Yeehaa! Harinya tiba
juga. Mood sangat baik sejak malam tadi. Almaklumlah,
hari terakhir aku di Haizal, Dinesh & Partners. Untuk menzahirkan
kegembiraan aku menyambut hari terakhir aku di sana, aku buatkan sebiji kek.
Sampai pejabat nanti boleh makan sama-sama. Usai bersiap pagi itu, aku terus ke
peti sejuk. Nak masukkan kek yang aku buat malam tadi. Aku buka peti sejuk,
kira bekas cupcake di rak atas. Cukup
ikut jumlah yang Kak Maziah nak. Menyangkung separuh badan. Nak tengok kek aku
pula. Ya Allah! Terduduk aku sambil pegang dahi. Laju kepala aku menoleh ke
arah bilik. Natrah!
Aku tutup pintu peti agak kuat. Kaki dah meluru masuk ke
dalam bilik. Natrah yang sedang menyanggul tinggi rambutnya aku tenung tanpa kerdipan.
Sengaja aku mematung di muka pintu dan tunggu dia menoleh. Makin aku tunggu
hati aku makin panas. Tapi masih nak tunggu juga.
“Eh, apsal tercegat kat situ?” Akhirnya dia perasan.
Sabar Dayang. Tarik
nafas dalam-dalam dulu. Pagi-pagi ni tak elok gaduh-gaduh. Aku menyabarkan diri
sendiri dulu.
“Kenapa kau makan kek
tu?” Terus saja aku tanya dia. Tak ada orang lain lagi yang berani buat macam
tu dalam rumah ini melainkan dia.
“Oh, kek yang ada
strawberi tu ya. Sorrylah Dayang. Aku
tak boleh tidurlah malam tadi. Perut lapar. Cari benda makan kat dalam periuk
tapi semua dah habis. Aku buka peti sejuk, yang ada cuma kek tu aje,” kata
Natrah. Dia sambung mengemaskan ikatan sanggulnya.
“Nat, aku bosanlah
dengan perangai kau ni. Jangan sampai aku halau kau keluar dari rumah ni pulak.
Berapa kali aku nak cakap? Maggi kan
ada.” Aku rapatkan pintu. Bimbang pula kalau Kak Maziah dan Abang Burn dengar.
“Ala, lambatlah nak
masak Maggi. Aku potong sikit aje
pun. Tak payahlah nak kecoh-kecoh.” Natrah campak sikat rambut atas meja solek.
Dia dah selesai bersiap.
“Kau tahu aku nak bawa
kek tu pergi office hari ni kan? Kenapa kau potong juga?”
“Nanti kat office kau potong juga kan? Kek tu cuma
untuk jamu kawan-kawan kat office aje
kan? Apa susah, kau potong aje siap-siap dari rumah. Benda boleh settle lah! Itu pun nak serabut kepala."
“Ya Allah! Dengan cara
apa lagi aku nak betulkan kepala kau ni! Natrah, cubalah matang sikit. Jangan
sampai aku rasa menyesal berkawan dengan kau. Tau tak, haram hukumnya kalau aku
tak halalkan apa yang kau makan tu tau.”
Dada dah berombak.
Kalau dia menjawab memang aku hayun pelempang pada dia. Natrah berjalan ke
tingkap. Dia melompat keriangan dan terus capai beg tangan. Sempat lagi sembur
minyak wangi ke leher. Hon kereta Tengku Haizal sudah membingit di luar.
“Aku pergi dululah.
Jumpa kat office nanti. Bye.” Natrah
menepuk perlahan pipi aku. Sakitnya hati. Aku ke dapur semula. Sedih
sangat tengok kek yang dah rongak.
Kata-kata Natrah terngiang-ngiang di telinga. Sabar Dayang. Benda dah jadi.
“Buat apa tu?” Kak
Maziah menegur.
Kalau aku cerita hal
yang terjadi memang masak aku kena khutbah ni. Baik jangan banyak cakap.
“Nak potong kek
masukkan dalam bekas. Senang sikit nak bawa nanti,” jawab aku.
