Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 20, 2013

GURAUAN ASMARA BAB 11

"Dayang, untuk hari pertama ni awak duduk kat kaunter dulu. Belajarlah apa-apa yang patut dengan Muaz ya."
Ruby, ketua bahagian operasi memperkenalkan aku dengan seorang lelaki yang berkulit cerah dan tinggi lampai. Punyalah tinggi sampai aku kena mendongak kalau nak tengok dia. Maklumlah, aku ni kan spesis bonsai. Pertama kali tengok Muaz hati aku dah cair.Lupa terus pada Tengku Haizal. Eh, apahal pulak aku nak ingat kat dia kan? Kulit Muaz putih melepak.Geram pulak aku tengok. Lebih putih dari Tengku Haizal. La, ingat kat dia lagi. Apahal pulak ni? Berdasarkan pada kad pekerja, Muaz ni setahun lebih muda dari aku. Tak kisahlah tu. Kali pertama diperkenalkan, masing-masing setakat angguk kepala dan senyum. Malulah konon!
Telefon dalam poket seluar tiba-tiba bergegar. Aku pandang Muaz. Bagi isyarat nak jawab telefon dulu. Dia senyum. Aduhaiai, macam nak gugur jantung aku.
"Hello! Awak kat mana ni?"
Aku pandang telefon. Punya nyaring suara dia. Spoil moodaku betullah kalau dengar suara dia ni.
“Dayang, awak kat mana ni?” Tengku Haizal masih menjerit seperti tadi.
"Kat tempat kerjalah! Tengku nak apa lagi ni? Jangan ganggu saya lagi boleh tak?"  Aku jawab dengan perlahan tapi keras.
"Awak ingat saya ni suka sangat ke nak mengacau awak? Buat banyak bil telefon saya aje. Ni, macam mana awak ajar si Natrah buat kerja? Harap muka aje lawa tapi kerja lembap!"
Eh, hari tu bukan main puji lagi budak tak cukup kain tu. Hari ni apa cerita? Aku senyum kelat. Tadah telinga ajelah dengar wayar putus ni membebel. 
“Awak dengar tak saya cakap ni?”
"Ala, lama-lama nanti pandailah dia." Aku cuba meyakinkan dia. Bukan setakat pandai buat kerja. Silap hari bulan, Natrah tu boleh jadi awek baru dia. Muaz dah kerling banyak kali. Hish, serba salah pulak aku.Tak sedar diri baru hari pertama kat sini.
"Oklah Tengku, saya nak kerja ni. Bye."
Cepat-cepat aku masukkan telefon dalam poket. Tak perasan pula aku sempat tekan butang merah ke tak.
"Sorry Muaz, boleh kita mula sekarang?"
Aku tarik kerusi sebelah dia. Dia duduk jauh sikit dari aku.Takut berlaga kaki. Muaz tanggalkan kasut kulit yang dia pakai.Lepas tu keluarkan selipar Mickey Mouse dari bawah kaunter. Lah, selipar tu dia punya ke? Aku dah nampak selipar tu dari tadi. Tapi tak sangka pulak dia punya. Warna pink! 
"Tepi sikit," kata Muaz.
Aku beralih sikit. Dia buka laci dan keluarkan alat-alat tulis. Stapler, pembaris, pen, buku, semuanya warna pink! Aku dah rasa lain macam aje ni. Suara Muaz tadi pun macam cicak tersepit aje aku dengar.Dia bangun.Ambil remote control aircond. Eh, dia jalan kepit lutut! Adakah?
"Ok Dayang, hari ni aku ajar kau cara-cara nak attend customer yang nak hantar barang.Mula-mula kau tengok perbezaan borang-borang ni dulu..."
Aku dah tak dengar apa yang Muaz bebelkan lepas tu. Sebab aku tengah menahan diri dari gelak melambak depan dia. Bukan nak mengejek, tapi tak sangka pula. Muka dia memang handsome, cukup pakej kata orang. Tapi bila dia bukak mulut, awww! Tak kuasa mak!
