“Selamat pagi Fatin, dah okey ke?” Shahrul menyapa Fatin. Dia menarik kerusi bersebelahan Fatin yang sedang menikmati sarapan pagi .
“Okey sikit cikgu," jawab Fatin ringkas.
"Malam tadi dia batuk-batuk cikgu. Tapi saya dah
sapukan minyak panas. Ubat yang doktor bagi semalam pun dia dah makan.” Ayu
menyampuk perbualan.
Cikgu Shahrul
cuma mengangguk perlahan, puas hati dengan penjelasan Ayu. Dia memulakan
suapan. Sesekali dia mengerling Fatin. Gadis itu cuma menguis-nguis makanan di
dalam pinggan. Cuma sedikit saja yang masuk ke dalam mulut. Niat di hati ingin
mengajak Fatin berbual. Tapi melihatkan Fatin seperti tak berminat, Shahrul pun
turut diam.
"Assalamualaikum, boleh kitaorang duduk
sini?"
Hairi menarik kerusi di hadapan Ayu tanpa menunggu
jawapan salam dari mereka. Kedua-duanya tersenyum lebar sambil berbalas pandang.
Mata kedua-duanya kelihatan bercahaya. Lebih-lebih lagi Ayu.
"Mana abang Kamal?" tanya Ayu.
Matanya melingas mencari kelibat lelaki itu. Hairi
cuma mengangkat bahu.
"Fatin,
mana abang Kamal?" tanya Ayu.
"Eh! Tanya aku pulak, manalah aku tau. Aku
bukan mak dia." Buntang matanya memberi amaran pada Ayu. Dia tahu Ayu
sengaja memerlinya. Ayu tersenyum nakal.
"Apa sebut-sebut nama abang ni?"
Gerangan yang dicari akhirnya muncul. Kamal menatang
sepinggan mi goreng dan secawan teh tarik. Dia meletakkan hidangannya di
hadapan Fatin lalu menarik kerusi di sebelah gadis itu. Fatin meneruskan suapan
tanpa mengangkat muka. Wajahnya sudah merona merah.
"Fatin dah okey? Lena tidur tak malam
tadi?"
Gadis itu cuma mengangguk, jawapan bagi soalan Kamal.
Fatin cuba berlagak tenang walaupun dalam hatinya menahan detakkan yang agak
rancak. Sungguh dia tidak selesa berada di situ. Shahrul yang berada di sebelah
kanannya dikerling sekilas. Cikgu Matematik itu masih belum selesai dengan
sarapannya.
"Mahunya tak lena tidur, oksigen yang abang
Kamal salurkan semalam tu masih ada lagi. Tak payah nak ambil oksigen dari luar
lagi." Ayu ketawa mengekek.
Fatin menjegil matanya. Semua yang ada di meja itu
ketawa mendengar gurauan Ayu. Fatin
mengetap bibir menahan geram. Rasa macam nak menangis pun ada. Sudu di
tangan kanan digenggam kuat. Mujur Ayu duduk di depannya. Kalau di sebelah
mungkin peha Ayu akan menjadi mangsa tangannya.
Kamal memandang Fatin. Mahu sahaja dia menarik
hidung mancung gadis itu. Sengaja dia
lambat-lambat menyuap nasi goreng ke mulut. Dia menunggu Fatin menoleh
padanya. Namun hajatnya tidak kesampaian. Fatin tergesa-gesa bangun ketika
melihat Cikgu Shazatul datang menghampiri mereka.
"Macam mana awak hari ini Fatin? Kalau rasa
kurang sihat awak boleh rehat aje kat bilik." Cikgu Shazatul membuat
usulan.
"Saya okey cikgu, cuma pening sikit."
"Kalau awak nak berehat aje dalam bilik, saya
boleh minta Cikgu Rosmah temankan." Cikgu Shazatul mohon kepastian.
Kening yang
tidak gatal digaru. Fatin berfikir sejenak. Tumpuannya terganggu dengan suara
Kamal yang berdeham perlahan. Melihat lelaki itu, serta-merta Fatin mengangguk
setuju dengan cadangan Cikgu Shazatul. Kalau boleh dia ingin menjauhkan diri
dari Kamal hari ini.
"Saya berehat kat bilik ajelah cikgu.”
“Okey, nanti saya panggilkan Cikgu Rosmah.”
“Eh, tak payah cikgu.”
Fatin memegang
lengan Cikgu Shazatul. Dia menggeleng,
tanda tidak mahu ditemankan. Terjongket kening Cikgu Shazatul,
tidak yakin dengan keputusan Fatin.
