Jumlah pengunjung setakat ini .

Google+ Followers

Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

November 10, 2013

GURAUAN ASMARA BAB 5

           Satu minggu berlalu  dengan aman. Tengku Haizal betul-betul mematuhi syarat yang aku tetapkan. Untuk pertama kalinya aku rasa selamat dan aman bekerja di pejabat guaman ini.  Seminggu ni jugalah dia langsung tak bertegur sapa dengan aku. Air pun dah pandai buat sendiri. Hmm, pandai pun bancuh air rupa-rupanya Wayar Putus ni. Kalau aku tahu dari dulu lagi aku dah bagi dia makan penumbuk. Heheh! Dayang, sejak bila pula  jadi samseng  ni? Aku sambung buat  kerja-kerja  Kak Salmi. Dah tak banyak lagi yang perlu disiapkan. Aku jeling jam. Kurang sepuluh minit lagi pukul sepuluh. Kering pula tekak ni. Pergi buat air kejaplah.
                  “Selamat pagi Dayang.”
                  Aku menoleh. Pandang  dari atas  sampai bawah. Boleh pun dia bercakap. Aku ingatkan dah tak nak  bertegur sapa lagi. Kalau dikira jarak memang dah cukup jauh. Tengku Haizal senyum. Di tangan dia ada beberapa buah fail. Faham dah aku. Panggil ada makna rupanya.
                  “Selamat pagi Tengku Haizal. Letak aje kat atas meja tu. Buat macam biasa.” Aku pula yang bagi arahan pada dia. Sejak seminggu ni, dia tampal nota aje di skrin komputer aku. Takkan hari ni boleh lupa. Dia melangkah ke meja.
                  “Tengku.” Aku tergamam. Macam mana boleh terpanggil ni? Gatal betullah mulut ni.
                  “Awak panggil saya?” Terangkat kening Tengku  Haizal. Dia pandang aku macam tak percaya aku panggil dia.
                  “Nak Milo tak?”  Uih, tiba-tiba bermurah hati pula nak buatkan dia air. Apa kena dengan aku ni?
                  “Takpelah, nanti saya buat sendiri. Takut  kena tumbuk lagi,” jawab Tengku Haizal selamba.
                  Ceh, perli aku pulak. Tahu pun takut. Aku  pusing nak masuk ke pantri. Malas nak layan dia. Kalau dah dapat bercakap, susah pula nak berhenti nanti.
                  “Dayang.” 
                  Kan, aku dah cakap. Pantang dilayan sikit.
                  “Nak air?” Aku tanya dia.
                  “Tak.”
                  “Habis tu?”
                  “Tolong kemaskan bilik saya. Dah seminggu tak berkemas.” Perlahan aje suara dia. Tak menengking macam selalu. Muka pun manis aje. Ceh, manis ke?
                  “Boleh, nanti saya kemaskan.”
                  “Boleh?” Tengku Haizal tanya balik.
                  Sejak bila pula dia ni ada masalah pendengaran? Aku berdiri tegak sambil peluk tubuh. Tengku Haizal senyum tengok aku buat macam tu.
                  “Boleh, tapi Tengku kena keluar dulu dari bilik tu baru saya kemas.” Aku jawab dengan nada tegas.
                  “Ok, saya duduk kat tempat awak dulu ya.” Tengku Haizal terus henyak punggung di kerusi. Siap selak-selak suratkhabar yang belum sempat aku baca lagi dari pagi tadi. Tak jadi aku nak buat air. Aku masuk bilik dia. Ya Allah! Ini bilik ke pusat pelupusan sampah? Rasanya baru seminggu aku tak kemas bilik ni. Kenapa jadi macam ni?
                  “Tengku.” Aku jenguk dia dari tepi pintu bilik. Tengku Haizal turunkan suratkhabar. Dia angkat kening tunggu aku cakap.
                  “Bilik ni baru lepas perang ke?” Aku sindir dia.
                  “Haah, perang hati dan perasaan,” jawab Tengku Haizal sambil gelak mengekek.
                  Ceh, tak pasal-pasal aku balik yang kena. Aku sambung kemas bilik dia. 3 buah thumbler aku kutip di atas meja. Siap ada lipas mati dalam salah satu thumblertu. Eee, pengotor betullah dia ni! Lima belas minit aku mengemas. Siap vakum. Lepas ni kalau ada kerja kosong sebagai cleaner mungkin aku dah layak memohon.
