Aku pelik tengok
Natrah. Melihatkan pada gaya, cara berbelanja dan jenama barang yang digunakan
tidak seperti orang baru bekerja. Segalanya nampak mewah. Hari ini ikut dia
berbelanja, semuanya duit dia. Aku cuba fikir positif. Mungkin dia ada
simpanan. Atau gaji di tempat kerja yang lama masih berbaki. Tapi kalau dah
namanya manusia biasa, aku tak boleh lari dari berfikir benda-benda yang
negatif. Dari mana dia dapat duit sebanyak itu?
"Kau beli barang banyak-banyak ni nak sumbat kat mana?
Mana muat nak angkut dengan motor."
Aku pandang Natrah yang tengah mengeluarkan duit. Sempat juga
aku jeling beg duit dia. Mak datuk, tebalnya! Mana dia dapat duit banyak-banyak
ni?
"Aku yang beli, pandailah aku nak bawa macam mana
nanti," kata Natrah.
Memanglah kau pandai bawa. Tapi tuan tanah yang nak
mengangkut barang-barang kau tu aku. Dia ni kalau
buat satu-satu benda memang suka guna kepala lutut.
"Dah siap bayar
nanti call aku tau. Nak pergi toilet jap."Aku tinggalkan dia di situ. Tak larat lagi nak menunggu. Selesai
berurusan di dalam tandas, aku keluar dan tunggu Natrah call. Takkan tak siap lagi? Aku pergi balik ke tempat tadi. Eh, dia
dah tiada di situ. Mana pulak minah ni? Handphone
berbunyi.Ada mesej masuk.
Aku kat TGV
Adoi, nak tengok wayang
pulak ke? Macam-macamlah dia ni. Kalau tak sebab dia minta tolong, dah lama aku
balik. Hayun jugalah kaki ke sana. Dari jauh aku nampak dia tengah berbual
dengan seseorang. Macam kenal saja orang tu. Bukan main lebar lagi senyum
Natrah. Digamitnya aku supaya segera menghampiri.Sekali teman berbual dia tu menoleh ke belakang. La, bila pula dia
sampai ni? Ini tak mungkin kebetulan. Mesti Natrah yang call dia. Buat biasa sajalah. Dia pun ada hak nak berjalan-jalan
kan?
"Tengku pun
ada?Bila sampai?" Sekadar nak berbasa-basi aje.Jangan nanti dia kata aku
sombong pulak.
"Dia dah ikut kita
dari tadi rupanya Dayang. Nakal betul Ku Zal ni,I like!" Natrah ketawa mengekek. Telunjuk runcingnya menolak
lembut bahu Tengku Haizal.
Aduh, menggedik pulak
minah speaking ni! Yang sorang ni,
pandang aku atas bawah apahal? Macam tak pernah tengok orang perempuan pakai
topi ke? Natrah hulur tiket pada aku dan
Tengku Haizal.
“Masuk dulu. Aku nak
beli popcorn jap. Ku Zal nak apa-apa tak?” Natrah memaut
bahu Tengku Haizal.
“Beli ajelah apa-apa,”
jawab Tengku Haizal sambil menurunkan tangan Natrah. Suaranya juga agak kasar.
"Nak tengok wayang
ke?" Aku tanya Tengku Haizal. Dari muka garang boleh bertukar pula jadi
nakal.
"Taklah, nak buat
wayang kat dalam tu, boleh?"Tengku Haizal jawab sambil gigit hujung bibir.
Choi! Seram aku. Aku
pandang sekeliling mencari sesuatu.
“Awak cari apa?” tanya
Tengku Haizal.
“Mana Natrah simpan
barang-barang yang dia beli tadi?” Troli yang penuh dengan barang-barang
keperluan Natrah tak kelihatan. Mana
perginya?
“Dia simpan di tempat
letak barang. Nanti tumpang kereta saya. Mana nak muat kalau letak dalam bonet
motor awak tu,” perli Tengku Haizal.
