Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

October 24, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 6


             Fatin senyum-senyum sendiri melihat kepingan-kepingan gambar rakan-rakan yang diambil ketika di Pulau Tioman minggu lepas. Mana-mana gambar yang sesuai di ketepikan untuk dipamerkan di papan kenyataan persatuan. Tumpuannya terganggu dengan gambar seseorang. Seseorang yang cuba menggugat kekuatan hati remajanya. Kenangan seminggu yang lalu terimbas kembali di ruang mata. Tertanya-tanya juga hatinya bagaimanakah keadaan lelaki itu sekarang.
           
“Oi, lamanya tenung gambar tu. Bak sini aku tengok,” sergah Ayu.
            Gambar yang dipegang bertukar tangan. Fatin tidak sempat mengelak dari rembatan tangan debab Ayu.
            “Ooo, tengah tenung gambar Abang Kamal. Eleh, kata tak suka. Tapi bila tengok gambar macam nak dicium-cium!” usik Ayu.
            “Shhh, kau jangan merapu boleh tak? Aku tengah pilih gambar yang sesuai, nak letak kat meeting board. Dari kau menceceh tu, baik kau tolong aku pilih sekali.”
            Gambar Kamal diambil kembali dari tangan Ayu. Fatin menundukkan wajah yang diserbu rasa malu. Ayu tersengih nakal melihat tingkah Fatin yang serba tak kena.
            “Kau rindu kat abang Kamal ya?” tanya Ayu.
            “Mana ada,” jawab Fatin  pendek.
            “Habis tu, apsal kelam-kabut aje bila aku sergah tadi. Kau tak payah sorok dengan akulah. Kita bukannya baru semalam berkawan.” Ayu masih tidak putus asa mengorek rahsia.
           
            Fatin pandang Ayu. Sebelah tangannya mencekak pinggang. Ayu balas dengan sengihan  nakal. Dia yakin tekaan tidak meleset.
            “Okey, memang aku teringat kat dia. Tapi tak adalah sampai rindu.” Akhirnya Fatin membuat pengakuan.
            “Betul ke tak rindu langsung? Aku yang hari-hari bergayut kat telefon ni pun, tak nampak muka dia seminggu dah macam cacing panas tau,” kata Ayu.
            Tiba-tiba Ayu menekup mulut. Fatin ternganga mendengar kata-kata Ayu sebentar tadi. Pundak rakan baiknya digoncang kuat.
            “Kau bergayut dengan siapa?”
“Err.. Tak ada siapalah. Kau salah dengar tadi...”
“Eh... Aku belum pekak lagi, ya. Baik kau cakap, kau bergayut dengan siapa?”
Goncangan di bahu terhenti. Fatin mematung di depan Ayu seketika. Kemudian perlahan-lahan jari telunjuknya tertuding ke  hidung Ayu. Ayu  tergelak  kecil melihat Fatin seperti sudah ‘terbau’ sesuatu.

“Kau jangan cakap yang kau dah ada hubungan serius dengan abang Hairi?” teka Fatin.
            Makin besar bola mata Fatin apabila Ayu mengangguk perlahan. “Amboi! Dalam diam-diam aje kau pancing dia ya? Patutlah aku tengok kebelakangan ni kau happy aje.”
            “Ala... Kitaorang baru berkawan-kawan aje...” Ayu menekup  mulut. Malulah  konon.
            “Jangan sampai hanyut sudah!” Fatin mengingatkan.
            “Insha Allah. Kau doakanlah yang terbaik ya,” pinta Ayu.
            “Bercinta tu bercinta juga Ayu. Tapi jangan sampai pelajaran terabai. Kita nak periksa besar tahun ni.” Fatin menyambung bebelan.

            Ayu mengangguk laju. Dia memeluk Fatin untuk menzahirkan kegembiraan hatinya kerana sudah dimiliki oleh seseorang. Sejak di Pulau Tioman lagi Fatin sudah perasan, Hairi dan Ayu agak intim ketika itu. Walaupun cuma beberapa hari,  cara Hairi meladeni Ayu memang berbeza dengan rakan-rakan sekolahnya yang lain. Maka tidak salahlah telahannya bahawa mereka berdua sedang berpacaran.
           
