Jumlah pengunjung setakat ini .

Google+ Followers

Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

November 13, 2013

GURAUAN ASMARA BAB 7

            Aku gosok mata yang masih pisat. Tengok handphone di tepi tilam. Baru pukul  5.30 pagi. Tapi kenapa bilik ni terang-benderang? Aku bangun sikit, jenguk Natrah di atas katil. Dia tak ada di situ. Pandang pula bilik air. Ada cahaya di bawah pintu. Dia tengah buang air agaknya. Aku letak semula kepala di bantal. Tapi lena terganggu lagi. Natrah keluar dari bilik air sambil menyanyi-nyanyi. Amboi, senangnya hati. Apahal pula awal sangat dia bangun? Mentang-mentanglah hari ni nak pergi kerja dengan Tengku Haizal, pandai pula dia bangun awal. Fikir positif Dayang. Dah nak masuk Subuh ni. Mungkin dia nak mengaji dulu sementara menunggu azan.
            Dum!
            Pintu bilik ditutup kuat. Celik terus mata aku. Tengok jam di handphone lagi, 5.45. Natrah dah tak ada dalam bilik. Bersandar kejap di dinding. Menghilangkan kantuk yang masih bersisa. Tiba-tiba teringat pula nak keluarkan cupcake  yang aku buat semalam. Hari ni Kak Maziah nak bawa pergi ke tempat kerja. Siap lipat selimut dan simpan tilam, aku masuk bilik air. Malas nak mandi dulu. Cuma nak gosok gigi dan ambil wuduk. Baru saja nak angkat takbir, Natrah masuk.
            “Kau keluar macam ni?” Terbantut niat aku nak solat. Mata aku membuntang tengok Natrah yang hanya bertuala. Singkat pula tu.
            “Bukannya ada orang kat luar. Aku pergi gosok baju tadi,” jawab Natrah. Dia tarik kerusi di almari solek. Menepek bedak di muka.
            “Kot ya pun nak bermekap, pakailah baju dulu.” Aku tegur dia. Rasa berdosa pula tengok Natrah dalam keadaan macam tu. Malu pun ada.
            “Alah, nanti aku berpeluh. Bilik kau ni panas. Siap mekap nanti aku pakailah baju.”
            Aku kemam bibir dengar jawapan Natrah. Memang tak makan diajar dia ni. Aku berdiri tegak semula mengadap kiblat. Tapi lepas tu aku pusing balik.
            “Dah solat?”
            “Telekung tak ada.”
            “Boleh pinjam telekung aku.”
            “Tak naklah. Telekung kau kecik. Mana muat.” Natrah mengelak.
            “Nanti aku pinjamkan telekung Kak Maziah.” Aku masih mencuba.
            “Tak payah susah-susahlah Dayang. Nanti aku beli sendiri.” Natrah menyikat rambutnya yang dah hilang warna asli itu.
            Malas nak berbalah lagi. Baik aku solat cepat. Nanti boleh tolong Kak Maziah siapkan sarapan. Pada ketika aku selesai memberi salam, Natrah melintas di depan sejadah. Dia masih bertuala. Tangannya dah memulas tombol pintu.
            “Nak pergi mana tu?” Cepat-cepat aku  tanya dia.
            “Nak pergi  ambil baju yang aku gosok tadi,” jawab Natrah. Wajahnya dah siap disolek. Memang dia cantik. Tapi muka dia tak secantik perangai. Aku lipat sejadah dan terus tanggalkan telekung. Natrah masih tercegat di pintu.
            “Biar aku ambilkan.”
            Keluar saja bilik, Kak Maziah dah ada di dapur. Fuh, nasib baik aku yang keluar. Kalau Natrah yang keluar tadi ada juga yang kena kuliah Subuh nanti. Terus pergi ambil baju dia di ruang tengah, ruang menonton untuk anak-anak buah aku.
            “Dayang.”
            “Woi mak kau!” Aduh, macam nak gugur jantung aku. Bila masa pula Abang Burn baring di sofa tu?
            “Abang Burn ni! Terperanjat Dayang lah!” Aku kutip baju Natrah yang terlepas dari pegangan. Abang Burn bangun sambil meraup muka.
            “Abang Burn tidur kat luar ke malam tadi?”
