Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

May 27, 2015

HEY MR. SPOTLIGHT! BAB 10

Punggung ni dah naik kebas. Aku paling tak suka kalau juruaudit nak datang buat lawatan. Macam-macam fail perlu dikemaskini. Tak pasal-pasal abah pun turun padang hari ini. Habis semua fail diselongkar.
"Abah haus tak?" Aku mencuri tumpuan abah.
"Haus juga. Kamu nak keluar minum ke?" Abah menutup fail yang sedang dibaca. Cermin mata diletakkan di atas meja dan dia memicit-micit kedua-dua kening. Penat agaknya membaca terlalu lama.
"Makan masa kalau kita nak ke kedai. Sekejap..."
Aku bangun dan terus keluar. Akhirnya ada juga peluang untuk aku keluar dari bilik itu walaupun cuma sebentar. Orang pertama yang aku cari adalah Raisya. Dia sedang membantu seorang pekerja lain menimbang tabung alat pemadam api jenis karbon dioksida di stor. Aduhai dia ni. Kesian pula aku tengok Raisya tertonggeng-tonggeng di tepi tempat penimbang. Tapi apa boleh buat? Dia sendiri yang rela buat semua tu. Asalkan dapat bekerja di sini, dia sanggup buat apa saja skop kerja yang disuruh.
"Raisya."
Dia menoleh. Tangan kanan diangkat isyarat suruh aku menunggu sehingga kerjanya selesai. Tengok, mana ada pekerja lain yang berani buat macam tu pada aku. Cuma Raisya seorang saja yang lepas laku. Tapi aku tak kisah pun. Memang sejak aku kenal dia lapan tahun yang lalu dia memang jenis tak suka menangguhkan kerja.
"Okey siap! Ya Encik Azraf. Ada apa-apa yang boleh saya tolong?" Raisya bertanya sambil membetulkan lipatan lengan bajunya.
"Sibuk ke?" Aku bertanya. Mata sempat lagi mengerling tabung-tabung pemadam api yang sudah ditimbang. 
"Dah tak sibuk macam tadi. Encik Azraf dah habis meeting ke? Nak air?"
Aku tunjuk senyum senget. Bila pula aku cakap yang aku ada meeting? Dia tak tahu ke juruaudit nak buat lawatan pukul 2 petang nanti? Biarlah. Lagipun dia bukannya ada kena-mengena dengan hal-hal audit.
"Saya cari ni sebab nak suruh buat airlah ni. Tapi buat dua. Yang satu lagi tu kurang manis." Selesai  bagi  arahan aku terus  berpaling untuk ke  pejabat semula.  Tak  dapat nak berbual-bual dengan Raisya. Masih banyak kerja yang belum selesai. Tetapi  kerutan keningnya berjaya memancing perhatian aku. 
"Nak tanya sikit boleh? Siapa kat dalam pejabat Encik Azraf tu? Macam kenal aje," ujar Raisya.
Sebelum menjawab, tiba-tiba baru aku teringat. Raisya pasti pernah jumpa abah sebelum ini. Tapi satu perkara yang mungkin dia belum tahu, orang yang dia pernah tengok tu adalah bapa bos dia.
"Dia tu bos besar syarikat ni. Awak pernah jumpa dia ke?" Sengaja aku mengorek cerita.
Raisya menggeleng perlahan. Berkerut keningnya memikirkan gerangan lelaki yang berada di pejabat aku. Dia menapak perlahan-lahan ke pintu pejabat yang separuh terbuka. Dia meninjau ke dalam. Aku perhatikan saja tingkahnya. Dada dah berdebar ni. Rasa-rasanya ada rahsia besar yang akan terbongkar sebentar lagi. Itu pun kalau otak Raisya dapat berfikir dengan pantas. Dia ni bukannya boleh dijangka. Kadang-kadang dia punya blur mengalahkan orang yang baru sedar dari koma.
"Ya Allah! orang tua ni rupanya. Saya kenal sangat dia ni Encik Azraf."
"Ya? Siapa dia tu? Kat mana awak pernah jumpa dia?"
Tak semena-mena Raisya menarik tangan aku ke pantri. Dia menepuk dahi berkali-kali sambil membebel. Entah apa yang dibebelkan aku sendiri pun tak berapa dengar.