“Tak takut ke tinggal sorang-sorang?” Belakang tapak
tangan Cikgu Shazatul mendarat di dahi
Fatin. Fatin ketawa kecil. Lucu pula diperlakukan seperti anak kecil.
“Saya okey cikgu. Nanti saya kunci pintu.”
“Betul ke ni Fatin? Kalau tak, biar aku
temankanlah.” Ayu pula menunjukkan riak risau. Dia bangun dan berdiri di sebelah Fatin. “Aku
temankan kau, ya.” Ayu mengulang keputusannya lagi.
“Tak apa? Korang pergi pergi Pulau Sepoi tu pun tak
lama, kan? Hari pun masih siang lagi bila kau balik nanti.”
Ayu dan Cikgu Shazatul berpandangan. Memang susah membangkang
keputusan Fatin. Shahrul dan Hairi khusyuk mendengar perbincangan mereka
bertiga. Kamal juga menelinga perbualan mereka berdua. Walaupun tangannya
menyuap makanan, tetapi otaknya ligat berfikir.
‘Ada can aku temankan dia ni.’ Senyum tersungging
sedikit di bibir Kamal. Suka dia dengan kata hatinya. Senyum makin lebar
tatkala memandang sesuatu di atas meja makan. Buku nota! Perlahan-lahan dia
menoleh ke belakang. Fatin dan Ayu sudah pergi bersama Cikgu Shazatul. Tanpa
lengah Kamal mengambil buku berkulit tebal itu lalu dimasukkan ke dalam beg
selepangnya.
“Uik, buku tu Fatin punya, kan?” Shahrul menegur.
“Shhh... Diam-diam sudah.” Kamal berbisik keras. Dia
kenyit mata pada Shahrul yang terlopong melihat buku Fatin yang sudah selamat
berada di dalam beg.
“Projek mengumpan anak ikan ke Mal?” Hairi mengusik.
“Ini bukan sebarang anak ikan Hairi. Ni anak ikan duyung.
Kena slow and steady. Kalau terlepas,
boleh makan hati wooo!”
Tercetus tawa mereka bertiga. Shahrul menepuk kuat
bahu Kamal. Tak sangka rakan yang dibawa menyertai rombongan sekolahnya itu dah
‘tersangkut’ dengan Fatin. Namun tawa mereka hanya seketika. Masing-masing
terdiam dan pura-pura menyambung suapan ketika Lina melintas di depan meja
mereka.
“Err, Cikgu Shahrul. Nampak Fatin tak?” tanya Lina.
“Dia
balik ke chalet, nak berehat.” Hairi yang tolong jawabkan soalan Lina.
“Eh, dia tak ikut kita ke Pulau Sepoi?” Lina masih
menyoal.
Hairi dan Shahrul menggeleng serentak. Rasa kurang
senang jelas terpancar di wajah mereka. Tapi berbeza pula dengan Lina. Beg
galas diletaknya di atas kerusi, bersebelahan Kamal. Laju Kamal menyambung
suapan. Ikutkan hati, mahu saja dia beredar dari situ. Tak berkenan betul dia
dengan perangai Lina.
"Abang Kamal, nanti abang Kamal naik bot yang
mana satu?”
“Tak tahu lagi. Mana-mana pun sama aje,” jawab Kamal
acuh tak acuh.
“Hmm, Abang Kamal tolong tengok-tengokkan beg Lina
kejap boleh tak? Lina nak pergi tandas.” Rengekan Lina buat tekak Kamal
kembang.
"Errr, abang
nak pergi tambah mi sekejap.Sedap pulak mi goreng ni."
Kamal berjaya
mengelakkan diri buat kali kedua dari Lina. Lina yang sedang cemberut
ditinggalkannya tanpa belas.
~
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Tok! Tok! Tok!
Fatin berdiri tegak memandang pintu. Sekali lagi
pintu diketuk. Kali ini lebih kuat. Dia mendekati pintu. Sebelum memegang
tombol, dia meninjau di balik langsir. Pandangannya terhalang oleh deretan pasu
bunga yang disusun di tepi tingkap. Pintu diketuk lagi.
“Siapa?”
Serentak dengan pertanyaan, Fatin membuka pintu. Tiada sesiapa di luar.
Panjang lehernya melihat persekitaran chalet. Memang tak ada sesiapa di situ.
Pintu ditutup kembali.
“Budak-budak nakal kot.” Fatin menyedapkan diri
sendiri. Dia sambung berbaring di katil. Belum sempat mata terpejam, pintu
bilik bergendang lagi. Kali ini ketukkannya lebih berirama. Matanya tepat
memandang bawah pintu. Ada bayang-bayang di situ. Tapi rasa was-was pula nak
turun dari katil.