“Oh, patutlah!” Aku
senyum lebar sambil terangguk-angguk.
“Apa yang patut?”
“Patutlah sakan sangat
Natrah shopping. Dia dah plan
awal-awal nak balik dengan buah hati
rupanya.” Aku pula perli dia. Tengku Haizal tarik tangan aku.
“Jom masuk!”
Aku cuba lepaskan
pegangan tangan Tengku Haizal. Tapi tak terlawan dengan tenaga lelakinya.
Semasa nak mencari tempat duduk, barulah dia lepaskan pegangan.
“Masuk dulu,” katanya. Dia
bagi ruang untuk aku pergi ke tempat duduk. Tapi aku masih tegak di sebelahnya.
“Tu kan tempat Tengku.
Tengkulah masuk dulu. Kita ikut nombor tiket masing-masinglah.”
“Masuk ajelah.” Tengku
Haizal tarik tangan aku sekali lagi. Nak tak nak kena duduk juga di tempat dia.
Dia menyusul di belakang.
“Dayang, saya tak sukalah
tengok awak pakai topi. Macam jantan. Tak sesuai,” tegur Tengku Haizal.
“Eh, apahal pulak?
Memang macam ni cara pemakaian saya. Tengku salah tegur orang ni. Patutnya
Tengku tegur buah hati Tengku tu. Baju yang dia pakai tu sama saiz dengan baju
anak buah saya tau.” Aku cakap perlahan. Bimbang pula kalau Natrah terdengar.
“Natrah bukan buah hati
sayalah. Berapa kali nak cakap? Saya tegur tu untuk kebaikan awak juga. Tak
baik tau kalau perempuan menyerupai lelaki.”
Aku pandang dia.
Menyesal pula ikut cakap Natrah nak tengok wayang. Kalau aku tahu dia nak dating dengan Tengku Haizal, baik aku
balik dulu saja tadi.
“Kenapa pandang macam
tu? Marah?” sambung dia lagi. Aku tak boleh balas sebab Natrah dah masuk dengan
sebekas besar popcorn di tangan. Aku tahan gelak. Tukang Haizal jadi
tukang pegang bekas popcorn di
tengah-tengah. Tayangan gambar pun bermula. Keadaan sekeliling sudah gelap.
Setengah jam
menonton, aku dah menggigil kesejukan.
Kaki dah mula bersila di atas kerusi. Itulah untungnya berbadan kenit ni.
Heheh! Mujur pakai baju lengan panjang. Kurang sejuk sikit. Tayangan gambar
baru separuh jalan, tiba-tiba Tengku Haizal buat perangai. Sengaja dia
mendekatkan badannya pada aku. Seboleh-boleh dia nak bergesel lengan. Aku tolak
bahunya dan cuba mencari matanya dalam samar cahaya.
"Duduk diam-diam
boleh tak Tengku?Jangan macam budak baru lepas bersunat!" Aku marah dia.
"Saya tak sukalah
duduk sebelah Natrah ni.Kita tukar tempat duduk nak tak?" pinta Tengku
Haizal dengan suara separuh berbisik.
Aku pandang muka dia.
Lepas tu aku pandang Natrah.Baru perasan tangan Natrah tengah landing atas peha dia. Aku senyum sinis.
"Oklah tu.Tengku
kan memang suka spesis macam tu." Aku perli dia.
"Spesis macam mana
pulak?"
"Spesis suka
meraba-raba. Macam Tengku juga kan?"
"Saya tak suka
dia. Saya suka kat awak. Takkan itu pun tak faham lagi?Awak ni spesis bengap ke
bongok?"
Nyaris tercetus tawa
aku. Kelakar pula tengok muka dia yang tengah bengang. Boleh nampak beberapa
kali dia mengalihkan tangan Natrah. Tapi kalau dah memang jenis tak faham
bahasa, Natrah buat lagi. Tak cukup dengan itu. Siap terlentok kepala di bahu
Tengku Haizal. Lagaknya betul-betul macam orang tengah mabuk bercinta.
