Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 18, 2013

GURAUAN ASMARA BAB 10

        Aku pelik tengok Natrah. Melihatkan pada gaya, cara berbelanja dan jenama barang yang digunakan tidak seperti orang baru bekerja. Segalanya nampak mewah. Hari ini ikut dia berbelanja, semuanya duit dia. Aku cuba fikir positif. Mungkin dia ada simpanan. Atau gaji di tempat kerja yang lama masih berbaki. Tapi kalau dah namanya manusia biasa, aku tak boleh lari dari berfikir benda-benda yang negatif. Dari mana dia dapat duit sebanyak itu?
"Kau beli barang banyak-banyak ni nak sumbat kat mana? Mana muat nak angkut dengan motor."
Aku pandang Natrah yang tengah mengeluarkan duit. Sempat juga aku jeling beg duit dia. Mak datuk, tebalnya! Mana dia dapat duit banyak-banyak ni?
"Aku yang beli, pandailah aku nak bawa macam mana nanti," kata Natrah.
Memanglah kau pandai bawa. Tapi tuan tanah yang nak mengangkut barang-barang kau tu aku. Dia ni kalau buat satu-satu benda memang suka guna kepala lutut. 
"Dah siap bayar nanti call aku tau. Nak pergi toilet jap."Aku tinggalkan dia  di situ. Tak larat lagi nak menunggu. Selesai berurusan di dalam tandas, aku keluar dan tunggu Natrah call. Takkan tak siap lagi? Aku pergi balik ke tempat tadi. Eh, dia dah tiada di situ. Mana pulak minah ni? Handphone berbunyi.Ada mesej masuk.
Aku kat TGV
Adoi, nak tengok wayang pulak ke? Macam-macamlah dia ni. Kalau tak sebab dia minta tolong, dah lama aku balik. Hayun jugalah kaki ke sana. Dari jauh aku nampak dia tengah berbual dengan seseorang. Macam kenal saja orang tu. Bukan main lebar lagi senyum Natrah. Digamitnya aku supaya segera menghampiri.Sekali teman berbual  dia tu menoleh ke belakang. La, bila pula dia sampai ni? Ini tak mungkin kebetulan. Mesti Natrah yang call dia. Buat biasa sajalah. Dia pun ada hak nak berjalan-jalan kan?
"Tengku pun ada?Bila sampai?" Sekadar nak berbasa-basi aje.Jangan nanti dia kata aku sombong pulak.
"Dia dah ikut kita dari tadi rupanya Dayang. Nakal betul Ku Zal ni,I like!" Natrah ketawa mengekek. Telunjuk runcingnya menolak lembut bahu Tengku Haizal.
Aduh, menggedik pulak minah speaking ni! Yang sorang ni, pandang aku atas bawah apahal? Macam tak pernah tengok orang perempuan pakai topi ke? Natrah hulur tiket pada aku dan  Tengku Haizal.
“Masuk dulu. Aku nak beli popcorn  jap. Ku Zal nak apa-apa tak?” Natrah memaut bahu  Tengku Haizal.
“Beli ajelah apa-apa,” jawab Tengku Haizal sambil menurunkan tangan Natrah. Suaranya juga agak kasar.
"Nak tengok wayang ke?" Aku tanya Tengku Haizal. Dari muka garang boleh bertukar pula jadi nakal.
"Taklah, nak buat wayang kat dalam tu, boleh?"Tengku Haizal jawab sambil gigit hujung bibir.
Choi! Seram aku. Aku pandang sekeliling mencari sesuatu.
“Awak cari apa?” tanya Tengku Haizal.
“Mana Natrah simpan barang-barang yang dia beli tadi?” Troli yang penuh dengan barang-barang keperluan Natrah  tak kelihatan. Mana perginya?
“Dia simpan di tempat letak barang. Nanti tumpang kereta saya. Mana nak muat kalau letak dalam bonet motor awak tu,” perli Tengku Haizal.
“Oh, patutlah!” Aku senyum lebar sambil terangguk-angguk.
“Apa yang patut?”
“Patutlah sakan sangat Natrah shopping.  Dia dah plan  awal-awal nak balik dengan buah hati rupanya.” Aku pula perli dia. Tengku Haizal tarik tangan aku.
“Jom masuk!”
Aku cuba lepaskan pegangan tangan Tengku Haizal. Tapi tak terlawan dengan tenaga lelakinya. Semasa nak mencari tempat duduk, barulah dia lepaskan pegangan.
“Masuk dulu,” katanya. Dia bagi ruang untuk aku pergi ke tempat duduk. Tapi aku masih tegak di sebelahnya.
“Tu kan tempat Tengku. Tengkulah masuk dulu. Kita ikut nombor tiket masing-masinglah.”
“Masuk ajelah.” Tengku Haizal tarik tangan aku sekali lagi. Nak tak nak kena duduk juga di tempat dia. Dia menyusul di belakang.
“Dayang, saya tak sukalah tengok awak pakai topi. Macam jantan. Tak sesuai,” tegur Tengku Haizal.
“Eh, apahal pulak? Memang macam ni cara pemakaian saya. Tengku salah tegur orang ni. Patutnya Tengku tegur buah hati Tengku tu. Baju yang dia pakai tu sama saiz dengan baju anak buah saya tau.” Aku cakap perlahan. Bimbang pula kalau Natrah terdengar.
“Natrah bukan buah hati sayalah. Berapa kali nak cakap? Saya tegur tu untuk kebaikan awak juga. Tak baik tau kalau perempuan menyerupai lelaki.”
Aku pandang dia. Menyesal pula ikut cakap Natrah nak tengok wayang. Kalau aku tahu dia nak dating dengan Tengku Haizal, baik aku balik  dulu saja tadi.
“Kenapa pandang macam tu? Marah?” sambung dia lagi. Aku tak boleh balas sebab Natrah dah masuk dengan sebekas besar popcorn  di tangan. Aku tahan gelak. Tukang Haizal jadi tukang pegang bekas popcorn di tengah-tengah. Tayangan gambar pun bermula. Keadaan sekeliling sudah gelap.
Setengah jam menonton,  aku dah menggigil kesejukan. Kaki dah mula bersila di atas kerusi. Itulah untungnya berbadan kenit ni. Heheh! Mujur pakai baju lengan panjang. Kurang sejuk sikit. Tayangan gambar baru separuh jalan, tiba-tiba Tengku Haizal buat perangai. Sengaja dia mendekatkan badannya pada aku. Seboleh-boleh dia nak bergesel lengan. Aku tolak bahunya dan cuba mencari matanya dalam samar cahaya.
