Lina membaca sambil lalu sahaja memo yang ditampal oleh Fatin. Mulutnya mencebik tatkala membaca isi kandungan memo yang terlekat di papan kenyataan kelas. Majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran. Seisi kelas dijemput hadir. Hari Sabtu jam lima petang. Lina mendengus kasar.
‘Orang kaya, jemput tetamu pun guna memo. Berlagak betul!’
Gerutu Lina di dalam hati.
“Kau pergi kenduri tu nanti Lina?” tanya Aida, rakan yang
duduk disebelah Lina.
“Ah! Tak kuasalah aku nak pergi. Dia nak
menunjuk-nunjuklah rumah dia besar. Orang kayalah katakan!”
“Tak baik kau cakap macam tu. Dia jemput satu kelaslah. Kawan-kawan
yang pergi Pulau Tioman hari tu pun dia jemput sekali.”
Muka Aida ditatap. Serta-merta Lina teringatkan
seseorang. Tiba-tiba saja bibirnya menguntum senyum.
“Kawan-kawan yang pergi Pulau Tioman pun dia jemput
sekali? Cikgu-cikgu?” tanya Lina, mengharapkan jawapan yang positif .
“Mestilah dia jemput. Kalau tak silap aku, Ayu cakap
kawan Cikgu Shahrul yang selamatkan dia tu pun ada sekali.”
Kata-kata Aida melebarkan lagi senyum Lina. Dalam
kepalanya sudah ada berbagai-bagai rancangan. Di ruang mata sudah terbayang
wajah Kamal yang sudah empat bulan tidak ditemui.
“Kau nak pergi tak? Kalau nak pergi boleh tumpang aku
sekali,” pelawa Aida.
“Tak payahlah. Nanti aku suruh Kamal datang jemput aku
kat rumah.” Tonasi suaranya agak tinggi. Sengaja memancing perhatian Fatin yang
berada di situ. Gadis itu hanya
tersenyum kelat tatkala mendengar kata-kata Lina.
“Kau jemput ke perempuan syok sendiri tu Fatin?” tanya
Ayu.
Fatin hanya mengangguk. Telinganya masih panas. Dipandangnya
Lina yang berada di tengah-tengah kelas. Tak dapat ditafsirkan perasaannya pada
gadis itu tika ini.
“Apsal kau ajak dia? Meluat aku tengok perangai dialah. Syok
sendiri!” tempelak Ayu.
“Kalau aku tak jemput dia pun, dia mesti nak datang juga.
Sebab dia tahu Kamal pun ada,” jawab Fatin selamba. Dia keluar dari kelas, tidak
mahu menadah bebelan Ayu lagi.
Seperti
yang dirancang, petang Sabtu itu maka berlangsunglah majlis doa selamat dan
kenduri kesyukuran di rumah Tuan Zakaria. Lina tiba ketika para tetamu sedang
menikmati jamuan petang. Cuma Shahrul saja yang menyedari kehadiran Lina kerana
yang lain sedang sibuk mengisi perut.
“Kenapa lambat sampai? Mari masuk, kitaorang pun tengah
makan ni.”
“Tuan rumah mana cikgu?” tanya Lina. Matanya melingas
mencari seseorang.
“Fatin ada kat dalam dengan kawan-kawan yang lain.” jawab
Shahrul.
“Oh, tuan rumah kat dalam. Orang lain pulak yang jadi
penyambut tetamu, ya?” Lina ketawa sinis.
“Saya ni pun kira tuan rumahlah juga. Dari kecil saya dah
kenal dengan keluarga dia. Dah macam keluarga sendiri.”
“Emm, patutlah hari tu cikgu berani luahkan perasaan pada
Fatin. Dah jatuh cinta sejak kecil, ya?”
Shahrul tersentak. Dia memandang sekeliling kemudian dia
menarik tangan Lina agak jauh dari pintu pagar. Lina mengikut tanpa bantahan.
Tiada langsung rasa hormatnya pada Cikgu
Shahrul. Puas hatinya dapat menyindir lelaki
itu.
“Kalau awak datang sini semata-mata nak buat kacau, baik
awak balik. Saya dengan Fatin tak ada apa-apa. Dia tu macam adik saya. Jangan
nak reka cerita yang bukan-bukan.” Keras suara Shahrul memberi amaran.
