.
“ Awak ni asyik ambil gambar orang lain aje. Mari sini
saya ambil gambar awak pula.”
Kamal merampas kamera digital yang berada di tangan
Fatin. Kamera sudah bertukar tangan. Fatin terkedu dengan tindakan drastik Kamal.
Bulat matanya merenung lelaki itu.
“Pandang sini. Ha, senyum. Janganlah buat muka cuak
macam tu."
Jari telunjuk
Kamal sudah mula sibuk memetik butang kamera. Fatin hanya berdiri tegak, tidak
menunjukkan sebarang reaksi.
“Saya tak suka bergambarlah Cikgu Kamal. Bagi balik
kamera tu,” pinta Fatin.
Dia cuba merampas kembali kamera di tangan Kamal. Tapi
Kamal lebih pantas mengelak. Dia menyorokkan kamera di belakang badannya. Fatin
masih tidak putus asa. Dia pergi ke belakang Kamal untuk mengambil kameranya
semula. Kamal mengangkat tinggi kamera yang sedang dipegang melebihi kepalanya.
Terloncat-loncat Fatin meneruskan usahanya merampas kamera dari tangan Kamal. Nafasnya
sudah termengah- mengah. Kamal ketawa melihat Fatin yang sudah berhenti.
Wajah Fatin masam mencuka. Dia bercekak pinggang
sambil merenung tajam pada Kamal. Senyum Kamal makin menyakitkan hatinya.
Selepas beberapa ketika berbalas renungan, Kamal menghulurkan kamera kepada
Fatin. Tapi Fatin masih tidak bergerak. Dia takut Kamal akan mempermain-mainkannya
seperti tadi.
"Ambillah, tadi nak sangat," suruh
Kamal.
Melihat Kamal sudah beralah, pantas dia mengambil
kamera di tangan lelaki itu. Tapi serentak dengan itu juga pergelangan
tangannya dipegang Kamal.
“Aduh! Apa pegang-pegang tangan orang ni? Lepaslah
Cikgu Kamal...”
"Saya bukan cikgu, panggil Kamal aje. Lebih
bagus, Abang Kamal.”
Fatin merentap kasar tangannya. Meremang tengkuk
Fatin mendengar suara halus Kamal di telinga. Fatin membuntang mata. Kamal
balas dengan kenyitan.
“Eee, gatal!” getus Fatin.
“Memang tengah gatal pun. Marilah tolong garukan...”
Kali ini Kamal
layangkan flying kiss pula. Terjelir
lidah Fatin, mengutuk perbuatan
Kamal. Tiba-tiba dia rasa
semacam. Renungan mata Kamal menusuk tepat ke jantungnya. Fatin berlari ke gigi
air, ingin menyertai rakan-rakan lain. Namun sekali lagi dia berpaling. Lonjakan
adrenalin dalam tubuhnya bagai tidak dapat dikawal. Kamal masih merenungnya.
Dada berdebar kencang. Pantas dia menyarung
glasses dan snorkel yang dihulur
oleh Lina.
"Kau ni kenapa? Kelam kabut aje aku tengok,"
tanya Ayu.
"Tak ada apa-apalah." Fatin menjawab
ringkas.
Kaki sudah mencecah air. Makin lama makin ke tengah.
Dia berenang untuk melihat batu - batu
karang di dasar laut. Ayu dan Lina juga turut serta menyelam bersama Fatin.
Melihat ikan-ikan yang berwarna-warni membuatkan mereka terleka. Ayu
menghulurkan beberapa keping roti pada Fatin. Kepingan roti disiat-siat lalu
ditabur untuk menarik perhatian ikan-ikan di sekeliling mereka. Keseronokan
melihat ikan-ikan berebut roti membuat
mereka semakin ralit.
‘Banyaknya ikan. Rasa-rasanya ada ikan pirana
tersesat kat sini?’
Tumpuan Fatin terganggu dengan bicara hati sendiri.
