Pagi-pagi buta aku terima
panggilan daripada mak.
|
“Piah, ada perubahan rancangan petang ni.”
“Mak tak jadi datang
ke?
“Tak.”
Tak semena-mena aku buat lompat bintang. Mujur tak terlucut tuala
yang membalut tubuh. Punyalah gembira hati ni, Tuhan saja yang tahu. Aku kawal
suara supaya tak kedengaran riang di talian. Fuh! Leganya rasa hati bila dengar
mak cakap macam tu.
“Zarin
Sofea.”
Aku
berdeham berkali-kali bila dengar mak memanggil aku di dalam talian.
Cepat-cepat tukar ton suara. Aku ni sebenarnya baru selesai mandi. Rambut pun
belum sempat kering lagi. Dengan tuala yang semakin longgar ikatannya, aku cat walk hingga depan meja solek.
Kemudian buat kerut-kerut muka. Nak mulakan babak lakonan dengan mak ni!
“Kenapa tak jadi datang?
Pura-pura bengang tapi mulut ni dah tersenyum lebar. Berus rambut aku ambil
lalu kusisir rambut yang masih basah. Sebelah tangan memegang ikatan tuala yang
hampir terlepas.
“Memang tak jadi datang rumah kau. Tapi mak nak kau bawa dia datang sini.”
“Hah?”
Terus terlucut tuala yang aku pegang. Terlepas sekali bersama handphone yang terpegang di tangan. Terkial-kial aku
membungkus badan semula. Talian pun dah terputus sebab telefon terjatuh tadi.
Tapi tak sampai seminit menjerit lagi telefon tu. Aku tak terus jawab. Tapi aku ketuk-ketuk telefon tu ke dahi. Aduh!
Kenapalah mak ni suka menyusahkan hidup aku? Tak boleh ke kalau aku hidup
dengan aman walaupun sehari?
Telefon dah senyap.
Tapi aku yakin benda alah tu akan berbunyi lagi. Dan seperti yang aku sangka.
Telefon aku menjerit lagi. Menggigil tangan aku nak tekan butang hijau.
“Piah.”
“Orang tengah
dengarlah ni mak.”
“Nanti bawa kawan kau tu datang sini. Kita
makan malam sekali. Jangan lambat pulak.
Dengar tak?”
“Hmm...”
“Apa
dia?”
“Yalah
mak. Orang dengar.”
Cepat-cepat
aku tekan butang merah. Tak sanggup dengar suara mak lagi. Tak boleh jadi ni.
Aku kena pergi cari Ikmal. Cepat-cepat aku pakai baju dan capai kunci kereta.
Cari Ikmal? Cari Ikmal ke cari Nas? Ah, aku nak cari Ikmal. Ya, cari Ikmal.
Tanpa sebarang mekap, aku cuma mengenakan blaus tanpa lengan dan jeans lusuh.
Lantaklah! Apa yang penting sekarang aku mesti dapatkan Ikmal. Apa jadi sekali
pun dia mesti jumpa mak dan abah hari ini.
Baru
saja undur kereta keluar dari pintu pagar, kereta Lily pula tiba. Aku cuma
turunkan tingkap. Tak ada masa nak bersembang dengan dia. Lily pun buat perkara yang sama. Tapi belum apa-apa lagi dia dah tayang muka pelik. Peliklah sebab aku jarang
pandu kereta sendiri. Selalunya dialah yang jadi supir terhormat aku.
“Nak
ke mana ni?” tanya Lily.
“Nak
pergi cari Ikmal. Kau pergi butik, tunggu aku kat sana.”
Aku terus tekan pedal
minyak. Tak kuasa nak dengar Lily
membebel. Mujurlah jalan raya pagi tu tak berapa sibuk. Dah lepas peak hour, patutlah. Tak sampai lima
belas minit aku dah berada di depan
rumah Ikmal. Aku nampak kawan dia sedang cuci motor. Aku kenal dia ni. Polis
trafik yang paling poyo pernah aku
kenal. Muka tak reti nak senyum.
Masam aje dua puluh empat jam.
“Zahril, Ikmal ada?”