"Siapa pula yang ketuk pintu ni?" Fatin
kehairanan. Jam di pergelangan tangan di belek. Ada satu jam lagi sebelum dia
meninjau persediaan yang dibuat oleh pihak resort
untuk majlis barbecue
malam ini. Jadi, tak mungkin pihak pengurusan resort yang mengganggunya ketika ini.
"Siapa?” Laungannya lebih kuat kali ini. Dia
duduk bersila di atas katil menanti
jawapan. Namun apa yang
diperolehi cuma ketukan yang semakin bertalu-talu di pintu. Fatin mendengus
geram. Panas hatinya dipermain-mainkan begitu. Mata Fatin melingas ke
sekeliling bilik. Pasu bunga kecil yang berada di atas meja solek mencuri
perhatiannya. Bunga dikeluarkan. Dia memegang kemas kepala pasu tersebut dan
melangkah ke arah pintu.
Tombol bulat itu dipulas sebaik sahaja ketukan
dipintu kedengaran lagi. Dengan sekuat tenaga, Fatin menghayun pasu bunga yang
dipegang ke arah manusia yang sedang berdiri tegak di depannya.
"Aduh!"
Hambik
kau!
Puas hati Fatin melihat mangsa hentakkan pasunya jatuh terduduk. Tangannya
masih menggenggam kemas kepala pasu. Niat di hati mahu dihayunnya sekali lagi
pasu itu. Erangan si pesalah langsung tak mampu menagih simpati Fatin. Memang
si pesalah layak mendapat habuan.
“Dah tak ada kerja, ya? Siapa kau ha?”
Manusia yang baru saja menerima hadiah istimewa dari Fatin itu jatuh terduduk. Dia memegang dahi. Fatin
mencangkung, ingin melihat wajah mangsa pasu bunganya dengan lebih
jelas. Tak semena-mena, wajah singanya hilang. Pasu bunga di tangan
segera diletak ke lantai.
"Cikgu Kamal!" jerit Fatin.
“Aduh! Awak ketuk saya dengan apa ni Fatin? Sakit
tau!”
“Ma...Maaf cikgu. Mari saya tolong.”
Fatin bantu Kamal
bangun dan duduk di kerusi rotan.
Tangan Kamal masih menekup dahi. Nafas mengahnya jelas kedengaran. Fatin
diserang rasa bersalah, tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Tak terniat
langsung untuk dia mencederakan Kamal. Dia hanya ingin mempertahankan diri.
“Ya Allah! Cikgu...”
Kamal pandang Fatin. Terketar-ketar telunjuk
kanan Fatin menuding ke arah dahi yang masih bertekup.
“Dahi cikgu
berdarah...”
Terpejam mata Kamal mendengar suara perlahan Fatin.
Kelihatan agak payah dia menelan air liur. Perlahan-lahan dia bersandar. Fatin
tak menunggu lama. Dia bergegas masuk ke dalam bilik dan mencari tuala kecil. Sebekas
air juga diambil sebelum dia keluar semula mendapatkan Kamal. Lelehan darah
yang mengalir di celah jemari Kamal buat Fatin rasa semakin bersalah. Fatin
berdeham perlahan. Kamal membuka mata.
“Saya bersihkan luka tu, ya.”
Kamal beralih sedikit memberikan ruang untuk Fatin duduk di
sebelahnya.
"Adoi! Perlahanlah sikit. Kasarlah awak
ni." Kamal mengaduh.
Luka yang masih segar terasa perit apabila Fatin menekap
tuala basah di situ. Fatin hanya tersenyum kelat lalu menyambung kerja. Mujur
luka di dahi Kamal tidak dalam. Fatin diburu rasa bersalah. Tapi segera ditepis
perasaan itu.
‘Eh! Bukan salah aku tau. Dia yang gatal main-mainkan
aku, siapa suruh?’
Fatin menggumam
dalam hati. Dahi Kamal yang sudah bersih ditampal pula dengan plaster. Selesai
sudah kerja Fatin.
"Tumpang bilik air kejap. Saya nak cuci
tangan."
Fatin tidak sempat menegah. Kamal sudah masuk ke
bilik untuk mencuci kesan darah yang sudah kering di tangannya.
“Nanti ambil tuala bersih kat atas katil tu,” laung
Fatin dari luar.
Sebelum keluar dari bilik Fatin, Kamal sempat
melihat wajahnya di cermin. Dia senyum sendiri melihat dahinya yang bertampal.
