“Aduh! Tak ada siapa ke yang nak tolong aku ni?”
Zaleha mendengus kasar. Berkali-kali dia melihat tayar keretanya yang kempis. Macam manalah dia boleh terlupa nak pam tayar semasa di stesen minyak tadi. Telefon bimbit di tangan ditekan kasar.
“Tak ada line pulak! Pukul berapa nak sampai ni? Hari makin gelap...”
Sambil merungut, Zaleha mengeluarkan tayar spare di bonet belakang. Sekali lagi dia mendengus. Peralatan untuk menukar tayar tidak lengkap. Nak lebih sadis, tayar ganti pula dah keluar benang. Mahu saja dia menjerit sekuat hati. Inilah akibatnya kalau semuanya mengharapkan Rahimi. Sudah lama juga anak sulungnya itu tak memeriksa keadaan kereta itu.
“Aduh! Lepas satu...satulah!”
Bonet keret a ditutup kasar. Serabut kepalanya memikirkan jalan penyelesaian. Tak jauh lagi untuk dia tiba ke destinasi. Pintu kereta di kunci. Zaleha menapak perlahan ke pondok telefon yang tidak jauh dari situ. Dan, sekali lagi dia kecewa. Satu-satunya alat bantuan komunikasi yang ada ketika itu sudah hancur. Yang tinggal hanya pondoknya sahaja.
“Hish! Diaorang ni guna telefon ke makan telefon?” bentak Zaleha.
Mahu atau tidak, terpaksalah dia kembali semula ke kereta. Akalnya ligat mencari jalan. Tak mungkin dia nak menunggu di situ untuk jangka masa yang lama. Nak minta pertolongan orang? Tiada pula yang sudi berhenti.
“Cik Leha!”
Pin!
Bunyi hon motorsikal dari arah bertentangan memancing perhatian Zaleha. Mengecil bola matanya cuba mengecam lelaki yang menegurnya dari sebarang sana. Sekelumit senyum tersungging di bibir Zaleha ketika penunggang motorsikal itu semakin hampir.
“Kereta rosak ke?”
“Tayar pancit,” jawab Zaleha.
“Dah tukar tayar spare?”
“Tak pandai...”
Mujur hari sudah rembang senja. Kalau tidak pasti wajah merah padam Zaleha dapat dilihat dengan jelas.
“Abang Haji nak ke mana ni?” tanya Zaleha pada besannya yang sedang menongkat motorsikal di belakang kereta.
“Nak ke masjid. Malam ni ada ceramah perdana, Ustaz Kazim.”
Sambil menjawab Haji Lajis menyangkung di tepi kereta. Dia sudah siap menyinsing lengan baju melayu, nak menolong kononnya. Tapi apabila Zaleha menerangkan keadaan sebenar. Dia kembali berdiri dan menurunkan lengan baju.
“Kedai tayar dah tutup,” kata Haji Lajis.
Zaleha menggaru kepala. Apa akalnya kali ni? Suara azan di masjid membuatkan Zaleha serba tak kena. Risau ditinggalkan keseorangan di situ. Ditambah dengan keadaan jalanraya yang kurang tiang lampu yang berfungsi.
“Cik Leha tunggu kat sini kejap, boleh? Saya sembahyang dulu. Nanti kita balik sama-sama,” usul Haji lajis. Dia sudah bersedia di atas motorsikal.
“Balik sama-sama? Tapi tadi Abang Haji kata kedai tayar dah tutup.”
“Memang kedai tayar dah tutup. Kita balik dengan motor sayalah.”
“Ha? Naik motor?”
“Yalah, takkan nak naik kereta. Pergi duduk dulu dalam kereta. Atau Cik Leha nak ikut saya pergi masjid?”
Soalan Haji Lajis tidak dijawab. Laju kaki Zaleha melangkah masuk semula ke dalam kereta. Dikuncinya semua pintu lalu dihidupkan enjin. Penghawa dingin dipasang ke tahap maksimum. Tak dapat dia membayangkan dia bakal membonceng motor besannya sebentar lagi.
“Alahai kereta... Kenapalah time macam ni kau nak buat hal? Aku naik motor dengan bapak Asrun? Aduh! Apalah kata budak-budak tu nanti?”
Zaleha mengomel sendirian. Sakit tangannya menghentak stereng kereta tak sama dengan rasa malunya untuk membonceng motor Haji Lajis. Berkali-kali dia cuba mendail nombor anak-anaknya. Tapi liputan talian di situ langsung tidak menyebelahi dirinya.
Tok! Tok! Tok!
