Punggung ni dah naik
kebas. Aku paling tak suka kalau juruaudit nak datang buat lawatan. Macam-macam
fail perlu dikemaskini. Tak pasal-pasal abah pun turun padang hari ini. Habis
semua fail diselongkar.
"Abah haus tak?"
Aku mencuri tumpuan abah.
"Haus juga. Kamu nak
keluar minum ke?" Abah menutup fail yang sedang dibaca. Cermin mata
diletakkan di atas meja dan dia memicit-micit kedua-dua kening. Penat agaknya
membaca terlalu lama.
"Makan masa kalau
kita nak ke kedai. Sekejap..."
Aku bangun dan terus
keluar. Akhirnya ada juga peluang untuk aku keluar dari bilik itu walaupun cuma
sebentar. Orang pertama yang aku cari adalah Raisya. Dia sedang membantu
seorang pekerja lain menimbang tabung alat pemadam api jenis karbon dioksida di
stor. Aduhai dia ni. Kesian pula aku tengok Raisya tertonggeng-tonggeng di tepi
tempat penimbang. Tapi apa boleh buat? Dia sendiri yang rela buat semua tu.
Asalkan dapat bekerja di sini, dia sanggup buat apa saja skop kerja yang
disuruh.
"Raisya."
Dia menoleh. Tangan kanan
diangkat isyarat suruh aku menunggu sehingga kerjanya selesai. Tengok, mana ada
pekerja lain yang berani buat macam tu pada aku. Cuma Raisya seorang saja yang
lepas laku. Tapi aku tak kisah pun. Memang sejak aku kenal dia lapan tahun yang
lalu dia memang jenis tak suka menangguhkan kerja.
"Okey siap! Ya Encik
Azraf. Ada apa-apa yang boleh saya tolong?" Raisya bertanya sambil
membetulkan lipatan lengan bajunya.
"Sibuk ke?" Aku
bertanya. Mata sempat lagi mengerling tabung-tabung pemadam api yang sudah
ditimbang.
"Dah tak sibuk macam
tadi. Encik Azraf dah habis meeting ke? Nak air?"
Aku tunjuk senyum senget.
Bila pula aku cakap yang aku ada meeting? Dia tak tahu ke juruaudit nak buat
lawatan pukul 2 petang nanti? Biarlah. Lagipun dia bukannya ada kena-mengena
dengan hal-hal audit.
"Saya cari ni sebab
nak suruh buat airlah ni. Tapi buat dua. Yang satu lagi tu kurang manis."
Selesai bagi arahan aku terus berpaling untuk ke pejabat semula. Tak
dapat nak berbual-bual dengan Raisya. Masih banyak kerja yang belum
selesai. Tetapi kerutan keningnya
berjaya memancing perhatian aku.
"Nak tanya sikit
boleh? Siapa kat dalam pejabat Encik Azraf tu? Macam kenal aje," ujar
Raisya.
Sebelum menjawab,
tiba-tiba baru aku teringat. Raisya pasti pernah jumpa abah sebelum ini. Tapi
satu perkara yang mungkin dia belum tahu, orang yang dia pernah tengok tu
adalah bapa bos dia.
"Dia tu bos besar
syarikat ni. Awak pernah jumpa dia ke?" Sengaja aku mengorek cerita.
Raisya menggeleng
perlahan. Berkerut keningnya memikirkan gerangan lelaki yang berada di pejabat
aku. Dia menapak perlahan-lahan ke pintu pejabat yang separuh terbuka. Dia
meninjau ke dalam. Aku perhatikan saja tingkahnya. Dada dah berdebar ni. Rasa-rasanya
ada rahsia besar yang akan terbongkar sebentar lagi. Itu pun kalau otak Raisya
dapat berfikir dengan pantas. Dia ni bukannya boleh dijangka. Kadang-kadang dia
punya blur mengalahkan orang yang baru sedar dari koma.
"Ya Allah! orang tua
ni rupanya. Saya kenal sangat dia ni Encik Azraf."
"Ya? Siapa dia tu?
Kat mana awak pernah jumpa dia?"
Tak semena-mena Raisya
menarik tangan aku ke pantri. Dia menepuk dahi berkali-kali sambil membebel.
Entah apa yang dibebelkan aku sendiri pun tak berapa dengar.