Niatnya cuma ingin bergurau. Tapi sudahnya dia balik yang ditimpa celaka.
"Fuh, nasib baik luka sikit aje. Kalau hilang ingatan
tadi?”
"Siapa suruh kacau? Saya ada hak mempertahankan
diri juga, kan?"
Kamal menoleh. Fatin yang berdiri di pintu
menarik muka masam. Kamal keluar dari
bilik dan duduk semula di kerusi rotan. Fatin bercekak pinggang. Tidak selesa
Kamal berada di situ. Bimbang dia dengan pandangan orang sekeliling.
"Tak ikut diaorang
pergi Pulau Sepoi?" tanya Fatin.
Kamal menjawab dengan gelengan.
"Kenapa?" tanya Fatin lagi.
"Saja." Ringkas saja jawapan Kamal.
Fatin terangguk-angguk. Sudah hilang modal untuk
menyuruh Kamal beredar. Nak duduk di kerusi rotan berhadapan dengan Kamal pun
dia tidak berani. Sudahnya dia tercegat saja di tepi pintu chalet.
“Kenapa tak duduk?” Kamal menyoal. Dia menepuk-nepuk
kerusi rotan di depannya, mempelawa Fatin duduk.
“Tak apalah.” Mata Fatin melingas liar. Seakan
faham, Kamal bangun dan turun ke tanah.
"Jom pergi jalan-jalan nak?" Kamal
mempelawa Fatin.
"Tak naklah. Saya nak berehat dalam bilik
aje." Fatin memberi alasan. Kakinya sudah melangkah masuk ke dalam bilik.
"Tak bosan ke asyik terperap dalam bilik? Awak
tak sihat ke?" tanya Kamal.
Kamal perasan, wajah Fatin sedikit pucat. Sejak
peristiwa semalam Kamal sentiasa mengawasi Fatin dari jauh. Dia bimbang kalau-kalau
ada lagi perkara buruk yang berlaku pada Fatin. Dia naik semula ke beranda.
Belakang tapak tangannya di letakkan di dahi Fatin.
"Eh, apa ni? Saya okey, jomlah."
Tangan Kamal ditepis kasar. Fatin menyarung selipar dan melangkah turun. Dia
tak mahu Kamal berada terlalu lama di situ. Sambil mengekori, Kamal menyimpan
tuala kecil yang diambil di bilik Fatin sebentar tadi dalam kocek seluar.
Denyutan di dahi sudah berkurangan. Sesekali Kamal meraba dahinya yang terasa
kebas.
Fatin duduk di atas sebiji batu besar. Dipegang
rambutnya yang bertocang dua. Dia melemparkan pandangan ke arah sekumpulan
pelancong yang sedang berjemur. Tersenyum Fatin melihat pelancong-pelancong
yang hanya berbikini dan berseluar dalam. Dia malu sendiri. Kamal menghampiri
dan mengambil tempat di sebelah Fatin.
"Fatin dan Ayu satu kelas ya?" tanya
Kamal.
Fatin hanya mengangguk. Pandangannya dilemparkan ke
laut lepas.
"Lina?" tanya Kamal lagi.
"Dia
Timbalan Presiden Persatuan, satu kelas juga." jawab Fatin.
Dia mengemaskan sila sambil berpeluk tubuh. Nampak semakin
selesa. Kamal tersenyum melihat Fatin mula melayannya berbual.
"Fatin ada berapa orang adik-beradik?"
tanya Kamal.
"Lima, saya anak ketiga." Fatin menoleh
pada Kamal sebentar. Kamal menjongket kening, perasan seperti ada sesuatu yang
ingin diperkatakan oleh Fatin.
"Kamal tinggal dengan Cikgu Shahrul ya?"
“Apa pulak
Kamal ni? Saya ni kan lebih tua dari awak. Panggilah Abang Kamal. Kalau panjang
sangat, panggil abang aje." Suara Kamal seakan merajuk.
"Saya tak biasalah. Saya panggil Cikgu Kamal,
boleh tak?" tanya Fatin.
"Saya
bukan cikgu," bidas Kamal perlahan.
“Habis tu apa?”
“Saya peguam.”
“Ooo, laywer…”
Fatin terangguk-angguk. Dia berpaling ke arah lain dan menjuih mulut, “Patutlah
loyar buruk!”
“Apa?” Kamal seperti terdengar Fatin berkata
sesuatu.
“Tak ada apa-apa.,”
jawab Fatin.
