Jumlah pengunjung setakat ini .

Google+ Followers

Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

November 14, 2013

GURAUAN ASMARA BAB 8

         “Dayang, kek  yang kau buat semalam sedaplah. Nanti kau buatkan untuk aku sekali boleh tak?”
            Tangannya yang sedang melipat selimut terhenti sambil menunggu jawapan aku. Hari ni aku paksa Natrah kemas dulu katil sebelum dia mandi. Aku tak nak jadi bibik dia lagi.
            “Kalau ada tempahan dari pelanggan-pelanggan Kak Maziah, aku buatlah. Kalau tak ada, setakat nak buat dua tiga biji tak pulang modal.”
            Harap-harap dia faham bahasa kiasan aku. Takkan nak minta dengan air liur saja. Semuanya melibatkan modal. Barang-barang bukannya murah sekarang.
            “Kau ni, dengan aku pun nak berkira. Alang-alang kau dah buat untuk kakak ipar kau tu, kau buatlah lebih.”
            “Haah, lepas tu kau tukang menghabiskan. Yang semalam tu, aku tak minta kau bayar dah cukup bagus tau. Lain kali kalau nak, cakap. Jangan main rembat aje. Lagi satu, aku tak suka kau guna barang-barang aku.” Aku dah nak mulakan sesi kuliah pagi pada Natrah. Waktu inilah yang paling sesuai kalau aku nak sekolahkan dia.
            “Bila masa pula aku guna barang-barang kau? Aku pinjam ajelah,” jawab Natrah. Dia dah capai tuala yang tersangkut di tepi tingkap. Sebelum dia melarikan diri ke bilik air, aku dah berdiri dulu di depan pintu. Aku mesti basuh kepala dia cukup-cukup hari ni.
            “Nat, kau kena minta izin dulu kalau kau nak pinjam barang orang. Bukan dengan aku aje. Dengan orang lain pun sama. Takkan benda macam ni aku nak kena cakap. Kalau kau nak orang hormatkan kau, kau kena belajar hormat orang lain juga.” Aku peluk tubuh. Menahan rasa geram melihat riak wajah Natrah yang terlalu tenang.
            “Ala, Dayang. Hal kecil tak payahlah nak dibesar-besarkan. Bukannya hilang pun barang yang aku pinjam tu kan?” Natrah dah mula  menanggalkan seluar tidur. Dibalutnya tuala mandi di pinggang. Tangannya sedang menanggal butang baju tidurnya yang pertama.
            Laju aku pergi padanya. Meter kemarahan aku mencanak naik dengan perangai selamba dia. Aku pegang kuat-kuat tangan Natrah. Aku tarik dia ke pintu bilik air.
            “Aku dah cakap semalam kan,  tukar baju dalam bilik air.”
            Natrah rentap tangannya. Matanya bulat memandang aku. Aku tentang tanpa gentar. Ini bilik aku, rumah aku. Kalau dia tak suka dia boleh keluar. Gara-gara dia, aku dibebelkan oleh Abang Bakar malam tadi. Buka radio sekuat-kuat tidak  sewaktu azan Maghrib berkumandang.
            “Kau janganlah berkira sangat dengan aku Dayang. Aku dah terbiasa macam ni. Makan masa sikit kalau nak ubah,” jawab Natrah. Ton suaranya  kedengaran rendah.
            “Kalau kau masih nak menumpang  kat sini, buat cara menumpang. Ikut peraturan rumah ni. Aku tak suka kau sentuh barang-barang dalam rumah ni sesuka hati kau. Walaupun barang-barang dalam bilik ni. Satu lagi,  cupcake  yang kau makan semalam tu bukan percuma. Kalau kau nak. kau kena bayar. Faham?”
            Aku hela nafas sekuat tenaga. Puas hati aku. Kalau dia tersinggung atau merajuk dengan kata-kata aku pun aku tak kisah. Hati aku lebih tenang kalau dia nak keluar dari rumah ni lebih cepat. Lepas ‘sekolahkan’ Natrah, aku terus keluar dari bilik.