            “Hmm,” jawab Abang Burn. Matanya masih tertutup. Aku rasa tak sedap hati ni. Abang Burn memang suka tidur di ruang itu kalau dia balik lewat malam. Kerja sebagai technician  di syarikat telekomunikasi menuntut dia bekerja tak tentu masa. Kalau dia balik lewat, Bella dan Benji yang menemankan Kak Maziah. Jadi memang patutlah Abang Burn tidur di situ.
            “Abang nak tegur sikit ni.”
            Ah , sudah! Tadah telinga Dayang. Nampaknya aku  yang kena dengar kuliah Subuh kejap lagi ni. Aku masih tegak berdiri depan Abang Burn. Tangan dah naik lenguh pegang baju Natrah.
            “Kau cakap dengan Natrah, dalam rumah ni ada orang lelaki.” Abang Burn berhenti sekejap. Menguap selebar-lebar tidak. Masih mengantuk lagi agaknya.Lepas tu dia duduk tegak. Tangan dah bersilang di dada.
            “Rumah ni ada orang lelaki. Jangan buat macam rumah bujang. Jaga sikit aurat tu.”
            Zap! Teguran Abang Burn terkena batang hidung. Memang aku tak bertudung tapi aku masih tahu menjaga aurat aku di depan dia. Mesti dia nampak Natrah tadi. Kalau tidak, tak mungkin dia nak sound  aku.
            “Yelah. Nanti Dayang cakap dengan dia.”
            Malas nak panjang cerita. Aku dah buka langkah. Tapi dia panggil lagi.
            “Bila dia nak cari rumah sewa? Abang dah mula tak berkenan dengan perangai dia ni. Kak Maziah kau pun dah bersungut tu,” tanya Abang Burn.
            “Dia tengah mencari lagi. Macam ni lah, nanti Dayang suruh dia balik aje rumah adik dia. Dayang cakap aje nanti kat dia yang Abang Burn tak suka dia.” Spontan saja idea nak menghalau Natrah menjelma. Aku pun sebenarnya dah mula nak sakit jiwa ni.
            “Cakap elok-elok dengan dia. Takut nanti dia cakap kita menyombong pula. Abang tak kisah dengan siapa pun Dayang nak berkawan. Tapi dengan dia ni abang kurang berkenan sikit,” sambung Abang Burn.
            Aku mengangguk, terus berjalan menuju ke bilik. Belum sempat nak pulas tombol, Kak Maziah pula panggil.
            “Dayang, kau dah keluarkan cupcake?”
            “Belum. Dayang hantar baju Natrah ni kejap. Nanti Dayang buat.” Aku jawab cepat.
            “Aik, pelik aku,” sungut Kak Maziah.
            Dia membantutkan kaki aku untuk melangkah masuk ke bilik. Aku pandang Kak Maziah yang sedang menggaru kepala.
            “Kenapa kak?” Aku tanya, tapi masih tak berganjak dari depan pintu bilik.
            “Ni, bekasnya tak cukup satu. Ada buat extra tak?” tanya Kak Maziah.
            “Ada, Dayang letak kat sebelah bawah. Tunggu kejaplah kak. Dayang hantar baju dulu.”
            Cepat-cepat aku masuk dalam bilik. Ya Rabbi! Natrah ni memang buat  mood aku macam sesumpah tau.
            “Kau ni dah tak ada baju ke Natrah? Bertuala aje dari tadi?” Suara aku tinggi sikit. Sakit mata tengok dia bergolek-golek atas katil sambil mengerjakan laptop aku. Ini satu hal lagi. Suka hati dia saja usik harta benda aku.
            “Aku tunggu kaulah. Lambat sangat ambil baju aku. Sementara menunggu tu aku buka laptop  dulu. Cuba cari rumah sewa di mudah.my,” jawab Natrah tanpa rasa bersalah.
            Aku campak baju dia atas katil. Punyalah dia menjerit, sampai terlompat turun dari katil. Takut sangatlah baju tak cukup kain dia tu berkedut. Mujur tak terlucut tuala di badan. Baik aku keluar sebelum dia berbogel depan aku. Eh, lupa pula nak sampaikan pesanan Abang Burn.
            “Natrah, lain kali jangan keluar macam ni. Abang aku bising tadi.”
            Eh, dia gelak pula. Dia ingat aku cakap main-main ke?