“Ikmal tak ada. Dari malam tadi belum balik lagi.”
Jawapan Zahril buat lutut aku lemah. Mana aku nak cari dia?
“Dia pergi mana?”
Zahril tak menjawab. Dia cuci tangan yang bersabun dan buka pintu pagar. Dia
datang dekat. Muka Zahril nampak macam sedang merahsiakan sesuatu.
“Rin, buat masa ni jangan cari Ikmal.”
Aku pandang Zahril. Dia faham aku mahu penjelasan yang lebih lanjut.
“Dia sedang buat tugas penyamaran.”
“Di mana?”
“Maaf, aku tak boleh beritahu. Dan sebenarnya memang aku sendiri pun tak
tahu.”
Jawapan Zahril langsung tak membantu. Mata aku dah rasa panas. Sebelum aku
meraung depan Zahril lebih baik aku beredar. Aku cuba memahami situasi
kerja Ikmal sebagai anggota polis. Tapi yang aku tak faham, takkan Ikmal
langsung tak tinggalkan apa-apa pesanan pada kawan-kawan dia. Sebelum aku tekan
pedal minyak, sempat lagi aku jerit pada Zahril.
“Awak tahu tak rumah keluarga Ikmal?”
“Tahu, tapi tak guna awak ke sana sebab keluarga dia pun tak tahu tentang ni.”
“Kalau
saya nak alamat rumah aje, boleh?”
Zahril
tak menjawab. Dia cuma senyum. Fahamlah aku makna senyum tu. Tak gunalah aku
mencuba. Melayan kawan Ikmal yang poyo
ni makin buat aku sakit hati. Aku balas senyum Zahril tanda aku akur dengan
jawapan dia tu. Senyum pun sekadar buat syarat, jangan dia cakap aku sombong aje. Ah, kalau dia nak cakap macam tu
pun aku peduli apa? Aku nak kahwin dengan Ikmal, bukan dengan dia, kan?
Aku tekan pedal minyak menghala ke butik Nas. Dah tak ada pilihan. Terpaksa
jugalah gunakan khidmat agar-agar tu. Tapi bersyukur jugalah sebab Nas sanggup
tolong. Kalau terpaksa kahwin dengan dia pun, sekurang-kurangnya aku kenal hati
budi dia. Dalam pada tengah serabut ni, sempat jugalah aku sengih sekejap.
Bayangkanlah kalau aku dan Nas betul-betul kahwin. Nas pakai baju melayu dengan
selendang warna pink di leher. Bibir bersapu lipgloss.
Silap-silap haribulan pengantin
lelaki lebih anggun dari pengantin perempuan. Awww!
Tak pasal-pasal aku gelak melambak dalam kereta. Mujur tak berhenti
kat traffic light. Kalau tidak, orang ingat aku gila. Ah, lantaklah. Memang dah nak gila ni.
Ketika aku sampai di butik Nas, dia sedang sibuk fitting baju
baru pada dummy. Lily pun ada situ. Bobby pula sibuk mekapkan
model-model sambilan untuk photoshoot majalah.
“Amboi, awalnya datang. Dah tak sabar nak jumpa bakal suami ke?”
Aku pandang Lily. Laju aje minah
kenit tu tekup mulut. Tahu pula takut dengan
kelancangan mulut sendiri. Dengan jelingan tajam, aku baling kunci
kereta pada Lily. Terkial-kial dia menyambut balingan itu.
“Banyaklah kau punya
bakal suami. Pergi tunggu dalam kereta. Aku tak letak kupon tu. Kalau kena
saman, siap kau.”
Lily keluar dari butik sambil menghentak kaki. Proteslah tu. Entah apa yang dia
bebelkan, aku pun tak dengar biji butirnya. Lantaklah.
Dia kan PA aku. Perhatian aku tumpukan pula pada Nas. Dia masih sibuk
mengerjakan dummy sejak tadi.
“Nas, ada perubahan sikitlah untuk program petang ni.”
Aku senyum sikit bila Nas pandang aku sekilas.
“Ikmal dah sanggup nak jumpa mak kau ke?”