“Relakslah cikgu. Kalau betul tak ada apa-apa, kenapa
cemas semacam? Saya datang bukan nak buat kecoh. Orang dah jemput datang
kenduri, saya datanglah.”
Tangan Shahrul yang masih
mencengkam lengannya ditolak kasar. Satu cebikan dihadiahkan pada
Shahrul sebelum Lina masuk ke dalam. Shahrul menggenggam buku lima. Perasaan
bimbang mula bertandang. Bimbang Lina akan merosakkan nama baiknya. Dari jauh
dia mengawasi pergerakan Lina. Gadis itu terlalu tenang. Namun dalam ketenangan
itu ada sesuatu yang sedang dicari. Shahrul tahu, Lina sedang mencari Kamal. Ikutkan
hati mahu saja dia menghalang Lina masuk ke dalam rumah. Tapi dia tahu, tindakannya
itu hanya akan memburukkan keadaan.
Lina terus ke meja makan mengambil hidangan. Sesekali
matanya melingas mencari Kamal. Sapaan rakan-rakan yang mengenalinya hanya dibalas dengan
anggukan.
“Eh Lina, bila sampai?” tegur Aida.
“Baru aje... Fatin mana?” tanya Lina acuh tak acuh.
“Ada kat dapur. Kau nak jumpa dia? Nanti aku panggilkan.”
“Tak payahlah. Nanti aku pergi cari sendiri. Aida...kawan-kawan
cikgu Shahrul dah datang ke?” tanya Lina tanpa segan silu.
“Dah, diaorang ada kat tepi kolam. Bersembang dengan papa
Fatin,” jawab Aida.
Tanpa pamitan, Lina meninggalkan Aida. Kakinya menuju ke
kawasan kolam renang. Lina seperti sudah biasa dengan rumah itu. Dia menguntum
senyum tatkala matanya sudah menangkap wajah yang amat dirindui. Sambil
melenggang, dia menghampiri Kamal yang sedang berbual.
“Hai Abang Kamal! Apa khabar? Lamanya tak jumpa, rindu
kat Lina tak?”
Bahu
Kamal ditepuk selamba. Semua yang berada di situ terkejut dengan sapaan Lina.
“Siapa ni?” tanya Faiz.
“Saya Lina, classmate
Fatin. Naib Presiden Kelab Bahasa
Malaysia. Saya pun pergi juga ke Pulau Tioman hari tu. Sebab tu saya kenal Abang
Kamal ni. Masa Fatin lemas tu, kami berdualah yang selamatkan dia. Betul tak
Abang Kamal?” Bahu Kamal disenggol lembut.
Kamal memaksa diri menguntum senyum. Dia tidak selesa
dengan kehadiran Lina di situ. Sementara itu, Ayu yang baru muncul dari dapur
sempat melihat aksi Lina menggedik dengan Kamal. Dia masuk semula ke dapur
mendapatkan Fatin. Tangan sahabat karibnya itu ditarik.
“Hish, apa tarik-tarik ni? Aku nak buat kerjalah!” Fatin
merentap lembut tangannya. Dipandangnya Ayu dengan kerutan di dahi.
“Lina dah sampai...”
“Biarlah dia sampai. Kawan-kawan kita kan ramai kat luar
tu. Kejap lagi aku keluarlah. Tinggal sikit lagi kerja kat dapur tu. Kesian
bibik kena buat sorang-sorang.”
“Dia tengah menggedik dengan abang Kamal.”
Fatin pandang Ayu. Terbantut langkahnya untuk masuk
semula ke dapur. “Takkan dia nak lebih-lebih kot.” Fatin menyedapkan hati
sendiri.
“Jomlah pergi tengok. Lagipun kita belum jamah apa-apa
lagi sejak tadi. Aku laparlah.” Ayu menggosok-gosok perut.
“Kau pergilah makan dulu. Kejap lagi aku keluar.” Mata
Fatin belum bersedia untuk melihat aksi Lina di depan sana.
Ayu masih berkeras, ingin Fatin pergi ke depan
melihat tetamu yang menjengkelkan itu. Dia mengatur langkah ke dapur dan menitip
pesan pada Bibik Ronisah. Mereka berdua akan menyambung kerja-kerja di dapur
selepas makan nanti. Lagipun sudah tak banyak kerja yang tinggal. Dia mendorong
Fatin ke depan dengan segera.