                  “Tengku, dah siap.” Aku beritahu dia sambil bawa vaccum cleaner  ke dalam stor. Aku cuci tangan dan bekas-bekas minuman yang aku bawa keluar dari bilik dia. Sampai kering sisa Milo dalam setiap thumbler.
                  “Nak Milo boleh?”
                  Aku pandang belakang. Dia tengah senyum di pintu pantri. Eee, kalau dah lembut sampai geli pula telinga aku dengar. Aku tak jawab permintaan dia. Tapi tangan dah capai dua muk yang kering dan bancuh minuman kegemaran dia. Siap. Aku letak muk atas dulang. Nak keluar dari pantri, tapi dia masih tercegat di pintu.
                  “Nak bawa kat bilik ke nak minum kat sini?” Aku tanya dia.
                  “Nak minum kat sini, tapi dengan awak. Boleh?” Dia dah masuk ke pantri. Tarik kerusi dan letak dua-dua lengan atas meja.
                  “Tak boleh. Saya banyak kerja lagi ni. Saya letak Milo Tengku kat sini. Panas lagi tau. Nanti dah suam baru minum.”  Aku letak balik dulang atas meja. Betul-betul mengadap dia. Ambil satu muk untuk diri sendiri dan terus menapak keluar dari situ. Tengku Haizal dah langgar syarat. Tak mengapa, masih boleh dimaafkan. Lagi sekali dia buat memang aku blah aje dari sini.
                  “Mana fail-fail Tengku Haizal ni?” Angkat suratkhabar yang Tengku Haizal baca tadi. Tak ada juga.  Hmm, lantaklah. Kalau dia rasa nak minta tolong nanti pandai-pandailah dia cari aku. Baca suratkhabar dululah. Kerja pun dah habis. Selak punya selak, sampai ke halaman iklan jawatan kosong. Lama aku berhenti di situ.
                  Customer Service di syarikat kurier. Berminat? Sila hubungi ...
                  "Customer Service, macam menarik aje. Boleh cuba ni."Telefon ku capai dan terus dail nombor yang tertera. Lepas kenalkan diri dan beritahu pasal iklan yang aku baca di suratkhabar tu, terus diorang bagi alamat dan suruh aku pergi ke sana secepat mungkin. Aku senyum lebar. Kalau betul boleh dapat kerja baru ni, jawabnya bye-byelah Mr. Dinesh.
                  "Lebarnya senyum, menang loteri ke malam tadi?"
                   Terkejut aku. Nyaris tak tercampak telefon di tangan. Pantang betullah aku kalau orang main tegur aje ni. Tak tahu nak bagi salam ke? Eh, memang tak wajib pun dia bagi salam. Dia kan India.
                  "Saya dah dapat kerja baru Mr. Dinesh. Bulan depan dah mula kerja." Sengaja aku bohong dia. Biar dia sampaikan pada Tengku Haizal. Jangan dia ingat aku main-main. Aku memang dah tak nak kerja lagi di sini.
                  "Tapi kita belum dapat pengganti awak dan Salmi lagi." Mr.Dinesh buat suara sedih. Siap garu kepala lagi. Ada kutu ke? Heheh! Telefon aku berbunyi pula. Pucuk dicita ulam mendatang. Natrah telefon. 
                  "Dah ada sorang yang nak keje kat sini Mr.Dinesh. Kejap ya. Saya jawab call ni dulu." 
                  Mr.Dinesh angguk. Tapi dia masih tak berganjak. Susah benar hati dia bila aku cakap aku dah dapat kerja baru.
                  "Natrah, kau bagi  telefon kau kat driver teksi tu. Biar aku cakap."
                  Lepas bagi arahan pada pemandu teksi yang tengah bawa Natrah, aku matikan talian.
                  "Kawan awak?" tanya Mr.Dinesh.
                  "Haah. Dia punya kerja memang superb. Bukan saja pandai buat kerja, orangnya pun sangat cantik. Macam Miss World. Kalau dia pakai minyak wangi, dari Johor dah boleh bau."