Aku geleng perlahan. Nas tarik jarum peniti yang sedang digigit. Dia betulkan
lilitan selendang yang terlondeh di leher.
“Mak
kau dah tak kisah kau nak kahwin dengan siapa pun?” Nas meneka lagi. Aku
pun geleng untuk kali kedua. Serentak
dengan itu Nas mendengus kasar.
“Habis
tu apa perubahan programnya? Kau jangan cakap sangkut-sangkut boleh tak? Aku
banyak kerja ni!”
Terkejut
aku bila Nas baling aku dengan kapur kain. Marah pula. Dia tahu angin dia aje. Dia tak tengok lagi angin aku macam
mana. Sabar Zarin Sofea, jangan melenting. Karang dia tarik diri, habislah aku.
Masa dah makin suntuk ni.
“Mak aku suruh pergi
rumah dia.”
“Itu aje?
Aku angguk sekali. Nas kerling aku. Kemudian dia pandang Bobby. Bobby cuma
balas dengan cebikan. Eee, menyampah pula aku tengok gelagat diaorang. Nas kembali ligat
menghias dummy. Hasil sentuhan tangannya memang menakjubkan. Ramai
artis yang dah menggayakan rekaannya. Dan aku antara yang paling bertuah sebab
terpilih menjadi model tetap di butiknya.
“Bagi aku alamat rumah mak kau.”
“Nak buat apa? Kau datang ajelah
rumah aku. Kita pergi sama-sama.”
Nas dah mula cekak pinggang. Zarin Sofea, sila siapkan telinga.
“Kau suruh aku tolong kau, kan?”
Aku angguk.
“Kau
nak aku menyamar jadi boyfriend kau, kan?’
Aku angguk lagi.
“So,
jangan banyak songeh. Aku nak kau SMS
alamat rumah mak kau. Lepas tu kau pergi balik. Benci betul aku tengok kau
pakai macam ni. Dengan muka pucat, macam orang kurang darah. Tengok kulit tangan tu. Eee, kasar betul? Rumah kau dah
tak ada losyen ke? Tercalar imej aku sebagai bakal
suami tau!”
Bobby gelakkan aku. Makin panjang muncung aku bila model-model yang lain pun
ketawa sekali walau pun tak tahu hujung pangkal perbualan aku dan Nas. Aku
ambil pen yang selalu Nas guna untuk melakar. Terjerit-jerit Nas melarang aku
tulis alamat rumah mak di atas kertas lakarannya. Tapi aku peduli apa? Sakit
hati tau!
“Kurang
asam kau Rin! Aku tak nak datang petang ni.”
Sempat
lagi Nas ugut aku. Terbantut kaki nak melangkah keluar. Aku tenung Nas. Dia balas balik.
“Kalau kau tak muncul depan rumah aku tepat pukul enam, aku bakar butik ni.”
Sekali lagi diaorang gelak. Aku tinggalkan Nas yang terjerit-jerit memaki aku
kat dalam butik. Lily yang setia di dalam kereta segera keluar bila nampak aku
laju aje menuju ke arah tempat letak
kereta.
“Kau jangan lupa
ingatkan agar-agar tu datang rumah aku pukul enam petang ni.” Aku
mengingatkan Lily.
Dia terangguk-angguk
laju. Terus terkunci mulut bising dia bila aku dah meroyan. Destinasi
seterusnya, rumah. Aku perlu masa untuk tenangkan diri sebelum pergi ke rumah
mak petang ni. Dalam pada tu, usaha menghubungi Ikmal masih aku teruskan. Tapi
usaha hanya tinggal usaha. Aku dah mati akal. Maka secara rasminya, terpaksalah
aku teruskan juga rancangan tadi. Nas akan jadi boyfriend olok-olok aku.
Diam tak diam, dah pukul
lima rupanya. Aku masuk ke bilik air untuk menyegarkan badan. Sambil mandi aku
terfikir, perlukah aku maklumkan pada Ikmal? Huh! Macam mana nak maklumkan pada dia? Telefon tak aktif. Ke mana
dia ghaib, aku sendiri pun tak tahu. Nak tanya pada siapa? Kawan serumah dia?