“Hei, kau gelakkan aku ya?” Muaz tolak lembut bahu aku.
Aku tutup mulut. Memang dah nak  tergelak sangat ni. Puas tarik nafas dalam-dalam, tapi geli di perut ni masih tak  surut. Sudahnya aku ketawa juga. Tapi masih dalam terkawal. Muaz memuncung mulut. Tapi reaksi dia tak macam orang marah.
“Kau ni comellah! Macam tak percaya kita ni lebih kurang sebaya,” kata Muaz. Tangan dia dengan selambanya mencubit pipi aku. Uih, lajunya tangan dia. Hilang terus tawa aku. Terkejut punya pasal. Tapi aku rasa dah memang gaya dia macam tu agaknya. Sebab sejak dari tadi tangan  Muaz memang tak boleh duduk  diam. Kejap dia tepuk peha aku, lepas tu tolak bahu aku dengan hujung jari. Sambil cakap, pegang bahu aku. Sedikit demi sedikit aku  cuba  menyesuaikan diri dengan gaya Muaz.
“Jom.” Muaz tarik tangan aku suruh bangun.
“Nak pergi mana?” Aku tanya sebab dia dah bawa aku ke belakang. Ke bahagian bilik operasi.
“Dayang, sini tempat diorang loading  dokumen dan barang-barang. Selalunya  pagi adalah peak hour  kita. Jadi kerja kat sini yang penting adalah komunikasi. Kena berbaik-baik juga dengan  budak-budak despatch dan driver ni. Tapi kau kena tahan telinga sikitlah sebab mulut  diorang ni kadang-kadang main lepas aje.”
Aku senyum dengar penjelasan Muaz.  Dia bawa aku ke tengah-tengah bahagian operasi. Semua mata pandang ke arah kami. Wuish, tiba-tiba rasa malu pula.  Tambah pula bila dengar ada suara nakal yang jadi tikus. Menciut-ciut bunyi masing-masing. Gaya mengorat zaman sekarang.
“Muaz, ikan baru ke?”
Aku toleh ke arah suara yang melaung pada Muaz. Ikan?  Yelah, ini bukan sebarang ikan tau. Nampak  saja macam ikan bilis, kalau tak  kena gaya boleh bertukar jadi ikan pirana tau. Cubalah kalau berani. Senyum Dayang.  Simpan dulu taring tu.
“Minta perhatian semua.” Muaz mendepangkan tangan. Suara dia yang kuat  berjaya menarik perhatian semua yang ada di situ. Dia tolak bahu aku ke depan. Berdiri betul-betul depan dia. Dah macam budak baru masuk sekolah pula rasanya.
“Aku nak kenalkan pada korang geng baru dalam department kita. Buat masa ni dia duduk di kaunter dengan aku. Nama dia Dayang.” Muaz perkenalkan aku serba ringkas. Aku senyum dan tunduk sikit tanda hormat. Mata  ni cuba tengok  muka seorang lepas seorang. Ada yang balas anggukan aku. Ada juga yang senyum  saja. Hmm, bagus juga diorang ni. Tak ada seorang pun yang bangun nak menghulur tangan. Memang  sempoilah! Aku suka!
“Baru habis sekolah ke?”
Tawa bergema. Ceh, baru puji. Dah mula tunjuk perangai. Sabar Dayang. Ini macam minggu orientasilah juga. Senyum aje.
“Ha, tu yang mulut tak ada insuran tu namanya Yazid. Dia runner.Kalau despatch tak ada atau cuti, dia yang akan cover  budak-budak ni,” terang Muaz. Aku angguk lagi. Dah mula faham sikit-sikit cara kerja di sini.
“Bawa dia tengok bahagian loading  Muaz. Kenal-kenal dengan abang – abang parcel,” usik seorang lagi. Yang ni nampak berumur  sikit. Tapi pakaiannya nampak lebih kemas dari yang lain-lain.