"Oi makcik! Awak
mencerabih apa ni? Apa kena-mengena lelaki tu dengan awak? Sugar daddy awak
masa study dulu, ya?"
"Choi! Itu bakal bapa
mertua sayalah Encik Azraf. Sugar daddy? Eww! Not my taste. Rambut dah
jarang-jarang macam rumput kena racun. Itu baru rambut, belum tengok gigi dia
lagi. Entah-entah dah banyak pagar yang roboh."
Ewah! Ewah! Sedap betul
dia mengutuk bapa aku. Tunggulah bila kau dah sah jadi menantu dia nanti. Baru
kau tahu mana pagar yang roboh dan rumput mana yang kena racun.
"Hmm, jadi itulah
bakal bapa mertua awak yang anak dia awak tak suka tu?" Aku menyoal lagi
untuk kepastian.
Raisya capai dua biji mug
di atas kabinet. "Saya bukan tak suka. Tapi saya dah ada pilihan lain.
Diaorang pun sepatutnya kena faham. Zaman sekarang ni mana boleh main
paksa-paksa. Saya tak kenal pun anak dia. Entah-entah anak dia..."
Raisya berpaling. Aku
memeluk tubuh sambil menanti Raisya menghabiskan ayat. Tapi bukan kata-kata
yang terkeluar dari mulut dia. Dia tayang senyum nakal. Memang sangat nakal
hinggakan naik seram pula aku melihat dia senyum begitu.
"Kalau saya minta
dilepaskan cara baik diaorang tak faham, inilah peluang terbaik untuk saya
tunjuk profil yang tidak baik pada orang tua tu. Hmm.." Terjongket kening
kiri Raisya. Apa yang dia cuba buat?
Raisya letak serbuk milo
ke dalam kedua-dua mug, kemudian dia ambil susu pekat di dalam peti sejuk. Satu
mug dituang dengan susu pekat tapi tidak pada mug yang satu lagi. Dia buka
kabinet sebelah atas dan mencari sesuatu. Terlopong mulut ketika dia menayangkan
sesuatu pada aku.
"Awak nak buat apa
dengan susu cair tu. Susu tu kan tawar?" Ya Allah! Dia nak buat apa dengan
susu cair tu?
"Shhh! Saya tahu apa
yang saya buat. Orang tua tu pasti akan reject saya kalau dia tahu saya buat
air pun tak pandai. Betul tak? Encik Azraf pergi masuk bilik dulu. Kejap lagi
saya hantar minuman ni."
Raisya menyambung
kerjanya. Hampir setengah tin susu cair dituangnya ke dalam mug yang satu lagi.
Habislah abah. Mahu cirit-birit juga orang tua ni nanti. Berani betul dia.
Dengan berat hati aku melangkah ke bilik. Dalam kepala ligat memikirkan cara
untuk mengelakkan abah dari minum air yang dibancuh oleh Raisya. belum pun
sempat aku duduk di kerusi Raisya sudah masuk bersama dulang di tangan.
"Airnya dah siap
Encik Azraf." Raisya meletakkan satu mug di depan aku. Kemudian satu mug
lagi di depan abah. Lama dia tenung abah. Siap dengan seribu kedutan di dahi.
"Eh, ini Uncle
Ghazali, kan? Astaghfirullah hal azimm! Tak sangka boleh jumpa kat sini."
Abah mendongak. Dia pandang aku dan Raisya silih berganti. Aduh, macam nak terkeluar jantung aku ketika ini. Janganlah abah cakap apa-apa mengenai majlis pertunangan. Cerita masih panjang lagi ni.
Abah mendongak. Dia pandang aku dan Raisya silih berganti. Aduh, macam nak terkeluar jantung aku ketika ini. Janganlah abah cakap apa-apa mengenai majlis pertunangan. Cerita masih panjang lagi ni.
"Kamu ni Raisya,
kan?" Abah memakai cermin mata, ingin melihat Raisya dengan lebih jelas.
"Yalah Uncle. Saya Raisya yang Uncle PAKSA bertunang dengan anak Uncle tu. Eh! Tak naklah cakap pasal hal
peribadi di tempat kerja. Uncle
minumlah dulu. Saya nak habiskan kerja kat luar."
Raisya menonong keluar.
