Pagi yang hening dan mendinginkan itu tidak mampu menenangkan perasaan Lina yang sedang hangat. Hangat dengan cinta seorang lelaki yang telah berjaya menawan hati remajanya. Mulut mongelnya menyanyikan lagu-lagu cinta sambil bersiap siaga untuk ke sekolah. Sekali-sekala dia melirik manja pada lelaki itu yang sedari tadi masih terdampar di atas katil.
“Sayang...Bangunlah.
Lina nak pergi sekolah ni.”
Walaupun
sedang mengadap cermin, dia masih boleh melihat lelaki itu. Lina mengekek
perlahan. Malu diperhatikan. Tuala yang membalut tubuh terlucut. Lina ketawa
lagi.
“Sayang,
mata tu jangan nakal sangat boleh tak? Tutuplah mata tu. Lina nak pakai baju
ni.”
Matanya
masih tidak lepas merenung mata redup lelaki itu. Satu-persatu pakaian seragam
sekolah disarungkan ke badan. Usai bersiap, dia ke meja tulis dan mengemas
buku-buku yang perlu dibawa ke sekolah. Bibirnya masih menguntum senyum manis.
“Kamal,
Lina nak pergi sekolah ni. You duduk
rumah diam-diam tau. Jangan nakal-nakal. I
love you…ummmmuuah!”
Gambar
Kamal dikucup penuh perasaan. Diusapnya ulas bibir lelaki itu dengan rasa cinta
yang mendalam. Walaupun sekadar gambar, Lina merasakan lelaki itu benar-benar
wujud di depan mata. Dipeluk erat bingkai gambar sebesar kertas A4 itu. Berat
benar hatinya ingin melepaskan wajah lelaki itu.
“Lina
pergi dulu sayang. Tunggu Lina balik tau.”
Satu
lagi kucupan melekat di cermin bingkai gambar. Potret Kamal hasil tangannya
sendiri diletakkan di atas katil dalam keadaan terbaring. Senyumnya masih
bersisa ketika dia keluar dari bilik.
“Apa
yang kau buat lama sangat kat dalam bilik tu? Siapa nak mandikan adik ni?”
Keluar
saja dari bilik, Lina dijerkah ibunya. Dia mengetap bibir. Ibunya yang sedang
duduk di kerusi roda dipandang dengan wajah masam.
“Orang
dah lambat ni. Minta tolong makcik Intan ajelah,” sungut Lina.
Sejak
ibunya lumpuh, Lina yang mengambil alih tugas-tugas menguruskan rumah. Ayahnya
seorang pemandu lori, sering tiada di rumah. Lina terbeban dengan semua tanggung
jawab itu seorang diri. Sekali-sekala ada juga jiran-jiran yang datang menolong.
Namun semua itu masih tidak mengurangkan
keletihan Lina dalam menguruskan adik lelakinya yang menghidap Sindrom Down.
“Pagi-pagi
lagi dah buat muka masam. Tak cium bau syurga kalau buat ibu macam tu. Kalau
ibu ni tak sakit, tak payah nak menyusahkan kau. Ibu boleh buat sendiri. Ini
baru sikit. Kalau dah kahwin nanti lagi besar tanggungjawabnya. Nak jaga makan
minum suami, nak buat kerja rumah. Kalau sekarang nak mandikan adik pun dah
merungut, baik tak payah berangan nak berlaki!”
Lina
terpukul dengan kata-kata ibunya. Ikut hati mahu saja dia menolak ibunya
dari kerusi roda itu. Kaki sahaja
lumpuh, tapi Lina berharap sangat ibunya
bisu. Biar telinganya tak perlu lagi
mendengar bebelan dan ocehan yang membingitkan saban hari. Lina ingin mengunci
pintu bilik. Tidak mahu bilik itu dicerobohi oleh adiknya. Namun tak
semena-mena matanya terpandang gambar Kamal yang terletak di atas meja solek. Serta-merta
mulutnya menguntum senyum.
“Adik,
mari mandi sayang.”