            “Sorrylah,aku tak perasan abang kau tidur kat situ,” kata Natrah.
            “Bukan masalah tak perasan. Aku pun tak pernah berkemban depan dia tau.”
            “Kau tak pernah berkemban depan dia sebab badan kau tu tak cantik. Macam ayam serama!” Natrah ketawa mengekek.
            Ada juga aku halau dia keluar ni nanti. Muka dah kembang ni. Hidung macam dah nak keluar asap. Aku pandang dia dengan muka masam. Tawa Natrah mula reda.
            “Ok, ok. Aku gurau ajelah. Lain kali aku selubung habis badan aku sebelum keluar dari bilik ya.” Natrah cuba memujuk.
            “Dayang!”
            Kak Maziah dah menjerit di dapur. Tak sempat pula nak  sekolahkan Natrah. Sebelum keluar dari bilik, sempat lagi aku pesan pada Natrah supaya kemas  tempat dia tidur. Takkan hari-hari nak aku kemaskan. Banyak cantik muka dia! Tapi memang dia cantik. Huh, cantiklah sangat!
            “Dayang, akak dah ambil cupcake  yang lain tau. Satu bekas cupcake  tak cukup,” kata Kak Maziah.
            “Tak cukup? Macam mana boleh tak cukup? Dayang dah packing ikut senarai yang akak buat tu.” Aku menjawab balik. Memang sebelum ni pun aku tak pernah salah packing. Lepas tu memang dah jadi kebiasaan aku buat lebih sikit cupcake tu. Tukang buat pun nak merasa juga kan? Anak-anak buah aku tu, takkan nak suruh tengok  aje.
            “Takpelah akak dah ganti dengan yang lain,” kata Kak Maziah.
            Mujur ada lebih. Tapi macam mana boleh tak cukup pula? Aku masih pelik lagi ni. Sambil bancuh susu untuk Bella dan Benji, otak aku ligat berfikir. Entah-entah …
            “Dayang aku pergi dulu ya.” Natrah keluar dari bilik. Ada sesuatu di tangannya.
            “Tak nak minum dulu ke?” laung Kak  Maziah.
            “Tak apalah. Nat beli sarapan kat luar aje nanti,” jawab Natrah.
            Aku dah melangkah laju ikut Natrah ke depan. Nak tengok dengan lebih jelas benda di tangannya. Kereta Tengku Haizal  dah ada di depan rumah. Natrah tergesa-gesa mengambil kasut di rak. Aku jadi segan sendiri pula bila Natrah membongkok  sambil menyarung sepatu. Kenyanglah mata Tengku Haizal. Pagi-pagi dah dihidangkan dengan peha gebu Natrah.
            “Natrah, kenapa kau ambil cupcake  tu?” Aku dah nampak  dengan jelas benda di tangan Natrah. Aduh, macam-macam perangailah dia ni.
            “Aku nak makan kat office  nanti. Sorrylah tak sempat nak cakap dengan kau tadi.”
            Adoi mak! Senangnya dia cakap. Terkunci mulut aku nak menjawab. Mata cuma pandang dia melenggang ke kereta Tengku Haizal. Tengku Haizal turunkan cermin kereta. Aku senyum sikit. Tak salah bagi sedekah sikit pada dia pagi-pagi ni.
            “Seronok kerja kat tempat baru?” tanya Tengku Haizal.
            “Bolehlah.” Aku jawab acuh tak acuh.
            “Pergi kerja pukul berapa?” Dia tanya lagi.
            “Pukul 9. Kedai kasut aje, tak payah nak punch card,” jawabku selamba. Masih nak berbohong dengan dia. Aku tak tunggu sampai Natrah masuk dalam kereta. Dia keluar saja dari pintu pagar,aku terus masuk ke dalam. Bila Kak Maziah dan Abang Burn pergi kerja baru aku kunci pintu pagar dan pintu gelangsar. Lepas ni bolehlah aku beronggeng  sendirian dalam rumah.