Jangan haraplah! Apa yang rahsia sangat, entahlah.
Jadi, apa lagi
ikhtiar yang aku ada? Nak buat report polis? Eee, kalau terpaksa pun itulah benda
yang terakhir sekali yang aku akan buat. Apa kejadahnya pula aku nak pergi report
polis segala? Dah tentu-tentu dia tu polis, kan?
Setengah
jam aku berkurung dalam bilik air. Sudahnya satu keputusan nekad aku ambil. Gasaklah! Apa nak jadi, jadilah. Biarlah
Nas jadi heroin dalam drama cemas aku ni. Untung-untung kalau mak tak berkenan,
dia akan beri peluang pada aku untuk cari calon menantu yang lain. Okey,
sekarang dah boleh bersiap! Pakai ala kadar aje.
Memang gaya aku macam ni. Kalau tak terlibat dengan tugas-tugas modelling,
aku lebih gemar berpakaian santai. Baru aje
siap mengoles gincu di bibir, aku dapat SMS dari Nas.
Teringat pula
kejadian di butik tengahari tadi. Buatnya dia betul-betul tak datang, masak aku. Berdebar pula rasa nak baca
mesej Nas.
Pergi dulu, ada hal
sikit. Nanti aku terus ke rumah mak kau.
Aduh! Masa inilah dia
ada hal. Kan, aku dah cakap. Dia ni memang sengaja nak kenakan aku. Tak apa,
sabar dulu. Banyak masa lagi. Mak cakap, makan malam. Jadi, kalau makan malam
mesti lebih kurang dalam pukul sembilan. Sabar Zarin Sofea, sabar. Tak mungkin
Nas nak aniaya kau. Aku sedapkan hati sendiri walaupun sebenarnya dah tak
berapa nak sedap juga.
Sampai saja di rumah mak, orang tua tu dah terjenguk-jenguk dari balkoni bilik
di tingkat atas. Nampak benar tak sabarnya dia nak tengok bakal menantu. Aku
kumpul semangat dan kekuatan sebanyak mungkin untuk hadapi sebarang kemungkinan
yang bakal berlaku hari ini. Abah dah tunggu depan pintu utama. Macam penyambut
tetamu pula gamaknya.
Aku salam tangan abah dan peluk dia. Abah tepuk belakang badan aku. Rasa macam
nak menangis. Tepukan itu seperti bagi amaran pada aku supaya bersedia untuk ke
medan perang. Abah senyum dan angkat kening. Bahasa tubuh abah tu aku faham.
Aku balas senyum abah. Aku tahu, dia pun sedang
menantikan kedatangan bakal menantunya.
“Kejap lagi dia dating.
Awal lagi kan?”
“Kalau datang awal kan bagus. Boleh berbual-bual dengan abah dulu, sebelum kena
interview dengan mak.”
Aku tergelak. Abah lebih faham peel isterinya.
“Dia ada hal kejap abah. Nanti sampailah tu.”
Abah
mengangguk faham. Dengan abah, senang sikit nak bercerita. Dia jenis yang
bertolak ansur. Tak macam mak.
“Eh, sorang aje? Mana orangnya?”
Baru aje mengumpat dalam hati, mak
dah muncul. Panjang umur dia. Aku salam juga tangan mak walaupun dia tak peluk
aku macam abah buat pada aku tadi. Nampak sangat macam aku ni bukan tetamu
penting malam ni. Mak berlenggang ke kereta aku. Tak puas hati agaknya meninjau dari jauh tadi.
“Jom masuk Sofea. Mak
kau dah nak mula tu.”
Abah lebih lembut bila menyebut nama aku. Tak macam mak. Dia tarik tangan aku masuk ke dalam. Aku
boleh dengar hentakan kaki mak semakin dekat. Aku kuatkan genggaman tangan aku
di tangan abah. Harap abah faham isyarat itu.
“Budak tu ada kerja sikit. Kejap lagi sampailah tu.”
Aku senyum lega. Abah lebih pantas menjawab sebelum mak buka mulut. Terdengar
di telinga dengusan kasar mak.