Perasaan takut datang bertandang. Kerisauan semakin menjadi-jadi apabila
kakinya terasa gigitan-gigitan halus. Pantas Fatin melonjakkan badannya untuk
naik ke permukaan. Malangnya dalam keadaan kelam-kabut itu dia mengalami
kekejangan. Fatin menanggalkan glasses.
Snorkel yang menyumbat mulutnya juga
ditarik keluar. Terkapai-kapai tangan Fatin, cuba memanggil Ayu yang berada
agak jauh darinya. Fatin semakin panik. Kesakitan di kaki semakin melarat ke
pinggang. Udara di paru-parunya semakin kurang. Nafasnya tercungap-cungap. Dia
sudah kehabisan tenaga. Dada semakin sesak. Pandangannya semakin kabur. Akhirnya
segala yang berada di depan mata Fatin terhenti seketika.
~
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
“Fatin, Fatin, bangunlah!”
Suara Ayu dan Lina bersilih ganti. Mata dibuka
perlahan-lahan. Pandangannya agak kabur dan berbalam-balam. Orang pertama yang
Fatin nampak dengan jelas adalah Ayu. Kemudian baru dia perasan, dia
dikelilingi guru-guru kawan-kawan sekolahnya.
“Alhamdulillah, dah sedar pun,” ucap Cikgu Shazatul.
Dia mengusap kepala Fatin. Ada riak risau di wajah
guru yang berkaca mata tebal itu. Fatin masih kebingungan. Dia menyorot
wajah-wajah yang berada di dalam bilik itu. Sebahagian dari mereka sudah pun
beredar
“Apa yang terjadi cikgu?”
“Kami hampir-hampir kehilangan awak Fatin. Takut
betul saya tadi. Mujur kawan Cikgu Shahrul ada kat situ tadi,” jawab Cikgu
Shazatul.
Fatin semakin bingung. Lama dia merenung wanita muda
bertudung mini itu. Pandangan dialihkan pula pada Ayu dan Lina. Mereka berdua
hanya tersenyum nipis. Ayu mengusap lembut tangan Fatin. Masih ada air jernih
yang mengalir di pipi montel sahabat merangkap
jiran sebelah rumahnya itu.
“Awak rehatlah dulu. Ayu...Lina, tolong
tengok-tengokkan dia. Kalau ada apa-apa panggil saya kat sebelah,” ujar Cikgu
Shazatul.
Dia dihantar oleh Lina hingga ke pintu bilik. Fatin
cuba bersandar lebih selesa, dibantu
oleh Ayu. Tekaknya masih belum
berapa selesa. Beberapa kali dia terbatuk-batuk
kecil.
“Kau nak air panas?” tanya Ayu.
Fatin hanya mengangguk perlahan. Dia masih
kebingungan dengan apa yang terjadi. Otaknya cuba memproses kembali memori yang
disimpan beberapa jam yang lalu. Apa yang dia ingat, dia mengalami kekejangan
ketika sedang menikmati keindahan hidupan laut di Pulau Renggis pagi tadi. Apa
yang terjadi selepas itu, tidak pula Fatin ketahui.
“Kau ni betul-betul menakutkan aku tau tak? Sejak
bila pula kau tak pandai berenang? Nasib baik kau tak arwah tadi. Kalau tak,
puaslah aku nak menjawab pada mama dan papa kau,” bebel Ayu.
Mug berisi milo suam dihulur pada Fatin. Namun
hulurannya tidak segera disambut oleh
Fatin. Terlalu banyak persoalan yang sedang bermain di benaknya ketika ini.
“Aku lemas ke Ayu?” tanya Fatin.
“Yalah!”
Suara Ayu sedikit tinggi. Dia menumbuk lembut pipi
Fatin. Mug milo yang masih tidak bersambut diletakkan di atas meja kopi. Fatin
menggaru kepala yang tidak gatal. Dia mengemaskan sila. Tangan Ayu ditarik
untuk duduk bersamanya di atas katil.
