Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

October 16, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 2


             Alunan azan di Subuh hari mengejutkan Fatin dari lena. Dia bangun dan bersiap.Usai solat dia berbaring di sebelah Ayu yang masih tidur. Dia cuba untuk lelap semula, tapi gagal. Desiran ombak yang menghempas pantai amat jelas kedengaran. Menggamit hati Fatin untuk keluar menikmati udara segar di Pulau Tioman di pagi hari. Dia bangun dan berhias ringkas. Rambutnya yang melepasi bahu ditocang kemas. Dicapai kamera yang terletak di atas meja kopi.
            Fatin menyusuri tepi pantai sambil merakamkan pemandangan-pemandangan yang indah di waktu pagi. Keadaan di pantai masih sunyi. Mungkin kerana hari masih awal. Ada beberapa orang pelancong yang sedang berjogging di pesisir pantai. Fatin tersenyum malu tatkala terpandang beberapa orang pelancong wanita yang hanya berbikini, berbaring santai di atas pasir. Fatin memilih untuk duduk di atas sebatang balak hanyut. Menunggu matahari terbit. Dia ingin merakamkan detik-detik indah itu sebagai kenang-kenangan.

            “Sorang aje?”
            Fatin menoleh ke arah suara yang menegur. Dia cuba berlagak tenang, walaupun dia tidak suka dengan kehadiran lelaki itu.
            “Assalamualaikum Cikgu Kamal.”
            Kamal tersenyum sambil menjawab salam  sindiran dari Fatin.
            “Awal Fatin bangun. Kawan-kawan yang lain mana?” tanya Kamal.
            Dia melabuhkan punggung di sebelah Fatin. Jika dilihat dari segi pakaian, mungkin Kamal baru lepas jogging. Keringatnya juga masih belum kering di tubuh.
            “Lina dan Ayu tidur lagi. Fatin nak tengok matahari terbit.” jawab  Fatin perlahan.
            Kamal tersenyum. Suka dia mendengar suara lunak Fatin. Mereka diam seketika. Menikmati hembusan pagi  yang menyegarkan. Fatin memeluk tubuh. Bayu laut yang agak kuat  menyebabkan dia kesejukan. Kamal menanggalkan baju panas di tubuh dan meletakkan di bahu Fatin.
            “Cikgu Kamal buat  apa ni?” Fatin menepis kasar tangan Kamal.
            “Jangan fikir yang bukan-bukan. Saya nak letakkan baju panas ni. Fatin sejuk kan?”
            Fatin pandang baju panas  di tangan Kamal. Laju kepalanya menggeleng. Kamal kehairanan.
            “Tak sejuklah.”
            Kamal senyum lagi dengan jawapan Fatin. Tangannya masih menghulur baju panas pada gadis yang berkulit cerah itu.
            “Kalau tak sejuk kenapa menggigil? Okey saya letak kat sini, Fatin pakai sendiri.” Kamal masih tidak putus asa.
            “Saya tak nak. Baju tu mesti dah berbau peluh Cikgu Kamal, busuk!”
            Kamal tergelak pula. Telatah Fatin benar-benar mencuit hatinya. Dia membuang pandangannya ke laut lepas. Fatin masih memeluk tubuh.
            “Apa aktiviti kita pagi ni?” tanya Kamal.
            Dia cuba ajak Fatin berbual. Tidak mahu gadis itu berasa canggung.
“Aktiviti pagi ni…sarapan.” ujar Fatin spontan.
            Dia sendiri tersenyum dengan jawapan itu. Sebenarnya otak Fatin sedang ligat memikirkan alasan untuk beredar dari situ. Dia kurang selesa berdua-duaan dengan Kamal.