                  Punyalah aku promote Natrah. Padahal mana pernah aku bekerja dengan dia. Alah, setakat benda-benda asas komputer ni takkanlah dia tak tahu kot!
                  "Saya tak kisah dia cantik ke tak. Janji dia boleh buat kerja," kata Mr.Dinesh.
                  Seriusnya muka dia. Aku tahu, kalau boleh dia memang tak nak aku berhenti. Tapi nak buat macam mana. Aku tak boleh tengok muka tempe goreng tu. Pintu pejabat diketuk. Jeng jeng jeng! Natrah sudah sampai. Mr. Dinesh pandang aku. 
                  "Itu ke kawan awak?"
                  Seorang gadis dengan skrit sendat atas lutut, mekap tebal dan berbulu mata palsu sedang berdiri diluar pejabat. Dia tak nampak kami dari dalam tapi aku dan Mr.Dinesh nampak dia
                  Aku angguk dan minta laluan sikit kat dia. Nak pergi menyambut bakal pekerja yang akan melayan karenah  Wayar Putus tu nanti.
                  "Besarnya office kau Dayang. Mesti best kerja kat sini kan?"
                  Liar mata Natrah pandang sekeliling office. Aku ajak dia masuk ke dalam. Mr.Dinesh masih kat tempat aku. Seperti yang aku cakap tadi, haruman minyak wanginya berjaya menarik perhatian peguam-peguam lain yang ada di dalam pejabat tu. Kepala masing-masing dah macam kepala penyu. Terjenguk-jenguk.
                  "Natrah, ni bos aku. Mr.Dinesh. Mr.Dinesh , Natrah." Laju tangan Natrah sambut tangan Mr.Dinesh. Siap goncang-goncang lagi. Mr.Dinesh pandang aku sambil kecilkan mata. Aku senyum sinis. Mesti dia terperanjat tengok Natrah yang agak agresif.
                  "Dayang, awak suruh dia isi borang dulu. Dah siap nanti masuk bilik saya," arah Mr.Dinesh. Dia masuk balik ke dalam bilik.
                  Aku tarik Natrah duduk di meja Kak Salmi. Beri dia borang resume. Sambil tunggu dia isi borang, aku selak helaian akhbar lagi.
                  Pap! Tiba-tiba satu fail melayang jatuh betul-betul atas meja aku. Aku angkat kepala. Satu lagi fail dalam perjalanan nak mendarat. Tapi pendaratan tersasar ke lantai. Dia mula dah. Tengku Haizal melambai-lambai di pintu bilik. Dah bersedia nak lempar satu lagi fail kat aku.
                  "Tak boleh bagi elok-elok ke Tengku?" Aku cekak pinggang. Tak serik lagi rupanya mangkuk ni.
                  "Eh, hari tu  kata kena jarakkan diri sejauh sepuluh meter. Saya tengah menjarakkan dirilah ni," jawab Tengku Haizal sinis. Dengan bangganya dia layangkan sebuah lagi dokumen pada aku. Sempat jugalah aku sambut dokumen tu sebelum jatuh ke lantai.
                  "Tolong buat salinan sebelum tengahari ni ya sayang!" Suara Tengku Haizal separuh melaung. Dia melambai lagi  sebelum dia masuk ke bilik.
                  "Siapa tu Dayang?" tanya Natrah.
                  "Bos aku jugak!"
                  "Handsomenya! Minta-minta aku dapat kerja kat sini. Boleh hari-hari mengadap muka dia. Dia belum kahwin kan?”
                  Eh, dia ni. Belum apa-apa lagi dah nak menggatal. Aku menggeleng perlahan.Sejak habis belajar tahun lepas, kira-kira dekat setahun juga aku tak jumpa dia. Dia ni memang popular masa di kolej dulu. Orang lawa, ramailah peminatnya.
                  “Dah siap.” Natrah hulur borang yang dah lengkap.
                  “Kau tunggu kejap, nanti aku datang balik.”
                  Aku bawa borang Natrah ke bilik Mr.Dinesh. Dia baca sekali lalu aje. Lepas tu dia pandang aku.
                  “Awak yakin ke dia boleh buat kerja Dayang? Lain macam aje saya tengok dia.” Mr. Dinesh macam tak berapa suka dengan Natrah. Eleh, tak suka ke takut tergoda?