            Tempat pertama yang aku tuju adalah bilik tidur. Adoi! Untuk kali keduanya aku jadi bibik  dalam bilik sendiri. Dia tak dengar atau buat-buat tak dengar ni? Dalam hati dah terbit rasa tak ikhlas menolong Natrah. Kalau aku tahu perangai dia macam ni memang aku tak benarkan dia menumpang di rumah ni. Alang-alang dah kemas bilik, aku kemas satu rumah terus. Tak rugi pun ringankan kerja Kak Maziah. Hari-hari lain pun memang aku tolong juga dia mengemas. Cuma hari terlebih rajin pula. Habis semua perabot dalam rumah ni aku lap. Mop satu rumah. Kalau rumah ni ada perasaan, pasti dia akan menangis terharu hari ni. Bersih berkilat aku kerjakan. Heheh!
            Okay, semua sudah beres. Sekarang masa untuk lepak depan TV. Nak masak untuk tengahari pun, masih awal lagi. Tak sampai 10 minit berbaring-baring, telefon berbunyi. Berdasarkan nada dering, aku tahu siapa yang telefon. Siapa lagi kalau bukan Wayar Putus tu. Dia ni memang tak pernah bagi aku hidup dengan aman. Aku kan dah tak ada kena mengena dengan dia lagi. Buat apa dia cari aku? Walaupun malas nak  jawab panggilan, terpaksalah aku rajinkan juga. Takut kalau-kalau ada hal lain pula.
            “Kenapa tak datang kerja hari ni?” Tanpa beri salam, dia terus tanya aku. Suara jangan cakaplah. Kasar betul.
            “Saya tengah kerjalah ni.”  Aku menjawab dengan yakin. Tapi aku dengar dia gelak. Apa kena dengan dia ni? Aku diam. Tunggu dia habis gelak.
            “Siap sekarang, saya tunggu awak,” kata Tengku Haizal.
            “Nak pergi mana?”
            “Pergi kerjalah!” Dia tinggikan suara.
            “Saya memang tengah kerja ni Tengku.”
            “Dalam Islam, hukuman untuk penipu ni kerat lidah tau. Awak nak saya kerat lidah awak?
            “Tengku cakap apa ni? Bila masa pulak saya tipu?” Aku dah cuak bila dia sentuh bab-bab agama.
            “Saya tahu awak ada kat rumah. Cepatlah siap! Banyak kerja nak kena buat kat office ni,” arah Tengku Haizal.
            “Saya memang tengah kerja ni Tengku. Jangan ganggu saya boleh tak?” Aku masih nak mengelak. Lantaklah dia nak kata aku penipu pun. Aku tak nak kerja dengan dia lagi.
            “Buat kerja apa kat dalam rumah tu. Melebarkan punggung? Buka pintu tu sekarang.”
            “Hah?”
            “Buka pintu ni!” Tengku Haizal dah menjerit. 
            Aku bangun dan selak sikit langsir di tingkap. Ya Allah! Dia ada di sini. Habislah kalau  jiran-jiran nampak. Aku tarik nafas kejap. Apa aku nak buat dengan Wayar Putus ni? Telefon di tangan aku pekapkan ke dada. Dayang, fikir cepat sebelum dia buat kecoh. Belum sempat otak menjalankan kerja, bunyi hon dah mula memekak di luar rumah. Ah, sudah! Tengku Haizal dah mula. Cepat-cepat aku buka pintu gelangsar dan meluru ke pintu pagar. Aku buat isyarat suruh dia diam. Hon dah senyap. Dia keluar dari kereta dan menupang tangan kiri di bumbung kereta. Siap senyum lagi.
            “Saya dah tak nak kerja dengan Tengku lah!” Aku keraskan suara tapi masih dengan nada yang perlahan.
            “Saya takkan berganjak dari sini selagi awak tak ikut saya pergi office. Natrah tu satu apa pun tak boleh buat. Macam mana awak ajar dia?”  Tengku Haizal buat muka serius.
            “Tengku kan boleh ajar dia. Bukannya susah sangat kerja tu. Sambil ajar boleh menggatal sekali.”
            Seronoknya dapat perli dia. Bergerak-gerak rahang Tengku Haizal. Tersinggung ke? Huh, ada aku kisah? Kalau nak diikutkan, aku lagi tersinggung dengan perangainya.
            “Nak ikut saya ke tak?” Dia tanya lagi. Aku geleng laju. Tangan kirinya dah masuk dalam kereta. Bunyi hon kedengaran lagi.
            “Tengku Haizal!”
            Hon berhenti. Dia angkat kening. Tapi muka tetap serius.