Muaz bagi isyarat suruh aku ikut dia. Mata yang lain-lain masih mengekori aku. Memang segan yang amat! Nasiblah. Nama pun orang baru. Lama-lama nanti  mesti dah ok.
“Abang-abang parcel  tu apa Muaz?” Aku ringankan mulut bertanya.
“Tu, kau nampak tak lori-lori dan van yang berderet tu?” Lurus telunjuk Muaz menuding ke arah yang ditunjukkan. Aku angguk laju.
“Barang yang dihantar menggunakan kotak , tak kiralah kecil atau besar akan dihantar guna lori atau van. Brother  yang tadi tu namanya Rosli. Tapi budak-budak ni panggil dia Tojo. Dia runner  untuk bahagian parcel,” terang Muaz.
“Tojo?” Aku senyum bila tengok Muaz mencebik.
“Diorang ni lebih banyak guna nama gelaran dari nama sendiri. Nanti lama-lama kau kenallah dengan diorang ni. Ok, setakat ni ada apa-apa soalan?”
Aku menggeleng. Memang susah sikit nak ingat semua dalam masa sehari. Tapi setakat ini, aku mula faham serba sedikit sistem kerja di sini.
“Kat sini tak ada perempuan ke Muaz?” Baru aku perasan, aku seorang saja bunga di situ.
“Tak ada. Kalau ada pun diorang punya tempat kat atas. Bahagian customer service dan pending department. Nanti ada masa aku bawa kau pergi kenal-kenal dengan diorang pula,” jawab Muaz.
Kami kembali ke kaunter. Untuk pertama kalinya aku rasa selesa bekerja. Tiada gangguan dari Tengku Haizal. Berbeza  sungguh pengalaman hari pertama bekerja di sini. Tidak seperti di Haizal, Dinesh & Partners dulu. Hari pertama dah kena buli dengan Wayar Putus. Ah, buat apa ingat pada dia lagi. Kalau tak disebabkan dia tak mungkin aku ada di sini. Ada hikmah juga di sebalik semua kejadian kan?
“Kau ada bawa bekal ke?” tanya Muaz.
“Bekal?” Aku tanya dia balik.
“Ha’ah. Perempuan-perempuan kat sini selalunya bawa bekal makan tengahari. Suka makan ramai-ramai sambil menganyam ketupat.”
Aku senyum dengar penjelasan Muaz. Keadaanbiasa kalau orang-orang perempuan berkumpul.
“Kau bawa bekal ke?” Aku tanya dia pula.
“Kadang-kadang bawa juga. Seronok juga borak-borak dengan diorang. Tapi hari ni malas masak. Kita keluar lunch  sekali nak?” Muaz pelawa aku.
“Boleh. Lagipun aku tak berapa  familiar lagi dengan kedai-kedai makan kat sini,” jawab aku jujur. Muaz senyum. Tepat pukul satu, seorang staff dari bahagian customer service  turun. Jamaliah namanya. Menurut kata Muaz,  setiap kali waktu rehat akan ada seorang staff  yang menjaga kaunter sementara waktu.
Tengahari tu aku keluar makan tengahari dengan Muaz. Kalau dia lelaki sejati, dah lama aku mengaku dia ni boyfriend  aku. Tapi… heheh!
“Kau tak kisah kalau makan kat warung kan?” Muaz tanya aku.
“Aku tak ada masalah. Mana-mana pun boleh. Janji kenyang,” jawab aku.
Kami berjalan kaki saja. Warungnya cuma 5 minit saja dari pejabat.Ramai betul orang di kedai ni. Mesti makanannya sedap.Sementara tunggu Muaz ambil makanan, aku seluk handphone dalam poket. Eh, kenapa masa berbual masih bergerak? Mulut makin melopong bila ingat balik, kali terakhir tadi aku bercakap dengan Tengku Haizal.Alamak, berlambaklah bil dia nanti. Tapi kalau dia tahu aku lupa matikan telefon, kenapa dia tak buat macam tu. Entah-entah...