Lina
meletakkan beg yang digalas. Adiknya yang baru sahaja bangun tidur didukung ke
bilik air.
“Sayang,
ambilkan tuala anak kat dalam bilik.”
Lina
berangan lagi. Tubuh bogel adiknya yang berumur tiga tahun dijirus perlahan. Mengekek
anak kecil itu ketawa kesejukan. Lina menyingsing sedikit lengan baju kurungnya
hingga ke siku. Selesai menyabun, dia membilas tubuh montel adiknya.
“Sayang...Tolong
siapkan baju anak. Baju dia ada dalam almari tu.”
Diciumnya
pipi montel adiknya. Anak kecil didukung dan dibawanya masuk ke dalam bilik. Ibunya yang berada di ruang
tamu langsung tidak dihiraukan.
“Kau
nak bawa adik tu pergi mana Lina? Baju dia ada kat sini!” jerit ibunya.
Lina
keluar semula dari bilik dan mengambil baju
di tangan ibunya. Berdentum pintu bilik ditutup dengan kasar oleh Lina.
“Ops!
Maaf sayang. Lina tertutup kuat pulak
pintu ni. Mak tu, ada-ada ajelah. Sayang, nanti tengok-tengokkan mak sekali,
ya. Kalau dia banyak songeh, sayang bagi aje dia ubat tidur.” Lina ketawa
mengekek.
Adiknya
yang tidak mengerti apa-apa turut ketawa dengan telatah Lina. Serta-merta tawa
Lina hilang. Bulat matanya merenung anak kecil yang sedang dipakaikan seluar
itu.
“Apsal
kau ketawa? Kau ingat aku gila ya? Kau keluar sekarang!” Lina menjerkah.
Terperanjat
anak kecil itu. Lina menarik adiknya keluar dari bilik dengan kasar. Terjerit-jerit
adiknya minta dilepaskan.
“Dah
siap! Orang nak pergi ni.”
Beg
sekolah digalas lalu dia keluar dari rumah. Langsung tidak dihiraukan ibunya
yang ingin menghadiahkan ciuman di pipi. Ibunya menyapu airmata yang mengalir.
“Ibu
minta maaf Lina. Ibu tak berniat nak menyusahkan kau,” lirih ibunya dalam
sebak. Matanya memandang kelibat Lina yang sedang menunggu bas sekolah di
hadapan rumah. Tidak tergerak langsung hati Lina untuk menoleh ke belakang, melihat
ibunya yang masih memerhati. Kakinya terus menapak tangga bas yang baru
berhenti. Tempat duduk yang paling belakang menjadi pilihan Lina. Bas bergerak
meninggalkan ibu Lina yang sedang melambai di muka pintu. Sikit pun Lina tak
perasan.
Dalam
kepalanya sekarang cuma ada satu wajah, Kamal Akasyah. Dia bertekad untuk
menjadikan lelaki itu miliknya. Walau dengan apa cara sekalipun. Namun masih
ada halangan yang menghadang tembok cintanya. Fatin. Itu musuh ketatnya. Dia perlu cepat bertindak
sebelum gadis itu berjaya membolot tempat di hati Kamal. Sebagai langkah
pertama, Lina perlu mendapatkan alamat rumah Kamal. Dia yakin maklumat yang
dikehendaki boleh diperolehi dengan mudah.
Sampai
saja di sekolah, bilik guru adalah tempat pertama yang dituju. Dia mencari
seseorang yang boleh memberikannya maklumat mengenai Kamal. Senyumnya melebar
apabila ternampak Cikgu Shazatul yang baru tiba. Laju lenggangnya mendekati
guru kelasnya itu.
“Selamat
pagi cikgu.”
Salam
hormat diberikan dengan penuh sopan. Cikgu Shazatul hanya mengangguk dan bergerak
ke mejanya. Lina mengikut dari belakang. Kepalanya ligat menyusun ayat yang
sesuai untuk memancing perhatian guru kelas merangkap guru disiplin itu.
