Pagi di
pejabat Haizal, Dinesh & Co. agak aman hari ini.Untuk pertama kalinya sejak
aku bekerja di sini, Tengku Haizal datang lambat. Anak dia meragam agaknya
malam tadi. Heheh! Kan bagus kalau aku boleh perli dia macam tu. Tak
mungkinlah! Silap-silap hari bulan kena sembur. Pintu pejabat terbuka. Mr.Dinesh
sampai. Aku hadiahkan senyum manis pada dia. Hari ni dia pakai baju putih.
Maknanya kejap lagi mesti dia nak pergi mahkamah.
“Selamat
pagi Mr.Dinesh.” Aku tegur dia sambil bangun nak pergi pantri.
“Selamat
pagi.Dayang sibuk tak?”
Aku geleng
aje.Angkat mug di tangan sebagai isyarat aku nak buat air.
“Nanti lepas
minum masuk bilik saya kejap ya,” arah Mr.Dinesh.
Tak payah
lepas minum, sekarang juga boleh masuk bilik dia. Untuk Mr. Dinesh, aku puasa
satu hari pun tak kisah. Aku letak balik mug di meja. Ambil pen dan buku
catatan. Pintu bilik Mr. Dinesh aku ketuk perlahan.
“Dah siap minum?
Cepatnya.” Muka Mr.Dinesh nampak terkejut. Aku senyum lebar tengok reaksi dia.
“Air panas
lagi,” jawab aku selamba. Biarlah,dia
bukannya tahu kalau aku tak minum pun.
“Ok Dayang,
hari ni saya cuma ada satu appointment
aje kan,” tanya Mr.Dinesh.
Aku
mengangguk laju. Aku buat briefing sikit untuk jadual kerja dia
minggu ni. Kerja di sini, semua kena buat . Akulah setiausaha, akulah kerani
cabuk dan akulah tukang buat air. Eh, yang tukang buat air tu cuma untuk Si
Wayar Putus tu aje. Kak Salmi yang kononnya akauntan syarikat pun kena buat kerja-kerja macam aku juga. Kami
berdua ni all in one. Semua kerja
kami sapu habis. Company besar, tapi
bos kedekut tahi hidung masin! Siapa lagi kalau bukan Tengku Haizal.
“Dayang!”
Bulat mata
aku pandang Mr.Dinesh. Dia pun pandang aku dengan saiz mata yang sama. Aku
toleh ke belakang, tengok pintu bilik Mr.Dinesh yang masih tertutup.
“Buah hati
awak dah menjerit tu. Pagi-pagi lagi dah buat senaman tekak,” usik Mr.Dinesh.
“Dia bukan
buah hati sayalah Mr.Dinesh. Saya ni kuli dia aje.” Aku senyum kelat. Malas nak
keluar. Pandai-pandailah dia cari aku kat sini.
“Dayang!”
Tengku Haizal menjerit lagi. Kali ni lebih kuat. Aku tutup mulut, tahan gelak.
Mr. Dinesh senyum lebar sambil geleng kepala.
“Baik awak
keluar Dayang sebelum dia kena sawan.”
Aku
mengekek gelak. Nak juga tengok macam
mana rupa Tengku Haizal kena sawan. Mr. Dinesh pun tergelak sama. Dia pun dah
faham dengan perangai sengal rakan kongsinya. Pintu bilik terbuka. Tengku
Haizal dah tegak berdiri depan pintu. Aku toleh perlahan. Mata dia tepat ke
arah aku.
“Seronoknya
ketawa sampai saya panggil pun awak tak dengar ya.”
Tak ada
senyum di wajah Tengku Haizal. Sapaan Mr.Dinesh pun dia tak balas. Marah
sangatlah konon! Aku tak takutlah. Punggung ni masih berat nak bangun. Sengaja
nak tunggu dia nak cakap apa lagi.
“Saya
panggil awak ni Dayang, tak dengar ke?” Tengku Haizal menjerkah lagi.
“Dengar,” jawab
aku perlahan.
“Habis tu?”
Dia tak puas hati. Siap bercekak pinggang.
