Dah tiga hari aku tak
nampak Raisya. Bohonglah kalau aku tak rindu. Padanlah dengan muka aku. Kalau dah tahu tak
boleh tenang bila tak tengok muka
Raisya tu, kenapa luluskan cuti dia? Sekarang apa dah jadi?Nak pergi kerja pun rasa malas
sangat. Jarang aku lewat ke tempat kerja. Tapi kebelakangan ini, dah nak dekat
waktu makan tengahari baru aku masuk.Kadang-kadang lepas waktu makan baru aku
keluar dari rumah.
Hati bagai
digaru-garu untuk menelefon dia.
Tapi aku takut
dia akan bersoal-jawab. Sudah dua
kali aku terperangkap
dengan perbuatan sendiri. Tak mungkin Raisya tak syak
apa-apa. Tapi sejak hari
terakhir kami bertembung di
rumah mak, aku perasan topik itu
langsung tidak disentuh.
Adakah dia benar-benar tidak mengesyaki
apa-apa atau dia memang langsung
tak perasan akulah lelaki yang bakal
menjadi imamnya nanti?
"Kau tak sihat ke
Azraf?" Mak bertanya ketika dia masuk ke bilik untuk mengutip kain kotor.
Aku tak menjawab. Selimut
yang membalut tubuh aku tolak ke bawah. Aku memangku kepala sambil berlenging
di atas katil. Mak datang dekat. Belakang tapak tangannya mendarat di dahi. Tak
puas hati, dia memeriksa aku. Gayanya dah macam doktor kanak-kanak. Siap suruh
aku buka mulut.
"Hahhh!!!" Aku
buka mulut serentak dengan hembusan nafas.
"Pergh! Bau macam
taik lembu kering. Kurang asam punya botak!" Mak tekup bantal ke muka.
Mula-mula aku meronta. Tetapi tekupan mak semakin kuat. Beberapa ketika kemudian
aku mendiamkan diri. Tangan terdepang di atas katil. Perlahan-lahan mak
mengalihkan bantal yang menutup muka aku. Aku tayang mata buntang siap dengan
pakej lidah terjelir.
"Alahai Azraf...mak
minta ampun! Tak ada niat nak bunuh anak sendiri. Abang! Tolong saya bang!!!
Anak kita bang!!! Huwaaaa..."
Mak menggoyang-goyangkan
badan aku. Dia melompat naik ke atas katil dan terus memangku kepala. Eleh,
berlakon aje lebih tu. Aku tahu dia sedang memancing perhatian abah di luar
untuk menyertai kami. Raungannya semakin kuat. Aku masih seperti tadi. Dah
macam orang kena sawan. Mata sedikit terbuka untuk melihat aksi plastik mak.
Tak lama kemudian abah masuk.
"Apahal
terjerit-jerit ni?" Agak keras suara abah bertanya.
"Abang... tolong
panggil ambulans.Anak kita kena sawan. Huwaaa!!!"
Sambil menangis, tangannya
menampar-nampar pipi aku. Sakitlah! Mak memang suka mengambil kesempatan.
Tunggulah bila ada peluang nanti aku akan kenakan dia lagi.
"Cuba tarik bulu
hidung dia. Kalau tak sedar juga baru kita panggil ambulans," arah abah.
Nak tergelak aku mendengar
kata-kata abah. Mak dah bersedia untuk melaksanakan perintah abah.
Bersungguh-sungguh benar nampaknya mak. Tak semena-mena tawa yang puas aku
tahan terlambak juga. Tak boleh nak bayangkan kalau mak betul-betul mencabut
bulu hidung aku. Sakit siot!!!
"Apalah abah ni. Bulu
hidung orang pula yang dia suruh tarik."
Mak pun dah terbahak-bahak
ketawa. Abah cuma menggeleng. Nasiblah abah, dapat isteri dan anak yang
sama-sama sengal. Kalau dah datang 'angin bengong' kami berdua, abah yang
serius itu pun kami pedajalkan.