“Cikgu,
cikgu masih simpan tak maklumat
peserta-peserta rombongan yang pergi Pulau Tioman hari tu?”
“Awak nak buat apa?”
“Saya…saya
nak buat kenduri…”
“Cuba
cakap kuat sikit, saya tak dengar.” Cikgu Shazatul menegur.
Wajah
Lina ditenung tajam. Lina membuang rasa gerunnya. Apa pun terjadi dia mesti
mendapatkan alamat Kamal. Lina menelan
liur. Dia tidak boleh teragak-agak. Atau dia takkan perolehi apa yang dihajati
nanti.
“Saya
nak buat kenduri nanti.Nak jemput kawan-kawan semua datang rumah. Jadi saya nak
ambil nombor telefon diaorang.”
Laju
degup jantungnya menunggu reaksi Cikgu Shazatul. Besar betul harapannya agar
pembohongannya berjaya.
“Saya
kan ada bagi salinan pada awak dan Fatin. Awak tak simpan ke?”
“Ada
cikgu. Tapi saya tak ada nombor dan alamat peserta tambahan.”
“Maksud
awak, kawan-kawan Cikgu Shahrul?”
Lina
mengangguk laju. Dia menahan diri dari menunjukkan aksi yang keterlaluan. Peluang
untuk mendapatkan maklumat Kamal semakin hampir.
“Saya
memang tak ada simpan maklumat diaorang. Sebab diaorang tak naik bas. Kalau
awak nak maklumat diaorang, pergi minta pada Cikgu Shahrul.”
Tanpa
ucapan terima kasih, Lina melulu keluar dari
bilik guru. Dia tahu di mana dia boleh dapatkan Cikgu Shahrul. Kasutnya
tidak sempat disarung dengan sempurna. Dia perlu segera mendapatkan Cikgu
Shahrul. Rindu untuk mendengar suara garau Kamal tidak mampu ditahan lagi. Tidak
dihiraukan langsung teguran dan sapaan rakan-rakan yang berselisih dengannya. Cikgu
Shahrul perlu dicari segera. Pintu bilik makmal diketuk bertalu-talu. Mulutnya
tak henti-henti memanggil nama guru yang mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik itu.
“Lina!”
Gadis
itu menoleh. Patutlah pintu bilik makmal berkunci. Shahrul baru sampai
rupa-rupanya. Buat lenguh tangan saja dia mengetuk pintu tadi. Segera dia
menghampiri lelaki itu. Topi keledar
yang terkepit di celah lengan cikgu bujang itu diambil. Kononnya memudahkan Shahrul
membawa barang-barangnya yang lain. Lina tersengih melihat wajah lelaki itu
yang agak terkejut dengan tindakannya.
“Cikgu,
saya nak nombor telefon Abang Kamal boleh tak?”
Tanpa
salam dan mukadimah, Lina terus ke objektif utamanya. Dia tidak boleh sabar
lagi. Dibiarkan sahaja dirinya direnung dari atas ke bawah oleh Cikgu Shahrul.
“Awak
nak buat apa?” tanya Cikgu Shahrul.
Melihat
pada wajah teruja Lina membuatkan dia
cuak. Serta-merta ingatannya terimbas kembali beberapa peristiwa yang berlaku
di Pulau Tioman. Gadis itu sentiasa mengejar bayang Kamal. Malah sanggup
bermusuh dengan Fatin demi merebut perhatian peguam muda itu. Alasan yang
diberi oleh Lina sama seperti yang dia katakan pada Cikgu Shazatul.
“Saya
memang ada nombor dia, rumah dia pun saya tahu kat mana.Tapi…”
“Tapi
apa cikgu? Kalau tak dapat alamat pun tak apa. Saya telefon aje nanti,” ucap
Lina laju. Jantungnya berdebar kencang. Rasa seperti mahu diseluk segala poket yang berada di
pakaian Shahrul. Lambat pula Cikgu
Shahrul mengeluarkan telefon bimbit.
