Sebagai pelajar, pengawas sekolah dan juga presiden
persatuan. Fatin Syuhada laksanakan semua jawatan yang digalas tanpa
mengabaikan pelajarannya. Dia mengenali Fatin sejak gadis itu masih hingusan. Zaman
kanak-kanak gadis itu masih segar dalam lipatan kenangannya. Dia, Faiz, Fatiha
dan Fatin sama-sama belajar Fardu Ain di rumahnya. Menghabiskan waktu petang
hingga ke rembang senja bermain bersama.
Begitu cepat masa berlalu, anak kecil itu sudah
menjadi seorang gadis yang begitu sempurna. Dalam diam dia menyimpan hasrat
untuk memiliki hati gadis itu. Lebih tepat lagi dia ingin menjadikan Fatin
sebagai suri hidupnya. Dia yakin dia boleh memiliki gadis itu kerana keluarga
mereka sudah mengenali antara satu sama lain. Namun keyakinannya seakan goyah
kebelakangan ini dengan kehadiran Kamal Akasyah.
Peristiwa di Pulau Tioman terimbas berulang kali di
ruang matanya. Masih terngiang-ngiang ditelinga apabila Kamal menyatakan hasrat
untuk memikat Fatin Syuhada. Shahrul mengandaikan itu hanya perbualan kosong
hinggalah Faiz menitipkan pesan padanya pagi tadi untuk mengawasi Fatin di
sekolah. Dia dimaklumkan oleh abang gadis itu bahawa Kamal seperti ingin
menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan Fatin. Memang tidak ada halangan
dari Faiz untuk Kamal berkawan dengan Fatin. Tetapi dia bimbang jika adiknya
terleka. Justeru itu dia meminta Shahrul menjadi matanya.
Kini dia merasakan kedudukannya tergugat dengan
kehadiran Kamal. Shahrul semakin resah. Dia bangun dan berjalan perlahan-lahan
ke hujung kelas.
"Fatin Syuhada, lepas habis kelas ni tolong
kumpulkan semua buku dan hantar ke bilik guru."
Dia memberi arahan. Fatin hanya mengangguk. Tangannya
masih ligat menulis. Sebaik sahaja
loceng berbunyi, Fatin melaksanakan tugas yang diamanahkan tadi. Shahrul juga
sudah keluar dari kelas. Dengan bantuan Ayu, Fatin membawa semua buku-buku yang
sudah dikumpulkan ke bilik guru. Keadaan di bilik itu ketika cuti sekolah agak
lengang. Hanya guru yang terlibat dengan kelas tambahan saja yang kelihatan.
"Fatin, awak tunggu sekejap boleh tak? Fatin sahaja,” ujar Shahrul.
Ayu yang faham maksud kata-kata Shahrul beredar keluar. Shahrul melihat
keadaan sekeliling bilik guru. Ada beberapa orang guru masih berada di situ. Tetapi
jarak mereka agak jauh dari mejanya."
“Duduklah Fatin." Shahrul menarik kerusi guru
di sebelah mejanya. Dia kelihatan gugup.Otaknya ligat menyusun kata.
"Ada apa cikgu?"
Fatin Syuhada membetulkan duduknya. Pandangan mata
Fatin membuatkan Shahrul kehilangan
kata.
"Macam ni Fatin...saya nak tanya awak. Kalau
ada orang nak berkawan dengan awak, awak sudi tak?"
Fatin tersenyum mendengar pertanyaan Shahrul.
"Siapa cikgu? Lelaki ke perempuan?" tanya
Fatin.
Dia melihat sekeliling bilik guru yang sudah
lengang. Tinggal mereka berdua sahaja di situ.
"Errr, hmmmm… saya…" Terputus-putus Shahrul menuturkan kata.
"Siapa?" Fatin meninggikan sedikit
suaranya..
"Saya Fatin, saya yang nak kawan dengan awak.