"Kau tak pergi kerja
ke Azraf?" Abah bertanya apabila tawa kami berdua dah mula reda.
"Orang nak cuti hari
ni boleh tak abah? Kerja kat pejabat pun dah tak banyak. Orang penatlah..."
Aku tunjuk muka kesian. Bahu mak aku jadikan tempat untuk memangku muka.
"Eleh, budak botak ni
bukannya penat mana pun bang. Dia jadi lesu sebab budak Raisya tu kan tengah
bercuti. Itu pasallah basau semacam aje dia ni." Seperti biasa, hobi mak
kalau sedang membebel. Pasti kepala aku digosok-gosoknya.
"Huh! Sendiri yang
cari penyakit. Nak berahsia sangat. Apa salahnya kalau Raisya tahu kau tu bakal
suami dia?" Abah dah nak beredar dari situ. Tapi sempat lagi dia berhenti
di depan pintu, nak mendengar jawapan yang sekian lama dia nantikan.
"Hish! Eloklah kalau
dia tak tahu. Dulu saya bertunang dengan awak pun kita tak pernah jumpa. Masa
nak nikah barulah saya dapat tengok muka bakal suami. Mujur handsome. Kalau tidak kesian anak saya
terpaksa mewarisi kehodohan abah dia. Hahaha!"
Abah turut sama ketawa.
Telinganya sudah lali dengan sindiran mak. Dia tahu mak bukan bersungguh pun.
Cara mak bergurau dah memang begitu. Tahan telinga sajalah.
Handphone berbunyi sebaik
sahaja abah keluar dari bilik. Mak lebih pantas mengambil handphone aku di atas
meja lampu. Berkerut keningnya membaca nama yang tertera di skrin.
"Batu Lesung? Siapa
ni Azraf?"
Aku terus terjun dari
katil dan merampas telefon di tangan mak. "Raisya!" Aku menjerit
keriangan.
"Batu Lesung kau
panggil budak tu. Kenapa..."
Aku senyum lebar sambil
menekan-nekan pipi sebelah kiri. Lama mak perhatikan perbuatan aku.
"Hish! Lambatlah mak
ni. Lesung pipit dialah..."
"Ooo...cakaplah dimple! Barulah mak faham. Eh, buka loud speaker. Mak nak dengar juga."
Aku ikutkan saja kehendak
mak. Tapi aku bagi isyarat supaya mak zip mulut. Sebaik saja terdengar suara
Raisya memberi salam, aku terus duduk di birai katil. Mak pun turut serta.
"Encik Azraf, Encik
sayang saya tak?"
Uik! Soalan apa tu?
Mak menyenggol bahu aku
dengan kuat. Eh, dia pula yang
beria-ia nak dengar jawapan aku. Bergerak-gerak halkum
mendengar soalan Raisya. Nak jawab
betul-betul atau masih nak
meneruskan lakonan?
“Awak okey ke tak ni
Raisya? Tak malu ke tanya
soalan macam ni?”
Hati mula memainkan rentak gendang. Muka rasa berbahang. Mahu saja
aku menyuruh mak
keluar. Malu pula bila hal peribadi
didengari. Tapi tak sampai hati
nak buat begitu.
“Encik Azraf...”
“Ya saya masih
mendengar.” Bergetar suara menyahut panggilan Raisya.
“Jawablah soalan saya tadi.”
Sekali lagi
bahu disenggol. Aku menggeleng perlahan. Dah parah budak ni.
Kalau betul sayang aku, cakaplah terus
terang. Kepala yang tidak
berambut aku garu. Apa yang patut aku buat
sekarang?
“Raisya...” Aku
panggil dengan nada memujuk.
“Dah ada jawapannya
Encik Azraf?” Laju Raisya bertanya.
“Ehem... dah.”
Terjongket kening mak. Aku
raup muka berkali-kali sebelum aku hadiahkan mak dengan senyum kelat.