Haji Lajis tersengih lebar melihat Zaleha yang terkejut dengan ketukannya. Dalam keadaan teragak-agak Zaleha matikan enjin kereta. Sengaja dia melengah-lengahkan tingkahnya untuk keluar dari kereta. Beg plastik berisi baju-baju Izzah diambil. Lampu kereta ditutup. Tudung sudah betul letaknya dikemaskan beberapa kali. Tatkala dia menoleh untuk kesekian kalinya, Haji Lajis sedang merenungnya sambil mencekak pinggang. Namun senyum di bibir lelaki itu masih ada.
“Saya tahu, Cik Leha segan nak naik motor dengan saya. Tapi apa boleh buat? Tengah darurat ni. Cepatlah, saya nak datang ke sini balik nanti. Rugi kalau tertinggal ceramah Ustaz Kazim tu.”
Sah! Dia sudah tiada pilihan lain. Beg plastik di tangan Zaleha diambil. Haji Lajis memberi ruang sedikit di belakangnya untuk Zaleha duduk. Pedal motor dipulas perlahan untuk memastikan enjin sentiasa hidup. Menggigil tangan Zaleha ketika mendarat di bahu Haji Lajis. Seperti tidak tercecah punggungnya di tempat duduk belakang. Dia mengemam bibir sekuat hati, cuba meenyembunyikan rasa malu. Sebelah tangannya memegang kuat beg tangan yang diselepang sementara sebelah lagi memegang besi di belakang tempat duduk.
“Jangan bawa laju-laju Abang Haji,” pesan Zaleha.
“Mana ada bawa laju. Nak mendaki bukit ni. Kalau bawa perlahan, bila pulak nak sampai?”
Tak sempat nak menjawab, Haji Lajis sudah memulas pedal untuk menambah kelajuan. Mujur Zaleha sempat memeluk perut buncit Haji Lajis. Kalau tidak, mungkin dia dah tergolek di jalanraya. Pelukan semakin kuat bila ada kenderaan berat yang memotong mereka. Seriau rasa hati Zaleha. Rasa seperti dihimpit oleh kenderaan-kenderaan yang lain. Matanya dipejam rapat. Tak sanggup melihat kenderaan-kenderaan lain yang memotong dan berselisih dengan mereka. Sebab itulah dia lebih selesa memandu kereta. Lebih selamat rasanya.
“Errr, Cik Leha... Dah sampai.”
Perlahan-lahan mata dibuka. Halaman rumah Haji Lajis yang diterangi dengan lampu beranda terbentang di depan mata Zaleha. Kereta Asrun berada di dalam garaj. Begitu juga kereta Haji Lajis. Zaleha menarik nafas lega. Bolehlah Asrun dan Izzah menghantarnya balik malam ini.
“Cik Leha...”
“Ya.”
“Sedap ke peluk perut boroi saya ni?”
Serta-merta tangan Zaleha terlepas dan dia melompat turun dari motor. Haji Lajis menyeringai suka. Tiada bunyi yang keluar dari mulut lelaki itu melainkan senyumnya yang makin lebar. Laju kaki Zaleha menapak ke pintu utama. Kuat suaranya melaung salam untuk penghuni di dalam rumah.
“Mak, mana kereta? Tak dengar pun mak sampai.”
Izzah tertinjau-tinjau ke luar rumah. Tak teringat langsung dia nak bersalam dengan ibunya.
“Kut ya pun, dah tak reti ke nak bersalam dengan mak?”
Bahu Izzah dilepuk perlahan. Izzah tertawa kecil. Huluran beg plastik dari ibunya diambil lalu mereka bersalaman. Pintu dibuka lebiih luas. Asrun pula muncul. Berkerut kening Zaleha melihat menantunya berapron.
“Asrun!” laung Haji Lajis yang masih berada di situ.
“Eh, abah tak jadi pergi dengar ceramah ke?” Asrun lebih dahulu bertanya.
“Nak pergilah ni. Kau pergi tengokkan kereta mak mertua kau kat depan masjid tu. Tayar pancit.”
“Laaa, patutlah lambat sampai. Tayar pancit rupanya. Ha, yalah. Lepas masak nanti Asrun pergi tengokkan kereta mak.”
Zaleha memandang dua beranak itu. Kemudian ditenungnya Izzah. Sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah, sempat lagi dia melihat Haji Lajis keluar semula ke jalan utama. Tiba-tiba terbit pula rasa segan. Segan kerana dalam keadaan darurat, dia terpaksa memeluk Haji Lajis.
“Mak naik motor dengan abah tadi?” tanya Izzah. Ada secebis senyum sinis tersungging di bibirnya.