"
Shahrul memandang Fatin yang agak terperanjat.
"Apa maksud cikgu? Kawan? Selama ni kan memang
kami adik-beradik berkawan dengan cikgu.”
Fatin masih tidak
dapat menangkap maksud Shahrul. Matanya
merenung tepat ke dalam lelaki itu.
"Memanglah saya berkawan dengan adik-beradik
Fatin. Tapi sekarang ni saya nak berkawan dengan Fatin, dengan Fatin aje. Faham
tak maksud saya? Berkawan, seperti Hairi dan Ayu."
Shahrul memberikan contoh yang paling rapat dengan
Fatin. Dia tahu kali ini pasti Fatin dapat menangkap isi tersirat kata-katanya.
Fatin kelihatan tenang. Senyum dan renungan Fatin membuat Shahrul tidak senang
duduk. Sebelum ini memang ada rakan-rakan yang memadankan mereka berdua. Tapi
Fatin mengandaikan itu semua gurauan
nakal rakan-rakan sekolahnya. Cikgu yang berkacamata itu juga ramai
peminat di kalangan pelajar- pelajar perempuan. Shahrul merupakan cikgu yang
paling banyak mendapat hadiah sempena Hari Guru saban tahun. Fatin menarik
nafas dalam-dalam.
"Cikgu, saya ni masih muda. STPM pun tak habis
lagi.” Fatin berhenti menelan liur. Shahrul memandang Fatin tidak berkelip.
"Saya belum bersedia nak beri komitmen dalam
hal macam ni. Saya hormati cikgu sebab cikgu membimbing saya. Lagipun keluarga
saya dah lama kenal dengan keluarga cikgu. Saya dah anggap cikgu macam abang
saya. Sama macam Along Faiz."
Ayat terakhir Fatin telah membuatkan Shahrul
tersedar yang dia hanya bertepuk sebelah tangan. Shahrul melepaskan keluhan. Walaupun
kecewa, Shahrul berasa lega kerana dapat meluahkan isi hati yang terbuku.
"Buat masa sekarang memang tak lebih dari abang
dan adik. Tak taulah akan datang," sambung Fatin lagi.
Dia ketawa
kecil. Shahrul tersenyum senang mendengar gurauan Fatin. Pandai betul gadis
itu memujuk hatinya.
"Baiklah Fatin, saya minta maaf. Tak sepatutnya
saya bebankan awak dengan persoalan macam ni.”
"Tak perlu minta maaf cikgu. Lumrah manusia
punya hati dan perasaan. Kalau tak ada perasaan, itu beruk namanya. Yang penting
sekarang ni saya dah ada seorang lagi abang selain dari Along Faiz. Betul
tak?"
Fatin tersenyum lebar. Dia lega kerana Shahrul boleh
menerima alasannya. Sememangnya dia tidak menaruh hati dengan Shahrul. Detak
hatinya tidak sama seperti dia berdepan dengan Kamal.
"Terima kasih Fatin. Pergilah balik, dah pukul
satu ni. Lama Ayu tunggu kat luar tu."
Shahrul memuncungkan mulutnya ke arah Ayu yang
sedang menyedut air kotak di pondok bacaan berhadapan dengan bilik guru. Sebelum
keluar, Fatin menghulurkan tangan. Shahrul tergamam, teragak-agak untuk
menyambut huluran tangan Fatin.
"Kenapa? Salah ke kalau adik nak salam abang?”
tanya Fatin
“Memang tak salah kalau adik nak salam abang. Tapi
abang yang ni tetap bukan muhrim. Fatin faham kan?”
Fatin senyum mendengar penjelasan Shahrul. Dia
mengangguk perlahan. Shahrul menghantar Fatin hingga ke pintu. Menemankan gadis
itu memakai kasut. Dia masuk semula ke dalam bilik guru sebaik sahaja Fatin
hilang dari pandangan.