"Hello, Tengku." Aku panggil perlahan.Mana tahu kot-kot memang dia pun lupa nak matikan talian.
"Ya sayang, saya masih di sini."
Mak! Nasib baik tak terpelanting telefon aku.Maknanya dari pagi tadi dia tak matikan telefon.Tarik nafas sekejap. Aku tekap balik telefon ke telinga.
"Dayang."
"Apa?"
"Orderkan saya limau suam."
Eh, dia ni biar betul. Apa ingat warung ni ada perkhidmatan delivery ke?
"Dah order ke belum?"
"Jangan main-mainlah Tengku."
"Siapa pulak yang main-main? Orderlah cepat!"
Aku buat bodoh aje. Kalau pasal mengarut memang serah saja pada wayar putus ni. Aku pandang Muaz. Lambatnya dia ni. Tiba-tiba ada orang duduk di sebelah aku.
"Mana air saya?"
Kali ni betul-betul handphone aku terpelanting. Kelam-kabut aku kutip bateri dan penutup handphone. Dia ni bela hantu raya ke? Boleh pula dia cari aku kat sini. 
"Macam mana Tengku tahu saya kat sini?" Aku tanya dia.
Dia tak jawab tapi terus tarik  gelas sirap limau aku. Buruk betul perangai. Sampai tinggal separuh dia sedut.
"Kalau setakat nak lari kat area KL ni, tak payahlah. Lelap mata aje saya boleh cari."
Aku pandang dia. Kenapa dia nampak selekeh sangat ni? Minyak rambut dia dah habis ke?
"Tengku ni tak mandi ke pagi tadi?"
Selamba  aku tanya dia. Macam lupa pula yang aku benci separuh mati pada dia.
"Kenapa tanya macam tu?" Dia tanya aku balik.
"Serabai sangat."
"Serabailah! Rindu kat awak."
Bluek! Aku cebik dia. Tak sempat nak bidas, Muaz sampai. Ya Allah, yang dia ni makan ke melantak? Nasi punyalah menggunung dalam pinggan. Siap dengan ikan bakar pulak tu.
"Eh, kawan kau ke Dayang?" tanya Muaz.
"Bukan, bakal suami dia. Saya Tengku Haizal. Sayang, jom temankan abang ambil nasi."
Lagi sekali aku melopong. Tak sempat nak bidas lagi. Dia tarik tangan aku, ikut dia ambil makanan. Muaz pula jaga meja.
"Lepaslah Tengku! Malulah orang tengok!"
Aku rentap tangan. Dia tersengih. Dia kerling pada Muaz yang sedang makan.
“Siapa nama dia?” tanya Tengku Haizal.
“Muaz.” jawabku.
"Dayang, kalau nak bagi saya jelous pun, carilah yang mantap. Bukan spesis sotong dalam tin ni. Tak sesuai!"
Tengku Haizal gelak sambil tutup mulut. Tiru gaya nyah gelak. Kurang asam! Aku ceduk nasi dan ambil lauk cepat-cepat. Sebelum pergi kat kaunter aku nampak ada bubur kacang hijau. Dah siap letak dalam bekas. Aku capai empat bekas. Bawa semua ke kaunter. Masa tauke kedai tu tengah mengira, aku ambil pula gula-gula dekat setengah botol. 
"Makcik, kira untuk kawan saya yang kat meja tu sekali."
Aku tunjuk pada Muaz. Sempat lagi aku jeling Tengku Haizal yang sedang menunggu giliran.
"Tapi dia dah bayar tadi," kata tauke kedai.
"Takpe makcik, kira aje. Saya nak buat sedekah hari ni."
Laju makcik tu tekan kalkulator. Aku pandang Tengku Haizal. Senyum sikit pada dia. Tunggu kau!
"Semua sekali..."
"Err, makcik. Semua tu nanti dia yang bayar."