            Tak ada sesiapa di dapur. Mungkin Kak Maziah belum selesai bersiap. Aku pegang cerek di atas dapur dengan hujung jari. Panas. Maknanya Kak Maziah dah bangun. Cuma belum sempat nak membancuh  air. Aku capai teko, bancuh air dan bakar beberapa keping roti. Sarapan yang paling mudah dan ringkas. Memandangkan aku kena pergi kerja hari ini, tak sempatlah nak tolong lebih-lebih.
            “Apa bising-bisng dalam bilik tadi Dayang.”
            Aku pandang Kak Maziah yang baru masuk ke dapur dengan botol-botol susu Bella dan Benji.
            “Saya ‘basuh’ kepala dia kak,” jawab aku perlahan.
            Kak Maziah diam saja. Tak sempat nak komen apa-apa sebab kami berdua terdengar bunyi hon kereta di luar. Tengku Haizal dah sampai. Tak lama kemudian aku tengok Natrah keluar dari bilik. Tanpa pamitan dia terus keluar. Aku dan Kak Maziah berpandangan.
            “Macam tak memberi kesan pun Dayang,” kata Kak Maziah.
            Aku mengeluh perlahan. Aku malu dengan Kak Maziah dan Abang Burn. Gara-gara Natrah aku terpaksa tadah telinga mendengar sindiran  mereka berdua. Apa cara lagi aku nak buat? Nak halau sesuka hati macam tak sanggup pula rasanya.
            “Dayang pergi dululah kak.” Aku salam tangan Kak Maziah.
            “Eh, awalnya pergi kerja hari ni. Dayang masih kerja  kat tempat lama ke?” tanya Kak Maziah. Matanya tidak lepas memerhatikan memakai stokin.
            “Hmm, nak pergi isi minyak motor  dan angin tayar dulu. Masih kat tempat lama. Kena ajar Natrah tu. Lagipun dalam perjanjian, 2 hari lagi baru cukup dua minggu.”
            “Dia betul-betul ikut ke perjanjian tu?” Kak Maziah tanya lagi. Aku mengangguk. Tak boleh nak bercakap sebab dalam mulut ada roti bakar.
            “Wah! Dahsyat betul bos kau. Maknanya dia betul-betul sukakan kau tau.” Kak Maziah tersenyum lebar.
            “Hish! Merepeklah akak ni. Sekarang ni dia dah ada mangsa baru. Dia dah tak kisah kalau saya nak berhenti pun.”
            “Siapa?”
            “Natrah,” jawab aku. Enjin motor sudah dihidupkan. Kak Maziah tolong aku bukakan pintu pagar. Muka dia nampak tak puas hati bila aku sebut nama Natrah.
            Aku pulas pedal minyak bila pintu pagar sudah luas terbuka. Hari ni agak lewat sikit aku sampai ke pejabat. Banyak pula motor yang beratur nak isi angin tayar tadi. Isi minyak saja dah dekat setengah jam menunggu. Stesen minyak itu saja yang paling dekat dengan rumah. Kalau nak cari yang lain alamatnya kena tolak motorlah aku.
            “Dayang, kenapa kau lambat?  Cuba kau tengok mesin fotostat ni. Dari tadi tak gerak-gerak.”
            Natrah tarik tangan aku sebaik saja aku membolosi pintu  pejabat. Digesanya aku supaya berjalan  lebih cepat. Aku tengok memo yang tertampal di setiap fail. Patutlah dia kelam kabut. Semuanya nak kena siap sebelum pukul 10.
            “Kenapa tak bergerak pulak? Semalam kan elok lagi.” Aku tanya dia sambil buka baju panas.
            “Manalah aku tau. Kau orang terakhir yang guna semalam kan?” 