Dengan berat hati aku
potong-potong kek itu. Dah tak senonoh rupanya. Tapi sebab nak menjamu kawan-kawan, aku bawalah juga.
Mujur Kak Maziah tak banyak cakap. Selesai mengerjakan kek, aku pecut ke
pejabat. Tak sangka boleh sama-sama sampai dengan Mr. Dinesh. Mukanya nampak
murung. Sebaik saja punch card, dia suruh aku masuk ke bilik.
“Nat, aku letak kek kat
pantri. Kau jangan usik, faham tak?” Aku bagi amaran dulu pada Natrah
awal-awal.
“Kau nak pergi mana?”
tanya Natrah. Belum mula waktu bekerja, tapi dia dah mula sibuk di hadapan
mesin fotostat. Bagus, kau hadaplah mesin tu sampai muntah hijau.
Aku tak jawab pun
soalan dia. Tak penting pun untuk dia tahu ke mana aku pergi. Aku ketuk sekali
saja pintu bilik Mr.Dinesh. Dia dah bukakan pintu untuk aku. Aku senyum sebagai
tanda terima kasih. Tapi dia tak balas. Pelik, kenapa dengan dia ni?
“Mr.Dinesh ada masalah
ke? Dari tadi saya tengok masam aje muka tu.” Aku tegur dia. Dia cuba senyum, tapi
tak menjadi. Dah macam rupa orang kena sembelit pula bila dia buat-buat senyum.
“Last day hari ni kan?”
Aku angguk laju seiring
dengan senyum lebar.
“Awak betul-betul tak
nak kerja lagi di sini?”
Aku angguk lagi.
Mr.Dinesh mengeluh. Tersandar kepalanya di kerusi.
“Saya tak berapa
percaya dengan Natrah,” kata Mr. Dinesh.
“Kenapa?” Aku pula
tanya dia.
“Entahlah, tapi naluri
hati saya kata yang dia tu tak jujur.”
Aku diam. Tak tahu nak jawab apa. Kasihan pula aku tengok dia.
Lama aku biarkan dia termenung.
“Dayang, awak boleh
tolong saya tak?”
“Tolong apa?”
“Tolong buatkan akaun pelarasan
gaji dan akaun syarikat sementara Salmi belum naik bekerja.”
“Tapi saya dah…”
“Awak buat
senyap-senyap. Ini antara saya dan awak aje.” Mr. Dinesh nampak benar-benar
memerlukan pertolongan aku.
“Mr.Dinesh…”
“Tolong jangan tolak.
Saya akan bayar gaji penuh pada awak. Kita berurusan melalui email.”
“Macam mana dengan
Tengku Haizal?”
“Saya akan cakap pada
dia kita upah accountant luar sebab
Natrah sibuk dengan kerja lain.”
Terdiam aku sekejap.
Serius betul perbincangan ni. Mr.Dinesh merapatkan dada ke meja. Kedua-dua
tangannya bertaup rapat. Dia masih menunggu jawapan yang akan keluar dari mulut
aku. Berat tanggungjawab ni.
“Dayang,” panggil
Mr.Dinesh.
“Ya.”
“Diam tu tandanya
setuju kan?”
Amboi, pandai-pandai
aje dia baca fikiran aku.
“Tapi kalau awak ubah
fikiran, itu lagi bagus.” sambung dia lagi.
“Ubah fikiran, maksud You?” Aku tak faham apa maksud dia.
“Yelah, mana tau
kalau-kalau tak jadi nak kerja kat tempat lain. Terus aje kerja kat sini,” kata
Mr. Dinesh.
“Woo! Mungkin tidak.
Hari ni adalah hari yang paling lega bagi saya Mr.Dinesh. Saya dah penat
melayan karenah Tengku Haizal.”
Dia ketawa dengar aku
cakap macam tu. Kelakar ke? Tak cukup dengan ketawa, tergeleng-geleng pula
kepalanya.
“Saya keluar dululah
Mr. Dinesh. Dah habis bincang kan?”
“Jawapannya?” Tawa
Mr.Dinesh terhenti. Bulat matanya pandang aku.
“Saya setuju. Tapi
sampai Kak Salmi naik kerja aje ya.”