            “Eh, gambar kat Pulau Tioman dah siap?”
            Lina tiba-tiba datang ke meja Fatin yang sedang berselerakan kepingan-kepingan gambar yang masih belum selesai dipilih. Tak perlu disuruh, dibeleknya gambar-gambar tersebut.
            “Dah siap pun. Eloklah kau ada sini. Boleh tolong aku tuliskan nombor kat tepi setiap sarung album ni. Kalau ada kawan-kawan yang nak tempah gambar, senang nak tahu nombor kodnya.”
            Fatin menghulur empat keping album gambar pada Lina. Tapi hulurannya tidak  bersambut. Matanya melilau mencari gambar seseorang.
            “Ha! Dah jumpa.” Lina menyeringai kesukaan.
Beberapa keping gambar yang telah dipilih didakap erat. Ayu dan Fatin kehairanan melihat tingkah Lina. Tak cukup dengan dakapan, dikucupnya pula dengan penuh berahi. Sampai terlelap-lelap matanya mengucup setiap kepingan gambar itu.
“Aku nak gambar-gambar ni,” kata Lina.
Gambar-gambar yang menjadi mangsa bibirnya dipampangkan pada Fatin dan Ayu. Fatin mengetap rahang. Betul telahannya. Semua gambar Kamal sudah berada di tangan Lina.
“Weh, mana boleh main rembat aje. Gambar tu kan gambar Abang Kamal. Dia tak tengok lagi tau. Kalau kau nak, bayarlah.” Ayu menegur Lina dengan suara yang tinggi.
“Eleh, Fatin kan ada negatif filem gambar ni. Cuci ajelah yang lain. Duit gambar ni aku bayar besok. Hari ni tak bawa duit.”
Lina kembali semula ke mejanya dengan lenggang yang menjengkelkan hati Ayu. Dia ingin merampas kembali gambar-gambar Kamal tapi Fatin lebih pantas membantutkan  niatnya.

“Menyampah betullah aku tengok perangai Lina tu. Perasan bagus!” luah Ayu.
“Biarlah dia, tak payah fikirkan sangat. Ayu, kau tolong kemaskan gambar-gambar yang lain ni. Aku nak pergi lekatkan gambar-gambar ni  kat meeting board.” Fatin mohon pertolongan Ayu.

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Perhentian bas di luar sekolah agak lengang pada petang Jumaat itu. Pasti kebanyakan penumpang-penumpangnya sudah pun tiba ke destinasi masing-masing. Cuma tinggal beberapa orang pelajar lagi yang masih menunggu di situ. Ayu dan Fatin pulang agak lewat hari ini kerana menyiapkan laporan lawatan mereka ke Pulau Tioman tempoh hari. Sementelah pula hari ini adalah hari Jumaat. Hari yang paling sesak dengan puluhan pelajar dan pengguna kenderaan awam yang lain terutamanya lelaki yang ingin pulang awal untuk mengerjakan ibadah wajib itu. Mereka berdua memilih menghabiskan sedikit  masa lagi di sekolah kerana tidak mahu berasak-asak dengan pengguna kenderaan awam yang lain.