"Duduk diam-diam boleh tak Tengku?Jangan macam budak baru lepas bersunat!" Aku marah dia.
"Saya tak sukalah duduk sebelah Natrah ni.Kita tukar tempat duduk nak tak?" pinta Tengku Haizal dengan suara separuh berbisik.
Aku pandang muka dia. Lepas tu aku pandang Natrah.Baru perasan tangan Natrah tengah landing atas peha dia. Aku senyum sinis. 
"Oklah tu.Tengku kan memang suka spesis macam tu." Aku perli dia.
"Spesis macam mana pulak?"
"Spesis suka meraba-raba. Macam Tengku juga kan?"
"Saya tak suka dia. Saya suka kat awak. Takkan itu pun tak faham lagi?Awak ni spesis bengap ke bongok?"
Nyaris tercetus tawa aku. Kelakar pula tengok muka dia yang tengah bengang. Boleh nampak beberapa kali dia mengalihkan tangan Natrah. Tapi kalau dah memang jenis tak faham bahasa, Natrah buat lagi. Tak cukup dengan itu. Siap terlentok kepala di bahu Tengku Haizal. Lagaknya betul-betul macam orang tengah mabuk bercinta.
“Awak nak pergi mana ni?” Dia sempat tarik hujung baju aku bila nampak aku bangun. Aku tunduk sedikit nak bagi dia dengar suara aku dengan jelas.
“Nak pergi tandas,” kataku.
“Nak ikut. Saya temankan awak ya.” Tengku Haizal  dah mula nak bangun. Aku sempat tahan dia.
“Tak payahlah Tengku. Temankan Natrah. Dia takut duduk dalam gelap tu. Saya pergi sekejap aje.”
Aku segera keluar walaupun Tengku Haizal masih cuba menahan. Huh, padan muka. nak bagi aku cemburu konon! Tapi sudahnya dia sendiri yang terperangkap dengan Natrah. Aku tak tunggu lama lagi di situ. Terus pergi ke tempat parking  motor. Start  enjin dan terus menghala ke jalan balik.
Sampai di rumah, dah disambut oleh Abang Burn. Hujung minggu macam ni dia memang suka basuh kereta. Bella dan Benji pun menolong. Main air aje yang lebih sebenarnya. Aku parking motor di luar rumah. Bimbang anak-anak buah bermain, takut terkena ekzos panas.
“Tadi kau keluar dengan Natrah kan? Mana dia?” tanya Abang Burn.
“Kejap lagi dia sampailah tu.” Aku jawab acuh tak acuh.
“Dia balik dengan siapa?” tanya Abang Burn lagi.
Hon kereta berbunyi di luar rumah. Aik, cepatnya diorang sampai. Abang Burn dan anak-anaknya menjenguk keluar. Aku? Terus masuk dalam. Nak terkucil. Tak perasan pula Natrah dah keluar dari kereta dengan muka masam. Keluar aje dari bilik air, Natrah dah tunggu aku sambil bercekak pinggang.
“Kenapa kau balik tak beritahu aku?” tanya Natrah.
“Aku ingat dah sampai rumah nanti baru nak call  kau. Tapi kau dah sampai dulu,” jawab aku selamba. Selama ni aku saja yang bengang dengan dia kan. Kali ni bagi dia pula rasa bengang dengan aku.
“Kau tahu tak? Cerita belum habis lagi Ku Zal dah ajak balik. Semua kau punya pasal.Dia risau kau hilang.”
“Nak risau apa? Aku bukannya budak-budak lagi. Lagipun nanti sudahnya aku balik sorang-sorang juga kan?” Aku saja tambah minyak, bagi dia berapi lagi. Dalam hati macam nak lompat bintang. Seronok tengok muka Natrah macam kena langgar dengan lori cuka.
Malas nak lawan bertekak dengan dia, aku keluar dari bilik. Kononnya nak membasahkan tekak di dapur, tapi langkah terhenti tatkala mendengar suara orang berbual-bual di ruang tamu. Buat lencongan sekejap. Nak tengok siapa di sana.
“Dayang, tolong tengokkan air akak jerang kat dapur. Kalau dah masak tolong buat air ya. Keluarkanlah apa-apa yang ada kat dapur tu,” suruh Kak Maziah.
“Siapa datang kak?” Aku tanya dia sebab berkesempatan nak ke depan.
“Tengku Haizal.”
“Ha? Kan dia hantar Natrah tadi. Bukan ke dia dah balik tadi?” Memang terperanjat betullah aku. Macam mana dia boleh lepas masuk pula ni?
“Abang Burn ajak masuk. Tadi bersembang kat luar aje. Dah melarat ke dalam rumah pulak.” Kak Maziah menjawab acuh tak acuh. Dia sedang memakaikan baju Bella dan Benji.
Cerek yang ditenggek di atas dapur berbunyi. Selepas tutup api dapur aku menung kejap. Lepas tu aku senyum lebar. Tiba-tiba rasa nak mendajalkan Natrah. Aku berjalan laju masuk ke bilik.
“Nak pergi mana tu? Air dah buat?” Kak Maziah mematikan langkah aku.
“Nak suruh buah hati Tengku Haizal buat air.” Aku senyum nakal. Kak Maziah pun sama. Empat jari digenggam, ibu jarinya ditegakkan.
“Bagus, bagus! Bila lagi nak suruh dia ke dapur kan?”
Makin suka aku bila dapat sokongan dari Kak Maziah. Aku tolak daun pintu. Natrah baru selesai memunggah barang-barang di dalam kereta Tengku Haizal. Berpeluh-peluh muka dia. Punyalah banyak barang dia beli. Stok makanan segera pun ada. Bagus! Lepas ni dah tak ada alasan dia nak bedal kek aku.
“Nat, pergi buat air Tengku.” Aku duduk di birai katil. Natrah pandang aku sambil kesat peluh dengan belakang telapak tangan.
“Kenapa aku pula yang kena buat? Kak Maziah kan ada,” ujar Natrah.
“Dia  sibuk dengan anak-anak dia.”
“Kau?” Natrah nak lepas tangan lagi.