“Awak nak pergi mana
ni?” Dia sempat tarik hujung baju aku bila nampak aku bangun. Aku tunduk
sedikit nak bagi dia dengar suara aku dengan jelas.
“Nak pergi tandas,”
kataku.
“Nak ikut. Saya
temankan awak ya.” Tengku Haizal dah
mula nak bangun. Aku sempat tahan dia.
“Tak payahlah Tengku.
Temankan Natrah. Dia takut duduk dalam gelap tu. Saya pergi sekejap aje.”
Aku segera keluar
walaupun Tengku Haizal masih cuba menahan. Huh, padan muka. nak bagi aku
cemburu konon! Tapi sudahnya dia sendiri yang terperangkap dengan Natrah. Aku
tak tunggu lama lagi di situ. Terus pergi ke tempat parking motor. Start enjin dan terus menghala ke jalan balik.
Sampai di rumah, dah
disambut oleh Abang Burn. Hujung minggu macam ni dia memang suka basuh kereta.
Bella dan Benji pun menolong. Main air aje yang lebih sebenarnya. Aku parking motor di luar rumah. Bimbang
anak-anak buah bermain, takut terkena ekzos panas.
“Tadi kau keluar dengan
Natrah kan? Mana dia?” tanya Abang Burn.
“Kejap lagi dia
sampailah tu.” Aku jawab acuh tak acuh.
“Dia balik dengan
siapa?” tanya Abang Burn lagi.
Hon kereta berbunyi di
luar rumah. Aik, cepatnya diorang sampai. Abang Burn dan anak-anaknya menjenguk
keluar. Aku? Terus masuk dalam. Nak terkucil. Tak perasan pula Natrah dah
keluar dari kereta dengan muka masam. Keluar aje dari bilik air, Natrah dah
tunggu aku sambil bercekak pinggang.
“Kenapa kau balik tak
beritahu aku?” tanya Natrah.
“Aku ingat dah sampai
rumah nanti baru nak call kau. Tapi kau dah sampai dulu,” jawab aku
selamba. Selama ni aku saja yang bengang dengan dia kan. Kali ni bagi dia pula
rasa bengang dengan aku.
“Kau tahu tak? Cerita
belum habis lagi Ku Zal dah ajak balik. Semua kau punya pasal.Dia risau kau
hilang.”
“Nak risau apa? Aku
bukannya budak-budak lagi. Lagipun nanti sudahnya aku balik sorang-sorang juga
kan?” Aku saja tambah minyak, bagi dia berapi lagi. Dalam hati macam nak lompat
bintang. Seronok tengok muka Natrah macam kena langgar dengan lori cuka.
Malas nak lawan
bertekak dengan dia, aku keluar dari bilik. Kononnya nak membasahkan tekak di
dapur, tapi langkah terhenti tatkala mendengar suara orang berbual-bual di
ruang tamu. Buat lencongan sekejap. Nak tengok siapa di sana.
“Dayang, tolong
tengokkan air akak jerang kat dapur. Kalau dah masak tolong buat air ya.
Keluarkanlah apa-apa yang ada kat dapur tu,” suruh Kak Maziah.
“Siapa datang kak?” Aku
tanya dia sebab berkesempatan nak ke depan.
“Tengku Haizal.”
“Ha? Kan dia hantar
Natrah tadi. Bukan ke dia dah balik tadi?” Memang terperanjat betullah aku.
Macam mana dia boleh lepas masuk pula ni?
“Abang Burn ajak masuk.
Tadi bersembang kat luar aje. Dah melarat ke dalam rumah pulak.” Kak Maziah
menjawab acuh tak acuh. Dia sedang memakaikan baju Bella dan Benji.
