Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 12, 2013

GURAUAN ASMARA BAB 6

         Usai solat Subuh, aku bersiap. Buka almari dan pilih baju yang lebih elok dari biasa. Nak pergi temuduga, mestilah  pakai baju yang elok sikit. First impression  mesti bagus kan? Heheh! Dah dekat pukul 7. Natrah masih belum keluar dari bilik air. Dia ni mandi ke sambung tidur di dalam tu?
            “Nat! Kau tidur ke kat dalam tu?” Aku jerit sambil ketuk pintu bilik air.
            “Kejaplah! Air ni sejuk sangat. Aku tak biasa mandi air sejuk pagi-pagi ni,” jawab Natrah dengan nada tinggi juga
            Tak biasa mandi air sejuk konon! Tu bukan tak biasa, itu mengada-ada namanya. Sementara tunggu dia siap mandi aku kemas tempat tidur. Tempat tidur aku, bukan tempat tidur dia. Tak lama lepas tu dia keluar. Bertuala aje. Dia ni memang tak ada rasa malu agaknya. Walaupun sama-sama perempuan tapi agak-agaklah. Malas nak menjamu mata di situ, baik aku keluar. Cari apa-apa yang boleh dibuat alas perut.
            “Selamat pagi maksu!” Oi terkejut aku! Benji dan Bella menjerit serentak. Mengekek budak-budak kecil tu tengok aku terperanjat.
            “Bertuah punya budak! Nasib baik maksu tak pengsan.” Aku tarik dua-dua dalam pelukan dan cium pipi masing-masing seorang sekali. Bahagianya rasa bila anak-anak Abang Black balas pelukan aku.
            “Mama mana?” Aku tanya dua-dua sekali. Padahal dah nampak Kak Maziah di dapur. Abang Black pun ada. Sedapnya bau kuew teow goreng. Kak Maziah ni memang  rajin bawa bekal. Bekal untuk dia dan anak-anak sekali. Abang Burn tak nak. Biasalah, orang lelaki.
            “Natrah mana?” tanya Abang Burn.
            “Tengah siap.” Aku jawab sambil tarik sepinggan kuew teow goreng yang dah dihidangkan oleh Kak Maziah.
            “Dayang malam ni kita buat cupcake ya. Ada empat orang yang order.  Semua sekali  dalam lapan puluh biji,” kata Kak Maziah.
            Aku mengangguk. Dalam kepala dah rancang nak siapkan tempahan lebih awal. Hari ni aku dah tak payah mengadap Tengku Haizal lagi. Kalau temuduga tu tak berjaya pun, aku dah malas nak  pergi kerja lagi. Duit hasil jualan cupcake ni cukup untuk menampung perut aku seorang.
            “Assalamualaikum, tengah sarapan ke?”
            Semua menoleh. Mujur tak tersembur  Teh O yang tak sempat aku telan. Ucapan salam tu macam tak seiring dengan  cara Natrah berpakaian. Salam dijawab perlahan. Abang Burn dah bangun tinggalkan meja makan. Nampak sangat dia tak berkenan dengan penampilan Natrah.
            “Skirt tu koyak ke Natrah?”tegur Kak Maziah.
            “Tak lah kak. Memang fesyennya macam ni,” jawab Natrah tanpa rasa bersalah.
            “Oh, akak ingatkan koyak. Seksi sangat ni, nak ke mana?”
            Aku tahu  Kak Maziah tengah perli Natrah. Aku biarkan aje. Nak tengok macam mana dia menjawab.
            “Pergi kerja lah kak.”
            “Pergi kerja macam ni?”
            “Kenapa kak? Tak boleh ke?”
            Aduh, dia boleh tanya soalan macam tu pada Kak Maziah? Masak juga si Natrah ni nanti.
            “Boleh. Akak tak kisah kau nak pakai apa pun. Memang selesa pakai baju macam ni kan? Nak nak kalau naik motor. Senang angin nak masuk.” Kak Maziah senyum lebar. Dipimpinnya Bella dan Benji meninggalkan ruang dapur. Sempat lagi dia geleng kepala tengok Natrah yang tengah melopong.
            “Kena naik motor lagi ke hari ni?” Natrah tanya aku.
            “Yelah, aku mana ada kenderaan lain.” Aku bangun, bawa pinggan yang dah kosong ke sinki.
            “Ala, macam mana aku nak naik motor kalau pakai macam ni?”