Mereka berdua kehilangan kata. Kamal cuba mengawal
getar hatinya yang agak rancak tika itu. Langkah pertama untuk meluangkan masa
bersama gadis itu sudah berjaya. Dia menepuk-nepuk perlahan beg selepang yang
tergantung di bahunya. Kamal teringat sesuatu.
"Ini Fatin punya kan?” tanya Kamal.
Dia menghulur buku nota kecil berwarna hijau pada
gadis itu. Mata Fatin terbeliak.
"Mana abang Kamal jumpa? Puas Fatin cari.
Terima kasih, ya..."
Buku nota bertukar tangan. Kamal tersenyum lebar
mendengar kata ganti namanya yang baru disebut Fatin sebentar tadi.
Hatinyaberbunga riang. Dia memandang Fatin yang menyelak-nyelak helaian buku
nota kecilnya itu. Fatin menoleh apabila terasa dirinya sedang diperhatikan.
"Alah, panggilan itu sekadar tanda hormat. Bukan
ada maksud apa-apa." Fatin sedar rupanya, Kamal dah macam orang syok sendiri. Fatin tunduk
semula, menyembunyikan wajahnya yang
merona merah. Tingkah Kamal yang suka sangat merenungnya benar-benar
buat dia serba tak kena.
“Ya Allah!” Fatin melihat jam di tangan. Teringat
ada tugas yang dititipkan oleh Cikgu Shazatul pagi tadi. Dia segera melompat
turun dari batu besar.
“Nak ke mana?" tanya Kamal.
"Pergi restoran," jawab Fatin.
"Lapar ya?"
"Tak, nak jumpa pengurus resort. Saya belum check persiapan terakhir untuk program malam
ni." Fatin menerangkan.
Barulah Kamal faham. Sebenar-benarnya, dia tidak
ambil pusing langsung semua hal itu. Apa yang penting, hari ini dia ingin
menghabiskan waktu senggang petangnya bersama Fatin. Sepantas kilat dia mengatur
langkah beriringan dengan Fatin.
"Saya
temankan, ya. Lagipun perut ni dah main lagu keroncong," ujar Kamal.
Dia memegang perut. Mukanya sengaja dikerutkan. Fatin
hanya tersenyum memandang perlakuan Kamal. Dia melihat plaster yang melekat di
dahi lelaki itu.
"Sakit lagi tak kepala tu?" tanya Fatin
sambil memuncungkan mulutnya ke arah kepala Kamal.
Kamal meraba dahi kanannya yang berplaster. Kemudian
dia menggeleng perlahan. Mengingatkan kembali peristiwa yang telah berlaku
tadi, Kamal gelak besar.
"Dah tak sakit. Sebab ada jururawat tidak
terlatih yang merawat saya tadi."
Fatin juga turut ketawa mendengar gurauan Kamal.
"Ganas juga Fatin ni, ya. Ada belajar taekwando
ke?" tanya Kamal dengan senyumnya yang masih melebar.
"Fatin ada belajar silat. Tapi tadi tu untuk
mempertahankan diri. Tak ada niat nak mencederakan sesiapa pun. Abang Kamal pun
salah juga. Main-mainkan Fatin. Lain kali buatlah lagi." Fatin menjeling
Kamal yang ketawa semula.
"Fatin minta maaf ya," ucap Fatin
perlahan.
Ketawa Kamal mula mengendur. Bergetar seluruh urat
sarafnya melihat anak mata gadis itu. Mahu saja dia memeluk Fatin. Sayangnya
pada gadis itu mula terpupuk sejak pertama kali mereka ditemukan. Dia tahu
mungkin terlalu awal dia mengungkap kata cinta buat Fatin. Tapi bila ianya
berkaitan dengan masalah hati, banyak perkara tidak mampu menghalang. Gadis itu
ada sesuatu yang terlalu istimewa. Kematangan... ya. Kematangan itulah yang
telah menambat hati Kamal.
“Ehem... Jauhnya menung! Dah sampai mana?”
Fatin memetik-metik jari di hadapan muka Kamal.
Perlakuannya mengembalikan Kamal ke alam realiti. Laju Kamal meraup wajah
sendiri.
"Hmm... Saya boleh maafkan Fatin, tapi ada
syaratnya." Senyum nakal terbentuk di bibir Kamal.
"Syarat,
apa syaratnya?" Fatin bertanya.
Langkah
terhenti. Dia menunggu jawapan dari Kamal. Kamal diam seketika, dia sedang
memikirkan syarat apakah yang ingin diberikan pada Fatin. Terangkat keningnya
melihat gadis itu.
"Cepatlah!" gesa Fatin tidak sabar.
"Okey, malam ni Fatin kena nyanyi satu lagu masa
party barbeque."