“Huh! Belum apa-apa lagi dah lambat. Tak berdisiplin langsung!” omel
mak.
“Lambat apanya? Awak
cakap makan malam, kan? Sekarang ni
minum petang pun belum selesai
lagi. Bila masa pulak budak tu
lambat? Cuba belajar bersabar sikit Puan Juriah sayang.”
Senyum simpul aku
dengar cara abah membidas cakap mak. Makin panjang muncung mak. Dia menyambung
lenggangnya ke dapur. Aku takut nak menjenguk. Nanti tak pasal-pasal kena soal
siasat. Lebih selamat kalau aku duduk aje
di ruang tamu dengan abah. Layan National Geography dengan abah
lagi bagus. Baru aku tahu itu rancangan kegemaran dia. Rancak juga mulut abah
mengulas semula dokumentari yang kami tonton.
Selepas seketika, terdengar bunyi bilal membaca tahrim di surau. Abah pandang
aku. Aku kerling jam di tangan. Mana Nas ni? Dah sejam dia lewat. Aku bangun
dan mula menyibukkan jemari di telefon. Dia tak jawab. Aduhai Nasrin! Tolonglah
jangan buat cerita seram. Kalau dia tak muncul malam ni, memang mati kering aku
jawabnya karang. Aku cuba telefon Lily. Pasti Nas akan datang ke sini bersama
Lily. Belum sempat panggilan dijawab. Aku nampak kereta Nas di pintu pagar.
Fuh, lega!
“Abah, dah sampai.”
Pagar automatik terbuka luas dan memberi ruang kereta Nas masuk ke perkarangan
rumah.
“Pergilah sambut dia. Mesti dia segan dengan abah,” ujar abah lembut.
Aku sarung selipar dan melangkah ke arah kereta Nas yang belum dimatikan enjin.
Aku tak nampak kelibat Lily. Nas datang seorang? Biar betul. Aku buka pintu
kereta untuk Nas sebab tak sabar nak menyoal dia. Pada pandangan pertama, aku
terkesima dengan penampilan Nas.
“Nas! Ini Nas ke?”
“Shhh! Cuba kawal sikit suara tu. Tu mulut tu, tutup sikit. Masuk setan nanti.”
Nas membetulkan songkok di kepala. Enjin kereta dimatikan. Aku ke belakang
sikit, beri ruang untuk Nas keluar dari kereta. Mata ni seperti dipukau. Aku
tak percaya lelaki yang berdiri di depan aku sekarang adalah Nas. Handsome! Itu
aje perkataan yang boleh aku ungkap
ketika ini.
“Patutlah lambat. Pergi buat make over rupa-rupanya.”
“Eh, sorry sikit! Aku buat semua ni untuk meyakinkan mak kau yang
aku layak jadi menantu dia tau. Kau jangan nak perli-perli. Aku balik nanti.”
Aku menahan gelak. Walaupun dah berpakaian segak tapi suara Nas masih lagi
macam cicak tercekik.
“Lily mana?”
“Buat apa aku bawa
dia? Aku kan nak jumpa mak bapak kau, bukan bapak dia.”
Aku masih pegun di
hadapan Nas. Mata ku menyorot tubuh Nas dari kepala hingga ke kasut hitam
berkilat yang dia pakai. Berbaju melayu siap bersamping kain pelekat. Macam nak
datang beraya pula!
“Eh, apa buat
bersembang kat kereta tu? Sofea, jemput kawan tu masuk.”
Laungan
abah berjaya mengalihkan pandanganku. Aku persilakan Nas masuk. Amboi,
siap beriringan. Macam dah rasmi jadi suami isteri pula gayanya.
“Assalamualaikum
pakcik. Maaf saya lewat sikit. Ada kerja sikit kat butik tadi,” ujar Nas penuh
sopan.
“Waalaikumsalam. Eh,
tak apa. Tak ada apa yang nak dikejarkan pun. Kami cuma ajak makan-makan. Saja nak kenal-kenal.
Sofea, pergi panggil mak.”