“Achoo!”
            Fatin bersin. Dia menggosok hidungnya yang gatal. Dia bersin lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi. Spontan Kamal berdiri dan menyarungkan baju panasnya ke kepala Fatin.
            “Pakai aje baju tu. Kalau kena selsema nanti macam mana? Kita datang sini nak berseronok,   bukannya nak jatuh sakit.” kata Kamal.
            Fatin tiada pilihan. Diikutkan sahaja cakap Kamal. Kamal kembali duduk di sebelah Fatin. Dia mengambil kamera yang masih terpegang di tangan gadis itu.
            “Fatin memang suka ambil gambar ya?” tanya Kamal.
            “Suka. Fatin suka ambil gambar pemandangan. Lepas tu, Fatin lukis balik gambar yang Fatin  snap tu.”
            Terhibur hati Kamal mendengar celoteh Fatin. Punyalah ralit merenung gadis itu sampai  tak  sedar Fatin sudah menarik muncung sedepa. Terus hilang minat gadis belasan tahun tu nak bersembang.
            “Saya nak balik biliklah.” ujar Fatin.
            “Cepatnya! Tadi kata nak tengok matahari terbit.” Kamal cuba menghalang.
            “Tak jadilah. Besok pun boleh tengok juga.” bidas Fatin.
            “Ala... Tunggulah sekejap. Tak lama aje lagi ni...” Kamal masih berusaha.
            “Dah tak ada mood nak tengok. Lain kali ajelah.”
            Fatin melangkah laju menuju ke bilik, meninggalkan Kamal keseorangan di situ.  Ayu sudah bangun ketika Fatin tiba di bilik. Dia sudah siap berpakaian.
            “Ayu, besok temankan aku tengok matahari terbit ya.”
            Ayu pandang Fatin yang berbaring di atas katil.
            “Kenapa? Hari ni tak ada matahari ke?” tanya Ayu.
            “Bukanlah. Ramai sangat pelancong kat luar tu. Aku takut jalan sorang-sorang. Besok bangun awal tau. Bukan senang nak ambil gambar matahari terbit. Dapat peluang kat Pulau Tioman ni, sayanglah kalau lepaskan.”
            Panjang  benar rayuan Fatin. Ayu cuma mengangguk. Tidak lama kemudian Lina keluar dari bilik mandi. Mata masing-masing terarah padanya yang hanya berkemban. Tapi mata Lina lebih  buntang dari mata mereka.
            “Kenapa kau pandang Fatin macam tu?” tanya Ayu.
            “Baju siapa yang kau pakai tu Fatin? Besarnya.” tanya Lina.
            Soalan Ayu diabaikan tidak berjawab. Lina datang dekat. Dia membelek baju yang melekat di badan Fatin.
“Baju kawan Cikgu Shahrul.” Fatin menjawab perlahan.
            Dia menanggalkan baju panas Kamal. Kesal bertandang di hati kerana terlupa memulangkan semula baju itu. Sekarang dia terpaksa berdepan dengan Ayu dan Lina.
            “Kawan dia yang mana satu?”
            Lina masih tak puas hati. Dia duduk di birai katil. Terbantut niatnya untuk bersiap.
            “Baju tu abang Hairi punya ke abang Kamal punya Fatin?” Lina bertanya lagi.
            “Kamal.”
            Terbeliak mata Lina mendengar jawapan Fatin. Diambilnya baju Kamal yang berada di riba Fatin.
            “Ini baju  abang Kamal? Macam mana baju ni ada pada kau? Bila kau nak pulangkan pada dia? Kalau kau segan, aku boleh tolong pulangkan baju ni untuk kau.”
            Ayu dan Fatin berpandangan sesama sendiri. Hairan dengan tingkah Lina yang tiba-tiba teruja tatkala mendengar nama Kamal. Baju Kamal dicium dan disarung pula ke badan. Ayu mencebik. Jengkel pula hatinya melihat perangai Lina.
            “Kau ni demam ke Lina? Baju tu dah berbau peluh pun berselera jugak kau cium?” tegur Ayu.
            Lina buat tak tahu. Fatin bangun dan mengajak Ayu keluar dari bilik.
            “Fatin, baju ni biar aku pulangkan pada abang Kamal ya. Kalau dia tanya, cakap aku pinjam.” ujar Lina.
            Dia meletakkan baju panas Kamal di atas katil. Fatin menarik Ayu keluar, beri peluang untuk Lina bersiap.
            “Tak payah tunggu aku! Kalau korang nak pergi breakfast, pergilah dulu.” jerit Lina dari dalam.
            “Kenapa Lina tu?” tanya Ayu.
            Fatin cuma mengangkat bahu. Mereka beriringan  menuju ke restoran. Perut masing-masing sudah tidak sabar untuk diisi.
Sambil menatang pinggan, Fatin mengintai tempat kosong. Matanya terhenti pada sebuah meja. Sudah ada dua pinggan di situ.
            “Ayu, sana ada kosong. Tapi dah ada pinggan kat situ.” kata Fatin.
            “Tak kisahlah. Aku rasa dalam restoran ni cuma geng-geng kita aje yang ada pagi-pagi ni.” balas Ayu.
            Dia terlebih dahulu sampai ke meja yang dimaksudkan oleh Fatin. Baru sahaja hendak menyuap, tuan punya pinggan pun muncul.
            “Eh, ada bungalah kat meja kita Kamal.”
            Hairi mengenyitkan mata pada Ayu yang kelihatan terperanjat. Suapan Fatin terhenti tatkala melihat Kamal sudah pun duduk didepannya.
            “Maaf, kami tak tahu ini tempat abang Hairi.” ujar Ayu perlahan.
            “Eh, tak apa. Tak ada salahnya pun. Makin berseleralah kami makan nanti, kan Kamal?”  Hairi ketawa kecil.
Nak tak nak Fatin terpaksa meneruskan suapan. Hairi dan Ayu rancak berbual. Sekali-sekala Kamal juga menyampuk perbualan mereka. Cuma Fatin saja yang hanyut dalam dunianya sendiri. Dia tidak selesa berada di situ. Sudah beberapa kali kaki Kamal terlanggar kaki Fatin. Samada secara sengaja atau tidak, yang nyatanya Fatin memang tidak betah duduk lama-lama di situ.
           