            Aku tenung mesin tu. Cuba ingat balik apa yang aku buat semalam.
            “Plug dah on?” Aku tanya Natrah.
            “Nak on kat mana?”
            Laju kepala aku pandang Natrah. Tak tahu nak klasifikasikan soalan tu soalan bodoh atau soalan cepu emas. Aku pandang pula suis yang di tepi mesin. Betul-betul sebelah aku. Adoi Natrah!
            “Patutlah tak bergerak mesin ni.” Aku jeling Natrah. Kepala dah tergeleng-geleng.
            “Kenapa? Rosak ke?” tanya Natrah.
            Aku tekan suis mesin ke bawah. Semua lampu di mesin fotostat menyala. Natrah bersorak riang. Tapi selepas itu dia mengeluh pula.
            “Aku baru ingat nak bersenang-lenang. Tiba-tiba elok pulak mesin fotostat ni,” kata Natrah.
            “Banyaklah kau punya bersenang-lenang. Kalau nak bermalas-malas, berhenti aje kerja. Hari ni aku nak kau belajar kerja-kerja Kak Salmi pulak. Aku tinggal dua hari aje lagi kat sini. Lepas ni semua kerja kau kena buat sorang-sorang.”
            Sambil bercakap, aku simpan helmet bawah meja. Natrah tak membantah. Dia  dah mula bekerja. Bagus. Macam dah ada perubahan sikit. Aku nak ke pantri. Tekak ni macam rindu nak minum air Milo. Di rumah tadi minum Nescafe.
            “Siapa kemas bilik saya?”
            Tengku Haizal berdiri di muka pintu pejabatnya. Mukanya masam. Apahal pula pagi-pagi dah angin ni? Aku duduk semula di kerusi. Tak jadi ke pantri. Pura-pura pandang skrin komputer.
            “Saya tanya, siapa yang kemas bilik saya!” jerit Tengku Haizal. Beberapa orang peguam yang sedang berbual terus terdiam. Masing-masing memandang Tengku Haizal tanpa suara.
            “Saya yang kemas bilik Tengku pagi tadi?” Natrah menjawab. Masih berani lagi dia beri senyuman menggoda pada Tengku Haizal.
            Alamak, dia datang. Mak oi, garangnya muka dia. Habislah kau Natrah. Tengku Haizal berdiri di sebelah meja. Tak berani aku nak angkat muka. Masih pura-pura tengok skrin.
            “Apa yang awak tenung kat skrin gelap tu. Nampak muka saya ke kat situ?” tegur Tengku Haizal.
            Erk, dia perasanlah. Buat selamba aje Dayang. Dia cakap lebih-lebih nanti kau balik aje. Aku senyum mendengar kata hati sendiri. Ha, silalah membebel. Aku dah bersedia nak blah ni.
            “Tengku tak kisah kalau saya kemas bilik Tengku kan?” Natrah datang mengendeng. Masih tersengih-sengih seperti tadi.
            “Saya kisah. Saya tak suka orang lain kemas bilik saya kecuali dia.”
            Aku tahu siapa yang Tengku  Haizal maksudkan. Tapi kepala ni tetap nak mendongak, nak tengok ke arah siapa yang dia maksudkan. Alamak, dia pandang aku. Aku tunduk balik.
            “Dalam bilik saya tu cuma dia aje yang tahu macam mana nak kemas. Jadi awak jangan nak memandai-mandai ubah. Susah saya nak cari barang. Awak faham tak?” Tengku Haizal membentak Natrah.
            “Fa…faham Tengku. Saya minta maaf. Tapi…”
            “Tapi apa?” Tengku Haizal bercekak pinggang. Nampak sangat dia kurang berkenan dengana Natrah.
            “Tak lama lagi kan Dayang dah berhenti kerja. Siapa nak kemas bilik Tengku nanti,” tanya Natrah. Kedudukannya makin rapat dengan Tengku Haizal.