“Eh kau ni, Ku Zal tu kan buah hati kau. Bila lagi nak bagi dia merasa air tangan kau?” Aku lembutkan suara dan maniskan muka. Natrah  dah mula senyum simpul. Eleh, malu konon! Rasa macam nak sepak aje punggung dia.
“Yelah, yelah! Aku basuh muka kejap. Nanti aku buatkan air dia.”  Natrah bingkas ke bilik air. Aku pula cepat-cepat keluar dari bilik. Kak Maziah dah tunggu di dapur. Muka dia nampak teruja.
“Dia nak tak?” tanya Kak Maziah. Aku angguk laju.
“Bagus, Abang Burn punya akak dah buatkan. Biar dia buat Tengku Haizal punya. Ada karipap akak beli tadi. Nanti suruh dia hidangkan sekali. Guna gula yang dalam balang hijau tau,” arah Kak Maziah.
“Balang hijau? Balang hijau ni kan…”
“Shhh, diam-diam sudah.” Kak Maziah tepuk perlahan bahu aku. Kami tahan gelak. Habislah kau Natrah.
“Mana teko?” Natrah dah masuk dapur. Nampak tak sabar nak sediakan air untuk buah hati tersayang. Kak Maziah tinggalkan aku berdua dengan dia di dapur. Aku siapkan dulang dan susun cawan. Dengan penuh keyakinan Natrah bancuh air. Siap seteko, dia terus letak dalam dulang.
“Tak payah rasa dulu ke?” Sengaja aku nak uji dia.
“Tak payah. Setakat buat air, pejam mata ajelah,” jawab Natrah. Dia tatang dulang dan bawa ke ruang tamu. Aku ikut dia. Bukan main sopan lagi dia menyusun cawan dan menuangkan air untuk Tengku Haizal. Aku ambil tempat di sebelah Kak Maziah.
“Jemput minum Ku Zal.” Natrah menyuakan cawan pada Tengku Haizal. Aku dan Kak Maziah dah menyimpul senyum. Menunggu masa Tengku Haizal menelan teh o buatan Natrah. Natrah masih berlutut di karpet, mengadap buah hatinya. Aku pegang peha Kak Maziah. Teruja campur takut. Aku nampak halkum Tengku Haizal bergerak-gerak. Dan…
Burrr…
Natrah menutup mata. Perlahan-lahan tangan dia menyapu muka yang basah. Tapi dia masih berlagak biasa.
“Ku Zal ni, air tu kan panas. Minumlah perlahan-lahan.” Natrah capai tisu dan mengeringkan muka yang basah.
“Kenapa?” tanya Abang Burn.
“Tak ada apa-apa bang. Air ni panas sikit. Ambilkan saya air sejuk boleh tak?” pinta Tengku Haizal.
Kak Maziah bingkas bangun. Natrah masih tidak berganjak dari situ. Menghulurkan pinggan berisi karipap pula. Kali ni jelas nampak kerutan di muka Tengku Haizal. Dia pandang aku. Macam nak minta tolong aje muka dia.
“Makanlah Tengku, ini karipap frozen. Saya yang goreng tadi,” kata Natrah tanpa malu.
Kali ni aku pula bangun. Senak perut aku menahan gelak. Aku cari Kak Maziah. Dia sedang menukar balang di dapur.
“Akak buat apa tu?”
“Akak tukar penutup balang ni dengan yang satu lagi. Biar bengong si Natrah tu fikir kenapa air Tengku tu masin!”
Terhambur juga akhirnya gelak kami berdua.
“Dayang buat apa kat dapur ni. Pergilah duduk depan,” suruh Kak Maziah sambil menuang air sejuk di dalam gelas.
Aku ceritakan perihal kuih karipap pula pada Kak Maziah. Tepuk dahi kakak ipar aku tu.
“Dayang hantar air ni pada Tengku. Tak kuasa akak nak tengok muka poyo Natrah tu.” Kak Maziah mengiringi aku sampai ke pintu dapur, tapi kemudiannya dia melencong masuk ke bilik.
Sampai di ruang tamu. Aku tengok Tengku Haizal terbatuk-batuk. Kelam-kabut Natrah mengambil gelas di tangan aku.
“Kenapa ni?” Aku tanya Natrah tapi pandang Abang Burn.
“Karipap ni pedas. Ku Zal tak boleh makan. Kau beli kat mana karipap ni?” Natrah bertanya dengan nada tinggi.
“Beli? Tadi kata goreng sendiri?” Tengku Haizal bertanya selepas habis segelas air sejuk diteguk.
“Eh, memang goreng sendiri. Tapi..” Natrah tak dapat menghabiskan ayat. Dia pandang aku mohon pertolongan. Aku pandang ke arah lain.
“Takpelah bang. Saya balik dulu. Dah lewat ni.” Tengku Haizal bangun. Dikerlingnya aku. Aku cuma mengangkat kening. Natrah mahu menghantar Ku Zal hingga ke pintu pagar tapi ditegah oleh Abang Burn.
Natrah menghentak-hentak kaki tanda protes. Aku senyum aje. Sempat lagi aku buli dia untuk kali kedua.
“Nat, kau tolong angkat cawan-cawan tu ya. Aku nak mandi kejap.” Aku tinggalkan dia dan terus pergi ke bilik.
Berdentang-denting bunyi cawan-cawan dibasuh oleh Natrah di dapur. Aku buka daun pintu, nak meninjau dia. Aku nampak Natrah memasukkan hujung jarinya ke dalam balang di tepi sinki. Aku keluar nak mengkepohkan diri.
“Kenapa Nat?” Aku tanya dia.
“Ku Zal kata air yang aku buat tu masin. Tapi aku rasa gula ni manis. Lidah aku yang tak betul ke dia yang buta rasa?” Natrah menyoal diri sendiri.
“Lidah tu pun pandai menipu, macam tuan dia juga. Entah betul entah tidak kau letak gula. Jangan-jangan kau letak garam.”

Kak Maziah tiba-tiba muncul. Natrah tutup semula balang gula yang dipegang. Dia memang tak berani melawan cakap Kak Maziah. Berdentum pintu bilik ditutupnya. Aku dan Kak Maziah tersenyum lebar. Puas hati aku.