“Sembang apa dengan Cikgu Shahrul? Serius aje aku
tengok muka korang?” Ayu cuba mengorek rahsia.
“Tak ada yang penting pun,” jawab Fatin pendek.
Biarlah perbualan mereka menjadi rahsia. Tidak
penting untuk Ayu mengetahuinya. Langkah mereka tiba-tiba terhenti tatkala
mendengar orang bertepuk tangan di belakang. Saat mereka menoleh, kelihatan
Lina sedang mengangkat tinggi tangannya sambil bertepuk tangan. Di wajahnya
terukir senyuman sinis. Lina menghampiri Fatin.
"Wah! Bagus betul lakonan kau Fatin. Boleh jadi
pelakon terbaik abad kedua puluh!"
Lina mengelilingi Fatin dan Ayu. Lain benar kelakuan
Lina tika itu. Entah dari mana pula dia muncul.
"Apa kena kau ni Lina?" tanya Fatin dengan
nada lembut.
"Huh! Kau ni memang suka berlagak macam
primadona, kan? Sana sini kau nak sapu. Tamak betul, habis semua kau
bolot!" jerkah Lina. Jarak muka dia
hanya sejengkal sahaja dengan muka Fatin.
"Wei Lina, kau cakap apa ni? Ada wayar
tertanggal ke dalam kepala kau tu? Tiba-tiba aje nak serang orang."
"Hei gemuk! Kau jangan masuk campur. Aku tak ada
urusan dengan kau. Aku cuma nak berurusan dengan perempuan gatal ni. Kamal dia
nak, Cikgu Shahrul tu pun dia nak rembat! Baik kau hati-hati dengan kawan baik
kau ni. Silap haribulan, Hairi tu pun diangkut sekali! Jantan-jantan yang dahi
licin semua dia nak!"
Lina ketawa sinis. Puas hatinya dapat melepaskan
kemarahan pada Fatin. Tali beg yang melintang di dada Fatin genggam sekuat
hati. Dia memanjatkan istighfar dalam hatinya.
"Mari balik Fatin, tak guna layan minah sewel
ni. Merapu aje!"
Ayu menarik tangan Fatin. Tapi dalam masa yang sama
Lina juga merentap tangan Fatin yang sebelah lagi. Fatin sedang berusaha
menahan amarahnya. Mukanya sudah panas.
" Kalau dah gatal sangat, berhenti aje sekolah.
Pergi kahwin."
Lina masih belum puas. Kekecewaan kerana tidak
berjaya mendapatkan Kamal masih belum terubat. Kini cedera di hatinya makin
parah tatkala melihat Shahrul begitu mesra berbual dengan Fatin sebentar tadi. Disorot
wajah Fatin dari atas ke bawah. Apa kurangnya dia? Apa lebihnya Fatin? Kenapa
dia tidak dapat meraih perhatian sebagaimana gadis itu perolehi?
"Lina, aku malas nak gaduh dengan kau. Kalau
kau nak sangat dengan jantan-jantan tu, kau pergilah try sendiri. Salah aku ke kalau diaorang syok kat aku? Kalau aku
nak berkawan, aku cari lelaki. Bukan jantan! "
Fatin merentap tangan dari pegangan Lina. Sempat dia
menepuk-nepuk lembut bahu gadis itu sebelum berlalu pergi bersama Ayu. Jeritan
Lina yang menyuruh dia berhenti langsung tidak dihiraukan. Dan jeritan itu
hilang bersama deruan enjin bas yang membawa Fatin dan Ayu pulang ke rumah.
Petang itu Fatin termenung sendirian di tepi padang
bola berhadapan rumahnya. Mengingat kembali peristiwa yang berlaku di sekolah
pagi tadi. Fatin memeluk erat kedua-dua lutut. Dia agak tertekan dengan apa
yang terjadi. Hingga sekarang dia masih tidak menemui jawapan, mengapa Lina iri
hati dengannya. Sedang dia melayan fikiran, telinganya menangkap bunyi
motorsikal. Makin lama bunyi itu makin dekat. Melilau mata Fatin mencari arah
bunyi motorsikal itu.