Lebar senyum bos kedua
aku tu. Dia hulur tangan untuk bersalam. Tapi kemudian dia tarik balik.
“Maaf, saya lupa awak
tak salam dengan lelaki. Seronok sangat sampai lupa.”
Aduhai, cair kejap
dengar Mr.Dinesh cakap macam tu. Lebih cair lagi bila dia hantar aku sampai ke
pintu. Siap bukakan pintu dan keluar sama-sama. Wah, macam ada skandal pula!
Heheh! Apa kau merapu ni Dayang?
“Mana pergi semua
orang?” Aku tengok meja Natrah kosong. Mr.Dinesh pun pandang sekeliling pejabat
yang senyap.
“Di pantri kot.” Aku
jawab soalan aku sendiri. Alamak, kek aku! Serta-merta laju langkah aku ke
sana. Mr. Dinesh pun ikut aku.
Langkah terhenti
tatkala masuk ke pantri. Semua ada di sana. Termasuklah Tengku Haizal. Macam
ada aktiviti bersarapan secara berjemaah di situ. Mata aku tertangkap
sesuatu di tengah-tengah meja.
Astaghfirullahalazim!!! Apa lagi yang kau buat ni Natrah?
“Eh, Mr.Dinesh. Dah
habis meeting. Mari rasa kek yang
Natrah buat ni. Sedap betul.” Ms. Susan beri ruang sedikit. Aku berjalan
perlahan, berdiri di belakang Natrah. Dia menoleh bila aku cuit bahunya dan
menghadiahkan satu pandangan yang tajam.
“Dayang, sorrylah tak sempat nak tunggu kau habis
meeting. Ku Zal ni, tak sabar nak
rasa kek. Tapi aku ada tinggalkan sikit untuk kau.” Tanpa rasa bersalah, Natrah hulur bekas kek
pada aku. Aku geleng perlahan. Macam nak menitik airmata aku. Kenapa Natrah
buat aku macam ni?
“Rasalah sikit kek tu.
Tak gemuk pun kalau setakat makan satu,” perli Tengku Haizal pula.
“Maaflah Tengku. Tekak
saya ni tekak orang Melayu. Tak boleh nak telan kek pagi-pagi macam ni. Saya
makan nasi lemak,” jawab aku selamba. Masih mengawal kemarahan. Tangan dah menggigil ni.
Aku bancuh Milo dan terus keluar dari
pantri. Sakit mata dan hati tengok sandiwara Natrah.
Dah tak ada apa-apa
yang perlu dilakukan hari ini. Semua kerja-kerja Kak Salmi dah beres buat masa
ni. Aku selak suratkhabar. Sebelum tu sempat lagi kerling ke mesin fotostat.
Hmm, tak siap lagi kerja perempuan ni.Lantak kaulah. Aku dah tak nak ambil tahu
lagi. Pandai-pandai kaulah lepas ni.
“Dayang.”
Aku turunkan
suratkhabar. Tengku Haizal dan Natrah
sedang tegak berdiri di sebelah meja.
“Ya, boleh saya bantu?”
tanya aku.
“Jangan lupa kemas
barang-barang awak hari ni. Pastikan tak ada satu pun yang tertinggal. Meja ni
nanti bagi Natrah,” kata Tengku Haizal.
“Ok.” Aku jawab pendek.
Natrah tersengih-sengih di sebelah Wayar Putus.
“Ku Zal, komputer dia
ada password. Setiap kali nak buka
mesti nak kena tanya dia. Lecehlah!” Natrah kerling aku. Dia ni memang sengaja
keluarkan api dari unggun agaknya.
“Awak dengar dia
cakapkan? Buka balik password tu. Komputer tu bukan awak punya. Jangan bawa
balik pula.” Sinis betul kata-kata Tengku Haizal. Tapi aku tetap senyum.
“Jangan risau Tengku.
Saya takkan ambil barang-barang dalam pejabat ni. Tak hadap pun!”
Aku tentang mata Tengku Haizal
dan Natrah silih berganti. Ikut hati nak aje aku hantukkan kepala
dua-dua ni. Sama aje sengal!