“Cakap
ajelah Tengku. Saya dengar ni.”
Aku nampak
rahang dia bergerak-gerak. Tak puas hatilah tu. Dia pandang Mr. Dinesh. Takkan
cemburu kot? Tak ada sebab dia nak cemburu kan?
“Dayang,
awak dah habis briefing kan?” Tiba- tiba Mr. Dinesh pancing perhatian
aku. Aku pandang dia dan angguk dua kali.
“Kalau macam
tu, boleh awak keluar dulu tak? Saya ada hal nak bincang dengan Tengku Haizal.”
Sedap
telinga aku dengar suara lembut Mr.Dinesh. Dengan rela hatinya aku bangun. Tapi
Tengku Haizal masih tak beralih dari pintu. Badan sasanya menghadang jalan. Dia pandang aku macam singa lapar.
Kalau awal- awal dulu mungkin aku takut nak tentang mata dia. Tapi sejak
kebelakangan ini datang pulak semangat
berani aku. Sekarang ni apa aje yang dia cakap aku akan bidas balik. Bukan
kurang ajar, tapi aku dah bosan. Kalau dia nak aku hormat pada dia, dia
mestilah belajar menghormati orang lain juga kan?
“Zal, dah
lah tu.” Mr.Dinesh cuba menyelamatkan keadaan.
“Mana air
Milo saya?” tanya Tengku Haizal.
“Bila masa
minta?” Aku tanya dia balik.
“Awak tahu
kan, tiap-tiap pagi saya minum Milo.” Tengku Haizal tak nak kalah.
“Kalau
Tengku hadang saya macam ni, bila masanya saya nak buat Milo Tengku tu?”
Yes! Aku menang. Dia berganjak sikit,
bagi laluan pada aku. Bolos aje keluar dia terus tutup pintu bilik Mr.Dinesh.
Kuat berdentum. Aku tak hairan pun. Kalau roboh pintu tu nanti yang
menggantinya kau juga, bukan aku. Heheh! Aku terus pergi pantri. Bancuh air aku
dan Tengku Haizal punya sekali. Masa anak letak air kat meja kerja aku, ada satu
kertas kecil tertampal di skrin komputer.
Tukar air dalam pasu bunga.
Buang sampah
Semua dokumen buat 3 salinan.
Aku mencebik. Ni mesti
Wayar Putus tu punya kerja. Aku masuk bilik dia. Letak air dan ambil dokumen
yang dia maksudkan dalam nota tadi.
Apa-apa hal, dokumen ni yang penting dulu. Bilik dia kemudian pun tak apa.
Tengku
Haizal masih di dalam bilik Mr.Dinesh bila aku selesai dengan dokumen-dokumen
yang dia nak. Aku sambung kerja di mesin fotostat untuk peguam-peguam yang
lain. Hari ni Kak Salmi lambat masuk. Ada pemeriksaan rutin untuk kandungannya.
“Dayang!”
Tengku
Haizal dah berdiri di tepi meja aku
dengan beg bimbit di tangan. Muka dia, macam biasalah. Nampak tak puas hati aje
dengan aku. Aku tinggalkan mesin fotostat. Pergi berdiri depan dia, tadah
telinga. Bersedia untuk disembur.
“Bila nak
kemas bilik saya?”
“Kejap lagi
saya kemas. Saya tengah siapkan dokumen untuk Encik Syed dan Puan Linda.” Aku
jawab dengan reaksi selamba. Kena adillah kan. Bukan dia seorang aje yang ada
kes pagi tu. Ada enam orang peguam dalam syarikat tu. Takkan dia tak faham.
“Awak ni ada
aje jawapannya kan? Kalau ikut hati saya…”
“Zal! Jom,
dah lambat ni.” Mr. Dinesh melaung di pintu pejabat. Tengku Haizal tiada
pilihan. Aku senyum sinis pada dia. Nak tak nak dia mesti pergi juga.
“Balik nanti
saya tahu bilik saya bersih. Kalau tak siap awak!” Sempat lagi dia bagi
pesanan penaja.
Ceh! Aku pandang dia keluar dari pejabat
dengan hati yang berbuku. Makin lama perangai dia semakin menjengkelkan.