            “Biarlah dia nak berhenti. Saya boleh kemas sendiri bilik tu bila dia tak ada nanti.”
            “Saya boleh kemaskan untuk Tengku.” Natrah masih tak putus asa.
            “Awak dengar tak  saya cakap tadi?” Tengku Haizal dah menjerit semula.
            “De…dengar Tengku,” terketar-ketar Natrah menjawab.
            Tengku Haizal ketuk meja aku dengan hujung jari telunjuk. Aku pandang dia. Masih masam mencuka.
“Masuk bilik,” arah Tengku Haizal.
            Aku pandang Natrah. Dia masih terperanjat. Aku tepuk-tepuk perlahan bahu dia. Cuba meredakan rasa terkejutnya. Tapi tak semena-mena dia tepis tangan aku.
            “Sukalah tu! Tengku Haizal tu sengaja nak sakitkan hati aku. Sebenarnya, dia suka aku kemas bilik dia. Aku tahu dia sengaja nak bagi aku cemburu. Tengoklah bila kau dah tak ada nanti, mesti dia nak aku manja-manjakan dia.” Natrah mencebik.
            Hek eleh, macamlah aku kebulur sangat dengan Wayar Putus tu. Ambilah kalau kau nak. Malas nak melayan angin syok sendiri Natrah, aku pergi ke bilik Tengku Haizal. Macam biasa, tak masuk ke dalam pun. Aku  tolak daun pintu luas-luas.
            “Masuklah. Tutup pintu tu,” arah Tengku Haizal.
            “Kita masih dalam perjanjian. Lupa ke?”
            “Dayang, boleh tak jangan main-main? Saya serius ni.” Dia keraskan suara. Tapi masih perlahan. Aku senyum sinis.
            “Saya tak pernah main-main dengan apa yang saya cakap. Tengku jangan ajar saya jadi orang munafik. Berdosa kalau suka-suka hati mungkir janji ni.”
            “Awak dah pandai menjawab sekarang kan?”
            “Siapa yang ajar?” Aku  bidas balik.
            Tengku Haizal menyandar kepala di kerusi. Diraupnya muka berulang kali. Dia bangun dan ambil kerusi di hadapan mejanya. Aku keluar dari bilik bila dia bawa kerusi itu ke pintu. Diletaknya kerusi itu di tengah-tengah pintu, kemudian dia duduk semula di tempatnya.
            “Duduk, saya nak bersembang dengan awak. Larat ke berdiri lama-lama?” arah Tengku Haizal bila dia nampak aku menjenguk.
            “Saya ada kerja ni Tengku.” Aku buat alasan. Malas dan tak suka berbual dengan dia.
            “Tak payah nak menipu ya. Kerja-kerja awak semua Natrah dah buat. Kalau ada pun saya tak benarkan awak buat lagi. Serahkan semuanya pada Natrah,” arah Tengku Haizal.
            “Kalau macam tu tak guna saya datang lagi. Saya tak pandai curi tulang. Saya tak nak makan gaji buta. Tak berkat duit yang saya dapat tu nanti.”
            “Awak memang tak pandai curi tulang. Tapi awak pandai curi hati saya.”
            “Cakap sekali lagi Tengku.” Aku suruh dia ulang. Sambil senyum dia ulang.
            “Awak ni pencuri. Pencuri hati saya.” Dia jawab dengan dua-dua tapak tangan dipekap ke dada. Aku terus bangun. Letak balik kerusi di depan meja dia.
            “Nak pergi mana ni? Belum habis sembang lagi,” kata Tengku Haizal.
            “Nak balik.” Aku buat muka masam. Tak tersentuh langsung dengan kata-kata dia tadi. Meluat adalah.
            “Ala, awak ni. Gurau sikit pun tak boleh. Besok hari terakhir awak kat sini kan? Bagilah peluang saya bergurau senda dengan awak.” Tengku Haizal gelak. Gila! Sendiri buat lawak, sendiri ketawa.
