Rokok dah jadi kawan baik aku
sekarang. Dari hanya suka-suka ‘menumpang’ rokok Azie, sekarang dah pandai beli
sendiri. Bukan setakat beli sendiri, siap merokok berjemaah sekali dengan Rahim
dan kawan-kawan yang lain. Mula-mula turun naik juga darah aku kena perli
kawan-kawan serumah. Tapi lama-lama dah terbiasa. Lantaklah, bukan aku minta
duit diaorang untuk beli rokok, kan?
“Amboi! Jauh betul menung tu. Dah
sampai kampung ke?”
Aku menoleh ke pintu bilik. Rahim
tersengih lebar. Dia ni memang ada satu perangai, tak reti nak ketuk pintu
sebelum masuk ke bilik orang. Naik jenuh mulut menegur, tapi dia buat bodoh saja.
Melainkan kalau pintu bilik berkunci, barulah dia ketuk pintu. Itu pun siap
dengan terjerit-jerit di luar.
“Aik, berkilat nampak rambut tu. Nak
ke mana?” Aku tanya Rahim yang masih tercegat di pintu.
“Nak keluar kejap. Nak ikut tak?”
“Ke mana?”
“Alah... kita pergi minum-minum,
jalan-jalan ambil angin. Besok hari minggu, kan?”
“Emmm, bawa kereta kaulah. Aku malas
nak drive.” Aku bergerak ke almari
baju. Nak menyalin baju dan seluar.
“Kita naik kereta Rayqal,” ujar
Rahim.
“Uik, semua pergi ke? Yassin pun
ikut?”
Rahim cuma mengangguk. Kotak rokok
di atas meja kerja diambil. Dengan isyarat mata saja, dia ambil sebatang rokok
di dalam kotak. Aku biarkan saja. Dah biasa dengan perangai dia. Kadang-kadang
aku pun ‘pow’ rokok dia juga. Yassin dan Rayqal sudah menunggu di kereta ketika
aku dan Rahim keluar ke halaman rumah. Bukan senang dapat keluar berempat.
Dapat berlibur sekali-sekala begini rasa seronok pula. Makin lama aku berkawan
dengan mereka berempat, barulah aku tahu. Rayqal dan Yassin ada talian persaudaraan
rupanya. Mereka berdua sepupu. Tapi tak kisahlah tu. Yang penting, tiap-tiap
bulan aku tak pernah ‘terkehel’ bayar sewa bilik.
“Kita nak pergi mana ni? Tadi kata
nak pergi minum-minum.” Rahim bertanya setelah hampir dua puluh minit di dalam kereta.
“Duduk ajelah diam-diam. Hari ni
kita pergi minum kat tempat special. Bosanlah
asyik kedai mamak aje.” Yassin yang duduk di bahagian depan mengerling aku dan
Rahim di tempat duduk belakang.
“Kalau nak pergi tempat special, jawabnya orang yang ajak tu lah
yang kena belanja. Tengah-tengah bulan ni Yassin. Poket tengah kempis ni.”
Aku pula menyampuk perbualan. Masing-masing
gelak melambak. Walaupun dalam bergurau, tapi hakikatnya memang benar. Sejak
merokok ni, jarang-jarang duit aku cukup sampai hujung bulan. Mujurlah duit
pemberian Abang Zali masih ada. Kalau tidak, memang kena puasalah jawabnya.
“Hari ni abang polis kita ni yang
belanja. Member baru naik pangkat...”
Yassin menepuk-nepuk bahu Rayqal yang sedang memandu.
“Wah! Tahniah Rayqal. Eh, salah.
Kopral Rayqal...” Rahim pula menggoncang-goncang bahu Rayqal. Aku cuma ucapkan tahniah.
Kalau dah semua nak menepuk bahu Rayqal, ada senget sebelah juga bahu dia.
“Terima kasih!!! Hari ini ajelah aku
belanja pun. Lain kali tak dak dah!!!”
Terhambur tawa masing-masing. Dah
maklum sangat dah dengan perangai Rayqal. Dia ni memang agak berkira sikit
dengan duit dia. Kalau dia kirim beli barang, baki sekupang pun dia minta juga.