                  “Saya kenal dia masa saya belajar dulu Mr.Dinesh. Percayalah dengan saya, dia tak akan menghampakan Mr.Dinesh.” Aku cuba meyakinkan dia walaupun aku sendiri pun tidak yakin.
                  “Betul awak dah tak nak kerja sini?” Mr.Dinesh tanya lagi. Berat benar hati dia nak lepaskan aku. Terharu pula rasa. Aku angguk perlahan. Terdengar keluhan Mr.Dinesh. Dia pandang aku sambil ketap bibir.
                  “Panggillah dia masuk,” arah Mr.Dinesh.
                  Aku atur langkah keluar dari pejabat Mr.Dinesh. Tapi dia panggil aku masa nak buka pintu bilik. Aku pandang dia yang nampak keruh.
                  “Kalau awak rasa nak kerja sini balik. Pintu pejabat ni sentiasa terbuka untuk awak,” kata Mr.Dinesh.
                  Aku dah tak tahu nak cakap apa. Terharu campur sedih. Kalau Tengku Haizal tak buat hal mungkin aku masih lagi di sini. Aku keluar, tak balas pun kata-kata dia. Aku suruh Natrah masuk ke bilik Mr.Dinesh. Sementara tu, aku siapkan dokumen-dokumen yang Tengku Haizal nak. Tak sampai sepuluh minit, Natrah dah keluar.
                  "Mr.Dinesh cakap apa?" Aku tanya dia yang dah senyum meleret.
                  "Dia kata hari ni dah boleh belajar dengan kau."Lebar senyum Natrah. Dia pulangkan balik borang resume yang dah ada cop ACCEPTED. Dah confirmlah tu Natrah dapat kerja kat sini. Fuh, ringan rasa kepala. Lepas ni bolehlah berhenti kerja dengan senang hati.
                  "So, apa kerja pertama aku?" tanya Natrah.
                  Aku bawa dia ke mesin fotostat. Ajar dia buat salinan dokumen, binding, tukar ink, macam-macam lagilah benda yang berkaitan dengan mesin yang besar gedabak tu. Hari pertama, memanglah nampak terkial-kial. 
                  "Aku syorkan pada kau, lepas ni kalau datang kerja jangan pakai skirt singkat macam ni. Dalam office ni ada buaya. Sekali kena ngap memang tak boleh lepas."
                  Natrah senyum simpul. Aku cuma menasihatkan aje. Terpulanglah pada dia nak ikut ke tak. Mata aku ni memang tak berkenan tengok cara dia berpakaian. Tak tahulah kalau orang lain. Aku senyum tiba-tiba. Teringat pada Wayar Putus tu.\
                  "Weh, apahal senyum sorang-sorang pulak ni," tegur Natrah.
                  Aku pandang dia. Masih senyum lagi. Dari atas sampai ke pangkal peha, aku pandang Natrah balik.
                  "Sesuai," kata aku.
                  "Apa yang sesuai?" tanya Natrah.
                  Senyum makin lebar. Aku susun dokumen-dokumen Tengku Haizal yang dah siap binding. Lepas tu aku serahkan pada Natrah.
                  "Nah, kerja kau yang pertama. Pergi bagi fail-fail tu kat Tengku Haizal."
                  "Yang baling fail kat kau tadi?" tanya Natrah.
      Aku angguk sambil muncungkan mulut ke arah bilik Si Tempe tu. Bukan main suka lagi Natrah. Siap betul-betulkan baju, topup lagi warna lipstik yang memang dah sedia pekat.
      "Muka aku ok tak?" tanya Natrah.
      "Ok sangat, lawa!"
      Aku puji dia. Dia tarik nafas dulu sebelum pergi ke bilik Tengku Haizal. Eleh, nervous ke suka? Aku gerenti, mesti Tengku Haizal suka tengok peha Natrah yang putih gebu tu nanti. Natrah dah hilang dalam bilik Tengku Haizal. Aku, sambung balik baca surat khabar.
      "Keluar!"
      Uih, apa tu? Natrah keluar. Muka dia nampak takut. Berdentum pintu bilik ditutup.
      "Dayang, dia panggil kau," kata Natrah. Ada gigilan di hujung suaranya.