Dua buah motorsikal berhenti betul-betul dibelakang
bangku tempat Fatin duduk. Dia menoleh ke belakang. Tak semena-mena dia berdiri
tegak. Tiga orang lelaki yang baru turun dari motor tersenyum lebar melihat
reaksi Fatin.
“Along mana Fatin?” tanya Shahrul yang membonceng
motorsikal Hairi.
“Tu, ada kat sana.” Fatin meluruskan jari
telunjuknya ke tengah padang.
“Ayu mana?” Hairi pula bertanya.
“Entah, Fatin tak nampak lagi dia sejak balik
sekolah tadi.”
Matanya mengerling Kamal yang duduk di atas rumput. Dia
sedang menyarung pad lutut dan stokin. Fatin tidak mahu lebih lama di situ. Dia
kurang selesa. Lebih-lebih lagi bila Kamal juga turut berada di situ.
“Fatin...” Kamal memanggil.
“Ada apa?”
Fatin memandang sekilas pada Shahrul yang tersenyum
kelat.
“Duduklah dulu. Tak nak bagi sokongan pada kitaorang
ke?” tanya Kamal.
Sekali lagi dia melihat Shahrul. Lelaki itu sedang
menyimpan cermin matanya di dalam bekas.
“Malaslah. Fatin nak pergi siapkan kerja sekolah.” Fatin
mencipta alasan.
“Ala...Besok bukannya sekolah. Hari minggu
kan?”Kamal masih memujuk.
“Duduklah kejap Fatin. Tak rugi apa-apa pun. Buat
penguat semangat.”
Shahrul menyampuk. Tanpa menunggu reaksi dari Fatin,
dia dan Hairi berlari-lari anak ke tengah padang. Cuma Kamal sahaja yang masih
di situ. Dalam keterpaksaan, Fatin melabuhkan kembali punggungnya di kerusi
batu itu.
“Fatin..” Kamal memanggil lagi.
“Apa?”
“Fatin suka abang tak?”
“Ni soalan STPM tahun bila ni?
Kamal menyeringai suka mendengar soalan Fatin. Fatin
memalingkan muka ke arah lain. Lama Kamal menunggu, Fatin masih tidak mahu
memandangnya kembali.
“Tak berani jawab soalan abang ya?” Kamal kembali
menyoal.
“Lina yang suka Abang Kamal.”
“Orang lain abang tak nak tahu. Abang tanya Fatin. Suka
abang tak?”
“Tak boleh, nanti Lina marah.”
Kamal tunduk menguis tanah. Mulutnya masih lebar
dengan senyuman. Fatin pula, sedang menahan rasa malu sambil memintal hujung
baju. Kamal bangun dan menyapu punggung yang berdebu lalu duduk bersebelahan
Fatin.
“Abang minta maaf.”
“Kenapa?”
“Sebab kacau Fatin malam tadi.”
Fatin mengemam bibir. Cuba mencari maksud kata-kata
Kamal. Tiba-tiba matanya terbuka luas seiring dengan bibir mongelnya.
“Oh! Jadi yang telefon malam tadi tu…”
“Abang tak boleh tidur kalau tak dengar suara
Fatin.” Kamal lebih pantas memintas.
Fatin tunduk memandang tanah yang tidak berumput. Bahang
panas menyimbah wajahnya. Dia kehilangan kata. Mereka diam sejenak. Ringan saja
kaki Fatin ingin meninggalkan tempat itu. Namun hatinya melarang tubuh Fatin berbuat demikian.
“Fatin suka abang tak?”
Kamal membetulkan duduknya, mengadap Fatin yang
kelihatan gugup.
‘Aduh kenapalah dia tanya
soalan ni?’ Gerutu Fatin di dalam hati .