“Jadi jawapannya? Ya atau
tidak?” Raisya masih
menunggu jawapan.
“Dua-dua pun tak.”
“Apa ni Encik Azraf?
Jawablah betul-betul. Saya tengah susah hati
ni. Minggu depan hari pertunangan saya. Tapi sampai
sekarang saya masih tak tahu
lagi siapa lelaki
tu. Saya perlukan jawapan Encik Azraf supaya senang saya buat
keputusan nanti.”
Terbangun aku dari
katil. Apa maksud Raisya? Penting
sangatkah jawapan aku sehingga mampu
mempengaruhi keputusan dia. Laju
kaki mundar-mandir di hadapan
mak. Tak
aku pedulikan mak yang
menggapai-gapai menyuruh aku duduk
semula di sebelahnya. Pening betul aku
dengan perangai Raisya.
“Okey, sekarang biar saya
yang tanya awak. Kenapa awak
tanya soalan tu?” Dengan
beraninya aku cabar keberanian Raisya. Gerenti dia
akan tamatkan panggilan selepas ini.
“Saya tanya macam tu
sebab saya nak Encik Azraf
berlakon jadi teman lelaki saya. Kalau
Encik Azraf memang tak
ada perasaan pada saya susahlah
nak menjiwai watak
nanti. Tapi kalau
Encik Azraf ada
sikit perasaan aje pun pada saya
itu dah cukup membantu.”
Hampir terlepas
telefon di tangan. Tekaan aku
ternyata melencong jauh. Mak terlopong
di atas
katil. Pasti dia pun tidak menjangkakan begitu jauhnya
perancangan Raisya untuk menggagalkan majlis pertunangannya nanti.
“Gilalah awak ni. Saya tak
mahu bersekongkol dengan niat buruk
awak tu. Terima ajelah pilihan keluarga awak
tu. Apa yang susah sangat?”
Tiba-tiba aku naik
angin. Cuba bayangkan kalau bukan aku
yang bakal jadi tunang dia? Makan hatilah jawabnya nanti. Kenapa
tinggi sangat ego kau
Raisya? Takkan kurang pun perasaan aku
ni kalau kau berterus-terang. Salah ke kalau perempuan
yang meluahkan dulu rasa hati?
Mak menarik tangan,
memaksa aku duduk di
sebelah dia. Turun naik dada
aku menahan geram. Ikutkan hati mahu
saja aku bocorkan rahsia sendiri. Raisya, kenapalah kau merumitkan
lagi keadaan?
“Bagi Encik
Azraf mungkin tak susah sebab Encik Azraf
boleh kahwin empat. Saya ni
perempuan. Saya tak mahu jadi
isteri derhaka. Sebab itulah
saya nak
gagalkan majlis ni sebelum terlambat. Saya dah ada pilihan sendiri. Berapa kali saya
nak ulang?”
Agak nyaring suara Raisya
di dalam talian. Aku tahu dia
sedang tertekan. Pasti dia sedang berusaha sedaya-upaya mempertahankan egonya. Peha sendiri kuramas
kuat. Tolonglah Raisya. Cakaplah kau
sayang aku. Aku janji pasti semua lakonan ini akan aku
hentikan selepas itu.
“Okey, saya tanya
untuk kali terakhir. Encik Azraf
sayang saya tak?”
Badan aku tegak
kembali tatkala mendengar
soalan Raisya. Aku tarik
nafas dalam-dalam. Hati
sudah nekad untuk memberikan jawapan pada Raisya.
“Saya akan beri jawapannya pada hari pertunangan awak nanti. Masa tu
nanti saya nak
awak buat keputusan di depan semua orang. Nak terima lelaki pilihan keluarga awak
atau sebaliknya. Bye!”
Perbualan tamat.
Kasar dengusan nafas yang keluar dari
hidung dan mulut aku. Aku kerling kalendar besar yang terlekat
di dinding bilik.
Lambatnya nak tunggu minggu depan.