Benar kata Ayu. Sampai saja ditepi
kolam, mata Fatin dijamu dengan aksi Lina. Meliuk lentok tubuhnya melayan Kamal
makan. Fatin mengetap bibir. Menangkis rasa cemburu yang cuba bertandang. Sengaja
dia memilih tempat duduk yang agak terlindung dari pandangan Kamal. Mahu
mengintai buah hatinya itu dari jauh. Walaupun mulut mengunyah, matanya tidak
lepas dari Kamal.
Kamal bangun meninggalkan Lina apabila ternampak Fatin
sedang makan bersama Ayu di meja yang agak jauh darinya. Fatin pula sengaja
menundukkan muka. Pura-pura tidak sedar dengan kehadiran Kamal.
“Fatin baru nak makan ke?” tanya Kamal.
Fatin cuma mengangguk, langsung tidak memandang wajah
lelaki itu. Kamal menarik kerusi dan duduk di sebelah Fatin. Sempat juga dia
menghadiahkan senyum kelat pada Ayu.
“Kenapa tak temankan Lina? Kesian dia makan
sorang-sorang.” kata Fatin.
“Ada orang cemburu ke?” perli Kamal.
“Eee, tak kuasalah nak cemburu. Pergilah temankan dia. Fatin
boleh makan dengan Ayu.”
Kamal mengetap bibir. Tidak suka dengan gurauan Fatin. Dirapatkan
kerusinya dekat dengan Fatin.
“Tolong jangan perli abang macam tu. Abang tak sukalah.”
Walaupun
perlahan, tapi nadanya kedengaran keras. Fatin menoleh, melawan tatapan mata Kamal. Memang bukan salah Kamal kalau
Lina sengaja mengambil kesempatan ke atasnya. Fatin sendiri sudah maklum Lina memang
sejak mula lagi menaruh hati pada Kamal.
“Sorry...”
“Untuk apa?” tanya Kamal.
“Fatin tak bermaksud nak sakitkan hati abang.”
Kamal tersenyum nakal. Dia memegang belakang kerusi
Fatin. “Maaf aje?”
“Habis tu abang nak Fatin buat apa?”
“Sayang sikit boleh tak?” usik Kamal.
“Gatalnya! Mari sini nak sayang sikit..” Jemari runcing
Fatin mencari perut Kamal sebagai sasaran. Kamal menyeringai kesakitan. Ayu
yang hanya memerhatikan sedari tadi mengekek ketawa.
“Sweetnya
korang. Bergurau senda gitu!” usik Ayu.
Dada Fatin kelihatan berombak. Puas hati dapat melepaskan kemarahan, walaupun
hanya dengan cubitan. Tiba-tiba tawa Ayu terhenti. Lina sedang menghampiri
mereka dengan segelas air di tangan. Manis betul senyumnya. Namun senyuman itu
membuatkan Ayu makin meluat melihat Lina.
“Abang Kamal, tolong hantar Lina balik boleh tak?”
Nak termuntah Ayu mendengar suara Lina yang merengek
manja. Fatin sudah memintal alas kain. Menahan geram dan marah yang bertandang
kembali. Kaki Ayu yang duduk di sebelahnya ditendang perlahan. Tak pasal-pasal
Ayu pula jadi mangsa kemarahannya.
“Tadi macam mana kau datang?” tanya Ayu.
“Ayah aku hantar tadi.” Lina masih mengawal suaranya.
“Kalau macam tu kau suruhlah ayah kau datang jemput. Apsal
nak menyusahkan orang lain pulak?” Ayu menempelak.
Tangan Lina menggigil. Namun cuba disembunyikan melalui
senyum manis. Dia tak boleh menunjukkan perangai buruknya di depan Kamal.
Jatuhlah sahamnya nanti.
“Ayah aku dah pergi kerja. Ala...bukannya jauh pun. Okey,
abang bawa Abang Hairi sekali kalau segan.”
Kamal tidak terus menjawab. Dipandangnya Fatin yang
sedang tunduk menghabiskan makanan di dalam pinggan.