“Abang Kamal rasa?”
“Macam mana abang nak tau, belum rasa lagi. Ha ha
ha!” Kuat Kamal ketawa.
Muka Fatin merah padam menahan geram. Ketawa Kamal
mengendur sedikit.
“Kalau Fatin tak nak bagitau tak apa. Abang boleh
korek rahsia hati Fatin pada Ayu.”
Kamal mengambil kesempatan menatap wajah gadis itu
yang hanya tunduk sejak tadi. Suka dia melihat wajah Fatin yang merona merah. Dia
tidak mahu membuang waktu. Tidak sanggup lagi dia menyimpan beban rindu sendirian. Dia yakin gadis itu
juga menyimpan getar yang sama.
“Hoi! Apa sebut-sebut nama orang ni?” sergah Ayu. Dia
muncul dengan sebungkus makanan ringan di tangan.
“Ha, bagus! Panjang umur Ayu. Kebetulan Ayu ada kat sini,
Abang Kamal nak tanya sikit boleh tak?”
Kamal bangun
memberikan tempat duduknya kepada Ayu. Kemudian dia duduk di atas rumput
mengadap Fatin. Ayu tersengih sahaja melihat perlakuan Kamal.
“Boleh. Satu jawapan upahnya belanja makan.” Ayu
menyeringai suka.
“No problem.
Tapi Abang Kamal nak jawapan yang jujur ya. Bukan rekaan.”
Ayu mengangguk laju. Sempat juga dia melambai tangan
pada Hairi yang berada di tengah padang.
“Ayu rasa, Fatin suka kat abang tak?”
Kamal sudah
mula menyoal. Matanya tidak lepas dari wajah Fatin. Dia tersengih lebar
menampakkan barisan giginya. Tapi belum sempat Ayu membuka mulut, Fatin lebih
dahulu memintas.
“Ayu, tolong cakap pada mamat kat depan aku
ni...jangan perasan!” Fatin berpeluk tubuh. Ayu memandang Kamal. Mulutnya
sedikit terlopong.
“Ayu tolong cakap pada perempuan yang tengah bengong
ni...abang sayang kat dia!” Kamal tak mahu kalah.
“Ayu, tolong cakap pada mangkuk ayun ni...aku tak
hingin!” Fatin membidas. Dia memandang Ayu yang sudah tergamam.
“Ayu, tolong cakap kat cik kak ni ...abang sayang
dia!” Kamal mengulangi kata-katanya .
“Ayu, tolong cakap kat Romeo ni... go to hell!” Fatin separuh menjerit. Dia
memandang tajam pada Kamal. Nafasnya sudah tercungap-cungap.
Kamal berlutut dan memegang tangan Fatin. Mata gadis
itu ditentang dengan pandangan redup. Fatin terkesima. Dia cuba bangun dari
kerusi, tapi ditahan oleh Kamal.
“Buanglah ego awak tu Fatin. Abang tahu Fatin pun
sukakan abang .” Kamal memperlahankan tonasi suaranya.
“Tapi Lina…”
“Abang bukan tanya Lina. Abang tak suka dia. Hati
abang hanya untuk Fatin. Jawab soalan abang. Ya atau tidak?” Kamal bersuara
penuh lirih.
Fatin menundukkan kepala. Dadanya bagai nak meletup.
Tiba-tiba dia menolak Kamal sekuat hati hingga lelaki itu terduduk di atas
rumput.
“Ya! Memang saya suka awak! Puas hati?” Fatin
menjerit dan bingkas bangun berlari masuk ke dalam rumah. Mulut Ayu ternganga
lebar mendengar jeritan Fatin. Kemudian dia menoleh pula ke arah Kamal yang
sudah melonjak keriangan. Ayu bangun dan berjalan laju menuju ke rumah Fatin. Kamal
pula sudah berlari ke tengah padang.
“Fatin!
I love youuu!!!"
No comments :
Post a Comment