“Laaaa! Itu saja syaratnya?" tanya Fatin.
Kamal
mengangguk laju. Teruja dia melihat tindak balas Fatin. Sweet! Matured but childish. Itu yang Kamal suka.
"Syarat tu sonang yo!"
"Eh, saya
belum habis cakaplah. Fatin nyanyi, tapi saya main gitar. Ini bermakna, Fatin
kena berduet dengan saya."
Kamal menyambung syaratnya lagi. Senyum Fatin
mengendur. Dia berfikir sejenak. Matanya
melirik pada Kamal.
“Berduet dengan Abang Kamal? Tak takut ke Lina
cemburu nanti?” Fatin tersenyum sinis.
“Lina? Sejak bila pula saya iktiraf dia jadi girlfriend
? Orang yang kacak dan bergaya macam saya ni memang ramai peminat. Lina tu
mungkin salah seorang peminat fanatik saya. Sebab itulah dia menabalkan diri sendiri
sebagai girlfriend saya.” Kamal tersengih
lebar.
Fatin buat aksi macam orang nak muntah. Kamal ketawa
mengekek melihat Fatin mengejeknya sebegitu.
"Okey, saya setuju."
Spontan Fatin mengangkat kedua-dua tangannya dan
dihalakan ke arah Kamal. Kamal juga spontan menepuk tangan gadis itu. Bila
sudah beberapa tapak melangkah, baru Fatin tersedar lepas lakunya. Langkahnya
dilajukan untuk mendahului Kamal. Wajahnya merona merah menahan malu.
~
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Fatin kelihatan serba tak kena. Sekejap dia duduk, sekejap
dia membelek dirinya di cermin. Kemudian dia membuka buku nota. Tapi tidak
lama. Dia bangun membuang pandang ke luar tingkap pula. Tak lama juga dia di
situ. Fatin berjalan pula ke beranda. Rambutnya yang dibiarkan lepas bebas
disisir berulang kali.
"Hoi! Kau ni kenapa? Macam kucing hilang anak
aje aku tengok," sergah Ayu.
Suara kuat Ayu menyebabkan Fatin terduduk di birai
katil. Wajah risaunya menyebabkan Ayu semakin hairan.
"Kau kenapa?" tanya Ayu lagi.
Fatin masih merenung Ayu. Dia tidak tahu bagaimana
hendak memulakan cerita tentang syarat yang Kamal kenakan padanya petang tadi.
Memang dia bersetuju dengan syarat Kamal. Tapi malam ini tiba-tiba dia menjadi
risau. Dia bimbang jika selepas ini ada mulut-mulut jahat yang menggosipkan dia dengan Kamal.
"Fatin, Cikgu Shazatul panggil." Lina
tiba-tiba muncul.
Ayu dan Fatin menoleh ke arah pintu. Lina yang tidak
tahu apa yang sedang berlaku hanya memandang kosong.
"Korang buat apa lagi dalam bilik ni? Cepatlah
keluar! Kawan-kawan kita dah nak start
bakar ayam tu," sambung Lina lagi.
"Aku nak tukar bateri kamera, kejap lagi
kitorang turun." Ayu mereka alasan .
Lina sudah hilang di balik pintu. Ayu mendapatkan
Fatin yang masih duduk di birai katil
"Kau sakit ke?" tanya Ayu.
Fatin hanya menggeleng. Dia tunduk memandang lantai.
Ada genangan airmata yang akan gugur di kelopak mata. Ayu memegang tangan
Fatin, masih menunggu jawapan dari sahabat baiknya itu.
"Weh! Apsal tangan kau sejuk ni? Demam ke? Aku
ambilkan ubat, ya."
Ayu nak bangun, tapi pantas tangannya ditarik oleh
Fatin. Ayu terduduk semula di katil.
"Aku okey, cuma..."
Fatin menarik nafas dalam-dalam. Dia menceritakan
hal yang terjadi sepeninggalan dia berseorangan di resort petang tadi, hinggalah pada syarat yang dikenakan oleh
Kamal. Ayu mendengar dengan teliti setiap baris ayat yang diperkatakan oleh
Fatin.
"Apa aku nak buat sekarang ni? Aku takutlah
Ayu."
Fatin menyuarakan kebimbangannya usai dia habis
bercerita. Ayu hanya terdiam memandang Fatin. Matanya seolah-olah memikirkan
sesuatu. Lama dia membatu.
"Hoi! Apa tenung-tenung ni? Aku tanya kau, apa
aku nak buat sekarang?"