“Fatin, belanja aku air tebu boleh tak?” Mengecil mata Ayu menahan terik mentari.
“Kau ajelah pergi beli. Aku tunggu kat sini. Nah duit.” Fatin menghulurkan sekeping not kertas berwarna hijau kepada Ayu.
Dia berteduh di bawah pokok. Bahang panas menggigit kulit. Fatin mengipas-ngipas muka dengan buku latihan. Sesekali dia menutup hidung, mengelak dari tersedut debu dan habuk yang berterbangan dek kenderaan yang bergerak laju. Tidak lama kemudian Ayu datang semula dengan dua plastik air tebu dan seplastik keropok lekor. Air tebu dihulurkan pada Fatin.
“Bila masa pulak aku suruh beli keropok lekor?” Fatin menjeling Ayu sambil menyedut air tebu.
            “Alas perut...” balas Ayu sambil tersengih-sengih.
Fatin mengambil wang baki di tangan Ayu. Air tebu yang masih berbaki disedu perlahan. Nyaris lagi dia tersedak bila melihat Ayu membuang plastik keropok lekor yang sudah kosong.
"Woi! Kau ni makan ke telan? Lajunya kau makan,” tegur Fatin.
Ayu cuma tersenyum sambil menjilat-jilat hujung jarinya yang melekit. Dari jauh mereka ternampak bas yang selalu mereka naiki. Fatin dan Ayu sudah mula mengatur langkah untuk beratur bersama pelajar-pelajar yang  lain .

“Ayu Raihana!”
Mereka berdua menoleh ke seberang jalan. Seorang lelaki yang berkaca mata hitam sedang bersandar di sebuah kereta Honda Jazz berwarna merah. Lelaki itu melambai-lambaikan  ke arah Fatin dan Ayu. Fatin cuba mengamati lelaki itu. Tetapi Ayu sudah terloncat-loncat keriangan sambil membalas lambaian lelaki itu.
“Abang!” Ayu menjerit keriangan.
“Kau suruh Abang Hairi datang jemput kau ke?” tanya Fatin.
Laju Ayu menggeleng-geleng kepala. Riang betul hatinya menyambut kedatangan buah hati. Ayu menarik tangan Fatin  untuk sama-sama menyeberang jalan.
"Eh, tak naklah. Kau pergilah, aku boleh balik naik bas." Fatin menolak dengan baik.
 "Apa pulak naik bas? Kita pergi sekolah sama-sama. Balik pun sama-samalah." 
Ayu mencekak pinggang. Wajah sengaja dimasamkan. Meskipun gembira dapat berjumpa dengan jantung hati, tetapi dia tidak akan membiarkan sahabat baiknya pulang sendirian.

"Aku tak mahu kacau daun." Fatin masih berusaha menolak.
"Kau jangan nak mengada-adalah. Jom ikut aku."
Tangan Fatin dipegang kemas dan mereka menyeberangi jalan bersamanya. Walaupun rasa berat hati, Fatin memaksa kakinya mengikut langkah Ayu.

“Baru balik dari sembahyang  Jumaat ke?” tanya Ayu.
Jawapan yang tidak perlu disahkan oleh Hairi kerana dari cara dia berpakaian, Ayu pasti tahu dia dari mana. Dia bersalaman dengan gadis itu. Fatin cuma memerhatikan dengan senyum kelat. Agak canggung rasanya dia berada di situ. Perbualan mesra Ayu dan Hairi tidak menyedapkan telinganya.

“Fatin apa khabar?" tanya Hairi.
"Baik," balas Fatin pendek.
Sempat dia mengerling tangan Ayu dan Hairi yang sudah bertaut dalam satu genggaman. Dia tidak senang dengan apa yang sedang disaksikan.
"Masuklah dalam kereta dulu, panas ni,” pelawa Hairi.
Ayu sudah pun melangkah ke pintu sebelah pemandu. Tapi Fatin masih berdiri tercegat. Dia memandang Hairi.
"Tak kacau ke? Fatin boleh balik dengan bas." Fatin diserang rasa bersalah.
"Kacau apa pulak? Masuklah, atau nak Abang Hairi dukung?" usik Hairi sambil tersengih memandang Ayu yang sudah masuk ke dalam perut kereta. Pantas Fatin membuka pintu di belakang pemandu.