“Macam mana aku boleh lemas? Cuba kau cerita dari
mula. Aku tak ingatlah,” pinta Fatin.
“Aku pun tak tahu macam mana kau boleh lemas. Masa
tu kita leka bagi makan ikan. Aku tak perasan bila masa kau terpisah dari
kumpulan kita. Tahu-tahu aje aku tengok Abang Kamal dah dukung kau naik ke
pantai,” kata Ayu.
“Kamal? Cikgu Kamal dukung aku?” tanya Fatin
berkali-kali.
“Bukan setakat dukung, dia yang bagi rawatan
kecemasan pada kau. Kalau tak, aku rasa kau dah arwah sekarang.” Ayu menyambung
lagi.
Kali ini ada riak nakal di wajah gadis montel itu. Dia
senyum simpul, Fatin makin keliru.
“Rawatan kecemasan? Rawatan apa pulak?”
“CPR atau dalam bahasa Jawa, rawatan dari mulut ke
mulut,” jawab Ayu.
“Hah?”
Terbeliak mata Fatin memandang Ayu yang sedang
tersengih. Dia menutup mulut dengan tangan. Telinganya seperti tidak percaya
dengan apa yang baru didengar.
“Cikgu Kamal cium mulut aku?” Fatin bertanya dengan
nada perlahan.
Wajahnya tiba-tiba merona merah. Belum pernah
mana-mana lelaki yang berani menyentuh
bibirnya selama ini. Rasa malu menyerang tiba-tiba.
“Eh Fatin! Apsal kau tiba-tiba jadi bongok ni ha? Abang
Kamal bukan ciumlah. Dia buat pernafasan dari mulut ke mulut. Kau takkan tak
tahu prosesnya macam mana? Kau kan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah. Rawatan
dan bercumbu pun kau tak tahu bezakan?”
Fatin dan Ayu terkejut dengan herdikan Lina yang
tiba-tiba muncul di muka pintu. Wajahnya menyinga. Matanya merenung Fatin dan
Ayu silih berganti. Fatin duduk tegak. Hairan dia melihat tingkah Lina. Tapi
Ayu kelihatan lebih tenang. Dia bercekak pinggang, melawan tenungan Lina.
“Eh,
ada orang cemburu ke?” perli Ayu.
“Aku bukan cemburu. Tapi meluat tengok perangai
kawan baik kau tu. Tak tahu berenang konon! Entah-entah dia pura-pura lemas aje
tadi,” ujar Lina
“Lina, kau cakap baik sikit. Kau ingat perkara hidup
dan mati ni boleh buat main-main ke?” bidas Ayu.
“Memanglah tak boleh buat main-main. Tapi tak
tahulah kalau kawan kau tu gunakan taktik kotor tu untuk memikat jantan!”
Lina terus keluar setelah puas meluahkan perasaan
berbuku di hati. Ayu cuba mengejar tapi ditegah oleh Fatin. Laju tangan Ayu
dipegang kemas. Dia paksa Ayu duduk semula di birai katil.
“Kenapa kau tak bagi aku kejar dia? Tangan aku ni
dah lama tak lempang orang. Lina ni makin melampau tau!” bentak Ayu.
Fatin hanya tersenyum kelat. Dia tiada daya untuk
berbahas dengan Ayu. Apa yang ada di dalam fikirannya sekarang adalah Kamal. Dia
telah terhutang nyawa dengan lelaki itu. Perlahan-lahan dia berbaring semula.
Terbayang di matanya Kamal melakukan CPR. Mata dipejam rapat, tapi dia tidak
mengantuk. Cuma sedang menahan rasa hati yang serba tak keruan. Apa yang harus
dilakukan sekarang?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Alunan petikan gitar kedengaran lagi malam itu.