"Oi makcik! Awak mencerabih apa ni? Apa kena-mengena lelaki tu dengan awak? Sugar daddy awak masa study dulu, ya?"
"Choi! Itu bakal bapa mertua sayalah Encik Azraf. Sugar daddy? Eww! Not my taste. Rambut dah jarang-jarang macam rumput kena racun. Itu baru rambut, belum tengok gigi dia lagi. Entah-entah dah banyak pagar yang roboh."
Ewah! Ewah! Sedap betul dia mengutuk bapa aku. Tunggulah bila kau dah sah jadi menantu dia nanti. Baru kau tahu mana pagar yang roboh dan rumput mana yang kena racun.
"Hmm, jadi itulah bakal bapa mertua awak yang anak dia awak tak suka tu?" Aku menyoal lagi untuk kepastian.
Raisya capai dua biji mug di atas kabinet. "Saya bukan tak suka. Tapi saya dah ada pilihan lain. Diaorang pun sepatutnya kena faham. Zaman sekarang ni mana boleh main paksa-paksa. Saya tak kenal pun anak dia. Entah-entah anak dia..."
Raisya berpaling. Aku memeluk tubuh sambil menanti Raisya menghabiskan ayat. Tapi bukan kata-kata yang terkeluar dari mulut dia. Dia tayang senyum nakal. Memang sangat nakal hinggakan naik seram pula aku melihat dia senyum begitu.
"Kalau saya minta dilepaskan cara baik diaorang tak faham, inilah peluang terbaik untuk saya tunjuk profil yang tidak baik pada orang tua tu. Hmm.." Terjongket kening kiri Raisya. Apa yang dia cuba buat?
Raisya letak serbuk milo ke dalam kedua-dua mug, kemudian dia ambil susu pekat di dalam peti sejuk. Satu mug dituang dengan susu pekat tapi tidak pada mug yang satu lagi. Dia buka kabinet sebelah atas dan mencari sesuatu. Terlopong mulut ketika dia menayangkan sesuatu pada aku.
"Awak nak buat apa dengan susu cair tu. Susu tu kan tawar?" Ya Allah! Dia nak buat apa dengan susu cair tu?
"Shhh! Saya tahu apa yang saya buat. Orang tua tu pasti akan reject saya kalau dia tahu saya buat air pun tak pandai. Betul tak? Encik Azraf pergi masuk bilik dulu. Kejap lagi saya hantar minuman ni."
Raisya menyambung kerjanya. Hampir setengah tin susu cair dituangnya ke dalam mug yang satu lagi. Habislah abah. Mahu cirit-birit juga orang tua ni nanti. Berani betul dia. Dengan berat hati aku melangkah ke bilik. Dalam kepala ligat memikirkan cara untuk mengelakkan abah dari minum air yang dibancuh oleh Raisya. belum pun sempat aku duduk di kerusi Raisya sudah masuk bersama dulang di tangan.
"Airnya dah siap Encik Azraf." Raisya meletakkan satu mug di depan aku. Kemudian satu mug lagi di depan abah. Lama dia tenung abah. Siap dengan seribu kedutan di dahi.
"Eh, ini Uncle Ghazali, kan? Astaghfirullah hal azimm! Tak sangka boleh jumpa kat sini." 
Abah mendongak. Dia pandang aku dan Raisya silih berganti. Aduh, macam nak terkeluar jantung aku ketika ini. Janganlah abah cakap apa-apa mengenai majlis pertunangan. Cerita masih panjang lagi ni.
"Kamu ni Raisya, kan?" Abah memakai cermin mata, ingin melihat Raisya dengan lebih jelas.
"Yalah Uncle. Saya Raisya yang Uncle PAKSA bertunang dengan anak Uncle tu. Eh! Tak naklah cakap pasal hal peribadi di tempat kerja. Uncle minumlah dulu. Saya nak habiskan kerja kat luar."
Raisya menonong keluar. Tapi dia tak terus menutup pintu. Sengaja dia mengintai di situ, ingin melihat abah menyisip minuman yang telah dibancuh. Abah menarik mug, kemudian dia meletakkan mug itu di dalam dulang yang ditinggalkan oleh Raisya. Briefcase yang terletak di atas kerusi di sebelahnya diambil. Dibukanya briefcase itu lalu dia mengeluarkan sebuah termos kecil. Baru aku teringat, mak memang dah siapkan air panas setiap kali abah ke tempat kerja.