Kereta berhenti di hadapan sebuah
kedai minum. Erk! Kedai apa ni? Pintu kedai tertutup rapat. Walaupun ada banyak
lampu berwarna-warni menghiasi luar kedai, tapi lain macam benar aku tengok
kedai ni. Kepala terdongak ke arah nama kedai ketika membuka pintu kereta. Lucky Star Bar. Bar? Uish! Biar betul Rayqal ni. Takkan nak minum-minum di tempat begini.
“Kita nak minum kat sini ke?”
Tiga-tiga pandang aku. Yassin dah
menolak pintu kedai. Rahim ikut masuk sekali. Kaki aku masih keras di tepi
pintu kedai. Rayqal pandang aku, dia senyum sambil bagi isyarat suruh aku
masuk. Kepala tergeleng perlahan. Kalau mak tahu aku masuk tempat macam ni, memang
dia tak mengaku anak rasanya.
“Kau jangan fikir yang
bukan-bukanlah Joe. Masuk dulu, baru tahu macam mana rasanya...” Rayqal menolak
pintu kedai. Kuatnya bunyi muzik di dalam.
“Aku tak minum air setan tu.” Aku keraskan suara, cuba
tetapkan pendirian. Kalau terpaksa tunggu di dalam kereta pun aku sanggup. Aku takkan
masuk ke tempat-tempat begini.
“Siapa pulak yang suruh hang togak
kencing setan tu. Air lain pun
ada kat sini. Masuk dulu, kita release
tension. Layan mata sat.
Kenal-kenal kawan baru kat sini.”
Rayqal dah menarik tangan ketika aku
sedang terkial-kial memikirkan alasan untuk tidak menyertai mereka. Berkerut dahi
menahan bunyi muzik yang kuat. Bergegar-gegar gegendang telinga aku, cuba
membiasakan bunyi muzik. Makin melangkah ke dalam, suasana semakin suram dan
gelap. Kelihatan dua orang gadis berskirt pendek sedang menunggu di sebuah lagi
pintu yang diubahsuai seperti pintu di restoran koboi. Berkali-kali aku telan air
liur. Berdebar-debar dada melihat peha gebu gadis-gadis itu.
“Qal, aku tunggu kat luar ajelah...”
Aku rentap perlahan pegangan tangan
Rayqal. Tapi tak sempat nak berpaling, salah seorang gadis tersebut memeluk lengan
aku. Rayqal tersengih nakal. Dia relakan saja gadis yang seorang lagi memimpin
tangannya masuk ke dalam. Aduh! Menyesal pula aku ikut diaorang. Duduk kat
rumah lagi bagus macam ni. Mak...ampun!!!
“First
time ke?” tanya gadis itu. Suaranya dekat betul di tepi telinga. Aku
pandang dia sekilas. Rambut melindungi dahi, hampir-hampir menutup mata. Cara
bercakap macam Melayu. Tapi gaya berpakaian macam Cina.
“Fresh
orange pun ada kat sini. Jangan risau...”
Dia berjaya buat aku tersenyum.
Macam tahu-tahu saja apa yang sedang aku fikirkan. Dia bawa aku masuk ruang
bar. Melalui cahaya samar, aku tengok ada banyak tempat duduk yang disusun
dalam bentuk berkumpulan. Setiap satu sama lain dihadang dengan penyandar
kerusi yang agak tinggi. Senang cakap, apa yang orang sebelah belakang buat
memang kita tak nampak. Ditambah pula dengan suasana sekeliling yang agak gelap.
Hmm...Memang tempat yang sangat sesuai untuk buat maksiat ni.
“Joe, sini!”
Terkial-kial aku mencari arah suara Rayqal.
Tapi gadis itu lebih pantas membawa aku ke sudut kedai. Mereka bertiga ada di situ
rupanya. Lega sekejap bila dapat menghenyak punggung di sebelah Yassin. Telinga
semakin dapat menyesuaikan diri dengan bunyi bingit di situ. Gadis tadi mengambil
pesanan, sama seperti kedai-kedai makan di luar. Hati makin lega bila
masing-masing memesan minuman halal. Takut juga membayangkan kalau-kalau ada
salah seorang dari kawan-kawan aku ni meneguk minuman haram tu.
“Tak lemas ke minum kat tempat macam
ni? Gelap. Nak tengok muka korang pun tak nampak.”