“Fatin senyap aje dari tadi. Tak sihat ke?”
            Fatin senyum nipis mendengar pertanyaan Hairi. Dia angkat muka sedikit. Belum sempat dia menjawab, Kamal pula menyampuk.
            “Selsema dah okey?”
            Ayu pandang Kamal dengan kerutan di dahi.
            “Selsema, kau tak cakap dengan aku pun Fatin.Bila kau kena selsema?” tanya Ayu.
            “Bukan selsemalah. Aku bersin aje tadi. Kau tahu kan, aku alah dengan cuaca sejuk. Sebab tu Cikgu Kamal bagi pinjam baju panas dia.” Akhirnya Fatin bersuara.
           
            “Hai abang Kamal! Boleh Lina duduk sini sekali?”
            Perbualan yang sedang rancak terbantut dengan kehadiran Lina. Ayu merenung baju panas Kamal yang terikat di pinggang Lina. Dia menyenggol bahu Fatin. Fatin hanya mengangkat kening.
            “Lina, kau duduklah tempat aku. Aku dah sudah,” kata Fatin.
            Dia bangun dan meninggalkan Ayu  bersama mereka yang lain. Kamal memerhatikan Fatin pergi. Dia tidak suka dengan apa yang dia lihat. Lina menghadiahkan senyuman yang paling manis untuk Kamal. Dia sudah bersedia untuk memulakan perbualan. Tapi tidak bagi Kamal. Dia ingin segera meninggalkan meja itu dan mencari Fatin.
            “Lina, boleh tanggalkan baju tu tak? Saya nak pakai,” pinta Kamal.
            Senyumnya pada Lina nampak tidak ikhlas. Tergedik-gedik Lina membuka ikatan baju panas Kamal di pinggang. Sebaik sahaja baju panas bertukar tangan, Kamal segera bangun tanpa ucapan terima kasih pada Lina. Gadis itu kelihatan terkejut. Dia cuba memanggil Kamal, tapi ditegah oleh Ayu.
            “Mungkin abang Kamal nak pergi tandas kot. Err…Lina, kau makanlah dulu ya. Aku dah selesai.Aku nak pergi jumpa Cikgu Shazatul kejap,ada hal sikit nak bincang dengan dia.” Ayu bangun dan kenyit mata pada Hairi. Hairi pun ikut beredar, tanda faham dengan bahasa tubuh Ayu.
            Lina menepuk meja, bengang kerana rancangannya untuk bersarapan bersama Kamal tidak menjadi. Pinggan yang berisi nasi lemak ditolak ke tengah meja. Mati terus seleranya.
“Kurang ajar! Berani Fatin berebut dengan aku, ya.” Lina mengomel perlahan. Berombak-ombak dadanya menahan rasa.
Sementara itu, Kamal pergi mendapatkan Fatin. Dari jauh ditenungnya gadis yang telah  berjaya meraih perhatiannya itu. Niat awalnya cuma ingin memerhati. Tapi melihatkan Fatin semakin sibuk dengan rakan-rakan yang  lain, Kamal cuba menghampiri. Lama berdiri di belakag Fatin, sudahnya berdeham keras. Penat  menunggu barangkali.
            “Kenapa bagi baju panas saya pada Lina?” tanya Kamal.
            “Bukan Fatin yang bagi, dia yang ambil.” jawab Fatin pendek.
            Wajah lelaki itu nampak keruh. Fatin cuba mengawal rasa gementar. Dia melawan pandangan mata Kamal. Tapi tidak lama, dia kembali meneruskan kerja. Rakan-rakan sekolah yang  sudah selesai  bersarapan dipanggil berkumpul. Beberapa arahan diberikan pada ketua-ketua kumpulan. Kamal yang masih  mematung  disitu  langsung  tidak  dihiraukan. Ketika Fatin sedang mencatatkan sesuatu di dalam buku nota, tiba-tiba Kamal mengikat baju panas yang dipulangkan oleh Lina tadi di pinggang Fatin.