November 16, 2013

GURAUAN ASMARA BAB 9

           Yeehaa! Harinya tiba juga. Mood  sangat baik sejak malam tadi. Almaklumlah, hari terakhir aku di Haizal, Dinesh & Partners. Untuk menzahirkan kegembiraan aku menyambut hari terakhir aku di sana, aku buatkan sebiji kek. Sampai pejabat nanti boleh makan sama-sama. Usai bersiap pagi itu, aku terus ke peti sejuk. Nak masukkan kek yang aku buat malam tadi. Aku buka peti sejuk, kira bekas cupcake di rak atas. Cukup ikut jumlah yang Kak Maziah nak. Menyangkung separuh badan. Nak tengok kek aku pula. Ya Allah! Terduduk aku sambil pegang dahi. Laju kepala aku menoleh ke arah bilik. Natrah!
            Aku tutup pintu peti agak kuat. Kaki dah meluru masuk ke dalam bilik. Natrah yang sedang menyanggul tinggi rambutnya aku tenung tanpa kerdipan. Sengaja aku mematung di muka pintu dan tunggu dia menoleh. Makin aku tunggu hati aku makin panas. Tapi masih nak tunggu juga.
            “Eh, apsal tercegat kat situ?” Akhirnya dia perasan.
Sabar Dayang. Tarik nafas dalam-dalam dulu. Pagi-pagi ni tak elok gaduh-gaduh. Aku menyabarkan diri sendiri dulu.
“Kenapa kau makan kek tu?” Terus saja aku tanya dia. Tak ada orang lain lagi yang berani buat macam tu dalam rumah ini melainkan dia.
“Oh, kek yang ada strawberi tu ya. Sorrylah Dayang. Aku tak boleh tidurlah malam tadi. Perut lapar. Cari benda makan kat dalam periuk tapi semua dah habis. Aku buka peti sejuk, yang ada cuma kek tu aje,” kata Natrah. Dia sambung mengemaskan ikatan sanggulnya.
“Nat, aku bosanlah dengan perangai kau ni. Jangan sampai aku halau kau keluar dari rumah ni pulak. Berapa kali aku nak cakap? Maggi kan ada.” Aku rapatkan pintu. Bimbang pula kalau Kak Maziah dan Abang Burn dengar.
“Ala, lambatlah nak masak Maggi. Aku potong sikit aje pun. Tak payahlah nak kecoh-kecoh.” Natrah campak sikat rambut atas meja solek. Dia dah selesai bersiap.
“Kau tahu aku nak bawa kek tu pergi office  hari ni kan? Kenapa kau potong juga?”
“Nanti kat office kau potong juga kan? Kek tu cuma untuk jamu kawan-kawan kat office aje kan? Apa susah, kau potong aje siap-siap dari rumah. Benda boleh settle lah! Itu pun nak serabut kepala."
“Ya Allah! Dengan cara apa lagi aku nak betulkan kepala kau ni! Natrah, cubalah matang sikit. Jangan sampai aku rasa menyesal berkawan dengan kau. Tau tak, haram hukumnya kalau aku tak halalkan apa yang kau makan tu tau.”
Dada dah berombak. Kalau dia menjawab memang aku hayun pelempang pada dia. Natrah berjalan ke tingkap. Dia melompat keriangan dan terus capai beg tangan. Sempat lagi sembur minyak wangi ke leher. Hon kereta Tengku Haizal sudah membingit di luar.
“Aku pergi dululah. Jumpa kat office nanti. Bye.” Natrah menepuk perlahan pipi aku. Sakitnya hati. Aku ke dapur semula. Sedih sangat  tengok kek yang dah rongak. Kata-kata Natrah terngiang-ngiang di telinga. Sabar Dayang.  Benda dah jadi.
“Buat apa tu?” Kak Maziah menegur.
Kalau aku cerita hal yang terjadi memang masak aku kena khutbah ni. Baik jangan banyak cakap.
“Nak potong kek masukkan dalam bekas. Senang sikit nak bawa nanti,” jawab aku.
Dengan berat hati aku potong-potong kek itu. Dah tak senonoh rupanya. Tapi sebab  nak menjamu kawan-kawan, aku bawalah juga. Mujur Kak Maziah tak banyak cakap. Selesai mengerjakan kek, aku pecut ke pejabat. Tak sangka boleh sama-sama sampai dengan Mr. Dinesh. Mukanya nampak murung. Sebaik saja punch card, dia suruh aku masuk ke bilik.
“Nat, aku letak kek kat pantri. Kau jangan usik, faham tak?” Aku bagi amaran dulu pada Natrah awal-awal.
“Kau nak pergi mana?” tanya Natrah. Belum mula waktu bekerja, tapi dia dah mula sibuk di hadapan mesin fotostat. Bagus, kau hadaplah mesin tu sampai muntah hijau.
Aku tak jawab pun soalan dia. Tak penting pun untuk dia tahu ke mana aku pergi. Aku ketuk sekali saja pintu bilik Mr.Dinesh. Dia dah bukakan pintu untuk aku. Aku senyum sebagai tanda terima kasih. Tapi dia tak balas. Pelik, kenapa dengan dia ni?
“Mr.Dinesh ada masalah ke? Dari tadi saya tengok masam aje muka tu.” Aku tegur dia. Dia cuba senyum, tapi tak menjadi. Dah macam rupa orang kena sembelit pula bila dia buat-buat senyum.
Last day hari ni kan?”
Aku angguk laju seiring dengan senyum lebar.
“Awak betul-betul tak nak kerja lagi di sini?”
Aku angguk lagi. Mr.Dinesh mengeluh. Tersandar kepalanya di kerusi.
“Saya tak berapa percaya dengan Natrah,” kata Mr. Dinesh.
“Kenapa?” Aku pula tanya dia.
“Entahlah, tapi naluri hati saya kata yang dia tu tak jujur.”
Aku diam. Tak tahu  nak jawab apa. Kasihan pula aku tengok dia. Lama aku biarkan dia termenung.
“Dayang, awak boleh tolong saya tak?”
“Tolong apa?”
“Tolong buatkan akaun pelarasan gaji dan akaun syarikat sementara Salmi belum naik bekerja.”
“Tapi saya dah…”
“Awak buat senyap-senyap. Ini antara saya dan awak aje.” Mr. Dinesh nampak benar-benar memerlukan pertolongan aku.
“Mr.Dinesh…”
“Tolong jangan tolak. Saya akan bayar gaji penuh pada awak. Kita berurusan melalui email.”
“Macam mana dengan Tengku Haizal?”
“Saya akan cakap pada dia kita upah accountant luar sebab Natrah sibuk dengan kerja lain.”