Lurus tangan aku tunjuk pada Tengku Haizal. Tak peduli dengan Tengku Haizal yang sedang tergamam, aku pergi semula ke tempat duduk. Muaz hampir selesai dengan makan tengaharinya.
“Takpe ke aku duduk sekali ni Dayang?” tanya Muaz. Dia pandang Tengku Haizal yang masih berada di kaunter.
“Takpelah, tak mengganggu pun.” Aku dah memulakan suapan.
“Pakwe kau tu kerja apa?” tanya Muaz.
“Dia bukan pakwe akulah. Kawan aje.” Aduh, banyak tanya pula Muaz ni. Kepoh juga mulut dia.
“Yelah tu kawan. Macamlah aku ni bongok sangat.” Muaz bangun dan menuju ke sinki untuk mencuci tangan. Dia berselisih bahu dengan Tengku Haizal. Aku nampak Tengku Haizal seperti menahan senyum.
“Tak sangka pula awak suka spesis adik-adik,” usik Tengku Haizal.
“Shh, cakap tu perlahan sikit boleh tak Tengku. Cuba belajar jaga air muka orang sikit.”
“Ooo, saya kena belajar jaga air muka orang. Yang awak tu malukan saya boleh pula.”
“Bila masa saya malukan Tengku?” Suapan terhenti. Aku pandang Wayar Putus yang sedang mengunyah.
“Tadi tu,” jawab Tengku Haizal.
“Tadi? Sebab kena bayar semua- semua ni ke?” Aku menegakkan duduk. Perbualan terhenti sekejap bila Muaz kembali ke tempat duduk. Aku tunduk semula menghabis makanan. Lapar punya pasal, licin pinggan aku kerjakan. Tak ambil tahu biji butir perbualan Tengku Haizal dan Muaz. Sekali tengok, Tengku Haizal melayan Muaz seperti lelaki biasa. Muaz pun bukanlah lembut sangat. Cuma bila dia berjalan baru nampak ketara kelembutannya. Terlampau kepit sangat! Heheh!.
“Jom Dayang. Dah nak habis waktu rehat ni.” Muaz menunjukkan jam tangan di tangan. Aku pandang Tengku Haizal.
“Dah nak masuk balik ke?” Eh, dia tanya soalan bodoh  ke kurang cerdik ni?
“Ya Tengku Haizal. Waktu rehat saya dah habis. Kena sambung kerja semula. Jadi Tengku Haizal boleh balik sekarang.” Aku bangun dan berjalan di sebelah Muaz. Boleh nampak mata Tengku Haizal yang mengecik. Aik, cemburu ke?
“Jom saya hantar balik ke office,” pelawa Tengku Haizal.
“Eh, tak payahlah. Pejabat kita dekat aje kan Muaz?” Aku pandang Muaz yang menggangguk. Tangannya mengelap dahi yang berpeluh.
“Tadi datang sini dengan apa?” soal Tengku Haizal.
“Jalan kaki aje,” jawab Muaz.
“Jalan kaki?” Tengku Haizal pandang  aku. Kenapa pula dia ni?  Dia pandang aku dan Muaz silih berganti. Muaz dan berjalan keluar dari warung. Aku tak jawab soalan dia tapi aku cepatkan langkah untuk menyaingi Muaz.
“Muaz!” Tengku Haizal panggil. Suaranya sedikit kuat. Muaz berhenti melangkah.
“Aku nak pinjam Dayang kejap. Nanti aku hantar dia balik office.”
Aduh! Dia ni apahal pula? Aku pandang Muaz yang mengangguk. Dia ni pun satu. Cakaplah tak boleh. Itu pun susah ke? Muaz dah tinggalkan aku dengan Wayar Putus.
“Jom naik kereta. Panas ni.” Tengku Haizal dah menekan alat kawalan jauh keretanya.
“Tak naklah! Jalan kaki lagi dekat. Waktu rehat saya dah nak habis ni.” Aku buat alasan.