“Cepatlah abang. Kalau
lambat balik nanti mak marah,” rengek Lina.
“Fatin dah siap makan ke?” tanya Kamal.
“Dah, kenapa?”
“Kalau dah, ikut abang hantar Lina. Abang tak berapa cam
jalan nak balik nanti.” Kamal harap Fatin mengerti yang dia tidak mahu menurut
kemahuan Lina.
“Apalah Abang Kamal ni. Fatin kan tuan rumah. Takkanlah
dia nak tinggalkan majlis ni. Apa pulak kata tetamu lain.” Kesabaran Lina
hampir goyah. Geram pula dia
melihat Kamal cuba
berdolak-dalih. Dia tak mahu Fatin ikut sekali. Dada Lina berdebar
kencang. Bimbang perancangannya tidak menjadi.
“Emm,
ya tak ya juga kan. Tapi Abang Kamal pun belum nak balik lagi sebab masih ada
hal nak berbincang dengan papa Fatin.”
“Habis
tu macam mana Lina nak balik? Lina takut nak naik teksi kat kawasan ni.” Lina
tunjuk muka sedih.
Kamal
menggaru kepala yang tidak gatal. Apa akalnya untuk mengelak? Tiba-tiba dia
ternampak Shahrul. Laju dilambainya Shahrul supaya datang pada mereka berempat.
Hairi pun ada bersama.
“Shah,
kau tolong hantar Lina balik boleh tak?”
Lina
tersentak. Darahnya seperti membuak-buak keluar. Rancangannya gagal lagi. Dia
menepuk meja sekuat hati. Matanya mencerlang pada Kamal.
“Cakap ajelah kalau tak nak hantar! Tak payah nak suruh
orang lain. Aku boleh balik dengan
teksi.” Tinggi suara Lina menjerkah.
Terkejut Kamal dengan perubahan mendadak tingkah laku
Lina. Jeritannya memancing perhatian beberapa orang tetamu yang berada di situ.
Fatin bangun, lengan Lina cuba dipegang. Tapi
Lina merentap dengan kasar. Turun
naik nafasnya menahan marah.
“Janganlah macam ni Lina. Abang, pergilah hantar dia
sekejap. Fatin tak kisah.”
“Eh Fatin, kau tak payah nak tunjuk baiklah. Depan Abang
Kamal bukan main lagi. Pijak semut pun
tak mati. Tapi kat belakang dia? Diam-diam kau berskandal dengan orang lain.
Betul tak Cikgu Shahrul?”
Shahrul tersentak. Dia dan Fatin berpandangan. Lina
ketawa kecil. Puas hatinya dapat membocorkan rahsia Fatin dan Cikgu Shahrul.
“Apa awak merepek ni Lina?” soal Shahrul. Dia pandang
Kamal yang sedang keliru. Laju kepala Shahrul menggeleng, menidakkan tuduhan
Lina.
“Lina, kau jangan buat kecoh kat majlis orang boleh
tak?”Ayu pula menyampuk.
“Kau diamlah buntal! Kau pun sama aje dengan budak
perasan baik ni.” Lina termengah-mengah, menahan marah yang makin menggila.
“Amboi, kau ni dah lebih ni. Pantang keturunan aku orang
menghina kejadian Tuhan ni tau. Mari sini, aku hantar kau balik. Abang Hairi, jom.
Cikgu, jom ikut sekali.”
Lina menyorok di belakang Kamal. Dengan pantas Kamal
menjauhkan diri. Lina cuba mengekori. Tapi Ayu lebih pantas menerkam Lina.
Dengan bantuan Hairi, kedua-dua tangan Lina dipegang kemas.
“Cuba kau kawal sikit diri kau! Aku humban kau kat
simpang depan yang banyak anjing tu, nak?” Ayu menjerkah.
Akhirnya Lina diam juga. Kamal dan Fatin hanya
memerhatikan mereka bertiga membawa Lina keluar. Terdengar keluhan berat dari
mulut Fatin. Matanya terasa pedih. Tiba-tiba dia merasa sebak. Fatin cuba
membendung airmatanya dari keluar. Tapi gagal. Segera dia berpaling sambil
mengesat pipi yang basah.