Fatin menggoncang badan montel Ayu. Ayu terkejut,
tapi tiba-tiba dia ketawa berdekah-dekah. Fatin memandang Ayu dengan wajah
geram.
"Sampai hati kau ketawakan aku," ucap
Fatin perlahan .
Ayu masih
lagi ketawa. Fatin tunduk. Airmata yang ditahan tadi mula mengalir. Ketawa Ayu
makin reda. Dia memegang tangan Fatin yang masih sejuk.
"Ala... Fatin, kau ni suka fikir yang bukan-bukanlah.
Lagipun kau sendiri yang setuju dengan syarat tu kan? Lantaklah apa budak-budak
lain nak cakap pun. Atau, kau pun ada tangkap cintan dengan dia?" usik Ayu
di hujung kata. Ada senyuman nakal tersungging di bibirnya.Fatin mencubit
lengan Ayu.
"Mana
ada!" ujar Fatin separuh menjerit. Dia menyapu airmata di pipi.
"Kalau macam tu kau nyanyi ajelah. Suka-suka
aje.Lagipun malam ni malam terakhir kita di sini. Sportinglah sikit," pujuk Ayu seraya menarik tangan Fatin.
Mereka
beriringan keluar dari bilik. Tanpa disedari ada sepasang telinga yang sedang
mencuri-curi dengar perbualan mereka. Pengintip itu menahan rasa sebal.
Mendengar perbualan dua sahabat baik tadi membuatkan pengintip itu makin
sakit hati. Kenapa asyik Fatin sahaja
yang menjadi perhatian Kamal?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~
"Fatin dah bersedia?" tanya Kamal .
Tangannya sibuk membalik-balikkan ikan kembung yang
sedang dibakar. Fatin yang sedang menuangkan air untuk rakan-rakannya memandang
ke arah Kamal.
"Apa dia?"
Fatin pura-pura tidak mendengar pertanyaan Kamal. Namun
bibirnya sudah menguntum senyum.
"Jangan buat-buat lupa ya. Kalau tak saya buat
syarat lain nanti," ugut Kamal.
“Syarat lain? Apa?" tanya Fatin. Kalau syarat
yang terbaru lebih ringan, dia sanggup mengotakan syarat itu.
"Free
kiss!"
Kamal
meletakkan jari telunjuk di pipi kanannya. Dia tersengih nakal. Keningnya
sengaja diangkat sebelah. Terbeliak mata Fatin mendengar syarat baru Kamal.
“Gila ke? Jangan
harap!" Fatin merengus kasar. Dia berpaling untuk meninggalkan Kamal. Sebenarnya
untuk mengelak dari Kamal melihat wajahnya yang sudah merona merah.
"Kalau tak nak bagi free kiss tak apa. Tapi jangan nak mengelak malam ni." Kamal
mengingatkan.
Fatin mencebik dan terus berlalu. Kamal tersenyum lebar
melihat lenggang Fatin yang menghampiri Ayu. Matanya bagai tak mahu lepas dari
gadis itu.
"Abang Kamal, tolong bakarkan kepak ayam untuk
Lina boleh tak?" Sapaan Lina mencantas senyum Kamal.
Lina menghulur 3 ketul kepak ayam yang sudah
tertusuk dengan sebatang buluh runcing. Dengan berat hati Kamal menunaikan
permintaan Lina. Lina berdiri agak rapat dengan Kamal. Sungguh, dia sangat
tidak selesa dengan gadis itu.
“Abang Kamal, boleh bagi Lina nombor telefon
tak?" Sengaja Lina melunakkan suaranya untuk menarik perhatian Kamal.
"Buat apa?" Kamal menoleh ke arah Lina
yang masih tersengih.
"Nanti senang kalau ada apa-apa hal. Mana tahu
kalau-kalau Lina nak ajak abang keluar?"
"Maaflah, abang tak suka bagi nombor telefon
abang pada orang yang abang tak kenal. Kalau ada apa-apa hal, bagitau Cikgu
Shahrul aje. Err... Lina bakar sendiri kepak ayam ni boleh tak? Abang nak pergi
bilik air kejap."
Kamal menyerahkan kipas pada Lina. Lina ingin
mengekori tapi kehadiran Cikgu Shazatul
di situ membantutkan niatnya. Dia cuma mampu memandang Kamal yang
menghampiri Fatin dan Ayu dengan pandangan geram. Sejak hari pertama di Pulau
Tioman, dia cuba menarik perhatian
Kamal. Tetapi Fatin pula yang mendapat perhatian lelaki itu.
“Kenapalah bukan aku yang lemas semalam? Kalau aku
yang lemas semalam mesti abang Kamal
beri perhatian pada aku.” Lina mengomel sendirian.