            Aku dah berjalan keluar. Tak perasan yang dia ikut dari belakang. Sampai di pintu dia panggil lagi. Nyaris tak terpeluk dia bila aku menoleh ke belakang. Tapi spontan saja tangan aku menolak badan  Tengku Haizal.
            “Aduh!” Tengku Haizal jatuh terduduk di atas karpet.
            “Eh, maaf. Saya tak sengaja. Kan saya dah kata jangan dekat dengan saya. Nasib baik saya tak sepak tadi.” Aku membebel sambil tolong dia bangun dan duduk di sofa. Lepas tu aku berdiri jauh-jauh semula.
            “Badan aje kecik. Tapi tulang keras macam sauh kapal!”
            Aku tahan gelak dengar perumpamaan Tengku Haizal.
            “Kat sekolah mana Tengku belajar perumpamaan tu? Pelik sangat bunyinya.” Aku dah tak mampu kawal. Terlambak juga gelak aku akhirnya. Masa aku tengah melayan gelak, Tengku Haizal keluarkan telefon dari poket. Dihalakan telefon itu ke arah aku. Tawa aku beransur kendur.
            “Tengku buat apa ni?” Aku tanya dia.
            “Saya nak record  video awak ketawa. Kalau saya rindu kat awak, saya boleh tengok video ni,” jawab Tengku Haizal. Tangannya masih menghalakan telefon ke arah aku.
            Aku diam. Tiba-tiba hilang tenaga nak menegah dia buat macam tu. Kenapalah dia ni tak faham-faham yang aku ni tak berkenan dengan dia? Sebelum dia makin merapu baik aku buat kerja. Laju aku berjalan semula ke meja. Baru nak duduk, Natrah gamit aku. Mohon pertolongan untuk binding  fail. Tak banyak cakap,aku terus  buat apa-apa yang patut.  Sewaktu sedang sibuk membantu Natrah, Tengku Haizal melintas di depan meja. Natrah tak sempat menyapa kerana langkah Tengku Haizal agak laju keluar dari pejabat. Dah terlambatlah tu. Aku tengok jam di dinding. Pukul 9.30, patutlah pun!
            “Eh, Dayang. Tadi Tengku Haizal panggil kau apahal eh? Dia marah kau ya.” Natrah  buat  muka kepoh sambil menyusun fail-fail yang sudah siap binding.
            “Taklah. Dia minta aku picitkan kepala dia. Dia pening kepala,” jawabku selamba. Ketap rahang sekuat hati, menahan tawa.
            “Dia suruh kau picit kepala dia? Macam tak percaya aje.” Natrah merendahkan suara. Tapi matanya membuntang pandang aku.
            “Kenapa tak percaya pulak? Sebab itulah dia tak bagi orang lain masuk bilik dia, kecuali aku. Kau kan dengar dia cakap tadi. Tak percaya lagi?”
 Sengaja aku meyakinkan Natrah dengan kata-kata Tengku Haizal. Kadang-kadang, penat juga jadi orang baik kan? Sekali-sekala nak cuba jadi jahat pula. Natrah dah cemberut. Dokumen yang dah siap dihentak-hentak di atas meja. Kemudian dia tinggalkan aku di situ, pergi meletakkan kembali fail-fail di meja para peguam. Aku senyum puas.
Tengahari itu Natrah langsung tak mengajak aku keluar makan bersama. Aku pun tak kisah. Lebih selesa menghabiskan  waktu rehat di pejabat saja. Lebih seronok bila Tengku Haizal tak masuk ke pejabat tengahari itu. Bebaslah sikit aku nak bersembang dengan Puan Linda dan peguam-peguam lain. Kalau dia ada, jangan haraplah. Ada-ada saja yang tak berkenan di matanya. Hari ini Natrah masuk lewat lagi. Keadaannya sama seperti semalam.