Kalau boleh hari ini
juga aku nak
jumpa Raisya dan beritahu
akulah bakal tunang dia. Permainan yang ku
atur sendiri nampaknya
seperti kurang menjadi. Ternyata ego
Raisya lebih tinggi
dari aku. Tapi tak semudah itu aku
mengaku kalah. Sebelum tiba harinya aku
perlu buat sesuatu.
Aku tinggalkan katil dan terus
capai tuala. “Mak tolong
siapkan baju orang boleh tak?”
“Nak pergi
kerja ke?” Mak bertanya dan sudah
bersedia di tepi
pintu almari.
Aku cuma
mengangguk dan terus masuk
ke kamar mandi. Kepala
paip aku pulas
habis. Menderu-deru air hujan tiruan keluar, kasar-kasar jatuh di atas kepala. Dingin air yang menyentuh
kulit belum mampu menyejukkan hati aku
yang sedang membara dengan
perangai Raisya.
Satu jam kemudiannya aku
sudah berada di
pejabat. Mood masih belum stabil.
Sapaan Munirah langsung aku tak hiraukan. Surat-surat di
dalam tray aku ambil. Mana pula
pisau pembuka surat ni? Laci meja aku
buka satu-persatu. Siapa pula
yang ambil benda tu? Aku
beralih dari tempat duduk. Baru
perasan pisau pembuka surat
itu terjatuh di bawah
meja. Terpaksa pula
aku menyangkung dan masuk ke
bawah meja.
Uik, kaki siapa
pula ni. Aku berdiam diri sekejap
di bawah meja, mengawasi kaki
yang sedang melangkah masuk ke
dalam bilik. Kaki perempuan. Tak mungkin
kaki Munirah sebab seingat
aku Munirah tak pernah
tak pakai stokin. Dalam
pejabat ni cuma ada
tiga orang pekerja wanita. Tak mungkin Alia.
Wanita kacukan Cina dan Melayu itu
memakai gelang kaki. Jangan-jangan ini kaki...
“Raisya... adoi!”
Aduh sakitnya kepala aku.
Macam mana boleh terlupa yang aku masih di bawah meja? Tangan menggosok laju kepala
yang masih perit. Aku keluar dari
bawah meja dan terus membelakangkan
Raisya. Hidung dah tercium bau minuman kegemaran. Bagus
betullah dia ni. Ini belum lagi
jadi isteri. Kalau
dah jadi isteri
aku nanti, mata belum
buka lagi sarapan pagi
dah siap terhidang agaknya.
“Buat apa kat bawah meja tu? Nak menyorok dari
saya ke?” Raisya menegur.
Serta-merta aku
berpaling. Berkerut kening
melihat Raisya menyua mug ke mulut sendiri. Eh, itu
bukan untuk aku
ke? Makin berkerut apabila dengan selambanya Raisya
duduk di depan meja. Tak ada
sekelumit senyum pun yang
terhias di wajahnya
hari ini.
“Saya nak bagi
ni.” Dia meletakkan sekeping sampul
surat di atas meja.
“Encik Azraf bacalah dulu. Saya buatkan air sekejap.
Maaflah sebab guna mug
Encik Azraf tanpa
kebenaran. Ingatkan Encik
Azraf tak masuk office.” sambung Raisya lagi.
Dia terus
keluar tanpa sempat
aku buka mulut. Tiga hari tak nampak
batang hidung, hari ni muncul
saja terus hulur surat berhenti.
Tangan memegang sampul surat yang dia
letak tadi. Hati dah mula rasa
kurang enak. Melihat pada air muka Raisya
yang agak keruh, rasa-rasanya aku tahu
isi kandungan surat yang diberi tadi. Aku
tunggu Raisya masuk semula
nanti. Surat itu aku
akan baca di depan dia.
Tak lama kemudian
Raisya tiba. Belum sempat dia
meletakkan dulang, mata sudah menangkap
beg tangan yang tersangkut
di bahunya.
“Nak pergi mana ni?” Laju aku bertanya.