Terpaksa kuatkan suara sikit bila
nak berbual-bual. Dah macam nak bergaduh pula gayanya.
“Dah lama kitaorang tak lepak sini.
Kat sini tak ramai orang. Sekali-sekala nak melayan kepala, kitaorang masuklah
sini,” jawab Rayqal, juga dengan suara yang melaung.
“Layan kepala apa bendanya ni? Makin
sakit kepala adalah. Kalau selalu-selalu masuk sini, mahu pekak telinga aku woi!”
Terkekek-kekek mereka bertiga
ketawa. Sumpah, memang boleh sakit kepala kalau lama-lama duduk di sini. Atau
mungkin aku yang masih belum biasa? Aku tengok Yassin, Rayqal dan Rahim macam
dah biasa dengan tempat ini. Kepala masing-masing terangguk-angguk mengikut
rentak muzik rancak yang dimainkan. Tidak lama kemudian, minuman yang kami
pesan pun tiba. Rasa macam berada di dunia lain pun ya juga. Aku tak nampak
langsung muka pelayan yang menghidangkan minuman. Walaupun di situ ada lampu
sorot yang bermacam-macam warna, masih tidak membantu penglihatan aku. Cuma
hidung saja yang terbau haruman minyak wangi yang digunakan oleh pelayan itu.
Mak ai!!! Berapa botol minyak wangi dia sembur ni?
“You
mahu perempuan ka bos?” Pelayan
itu bertanya sebelum beredar.
“Boleh juga. Empat orang,” jawab
Rayqal laju.
“Eh! Aku tak naklah Qal. Aku nak
minum aje.” Sepantas kilat aku menolak. Tadi kata nak minum-minum. Ni apahal
pula sampai melibatkan perempuan ni?
“Sportinglah
sikit Joe. Bukan selalu...” Aku dengar suara Yassin. Pelik betul. Yassin yang
selalunya nampak tegas, malam ni macam aku tengah tengok orang lain. Mungkin
sengaja bagi muka pada sepupu dia agaknya.
“Ini bukan perempuan yang
‘gitu-gitu’ Joe. Ni setakat teman minum-minum dan borak-borak aje. Kitaorang semua masih teruna lagi!”
Kali ni aku pun gelak sama. Semakin selesa
berada di situ. Kentang goreng yang terletak di tengah-tengah meja aku ambil
sepotong. Muzik bertukar perlahan. Barulah selesa sikit telinga ni. Ketika sedang
menyedut minuman, empat orang gadis menghampiri meja kami.
“Hai, lama tak nampak? Ingatkan dah
tak ingat jalan nak datang sini.” Salah seorang dari mereka menegur. Tiga dari
mereka dah menyelit di antara Yassin, Rayqal dan Rahim. Aku ambil jalan
selamat, beralih tempat duduk di bahagian tepi sekali. Senang nak lari kalau
jadi apa-apa hal nanti.
“Kitaorang sibuklah sayang. Come, have a sit,” pelawa Rayqal.
Gadis itu menoleh ke arah aku. Alamak!
Janganlah dia menyelit di sini. Hati berdebar-debar kembali. Bukan takut, tapi seram.
Seram tengok pakaian sendat gadis itu. Walaupun berseluar panjang, tapi setiap
lekuk tubuhnya jelas kelihatan. Aku pasti gadis itu berbangsa Melayu. Loghat
utara agak jelas kedengaran.
“Bawa geng baru ke?” Gadis itu
bertanya sambil melangkah ke tempat aku duduk. Aduh mak! Dia duduk di bahagian
tepi. Sudah! Ke mana nak lari ni? Dah terapit di antara gadis itu dan kawannya
yang duduk di sebelah Yassin.
“You
tanya dia sendirilah. Dia malu-malu lagi tu,” Rahim menyampuk perbualan.
“Nak malu apa? Kalau dah berani
masuk ke sini, tak ada maknalah nak malu-malu...”
Aku sengih sikit, walaupun aku
sangat pasti dia tak nampak reaksi wajah aku. Fresh orange di atas meja aku capai. Gadis yang masih belum aku ketahui
namanya mengiring sedikit, mengadap aku. Sekarang masing-masing dah ada teman.