"Lupa pula nak cakap dengan kau, abah dah ada air. Nanti tak habis air ni marah pula mak kau," ujar abah sambil membuka penutup termos.
Fuh, lega!!! Aku mengerling ke pintu. Raisya sudah tidak ada di situ. Padan muka dia. Nak mengenakan orang sangat, kan? Teringin pula  nak tengok muka  bengang Raisya. Laju  aku  mengatur  langkah ke pintu.
“Haip! Nak ke mana tu?”
Tergencat  sekejap urat  kaki.  Dengan muka serba-salah aku  menoleh. Bergerak-gerak  kening abah menanti  jawapan aku. Perlahan-lahan jari  telunjuknya memberi  isyarat  supaya  aku  mengambil  tempat di  meja  kerja. Aku tunjuk  jari  kelingking sebagai  balasan. Siap  dengan pakej  senyum kambing.
“Nak pergi ‘bilik termenung’. Sekejap  aje  abah.” Alasan yang aku  rasa  abah aku  dah lama  tahu.
“Kau nak  pergi  ‘bilik  termenung’ atau  kau  nak  main tenung-tenung dengan  Raisya? Kerja masih banyak  ni. Jangan mengelat. Kalau  tidak abah bocorkan rahsia kau nanti.”
Giliran abah  pula   tunjuk  senyum  sinis. Ceh! Mana adil  main ugut-ugut? Dengan berat  hati aku  kembali  ke meja kerja. Abah hulur fail yang masih  belum disemak. Aku  letak fail di atas  meja  dan tarik  muka  masam. Abah buat-buat tak nampak. Termos air panas  yang dibekalkan oleh mak  dia tolak tepi. Alas mug berisi  milo  yang dibancuh oleh Raisya ditarik.
“Abah nak  buat  apa  tu?” Aku  tanya  soalan bodoh.
“Air ni  Raisya yang buat,  kan?” Abah bertanya  sambil  mengacau perlahan minuman  yang masih panas  itu.
Aku  mengangguk laju  seiring dengan otak yang berfikir  ligat. Aku  kena ikhtiarkan sesuatu. Kes aniaya jadinya  nanti  kalau  abah terminum minuman yang  dibancuh oleh Raisya. Abah masih meneliti  fail yang sedang disemak.  Tapi  tangannya  sudah mengangkat  mug. Cepat-cepat  aku ambil telefon bimbit  di  atas  meja. Aduh! Apa nombor telefon abah? Dalam keadaan cemas  begini  susah benar  pula  nak mencari  nombor  telefon  abah.
“Siapa  buat  akaun ni Azraf?” Abah  menyoal. Mug  di tangan dia  letak semula  di atas  meja.
“Err...Alia.” Mulut  mejawab tetapi  mata masih tak  lepas  dari  mug yang terletak di  sebelah abah. 
“Panggil  dia sekejap. Ada  benda  yang abah tak  faham dalam lejer  ni,” arah abah.
“Err...” Aku  kerling fail yang  abah beri  sebentar tadi.  Spontan  aku ambil dan buka  fail itu.
“Abah panggillah sendiri.  Orang nak  check  fail ni  sekejap. Tak  payah  keluar. Abah tekan aje  interkom kat meja  orang tu.”
Ampun abah.  Tak  ada  niat  nak  beri  arahan. Aku buat-buat  baca  fail.  Sengaja  aku  kerut-kerutkan dahi, konon sedang meneliti  dengan  serius  setiap  perkara  yang terkandung  di  dalam fail  itu.
“Bertuah  punya  anak!” Abah mengomel dan bangun menuju  ke  meja aku.
Sebaik  sahaja  abah membelakangkan aku, sepantas  kilat  aku  tukar  mug abah.  Mujur  coraknya  sama. Kalau  tidak  pasti  abah perasan. Bagi  mengelakkan abah bertanya,  aku  bawa  mug  kepunyaan abah  keluar.
“Err, biar  orang panggil Alia lah. Alang-alang  nak hantar mug  ni.  Abah  habiskan air  tu  ya.”
Tak  peduli  dengan abah yang terperanjat dengan tingkah aku.  Sebaik saja berjaya  meloloskan diri, mug abah aku  bawa  ke  pantri  Aku  buang airnya dan cuci  terus. Raisya, kalau  pun tak  suka, janganlah menganiaya orang tua. Mana  dia?