      Sebelum ketuk  pintu bilik Tengku Haizal, aku toleh kejap ke arah Natrah yang terduduk di kerusi. Apa yang Natrah buat sampai Tengku Haizal naik hantu?
      “Masuk!” Nyaring suara dia suruh aku masuk.
      “Ada apa Tengku?” Aku berdiri di tepi pintu saja. Langsung tak takut dengan pandangan tajamnya. Nekad dah ni. Kalau dia bangun dari kerusi tu memang aku tak jejak lagi dah kaki di sini.
      “Kenapa awak buat saya macam ni?” Perlahan aje suara dia.
      “Buat apa pulak? Saya suruh Natrah hantarkan dokumen aje. Takkan itu pun nak marah?” Aku buat senyum senget. Saja nak bagi dia sakit hati. Jangan main-main dengan aku. Aku bukan Dayang yang dulu lagi.
      “Selagi awak masih bekerja di sini, cuma awak aje yang boleh masuk bilik saya.”
      “Tapi saya nak Natrah biasakan diri dengan keadaan pejabat ni.”
      “Saya tak suka dia. Selagi awak ada di sini saya cuma nak awak aje yang siapkan dokumen saya, buatkan air saya dan kemas bilik saya.” Tengku Haizal  mengeraskan suara. Nampak urat merih timbul di leher.
      “Kalau macam tu senang aje. Saya berhenti terus hari ni. Mulai besok Natrah dah boleh ambil alih tugas saya sepenuhnya. Senangkan?” Aku lebarkan lagi senyum. Dia dah bangun. Cepat-cepat aku tolak daun pintu luas-luas.
      “Jangan bergerak Tengku. Selangkah kaki Tengku ke depan saya terus balik nanti,” ugut aku. Dia tersentak. Perlahan-lahan dia duduk balik. Aku terus tutup pintu. Natrah yang jadi pemerhati dari jauh aku ajak keluar dari  pejabat.
      “Kita nak ke mana ni?” tanya Natrah.
      “Waktu lunch  ni kan. Kau tak nak makan ke?” Aku tanya dia balik. Terkial-kial Natrah berjalan dengan skirt sendat dan kasut tumit tingginya. Berbeza betul aku  dengan dia. Aku macam pokok bonsai, dia macam galah. Aku macam budah sekolah, dia macam Ratu Malaysia yang kalah di peringkat saringan. Heheh! Cara dia makan pun, sopan ya amat! Macam nak tolong buka aje mulut dia. Bukan sebab sopan, tapi sebab terlampau control  kegedikkan.
      “Sebelum ni kau kerja kat mana Natrah?” Ceh, macam sesi temuramah pula. Tadi tak sempat nak tanya.
      “Aku kerja kat Pusat Kecantikan, kat Seremban,” jawab Natrah.
      Patutlah seksi semacam. Sesuailah dengan kerja dia dulu.
      “Kau tinggal mana sekarang ni?” Aku tanya dia. Pinggan aku dah kosong. Tapi dia, separuh pun belum luak lagi. Punyalah perlahan dia mengunyah.
      “Aku baru sampai dari kampung semalam. Aku tumpang rumah bujang adik aku. Tapi hari ni aku nak tumpang rumah kau boleh tak?”
      Aku sedut minuman sambil pandang dia yang menyudu makanan ke mulut. Ni yang buat aku serba-salah ni. Tak bagi nanti takut dia cakap aku sombong pula. Aku sendiri pun menumpang di rumah tu.
      “Kenapa tak tinggal aje dulu dengan adik kau? Sambil tu boleh cari rumah sewa dekat-dekat sini.”
      “Jauhlah rumah sewa dia dengan tempat kerja ni.  Kau faham-faham ajelah, orang bujang. Aku tak selesalah. Aku tumpang dua tiga hari aje. Dapat rumah sewa nanti aku pindahlah.”
      Jawapan Natrah buat aku terkemam sekejap. Kesian pula aku tengok dia. Dua tiga hari aje kot.
      “Beg baju kau mana?”
      “Aku letak kat pondok pengawal,” jawab Natrah.