Terdiam aku sekejap. Serius betul perbincangan ni. Mr.Dinesh merapatkan dada ke meja. Kedua-dua tangannya bertaup rapat. Dia masih menunggu jawapan yang akan keluar dari mulut aku. Berat tanggungjawab ni.
“Dayang,” panggil Mr.Dinesh.
“Ya.”
“Diam tu tandanya setuju kan?”
Amboi, pandai-pandai aje dia baca fikiran aku.
“Tapi kalau awak ubah fikiran, itu lagi bagus.” sambung dia lagi.
“Ubah fikiran, maksud You?” Aku tak faham apa maksud dia.
“Yelah, mana tau kalau-kalau tak jadi nak kerja kat tempat lain. Terus aje kerja kat sini,” kata Mr. Dinesh.
“Woo! Mungkin tidak. Hari ni adalah hari yang paling lega bagi saya Mr.Dinesh. Saya dah penat melayan karenah Tengku Haizal.”
Dia ketawa dengar aku cakap macam tu. Kelakar ke? Tak cukup dengan ketawa, tergeleng-geleng pula kepalanya.
“Saya keluar dululah Mr. Dinesh. Dah habis bincang kan?”
“Jawapannya?” Tawa Mr.Dinesh terhenti. Bulat matanya pandang aku.
“Saya setuju. Tapi sampai Kak Salmi naik kerja aje ya.”
Lebar senyum bos kedua aku tu. Dia hulur tangan untuk bersalam. Tapi kemudian dia tarik balik.
“Maaf, saya lupa awak tak salam dengan lelaki. Seronok sangat sampai lupa.”
Aduhai, cair kejap dengar Mr.Dinesh cakap macam tu. Lebih cair lagi bila dia hantar aku sampai ke pintu. Siap bukakan pintu dan keluar sama-sama. Wah, macam ada skandal pula! Heheh! Apa kau merapu ni Dayang?
“Mana pergi semua orang?” Aku tengok meja Natrah kosong. Mr.Dinesh pun pandang sekeliling pejabat yang senyap.
“Di pantri kot.” Aku jawab soalan aku sendiri. Alamak, kek aku! Serta-merta laju langkah aku ke sana. Mr. Dinesh pun ikut  aku.
Langkah terhenti tatkala masuk ke pantri. Semua ada di sana. Termasuklah Tengku Haizal. Macam ada aktiviti bersarapan secara berjemaah di situ. Mata aku tertangkap sesuatu  di tengah-tengah meja. Astaghfirullahalazim!!! Apa lagi yang kau buat ni Natrah?
“Eh, Mr.Dinesh. Dah habis meeting. Mari rasa kek yang Natrah buat ni. Sedap betul.” Ms. Susan beri ruang sedikit. Aku berjalan perlahan, berdiri di belakang Natrah. Dia menoleh bila aku cuit bahunya dan menghadiahkan satu pandangan yang tajam.
“Dayang, sorrylah tak sempat nak tunggu kau habis meeting. Ku Zal ni, tak sabar nak rasa kek. Tapi aku ada tinggalkan sikit untuk kau.”  Tanpa rasa bersalah, Natrah hulur bekas kek pada aku. Aku geleng perlahan. Macam nak menitik airmata aku. Kenapa Natrah buat aku macam ni?
“Rasalah sikit kek tu. Tak gemuk pun kalau setakat makan satu,” perli Tengku Haizal pula.
“Maaflah Tengku. Tekak saya ni tekak orang Melayu. Tak boleh nak telan kek pagi-pagi macam ni. Saya makan nasi lemak,” jawab aku selamba. Masih  mengawal kemarahan. Tangan dah menggigil ni. Aku bancuh  Milo dan terus keluar dari pantri. Sakit mata dan hati tengok sandiwara Natrah.
Dah tak ada apa-apa yang perlu dilakukan hari ini. Semua kerja-kerja Kak Salmi dah beres buat masa ni. Aku selak suratkhabar. Sebelum tu sempat lagi kerling ke mesin fotostat. Hmm, tak siap lagi kerja perempuan ni.Lantak kaulah. Aku dah tak nak ambil tahu lagi. Pandai-pandai kaulah lepas ni.
“Dayang.”
Aku turunkan suratkhabar. Tengku Haizal dan Natrah  sedang tegak berdiri di sebelah meja.
“Ya, boleh saya bantu?” tanya aku.
“Jangan lupa kemas barang-barang awak hari ni. Pastikan tak ada satu pun yang tertinggal. Meja ni nanti bagi Natrah,” kata Tengku Haizal.
“Ok.” Aku jawab pendek. Natrah tersengih-sengih di sebelah Wayar Putus.
“Ku Zal, komputer dia ada password. Setiap kali nak buka mesti nak kena tanya dia. Lecehlah!” Natrah kerling aku. Dia ni memang sengaja keluarkan api dari unggun agaknya.
“Awak dengar dia cakapkan? Buka balik password  tu. Komputer tu bukan awak punya. Jangan bawa balik pula.” Sinis betul kata-kata Tengku Haizal. Tapi aku tetap senyum.
“Jangan risau Tengku. Saya takkan ambil barang-barang dalam pejabat ni. Tak  hadap pun!”  Aku tentang mata Tengku Haizal  dan Natrah silih berganti. Ikut hati nak aje aku hantukkan kepala dua-dua ni. Sama aje sengal!
“Ok, pergi siapkan dokumen yang saya nak tu Natrah. Oh ya sebelum saya terlupa. Kek awak tu memang sedap. Kalau rajin buat lagi ya. Macam tu baru dinamakan perempuan. Cantik, lemah lembut, pandai masak. Cukup pakej.” Sengaja Tengku Haizal keraskan suaranya bila dia sebut ‘cukup pakej’. Aku ketap bibir.  Bukan main suka lagi Natrah kena puji. Memang spesis muka tembok betul dia ni.
Aku pandang Tengku Haizal berjalan keluar dari pejabat. Kenapa tiba-tiba rasa tersinggung ni? Selalunya aku tak kisah  pun. Tapi hari ni lain sangat rasa bila dia tak menyakat aku. Untuk pertama kalinya hari ni Tengku Haizal ajak Natrah keluar lunch. Aku yang  duduk  di sebelah Natrah waktu itu langsung tidak dipelawa. Hmm, tak apalah Dayang. Kau pun bukannya suka dengan dia kan? Ya, buat apa aku sibuk-sibuk hal mereka. Aku habiskan masa senggang tengahari itu dengan berkemas. Kemudian bantai main  game.  Indahnya hidup. Punyalah leka sampai tak sedar dah pukul 3. Dah terlewat untuk solat Zohor.