            “Apa susah, tukar ajelah skirt tu. Pakai seluar.” Selamba aje aku menjawab. Dia masuk balik dalam bilik sambil bersungut. Baru satu malam menumpang, Natrah dah buat perangai. Aku ingat-ingat lupa, dulu perangai dia macam ni juga ke?
            Kak Maziah dan Abang Burn dah keluar pergi kerja. Tapi aku masih di rumah. Lamanya dia tukar baju. Ni tukar baju ke menjahit? Matahari dah nak  keluar. Dia sambung tidur ke?
            “Nat! Tak siap lagi ke. Kita dah lambat ni.” Aku ketuk pintu bilik yang berkunci. Natrah keluar dengan muka cemberut. Skirt dah bertukar. Apa yang tak kena lagi ni?
            “Aku tak selesalah naik motor. Takut bila kau menyelit-nyelit. Laju pulak tu.”
            Aku capai kunci motor, terus keluar rumah. Hati dah panas ni. Banyak songeh betul Natrah ni. Aku hulur satu helmet pada dia. Tapi dia buat tak tahu  pula.
            “Nat, kalau kau takut naik motor dengan aku, kau call cab. Aku nak cepat ni.” Aku tolak motor  ke luar. Kunci pintu  pagar dan  start  motor. Sengaja aku pulas pedal minyak. Melaung-laung bunyi skuter kesayangan aku. Siap dengan asap sekali. Natrah tutup hidung. Dia pakai juga akhirnya helmet yang aku sangkut di pintu pagar. Tahu pula kedekut nak naik teksi. Aku tak minta kau tuang minyak motor ni pun dah cukup bagus tau!
            Tak sampai sepuluh minit, dah sampai pejabat. Sengaja aku bawa laju. Terjerit-jerit Natrah bila aku menyelit-nyelit. Biar dia rasa. Banyak bunyi sangat kan? Terhuyung-hayang Natrah turun dari skuter. Puas hati aku. Aku pandang saja dia buka pintu  pejabat . Tak ada niat pun nak turun dari motor.
            “Kau nak pergi mana?” laung Natrah sebelum masuk ke dalam.
            “Aku tak kerja hari ni tau. Ada hal sikit. Nanti kau tolong beritahu pada Tengku Haizal eh.”
            Sengaja aku tak beritahu pada Natrah yang aku ada temuduga hari ini. Dia pun tak tahu yang aku akan berhenti kerja. Melihatkan perangai dia semalaman di rumah buat aku tak ada hati nak berkongsi apa-apa cerita dengan dia. Aku pecut pula ke tempat temuduga. Tepat seperti yang dijanjikan, pukul 9 aku dah tercegat di depan syarikat kurier itu. Boleh tahan besar juga syarikat ni. Dengan lafaz basmallah aku masuk ke dalam. Terus diarahkan ke pejabat Pengurusan Sumber Manusia. Berjumpa dengan Miss Susan. Gedebak- gedebuk,  temuduga selesai dalam masa setengah jam.
            Alhamdulillah, minggu depan aku dah boleh mula bekerja di tempat baru. Tapi gajinya kecil sikit, tak sebanyak yang aku dapat di Haizal, Dinesh & Partners. Tak kisahlah tu. Asalkan aku tak payah mengadap lagi muka Wayar Putus tu. Waktu masih panjang. Aku teruskan dengan niat asal. Nak balik rumah dan buat cupcake.
            Sampai rumah, serta-merta mood aku berubah bila masuk ke bilik. Apa dah jadi dengan bilik aku ni? Dah macam kena samun! Bersepah-sepah dengan pakaian Natrah. Baru satu malam. Berapa lama lagi aku boleh tahan ni? Tak sangka pula perangai dia macam ni. Tak pasal-pasal aku habiskan separuh hari yang indah itu dengan mengemas bilik.
            Baru aje selesai mengemas, telefon bimbit pula berbunyi. Aku ketap bibir. Apahal pula dia cari aku ni. Aku letak telefon atas meja. Sengaja dibiarkan tidak berjawab. Tapi lama-lama aku balik yang rimas sebab telefon tu dah berhenti-henti menyanyi.
"Apsal tak datang kerja hari ni?"
Tengku Haizal terus tanya sebaik saja aku menjawab panggilan.
"Saya dah mula kerja kat tempat baru ni Tengku." Aku bohong dia.
"Tapi belum cukup dua minggu lagi. Saya boleh saman awak sebab langgar perjanjian tau," ugut Tengku Haizal.
"Bila masa pulak saya sign apa-apa perjanjian dengan Tengku? Saya kerja kat sana sebab nak tolong Mr. Dinesh, bukannya Tengku."