“Ok, pergi siapkan dokumen
yang saya nak tu Natrah. Oh ya sebelum saya terlupa. Kek awak tu memang sedap.
Kalau rajin buat lagi ya. Macam tu baru dinamakan perempuan. Cantik, lemah
lembut, pandai masak. Cukup pakej.” Sengaja Tengku Haizal keraskan suaranya
bila dia sebut ‘cukup pakej’. Aku ketap bibir.
Bukan main suka lagi Natrah kena puji. Memang spesis muka tembok betul
dia ni.
Aku pandang Tengku
Haizal berjalan keluar dari pejabat. Kenapa tiba-tiba rasa tersinggung ni?
Selalunya aku tak kisah pun. Tapi hari
ni lain sangat rasa bila dia tak menyakat aku. Untuk pertama kalinya hari ni
Tengku Haizal ajak Natrah keluar lunch. Aku
yang duduk di sebelah Natrah waktu itu langsung tidak
dipelawa. Hmm, tak apalah Dayang. Kau pun bukannya suka dengan dia kan? Ya,
buat apa aku sibuk-sibuk hal mereka. Aku habiskan masa senggang tengahari itu
dengan berkemas. Kemudian bantai main game. Indahnya hidup. Punyalah leka sampai tak sedar
dah pukul 3. Dah terlewat untuk solat Zohor.
Aku bingkas bangun dan
buat apa-apa yang patut. Usai solat aku bercadang nak sambung lagi main game. Heheh! Dah tak ada apa nak buat
kan? Aku ni bukan kaki Facebook. Tak
minat nak bergosip. Buat hal sendiri sudah!
Tapi yang peliknya, mana Natrah? Waktu-waktu
macam ni masih belum nampak batang hidung?
Bukan Natrah seorang. Yang lain-lain pun sama. Aku cuba hubungi Mr.
Dinesh. Tapi panggilan tidak berjawab. Puan Linda, Tuan Syed pun sama. Fikir
positif Dayang. Mungkin masing-masing
jumpa klien di luar. Hmm, kalau peguam-peguam adalah munasabahnya. Si Natrah
tu? Jumpa klien juga ke?
Telefon bimbit
menyanyi-nyanyi minta diangkat. Natrah call.
“Kau kat mana?” tanya
Natrah sebelum sempat aku bagi salam.
“Kat officelah. Kau kat mana ni?” Aku jawab
dan tanya sekaligus.
“Ok, bye.” Natrah
matikan talian. Aku pandang telefon. Dia ni kenapa? Telefon aku cuma nak tanya
itu saja? Selang beberapa minit kemudian pintu pejabat terkuak luas. Natrah
bagi ruang untuk Puan Linda, Tuan Syed, Ms.Susan dan beberapa orang budak
penghantar pizza masuk. Natrah senyum pada
aku tapi tak cakap apa-apa. Terus dibawanya 3 orang budak penghantar pizza tu
ke bilik mesyuarat. Tengku Haizal menyusul selepas itu. Tapi langsung tak tegur
aku.
“Dayang, jom masuk bilik meeting.
Ada jamuan sikit untuk awak.” Mr. Dinesh
berhenti di depan meja. Buntang mata aku pandang dia.
“Jamuan untuk saya?”
Aku tengok Mr.Dinesh mengangguk laju.
Tiba-tiba rasa macam
nak menangis. Tak sangka pula Mr. Dinesh merancang
jamuan perpisahan untuk aku di saat-saat akhir. Kesemua peguam yang bernaung di
bawah Haizal, Dinesh & Partners bagi aku hadiah. Cuma Tengku Haizal saja
yang buat kering. Dia langsung tak sentuh makanan dan minuman yang aku hidangkan untuknya. Tapi
kalau Natrah yang bawakan, dia minum pula. Hmmm, fikir rasional Dayang. Dia
sedang membiasakan diri dengan Natrah tu. Kalau mereka berdua bercinta pun tak
salah. Memang sama cantik sama padan. Eh, salah ayat tu. Sama miang sama gatal!
Ha, tu baru sesuai.
“Bertuahnya kau Dayang. Berhenti kerja pun dapat hadiah.”
