Beberapa bulan berlalu....
“Banyak lagi ke baju yang nak dijahit Leha?”
“Tak banyak dah mak. Tinggal dua pasang aje lagi.”
“Hish! Berehatlah dulu. Malam nanti sambunglah balik.”
“Eh! Tak boleh mak. Leha dah janji dengan Izzah nak hantar baju-baju ni petang ini. Mak nak ikut Leha tak besok?”
Nek Som tidak menjawab. Beberapa pasang baju kurung yang telah dijahit khas untuk Izzah dipegang satu-persatu. Dia faham, Zaleha sedang senang hati. Senang hati kerana permohonan Izzah untuk melanjutkan pelajaran telah diterima. Walaupun hanya separuh masa, itu sudah cukup melegakan hati Zaleha. Sekurang-kurang dia masih tahu, minat Izzah untuk melanjutkan pelajaran masih belum luntur.
“Pandai betul Asrun tu memujuk Izzah , kan mak? Mula-mula tu Leha risau juga kalau dia tak berjaya suruh Izzah sambung belajar. Mak faham-faham ajelah cucu mak tu, keras kepala.”
“Huh! Ikut perangai siapa? Kau dulu pun macam Izzah juga. Sekurang-kurangnya Izzah tu tak lari dari rumah. Kau? Nyaris lagi mak ni nak kena sakit jantung dengan perangai kau dulu.”
Zaleha menyeringai. Terkena batang hidung juga akhirnya. Tangan dan kakinya masih ligat bekerja di mesin jahit. Peristiwa lama yang disingkap sedikit oleh maknya membuatkan senyum Zaleha semakin lebar. Tapi hanya sebentar. Tangannya perlahan-lahan meraup wajah yang tidak berbedak .
“Kalaulah Abang Azizi masih hidup, mesti dia gembira, kan mak? Yalah, anak perempuan tunggal kami berjaya juga ke menara gading. Lega hati Leha sekarang. Janji Leha pada arwah abang dulu dah tertunai.”
Zaleha menarik nafas dalam-dalam. Rasa sedih dan rindu pada arwah suaminya yang mula menjenguk cuba dibuang jauh-jauh. Dalam diam Zaleha sedekahkan Ummul Kitab buat suaminya. Selepas beberapa ketika dia menyambung kerja-kerja yang terhenti. Ibunya juga sudah merebahkan tubuh di ruang tamu, bersebelahan dengan ruang kerja Zaleha.
Petang menjelang....
“Mak betul ke tak nak ikut Leha?”
Nek Som mengangguk laju. Dia memang tidak suka naik kereta. Pening katanya. Dia lebih rela berjalan kaki atau mengayuh basikal tuanya jika hendak ke mana-mana. Leha cuba memujuk lagi. Risau hatinya meninggalkan orang tua itu keseorangan di rumah. Namun Nek Som tetap berdegil.
“Kau nak telefon siapa tu?” tanya Nek Som tatkala melihat Leha mengeluarkan handphone dari beg tangan.
“Telefon Rahimi,” jawab Zaleha.
“Hish! Tak payahlah susahkan budak tu. Mak tak kisahlah tinggal sorang-sorang.”
Nek Som bangun, cuba merampas telefon dari tangan Zaleha. Pantas Zaleha menjauhkan diri. Tenaga tua Nek Som tidak mampu menyaingi tenaga Zaleha. Akhirnya dia terduduk kembali di pangkin berhadapan dengan kebun sayurnya. Matanya hanya mampu memandang Zaleha bercakap di telefon. Segala biji butir perbualan tidak didengari kerana jarak mereka yang agak jauh.
“Kejap lagi Rahimi datang. Kalau mak nak pergi rumah dia, pergilah. Nanti Leha jemput mak kat sana.”
Zaleha menghenyak punggung di sebelah Nek Som. Jam yang terlilit di tangan kirinya dikerling seimbas. Petang masih panjang. Tak salah rasanya kalau dia menunggu kedatangan anak sulungnya sebentar. Bimbang juga hatinya ingin meninggalkan Nek Som.
“Kau ni, buat mak macam budak-budaklah Leha. Kan mak dah cakap, mak tak kisah tinggal sorang-sorang.” Satu cubitan singgah di peha Leha. Panjang muncung Nek Som, tidak setuju dengan tindakan anaknya.
“Bukan macam budak-budak. Leha ni sayang mak, tau. Kalau mak pitam lagi macam dulu, apa Leha nak jawab kat cucu kesayangan mak tu nanti? Nanti dia fikir Leha abaikan nenek kesayangan dia pulak. Mak tak ikut ni pun pasti banyak soal jawabnya nanti.”
Terjuih bibir Nek Som. Bebelan Zaleha langsung tak melekat di telinga. Dari anak, hinggalah ke cucu. Sama saja keras kepalanya. Untuk seketika, mereka berdua melayan hati masing-masing. Zaleha membetulkan tudungnya yang berterbangan ditiup angin petang. Hampir layu matanya menunggu ketibaan Rahimi. Kalau ikutkan badannya yang lesu, mahu saja dia berbaring di situ. Tapi bimbang terlelap pula nanti. Di kejauhan terdengar bunyi motosikal. Zaleha bingkas berdiri. Lega hati Zaleha, anak sulungnya yang tinggal di kampung sebelah sudah pun tiba. Tangan Nek Som disambar laju lalu dikucup pantas. Tidak perlu berlengah lagi. Rahimi pasti tahu apa yang perlu dia lakukan. Sementelah lagi dia pergi tidak lama.
“Along, kau jangan ke mana-mana pulak. Temankan nenek sampai mak balik, tau.”
Zaleha terus masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Rahimi yang baru menongkat motorsikalnya segera menghampiri Zaleha yang sedang menutup pintu kereta.
“Mak!”
“Apa? Mak nak cepat ni...”
“Tu, tayar kereta sebelah kiri macam kurang angin. Nanti...”
“Mak nak isi minyak kejap lagi.Nanti mak pamlah tayar tu. Mak pergi dulu. Jaga nenek tau.”
Rahimi mengangguk. Dia mengambil tempat di sebelah Nek Som. Begitulah kebiasaannya jika Zaleha perlu ke mana-mana. Mujurlah Rahimi bekerja sendiri. Kedai runcit yang diusahakan bersama isterinya semakin maju sejak kebelakangan ini. Walaupun memegang ijazah dalam bidang perakaunan, dia tidak suka bekerja makan gaji. Berniaga sendiri lebih mendatangkan kepuasan katanya.
“Elok-elok bawa kereta tu Leha,” laung Nek Som.
Diperhatikan saja kereta Zaleha yang meluncur keluar dari halaman rumah. Hati tuanya rasa sedikit kurang enak. Sehingga kereta Zaleha hilang dari pandangan, matanya tetap pegun melihat pintu pagar rumah yang masih terbuka.
No comments :
Post a Comment