“Eh! Apa ni?” Terperanjat Fatin dengan tindakan spontan Kamal. Dia cuba menanggalkan ikatan tapi tangannya dipegang telah dipegang kemas.
            “Saya nak Fatin simpan dulu baju panas ni. Tadi Fatin kata tak boleh kena sejuk, kan? Pakailah dulu. Saya tak mahu Fatin jatuh sakit.”
            Kamal terus berlalu sebaik sahaja selesai berkata-kata. Rakan-rakan yang sedang menjadi penonton hanya senyum-senyum sendiri. Fatin terpempan seketika.Tanpa dia sedari Lina sedang memerhati dari jauh. Hatinya sakit. Sakit melihat Kamal lebih memberi perhatian pada Fatin.
            Pagi ini mereka akan memulakan lawatan ke Pulau Tulai. Salah satu tempat untuk aktiviti scuba diving dan snorkeling  yang terkenal di Pulau Tioman. Fatin terpaksa melakukan tugasnya tanpa bantuan Lina. Ketika dia sibuk membahagikan rakan-rakannya kepada kumpulan-kumpulan kecil, Lina pula sibuk memerhatikan Kamal. Matanya  sentiasa mengawasi gerak-geri lelaki itu.

            “Fatin, kau pergi duduk dalam bot sebelah sana. Aku nak duduk dalam bot ni. Budak-budak dalam bot ni kebanyakkannya sama bas dengan aku. Jadi aku boleh cam muka diaorang.” Lina mengambil senarai nama di tangan Fatin dan terus masuk ke dalam bot.
            “Lina tu dah kenapa? Aku tengok dari pagi tadi dia macam angin aje dengan kau. Kau gaduh dengan dia ke Fatin?” tanya Ayu.
            “Entahlah  Ayu. Aku pun tengah  hairan  juga ni. Sejak pagi tadi, ada aje benda yang  dia tak puas hati. Datang bulan kot!”
            Fatin terkekeh  ketawa dengan ocehan sendiri. Ayu pun sama. Bagi mereka Lina memang seorang kepala angin. Mungkin sebab itu jugalah dia tidak ramai kawan. Lina sudah hilang di dalam bot yang sepatutnya dia duduki. Tak banyak soal, dia bergerak masuk ke dalam sebuah bot lagi  bersama Ayu. Fatin segera mengenakan jaket keselamatan dan mengambil tempat duduk berdekatan dengan ekor bot. Dari situ dia boleh nampak Lina sedang bergelak ketawa di dalam bot yang satu lagi.Tapi dia tidak nampak kelibat Kamal.
            Enjin bot sudah dihidupkan. Pemandu bot memberi isyarat tanda sudah bersedia untuk memulakan perjalanan. Fatin menjenguk ke arah jeti. Hairi dan Kamal masih di situ. Mereka berdua menanggalkan tali di tambatan dan kemudian melompat naik ke dalam bot.
            “Yes! Fatin... Abang Hairi dan Abang Kamal satu bot dengan kita.” ujar Ayu.
            Fatin hanya mengangguk. Perutnya rasa tidak selesa. Kepala juga tiba-tiba berdenyut kuat.
            “Eh, ada kat sini? Ingatkan ada kat sebelah sana.” ucap Kamal kegembiraan.
            Suara Kamal kedengaran sayup-sayup di telinga Fatin. Dia nampak Kamal dan Hairi sedang berdiri di hadapan Ayu. Pandangannya berbalam-balam. Dia tidak selesa dengan keadaan itu. Fatin bangun dan berdiri di tepi bot, ingin mengambil udara yang lebih segar.
           