“Baliklah. Tapi sebelum tu saya nak kemas
barang-barang saya sekejap.”
Tenang sungguh Raisya menjawab.
Sedangkan aku ni dah macam nak
putus urat merih menahan geram.
“Mana boleh berhenti macam tu
aje. Awak ni
melampau betullah. Jangan
buat tempat ni
macam abang awak yang punya!”
Terhenjut bahu
Raisya di saat aku mengherdik. Sekali-sekala kena tunjuk
garang sikit dengan Budak
Lesung ni. Memang
aku sayang dia. Tapi ini
tempat kerja. Kenalah profesional
sikit.
“Saya tak
nak terima surat ni. Awak
pergi letak balik beg tangan
ni dan buat kerja
macam biasa. Kalau nak berhenti
juga bagi saya notis
sebulan. Memang tempat ni nampak
macam pejabat cabuk. Tapi kami ada
etika kerja. Jangan
semberono aje, faham?” Sekali lagi
dia terpaksa menadah tengkingan aku. Surat yang dia beri
tadi aku renyuk-renyukkan dan terus
buang ke dalam tong sampah.
Raisya terduduk.
Matanya berair. Bibirnya kelihatan
menggeletar. Aku cuba sedaya-upaya untuk
tidak terlalu cepat
lembut hati. Butang baju di
bahagian lengan aku buka. Laju
aku menyinsing lengan baju hingga
ke paras siku. Namun mata masih mengawasi tingkah Raisya yang masih bungkam.
“Saya nak
balik.”
Tak berkerdip
mata aku merenung dia. Degilnya
budak ni.
“Waktu bekerja belum
habis lagi.” Aku melarang dengan
suara keras.
“Saya dah tak
nak kerja kat sini lagi.” Raisya
bersuara lirih. Airmata yang ditahan mengalir perlahan di
pipi.
“Kalau dah tak
kerja kat sini
kenapa menangis pulak? Ada orang
suruh awak berhenti kerja ke?” Kedua-dua tangan aku hentak ke meja. Sengaja nak
bagi dia gugup. Mana tahu dengan cara itu dia
akan luahkan apa yang
terbuku di hatinya selama ini.
“Tak ada
sesiapa pun yang paksa saya tinggalkan tempat ni. Saya
rasa tak guna lagi
saya berada di
sini. Encik Azraf... Encik Azraf...” Suaranya tersekat. Takut-takut saja dia
memandang aku.
“Awak ada masalah ke dengan saya? Awak marah sebab saya tak
nak tolong gagalkan majlis
pertunangan awak nanti? Hei!
Kalau itulah sebabnya yang buat awak rasa
dah tak betah bekerja di
sini lagi, awak boleh keluar sekarang.”
Tak semena-mena aku
berjalan laju ke pintu. Daun
pintu aku buka
luas dan menanti Raisya
keluar dari situ. Dia juga tak mahu kalah. Sempat lagi dia
menolak kerusi dengan kasar
sebelum menghampiri aku.
“Encik Azraf ni
bodoh tau tak? Kepala licin
Encik Azraf ni sama licinnya dengan otak
Encik Azraf! Zero! Saya dah
bagi macam-macam hint, tapi Encik Azraf tetap
tak perasan.” Raisya mendengus kasar dan terus keluar.
“Hei! Jangan kaitkan
kepala saya dengan semua
ni ya. Awak tu
yang tak reti
menggunakan peluang yang ada. Bukan salah kepala sayalah!”
Geramnya aku! Ikutkan hati mahu saja
aku menarik hujung tocang Raisya.
“Yalah! Kalau saya
mengaku saya sayang Encik Azraf sekali
pun, semuanya sudah terlambat. Lupakan ajelah. Selamat tinggal.”
Uik! Aku tak salah dengar ke? Dia dah buat pengakuan. Yes! Helah sudah berjaya. Raisya,
masih belum terlambat sayang.
Segalanya baru saja
bermula.