Aku membuang pandang ke arah lain. Rasa tak sedap hati bila tangan gadis itu mendarat
di peha.
“Nak panggil apa ni?” tanya gadis itu.
Aku telan fresh orange perlahan-lahan. Tak semena-mena gadis itu memegang
gelas di tangan. Dia tolong letakkan gelas itu di meja. Dia ambil bekas berisi
kentang goreng. Aku geleng perlahan. Tak tertelan aku kentang goreng tu. Macam
mana nak makan kalau gadis itu asyik menari-narikan tangannya di peha ni?
“Joe...Johaimi...” Tersekat-sekat
aku menjawab soalan dia.
“Joe.. relakslah. You memang tak biasa datang tempat-tempat macam
ni, ya?”
Aku mengangguk laju. Gadis itu mengalihkan
tangannya. Fuh, lega. Muzik rancak berkumandang kembali. Suasana kembali
bingit. Apa aku nak buat ni? Takkan nak melangut saja. Nak balik dulu, aku
tumpang kereta Rayqal pula. Aduh! Mati kutu macam ni.
“You
polis juga ke? Macam Rayqal?”
Aku menoleh. Mujur tak tercium pipi
dia. Bau minyak wangi dia bestlah.
Tak menyengit hidung macam bau gadis yang menyambut aku di pintu tadi. Aku cuba
duduk dengan selesa. Tak salah rasanya kalau setakat berbual-bual. Lagipun aku
tengok tangan dia tak macam kawan-kawan dia yang lain. Sekali-sekala aku ternampak
juga tangan kawan-kawan aku yang bertiga tu pun dah macam sotong. Hmm, patutlah
suka sangat ke sini. Nak buat wayang free
rupanya.
“Saya sama tempat kerja dengan Rahim,”
jawab aku pendek.
“Apa dia? Sorry, I tak dengar...”
Gadis itu semakin rapat. Boleh rasa
sebahagian badannya terhimpit di dada. Aku tahan nafas. Kalaulah boleh aku
perlahankan muzik ni, alangkah bagusnya. Dah macam sandwich pula rasanya.
Perlahan-lahan aku tolak sikit badan gadis tu. Aku mengengsot sedikit ke tepi.
Aku tunduk sedikit, dekat dengan telinga gadis itu.
“Rahim dan saya satu tempat kerja.”
“Ooo...Pegawai bank.” Gadis itu terangguk-angguk.
Lepas satu, satu soalan ditanya. Dah
macam sesi interview pula rasanya. Aku
tahu, gadis itu cuba buat aku rasa selesa. Kami berbual dalam keadaan tertunduk-tunduk.
Aku nak mengelakkan dari dia menghimpit badan aku seperti tadi. Seram sejuk
satu badan bila dia buat begitu. Mujur dia faham. Soalan yang dia tanya pun tak
menyimpang atau double meaning.
Lama-lama jadi seronok pula berbual dengan dia.
“You
dah ada girlfriend, ya?”
“Eh, mana ada...”
“Habis tu kenapa nampak takut-takut?
You gay ke?”
“Huish, nauzubillah!”
Gadis itu mengekek ketawa. Kedua-dua
tangan dirapatkan, isyarat minta maaf. Tercuit pula hati bila dia buat macam
tu. Aku nampak barisan gigi putihnya apabila dia tersenyum lebar tadi. Aduhai lampu!
Tak boleh ke bagi aku cahaya yang terang sikit? Aku nak tengok muka dia.
Malam semakin larut. Perut pun dah
naik kembung. Dah bergelas-gelas fresh
orange aku minum. Diaorang bertiga ni tak ingat nak balik ke?
“Sayang... Tolong ambilkan bil.”
Rayqal bersuara.
Gadis yang melayan aku tadi bangun.
Sempat lagi Rahim melepuk punggung gebu gadis itu ketika dia bangun. Kurang asam
betul! Mujur bukan teman wanita aku. Kalau tak dah lama dia makan penumbuk.
“Amacam Joe? Okey tak lepak kat sini?”
Yassin bertanya.
“Bolehlah...” Aku jawab sepatah.
“Enjin dia belum panas lagi tu.