            “Kalau Tengku tak pergi, saya telefon polis.” Aku ugut dia. Tapi dia ni mana makan ugut. Sikit pun dia tak hairan
            “Telefonlah. Nanti saya cakap awak curi fail penting syarikat. Biar diorang geledah rumah awak.” Dia ugut aku balik.
            Okay, aku mengalah. Lagi lama aku melayan dia makin biul kepala aku.
            “Tengku pergi dulu. Nanti saya datang.”
            “Tak nak. Saya nak awak pergi dengan saya.”
            “Kalau saya pergi kerja, maknanya syarat lama tu masih digunakan. Dah lupa ke?”
            Dia pandang aku. Kau ingat aku lupa ke? Wayar aku belum putus tau!
            “Saya takkan bergerak selagi awak tak keluar dari rumah.” Dia masih tak nak beralah.
            “Okay. Tunggulah kat situ.” Aku berjalan masuk ke dalam rumah. Walaupun hati sakit, aku bersiap juga. Telefon berbunyi lagi.
            “Nak apa?” Aku tanya sambil capai kunci motor.
            “Dah siap ke belum?”
            “Dah.”
            “Bagus, saya masih di luar ni,” kata Tengku Haizal. Suaranya kedengaran riang. Mesti dia fikir dia dah berjaya pujuk aku sekereta dengan dia.
            Aku buka pintu pagar dan keluarkan skuter. Aku tahan gelak tengok muka tak puas hati Tengku Haizal.
            “Kenapa tak nak naik dengan saya?” tanya Tengku Haizal. Matanya memerhatikan aku hidupkan enjin motor.
            “Senang saya nak lari kalau Tengku kacau saya di office  nanti. Satu lagi, saya tak nak kacau daun kalau Tengku nak keluar dating  dengan Natrah lepas kerja nanti.” Aku senyum sinis sebelum  pulas pedal minyak dan memecut pergi, tinggalkan dia yang terkial-kial masuk ke dalam kereta.
            Sampai saja di pejabat, Natrah sambut aku dengan muka terperanjat. Aku buat bodoh saja. Letak helmet, buka sweater dan terus ambil fail-fail yang bertimbun atas meja Natrah. Semalam masih lagi meja aku. Tak ada sesiapa di dalam pejabat ketika itu. Hanya Natrah seorang, tengah bergayut di telefon. Aku tak ambil peduli pun. Tapi dia kelam-kabut menamatkan perbualan. Terkedek-kedek dia datang ke mesin fotostat.
            “Kenapa tak siapkan kerja dulu? Kan aku dah cakap  semalam, fail-fail yang peguam-peguam ni bagi kena siapkan sebelum pukul 10? Ni dah tengahari. Bila masa kau nak binding?”
            Kan, dah kena bebel dengan aku. Tapi kalau dah namanya Natrah, jangan haraplah dia nak terasa. Boleh lagi dia tersengih-sengih.
            “Aku lupa macam mana kau ajar semalam. Kau pun satu, ajar aku sekali aje. Manalah aku nak faham,” tempelak Natrah.
            “Natrah, kalau kau betul-betul nak kerja kat sini, kenalah usaha sikit. Manualnya kan ada kat tepi mesin ni.” Aku tepuk tepi mesin  fotostat kuat-kuat. Dalam hati anggap mesin fotostat tu macam pipi Natrah. Baru ingat nak sambung bebel, Tengku Haizal dah masuk.
            Tak semena-mena Natrah tolak aku ke tepi. Buat-buat sibuk buat kerja.  Tapi mata masih mengerling Tengku Haizal. Plastik betul perempuan ni tau!
            “Eh, Tengku dah balik. Nak air?” Natrah menegur dengan suara gedik.
            “Siapkan kerja tu. Kalau tak siap sebelum pukul satu ni  jangan keluar lunch,” balas Tengku Haizal dengan suara mendatar.
            Aku tahan gelak. Padan muka kau. Pandai pun dia mengerjakan mesin fotostat ni. Tadi kata tak pandai. Aku tinggalkan dia di situ. Pergi ke meja Kak Salmi, tengok-tengok kalau ada kerja-kerja dia yang masih belum siap. Dalam tray  KIV ada beberapa borang claim. Aku ambil dan buat apa-apa yang patut.