Telinga aku ni dah macam piring Astro, hari-hari kena perli dengan Kak Salmi dan peguam-peguam yang lain.
Diorang langsung tak berani nak menyuruh aku kalau Tengku Haizal dah tunjuk
taring. Kononnya aku ni anak emas Tengku Haizal. Huh, anak emas apanya? Anak
pungut mungkin lebih sesuai kot.
“Amboi Dayang, sampai
senget-senget mulut tu menceceh sorang-sorang. Kenapa? Abang Tengku awak buat
hal lagi ke?” Kak Salmi yang baru sampai menegur.
“Siapa lagi kak yang
berani spoil mood kat sini. Wayar putus tu lah. Saya bertahan
aje ni kak.” Aku membebel sambil menyudahkan kerja di mesin fotostat.
Kak Salmi tak menjawab.
Dia terus hidupkan komputer. Dah nak
hujung bulan, banyaklah kerja dia. Aku nampak
Kak Salmi tarik nota yang terlekat di skrin komputer aku. Lepas tu dia
gelak melambak sambil pegang perut.
“Amboi, Tengku Haizal
dah pandai tampal notis. Memang skru dia ada yang tanggal ni Dayang!” Kak Salmi
tarik nafas. Mengahlah tu gelak sakan
sangat.
Semua kerja di mesin
fotostat siap sepuluh minit sebelum pukul 11. Adoi, lenguh kaki aku berdiri
lama-lama. Baru aje henyak punggung, telefon di meja berbunyi. Aku pandang Kak
Salmi, Kak Salmi pandang aku.
“Biar akak jawab,” kata
Kak Salmi sambil angkat gagang dan tekan nombor di telefon.
Aku teguk air milo yang
dah sejuk. Tak ambil perhatian pun apa yang Kak Salmi cakap. Sambil tunggu
komputer running, aku hantar mug ke pantri. Tergerak hati pulak nak lalu depan
bilik Tengku Haizal. Baru teringat pesanan dia tadi. Aku buka pintu bilik. Tak
bersepah pun. Dia ni memang sengaja nak menyusahkan aku. Aku tengok pasu bunga.
Mana bunganya? Dia tulis tadi suruh tukarkan air kan? Kalau tak ada bunga mana nak datang airnya. Hish, sengal
betullah dia ni. Aku menyangkung tepi meja, nak tengok tong sampah kecil di
bawah meja. Kosong! Baru aku teringat, semalam sebelum balik aku dah buang
sampah-sampah tu. Hampeh sungguhlah dia ni. Memang sengaja nak pedajalkan aku!
Aku keluar dari bilik dia dengan seribu rasa sebal.
“Dayang, Tengku Haizal call tadi.”
Aku pandang Kak Salmi.
Lebarnya senyum dia. Macam baru kena loteri. Suka sangat ke Tengku Haizal call?
“Hari ni kita tak payah
keluar lunch, dia nak belanja kita
makan,” sambung Kak Salmi.
“Aik, baik hati sangat
hari ni. Mimpi apa pulak dia malam tadi?”
“Takkan dia nak mimpi
akak pulak, mestilah dia mimpikan kau!” Kak Salmi gelak melambak. Amboi,
mentang-mentanglah dalam pejabat ni tinggal aku dengan dia aje. Bukan main kuat
lagi dia mengilai.
“Akak jangan kutuk saya
lebih-lebih kak. Nanti anak tu kenan perangai saya nanti.” Aku mengusik Kak
Salmi. Aku sengih dengan cakap sendiri.
“Oklah tu kalau anak
akak kenan kau. Comel aje. Walaupun dah dekat tiga puluh tapi kau tetap kecik.
Tak tinggi-tinggi. Sebab tu lah Tengku Haizal suka.” Dia menyakat lagi.
“Amboi, kuatnya gelak.
Sampai dekat luar boleh dengar.”
Mr.Dinesh senyum sambil
buka pintu pejabat luas-luas. Tak lama lepas tu Tengku Haizal masuk pula. Bawa
tiga plastik besar KFC. Laju Kak Salmi bangun dan ambil plastik di tangan
Tengku Haizal. Dia ni kalau bab makan memang laju. Aku bangun ikut bontot Kak
Salmi ke pantri.