Natrah membelek hadiah pemberian Ms.
Susan. Entah apalah isi di dalamnya. Kotak hadiahnya agak besar. Rasa-rasanya
macam tak muat aku nak bawa balik dengan motor.
“Tak sangka pula dapat hadiah banyak macam ni. Mana muat
nak sumbat dalam skuter aku tu.” Aku senyum sambil menggeleng kepala. Otak aku
tengah memikirkan cara nak bawa hadiah-hadiah ni balik ke rumah.
“Mr.Dinesh, saya nak minta tolong sikit boleh tak?” Aku
gamit Mr.Dinesh yang sedang mengambil air berkarbonat di atas meja. Dia
menghampiri aku dan Natrah. Natrah kelihatan tidak suka dengan kehadiran
Mr.Dinesh.
“Kau nak spageti
lagi tak Dayang? Aku ambilkan ya,” ujar Natrah. Aku tak jawab apa-apa pun lagi,
dia dah pergi.
“Dia macam tak suka aje dengan Mr.Dinesh,” seloroh aku
pada bos India tu.
“Mungkin saya tak handsome macam Ku Zal kot,” kata Mr.Dinesh.
“Salah statement
tu Mr.Dinesh. Mungkin You tak miang macam Tengku Haizal. Ayat tu baru
betul!” Aku tutup mulut menahan tawa.
Mata melihat Tengku Haizal yang sedang berbual dengan
Natrah. Mulut dia bergerak-gerak, tapi matanya ke arah aku. Tiba-tiba datang
idea nak menyakat pula. Aku tarik kerusi dan hulur pada Mr.Dinesh. Penyandar
kerusi aku tepuk-tepuk perlahan, bagi isyarat
suruh dia duduk.
"Awak
nak cemburukan Tengku Haizal ya?" tanya Mr.Dinesh.
Aku
senyum aje. Pandai betul dia baca fikiran aku.
"Saya
nak tumpangkan hadiah-hadiah ni boleh tak? Tak muat nak sumbat dalam Givi Box saya." Aku terus ke tujuan asal aku panggil dia.
Mr.Dinesh
diam sekejap. Dia pandang aku, kemudian pandang pada beberapa orang peguam yang
sedang berbual.
"Bukan
tak boleh Dayang, tapi saya kena sampai awal ke rumah hari ni. Family saya buat
upacara sembahyang di kuil. Kalau minta tolong Syed boleh tak?" Dia
mencadangkan orang lain pula. Nak tutup rasa bersalahlah tu. Macamlah aku tak
tahu.
"Eh,
tak apalah Mr.Dinesh. Saya call cab
aje minta tolong hantar barang-barang ni ke rumah. By the way, terima kasihlah sudi adakan jamuan ni untuk saya."
"Eh,
bukan saya yang buat semua ni Dayang. Saya cuma tumpang nama aje, yang keluar
modal orang lain," kata Mr.Dinesh sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Habis
tu, siapa yang buat semua ni?" Aku tanya dia balik. Dalam kepala macam dah
dapat agak siapa yang bermurah hati nak membazir duit buat semua ni.
"Tengku
awaklah, siapa lagi?" Mr.Dinesh menyungging senyum.
"Eee,
dia bukan Tengku sayalah Mr.Dinesh. Tengku Haizal tu Natrah punya."
"Ni
apa sebut-sebut nama saya ni?"
Datang
dah. Pantang sebut nama, macam Road Runner dia datang mencelah.
"Zal,
kau tolong tumpangkan hadiah-hadiah Dayang ni boleh tak? Lagipun nanti kau hantar
Natrah balik kan?" Mr.Dinesh tolong tanyakan untuk aku.
"Aku
nak tumpangkan tuannya, bukan hadiahnya."
Aku
kerling Tengku Haizal. Tanpa segan dengan rakan kongsinya, Wayar Putus tu
layangkan flying kiss pada aku.
Sengal betullah! Spontan bibir bawah aku
terjuih dan mencetuskan gelak Mr.Dinesh yang menjadi pemerhati sejak tadi.