Sebaik saja keluar  dari  pantri, orang yang aku  cari  adalah  dia. Kebiasaannya  kalau dia  tidak  berada  di  pejabat  aku,  pasti  tempat Munirah yang menjadi tempat  keduanya. Tapi  dia tiada  di  situ.
“Encik  Azraf, Raisya  bagi  ini.” Munirah menegur  ketika  aku melintas  di  hadapan meja.
“Mana dia?”
“Dah balik. Ambil half  day katanya,” jawab Munirah perlahan.
Uik, siapa  yang benarkan dia  buat  macam tu? Rasa-rasanya  dia  tidak  maklumkan pada  aku. Siapa yang benarkan dia  bercuti? Segala  persoalan cuma  bermain di  dalam kepala. Malas  aku  nak  bersoal-jawab dengan Munirah. Raisya, awak memang nak kena  dengan saya...
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
"Raisya tahu tak kau datang ni?"
Aku menggeleng. Buat apa nak maklumkan pada dia. Dia bukannya tahu aku ni bakal suami dia. Lagi pun aku datang bukan nak jumpa dia. Aku  nak  mengadu  pada  Hazri tentang kenakalan adik dia  di  pejabat  siang  tadi. Mujurlah tak  ada apa-apa  yang terjadi  pada  abah. Kalau tidak  memang  aku  kurangkan jumlah hantaran dia.
"Dia tak pergi main futsal ke malam ni?" Mata meninjau juga ke dalam rumah. Mana tahu ada rezeki nak tengok dia.
"Tadi memang dah bersiap-siap nak pergi. Tapi mak aku bebelkan dia, terus berkurung dalam bilik," kata Hazri. Dia beri ruang untuk aku duduk di sebelahnya.
Masih kukuh lagi pangkin yang abah Hazri bina. Di pangkin inilah aku sering melihat Raisya menelaah pelajaran bersama kawan-kawannya. Itu lapan tahun dulu. Kalaulah semua itu boleh diulang, aku mahu Raisya terus menjadi anak gadis berusia lima belas tahun. Seronok betul menyakat budak cengeng tu. Sekarang pun seronok juga. Tapi rasa itu sudah bertambah. Rasa apa? Cinta, sayang, rindu, cemburu. Semua rasa ada malah makin membuak-buak.
"Dia masih tak tahu lagi ke aku ni bakal suami dia Hazri?" 
"Tak," jawab Hazri pendek."Gambar aku?"
"Huh! Dari sekeping dah jadi berkeping-keping dia kerjakan."
Aku tepuk dahi. Ganasnya budak tu. Kenapalah dia tak tengok dulu gambar tu? Sekurang-kurangnya tak payahlah aku berlakon lagi hingga sekarang. Tinggi betul ego dia. Cakap ajelah dia suka aku, habis cerita.
"Dia memang tak ada boyfriend kan?"
Hazri ketawa. Eh, kelakar ke soalan tu? Aku risau juga ni. Manalah tahu kalau-kalau bukan aku yang Raisya maksudkan sebagai 'Mr.Spotlight' tu. Aduh! Jauhkanlah. Tak berani nak membayangkan aku terpaksa frust menonggeng nanti.
"Kenapa sekarang baru kau tanya? Sebelum kau datang merisik tak nak pula kau selidik dulu." Hazri menempelak.
"Bukan macam tu. Aku nak kepastian aje."
Sedang rancak berbual, sebuah skuter berhenti betul-betul depan pintu pagar rumah Hazri. Dari perhatian aku, berdasarkan susuk tubuh dan gaya pasti orang itu mencari Hazri.
"Tu, boyfriend Raisya dah sampai."
Kering darah sekejap mendengar kata-kata Hazri. Betul ke ni? Aku pandang lelaki tu, kemudian beralih pula pada Hazri. Ala, janganlah macam ni! Sia-sia ajelah aku berlakon selama ini.
"Dah lama ke diaorang berkawan?" Hati sakit, tapi masih nak bertanya. 
"Lama juga. Sejak diaorang sama-sama belajar kat Pahang lagi."
Ya Allah! Pudarlah harapan untuk bersama Raisya. Tapi lelaki tu tak ada Spotlight macam aku. Gaya dia juga tak macho macam aku. Skuter pun pink colour! Bukan setakat skuter. Kasut, helmet, baju panas waima beg sandang yang tersangkut di bahu lelaki itu semuanya pink! OMG!!! Tak sangka pula Raisya suka spesis agar-agar kurang air. Memang jauh machonya aku dari jantan aw aw tu.