Aku bingkas bangun dan buat apa-apa yang patut. Usai solat aku bercadang nak sambung lagi main game. Heheh! Dah tak ada apa nak buat kan? Aku ni bukan kaki Facebook. Tak minat nak bergosip. Buat hal sendiri sudah!  Tapi yang  peliknya, mana Natrah? Waktu-waktu macam ni masih belum nampak batang hidung?  Bukan Natrah seorang. Yang lain-lain pun sama. Aku cuba hubungi Mr. Dinesh. Tapi panggilan tidak berjawab. Puan Linda, Tuan Syed pun sama. Fikir positif  Dayang. Mungkin masing-masing jumpa klien di luar. Hmm, kalau peguam-peguam adalah munasabahnya. Si Natrah tu? Jumpa klien juga ke?
Telefon bimbit menyanyi-nyanyi minta diangkat. Natrah call.
“Kau kat mana?” tanya Natrah sebelum sempat aku bagi salam.
“Kat officelah. Kau kat mana ni?” Aku jawab dan tanya sekaligus.
“Ok, bye.” Natrah matikan talian. Aku pandang telefon. Dia ni kenapa? Telefon aku cuma nak tanya itu saja? Selang beberapa minit kemudian pintu pejabat terkuak luas. Natrah bagi ruang untuk Puan Linda, Tuan Syed, Ms.Susan dan beberapa orang budak penghantar pizza  masuk. Natrah senyum pada aku tapi tak cakap apa-apa. Terus dibawanya 3 orang budak penghantar pizza tu ke bilik mesyuarat. Tengku Haizal menyusul selepas itu. Tapi langsung tak tegur aku.
“Dayang, jom masuk  bilik meeting. Ada jamuan sikit untuk awak.”  Mr. Dinesh berhenti di depan meja. Buntang mata aku pandang dia.
“Jamuan untuk saya?” Aku tengok  Mr.Dinesh mengangguk laju.
Tiba-tiba rasa macam nak menangis. Tak sangka pula Mr. Dinesh merancang jamuan perpisahan untuk aku di saat-saat akhir. Kesemua peguam yang bernaung di bawah Haizal, Dinesh & Partners bagi aku hadiah. Cuma Tengku Haizal saja yang buat kering. Dia langsung tak sentuh makanan  dan minuman yang aku hidangkan untuknya. Tapi kalau Natrah yang bawakan, dia minum pula. Hmmm, fikir rasional Dayang. Dia sedang membiasakan diri dengan Natrah tu. Kalau mereka berdua bercinta pun tak salah. Memang sama cantik sama padan. Eh, salah ayat tu. Sama miang sama gatal! Ha, tu baru sesuai.
            “Bertuahnya kau Dayang. Berhenti kerja pun dapat hadiah.” Natrah membelek  hadiah pemberian Ms. Susan. Entah apalah isi di dalamnya. Kotak hadiahnya agak besar. Rasa-rasanya macam tak muat aku nak bawa balik dengan motor.
            “Tak sangka pula dapat hadiah banyak macam ni. Mana muat nak sumbat dalam skuter aku tu.” Aku senyum sambil menggeleng kepala. Otak aku tengah memikirkan cara nak bawa hadiah-hadiah ni balik ke rumah.
            “Mr.Dinesh, saya nak minta tolong sikit boleh tak?” Aku gamit Mr.Dinesh yang sedang mengambil air berkarbonat di atas meja. Dia menghampiri aku dan Natrah. Natrah kelihatan tidak suka dengan kehadiran Mr.Dinesh.
            “Kau nak  spageti lagi tak Dayang? Aku ambilkan ya,” ujar Natrah. Aku tak jawab apa-apa pun lagi, dia dah pergi.
            “Dia macam tak suka aje dengan Mr.Dinesh,” seloroh aku pada bos India tu.
            “Mungkin saya tak handsome macam Ku Zal  kot,” kata Mr.Dinesh.
            “Salah statement  tu Mr.Dinesh. Mungkin You tak miang macam Tengku Haizal. Ayat tu baru betul!” Aku tutup mulut menahan tawa.
            Mata melihat Tengku Haizal yang sedang berbual dengan Natrah. Mulut dia bergerak-gerak, tapi matanya ke arah aku. Tiba-tiba datang idea nak menyakat pula. Aku tarik kerusi dan hulur pada Mr.Dinesh. Penyandar kerusi aku tepuk-tepuk perlahan, bagi isyarat  suruh dia duduk.
"Awak nak cemburukan Tengku Haizal ya?" tanya Mr.Dinesh.
Aku senyum aje. Pandai betul dia baca fikiran aku.
"Saya nak tumpangkan hadiah-hadiah ni boleh tak? Tak muat nak sumbat dalam Givi Box saya." Aku terus ke  tujuan asal aku panggil dia.
Mr.Dinesh diam sekejap. Dia pandang aku, kemudian pandang pada beberapa orang peguam yang sedang berbual.
"Bukan tak boleh Dayang, tapi saya kena sampai awal ke rumah hari ni. Family saya buat upacara sembahyang di kuil. Kalau minta tolong Syed boleh tak?" Dia mencadangkan orang lain pula. Nak tutup rasa bersalahlah tu. Macamlah aku tak tahu.
"Eh, tak apalah Mr.Dinesh. Saya call cab aje minta tolong hantar barang-barang ni ke rumah. By the way, terima kasihlah sudi adakan jamuan ni untuk saya."
"Eh, bukan saya yang buat semua ni Dayang. Saya cuma tumpang nama aje, yang keluar modal orang lain," kata Mr.Dinesh sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Habis tu, siapa yang buat semua ni?" Aku tanya dia balik. Dalam kepala macam dah dapat agak siapa yang bermurah hati nak membazir duit buat semua ni.
"Tengku awaklah, siapa lagi?" Mr.Dinesh menyungging senyum.
"Eee, dia bukan Tengku sayalah Mr.Dinesh. Tengku Haizal tu Natrah punya."
"Ni apa sebut-sebut nama saya ni?"
Datang dah. Pantang sebut nama, macam Road Runner dia datang mencelah.