“Kau pergi mana ni Natrah? Hari-hari masuk lambat.” Aku ringankan mulut bertanya. Kalau sikap dia berterusan begini aku juga yang susah nanti.
“Aku pergi lunch  dengan kawan. Jalan jem,” jawab Natrah lalu terus menghenyak punggung di kerusi.
“Pergi lunch  sampai basah-basah rambut tu? Kau pergi makan kat dalam akuarium ke?” Aku tanya lagi.
“Hish kau ni. Banyak tanya pulak? Aku bukan sengaja nak masuk lambat. Memang jalan jem tadi,” bentak Natrah. Aku tahu dia tak suka aku tanya hal peribadi dia.
“Nat, aku nak  pesan lagi sekali dengan kau. Kerja betul-betul. Kerja-kerja kau ni dah kira mudah berbanding kerja di tempat lain. Berbaloi sangat dengan gaji yang kau dapat. Jangan malukan aku dan diri sendiri.”
“Yelah! Kau ni macam mak neneklah! Pandailah aku jaga periuk nasi aku. Aku malas sebab kau masih ada di sini. Kau dah tak ada nanti, pandailah aku buat kerja.”
Kata-kata Natrah agak menyinggung perasaan aku. Cara dia bercakap macam nak menghalau. Biarkanlah Dayang. Tinggal sehari saja lagi. Lepas ni carikan dia rumah sewa cepat-cepat. Senang bila dia dah pindah nanti kau dah tak ada kena mengena dengan dia dan Tengku Haizal lagi. Aku senyum kelat mendengar pujukan hati sendiri.   
Petang itu aku keluar lebih awal dari Natrah. Dah tak perlu risau pasal dia sebab Tengku Haizal yang akan hantar dia pulang nanti. Tapi disebabkan dia menumpang di rumah aku, kurang sopan pula rasanya pergi macam tu saja.
“Aku balik dulu Nat. Hari macam nak hujan aje kat luar tu,” kataku sambil menyarung baju panas.
“Baliklah, kau tu naik motor. Susah pulak kalau hujan nati. Aku tunggu Tengku Haizal,” jawab Natrah.
Aku rasa dah masuk kali keempat dia menepek bedak kompak di muka. Tebal mana lagi bedak dia nak letak? Bukannya boleh berubah jadi Nasya Aziz muka tu. Aku sarung helmet, dan terus keluar dari pejabat.  Niat hati nak pergi melawat Kak Salmi, nak tengok ‘orang baru’. Tapi niat itu terpaksa dibatalkan sebab aku tengok rintik-rintik hujan dah mula turun. Sebelum aku tersadai di pejabat, lebih baik aku pecut balik ke rumah dulu.
Nasib menyebelahi aku. Elok-elok sampai saja di depan pintu pagar, hujan mula turun mencurah-curah. Kebetulan, Abang Burn pun baru sampai.  Aku tarik nafas lega. Ada juga orang yang boleh menemankan aku di rumah. Bukannya apa, aku ni penakut sikit. Lebih-lebih lagi dalam keadaan hujan yang siap pakej kilat dan guruh berdentum-dentam ni.
“Natrah mana?”
Itulah soalan pertama Abang Burn tanya aku bila kami masuk ke dalam rumah.
“Katoffice lagi. Dayang keluar awal tadi. Dia balik dengan Tengku Haizal nanti. Dayang masuk dulu eh. Belum solat Asar lagi.”
Aku menjengket kaki yang basah dan berjalan laju meninggalkan Abang Burn di depan pintu gelangsar. Sengaja aku mengelak dari bersoal-jawab tentang Natrah dengan Abang Burn. Masuk saja bilik, aku capai tuala dan masuk ke bilik air. Selesai mandi dan mengangkat wuduk, aku mengerjakan solat Asar. Hujan di luar masih lebat ketika aku selesai mengaminkan doa. Terdengarriuh-rendah suara Bella dan Benji. Pasti Kak Maziah pun sudah pulang dari kerja. Pantas aku lipat telekung dan keluar dari bilik. Kelihatan Abang Burn sedang berbual-bial dengan Kak Maziah di ruang tengah. Aku mengambil tempat di antara anak-anak buah aku. Menyertai mereka sekeluarga menghabiskan waktu petang  sebelum tibanya Maghrib.