Tapi dia tak terus menutup pintu. Sengaja dia mengintai di situ, ingin melihat
abah menyisip minuman yang telah dibancuh. Abah menarik mug, kemudian dia
meletakkan mug itu di dalam dulang yang ditinggalkan oleh Raisya. Briefcase
yang terletak di atas kerusi di sebelahnya diambil. Dibukanya briefcase itu
lalu dia mengeluarkan sebuah termos kecil. Baru aku teringat, mak memang dah
siapkan air panas setiap kali abah ke tempat kerja.
"Lupa pula nak cakap
dengan kau, abah dah ada air. Nanti tak habis air ni marah pula mak kau,"
ujar abah sambil membuka penutup termos.
Fuh, lega!!! Aku
mengerling ke pintu. Raisya sudah tidak ada di situ. Padan muka dia. Nak
mengenakan orang sangat, kan? Teringin pula
nak tengok muka bengang Raisya.
Laju aku
mengatur langkah ke pintu.
“Haip! Nak ke mana tu?”
Tergencat sekejap urat
kaki. Dengan muka serba-salah
aku menoleh. Bergerak-gerak kening abah menanti jawapan aku. Perlahan-lahan jari telunjuknya memberi isyarat
supaya aku mengambil
tempat di meja kerja. Aku tunjuk jari
kelingking sebagai balasan. Siap dengan pakej
senyum kambing.
“Nak pergi ‘bilik
termenung’. Sekejap aje abah.” Alasan yang aku rasa
abah aku dah lama tahu.
“Kau nak pergi
‘bilik termenung’ atau kau
nak main tenung-tenung
dengan Raisya? Kerja masih banyak ni. Jangan mengelat. Kalau tidak abah
bocorkan rahsia kau nanti.”
Giliran abah pula
tunjuk senyum sinis. Ceh! Mana adil main ugut-ugut? Dengan berat hati aku
kembali ke meja kerja. Abah hulur
fail yang masih belum disemak. Aku letak fail di atas meja dan
tarik muka masam. Abah buat-buat tak nampak. Termos air
panas yang dibekalkan oleh mak dia tolak tepi. Alas mug berisi milo
yang dibancuh oleh Raisya ditarik.
“Abah nak buat
apa tu?” Aku tanya
soalan bodoh.
“Air ni Raisya yang buat, kan?” Abah bertanya sambil
mengacau perlahan minuman yang
masih panas itu.
Aku mengangguk laju seiring dengan otak yang berfikir ligat. Aku
kena ikhtiarkan sesuatu. Kes aniaya jadinya nanti
kalau abah terminum minuman
yang dibancuh oleh Raisya. Abah masih
meneliti fail yang sedang disemak. Tapi
tangannya sudah mengangkat mug. Cepat-cepat aku ambil telefon bimbit di
atas meja. Aduh! Apa nombor
telefon abah? Dalam keadaan cemas
begini susah benar pula
nak mencari nombor telefon
abah.
“Siapa buat
akaun ni Azraf?” Abah menyoal.
Mug di tangan dia letak semula
di atas meja.
“Err...Alia.” Mulut mejawab tetapi mata masih tak lepas
dari mug yang terletak di sebelah abah.
“Panggil dia sekejap. Ada benda
yang abah tak faham dalam
lejer ni,” arah abah.
“Err...” Aku kerling fail yang abah beri
sebentar tadi. Spontan aku ambil dan buka fail itu.
“Abah panggillah
sendiri. Orang nak check
fail ni sekejap. Tak payah
keluar. Abah tekan aje interkom
kat meja orang tu.”
Ampun abah. Tak
ada niat nak
beri arahan. Aku buat-buat baca
fail. Sengaja aku
kerut-kerutkan dahi, konon sedang meneliti dengan
serius setiap perkara
yang terkandung di dalam fail
itu.
“Bertuah punya
anak!” Abah mengomel dan bangun menuju
ke meja aku.
Sebaik sahaja
abah membelakangkan aku, sepantas
kilat aku tukar
mug abah. Mujur coraknya
sama. Kalau tidak pasti
abah perasan. Bagi mengelakkan
abah bertanya, aku bawa
mug kepunyaan abah keluar.
“Err, biar orang panggil Alia lah. Alang-alang nak hantar mug ni.
Abah habiskan air tu
ya.”
Tak peduli
dengan abah yang terperanjat dengan tingkah aku. Sebaik saja berjaya meloloskan diri, mug abah aku bawa
ke pantri Aku
buang airnya dan cuci terus.