Cerek yang ditenggek di
atas dapur berbunyi. Selepas tutup api dapur aku menung kejap. Lepas tu aku
senyum lebar. Tiba-tiba rasa nak mendajalkan Natrah. Aku berjalan laju masuk ke
bilik.
“Nak pergi mana tu? Air
dah buat?” Kak Maziah mematikan langkah aku.
“Nak suruh buah hati
Tengku Haizal buat air.” Aku senyum nakal. Kak Maziah pun sama. Empat jari
digenggam, ibu jarinya ditegakkan.
“Bagus, bagus! Bila
lagi nak suruh dia ke dapur kan?”
Makin suka aku bila
dapat sokongan dari Kak Maziah. Aku tolak daun pintu. Natrah baru selesai
memunggah barang-barang di dalam kereta Tengku Haizal. Berpeluh-peluh muka dia.
Punyalah banyak barang dia beli. Stok makanan segera pun ada. Bagus! Lepas ni
dah tak ada alasan dia nak bedal kek aku.
“Nat, pergi buat air
Tengku.” Aku duduk di birai katil. Natrah pandang aku sambil kesat peluh dengan
belakang telapak tangan.
“Kenapa aku pula yang
kena buat? Kak Maziah kan ada,” ujar Natrah.
“Dia sibuk dengan anak-anak dia.”
“Kau?” Natrah nak lepas
tangan lagi.
“Eh kau ni, Ku Zal tu
kan buah hati kau. Bila lagi nak bagi dia merasa air tangan kau?” Aku lembutkan
suara dan maniskan muka. Natrah dah mula
senyum simpul. Eleh, malu konon! Rasa macam nak sepak aje punggung dia.
“Yelah, yelah! Aku
basuh muka kejap. Nanti aku buatkan air dia.”
Natrah bingkas ke bilik air. Aku pula cepat-cepat keluar dari bilik. Kak
Maziah dah tunggu di dapur. Muka dia nampak teruja.
“Dia nak tak?” tanya
Kak Maziah. Aku angguk laju.
“Bagus, Abang Burn
punya akak dah buatkan. Biar dia buat Tengku Haizal punya. Ada karipap akak
beli tadi. Nanti suruh dia hidangkan sekali. Guna gula yang dalam balang hijau
tau,” arah Kak Maziah.
“Balang hijau? Balang
hijau ni kan…”
“Shhh, diam-diam
sudah.” Kak Maziah tepuk perlahan bahu aku. Kami tahan gelak. Habislah kau
Natrah.
“Mana teko?” Natrah dah
masuk dapur. Nampak tak sabar nak sediakan air untuk buah hati tersayang. Kak
Maziah tinggalkan aku berdua dengan dia di dapur. Aku siapkan dulang dan susun
cawan. Dengan penuh keyakinan Natrah bancuh air. Siap seteko, dia terus letak
dalam dulang.
“Tak payah rasa dulu
ke?” Sengaja aku nak uji dia.
“Tak payah. Setakat
buat air, pejam mata ajelah,” jawab Natrah. Dia tatang dulang dan bawa ke ruang
tamu. Aku ikut dia. Bukan main sopan lagi dia menyusun cawan dan menuangkan air
untuk Tengku Haizal. Aku ambil tempat di sebelah Kak Maziah.
“Jemput minum Ku Zal.”
Natrah menyuakan cawan pada Tengku Haizal. Aku dan Kak Maziah dah menyimpul
senyum. Menunggu masa Tengku Haizal menelan teh o buatan Natrah. Natrah masih
berlutut di karpet, mengadap buah hatinya. Aku pegang peha Kak Maziah. Teruja
campur takut. Aku nampak halkum Tengku Haizal bergerak-gerak. Dan…
Burrr…
Natrah menutup mata.
Perlahan-lahan tangan dia menyapu muka yang basah. Tapi dia masih berlagak
biasa.
“Ku Zal ni, air tu kan
panas. Minumlah perlahan-lahan.” Natrah capai tisu dan mengeringkan muka yang
basah.