      “Pondok pengawal yang dekat  dengan office  tu?” Berkerut kening aku tengok dia. Macam dah tau aje yang dia akan terus bekerja hari ni. Natrah mengangguk laju sambil menolak pinggan yang dah kosong ke tengah meja.
      “Sebelum balik nanti aku nak kau tukar skirt ni, pakai seluar.” Aku pesan pada Natrah semasa kami pergi ambil beg pakaian dia di pondok pengawal.
      “Kenapa pulak?” tanya Natrah.
      “Aku bawa motor, skuter. Takkan kau nak naik motor macam ni?” Aku muncung pada peha dia yang terdedah. Natrah senyum simpul. 
      Petang tu aku sambung ajar dia buat kerja-kerja yang bakal aku tinggalkan nanti. Aku kenalkan dia dengan semua  peguam yang bernaung di bawah Haizal,Dinesh & Partners. Buat masa ini semuanya berjalan dengan lancar.Tapi masalah mula timbul bila tiba di rumah.
      “Kenapa tak cakap kat akak dulu? Nanti Abang Burn bising.” Kak Maziah dah mula bersungut bila aku beritahu dia Natrah nak menumpang di situ.
      “Dayang nak cakaplah ni. Tak sempat nak bagitau  siang-siang. Dayang sibuk kat office  tadi.” Aku cakap dengan suara perlahan . Bimbang Natrah terdengar.
      “Berapa lama dia nak tinggal sini?” Kak Maziah dah menyinsing lengan baju. Dia nak menyiapkan hidangan makan malam.
      “Kejap aje. Sampai dia dapat rumah sewa.” Jawapan aku masih tidak memuaskan hati Kak Maziah.
      “Bila dia nak dapat rumah sewa? Besok? Lusa? Kau ingat senang ke nak dapat rumah sewa sekarang? Dia ada duit ke nak bayar deposit rumah, api, air semua tu?”
      “Ala kak, pandai-pandailah dia nanti.” Aku dah bingit. Walaupun suara Kak Maziah tak tinggi, tapi dah cukup buat telinga aku berdesing. Pintu bilik aku terbuka. Natrah dah siap mandi. Lain benar muka dia tanpa mekap. Pucat!
      “Nak masak ke kak? Saya tolong ya.” Natrah menjenguk dalam sinki. Memang ada ikan yang baru Kak Maziah keluarkan dari peti sejuk.
      “Eh, tak payah susah-susah. Akak tak biasa buat kerja ramai-ramai kat dapur ni,” tegah  Kak Maziah. Dia dah pulas kepala paip dan direndamnya ikan yang  masih beku.
      Aku ajak Natrah masuk bilik. Tengok reaksi Kak Maziah, aku macam dah boleh agak reaksi Abang Burn nanti. Adoi, macam mana ni? Takkan aku nak halau dia balik rumah adik dia pula?
      “Nat, kau duduk dulu dalam ni tau. Aku nak mandi kejap.” Aku capai tuala. Nyaris tak buka baju depan Natrah. Heheh! Dah terbiasa kan, lupa pula hari ni ada penghuni tambahan.
      “Dayang, bilik kau ni tak ada  aircond  ke? Panaslah!”
      “Suis kipas kat tepi pintu bilik.”  Pandai-pandailah kau cari suis kipas tu. Amboi, demand  lebih pula si Natrah ni. Nak sejuk pergi duduk dalam peti sejuk tu. Aku dah bagi tumpang pun dah cukup bagus.
      Dia tak ada dalam bilik bila aku selesai mandi. Aduh, kan aku dah pesan jangan keluar dulu. Kalau Abang Burn balik nanti macam mana? Masak aku nak menjawab ni. Sikat rambut ala kadar, tak payah berbedaklah. Bukan nak pergi mana-mana pun. Aku keluar, cari dia di ruang tamu. Telan air liur aku tengok dia dah duduk bersila atas sofa sambil pegang remote TV. Dalam masa yang sama anak-anak buah aku dah melompat-lompat menyambut papa diorang balik. Abang akulah tu. Aku  duduk sebelah Natrah. Buat-buat tengok TV juga. Dalam kepala ni dah terbayang muka garang Abang Burn.
      “Eh, Dayang bawa balik kawan ke?” Abang Burn dah tegur. Tapi dia senyum.