“Assalamualaikum.”
“Aduh!” Fatin terjerit kecil.
Kepala yang terhantuk di tepi pintu kereta digosok-gosok. Rasa sakit dan terkejut bercampur menjadi satu. Fatin tergamam melihat penumpang tambahan yang duduk di sebelahnya.
“Walaikumussalam. Eh, Abang Kamal pun ada?” Ayu terlebih dahulu menjawab salam. Fatin masih dalam keadaan gamam.
“Abang ambil cuti hari ni. Saja nak ikut Abang Hairi jalan-jalan. Ayu dan Fatin apa khabar? Study okay?"
Kamal cuba memeriahkan suasana. Walaupun berbual dengan Ayu, matanya terarah pada Fatin. Gadis itu nampak canggung. Jelas di wajahnya, tidak selesa duduk bersebelahan dengan Kamal. Berbeza pula dengan Kamal. Riang hatinya dapat menatap wajah Fatin. Pelawaan Hairi  semalam untuk keluar bersama-sama memang membuahkan hasil. Hasilnya, dia dapat menatap wajah yang sudah seminggu mengganggu tidurnya. Fatin memalingkan muka mengadap luar. Tidak selesa ditenung Kamal.

“Abang, Ayu laparlah. Kita pergi makan dulu nak tak?”
 “Alolo... Kesiannya montel abang ni. Okey, Ayu nak makan kat mana?”
Perbualan mesra mereka membuatkan Fatin tidak  senang duduk. Menyesal pula dia mengikut kehendak Ayu. Dari tempat duduk belakang Fatin perhatikan Hairi memandu dengan tangan kanan sahaja. Pasti tangan kirinya sedang memegang tangan Ayu. Fatin mengetap bibir.

"Fatin, gambar kat Pulau Tioman dah siap?" tanya Kamal.
"Dah," jawab Fatin pendek.
"Boleh abang tengok?" tanya Kamal  lagi .
Ada senyum di hujung bibirnya apabila melihat Fatin mengeluarkan empat buah album gambar dari dalam beg sekolah.
"Sebahagian dari gambar-gambar tu Fatin tampal kat notice board. Ini aje yang ada. Kalau Abang Kamal berminat, boleh tanda dekat belakang album tu.”
Fatin menghulur pen. Kamal tersenyum lebar. Pen yang dihulur disambut lambat-lambat. Wajah Fatin di tatap sebentar. Fatin tidak berani menentang mata Kamal. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan ke luar semula. Kamal membelek sepintas lalu sahaja gambar-gambar yang tersisip di dalam album. Tidak ada satu pun yang menarik perhatiannya.

"Hmmm... Dah tak banyak gambar kat dalam ni. Gambar abang satu pun tak ada." Suara Kamal kedengaran seperti orang kecewa.
“Gambar abang ada tapi dah ada orang ambil.”
Kamal sedikit tersentak tatkala mendengar kata-kata Ayu. Namun kemudiannya ada senyum yang menguntum di bibir berkumis nipis itu.
“Fatin ambil gambar abang ya?” usik Kamal.
Fatin menoleh. Dia menghadiahkan senyum sinis pada Kamal.
“Tak ada faedahnya Fatin nak simpan gambar orang. Baik simpan gambar sendiri.”
Kamal sedikit tersinggung dengan kata-kata Fatin.
“Kalau bukan Fatin, siapa yang ambil gambar abang?” tanya Kamal.
“Kekasih gelap Abang Kamal, Lina.” Ayu tolong jawabkan untuk Fatin.
Hairi ketawa berdekah-dekah tatkala mendengar jawapan Ayu. Fatin juga menutup mulut menahan geli di hati tatkala melihat wajah cemberut Kamal. Dia tahu lelaki itu tidak berkenan dengan Lina.
“Kenapa Fatin bagi dia?” Kamal menyoal.
“Bukan Fatin yang bagi. Dia sendiri yang ambil. Tak percaya, tanya Ayu.” Fatin menjawab dengan senyum yang masih berbaki di bibir.
“Habislah kau Kamal. Buatnya dia ‘hembus-hembus’ kat gambar tu, jawabnya tiap-tiap malamlah kau angau dengan dia. Lina….Lina…” Hairi cuba menakut-nakutkan Kamal.
Makin kuat tawa Ayu dan Fatin. Walaupun tengah bengang diusik Hairi, Kamal senang melihat Fatin ketawa. Terubat rindunya pada gadis itu.
“Oh, ketawakan abang ya? Cubit pipi tu nanti, baru tau.”
Tawa Fatin terhenti serta-merta. Dia merapatkan diri ke dinding pintu. Bimbang jika pipinya betul-betul menjadi sasaran Kamal.