“Handphone saya tertinggal kat rumah. Saya
charge tadi, terlupa nak bawa.”
Haba
panas menyerbu ke muka Lina. Ditenung tajam wajah lelaki itu.
“Cikgu
tipu kan?”
“Mana
ada, kalau tak percaya cuba check. Dah
sampai sekolah baru saya perasan.”
“Takkan
cikgu tak ingat langsung nombor dia?”
“Saya
bukan jenis yang ingat nombor telefon orang. Formula Sains tu pun terkial-kial
saya nak menghafal, ini kan pulak nombor telefon orang.” Shahrul ketawa di
hujung kata-katanya.
Lina
memeluk tubuh. Tidak puas hati dengan jawapan Cikgu Shahrul. Bergerak-gerak
rahangnya menahan marah. Dengusan nafasnya kedengaran keras. Shahrul kelihatan
gusar dengan tingkah Lina.
“Kenapa
semua orang tak suka saya berkawan dengan Kamal?” tanya Lina perlahan.
Berkerut
kening Cikgu Shahrul mendengar pertanyaan Lina. Dari berpeluk tubuh, Lina
bercekak pinggang. Dia tidak mampu membendung
kemarahannya lagi.
“Cikgu
dengan Fatin tu sama aje. Cemburu kalau saya couple dengan Kamal, kan?”
“Apa
awak merepek ni Lina? Bila masa pula saya cemburu dengan awak? Dan apa kena-mengenanya
Fatin dalam hal ni?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Shahrul. Dia keliru dengan perubahan mendadak
gadis itu.
“Ahh!
Sudahlah cikgu. Tak payah nak berlakon lagilah. Semua orang sama aje. Cemburu
tak tentu pasal. Tak apa, saya boleh cari
sendiri. Nanti jangan ternganga pulak bila tengok saya berjalan dengna
Kamal!” Angkuh sungguh kata-kata Lina
Dia
meninggalkan Cikgu Shahrul yang sedang
termangu. Lina masuk ke kelas yang sudah penuh dengan rakan-rakan yang lain. Beg
sandang dicampak kasar ke atas meja. Mengejutkan Kavitha yang duduk
bersebelahan Lina.
“Woi,
kau tak boleh letak baik-baik ke beg tu? Kalau ada anak kucing dalam beg kau, dah
lama anak kucing tu mati tau tak?”
Dari
rasa marah, Lina bertukar watak. Dia menekup mulut dan bola matanya kelihatan
mengecil. Kemudian dia ketawa mengekek. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung
di sebelah Kavitha. Beg yang dicampak tadi dipeluk erat pula.
“Sorrylah Kavitha. Aku nak cepat tadi.”
Beg
yang masih berada di dalam pelukan dibuka perlahan. Lina senyum lebar. Sebelah
tangannya dimasukkan ke dalam perut beg.
“Maaf
sayang...Lina tak sengaja. Sayang okey? Lemas tak duduk kat dalam ni?” Lina
ketawa mengekek.
“Kau
cakap dengan siapa?” tanya Kavitha.
Cepat-cepat
Lina mengeluarkan tangannya. Namun senyumnya masih belum lekang. Beg sekolah
berwarna kuning cair itu diusap dengan penuh perasaan.
“Cakap
dengan kucing kat dalam beg ni. Aku tanya dia sakit tak kena hentak dengan aku
tadi,” jawab Lina kasar.
Walaupun
sedang tersenyum, renungan matanya yang menikam menakutkan Kavitha. Langsung
tidak dihiraukan Lina selepas itu. Sepuluh minit kemudian pembelajaran bermula.
Tumpuan Lina tidak dapat difokuskan pada pengajaran guru yang berdiri di depan
kelas. Wajah Kamal bermain-main di matanya. Beg sekolah yang berasaskan kain dipeluk kemas. Semakin lama semakin
erat. Dada Lina nampak berombak. Matanya terlelap. Hujung bibir digigit lembut.
Dia hanyut dengan perasaan sendiri.