Semasa abah pandang
aku, aku memuncungkan mulut ke arah belakang abah. Mak dah sedia berdiri di
belakang abah ketika dia sedang berbasa-basi bersama bakal menantu tadi. Nas
nampak teragak-agak nak bersalam dengan mak. Tapi bila mak menghulur tangan,
baru laju tangannya menyambut huluran tangan mak. Belum sempat mak buka mulut,
azan Maghrib berkumandang.
“Sedang eloklah Nas sampai. Boleh kita berjemaah sekali.”
Abah mengajak Nas ke bilik solat. Aku tengok dia melangkah penuh yakin. Aku
pula yang risau. Mak pula dah hilang ke dalam bilik. Aku ambil kesempatan
meninjau Nas dan abah di bilik solat. Sekali lagi Nas buat aku melopong. Dia
jadi imam dan abah jadi makmum. Pertama kali aku dengar Nas mengalunkan
ayat-ayat suci. Bacaannya terang dan jelas. Dan itulah pertama kali aku dengar
suara lelaki Nas yang sebenar. Aku tarik nafas lega. Ternyata Nas dah buat
persiapan rapi.
“Kau tinjau apa tu
Piah? Tak pernah tengok orang sembahyang ke?”
Kus semangat. Nasib
baik aku tak ada sakit jantung. Bila masa pula mak ada kat belakang aku? Macam
ada bela saka pula Puan Juriah ni. Eee... Selisih malaikat empat puluh empat.
“Kau dah sembahyang
ke belum?” tanya mak.
“ABC...” Aku menjawab
perlahan.
“ABC?” Bertaut kening
mak dengar jawapan aku tadi. Aku balas dengan ukiran senyum kelat di bibir.
“Allah bagi cuti...”
“Cakap ajelah uzur, kan senang!”
Mak tunjal dahi aku.
Terkena juga dia. Aku sengih dan ikut buntut mak ke dapur. Sebelum
dia sound aku lebih baik aku bodek dia sikit. Tolong
apa-apa yang patut. Bau gulai yang sedang menggelegak buat aku lapar. Baru
sedar dari pagi aku tak makan apa-apa. Semuanya gara-gara rancangan mengejut
mak. Malam ni bolehlah aku balas dendam. Lagipun dah lama tak makan masakan
mak.
“Wow, gulai lemak cili api daging salai campur bacang. Sedapnya mak. Mak tahu aje makanan kegemaran orang.”
Aku nampak ada senyum terukir di bibir mak. Memang susah nak tengok mak senyum.
Aku ceduk gulai kegemaran aku ke dalam mangkuk dan bawa ke meja makan. Nas dan
abah masih di bilik solat. Aku teruskan kerja-kerja di dapur. Kali ketiga aku
ke meja makan, Nas dan abah sedang berbual-bual di ruang tamu. Mak datang
bersama semangkuk air basuh tangan.
“Apa nama kawan kau
tu?”
“Ikmal…eh salah, Nas.”
Aku telan air liur yang cuba menyekat kerongkong. Mujur mak tak perasan aku
tersasul tadi. Aku cuma tunggu di meja makan bila mak menjemput Nas dan abah
untuk menikmati makan malam. Nas tarik kerusi di sebelah aku. Dia nampak
tenang. Tapi muka mak masih belum menampakkan tanda-tanda yang dia puas
hati.
“Sedap lauk makcik masak ni. Dah lama tak makan masakan kampung.”
Pandai pula Nas bodek mak. Aku nampak ada ulas senyum yang hampir terukir di
bibir mak. Abah suakan nasi tambah pada Nas. Perbualan di meja makan agak
santai. Mak masih belum mengeluarkan sebarang soalan. Dia cuma diam sejak tadi.
Malam ni abah yang lebih ramah dari biasa. Selesai makan, mak dah mula tembak
Nas dengan soalan pertama.
“Dah lama ke kenal
Zarin Sofea?”
“Dah dua tahun
makcik. Sejak dia jadi model tetap di butik saya.”
Mak diam kejap. Dia pandang aku. Apahal pulak
ni? Aku kerling abah mohon bantuan. Tapi mata abah terarah pada
televisyen,bukan pada aku.