Raisya, kalau pun tak suka, janganlah menganiaya orang tua.
Mana dia?
Sebaik saja keluar dari
pantri, orang yang aku cari adalah
dia. Kebiasaannya kalau dia tidak
berada di pejabat
aku, pasti tempat Munirah yang menjadi tempat keduanya. Tapi dia tiada
di situ.
“Encik Azraf, Raisya
bagi ini.” Munirah menegur ketika
aku melintas di hadapan meja.
“Mana dia?”
“Dah balik. Ambil half day katanya,” jawab Munirah perlahan.
Uik, siapa yang benarkan
dia buat
macam tu? Rasa-rasanya dia tidak
maklumkan pada aku. Siapa yang
benarkan dia bercuti? Segala persoalan cuma bermain di
dalam kepala. Malas aku nak
bersoal-jawab dengan Munirah. Raisya, awak memang nak kena dengan saya...
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
"Raisya tahu tak kau
datang ni?"
Aku menggeleng. Buat apa
nak maklumkan pada dia. Dia bukannya tahu aku ni bakal suami dia. Lagi pun aku
datang bukan nak jumpa dia. Aku nak mengadu
pada Hazri tentang kenakalan adik
dia di
pejabat siang tadi. Mujurlah tak ada apa-apa
yang terjadi pada abah. Kalau tidak memang
aku kurangkan jumlah hantaran
dia.
"Dia tak pergi main
futsal ke malam ni?" Mata meninjau juga ke dalam rumah. Mana tahu ada
rezeki nak tengok dia.
"Tadi memang dah
bersiap-siap nak pergi. Tapi mak aku bebelkan dia, terus berkurung dalam
bilik," kata Hazri. Dia beri ruang untuk aku duduk di sebelahnya.
Masih kukuh lagi pangkin
yang abah Hazri bina. Di pangkin inilah aku sering melihat Raisya menelaah
pelajaran bersama kawan-kawannya. Itu lapan tahun dulu. Kalaulah semua itu
boleh diulang, aku mahu Raisya terus menjadi anak gadis berusia lima belas
tahun. Seronok betul menyakat budak cengeng tu. Sekarang pun seronok juga. Tapi
rasa itu sudah bertambah. Rasa apa? Cinta, sayang, rindu, cemburu. Semua rasa
ada malah makin membuak-buak.
"Dia masih tak tahu
lagi ke aku ni bakal suami dia Hazri?"
"Tak," jawab
Hazri pendek."Gambar aku?"
"Huh! Dari sekeping
dah jadi berkeping-keping dia kerjakan."
Aku tepuk dahi. Ganasnya
budak tu. Kenapalah dia tak tengok dulu gambar tu? Sekurang-kurangnya tak
payahlah aku berlakon lagi hingga sekarang. Tinggi betul ego dia. Cakap ajelah
dia suka aku, habis cerita.
"Dia memang tak ada boyfriend kan?"
Hazri
ketawa. Eh, kelakar ke soalan tu? Aku risau juga ni. Manalah tahu kalau-kalau
bukan aku yang Raisya maksudkan sebagai 'Mr.Spotlight' tu. Aduh! Jauhkanlah.
Tak berani nak membayangkan aku terpaksa frust menonggeng nanti.
"Kenapa sekarang baru kau tanya? Sebelum kau datang merisik tak
nak pula kau selidik dulu." Hazri menempelak.
"Bukan macam tu. Aku nak kepastian aje."
Sedang rancak berbual, sebuah skuter berhenti betul-betul depan pintu
pagar rumah Hazri. Dari perhatian aku, berdasarkan susuk tubuh dan gaya pasti
orang itu mencari Hazri.
"Tu, boyfriend Raisya
dah sampai."
Kering darah sekejap mendengar kata-kata Hazri. Betul ke ni? Aku
pandang lelaki tu, kemudian beralih pula pada Hazri. Ala, janganlah macam ni!
Sia-sia ajelah aku berlakon selama ini.
"Dah lama ke diaorang berkawan?" Hati sakit, tapi masih nak
bertanya.
"Lama juga. Sejak diaorang sama-sama belajar kat Pahang
lagi."
Ya Allah! Pudarlah harapan untuk bersama Raisya. Tapi lelaki tu tak
ada Spotlight macam aku. Gaya dia juga tak macho macam aku. Skuter pun pink colour! Bukan setakat skuter.