“Lina!”
Berterbangan
hilang segala angannya bersama Kamal. Terpampang di depan matanya adalah wajah
Cikgu Shazatul yang menyinga. Kelas senyap dan sunyi. Tiada siapa pun yang
berani berkutik. Masing-masing menunggu dengan penuh debar apa yang akan
berlaku pada Lina sebentar nanti.
“Berdiri
di luar kelas sekarang. Saya mengajar di depan awak bantai berangan pulak!” Memetir
suara Cikgu Shazatul.
Lina
teragak-agak untuk bangun. Wajah rakan-rakan sekelas dipandang sekilas. Dia
nampak Ayu yang tersenyum sinis. Fatin tidak ada di sebelah gadis montel itu. Sempat
lagi Lina meneka-neka di mana agaknya Fatin sekarang. Mungkin sedang keluar
berpacaran dengan Kamal. Membayangkan Kamal dan Fatin jalan berdua-duaan
membuatkan Lina panas hati. Penyandar kerusi digenggam kuat. Sekali lagi dadanya
berombak kencang.
“Buat
apa tercegat lagi kat situ? Keluar sekarang!” Sekali lagi dia diherdik.
“Tak
payah terpekik terlolonglah cikgu. Pekak telinga saya ni.” Lina pula menjerkah
Cikgu Shazatul.
Dia
menghayun kaki keluar dari bilik. Renungan tajam Cikgu Shazatul langsung tidak
dihiraukan. Tidak sampai lima minit Lina berdiri di luar, dia ternampak Fatin
dan segerombolan pasukan pengawas sekolah bergerak masuk ke dalam setiap kelas.
Lina sangat pasti mereka sedang mengadakan pemeriksaan mengejut. Dia teringatkan barang-barang yang tersimpan di dalam beg
sekolahnya. Pada mulanya timbul rasa cuak. Tapi bila melihat wajah Fatin, dia
rasa selamat.
Akhirnya
pasukan pengawas yang diketuai oleh Fatin masuk
ke dalam kelas. Fatin meminta Lina turut menyertai mereka di dalam
kelas.
“Pelajar
lelaki berdiri di hadapan kelas, pelajar perempuan di belakang.”
Arahan
diberi kepada semua pelajar yang berada
di dalam kelas. Lina memerhatikan lima
orang pengawas sedang menyelongkar beg sekolah para pelajar. Termasuklah Fatin.
Segala barang-barang larangan yang dirampas dikumpulkan di meja guru. Lina
berdoa dalam hati supaya Fatin yang menyelongkar beg kesayangannya itu. Dia
mahu Fatin melihat segala isi perut yang terdapat di dalam beg itu.
Doanya
termakbul. Dia hampir melompat kegembiraan tatkala melihat Fatin melambakkan
isi perut beg di atas meja. Reaksi gadis itu diawasi. Fatin menggeleng-geleng
kepala. Kotak pensel, kulit buku rujukan dan buku-buku nota. Wajah-wajah Kamal
tertampal di situ. Fatin nampak tenang. Dia menyimpan semua barang-barang kepunyaan Lina. Tiba masa untuk
pemeriksaan badan. Lina diperiksa oleh pengawas lain. Dompetnya
diperiksa.Gambar Kamal juga ada di situ.
“Ni
gambar pakwe kau ya?” tanya pengawas yang memeriksa badan Lina.
“Mestilah
pakwe aku. Takkan gambar bapa mertua kau pulak!” jawab Lina kasar.
Dompet
yang sudah diperiksa diserahkan semula. Langkah Fatin dihadang ketika dia
hendak memeriksa pelajar yang lain. Lina menghadiahkan kerlingan sinis pada
Fatin.
“Jangan
ganggu tugas aku boleh tak?”
“Siapa pulak yang kacau kau buat kerja? Aku cuma nak
cerita sikit kat kau. Pagi tadi kan, Abang
Kamal hantar aku pergi sekolah. Kami pergi sarapan dulu, petang nanti dia
jemput aku balik. Tapi sebelum tu, kitaorang nak pergi jalan-jalan dulu. Kau
nak ikut?” tanya Lina dengan suara mengejek.