Natrah yang berdiri tak jauh dari kami pun turut terpancing dengan tawa
Mr.Dinesh.Terkedek-kedek dia menghampiri kami.
“Dayang, Ku Zal kata dia boleh tumpangkan hadiah-hadiah
kau. Nanti aku angkatkan hadiah-hadiah ni ya. Ku Zal…” Natrah pandang Tengku
Haizal dengan senyuman menggoda. “Kunci kereta mana?” sambungnya lagi.
Ya ampun! Gelinya anak tekak aku dengar suara lentok
Natrah. Tiba-tiba rasa macam ada bulu tersangkut di kerongkong aku ni. Tengku
Haizal macam redha saja bila Natrah buat macam tu. Siap hulur kunci kereta yang
disimpan di dalam poket seluar. Huish! Macam tak percayalah.
“Ku Zal?” Aku
tanya dia sebaik saja Natrah dengan sukarelanya mengangkut semua hadiah-hadiah
yang aku dapat ke kereta Tengku Haizal.
“Kenapa? Tak percaya?” Tengku Haizal tanya aka semula.
“Hai Dayang, dah ada rasa cemburu ke?” usik Mr.Dinesh.
“Cemburu? Sorrylah!
Kalau dia cakap dengan You, yes saya
cemburu. Tapi kalau dia cakap dengan Tengku Haizal, saya rasa balik ni nak buat
sujud syukur. Akhirnya saya benar-benar terlepas dari seksaan dunia.” Aku tadah
dua-dua tangan dan pandang ke atas. Buat macam orang berdoa.
“Amiiinnn, syukur Alhamdulillah!” Aku raup muka.
Mr.Dinesh ketawa sambil tepuk-tepuk bahu Tengku Haizal. Aku boleh nampak tulang
pipi Wayar Putus bergerak-gerak. Makin
nak meninggalkan dia, makin berani pula aku menyakitkan hati dia. Seronok juga
menyakitkan hati orang ni. Macam makan coklat! Heheh!
Aku tinggalkan dia dan Mr.Dinesh. Mula mengemas meja
bilik mesyuarat yang bersepah dengan sisa-sisa jamuan. Tak susah pun, siapkan
plastik sampah dan campak semuanya ke dalam. Beres.Natrah pula masih sibuk
mengangkut hadiah-hadiah aku untuk disumbatkan ke dalam bonet kereta.
“Nat, hadiah-hadiah yang kecil boleh letak dalam satu
plastik besar. Senang tak payah kau keluar masuk dua tiga kali.” Aku beri
cadangan pada Nat. Kasihan pula tengok dia.
“Eh, tak apa. Bukan selalu aku tolong kau. Ni kira aku
bayar balik cupcake Kak Maziah. Besok-besok tolong buatkan untuk
aku sekali ya. Aku serius ni tau. Kuzal suka.”
Terkedu aku kejap. Maknanya dia bagi Tengku Haizal makan cupcake aku tu. Huh! Kalau aku tahu Wayar Putus tu
yang makan, aku letak gula satu lori. Biar Natrah kena marah dan dalam masa
yang sama biar Tengku Haizal tu kena
potong kaki sebab kencing manis. Heheh! Dayang, tak baik menganiaya orang. Punyalah
melayan kata hati sampai tak perasan dia
memerhatikan aku dari tadi.
“Menung apa tu? Rasa menyesal nak tinggalkan tempat ni
ke?”
Aku tak balas apa-apa pun. Terus atur langkah ke
pantri untuk ambil kain lap. Dia ikut
aku. Bila nak keluar dari pantri, dia menghadang pintu. Aku pandang dia dan
gerakkan sikit kepala ke kanan. Isyarat supaya dia beralih dari situ. Tapi
Tengku Haizal balas dengan juihan bibirnya yang agak basah.
“Bukan main lagi ya? Buat sujud syukur konon! Nanti balik
saya nak buat solat hajat, nak berdoa
biar hati awak tu tertutup untuk lelaki lain selain dari saya.”
“Soal agama jangan buat main-main Tengku.”
“Siapa pula yang main-main? Hanya itu aje caranya untuk
kunci hati awak. Saya betul-betul suka kat awak. Awak pergilah kerja kat mana
pun. Kalau dah tertulis awak tu saya punya, tetap saya punya tau.”