Fatin amati suara lelaki yang sedang bersenandung. Hembusan angin membawa
gelombang suara itu dekat ke telinga Fatin. Tiba-tiba laju tangannya menyelak
selimut.
"Cikgu Kamal," ucap Fatin perlahan.
Dia masih belum tidur. Matanya tidak mahu pejam
walaupun dia sudah menelan pil selsema. Setiap kali dia cuba melelapkan mata, pasti
wajah Kamal akan muncul. Fatin diburu satu perasaan yang dia sendiri tidak
dapat tafsirkan. Apa yang pasti, ketika ini Fatin ingin sangat berjumpa dengan
lelaki itu dan mengucapkan terima kasih kerana telah menyelamatkan nyawanya.
Perlahan-lahan Fatin turun dari katil. Diamatinya
Ayu dan Lina yang sudah nyenyak tidur. Sambil menjingkit, Fatin mengatur
langkah ke pintu. Selipar disarung, kemudian dia memulas tombol pintu dengan
hati-hati.
Fatin berdiri sebentar di hujung tangga. Deria
pendengarannya masih mendengar alunan petikan gitar. Nafas ditarik dalam-dalam.
Perlahan dia menghayun kaki menuju ke bilik
Cikgu Shahrul. Petikan gitar terhenti apabila Fatin berada betul-betul
di hadapan bilik bujang bertiga itu.
Panjang lehernya meninjau beranda yang gelap. Simbahan cahaya lampu dari
beranda biliknya langsung tidak membantu
penglihatan. Fatin tidak tahu apa yang harus dilakukan. Lama dia terpaku di
situ. Akhirnya dia membuat keputusan untuk balik semula ke bilik.
“Fatin!"
Langkahnya terhenti. Dia mengenali suara itu. Perlahan-lahan Fatin
berpaling. Dadanya berdebar kencang tatkala melihat Kamal yang hanya
bersinglet dan berkain pelikat.
“Kenapa tak tidur lagi ni?” tanya Kamal.
Dia turun dari beranda dan mendekati Fatin. Fatin
cuma tunduk sambil menguis pasir pantai.
“Fatin nak pergi mana?” tanya Kamal lagi.
Dia duduk di
hujung tangga. Matanya tidak lepas dari memerhatikan gerak-geri Fatin yang
kelihatan resah. Dahi Fatin mula berpeluh.
“Er…Cikgu Kamal. Eh, Kamal…eh, cikgu..ish!” Fatin menggaru kepalanya.
‘Apa kena dengan aku ni?’ Gerutu Fatin di dalam
hati. Mukanya terasa panas.
“Panggil abang aje, kan senang."
Kamal tersenyum. Peluang yang ada digunakan untuk
menatap wajah Fatin yang sedikit berpeluh. Gadis itu semakin menggetarkan jiwa
lelakinya. Peristiwa yang berlaku petang tadi telah memberi impak yang besar
pada Kamal. Seumur hidupnya tidak pernah melakukan CPR apatah lagi mempelajari
langkah-langkah pertolongan cemas. Kamal sendiri tidak tahu dari mana dia
mendapat keberanian untuk menyelamatkan Fatin.
“Terima kasih kerana selamatkan saya,” ucap Fatin
dengan pantas.
Fatin berjalan laju menuju ke bilik. Kamal tidak
sempat menahan dan dia juga tidak mahu berbuat demikian.
“Fatin!” Kamal memanggil perlahan.
Fatin menoleh. Tangan kanannya sudah memegang tombol
pintu .
“Selamat malam,” ucap Kamal sambil mengenyitkan mata
.
Ada senyum
nakal terukir di bibirnya. Fatin mengetap bibir. Matanya masih memandang Kamal.
Tiba-tiba Kamal melayangkan flying kiss. Terbeliak mata Fatin melihat
aksi Kamal. Pantas tangannya memulas tombol pintu dan meloloskan dirinya ke
dalam bilik.
"Gila betullah mamat ni!”
No comments :
Post a Comment