"Aku balik dululah." Kaki yang elok bersila di atas pangkin tadi sudah menjejak tanah. 
"Eh, tunggulah dulu. Adik aku belum keluar lagi. Tak nak kenal-kenal dulu ke dengan kawan dia tu?"
"Tak apalah. Buat sakit hati aku aje nanti. Betullah Raisya cakap, pilihan dia lebih baik dari pilihan orang lain. Aku doakan dia berbahagialah dengan Mamat Pink tu."
Dah ada rasa nak menangis ni. Hazri turut turun dari pangkin. Ketika itulah Raisya keluar sambil menggendong kucing kesayangannya. Terjuih bibir Hazri menuding pada Raisya.
"Eh, Encik Azraf. Bila sampai?"
Melihat Raisya tersenyum manis, hati aku makin pedih. Tak sedar kaki melangkah laju ke arahnya. Sekarang aku berdiri betul-betul di depan Mamat Pink tu. Eee! Menyampah pula aku tengok helmet merah jambu dia tu. Dah tak reti nak buka ke helmet tu? Aku nak tengok juga muka dia. Handsome sangat ke sampai Raisya sanggup buat mogok lapar semata-mata nak menolak pinangan aku?
"Ini ke Mr.Spotlight yang awak cakap tu? Dia ni ke yang buat awak tak sudi bertunang dengan saya?"
Mulut Raisya terlopong. Mamat Pink yang masih berada di atas motor menanggalkan helmet. Ya Allah! Sekarang mulut aku pula yang terlopong. Betul ke apa yang aku tengok ni? Panjangnya rambut dia! Lipstik dia pun warna pink!!!
"Mr.Spotlight mana pula ni Raisya?"
Alahai! Halusnya suara dia. Azraf, bongoknya kau ni. Tengok! Rahsia dah bocor ni. Apa tunggu lagi? Cabutlah!
"Errr...kenalkan. Ini kawan baik saya. Nama dia Rania. Tapi saya panggil dia Makcik Fink. Encik Azraf cakap apa tadi? Bertunang dengan siapa?" Tergagap -gagap Raisya menutur kata.
Aduh! Lutut dah menggeletar ni. Mengecil  kelopak  mata  Raisya  merenung  aku. Perlahan-lahan Raisya meletakkan kucing  kesayangannya  ke  tanah. Namun matanya  masih tidak mahu  melepaskan aku.
“Azraf  maksudkan kawan dia. Betul tak  Azraf?” Hazri  memaut tengkuk  aku  dan digoyang-goyang  dengan agak kuat.
“Ha, betullah  tu. Kawan saya...” Aku kerling Hazri bersama  kening-kening yang berkerut. Boleh  jalan ke  helah ni?
Raisya  tidak berkutik. Liar  matanya  melihat  aku  dan abangnya  silih  berganti. Pasti  ada  sesuatu yang akan keluar  dari  mulutnya.  Sebelum  dia  berubah menjadi ejen penyiasat, ada baiknya  aku  cepat  beredar  dari  situ. Setapak demi setapak  aku   berundur  ke  belakang. Hazri masih memaut belakang badan aku. Tetapi dia  juga  melakukan perkara  yang sama.
“Ajaklah kawan tu  masuk.  Tak  elok  anak  dara  bersembang kat  luar,” kata  Hazri.
Dan pada  ketika  itu  juga  aku  dah melompat  naik  ke  atas  motor  dan cepat-cepat hidupkan enjin motor. Hazri  beri isyarat  supaya  aku  beredar  segera sebab Raisya  sudah  berkejar  ke  arah kami.
“Kau  blah    dulu  Azraf. Biar  aku  yang  settle  kan  dia,” bisik  Hazri.
Ketika  motor meluncur laju meninggalkan kawasan  rumah Raisya, aku  lihat  melalui  cermin pandang belakang gadis  itu  sedang  bercekak  pinggang. Untuk hari  ni  memang aku  dah terlepas. Tapi  macam mana dengan besok. Aduh! Kalau  minta  tukar  tempat  dengan  abah buat sementara  waktu  ni  rasa-rasanya  boleh tak?

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.