“Fatin,okey ke tak ni? Pucatnya muka.” Kamal menegur.
            Fatin cuma tersenyum. Antara dengar dengan tidak teguran Kamal. Palang besi yang terletak di hujung bot digenggam erat .Badannya mengadap ke laut lepas.
            “Muka kau pucatlah Fatin, kau mabuk laut ke?” Ayu pula bertanya.
            “Aku nak muntah. Kau pergi minta minyak angin kat Cikgu Shazatul. Dia ada kat depan.”  arah Fatin.
            Ayu segera bergerak ke depan bot. Belum sempat Ayu berpatah balik, Fatin sudah pun mengeluarkan segala isi perutnya ke laut. Palang yang dipegang nyaris terlepas. Mujur Kamal sempat memaut pinggang Fatin.
            “Hairi, panggil Cikgu Shazatul cepat.” arah Kamal.
            Dia mengurut belakang badan Fatin untuk memudahkan gadis itu bernafas. Rangkulan di pinggang tidak dilepaskan. Keadaan Fatin agak lemah. Berbintang-bintang pandangannya.
            “Minum air masak ni sikit Fatin.” arah Cikgu Shazatul.
            Cikgu Shazatul muncul dengan peti kecemasan. Kamal mengambil botol air mineral yang dihulurkan lalu disuakan pada Fatin.
            “Dia mabuk laut ni.” ujar Cikgu Shazatul.
            Dia mengeluarkan pil tahan muntah lalu dihulurkan pada Kamal.
            “Bagi dia makan pil tu, lepas tu sapu dengan minyak angin ni.” arah Cikgu Shazatul.
            Kamal hanya menurut. Badan Fatin sudah lembik. Cikgu Shazatul membantu Kamal membawa Fatin duduk. Bahu Kamal dijadikan tempat bersandar.
            “Rehat dululah. Kejap lagi okeylah tu,” ujar Cikgu Shazatul.
            “Terima kasih cikgu,” ucap Ayu.
            “Hmm,  awak tengok-tengokkan dia Ayu. Saya pun bukannya tahan sangat duduk lama-lama dalam bot ni.”
            Cikgu Shazatul masuk semula ke dalam bot. Fatin terlelap sekejap. Sedar-sedar sahaja, semua rakan-rakannya sudah pun melakukan aktiviti snorkeling di sekitar Pulau Tulai. Cuma dia dan Kamal sahaja yang masih berada di dalam bot.
            “Dah bangun? Pening lagi tak?” tanya Kamal.
            Fatin menggosok mata. Dia memerhatikan keadaan sekeliling.
            “Dah sampai ke? Mana Ayu?”
            Tanpa menjawab soalan Kamal, Fatin pula yang menyoal.
            “Dah dekat sejam kita sampai. Ayu ada kat bawah tu. Tengah snorkeling.” jawab Kamal.
            Dia menggerak-gerakkan bahunya yang lenguh. Fatin memandang Kamal. Dia hairan, kenapa cuma lelaki itu sahaja yang berada di dalam bot.
            “Kenapa Cikgu Kamal tak pergi ikut diaorang?”
            “Saja, malas nak pergi. Nak temankan awak.” selamba saja jawapan Kamal.
            Wajah Fatin merona merah. Tak selesa betul berdua-duaan dengan lelaki itu. Dia bangun dan  berdiri agak jauh. Beg galas dibuka dan dia  bersiap-siap untuk turut serta bersama rakan-rakan yang lain melakukan aktiviti snorkeling. Teruja sungguh dia melihat rakan-rakannya menyelam menggunakan flippers, snorkel dan glasses.