"Abang Hairi, boleh hantar Fatin balik dulu tak? Fatin ada tiusyen petang ni." Fatin tiba - tiba bersuara.
Dia tidak selesa duduk di sebelah Kamal yang asyik memandangnya. Wajah Kamal sedikit terperanjat. Dia menoleh ke arah Ayu yang juga memusingkan badannya ke belakang.
“Tiusyen? Kelas tiusyen kita kan besok, dah tak ingat ke?" Ayu bertanya hairan.
Dia memandang Fatin yang mengetap bibir. Sengaja dia pura-pura tidak mengerti maksud renungan Fatin. Dia tahu Fatin tidak selesa duduk di sebelah Kamal.
"Kita pergi makan dulu, ya." Kamal cuba memujuk.
Dia memandang Ayu, mohon pertolongan. Belum puas lagi dia menatap wajah gadis itu. Dalam masa yang sama otaknya juga ligat mencari modal untuk berbual dengan Fatin.
"Fatin, aku dah lapar ni. Aku malas nak panaskan lauk balik nanti." Ayu pula mencuba.
Fatin mengetap bibir. Wajah Ayu ditenung tajam. Fatin sedia maklum Ayu tinggal berseorangan. Dia tidak ada pembantu rumah. Segala keperluannya telah disediakan oleh ibunya sejak awal pagi sebelum ke tempat  kerja.

"Yalah, yalah!" Fatin menjawab malas.
Ayu tersenyum memandang Kamal. Kamal mengenyitkan matanya pada Ayu tanda terima kasih. Mereka menikmati makan lewat tengahari di restoran makanan segera. Kamal memerhatikan Fatin yang hanya mencubit sedikit ayam goreng di dalam pinggan. Gadis itu hanya tunduk memandang pinggan.  
"Kenapa tak makan ayam tu? Tak sedap ke?" tanya Kamal perlahan .
 Dia mengerling pada Ayu dan Hairi yang duduk di meja sebelah. Mereka berdua rancak berbual. Sekali-sekala terdengar hilai tawa pasangan sejoli itu.
"Dah kenyang," jawab Fatin acuh tak acuh.
"Fatin tak suka makan dengan abang ya?" duga Kamal.
"Taklah. Serius...dah kenyang." Agak tinggi suara Fatin mengulang ayat.
Dia bangun meninggalkan Kamal yang baru hendak membuka mulut. Langkahnya dihalakan ke arah tempat mencuci tangan. Dengusan halus keluar dari mulut Kamal. Dia merenung pinggan Fatin yang masih penuh.

"Eh, cepatnya dia makan. Dah habis ke?" Hairi menegur tatkala melihat Fatin sudah bangun menuju ke sinki.
“Tak habis makan pun." Kamal memuncungkan mulutnya ke pinggan Fatin.
"Dia malu dengan kau kot." Hairi cuba menyedapkan hati Kamal.
Mata Kamal masih tidak lepas dari Fatin. Hajatnya hari ini ingin mendapatkan nombor telefon gadis itu. Tapi melihatkan respons yang Fatin tunjukkan, Kamal hilang keyakinan. Dia bagai sudah dapat mengagak reaksi negatif yang bakal Fatin berikan. Kamal mengeluh lagi.