“Dayang, Natrah dah dapat rumah sewa ke belum?” tanya Kak Maziah.
Aku kerling Abang Burn. Aku tahu dia juga sedang menanti jawapan yang akan keluar dari mulut aku.
“Belum lagi agaknya. Tapi dia kata dia masih mencari lagi,” jawab aku perlahan.
“Kat hujung simpang sana abang tengok ada rumah kosong. Cuba pergi tengok ada tak tuan rumah tinggalkan nombor telefon di situ.”
Aku berdiri tegak mendengar maklumat yang diberikan oleh Abang Burn. Mujur hujan. Kalau tidak memang sekarang juga aku pergi tengok keadaan rumah tu, dapatkan nombor telefon, tanyakan bayaran sewa danterus suruh Natrah pindah ke sana. Biar hilang terus sakit kepala aku. Aku pandang jam di dinding. Kurang lima minit saja lagi pukul tujuh. Pada waktu begini Natrah masih belum pulang. Aku cuba fikir positif. Mungkin sebab hujan. Di Kuala Lumpur ni walaupun  yang turun hanya gerimis, tetap masih boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Lambatnya Natrah balik.” Abang Burn menegur aku yang sedang menghampiri pintu gelangsar. Aku pandang dia sambil angkat bahu. Aku selak langsir jurai. Memerhatikan keadaan di luar rumah. Hujan masih mencurah turun.
“Dayang, tolong mandikan budak berdua ni. Akak nak siapkan makan malam.”
Bukan main seronok Bella dan Benji bila mamanya minta aku yang mandikan. Kalau dengan aku, merasalah mereka berdua main air lama sikit di bilik mandi. Tapi kalau dengan mamanya, memang tak merasalah jawabnya. Hingga ke saat kami sekeluarga mengadap makan malam, Natrah masih belum menampakkan muka. Aku mula panas punggung. Sekejap keluar, sekejap ke dalam. Telefon bimbit sentiasa di genggaman. Hujan pun sudah lama berhenti.
Perlu tak aku telefon Tengku Haizal untuk bertanyakan mengenai Natrah? Tak sempat aku nak fikir pro dan kontra bagi soalan aku tu, jemari ni dah laju saja mencari nombor Tengku Haizal. Dada mula berdebar ketika menanti  Tengku Haizal menjawab panggilan.
“Hello sayang, apa hal telefon abang malam-malam ni.?”
Aku tergamam sekejap. Inilah benda yang paling aku benci kalau menelefon dia. Mesti dia nak merapu.
“Assalamualaikum.” Aku perli dia dalam baik. Terdengar tawanya di dalam talian. Terkenalah batang hidung tu.
“Waalaikumsalam. Sayang nak apa?”
Suara Tengku Haizal yang lembut dan sengaja dilunakkan itu, membuat telinga aku geli-geleman.
“Tengku, Natrah ada kat situ tak?”
“Eh, buat apa pulak saya simpan dia kat rumah ni? Awak cemburu ya?” tanya Tengku Haizal.
“Mengaku ajelah,” sambung Tengku Haizal bila aku senyap tidak berkutik.
“Tak kuasalah saya nak cemburu. Dia ada tak kat situ? Kenapa Tengku tak hantar dia balik? Tahu tak dah malam ni? Tak eloklah bawa anak dara orang keluar malam-malam.”
“Amboi! Sedapnya awak bebelkan saya. Mana awak tahu Natrah ada kat sini? Tahu tak, petang tadi saya tak balik ke pejabat pun. Dia beritahu saya dia balik dengan kawan.”