            “Fatin!”
            Tak jadi dia terjun ke laut. Matanya melingas mencari Cikgu Shazatul yang  memanggil. Kamal menghalakan jari telunjuknya ke dalam air, berdekatan dengan bot mereka. Cikgu Shazatul sedang berendam dengan Ayu dan beberapa orang rakan yang  lain. Lina juga turut berada di situ.
            “Tak payah turunlah. Kita dah nak balik.” ujar Cikgu Shazatul.
            Fatin mengemam bibir. Terkilan sungguh dia. Itulah tujuan utama dia ke mari. Dia menghenyak punggung di ekor bot sambil memerhatikan rakan-rakan yang lain naik semula ke dalam bot.
            “Tak apa, kalau Fatin nak saya boleh bawa Fatin pergi snorkeling besok.” Kamal cuba memujuk.
            Fatin menoleh. Baru dia sedar lelaki itu masih berada di situ. Fatin menjauhkan sedikit dirinya dengan Kamal.
            “Terima kasih. Memang besok kita masih ada aktiviti snorkeling. Fatin boleh pergi dengan Ayu nanti. Kawan-kawan lain pun ada.” ujar Fatin acuh tak acuh.
            Kamal tersenyum kelat. Ada sedikit palitan kecewa di hatinya. Tetapi dia rasa sangat bertuah hari ini kerana dapat berdua-duaan dengan Fatin, walaupun dalam keadaan gadis itu tidak sedar.
           
            “Amboi, seronoknya berdua-duaan dalam bot. Kau tahu tak? Kelam-kabut aku uruskan budak-budak ni sorang-sorang.” Lina tiba-tiba menjerkah Fatin.
            “Maaflah Lina, aku tak berapa sihatlah tadi. Mabuk laut.” ujar Fatin jujur.
            “Eleh, mabuk laut konon! Cakap ajelah kau nak menempel dengan abang Kamal tu. Kau ni nampak aje diam, tapi gatal juga ya.”
            Lina senyum sinis. Laju tangannya mengeringkan rambut yang basah. Fatin cuma mampu   tersenyum kelat. Dia mengerling Kamal yang mengawasinya dari jauh. Merah padam muka Fatin menahan bengang. Kalau tak difikirkan cikgu-cikgu yang turut berada di dalam bot itu, rasanya sudah lama Fatin kerjakan Lina.
            “Eh Lina, apsal kau ada dalam bot ni? Kau punya bot sebelah sanalah.” Ayu menegur.
            “Cikgu Shazatul suruh aku duduk sini,” kata Lina.
            “Bila cikgu suruh? Aku tak dengar pun.” Ayu masih menyoal. Tidak puas hati dengan jawapan Lina. Dia pun turut geram dengan perangai Lina. Dah macam orang gila kuasa pula gamaknya.
           
“Takkan semua benda aku nak cerita kat kau. Fatin, kau duduk aje dalam bot. Nanti kena angin laut muntah pulak. Biar aku tengokkan budak-budak lain kat luar,” kata Lina.
            Dia segera ke belakang bot. Kamal, Hairi dan Cikgu Shahrul berada di situ. Bot sudah pun bergerak pulang ke resort. Lina sengaja mendekatkan dirinya dengan Kamal. Buat-buat terlanggar badan Kamal ketika bot terlambung membelah ombak.
“Ops, maaf Abang Kamal. Tak sempat nak berpaut. Bot ni laju sangat...” Lina menyapu-nyapu bahu  Kamal. Dia tidak selesa dengan perbuatan Lina. Semakin dia menjauhkan diri, Lina semakin rapat. Tiba-tiba Kamal memegang kepala. Sebelah lagi tangannya menekup mulut. Tangan Lina yang  masih  berada di bahunya  ditepis kasar.
“Eh, kenapa ni? Abang  Kamal  pening  kepala ke? Nanti Lina ambilkan minyak  angin, ya.”
            “Tak apa, saya okey. Hairi, aku nak duduk dalamlah. Pening kepala kena lambung ombak ni.” ujar Kamal.
            Sempat lagi dia mengenyitkan mata pada Hairi. Hairi tahu Kamal sengaja mencipta alasan untuk menjauhkan diri dari Lina. Gadis itu mahu mengekori Kamal ke dalam bot. Tetapi langkahnya terbantut apabila melihat Kamal duduk di bangku yang sama dengan Fatin. Menggelegak hatinya tika itu.
“Huh! Kenapa asyik-asyik  Fatin yang  dia cari? Aku kan ada!”



            

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.