“Awak nak saya dukung atau masuk dalam kereta dengan rela hati?”
Hati dah panas ni. Kenapalah dalam dunia ni wujud manusia macam Tengku Haizal? Dia tak pernah bagi aku hidup dengan tenang walau sehari. Perangai dia yang suka memaksa buat aku makin  menyampah. Nak tak nak kena ikut dia masuk dalam kereta. Dah masuk dalam kereta, dia buat perangai lagi. Dah dihantar sampai ke depan pejabat, tapi tak bagi aku keluar pula.
“Tunggulah kejap. Ada sepuluh minit lagi kan?” Dia cuba  pujuk. Dia kuatkan suhu  penghawa dingin.
“Tengku nak apa ni? Hari ni hari pertama saya kat sini. Janganlah jatuhkan reputasi saya.” Aku cuba cakap elok-elok dengan dia. Harap sangat dia faham keadaan aku.
“Saya tak buat apa-apa pun. Nak berbual kejap dengan awak. Tadi tak boleh nak sembang sebab Muaz ada.”
Aku diam. Cuba bertolak-ansur dengan dia. Kalau aku melawan rasanya ada peluang dia bawa aku  lari nanti. Jadi baik  berlembut dengan Wayar Putus ni. Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba menyabarkan diri sendiri.
“Seronok kerja kat sini?”
“Baru separuh hari. Setakat ni masih ok lagi?”
“Ada yang kacau awak tak?”
“Kalau ada pun tak seteruk Tengku,” jawab aku selamba. Biar dia terasa.
“Teruk sangat ke saya ni?”
“Fikir sendirilah.” Perlahan saja aku jawab. Dia diam. Aku kerling jam di  dashboard. Lagi 3 minit.
“Cepatlah, nak cakap apa lagi?” Aku gesa dia.
“Saya minta maaf,” katanya perlahan.
“Ha?” Macam tak percaya pula dia boleh cakap macam tu. Dah buang tabiat ke?
“Saya tahu saya salah. Maafkan saya ya.” Aduh, dia buat muka kasihan pula. Nak cakap apa ni?
“Ok, saya maafkan. Boleh saya keluar sekarang?”
“Tak boleh.”
“Janganlah main-main!” Geramlah aku dengan dia ni. Tadi nampak macam dah insaf. Berlakon saja lebih dia ni.
“Awak dah maafkan saya kan? Maknanya awak tak payah kerja lagi kat sini. Jom kerja dengan saya balik.” Dia dah tunjuk sengih nakalnya. Dah datang balik  perangai  biul dia ni.
“Saya memang dah maafkan. Tapi saya masih tak lupa apa yang Tengku buat pada saya. Kalau nak tahu, saya tak ikhlas pun maafkan Tengku.”
 Dah tak kuasa nak berkompromi dengan dia. Aku buka kunci pintu dan terus keluar. Lewat 2 minit. Mujur Muaz tak bising. Petang tu dia bagi peluang aku mengendalikan pelanggan pula. Mula- mula memang kekok. Segan pun ada juga. Iyalah. Masa kerja di Haizal, Dinesh & Partners mana ada jumpa dengan pelanggan. Berbeza dengan kerja di sini.
“Macam mana setakat ni?” Muaz tanya masa aku dah bersiap-siap nak balik.
“Ok,  best  juga. Tak susah mana pun,” jawabku.
Muaz senyum. Dia pun dah mula mengemas alat-alat tulisnya.
“Hari ni hari bertuah kau. Tak ada customer  yang mengamuk. Ada hari-harinya tertentu, ada macam-macam customer kau jumpa nanti.” Muaz mengingatkan.
Aku senyum aje. Tak kisahlah, janji untuk hari ini segalanya selesai. Besok, biar besok punya cerita. Masa aku pakai helmet, Muaz panggil. Dia bawa aku ke bilik operasi sekali lagi, tapi terus ke mesin perakam waktu.