“Piah, pergi dapur
siapkan pencuci mulut. Mak ada buat pavlova tadi.”
Oh, baru aku faham. Mak tak nak aku ada di situ. Aku pandang sekilas pada Nas.
Dia senyum pada aku. Kenapa malam ni senyum dia nampak lain? Mungkin sebab
senyuman tu terhasil dari bibir yang berwarna natural, tak
ada lipgloss. Senyum Nas nampak macho.
“Betul kau nak kahwin
dengan anak makcik?”
Terbantut
langkah yang ku hayun. Aku bersandar di tepi dinding. Nak menelinga perbualan
mereka. Mujur badan kurus, boleh menyelit di celah almari perhiasan mak. Sambil
menelinga, boleh meninjau keadaan di
ruang tamu.
“Betul. Kalau saya
main-main saya takkan datang makcik. Saya dah lama nak jumpa makcik dan pakcik tapi
Rin yang belum bersedia nak izinkan saya ke mari.”
Ewah-ewah! Sedapnya skrip dia. Dia ambil dialog drama mana pula ni? Tiba-tiba
nama aku dikaitkan. Tak boleh jadi ni. Cepat-cepat ke dapur dan siapkan pencuci
mulut. Tak sabar nak dengar sesi temuramah yang seterusnya. Semasa masuk semula
ke ruang tamu, telinga ni menangkap suara orang sedang ketawa. Sekali aku
dekatkan badan di tepi dinding. Nak dengar dulu apa yang kelakar sangat sampai
mak ketawa macam tu.
“Kalau macam tu dah
senanglah kerja kita bang. Nas sendiri boleh reka baju pengantin untuk Piah.
Betul tak?”
“Boleh makcik. Saya dah hafal ukuran badan dia. Tapi tak tahulah kalau dah
kahwin nanti dia jadi gemuk.”
Mak ketawa lagi. Abah senyum senget aje.
Kelakar ke? Aku rasa ayat tu tak kelakar langsung. Tapi mak ketawa sampai
keluar air mata. Selesai menghidang, aku ambil tempat di sebelah abah. Mak dah
ambil tempat aku di sebelah Nas. Bila masa pula dia beralih ke situ? Makin
rancak dia berbual. Macam dah kenal lama. Nas pulak pandai melayan. Sesuai sangatlah dengan mak yang hantu
fesyen.
“Jadi sekarang ni
macam mana ceritanya?”
Tiba-tiba abah bersuara. Aku pandang Nas yang duduk bertentangan. Mak hela
nafas. Dia pandang Nas dan kemudian beralih pada abah.
“Abang ni, Nas kan
dah cakap tadi. Dia anak yatim piatu. Kita jemput sekalilah kawan-kawan Nas di
majlis kita nanti. Lagipun dia berdua sama tempat kerja.”
Amboi!
Bukan main tajam kerlingan mak. Langsung terdiam abah. Bagus! Nas hampir-hampir
berjaya memperdayakan mak dan abah. Tak
sudah-sudah dia susun ayat-ayat yang
buat mak cair dan percaya yang Nas tu buah hati aku.
“Hantarannya macam
mana?”
Uiks!
Hantaran? Dah sejauh itu ke perbincangan diaorang.
Alamak! Ini dah jadi kes berat ni. Kalau betul-betul kena kahwin dengar
agar-agar tu nanti macam mana? Alahai! Tak nak!!! Ikmal, tolong Rin. Semakin
jauhlah harapan aku nak hidup bersama dengan dia. Mata aku panas. Sebut
pasal Ikmal aje mulalah nak keluar
lagu sedih.
Relaks Rin. Jangan gelabah. Nas pun
tengah buat tugas penyamaran juga macam Ikmal. Apa susah, buat aje macam cerita-cerita dalam tv tu.
Kahwin kejap, dua tiga bulan nanti berpisah. Habis cerita. Aku senyum
dengan kata-kata sendiri. Nas, nasib kaulah. Lepas ni kau kena jadi suami
olok-olok pula. Apa boleh buat. Kau seorang aje
yang sanggup tolong aku, kan?
No comments :
Post a Comment