“Dayang, nanti hidang
di bilik meeting ya.”
Aku toleh belakang.
Macam tak percaya itu suara Tengku Haizal. Lembutnya. Aku cuma angguk. Tergamam
sekejap tengok dia senyum.
“Nak Milo tak?” Aku
tanya dia. Nak cover malu sebenarnya.
Macam tersangkut kejap bila tengok dia senyum.
“Nak, tapi letak ais,”
jawab Tengku Haizal.
Adoi, apsal tiba-tiba
dia buat suara baik ni? Tiba-tiba macam
tumbuh bulu pula kat telinga aku. Cepat-cepat aku bancuh Milo Ais yang dia nak.
Kak Salmi dah hilang di bilik mesyuarat. Aku suruh dia call semua staff yang ada di luar. Balik makan
sekali dengan kitorang. Baru best kan?
“Wah, meriah betul
jamuan tengahari ni? Menang kes ke bos?” Puan Linda bertanya pada Tengku Haizal
yang tersandar sambil tengok anak-anak
buahnya mengisi perut. Senyum lebar tak lekang dari bibir sejak tadi. Ucapan tahniah
tak putus-putus untuk dia. Aku? Duduk diam-diam aje sebelah Kak Salmi sambil
mengunyah. Tak kuasa nak menyampuk.
“Tahniah Tengku.
Moga-moga menang kes lagi di masa akan datang,” kata Kak Salmi.
Aku rasa dekat lima
kali aku dengar dia ulang benda yang sama.
“Kes yang saya menang
ni tak besar mana pun. Ada satu kes lagi yang belum menang. Sampai sekarang
masih berusaha lagi,” kata Tengku Haizal.
Masing-masing terdiam.
Mata tertumpu pada Tengku Haizal. Kenapa tiba-tiba aku rasa lain ni? Aku angkat
muka. Adoi, mata dia tepat ke arah aku. Lari Dayang! Aku rasa dia nak kenakan kau ni.
“Kes apa Zal?” tanya
Mr.Dinesh
“Kes mencuri hati
seseorang,” jawab Tengku Haizal selamba. Mata dia masih terarah pada aku.
Zas! Macam ada air
panas menyimbah muka. Malunya aku! Masing-masing dah senyum-senyum senget. Apa
aku nak buat ni? Kalau aku lari nanti nampak macam aku perasan pula. Kalau
duduk lagi kat situ macam tak reti bahasa pulak kan? Tiba-tiba telefon pejabat
berbunyi. Bagus! Ada peluang aku melarikan diri. Cepat-cepat aku bangun dan
keluar dari situ. Telinga ni boleh menangkap suara diorang gelakkan aku. Kurang
asam punya Tengku Haizal! Sudahnya sampai habis jamuan aku tak masuk balik ke
situ. Dari pura-pura buat kerja, sampai habis semua kerja aku buat. Tak sedar
dah nak habis waktu kerja.
Dentuman guruh di luar
buat aku sedar hanya aku dan Kak Salmi aje yang masih ada di situ. Aku bangun
dan selak langsir. Ma koi, gelapnya langit. Ini kalau aku lambat gerenti lencun
sampai rumah nanti.
“Saya balik Kak Salmi.
Hari nak hujan ni.”
Kak Salmi angguk sambil
pandang aku sarung baju hujan. Saja siap-siap dulu. Buatnya hujan kat tengah –tengah
jalan nanti dah tak payah nak kelam-kabut.
“Hai Dayang, nak balik
dah?”
“Haah, nak baliklah ni.
Kenapa Mr. Dinesh?” Aku senyum ikhlas pada dia. Ikhlas tau. Sebab dia tak
pernah buli aku. Tak macam dia. Aku tengok pintu pejabat dia bertutup. Dah
balik kot. Lantak dialah!
“Dah macam angkasawan
saya tengok awak. Angkasawan yang comel,” kata Mr.Dinesh.