“Kenapa?” tanya Abang
Burn.
“Tak ada apa-apa bang.
Air ni panas sikit. Ambilkan saya air sejuk boleh tak?” pinta Tengku Haizal.
Kak Maziah bingkas
bangun. Natrah masih tidak berganjak dari situ. Menghulurkan pinggan berisi
karipap pula. Kali ni jelas nampak kerutan di muka Tengku Haizal. Dia pandang
aku. Macam nak minta tolong aje muka dia.
“Makanlah Tengku, ini
karipap frozen. Saya yang goreng
tadi,” kata Natrah tanpa malu.
Kali ni aku pula
bangun. Senak perut aku menahan gelak. Aku cari Kak Maziah. Dia sedang menukar
balang di dapur.
“Akak buat apa tu?”
“Akak tukar penutup
balang ni dengan yang satu lagi. Biar bengong si Natrah tu fikir kenapa air
Tengku tu masin!”
Terhambur juga akhirnya
gelak kami berdua.
“Dayang buat apa kat
dapur ni. Pergilah duduk depan,” suruh Kak Maziah sambil menuang air sejuk di
dalam gelas.
Aku ceritakan perihal
kuih karipap pula pada Kak Maziah. Tepuk dahi kakak ipar aku tu.
“Dayang hantar air ni
pada Tengku. Tak kuasa akak nak tengok muka poyo Natrah tu.” Kak Maziah
mengiringi aku sampai ke pintu dapur, tapi kemudiannya dia melencong masuk ke
bilik.
Sampai di ruang tamu.
Aku tengok Tengku Haizal terbatuk-batuk. Kelam-kabut Natrah mengambil gelas di
tangan aku.
“Kenapa ni?” Aku tanya
Natrah tapi pandang Abang Burn.
“Karipap ni pedas. Ku
Zal tak boleh makan. Kau beli kat mana karipap ni?” Natrah bertanya dengan nada
tinggi.
“Beli? Tadi kata goreng
sendiri?” Tengku Haizal bertanya selepas habis segelas air sejuk diteguk.
“Eh, memang goreng
sendiri. Tapi..” Natrah tak dapat menghabiskan ayat. Dia pandang aku mohon
pertolongan. Aku pandang ke arah lain.
“Takpelah bang. Saya
balik dulu. Dah lewat ni.” Tengku Haizal bangun. Dikerlingnya aku. Aku cuma
mengangkat kening. Natrah mahu menghantar Ku Zal hingga ke pintu pagar tapi
ditegah oleh Abang Burn.
Natrah menghentak-hentak
kaki tanda protes. Aku senyum aje. Sempat lagi aku buli dia untuk kali kedua.
“Nat, kau tolong angkat
cawan-cawan tu ya. Aku nak mandi kejap.” Aku tinggalkan dia dan terus pergi ke
bilik.
Berdentang-denting
bunyi cawan-cawan dibasuh oleh Natrah di dapur. Aku buka daun pintu, nak
meninjau dia. Aku nampak Natrah memasukkan hujung jarinya ke dalam balang di
tepi sinki. Aku keluar nak mengkepohkan diri.
“Kenapa Nat?” Aku tanya
dia.
“Ku Zal kata air yang
aku buat tu masin. Tapi aku rasa gula ni manis. Lidah aku yang tak betul ke dia
yang buta rasa?” Natrah menyoal diri sendiri.
“Lidah tu pun pandai
menipu, macam tuan dia juga. Entah betul entah tidak kau letak gula.
Jangan-jangan kau letak garam.”
Kak Maziah tiba-tiba
muncul. Natrah tutup semula balang gula yang dipegang. Dia memang tak berani
melawan cakap Kak Maziah. Berdentum pintu bilik ditutupnya. Aku dan Kak Maziah
tersenyum lebar. Puas hati aku.
No comments :
Post a Comment