“Dengan kawan? Siapa kawan dia?” Aku tanya Tengku Haizal semula.
“Manalah saya tahu! Saya bukan mak dia,” bentak Tengku Haizal di dalam talian
“Cakap elok-elok tak boleh ke? Saya belum pekak lagi tau!” Aku pula jerkah dia.
“Habis tu! Suka-suka aje tuduh saya bawa lari kawan awak. Dari  bawa lari dia, baik saya larikan awak. Bawa pergi Siam, nikah kat sana.”
Sakit hati aku dengar Tengku Haizal gelak. Macam jin! Aku baru nak sambung gaduh dengan dia bila Natrah terjerit-jerit di luar rumah. Minta bukakan pintu. Tanpa pamitan, aku terus matikan talian. Tak kuasa layan Wayar Putus tu. Kunci rumah yang tergantung aku capai. Pintu gelangsar aku tolak seperlahan mungkin. Bimbang Kak Maziah dan Abang  Burn terjaga dari tidur. Mereka sekeluarga memang masuk tidur awal pada hari bekerja.
“Cepatlah buka pintu ni Dayang. Aku dah mengantuk ni,” sungut Natrah. Kasut tumit tingginya sudah terpegang di hujung jari. Panjang leher aku melihat kereta mewah yang baru saja berlalu pergi. Tak sempat nak tengok nombor pendaftaran, Natrah dah menggegar pintu pagar. Cepat-cepat aku buka pintu pagar rumah, bimbang loceng keselamatan berbunyi.
“Mulut kau diam sikit boleh tak? Abang dan kakak ipar aku dah tidurlah!” Aku keraskan suara.
Dia pandang aku sekilas kemudian menonong saja ke pintu masuk. Dicampaknya kasut di tangan. Langkahnya laju masuk ke dalam ke bilik. Cepat-cepat aku kunci pintu pagar dan merapatkan pintu gelangsar. Niat aku cuma satu saja. Aku nak  suruh dia kemas kain baju dan balik ke rumah adiknya.
“Baru balik ke?” tanya Kak Maziah yang kepisatan.
Terbantut langkah aku.  Aku pandang Kak Maziah. Hadiahkan dia dengan senyum kelat.
“Haah kak, baru balik,” jawab aku sambil menjungkit bahu.
“Dah dekat pukul dua belas baru nak balik? Dia merayap ke mana?” Kak Maziah mula buat suara serius.
“Entah, dia kata dia keluar dengan kawan,” jawab aku. Tangan sudah bersedia memegang tombol.
“Ini kalau Abang Burn tahu ni memang masak dia ni.”
Aku telan air liur mendengar kata-kata Kak Maziah.
“Takpe, nanti Dayang cakap dengan dia.”Cepat-cepat aku pulas tombol pintu bilik dan masuk. Dah tak larat nak dengar Kak Maziah membebel. Kali ni biar aku pula yang ceramahkan dia. Tapi semuanya terbantut tatkala melihat Natrah sudah terbaring di atas katil.
“Nat! Tukarlah baju ni kalau ya pun.”
“Ala, jangan kacaulah Dayang. Aku mengantuk betul ni,” kata Natrah dengan mata yang terpejam.
“Tukarlah baju tu kot ya pun.” Aku mencuba lagi.
“Aku mengantuklah!” bentak Natrah.
“Kau balik dengan siapa tadi? Kenapa kau balik lambat?” Aku tak boleh sabar. Hati ni tak boleh sabar nak tahu siapakah yang menghantar dia pulang.
“Aku keluar jalan-jalan dengan Tengku Haizal. Dia tak bagi aku balik awal. Dia kata dia sunyi. Dia nak aku temankan dia. Dia…” Natrah sudah tidak bersuara lagi. Yang kedengaran hanya dengkurannya saja.
Aku menahan geram dan panas hati. Siapa yang menipu sebenarnya ni? Tengku Haizal atau Natrah?




Post a Comment

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.