Zaleha tidak bersuara. Hanya kepalanya saja yang mengangguk. Asrun sudah hilang semula di dapur. Sambil dibawa ke ruang tamu, mata Zaleha liar memerhatikan keadaan sekeliling. Setimbun pakaian tidak berlipat berlonggok di dalam raga. Kakinya terasa berpasir ketika memijak lantai bersimen. Perabut-perabut di ruang tamu kelihatan berdebu. Suratkhabar dan majalah kelihatan di merata-rata tempat.
“Kau tak kemas ke rumah ni Izzah?”
“Err...kemas.”
“Kemas apa macam ni? Kain tu dah berapa lama tak berlipat tu?”
Izzah menoleh sebentar ke timbunan kain di dalam raga. Sambil menggaru kepala yang tidak gatal, dia mengutip majalah-majalah di atas sofa. Zaleha cuma memerhatikan. Kelam-kabut Izzah mengemas ruang tamu. Dia sudah masak dengan perangai ibunya. Bila-bila masa saja peluru bebelan ibunya akan meletus.
“Mak nak solat?” Izzah cuba mengalihkan perhatian ibunya.
“Hmm,” jawab Zaleha agak keras.
“Mak pergi ambil wuduk dulu, ya. Izzah bentangkan sejadah dalam bilik kejap.”
Izzah berlari masuk ke bilik tetamu, meninggalkan ibunya yang masih merenung tajam. Perlahan-lahan Zaleha menuju ke dapur. Asrun yang sedang sibuk memasak langsung tidak ditegurnya. Dia masuk ke bilik air tanpa suara. Ada sesuatu yang kurang menyenangkan hatinya. Ketika keluar dari bilik air, dilihatnya Asrun sedang menghidang makanan. Izzah juga turut membantu.
“Tak tunggu abah kau balik dulu ke Asrun?” tanya Zaleha.
“Tak payahlah mak. Dia balik lewat tu. Lepas makan nanti mak makan, ya. Saya nak pergi tengok kereta mak kejap,” kata Asrun.
Zaleha cuma mengangguk. Izzah nampak resah. Besarlah peluang ibunya untuk melontarkan ceramah percuma pada dia nanti. Beristighfar panjang Zaleha ketika masuk ke bilik tetamu untuk menunaikan solat. Keadaan bilik itu tak ubah seperti bilik Izzah di rumahnya. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk solat. Izzah dicari sebaik saja dia keluar dari bilik.
“Izzah,” panggil Zaleha perlahan. Dia menjenguk ke dapur. Asrun tidak ada di situ. Dia pasti Asrun sudah keluar untuk menukar tayar keretanya.
“Izzah kat depan mak!” laung Izzah.
Dia sedang menyelongkar beg plastik yang dibawa oleh Zaleha tadi. Lepas sepasang demi sepasang baju kurung dikeluarkan lalu diacu ke tubuh.
“Cantiknya kain-kain ni. Terima kasih mak. Tak payahlah Izzah susah-susah nak beli baju lagi.” Izzah menyumbat kembali baju-baju yang telah dilihat ke dalam beg plastik.
“Oi! Cuba lipat dulu baju-baju tu. Mak dah siap gosok, tau. Kau ni Izzah, bila nak matang ni. Dah jadi bini orang pun perangai tak berubah-ubah.” Zaleha sudah memulakan mukadimah.
“Ala mak ni, Izzah tengah berubah perlahan-lahan ni. Sabarlah. Abang Asrun pun tak bising...”
“Memanglah laki kau tu tak bising. Orang tengah sayang. Tu, bapa mertua kau?”
“Dia pun tak kisah. Dia tahu Izzah muda lagi...”
Zaleha tepuk dahi. Bengang betul dia mendengar jawapan yang keluar dari mulut Izzah. Harapannya untuk melihat Izzah berubah menjadi isteri yang sempurna hanya tinggal harapan. Tak sanggup dia membayangkan andai satu hari nanti Asrun bosan dengan sikap Izzah yang pemalas. Serba-serbi perlu disuruh. Masak pun tak pandai.
“Izzah, dengar mak cakap. Walaupun sibuk dengan belajar nanti, tanggungjawab sebagai isteri jangan kau abaikan pula. Sampai bila nak harapkan Asrun aje yang memasak? Rumah ni dah berapa lama tak bersapu? Ringan-ringankanlah tangan tu. Jangan bagi malu mak boleh tak?”
“Yalah, Izzah akan cuba. Izzah bukan tak nak kemas rumah. Tapi rumah ni besar sangatlah mak. Penat!”