"Abang Kamal, Ayu ada benda nak bagi abang Kamal ni." Ayu berjaya mengalih pandangan Kamal dari Fatin.
"Benda apa?" tanya Kamal.
Dia mengerling ke arah Fatin yang masih lagi berada di sinki.
"Kejap.”
 Ayu menyedut pantas minumannya. Kemudian dikeluarkannya  buku latihan Matematik dari dalam beg galasnya. Dia menyelak helaian buku latihannya dengan pantas. Hairi dan Kamal memerhatikan dengan penuh sabar.
"Nah."
Ayu menghulurkan sekeping gambar pada Kamal. Tapi belum pun sempat gambar itu beralih tangan, Ayu menarik kembali tangannya.
"Janji dengan Ayu, jangan main-mainkan dia. Kalau Abang Kamal main-mainkan dia, Ayu belasah  Abang Kamal.”Ayu memberi peringatan.
Tangan kirinya  mengepal penumbuk lalu diacukan pada Kamal. Mukanya serius. Hairi dan Kamal ketawa melihat keletah Ayu.
"Abang Kamal janji, takkan main-mainkan Fatin. Paling teruk pun abang  akan jadikan dia Puteri Duyung abang."
Kamal tersenyum lebar. Gambar di tangan Ayu sudah berada di tangannya. Senyumnya makin melebar tatkala melihat gambar Fatin. Kini dia sudah ada pengubat rindunya di malam hari.
"Terima kasih Ayu," ucap Kamal.
Gambar Fatin dikucup tanpa segan. Hairi menepuk bahu Kamal.
“Kau ni dah parahlah Mal. Aku suruh cakap terus-terang dengan dia kau tak nak,” kata Hairi.
Kamal tidak menjawab. Foto Fatin disimpan kemas di dalam poket baju melayu.

"Jangan bagitau Fatin tau. Dia tak tahu Ayu bagi gambar ni pada abang Kamal." Ayu mengingatkan.
"Oh! Ayu curi ya?" Hairi mencelah.
"Bukan curi. Membantu Abang Kamal meringankan beban rindu!" usik Ayu.
 Dia bangun menuju ke sinki meninggalkan Hairi dan Kamal. Lama dia berdiri di belakang  Fatin. Tingkah rakan sekelasnya itu diperhatikan. Fatin cuma tunduk memandang  paip air.
"Oi! Lamanya basuh tangan,” tegur Ayu.
 Dia mencuci tangan di sinki bersebelahan Fatin. Fatin memandang Ayu melalui pantulan cermin muka dihadapan sinki itu.
"Aku nak baliklah Ayu.” ujar Fatin perlahan.
"Sekejap lagilah... kan baru lepas makan ni. Aku nak ajak abang Hairi pergi kedai buku kejap. Nak cari barang sikit." Ayu cuba memujuk.
"Kalau kau nak pergi jalan-jalan, kau pergi bertiga ajelah. Aku boleh balik naik bas."
Ayu terperanjat mendengar suara Fatin yang sedikit tinggi. Berkerut keningnya melihat muka Fatin yang cemberut.
"Kau ni kenapa? Datang bulan ke? Bagilah muka sikit kat aku. Bukan selalu kita dapat keluar macam ni. Aku tahu, kau tak selesa sebab Abang Kamal kan? Tapi kau sendiri yang cakap, kau tak ada apa-apa dengan dia. Kalau betul tak ada apa-apa, apsal aku tengok kau resah semacam aje? Kalau suka cakap aje lah. Tak payah nak selindung- selindung." Ayu mula membebel.
Bagai api yang disimbah minyak. Berdesing telinga Fatin diperli begitu. Leher baju kurung Ayu ditarik. Wajah Fatin cuma beberapa  jengkal saja jaraknya dengan wajah Ayu.

"Memanglah aku tak ada apa-apa dengan dia. Tapi aku segan, kau dengan Abang Hairi leka bergurau senda. Aku dengan dia jadi pemerhati. Tak malu ke? Kalau nak bercinta pun, pergi ajelah berdua!" Fatin meluahkan rasa jengkelnya.
Ayu terdiam. Tertampar juga hatinya dengan teguran Fatin.
"Okey, aku minta maaf. Jomlah kita balik."
Tidak mahu memanjangkan lagi perbalahan, Ayu mengeringkan tangan dengan segera. Dia mendahului Fatin untuk kembali semula ke meja makan. Fatin mengekorinya dengan langkah perlahan.