Kak Salmi ketawa dengar
usikan Mr.Dinesh. Aku senyum aje. Kalau bab mengusik memang serah aje pada
diorang ni. Kalau bab menyakitkan hati aku, serah aje pada yang pakar. Siapa lagi
kalau bukan Wayar Putus tu.
“Yelah, ni angkasawan
nak terbang kejap lagi. Gerak dululah bos. Dah gelap kat luar tu.”
Mr.Dinesh bukakan pintu
sebab dia pun nak balik juga. Gentleman
betul. Tak macam dia. Eh, apsal aku asyik nak bezakan Mr.Dinesh dengan dia?
Hmm, sebab diorang ni bos aku. Yang Melayu kurang budi bahasa, gatal pulak tu.
Yang sorang ni, tersangatlah budiman. Senyum tu tak pernah lekang dari bibir. Handsome
pula tu. Kalau dia masuk Islam memang aku orang pertamalah yang masuk
meminang dia. Heheh! Apa kau merepek ni Dayang?
“Dayang!”
Laa, ada lagi? Aku
ingat dia dah balik.
“Ada apa Tengku?”
“Nak balik?”
Taklah, baru nak datang
kerja! Bongok betul soalan tu. Mestilah nak balik. Takkan aku nak duduk kat office ni sampai malam? Bukan kau bayar
lebih pun.
“Haah, nak balik dah
ni. Kenapa?” Lembut aje aku tanya dia.
“Jom, saya hantar
balik.”
Alamak! Dia datang
dekat. Cepat Dayang, naik atas motor sekarang.
“Saya kana da motor ni.
Oklah, saya gerak dulu.”
Enjin motor dah start, cepat-cepat aku pakai helmet. Tapi
dia lagi cepat. Enjin motor mati.
Aku tengok dia dah tersengih-sengih sambil pegang kunci
motor.
"Apa ni Tengku? Janganlah
main-main. Hari dah nak hujan ni."
Aku tongkat motor balik sebab Tengku Haizal dah berjalan
pergi kat kereta. Melampaulah dia ni. Nak bergurau tak kira masa.
"Tengku! Bagi
baliklah kunci tu. Saya nak cepat ni." Ikutkan hati nak aje aku flying kick Wayar Putus ni. Meluat
pulak aku tengok dia tersengih-sengih macam tu. Eleh, bajet handsomelah tu.Tapi memang dia handsome pun.
"Hari ni awak kena
balik dengan saya. Kalau tidak saya tak nak pulangkan kunci ni," kata Tengku
Haizal. Sengaja dia tayang kunci motor yang ada key chain Hello Kitty tu
kat aku.
"Habis besok?"
"Besok saya
jemputlah sayang!" Selamba aje dia jawab.
Hati dah panas ni. Aku
terpa dia dan cuba rampas kunci motor. Dia boleh tergelak-gelak pulak.
"Tak padan dengan
pendek, ada hati nak rampas kunci. Hmm..." Tengku Haizal masukkan kunci
motor dalam poket seluar. Lepas tu dia tersenyum nakal. Eh, siap kenyit mata
pulak!
"Ambillah kalau
berani."
Pergh! Dia cabar aku seh!
Memang mamat ni melampau tahap dewa betullah. Bibir dah menggeletar ni. Sebelum
aku berubah jadi Shrek baik aku buat sesuatu.
"Kenapa Tengku
suka kacau saya?"
"Saja, suka tengok
muka awak bila marah. Nak kunci tak? Jangan risau, saya takkan saman awak atas
tuduhan mencabul kehormatan saya." Tengku Haizal ketawa sinis.
Hati makin panas. Ada
juga yang kena hayun dengan helmet ni. Aku toleh belakang kejap. Nak tengok
kalau ada siapa-siapa yang boleh tolong. Tiba-tiba aku ternampak sesuatu.
"Tengku simpan
ajelah kunci tu. Kat rumah ada satu lagi." Lepas cakap, tangan aku terus melambai
kat teksi yang baru nak lalu kat depan pejabat.
"Habis kunci
ni?" tanya Tengku Haizal.
"Simpan ajelah
buat tukun!"
No comments :
Post a Comment