“Banyaklah kau punya penat. Sebelum kau kahwin dulu ada tak terfikir semua ni? Tak ada, kan? Ha, sekarang siapa yang susah?”
Bebelan Zaleha tidak dapat diteruskan. Izzah terselamat kerana Asrun dan Haji Lajis pulang tepat pada masanya. Dia berlari membuka pintu utama. Zaleha juga bergerak ke situ. Kereta Asrun dan keretanya sudah terparkir di halaman rumah.
“Eh, Abang Haji tak jadi dengar ceramah ke?” Zaleha turun ke halaman dan terus ke sisi sebelah kiri kereta. Tayar yang pancit sudah diganti. Zaleha tersenyum lega. Tak perlulah dia bermalam di situ.
“Sempat dengar separuh aje tadi. Si Asrun ni minta tolong bawa balik kereta Cik Leha ke rumah,” jawab Haji Lajis.
“Eh, tadi bukan ke abah yang nak ikut Asrun balik?”
Tak semena-mena kunci kereta di tangan Haji Lajis melayang ke arah Asrun. Haji Lajis membuntang mata memberi amaran pada anaknya. Asrun tersengih nakal sambil mengerling ibu mertuanya yang sedang memerhatikan mereka dengan wajah hairan.
“Cik Leha dah makan?” Haji Lajis melangkah laju ke dalam rumah. Jelas kelihatan wajahnya merona merah.
“Belum lagi. Kalau kereta tu dah okey, saya balik dululah Abang Haji. Mak saya tinggal sorang-sorang kat rumah tu.” Zaleha cuba mencipta alasan. Entah kenapa tiba-tiba dia tidak selesa berada di situ.
“Along kan ada. Selalunya dia yang jaga nenek kalau mak keluar ke mana-mana, kan? Kita makan dululah mak. Bukannya jauh pun rumah nenek tu.” Izzah cuba memujuk. Lengan ibunya ditarik lembut . Mereka beriringan ke dapur.
Bagai tak tertelan nasi di kerongkong Zaleha. Peristiwa di halaman rumah tadi berjaya buat dia rasa semakin segan dengan besannya. Sementelah lagi Haji Lajis sedari tadi asyik mengerling padanya.
“Tambah nasi lagi Cik Leha. Jangan malu-malu. Asrun masak memang tak berapa sedap. Lain kali kalau ada masa Cik Leha kena rasa masakan saya pula.” Haji Lajis menghulur bekas nasi. Tapi Zaleha menggeleng laju.
“Saya jarang makan malam Abang Haji.”
“Pandai Cik Leha jaga badan,” puji Haji Lajis. Sekali lagi wajah putih mulus Zaleha merah padam. Otaknya mula ligat mencari topik lain untuk dibualkan.
“Errr..Dalam rumah ni cuma Asrun dan Abang Haji aje ke yang masak? Izzah tak masuk ke dapur ke?”
Tersedak Izzah mendengar soalan Zaleha. Dia tersengih sambil mengutip nasi yang berterabur di meja. Wajah Asrun dipandang, mohon bantuan untuk menjawab soalan ibunya. Lama menunggu jawapan, akhirnya Zaleha bangun membawa pinggan ke sinki. Malu dia dengan perangai Izzah. Sibuk nak kahwin tapi masak pun tak tahu.
“Saya nak balik dululah Abang Haji. Orang tua saya kat rumah tu, entah makan ke tidak.”
Zaleha menghabiskan sisa minuman di dalam gelasnya. Haji Lajis terburu-buru bangun lalu mencuci tangan di sinki. Asrun dan Izzah cuma jadi pemerhati. Hairan melihat Haji Lajis tidak menghabiskan makanan di pinggannya.
“Saya nak tumpang Cik Leha boleh tak? Saya nak ambil motor saya kat masjid.”
Tak sempat Zaleha menjawab, Haji Lajis sudah mengambil kunci kereta kepunyaan Zaleha di atas meja. Laju saja kaki lelaki itu melangkah keluar. Zaleha mengeluh perlahan. Entah kenapa kali ini kurang selesa betul dia berada di rumah besannya. Izzah dan Asrun menemankan Zaleha ke depan.
“Kirim salam nenek ya mak,” pesan Izzah.
“Abah, ambil motor kat masjid aje, ya. Jangan bawa mak melencong ke tempat lain pulak.” Asrun menggiat abahnya yang sedang menghidupkan enjin kereta. Satu lepukan hinggap di bahu Asrun. Hadiah dari Izzah. Makin kuat tawanya.