      “Abang Burn, ni Natrah. Dia sama belajar dengan Dayang dulu.” Aku buka intro dulu. Abang Burn angguk. Natrah bangun dan bersalam dengan Abang Burn. Aku senyum kelat tengok  Abang Burn tarik balik tangan bila Natrah nak cium.
      “Datang jalan-jalan ke?” tanya Abang Burn.
      “Tak, baru dapat kerja kat sini. Sama tempat kerja dengan Dayang.” Natrah dah jawab dulu.
      “Oh, tinggal kat mana?”
      Alamak, Abang Burn dah tanya soalan yang buat aku lemah lutut.
      “Saya tengah cari rumah sewa. Buat masa ni saya tumpang kat sini dulu,” jawab Natrah.
      Adoi, lajunya dia menjawab. Nak aje aku tekup mulut dia. Tapi Abang Burn ok aje. Tak nampak macam orang marah pun.
      “Bella, mama mana?” tanya Abang Burn pada anak sulungnya yang tengah  leka layan cerita kartun di ruang tengah.
      “Mama kat dapur, masak,” jawab Bella.
      Abang Burn bangun sambil mendukung Benji, anak keduanya yang berumur 2 tahun. Pelik-pelik nama anak-anak dia. Ikut trend  katanya.
      “Dayang, mari sini kejap.”
      Ah sudah! Abang Burn panggil. Habislah aku. Natrah yang duduk di sebelah langsung tak perasan yang aku ni tengah risau. Sedap aje dia melayan sinetron. Doa banyak-banyak Dayang. Aku bangun  dan pergi cari Abang Burn di dapur. Aku tarik kerusi, duduk depan dia. Kak Maziah langsung tak pandang aku. Masih sibuk menyediakan makan malam.
      “Abang  Burn, Dayang minta maaf sebab tak minta kebenaran nak bawa dia balik rumah.”  Baik aku buka mulut cepat sebelum dia sembur  aku. Tangan dah berpeluh ni.
      “Tak ada masalah kalau dia nak menumpang kat sini. Tapi abang tak suka dia pakai seluar pendek depan abang. Nanti Kak Maziah kau jelous.” Sambil sound  aku sempat lagi dia menyakat bini dia.
      “Eh, saya yang  jelous ke mata abang tu yang tak tahan?” Kak Maziah balas balik. Aku tumpang gelak sekali. Leganya hati bila dapat reaksi positif dari Abang Burn.
      Malam tu sebelum tidur aku sampaikan amanat Abang Burn pada Natrah. Dia tak menjawab. Tapi muka dia nampak keruh sikit. Nasib kaulah. Adat menumpang di rumah orang, samalah macam kau masuk ke negara lain. Kenalah ikut segala peraturannya kan.
      Aku baru aje nak mengembara ke alam mimpi, Natrah tiba-tiba kejutkan aku. Bilik terang-benderang. Aku gosok mata nak menghilangkan pisat. Mak oi, seksinya dia ni. Pakai singlet dengan seluar pendek aje.
      “Dayang, kau tidur bawah boleh tak?” Natrah menggaru hujung siku.
      “Kenapa? Kau takut ke?”  Dia memang tak muat nak tidur sekatil dengan aku. Almaklumlah, katil  bujang.
      “Bukan takut. Aku tak boleh tidurlah kalau baring kat atas lantai. Pinggang aku sakit,” jawab. Punggungnya dah terhenyak di hujung katil.
      Hish, mengada-ada betullah dia ni. Aku dah siapkan tilam pun sakit pinggang lagi. Malas nak bersoal-jawab aku turun dan terus landing   atas tilam. Aku ni tidur mana-mana pun boleh. Asalkan boleh melelapkan mata.
      “Dayang.” Natrah panggil lagi.
      “Hmm.” Aku dah tak larat nak buka mata. Mengantuk sangat.
      “Tutuplah lampu ni. Aku tak boleh tidur dalam terang.”
      “Kau yang buka tadi kan? Aku dah malas nak bangun ni. Kalau kau rajin kau bangun tutup, kalau tak kau tekup aje muka kau dengan bantal.”
      Dah bagi betis nak peha pula. Tapi sudahnya aku bangun juga sebab aku pun tak boleh tidur dengan lampu terpasang.


Post a Comment

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.