"Zal, kau tolong tumpangkan hadiah-hadiah Dayang ni boleh tak? Lagipun nanti kau hantar Natrah balik kan?" Mr.Dinesh tolong tanyakan untuk aku.
"Aku nak tumpangkan tuannya, bukan hadiahnya."
Aku kerling Tengku Haizal. Tanpa segan dengan rakan kongsinya, Wayar Putus tu layangkan flying kiss pada aku. Sengal betullah!  Spontan bibir bawah aku terjuih dan mencetuskan gelak Mr.Dinesh yang menjadi pemerhati sejak tadi. Natrah yang berdiri tak jauh dari kami pun turut terpancing dengan tawa Mr.Dinesh.Terkedek-kedek dia menghampiri kami.
            “Dayang, Ku Zal kata dia boleh tumpangkan hadiah-hadiah kau. Nanti aku angkatkan hadiah-hadiah ni ya. Ku Zal…” Natrah pandang Tengku Haizal dengan senyuman menggoda. “Kunci kereta mana?” sambungnya lagi.
            Ya ampun! Gelinya anak tekak aku dengar suara lentok Natrah. Tiba-tiba rasa macam ada bulu tersangkut di kerongkong aku ni. Tengku Haizal macam redha saja bila Natrah buat macam tu. Siap hulur kunci kereta yang disimpan di dalam poket seluar. Huish! Macam tak percayalah.
            “Ku  Zal?” Aku tanya dia sebaik saja Natrah dengan sukarelanya mengangkut semua hadiah-hadiah yang aku dapat ke kereta Tengku Haizal.
            “Kenapa? Tak percaya?” Tengku Haizal tanya aka semula.
            “Hai Dayang, dah ada rasa cemburu ke?” usik Mr.Dinesh.
            “Cemburu? Sorrylah! Kalau dia cakap dengan You, yes saya cemburu. Tapi kalau dia cakap dengan Tengku Haizal, saya rasa balik ni nak buat sujud syukur. Akhirnya saya benar-benar terlepas dari seksaan dunia.” Aku tadah dua-dua tangan dan pandang ke atas. Buat macam orang berdoa.
            “Amiiinnn, syukur Alhamdulillah!” Aku raup muka. Mr.Dinesh ketawa sambil tepuk-tepuk bahu Tengku Haizal. Aku boleh nampak tulang pipi Wayar Putus bergerak-gerak.  Makin nak meninggalkan dia, makin berani pula aku menyakitkan hati dia. Seronok juga menyakitkan hati orang ni. Macam makan coklat! Heheh!
            Aku tinggalkan dia dan Mr.Dinesh. Mula mengemas meja bilik mesyuarat yang bersepah dengan sisa-sisa jamuan. Tak susah pun, siapkan plastik sampah dan campak semuanya ke dalam. Beres.Natrah pula masih sibuk mengangkut hadiah-hadiah aku untuk disumbatkan ke dalam bonet kereta.
            “Nat, hadiah-hadiah yang kecil boleh letak dalam satu plastik besar. Senang tak payah kau keluar masuk dua tiga kali.” Aku beri cadangan pada Nat. Kasihan pula tengok dia.
            “Eh, tak apa. Bukan selalu aku tolong kau. Ni kira aku bayar balik  cupcake  Kak Maziah. Besok-besok tolong buatkan untuk aku sekali ya. Aku serius ni tau. Kuzal suka.”
            Terkedu aku kejap. Maknanya dia bagi Tengku Haizal makan cupcake  aku tu. Huh! Kalau aku tahu Wayar Putus tu yang makan, aku letak gula satu lori. Biar Natrah kena marah dan dalam masa yang sama  biar Tengku Haizal tu kena potong kaki sebab kencing manis. Heheh! Dayang, tak baik menganiaya orang. Punyalah melayan kata hati  sampai tak perasan dia memerhatikan aku dari tadi.
            “Menung apa tu? Rasa menyesal nak tinggalkan tempat ni ke?”
            Aku tak balas apa-apa pun. Terus atur langkah ke pantri  untuk ambil kain lap. Dia ikut aku. Bila nak keluar dari pantri, dia menghadang pintu. Aku pandang dia dan gerakkan sikit kepala ke kanan. Isyarat supaya dia beralih dari situ. Tapi Tengku Haizal balas dengan juihan bibirnya yang agak basah.
            “Bukan main lagi ya? Buat sujud syukur konon! Nanti balik saya nak buat solat hajat, nak berdoa  biar hati awak tu tertutup untuk lelaki lain selain dari saya.”
            “Soal agama jangan buat main-main Tengku.”
            “Siapa pula yang main-main? Hanya itu aje caranya untuk kunci hati awak. Saya betul-betul suka kat awak. Awak pergilah kerja kat mana pun. Kalau dah tertulis awak tu saya punya, tetap saya punya tau.”
            “Tapi saya tak suka Tengku.” Aku ingatkan dia sekali lagi.
            “Tak suka tak apa. Saya akan usahakan  sampai awak suka. Tapi jangan risau, saya guna cara bersih. Tak berkat kalau guna cara kotor ni, betul tak sayang?” Tengku Haizal cuba cuit dagu aku. Dan dengan spontannya tangan aku yang memegang kain lap melibas tangan dia.
            “Cara kotor apa ni? Tengku jangan macam-macam! Saya tumbuk lagi nanti.” Aku pandang dia atas bawah. Sempat juga perhatikan pekerja-pekerja lain. Buatnya dia kunci pintu pantri ni, habislah aku! Diorang semua dah balik. Tinggal aku dan Natrah  saja.
            “Woi! Awak fikir apa ni? Awak ingat saya nak rogol awak ya?” jerkah Tengku Haizal tiba-tiba.
            Aku ke belakang sikit. Tak berani berdiri dekat sangat dengan dia.
            “Bukan cara itu yang saya maksudkanlah. Maksud saya, saya guna-gunakan awak ke, sapu minyak dagu ke, minyak pengasih ke, minyak senyonyong ke, macam-macam lagilah,” kata Tengku Haizal
            “Tak ada bezanya pun. Kotor tetap kotor,” bidas aku. Dia mara ke depan. Aku dah siap pasang kuda-kuda. Kalau dia cuba buat benda yang pelik memang aku hayun penyepak aku ke muka dia. Tengku Haizal senyum lebar tengok aku macam itu.
            “Benci betul awak pada saya ya?” Tengku Haizal bercekak pinggang. Aku masih seperti tadi.