            “Dayang, jom pergi lunch. Dah laparlah.” Natrah pegang perut, siap dengan kerutan di muka.
            “Kerja kau dah siap ke?” Aku panjangkan leher ke arah mesin fotostat. Timbunan fail-fail tadi belum nampak surutnya.
            “Belum. Ala, benda tu sekejap aje. Kejap lagi aku sambunglah balik. Jomlah!” Natrah dah  bersedia dengan beg duit.
            “Kau lupa ke Tengku Haizal pesan apa tadi?” Aku mengingatkan dia. Telefon bimbit Natrah berbunyi sebelum sempat dia menjawab soalan aku. Suaranya berubah lunak. Adoi, bercakap sambil pintal-pintal hujung rambut. Gediknya! Mesti dia tengah bercakap dengan lelaki. Ber ‘sayang’ bagai. Aku masih pandang dia, dengan niat nak  suruh dia siapkan dulu kerja tadi.
            “Tak apalah Dayang. Kau tak nak lunch  dengan aku kan? Aku keluar soranglah.” Natrah simpan telefon dalam beg tangan dan melangkah laju ke arah pintu.
            “Woi! Habis tu kerja ni siapa nak siapkan?” Aku dah melaung. Terbantut niat nak menahan dia.
            “Kau siapkanlah dulu kalau kau rajin. Balik nanti aku sambung,” jawab Natrah sambil melambai tangan. Langsung tak pandang aku. Kurang asam betul Natrah ni tau. Apa-apa hal aku siapkan claim Puan Linda dan Tuan Syed dulu. Siap claim  mereka berdua aku bergerak ke belakang. Menggeleng aku tengok  fail-fail ni. Apalah nasib kau fail. Dapat pengganti aku yang sangat ‘rajin’.
            Tak sampai sejam habis semua fail aku kerjakan. Sekejap saja sebenarnya kerja ni. Bukannya susah pun. Waktu rehat dah berakhir setengah jam yang lalu. Tapi Natrah masih belum muncul. Hish, dia ni nak kerja ke tidak? Baru kerja dua hari tapi berlagak macam dah kerja dua tahun. Silap-silap hari bulan ada yang kena halau dengan Tengku Haizal ni. Aku bawa semua fail yang dah siap ke meja. Kejap lagi boleh  letak di meja peguam-peguam. Begitulah rutin aku sebelum ni.
            Apa-apa hal nak solat dulu. Aku melangkah ke bilik air yang terletak bersebelahan dengan pantri. Sempat lagi menjenguk bilik Tengku Haizal yang separuh terbuka pintunya. Dia tak ada. Mungkin keluar makan tengahari. Tapi tak perasan pula bila dia keluar. Biarlah dia. Dia bos. Suka hati dialah nak pergi mana pun.
            Selesai mengangkat wuduk aku ke bilik solat. Tapi tak jadi nak masuk sebab Tengku Haizal sedang tahiyat akhir. Berdiri sekejap di muka pintu.  Dia tak perasan aku di situ waktu dia beri salam. Lama pula dia berdoa. Tak sedar pula bibir ni menguntum senyum. Segatal-gatal dia pun masih mengerjakan suruhan yang wajib ni. Salah tak kalau aku gelar dia Alim-alim Miang? Heheh!
            “Lebarnya senyum. Berangan saya imamkan awak ke?”
            Eh, dia tahulah aku tengok dia dari tadi. Cepat-cepat buat muka biasa. Aku tegah dia dari melipat sejadah yang dia gunakan tadi. Aku malas nak gunakan sejadah yang lain. Daun  pintu bilik solat aku buka luas-luas. bagi ruang untuk dia keluar. Tapi dia macam nak sengaja  melengahkan aku. Mula-mula letak songkok kemudian bersikat pula. Punyalah perlahan pergerakan dia. Macamlah aku tak tahu  dia sengaja buat macam tu.
            “Cepatlah Tengku. Saya banyak kerja lagi ni.” Aku gesa dia keluar dari situ.
            “Natrah mana?”
            “Keluar makan.”
            “Dah dekat pukul tiga belum balik lagi?”
            “Entah dia.”
            “Kerja dia dah siap?”
            “Dah.” Uiks, terbohong pula. Lantaklah. Malas nak panjang cerita dengan Tengku Haizal.