"Abang Hairi, jom kita hantar Fatin balik dulu. Dia sakit kepala.”
Kamal memandang Fatin yang sudah melangkah keluar dari restoran.
"Sakit kepala?" tanya Kamal. 
"Tak pun sebenarnya, cuma dia segan dengan Abang Kamal.”
 Kamal tersenyum senang. Ayu memudahkan kerjanya untuk memikat Fatin. Tahulah dia sekarang, Fatin juga ada hati padanya. Sepanjang perjalanan pulang Fatin hanya membisu. Dia hanya menjadi pendengar setia perbualan Ayu, Hairi dan Kamal.

“Terima kasih Abang Hairi," ucap Fatin.
Laju tangannya membuka pintu sebaik sahaja Hairi memberhentikan kereta di hadapan rumah. Dia keluar tanpa sepatah kata pun untuk Kamal. Kamal hanya memandang Fatin yang menutup pintu kereta dengan agak kuat. Matanya masih tidak lepas memandang Fatin yang sedang bercakap dengan seorang lelaki yang baru muncul di pintu pagar. Kamal mengamati wajah lelaki berbadan sasa yang sedang mengusap lembut rambut Fatin.
"Hairi, kau kenal tak lelaki tu? Aku rasa macam pernah jumpa dia sebelum ni."
Kamal menuding jarinya ke arah lelaki  yang dimaksudkan.
“Itu Along Faiz. Abang sulung Fatin.” Ayu menjawab tanpa dipinta.
Kamal dan Hairi memandang wajah Ayu serentak. Wajah mereka berdua nampak terperanjat.
"Jom kita keluar Mal,” ajak Hairi.
Dia mematikan enjin dan membuka pintu kereta. Diikuti oleh Ayu dan Kamal. Fatin menoleh apabila melihat mereka bertiga keluar dari kereta.
‘Diaorang nak apa lagi ni?’ Fatin menggumam sendiri. Meluat betul dia melihat  Kamal yang melirik nakal padanya.

"Assalamualaikum.” Hairi memberi salam.
Walaupun tidak kenal dengan lelaki yang menghantar adiknya pulang, Along Faiz menjawab baik salam yang diberi oleh Hairi.
"Ini Faiz Azidin kan?" tanya Hairi .
Along Faiz mengangguk perlahan. Kamal dan Hairi dipandang silih berganti. Mereka berdua sudah tersenyum lebar. Suka dengan ekspresi wajah Along Faiz.
"Kamal Akasyah...Kau...Danial Hairi?” teka Along Faiz.
Kamal dan Hairi mengangguk serentak.
“Ya Allah, lamanya tak jumpa. Apa khabar?" tanya Along Faiz.
Dia memeluk erat badan Hairi dan kemudian menepuk bahu Kamal dengan mesra. Dah macam program Jejak Kasih. Rupa-rupanya Kamal, Hairi dan Along Faiz adalah rakan sepasukan semasa di universiti dahulu. Mereka bermain bola sepak bersama. Perbualan yang tadinya bermula di pintu pagar, kini semakin rancak di tepi kolam rumah Fatin. Punyalah rancak berbual hingga tidak sedar Ayu sudah lama pulang ke rumah. Begitu juga Fatin yang sudah pun siap membersihkan diri.
Fatin menyelak langsir biliknya untuk meninjau tetamu yang masih berada di tepi kolam rumahnya itu. Wajah Kamal diamati dari jauh. Fatin sendiri tidak faham mengapa hatinya berasa gusar apabila bersama Kamal. Tapi bila Kamal tiada di depan mata, wajah pemuda itu pula sering datang dalam mimpinya. Tawa Kamal amat menenangkan hati. Dia terpesona dengan senyuman Kamal. Fatin tersenyum sendiri mengingatkan peristiwa dia mengetuk kepala Kamal dulu. Tapi senyumnya tiba-tiba hilang. Kamal perasan dia sedang diperhati. Dia melambai-lambai pada Fatin. Sepantas kilat Fatin melompat naik ke katil dan menekup muka dengan bantal.

"Aduh!Dia perasanlah aku skodeng dia!"

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.