“Sebelum balik, kena punch card dulu. Nanti orang ingat kau tak balik pula,” kata Muaz.
Aku angguk faham. Untuk hari ini Muaz yang tolong  aku. Kami berpisah di tempat letak kereta. Aku terus ke tempat letak motor. Mata terpaku sekejap ke arah bakul motor. Ada sekuntum bunga ros di situ.
“Siapa pula yang baik hati sangt bagi aku bunga ni?” Aku cakap sendirian. Bunga ros di dalam bakul aku ambil. Ada sekeping kad  yang tertindih di bawah bunga ros itu.
Maaf… TH
 TH? Aku menung sekejap. Sekejap saja, tak lama sebab aku dah tahu siapa pengirim misteri itu. Siapa lagi kalau bukan Wayar Putus. Aku campak bunga ros di tangan terus mendarat di tepi longkang. Kad yang aku baca tadi pun aku campak sekali. Maaf  konon! Mampus tak layan!
Petang itu aku sengaja balik lewat sedikit. Bukan ke mana-mana pun. Aku singgah di pusat kecergasan. Ala, gym  kata orang putih! Heheh!  Aku tak nak terserempak dengan Wayar Putus tu. Rancangan aku menjadi. Malam ini aku nekad nak tanya Natrah, bila dia nak keluar dari rumah ni. Aku dah tahan melayan karenah dia.  Makanya malam itu sebelum tidur, dengan rasa sedikit bersalah  aku memulakan perbualan.
"Natrah, aku nak cakap sikit dengan kau ni. Tapi kau jangan kecil hati eh."
"Cakap ajelah," ujar Natrah. Ditepuk-tepuknya bantal kepala sebelum merebahkan badan.
"Hmm, abang aku tak berapa suka kau tinggal sinilah. Kau faham-faham ajelah. Dia tu kerja tak tentu masa.  Lagipun..."
"Ok, aku faham. Aku pun nak cakap juga kat kau ni. Aku dah dapat rumah sewa. Hujung minggu ni aku pindah. Nak ikut tak?"
Eh, cepatnya dia dapat rumah sewa. Mana dia dapat duit bayar deposit? Mungkin keluarga dia di kampung yang kirimkan duit agaknya. Tapi dulu katanya dia cuma ada seorang adik. Mereka membesar di rumah ibu saudara mereka, dekat dengan rumah mak dan abah aku di kampung. Hish, tak puas hati ni. Nak tanya jugak.
"Kau dah siap bayar deposit ke?"
"Dah. Api, air, deposit aku bayar empat bulan terus."
"Empat bulan? Banyak duit kau.” Terlopong mulut aku sekejap. Memang tak percaya.
"Tengku Haizal yang bayarkan,” ujar Natrah selamba.
"Siapa?" Aku tanya lagi. Bukannya tak dengar. Tapi macam tak percaya dengan apa yang aku dengar.
"Eh, kau dengar aku cakap tadikan? TENGKU HAIZAL BIN TENGKU NORDIN." Natrah tinggikan suara.
Amboi, cepat betul si Natrah ni jalan jarum. Dan cepat juga  Wayar Putus tu beralih arah. Baguslah tu, lepas ni tak ada orang nak kacau aku lagi. Aman!
"Kau tak cemburu ke?" Natrah tanya aku. Siap dengan senyum sinis.
"Cemburu?Apsal pulak aku nak cemburu?" Dia ni apahal pulak ketawa macam langsuir? Betullah aku tak cemburu. Kelakar ke aku cakap macam tu?
"Baguslah kalau kau tak cemburu. Aku tak nak dituduh perampas pulak nanti."
"Perampas apa pulak? Aku bukan awek dia. Elok juga kau kawan dengan dia. Dia memang suka awek cun macam kau."
Kenapa aku rasa macam tak ikhlas pula ni? Menyampah pulak aku tengok  Natrah tersengih-sengih. Sebelum aku cakap benda yang bukan-bukan, baik aku tidur.



No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.