Dalam kereta, Zaleha cuma membisu. Hilang topik untuk dibualkan bersama besannya. Beg tangan dipeluk erat. Sengaja dia menurunkan cermin kereta, tidak menggunakan penghawa dingin. Perjalanan yang dekat terasa jauh pula kerana Haji Lajis memandu dengan perlahan.
“Cik Leha, saya tanya sikit boleh tak?”
“Tanya apa?”
“Dah berapa tahun Cik Leha hidup sorang-sorang?”
“Siapa kata saya hidup sorang-sorang? Saya kan tinggal dengan mak saya. Anak sulung saya pun tinggal dekat dengan rumah saya juga.”
Haji Lajis senyum kelat. Tak pasti samada Zaleha tidak faham dengan soalannya atau pura-pura tak faham. Nafas ditarik dalam-dalam. Zaleha langsung tak berani menoleh. Dalam hati tak putus-putus berdoa agar Haji Lajis tidak mengulang soalan tadi. Sumpah, dia rasa sangat tidak selesa ketika ini.
Mereka sampai di depan masjid. Haji Lajis tidak terus keluar. Tapi Zaleha sudah terlebih dahulu membuka pintu dan segera pergi ke sebelah pemandu. Geram pula hatinya melihat Haji Lajis yang masih tidak mahu keluar dari kereta. Penat berdiri di luar, diketuknya cermin tingkap berulang kali. Haji Lajis akhirnya mengalah. Dia keluar juga dari kereta.
“Ada sorang kawan saya tu, dia dah lama menduda. Dia minta saya carikan calon isteri. Cik Lijah ada calon yang sesuai tak?”
“Eh, Abang Haji ingat saya ni ejen pencari jodoh ke?”
“Bukanlah macam tu. Saya bertanya aje, manalah tau. Cik Leha kan ramai kenalan.”
Terjuih bibir Zaleha. Entah kenapa dia agak kurang selesa membicarakan perkara itu. Pandangan dan senyuman Haji Lajis buat Zaleha macam cacing kepanasan.
“Saya balik dululah. Dah lewat sangat ni.” Zaleha minta diri.
Haji Lajis hanya mengangguk. Dibukakan pintu kereta untuk Zaleha. Dia seakan lupa dengan ceramah agama yang dia kejarkan tadi. Sebaik saja menutup pintu kereta, Zaleha menurunkan cermin. Dikerlingnya cermin pandang belakang dan kemudian melihat cermin sisi kiri dan kanan. Cermin tingkap di sebelah kiri pula diturunkan. Dia cuba membetulkan kedudukan cermin sisi menggunakan suis automatik.
“Aduh, time ni lah dia nak rosak. Errr... Abang Haji. Boleh tolong betulkan sikit side mirror tu tak? Leha tak nampak kereta dari belakang,” arah Zaleha.
Tanpa bantahan, Haji Lajis segera ke sisi kiri kereta. “Dah okey Leha?” tanya Haji Lajis.
“Ke atas sikit,”
Haji Lajis masih membongkok sambil membetulkan cermin. Zaleha berdecap perlahan. Mungkin keadaan cermin sisi itu masih belum memuaskan pandangannya. Setelah beberapa kali mengarah Haji Lajis, Zaleha pula menjulurkan tangan. Dia cuba membetulkan sendiri kedudukan cermin itu.
“Eh! Maaf Abang Haji. Leha tak sengaja.”
Laju Zaleha menarik semula tangannya. Muka rasa berbahang. Bibir digigit sekuat hati. Haji Lajis yang berada di luar cuma tersenyum simpul. Tak sangka pula Zaleha boleh terpegang tangannya.
“Err, dah okey ke cermin ni?” Haji Lajis menegur Zaleha.
“Dah...Dah okey. Saya gerak dululah.”
Brek tangan diturunkan. Haji Lajis meninjau ke tingkap sebelah kiri yang masih terbuka. Senyumnya makin lebar tatkala melihat wajah Zaleha yang berpeluh.
“Cik Leha...”
“Ha, ada... ada apa abang.. eh Abang Haji?”
“Hati-hati memandu.”
“Okey... Assalamualaikum.”
Kereta terus bergerak. Meninggalkan Haji Lajis yang masih tegak mematung di situ. Ada sesuatu yang sedang dia fikirkan mengenai Zaleha. Semetara itu di dalam kereta. Zaleha mengerling cermin pandang belakang. Semakin kemas genggaman tangan di stereng apabila melihat Haji Lajis masih mengawasinya.
“Ya Allah, kenapa rasa lain macam pulak ni?”
No comments :
Post a Comment