            Aku berganjak sedikit dari pintu bilik. Mengelak dari bersentuhan dengan Tengku Haizal. Tapi dia macam sengaja nak melanggar tangan aku. Dah lupa dirilah tu. Tadi nampak alim sangat, sekelip mata saja dah tumbuh tanduk atas kepala?
            “Janganlah Tengku! Saya ada wuduk ni.”  Aku makin menjauh. Dah tersandar di tepi pintu bilik pantri. Tengku Haizal gelak.
            “Awak ni makin lawalah kalau marah.”
            “Tengku jangan langgar perjanjian. Masih ada  tiga hari lagi saya di sini. Jangan nak cari pasal ya.” Aku mengingatkan dia.
            Tengku Haizal terangguk-angguk. Senyum di bibirnya masih tak lekang. Dia mendepangkan tangan dan mempersilakan aku masuk ke bilik solat. Aku nak tutup pintu tapi tangan dan kaki Tengku Haizal dah tersengkang di situ.
            “Saya nak solat ni Tengku.”
            “Solatlah. Siapa pulak kacau.”
            “Saya nak tutup pintu ni.”
            “Awak solat bogel ke pakai telekung?”
            “Pakai telekunglah! Apa Tengku ni?” Suara aku dah tinggi. Pantang aku kalau hal agama dipermain-mainkan.
            “Kalau pakai telekung, apa masalahnya kalau pintu ni terbuka. Saya nak tengok aje. Bukannya nak kacau.” Tengku Haizal dah bersandar di pintu sambil berpeluk tubuh.
            Malas bertegang urat lagi. Aku capai telekung  dan berdiri tegak mengadap kiblat. Sebelum baca niat solat fardu aku toleh ke belakang. Dia masih di situ.
            “Awak lebih cantik bila pakai macam ni. Macam budak sekolah!”
            Makin banyak wayar putus agaknya dalam kepala dia. Dah puji lepas tu kutuk pula. Aku tak menjawab. Berdiri tegak balik mengadap kiblat. Tapi macam tak boleh tumpukan perhatian. Aku toleh belakang semula. Ya Allah! Dia betul-betul nak tengok aku solat ke?
            “Tengku, berdosa besar tau kalau buat orang tak khusyuk masa solat.”
            “Bila masa pulak saya kacau awak? Sembahyang ajelah. Bukannya saya berjoget depan awak,” jawab dia tanpa rasa bersalah.
            Aku ketap bibir. Lantak kaulah! Tarik nafas dalam-dalam. Aku baca niat. Tapi macam tak tenteram lagi. Aku toleh sekali lagi. Eh, dah tak ada? Heheh! Mainan syaitan rupanya. Cepat-cepat aku pergi tutup dan kunci pintu. Lepas ni gerenti tak ada gangguan lagi.
            Cacing dalam perut dah menari zapin. Laparlah tu. Aku tengok jam di tangan. Patutlah, dah pukul 3. Cepat-cepat aku  lipat telekung dan keluar dari bilik. Buat lencongan dulu ke pantri. Nak bancuh  Milo. Buat alas perut. Malas nak keluar makan. Tinggal 2 jam lagi waktu bekerja. Balik makan di rumah saja nanti. Lebih jimat. Mana pergi muk aku ni?
            “Awak cari ni ke?”
            Baru aku perasan ada orang lain di dalam pantri. Meja makan agak tersorok dari pintu masuk. Patutlah aku tak nampak.
            “Kenapa pakai muk saya? Tengku punya kan ada.” Aku hampiri meja. Tapi masih banyak air di dalam bekas minuman aku.
            “Saja nak guna yang awak punya. Buat hilang rindu.”
            Adoi, mana sinki? Aku nak muntah ni! Dia ingat aku cair ke dengan ayat Romeo dia tu? Tolonglah! Aku bukan Natrah. Malas nak bersoal-jawab, aku keluar dari pantri. Langsung tak jadi nak bancuh air.
            “Dayang, kau pergi mana?”
            Suara Natrah mematikan langkah aku. Aku pandang dia yang sedang menyerahkan dokumen  yang aku siapkan tadi pada Puan Linda. Huh, pandai betul dia berlakon. Kau tunggulah bila aku tak ada nanti.