            “Tepilah! Saya nak cuci tangan ni.”
            Dia tolak bahu aku dengan kuat sampai aku terdorong keluar dari pantri. Kurang asam! Kain lap di tangan aku baling ke arah Tengku Haizal. Tak mahu lagi menunggu reaksi dia, aku terus capai helmet dan beg tangan. Menonong aje aku keluar. Tak pedulikan Natrah yang terjerit-jerit memanggil aku. Aku pasti Natrah akan senang hati bila ditinggalkan berdua-duaan bersama Tengku Haizal. Lantak dialah! Kau berdua memang sama gatal, sama miang.
            Tak sampai 15 minit, aku dah sampai ke rumah. Fuh, memang aku jadi minah rempit hari ni. Kalau Abang Burn tahu gerenti aku kena bebel. Menyesal pula melepaskan marah pada Wayar Putus tu dengan cara macam ni. Mujur selamat sampai ke rumah. Kalau kojol tadi? Tak pasal-pasal mati katak.
            Usai mandi aku segera mengambil wuduk. Hati terasa tenang tatkala niat dibaca dan air menyentuh kulit wajah. Semakin damai tatkala takbir diangkat dan solat Asar dilaksanakan. Namun ketenangan itu akhirnya diganggu dengan laungan Natrah di luar rumah.  Aku biarkan dulu. Apa-apahal telekung dan sejadah aku lipat dulu. Kali ini, tak cukup dengan laungan, diselangi pula dengan bunyi hon kereta Tengku Haizal.
            “Kejap, kejap!” Aku juga melaung sambil berjalan perlahan membuka pintu gelangsar.
Natrah tergesa-gesa keluar dari kereta. Begitu juga Tengku Haizal. Berkerut-kerut muka Natrah, seperti sedang menahan sakit. Jalannya agak laju sambil terloncat-loncat menanggalkan kasut. Dicampak saja kasut tumit tingginya di merata tempat.
            “Kau ni kenapa? Macam kena kejar hantu ni?” Aku tanya dia. Tak perasan pulak yang badan aku sedang menghadang pintu gelangsar yang  hanya separuh terbuka.
            “Tepilah! Aku dah nak terkucil ni.” Natrah tolak aku sampai tersandar  di pintu gelangsar. Aku hilang imbangan. Tak sempat nak berpaut di mana-mana. Sudahnya punggung kecil aku menyembam lantai bersama  daun pintu gelangsar yang tertolak ke belakang.
            “Aduh, kau ni teruklah Nat! Sakit punggung aku tau!” jerit aku sambil menggosok-gosok punggung yang ngilu.
            “Sorrylah! Memang dah tak tahan sangat ni.” Natrah hilang di sebalik pintu bilik.
            Sambil cuba bangun, aku pandang ke pintu pagar. Adoi, Tengku Haizal nampak aku jatuh tadi. Sampai tertunduk-tunduk dia gelakkan aku.
            “Dayang, pergi ambil hadiah-hadiah kau dalam kereta Tengku. Aku nak mandi terus ni,” laung Natrah dari dalam bilik.
            Aku kemam bibir. Dah lah malu kena gelak, sekarang kena mengadap muka dia pula. Bila sakit di punggung agak kurang, aku bergerak ke pintu pagar. Tengku Haizal dah buka bonet kereta.
            “Sakit lagi ke punggung tu?” tanya Tengku Haizal. Lebar senyumnya tengok aku cemberut.
            “Mana ada sakit. Saya memang sengaja buat tarian ballet tadi.” Aku buat loyar buruk. Malas nak layan dia berbual. Dia hulur hadiah di dalam bonet. Sengaja dia ambil kesempatan pegang tangan aku bila aku sambut hadiah tu dari tangan dia. Kali pertama aku diam, masuk kali kedua aku jeling. Tapi dia senyum sebagai balasan.
            “Bila lagilah saya dapat tengok jelingan manja awak tu ya?”
            “Jelingan Natrah lagi manja.”
            “Saya bukan nak tengok dia. Saya nak tengok awak.”
            “Tapi saya tak nak tengok Tengku. Sebab Tengkulah saya berhenti kerja.”
            Aku nampak perubahan muka Tengku Haizal bila aku cakap macam tu. Lantaklah! Aku cakap benda yang betul. Tak pandai nak berkias-kias.
            “Awak tak sedih ke nak tinggalkan kawan-kawan kat situ?”
            Pertanyaan Tengku Haizal aku jawab dengan gelengan.
            “Sebenarnya sedih juga. Tapi tak semestinya saya dah kerja kat tempat lain, saya tak boleh berhubung lagi dengan diorang,” kata aku pula.
            Senyum  lebar terukir di bibirnya. Apa kena dia ni? Kejap masam, kejap senyum. Dah macam sesumpah pula.
            “Maknanya saya masih ada peluang lagi,” kata Tengku Haizal dengan nada riang.
            “Peluang apa?”
            “Peluang untuk curi hati awak.”
            Spontan mulut aku terherot ke tepi. Macam nak termuntah dengar dia cakap macam tu. Adoi, bilalah dia ni nak berpijak di bumi yang nyata?
            “Tengku, tolong jangan perasan boleh tak?”
            “Mana ada perasan. Tadi awak yang cakap, sedih nak tinggalkan kawan-kawan lama. Maknanya awak sedih jugalah nak tinggalkan saya. Betul tak?”
            “Saya memang sedih nak tinggalkan kawan-kawan lama. Tapi saya akan lagi sedih kalau tak tinggalkan Tengku.” Aku senyum sinis. Puasnya rasa dapat sakitkan hati dia.
            “Sampai hati awak cakap macam tu. Sikit pun awak tak sedih nak tinggalkan saya?” tanya Tengku Haizal.
            “Tak sedih langsung! Bersyukur lagi ada. Sebab dah terlepas dari mulut naga miang!” Aku ketawa sikit. Gelihati dengan gelaran yang aku sendiri beri pada dia.
            Tengku Haizal nampak makin bengang. Hadiah-hadiah yang masih berada di dalam bonet keretanya di campak saja di tepi pintu pagar. Aku tak sempat menegah sebab segalanya berlaku terlalu pantas. Sebaik selesai, dia terus masuk ke dalam kereta dan menghempas pintu sekuat hati. Amboi! Dia  memang betul-betul tersinggung ni.



.

.
.

.

.

.

.

.

.
.