“Tapi saya tak suka Tengku.” Aku ingatkan dia sekali
lagi.
“Tak suka tak apa. Saya akan usahakan sampai awak suka. Tapi jangan risau, saya
guna cara bersih. Tak berkat kalau guna cara kotor ni, betul tak sayang?”
Tengku Haizal cuba cuit dagu aku. Dan dengan spontannya tangan aku yang
memegang kain lap melibas tangan dia.
“Cara kotor apa ni? Tengku jangan macam-macam! Saya
tumbuk lagi nanti.” Aku pandang dia atas bawah. Sempat juga perhatikan
pekerja-pekerja lain. Buatnya dia kunci pintu pantri ni, habislah aku! Diorang
semua dah balik. Tinggal aku dan Natrah
saja.
“Woi! Awak fikir apa ni? Awak ingat saya nak rogol awak
ya?” jerkah Tengku Haizal tiba-tiba.
Aku ke belakang sikit. Tak berani berdiri dekat sangat
dengan dia.
“Bukan cara itu yang saya maksudkanlah. Maksud saya, saya
guna-gunakan awak ke, sapu minyak dagu ke, minyak pengasih ke, minyak senyonyong
ke, macam-macam lagilah,” kata Tengku Haizal
“Tak ada bezanya pun. Kotor tetap kotor,” bidas aku. Dia
mara ke depan. Aku dah siap pasang kuda-kuda. Kalau dia cuba buat benda yang
pelik memang aku hayun penyepak aku ke muka dia. Tengku Haizal senyum lebar
tengok aku macam itu.
“Benci betul awak pada saya ya?” Tengku Haizal bercekak
pinggang. Aku masih seperti tadi.
“Tepilah! Saya nak cuci tangan ni.”
Dia tolak bahu aku dengan kuat sampai aku terdorong
keluar dari pantri. Kurang asam! Kain lap di tangan aku baling ke arah Tengku
Haizal. Tak mahu lagi menunggu reaksi dia, aku terus capai helmet dan beg
tangan. Menonong aje aku keluar. Tak pedulikan Natrah yang terjerit-jerit
memanggil aku. Aku pasti Natrah akan senang hati bila ditinggalkan berdua-duaan
bersama Tengku Haizal. Lantak dialah! Kau berdua memang sama gatal, sama miang.
Tak sampai 15 minit, aku dah sampai ke rumah. Fuh, memang
aku jadi minah rempit hari ni. Kalau Abang Burn tahu gerenti aku kena bebel.
Menyesal pula melepaskan marah pada Wayar Putus tu dengan cara macam ni. Mujur
selamat sampai ke rumah. Kalau kojol tadi? Tak pasal-pasal mati katak.
Usai mandi aku segera mengambil wuduk. Hati terasa tenang
tatkala niat dibaca dan air menyentuh kulit wajah. Semakin damai tatkala takbir
diangkat dan solat Asar dilaksanakan. Namun ketenangan itu akhirnya diganggu
dengan laungan Natrah di luar rumah. Aku
biarkan dulu. Apa-apahal telekung dan sejadah aku lipat dulu. Kali ini, tak
cukup dengan laungan, diselangi pula dengan bunyi hon kereta Tengku Haizal.
“Kejap, kejap!” Aku juga melaung sambil berjalan perlahan
membuka pintu gelangsar.
Natrah tergesa-gesa
keluar dari kereta. Begitu juga Tengku Haizal. Berkerut-kerut muka Natrah,
seperti sedang menahan sakit. Jalannya agak laju sambil terloncat-loncat
menanggalkan kasut. Dicampak saja kasut tumit tingginya di merata tempat.
“Kau ni kenapa? Macam kena kejar hantu ni?” Aku tanya
dia. Tak perasan pulak yang badan aku sedang menghadang pintu gelangsar
yang hanya separuh terbuka.
“Tepilah! Aku dah nak terkucil ni.” Natrah tolak aku sampai
tersandar di pintu gelangsar. Aku hilang
imbangan. Tak sempat nak berpaut di mana-mana. Sudahnya punggung kecil aku
menyembam lantai bersama daun pintu
gelangsar yang tertolak ke belakang.