“Apa awak cakap Lina?” Cikgu Shazatul menegur.
“Eh, saya
tak cakap apa-apa pun. Cikgu
ambillah kepak ayam saya ni. Dah tak ada selera nak makan!”
Lina meninggalkan
kepak ayam yang masih belum masak di atas pemanggang. Sakit matanya melihat
Kamal berbual-bual dengan Fatin. Sementara itu, Kamal sudah pun bersedia dengan
gitar yang tergantung di leher. Dia memetik gitarnya perlahan-lahan dan memandang
Fatin yang rancak berbual dengan Ayu dan rakan-rakannya yang lain. Fatin
tersenyum kelat. Dia mengerling Kamal yang semakin menghampiri. Ayu menyinggung
bahu Fatin dan memberi isyarat supaya
gadis itu bangun. Laju Fatin menggeleng kepala.
Kamal tersenyum lebar. Dia tahu Fatin malu. Dia
memberi isyarat pada Ayu supaya memberikan ruang untuk dia duduk di sebelah
Fatin. Ayu segera bangun dan mengarahkan rakan-rakan yang lain meninggalkan
mereka berdua. Fatin terkaku di situ. Dia mengetap bibir sekuat hati.
Dikerlingnya Kamal yang sudah pun mengambil tempat di sebelahnya. Lama Kamal
bersenandung sendirian. Dia masih sabar menunggu Fatin memulakan nyanyian.
“Fatin! Nyanyilah satu lagu. Diam aje buat
apa?” jerit Ayu.
“Fatin! Fatin! Fatin! Fatin!”
Suasana semakin gamat. Fatin memandang sekeliling. Dadanya
berdebar kencang. Dia memandang Kamal. Kamal juga memerhatikan sekeliling. Dia
tersenyum nipis.
“Kalau tak nak nyanyi untuk saya, nyanyikan untuk
kawan-kawan,” ujar Kamal lembut.
Fatin menentang mata Kamal, cuba mengumpul kekuatan.
Tidak lama kemudian dia mengangguk perlahan menyatakan kesediaan. Kamal mula
memetik gitar. Suasana yang gamat bertukar menjadi sepi. Mereka duduk
mengelilingi unggun api bersama Fatin dan Kamal. Bayu pantai yang berhembus
lembut membangkitkan suasana romantis pada malam itu. Tumpuan diberikan pada
Kamal dan Fatin.
Fatin mula mengalunkan lagu Diari Hatimu nyanyian
asal penyanyi tersohor Malaysia, Dato’Siti Nurhaliza. Rakan-rakan Fatin yang
sedang mengelilingi unggun api asyik mendengar alunan suara Fatin yang mendayu-dayu
diiringi petikan gitar Kamal. Mereka
berdua seperti pasangan yang sedang bercinta. Gabungan antara mereka sangat
secocok. Mereka bagaikan hilang di dalam dunia mereka sendiri. Kamal
memerhatikan wajah Fatin yang putih bersih. Hati lelakinya bergetar mendengar
suara Fatin yang lunak merdu. Jari-jarinya masih memetik tali gitar mengiringi
nyanyian Fatin. Mata Fatin terpejam
menghayati bait-bait lagu. Kamal merasakan lagu itu bagai ditujukan
kepadanya. Leka dia memerhatikan wajah Fatin. Badannya melentok -lentok ke kiri
dan kanan mengikut alunan suara Fatin. Matanya
tidak dilepaskan walau sesaat pun dari Fatin.
‘Bolehkah aku miliki hatinya? Sudikah dia menerima
aku? Adakah dia sudah berpunya?’ Kamal berteka-teki sendiri.
"Wah! Mantaplah persembahan korang. Macam
pasangan bercinta gitu."
Cikgu Shahrul menepuk lembut bahu Kamal yang masih memandang Fatin. Kamal tersentak. Dia
tersengih sambil memandang Fatin yang sudah berlalu mendapatkan Ayu.
"Eh, lain macam aje aku tengok kau pandang dia.
Ada rasa kah?" usik Cikgu Shahrul. Kamal ketawa senang mendengar
usikannya.
"Kalau ada?" Kamal bertanya kembali. Seronok
pula dia diusik begitu.
"Hmm, kalau ada apa salahnya. Tapi janganlah
sampai menjejaskan study budak tu. Dia
tu pelajar pintar tau." Cikgu Shahrul mengingatkan. Sengihan dibibir
tebalnya mengendur.
‘Memang dia pintar Shahrul. Pintar mencuri hati
aku.’
No comments :
Post a Comment