Kasut, helmet, baju panas waima beg sandang yang tersangkut di bahu lelaki itu
semuanya pink! OMG!!! Tak sangka pula Raisya suka spesis agar-agar kurang air.
Memang jauh machonya aku dari jantan aw
aw tu.
"Aku balik dululah." Kaki yang elok bersila di atas pangkin
tadi sudah menjejak tanah.
"Eh, tunggulah dulu. Adik aku belum keluar lagi. Tak nak
kenal-kenal dulu ke dengan kawan dia tu?"
"Tak apalah. Buat sakit hati aku aje nanti. Betullah Raisya
cakap, pilihan dia lebih baik dari pilihan orang lain. Aku doakan dia
berbahagialah dengan Mamat Pink tu."
Dah ada rasa nak menangis ni. Hazri turut turun dari pangkin. Ketika
itulah Raisya keluar sambil menggendong kucing kesayangannya. Terjuih bibir
Hazri menuding pada Raisya.
"Eh, Encik Azraf. Bila sampai?"
Melihat Raisya tersenyum manis, hati aku makin pedih. Tak sedar kaki
melangkah laju ke arahnya. Sekarang aku berdiri betul-betul di depan Mamat Pink
tu. Eee! Menyampah pula aku tengok helmet merah jambu dia tu. Dah tak reti nak
buka ke helmet tu? Aku nak tengok juga muka dia. Handsome sangat ke sampai Raisya sanggup buat mogok lapar
semata-mata nak menolak pinangan aku?
"Ini ke Mr.Spotlight
yang awak cakap tu? Dia ni ke yang buat awak tak sudi bertunang dengan
saya?"
Mulut Raisya terlopong. Mamat Pink yang masih berada di atas motor
menanggalkan helmet. Ya Allah! Sekarang mulut aku pula yang terlopong. Betul ke
apa yang aku tengok ni? Panjangnya rambut dia! Lipstik dia pun warna pink!!!
"Mr.Spotlight mana pula
ni Raisya?"
Alahai! Halusnya suara dia. Azraf, bongoknya kau ni. Tengok! Rahsia
dah bocor ni. Apa tunggu lagi? Cabutlah!
"Errr...kenalkan. Ini kawan baik saya. Nama dia Rania. Tapi saya
panggil dia Makcik Fink. Encik Azraf cakap apa tadi? Bertunang dengan
siapa?" Tergagap -gagap Raisya menutur kata.
Aduh! Lutut dah menggeletar ni. Mengecil kelopak
mata Raisya merenung
aku. Perlahan-lahan Raisya meletakkan kucing kesayangannya
ke tanah. Namun matanya masih tidak mahu melepaskan aku.
“Azraf maksudkan kawan dia.
Betul tak Azraf?” Hazri memaut tengkuk aku
dan digoyang-goyang dengan agak
kuat.
“Ha, betullah tu. Kawan
saya...” Aku kerling Hazri bersama
kening-kening yang berkerut. Boleh
jalan ke helah ni?
Raisya tidak berkutik.
Liar matanya melihat
aku dan abangnya silih
berganti. Pasti ada sesuatu yang akan keluar dari
mulutnya. Sebelum dia
berubah menjadi ejen penyiasat, ada baiknya aku
cepat beredar dari
situ. Setapak demi setapak aku berundur
ke belakang. Hazri masih memaut
belakang badan aku. Tetapi dia juga melakukan perkara yang sama.
“Ajaklah kawan tu masuk. Tak
elok anak dara
bersembang kat luar,” kata Hazri.
Dan pada ketika itu
juga aku dah melompat
naik ke atas
motor dan cepat-cepat hidupkan
enjin motor. Hazri beri isyarat supaya
aku beredar segera sebab Raisya sudah
berkejar ke arah kami.
“Kau blah dulu
Azraf. Biar aku yang settle kan
dia,” bisik Hazri.
Ketika motor meluncur laju
meninggalkan kawasan rumah Raisya,
aku lihat melalui
cermin pandang belakang gadis
itu sedang bercekak
pinggang. Untuk hari ni memang aku
dah terlepas. Tapi macam mana
dengan besok. Aduh! Kalau minta tukar
tempat dengan abah buat sementara waktu
ni rasa-rasanya boleh tak?
No comments :
Post a Comment