“Aduh, kau ni teruklah Nat! Sakit punggung aku tau!”
jerit aku sambil menggosok-gosok punggung yang ngilu.
“Sorrylah!
Memang dah tak tahan sangat ni.” Natrah hilang di sebalik pintu bilik.
Sambil cuba bangun, aku pandang ke pintu pagar. Adoi,
Tengku Haizal nampak aku jatuh tadi. Sampai tertunduk-tunduk dia gelakkan aku.
“Dayang, pergi ambil hadiah-hadiah kau dalam kereta
Tengku. Aku nak mandi terus ni,” laung Natrah dari dalam bilik.
Aku kemam bibir. Dah lah malu kena gelak, sekarang kena
mengadap muka dia pula. Bila sakit di punggung agak kurang, aku bergerak ke
pintu pagar. Tengku Haizal dah buka bonet kereta.
“Sakit lagi ke punggung tu?” tanya Tengku Haizal. Lebar
senyumnya tengok aku cemberut.
“Mana ada sakit. Saya memang sengaja buat tarian ballet tadi.” Aku buat loyar buruk.
Malas nak layan dia berbual. Dia hulur hadiah di dalam bonet. Sengaja dia ambil
kesempatan pegang tangan aku bila aku sambut hadiah tu dari tangan dia. Kali
pertama aku diam, masuk kali kedua aku jeling. Tapi dia senyum sebagai balasan.
“Bila lagilah saya dapat tengok jelingan manja awak tu
ya?”
“Jelingan Natrah lagi manja.”
“Saya bukan nak tengok dia. Saya nak tengok awak.”
“Tapi saya tak nak tengok Tengku. Sebab Tengkulah saya
berhenti kerja.”
Aku nampak perubahan muka Tengku Haizal bila aku cakap macam
tu. Lantaklah! Aku cakap benda yang betul. Tak pandai nak berkias-kias.
“Awak tak sedih ke nak tinggalkan kawan-kawan kat situ?”
Pertanyaan Tengku Haizal aku jawab dengan gelengan.
“Sebenarnya sedih juga. Tapi tak semestinya saya dah
kerja kat tempat lain, saya tak boleh berhubung lagi dengan diorang,” kata aku
pula.
Senyum lebar
terukir di bibirnya. Apa kena dia ni? Kejap masam, kejap senyum. Dah macam
sesumpah pula.
“Maknanya saya masih ada peluang lagi,” kata Tengku
Haizal dengan nada riang.
“Peluang apa?”
“Peluang untuk curi hati awak.”
Spontan mulut aku terherot ke tepi. Macam nak termuntah
dengar dia cakap macam tu. Adoi, bilalah dia ni nak berpijak di bumi yang
nyata?
“Tengku, tolong jangan perasan boleh tak?”
“Mana ada perasan. Tadi awak yang cakap, sedih nak
tinggalkan kawan-kawan lama. Maknanya awak sedih jugalah nak tinggalkan saya.
Betul tak?”
“Saya memang sedih nak tinggalkan kawan-kawan lama. Tapi
saya akan lagi sedih kalau tak tinggalkan Tengku.” Aku senyum sinis. Puasnya
rasa dapat sakitkan hati dia.
“Sampai hati awak cakap macam tu. Sikit pun awak tak
sedih nak tinggalkan saya?” tanya Tengku Haizal.
“Tak sedih langsung! Bersyukur lagi ada. Sebab dah
terlepas dari mulut naga miang!” Aku ketawa sikit. Gelihati dengan gelaran yang
aku sendiri beri pada dia.
Tengku Haizal nampak makin bengang. Hadiah-hadiah yang
masih berada di dalam bonet keretanya di campak saja di tepi pintu pagar. Aku
tak sempat menegah sebab segalanya berlaku terlalu pantas. Sebaik selesai, dia
terus masuk ke dalam kereta dan menghempas pintu sekuat hati. Amboi! Dia memang betul-betul tersinggung ni.
No comments :
Post a Comment