            “Ada aje kat sini. Tak pergi mana-mana pun. Yang kau tu lambat sangat masuk apahal?” Aku tanya dia balik. Sengaja tinggikan suara. Sebenarnya nak pancing Tengku Haizal yang masih di pantri. Teringin pula nak tengok dia marah Natrah.
            “Shh! Cakap perlahan-lahan tak boleh ke? Aku ada hallah tadi.” Natrah menjawab dengan suara perlahan. Tapi yang peliknya aku tengok rambut dia basah. Macam orang baru lepas mandi. Hati ni tak sabar nak tanya. Biar dululah. Biar dia siapkan kerja dulu.
            Sampai di meja aku tengok ada kotak pizza. Amboi, pergi makan pizza si Natrah ni. Aku buka kotak pizza. Baru sepotong yang berusik. Serta-merta air liur merembes. Cacing dalam perut makin merayu-rayu minta dikenyangkan. Aku ambil sepotong. Nikmatnya! Maaflah Natrah ya. Nanti aku ganti balik. Tak cukup pula sekeping. Ambil lagi sekeping. Aku angkat kepala sikit, mencari Natrah. Tengah bersembang dengan Tuan Syed dan Puan Linda rupanya. Biar dialah. Bagi peluang dia kenal-kenal dengan pekerja-pekerja lain di sini. Sedar tak sedar dah tiga keping pizza Natrah aku bedal. Tinggal empat keping lagi yang belum berusik. Cukuplah tu.
            “Amboi! Sedapnya dia makan pizza. Tak pelawa aku pun.” Natrah tepuk bahu aku. Dia henyak punggung di kerusi Kak Salmi.
            “Sorrylah Nat. Aku dah bedal dulu pizza kau. Cacing aku dah lapar.” Aku buat senyum kambing. Tapi senyum tu hilang bila Natrah buntangkan biji mata dia.
            “Bila masa pula aku beli pizza ni? Aku makan pun orang yang belanja, lagi nak beli  pizza ni untuk kau.” Natrah gelak mengekek.
            “Habis tu siapa punya pizza ni?” Alamak, rasa bersalah pula. Habislah aku kalau tuan punya pizza ni marah nanti.
            Telefon pejabat berbunyi. Natrah pandang aku yang tengah kalut. Dia macam nak suruh aku yang jawab panggilan itu.
            “Kenapa kau pandang aku? Jawablah telefon tu,” arah aku pada Natrah.
            “Kau ajelah jawab. Aku tak pandai nak cakap macam mana?” Natrah cuba mengelak.
            “La, bukannya susah sangat. Bagi salam, sebut nama syarikat lepas tu tanyalah dia nak apa. Suara kau kan sedap, lemak merdu. Memang sesuai untuk angkat telefon.” Aku puji dia sikit. Ceh, serta-merta dia bertukar karakter. Nak jawab telefon pun siap betul-betulkan rambut.
            “Selamat tengahari, pejabat Haizal, Dinesh and Partners. Boleh saya bantu? Hello… hello…”
            Aku pandang muka Natrah yang berkerut-kerut. Gagang diletakkan semula dengan kasar.
            “Siapa?” tanya aku.
            “Entah! Senyap aje. Lepas tu terus letak,” dengus Natrah.
            Giliran telefon bimbit aku pula berbunyi. Aku seluk poket seluar. Kemudian pandang Natrah. Aku rasa aku tahu siapa yang telefon tadi.
            “Assalamualaikum.” Aku pandang Natrah yang dah menggigit sekeping  pizza.
            “Waalaikumsalam. Cakap dengan  dia lain kali tak payah buat suara macam ‘mak ayam’. Ini pejabat peguam, bukan rumah tumpangan.”
            Aku senyum nipis dengar komentar Tengku Haizal.
            “Dah makan?” Dia sambung cakap lagi.
            “Dah, makan pizza. Siapa entah yang rajin buat sedekah hari ni.” Eh, panjang pula jawapan aku.
            “Kenyang tak?” tanya Tengku Haizal.
            “Bolehlah. Perut saya ni bukannya besar sangat. Tiga keping saya bedal.”
            “Hmm, tiga keping bermakna tiga hari berturut-turut ni awak tak boleh kerja kat tempat lain.”
            Aduh, dia yang beli pizza ni? Aku tepuk dahi. Terkena lagi aku!










Post a Comment

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.