Malu-malu kucing lagi. Tunggu nanti bila kucing dah keluar tanduk. Silap-silap haribulan
dia datang sorang-sorang aje ke sini nanti.”
Aku menggeleng, menidakkan kata-kata
Rahim. Yang lain-lain dah ketawa mengilai. Tak mungkin aku akan jejakkan kaki
lagi ke sini. Walaupun hati ni dah kosong, namun penggantinya tak mungkin berada
di sini. Mahu pengsan mak aku kalau dia tahu bakal menantunya GRO. Choi!!!
Tak lama kemudian gadis tadi datang
semula dengan dulang kecil berisi bil yang perlu dibayar. Aku perhatikan selain
Rayqal, Rahim dan Yassin juga mengeluarkan dompet masing-masing. Eh, bukan ke tadi
Rayqal kata dia yang belanja? Sangkaan meleset apabila cuma Rayqal saja yang
meletakkan duit di dalam dulang. Rahim dan Yassin menghulur duit masing-masing
pada gadis-gadis yang menemani mereka malam itu. Oh, tips rupanya. Rayqal menjongket
kening pada aku. Apa? Aku pun kena bagi tips juga ke? Aduh! Dalam beg duit cuma
ada lima puluh ringgit aje ni.
“Joe...takkan tak ada barang
sekeping kot? Janganlah kedekut sangat,” perli Rayqal. Dia juga menyelitkan sekeping
not lima puluh di celah tali pinggang gadis yang menemaninya sebentar tadi.
“I
tak nak tips. Just, come here again
next time...”
Tergamam
aku sekejap. Betul ke apa yang aku dengar ni? Gila ke apa nak aku datang ke
tempat ni lagi? Gadis itu menumbuk perlahan dada aku. Rayqal, Rahim dan Yassin
bersorak riang. Aku tak tahu nak buat apa? Muka dah merah padam. Sudahnya aku cuma
mampu mengangguk dan minta diri untuk keluar. Gadis itu cuma melambai dan beredar
pergi. Sekali lagi lampu di dalam bar itu tidak membantu aku untuk melihat
keseluruhan wajah gadis itu.
Di dalam kereta, aku cuma membisu.
Entah kenapa, wangian gadis itu seakan masih terbau-bau di rongga pernafasan.
Yang lain-lain juga sudah membungkam. Kepenatan barangkali. Mahunya tidak,
gelak ketawa, berbual tak henti-henti sampai perut kembung dengan bergelas-gelas
air. Rayqal menguap lebar. Terus tegak badan aku melihat dia melalui cermin
pandang belakang.
“Kalau kau mengantuk, biar aku drive Qal.”
“Tak apa. Dah nak sampai pun...”
Rayqal bersiul-siul kecil. Mungkin
untuk menghilangkan rasa mengantuk. Aku tersandar kembali. Aku cium sedikit
hujung lengan baju. Patutlah, bau minyak wangi gadis itu melekat di baju rupanya.
Aku senyum sikit. Hampir tiga jam berada di Lucky
Star Bar, tak terfikir langsung kepala otak aku ni untuk bertanyakan namanya..
Bongok betullah kau ni Joe.
“Rayqal, aku nak tanya sikit boleh
tak? Tapi janji, kau jangan gelak.” Sengaja aku rendahkan suara. Bimbang
kalau-kalau Rahim dan Yassin terdengar.
“Apa dia?” tanya Rayqal.
“Apa nama awek yang temankan aku tadi?”
Rayqal tekup mulut. Aku tahu dia nak
ketawakan aku. Aku cubit bahu kanannya. Rayqal mengaduh perlahan. Dia tepuk
dahi sebelum menoleh sekejap ke belakang.
“Sengallah kau ni Joe. Macam tu punya
lama berborak, kau tak tanya nama dia?”
Aku diam saja. Dah agak, pasti
Rayqal akan bahasakan aku. Tahan ajelah Joe. Siapa suruh tak tanya perempuan tu
tadi?
“Dah tersangkut dengan awek tu ke?”
tanya Rayqal.
“Taklah. Aku cuma nak tahu nama dia
aje...”
“Oh... Karmila.”
“Apa dia?” Aku menyoal kembali.
Celik biji mata sekejap bila Rayqal sudi menjawab soalan.
“Nama dia Karmila...”