Terdiam Tengku Haizal. Apa, ingat aku tak berani ke nak melawan cakap dia? Kuat betul bunyi nafas dia dalam telefon ni. Macam nafas kerbau kena sembelih. Mesti dia tengah marah dengan aku.
“Awak kerja kat mana?"
"Buat apa nak tahu?"
"Cakap ajelah!"
"Kat kedai kasut."
Aku dengar dia gelak. Aku rasa aku tak buat lawak pun.
"Punya nak lari dari saya sampai sanggup kerja kat kedai kasut?" Dia sindir aku.
"Suka hati sayalah. Bukannya saya buat kerja haram. Tengku nak tahu, kat sini best tau. Bos dia baik giler, hormatkan pekerja dia. Tak miang macam bos kat tempat lama saya tu." Giliran aku pula sindir dia.Aku gigit hujung kuku, tahan gelak. 
"Awak perli saya kan?"
Aku tak jawab sebab tengah berguling-guling atas katil tahan ketawa. Tahu pula dia terasa.
"Dayang, cakaplah. Awak kerja kat mana sekarang?" Suara Tengku Haizal sedikit tinggi.
"Kan dah cakap tadi."
"Takpe, nanti saya tanya Natrah."
Eleh, dia ingat aku hairan ke? Macamlah Natrah tu tahu. Macam mana aku nak letak telefon ni? Terpandang pula pembungkus gula-gula atas almari solek. Ni mesti kerja Natrah. Perempuan tu memang kurang kesedaran sivik betullah! Padahal tong sampah di sebelah pintu tu aje. Eh, idea datang! 
"Tengku, line tak berapa eloklah kat sini."
"Hello. hello! Awak dengar tak?"
Aku renyuk-renyukkan pembungkus gula-gula tu dekat dengan telefon. Pandai tak aku? Bunyinya dah macam radio yang hilang siaran. Makin lama makin laju aku renyukkan.
"Ok, Tengku. Memang tak dengar langsung ni. Kalau ada apa-apa, pesan pada Natrah ajelah. Bye."Aku matikan terus telefon. Lepas tu ketawa melambak sampai keluar airmata. Padan muka dia. Baru kau tau siapa Dayang! Puas gelak aku turun dari katil dan terus masuk bilik mandi. Rasa-rasanya mood  nak membancuh cupcake  dah datang balik ni.
Tanpa lengah aku terus ke dapur. Buat apa-apa yang patut. Telefon Kak Maziah dan tanya jumlah pesanan terkini. Sambil buat kerja aku pasang radio kuat-kuat. Taklah sunyi sangat. Diam tak diam akhirnya siap juga cupcake  aku. Malam ni bolehlah layan TV. Tak pun ajak Natrah keluar pusing-pusing cari rumah sewa. Natrah? Eh, dah pukul berapa ni? Aku pandang jam di dinding. Alamak, dah dekat pukul 5! Mujur semuanya sudah siap berkemas. Apa-apahal aku solat Asar dulu. Elok saja aku keluar dari rumah. Natrah pun sampai. Amboi, Tengku Haizal yang hantar dia balik.
Bukan main lebar lagi senyum Natrah masa keluar dari kereta. Tengku Haizal turunkan cermin tingkap dan pandang aku. Aku cuma angkat tangan tanda sapaan. Dia tak balas. Muka dia mencuka. Elok saja Natrah tutup pintu, dia terus pergi.
“Kenapa tak beritahu kau balik dengan Tengku Haizal?” Aku tanya Natrah masa dia tengah buka kasut.
“Telefon tak ada kredit. Dayang, start besok, kau tak payah hantar aku pergi kerja. Tengku Haizal kata dia boleh tumpangkan aku pergi kerja nanti. Balik pun dia boleh hantar.” Lebar senyum Natrah bercerita.
“Baguslah tu. Lagipun minggu depan aku dah start kerja kat tempat baru. Tengku Haizal dah nak tolong tu, takdelah aku risau sangat. Kau mandi cepat. Kita pusing-pusing kat  area  dekat-dekat sini, cari rumah sewa.”
“Ala, aku penatlah Dayang. Kita cari kat internet aje kan senang. Lagipun tak naklah aku naik motor kau tu. Buat sakit pinggang aku aje,” sungut Natrah lalu terus masuk ke dalam rumah.

Aku mendengus perlahan. Minta-minta cepatlah dia dapat rumah sewa. Fuh, lega rasanya sebab, gerenti lepas ni Wayar Putus tu takkan ganggu hidup aku lagi. Sebab dia dah ada Natrah. Heheh!

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.