Fatin terperanjat. Dia memandang Ayu yang berdiri selang
beberapa orang sahaja dari Lina. Dia pasti Ayu juga terdengar apa yang
dikatakan oleh Lina sebentar tadi. Gadis debab itu mendekati Lina.
“Abang Kamal yang mana satu ni Lina?” tanya Ayu.
“Eh, Abang Kamal... Kamal Akasyah. Takkan tak kenal kot!”
“Emm, kau pasti dia yang jemput kau tadi? Jangan-jangan
hantu raya kot!” Ayu menutup tangan menahan tawa. Fatin masih meneruskan
tugasnya sambil menelinga.
“Woi Ayu, aku ni tak buta lagilah. Memang dialah yang
jemput aku tadi. Apsal? Tak percaya atau, kau cemburu?” Lina meninggikan suara.
“Aku cemburu? Sorrylah,
aku tak layan benda-benda macam ni. Tapi yang aku pelik, macam mana pulak Kamal
boleh hantar kau ke sekolah hari ni? Setahu aku, dia ada seminar di Kuala
Lumpur. Dia pergi dengan Abang Hairi. Petang semalam lagi diaorang dah
bertolak.”
Berubah air muka Lina. Tembelangnya sudah pecah. Hajatnya
untuk buat Fatin cemburu tidak tercapai. Tak mahu menunggu lama lagi di situ, Lina
terus berlari keluar dari kelas dan menuju ke tandas. Kepala paip dipulas
habis. Lubang sinki ditutup dengan penyumbat. Lina merenung wajah sendiri di
cermin. Dia benci dengan wajah itu. Pasti Fatin dan Ayu sedang mentertawakannya
ketika ini.
“Arghhh!!!”
Lina menjerit sekuat hati di dalam sinki yang dipenuhi
air. Basah lencun tudung putih yang di pakai. Dia tidak peduli. Apa yang dia
mahu sekarang adalah melepaskan rasa sakit hatinya pada Fatin, Ayu, Cikgu
Shazatul dan Cikgu Shahrul. Mereka semua yang menggagalkan rancangan Lina untuk
mendapatkan maklumat tentang Kamal. Dia
tertekan. Hampir sejam dia menghabiskan masa belajarnya di dalam tandas. Tidak
dihiraukan langsung pelajar-pelajar yang menegurnya.
Selepas
waktu rehat, dia menyusup keluar dari sekolah. Beg di dalam kelas juga tidak
dibawa balik. Tidak ada apa-apa yang berharga pun di dalam beg sekolah Lina kecuali
gambar-gambar Kamal. Kerana terlalu marah, semuanya ditinggalkan begitu saja. Kemurungan
Lina berlarutan hingga ke malam. Puas dia cuba menumpukan perhatian pada
pelajaran yang sedang diulangkaji namun wajah Kamal tetap melekat di kepalanya.
Gambar-gambar Kamal yang terdapat di sekeliling bilik ditatap satu persatu. Kebolehan melukis potret yang dia miliki digunakan
secara maksimum untuk melakar wajah pujaan hatinya. Lina mara ke katil. Dicapainya
bingkai gambar yang diletakkan disitu pagi tadi.
“Kamal...Lina rindu Kamal. Dengarlah suara hati ini
sayang. Kamal hanya untuk Lina. Tiada siapa yang boleh merampas Kamal dari
Lina. Datanglah dalam mimpi Lina sayang...”
Lina mengucapkan kata-kata lirihnya berulang-ulang kali.
Dia lupa pada buku yang sedang ditelaahnya. Dia lupa pada keadaan sekeliling. Lina
baring beralaskan bingkai gambar Kamal. Matanya
tidak lepas dari potret lelaki itu hingga akhirnya dia tertidur dengan lampu
bilik yang terpasang hingga ke pagi.
No comments :
Post a Comment