“Hei, kenapa Fatin menangis ni?” tanya Kamal kehairanan. Dia
cuba mengeringkan pipi Fatin tapi gadis itu mengelak.
“Orang tengoklah!” kata Fatin.
“Habis tu kenapa tiba-tiba aje menangis? Angin tak ada,
ribut tak ada tahu-tahu banjir. Pelik...” usik Kamal.
“Kesian Lina. Dia sayang sangat dengan abang,” ucap Fatin
perlahan.
“Tapi abang tak ada rasa apa-apa pun dengan dia. Dia yang
perasan, siapa suruh?” Bersahaja sungguh jawapan Kamal.
Bukan salah dia Lina jadi macam tu. Seingat Kamal, dia
tidak pernah memberi harapan pada Lina. Dalam hatinya cuma ada Fatin. Tak
ada sesiapa yang boleh
memaksa dia melupakan gadis itu. Kasih dan cintanya pada Fatin datang secara semulajadi. Tak perlu menggedik dan
merayu, Fatin menawan hatinya dengan sifat semulajadinya yang matang.
“Fatin yakin Lina takkan mengalah. Kalau hari ni dia tak
dapat abang, besok-besok mesti dia cuba lagi.”
“Oh, sebab itu ke Fatin menangis? Takut abang jatuh cinta dengan Lina, ya?”
Kamal ketawa mengekek. Fatin cemberut. Spontan tangannya
memukul lengan Kamal.
“Orang serius, dia buat main-main pulak.”
“Siapa kata abang main-main? Abang betul-betul sayang Fatin
tau.”
Terjuih bibir Fatin. “Sweet talker!”
“Tak percaya?” tanya Kamal.
Fatin menggeleng. Kamal bangun, berdiri sebentar
memandang sekeliling. Tak semena-mena dia memegang tangan Fatin. Dibawanya Fatin masuk ke dalam
rumah. Liar matanya mencari orang tua Fatin yang sedang melayan Farisya dan
Farina di ruang tamu. Bulat mata orang tua Fatin melihat Kamal memegang erat
tangan anak dara mereka.
“Pakcik, saya nak minta izin bawa Fatin ke rumah saya
besok. Boleh tak?”
Tuan Zakaria tersenyum lebar. Dipandang wajah isteri di
sebelah. Wanita itu juga tersenyum mendengar kata-kata Kamal. Fatin cuba
melepaskan pegangan tangan Kamal. Tapi Kamal menggenggam erat jemari Fatin. Merah
muka Fatin menahan malu.
“Lepaslah, malulah papa dan mama tengok.” Fatin bercakap
sambil mengetap gigi.
“Tak nak. Tadi cakap abang main-main, kan? Sekarang ni
abang nak cakap dengan papa dan mama Fatin. Berdiri diam-diam.”
Kamal
berhenti sebentar. Nafas ditarik dalam-dalam. “Pakcik, saya ni ikhlas nak berkawan dengan Fatin. Saya tahu dia
masih muda. Tapi hati saya dah nekad. Saya nak jadikan dia isteri saya. Saya
dah ada kerja tetap. Saya yakin saya mampu jaga dia. Saya sanggup tunggu sampai
dia habis belajar, sambung belajar dan bekerja. Tolonglah pakcik, izinkan saya
bawa Fatin kenal-kenal dengan umi saya.”
Kamal berlutut. Tangan Fatin masih erat dalam
genggamannya. Fatin pun ikut terduduk sekali. Kesungguhan jelas kelihatan di
wajahnya. Papa dan mama Fatin tergamam sebentar. Papa Fatin bangun dan
menghampiri Kamal. Ditepuk-tepuknya bahu Kamal dan menarik lelaki itu untuk berdiri. Tangan Kamal yang sedang
menggenggam erat tangan anak daranya dipegang. Genggaman tangan Kamal terlerai.
Fatin segera mendapatkan mamanya yang
tersandar kekagetan.
“Pakcik
boleh nampak keikhlasan Kamal. Dan pakcik tahu kami terhutang nyawa dengan
Kamal.”
“Pakcik, saya bukan nak ambil kesempatan atas budi yang
saya tabur. Sebelum Fatin lemas lagi saya dah jatuh cinta dengan dia,” ucap
Kamal lirih.
Tuan
Zakaria tersenyum lebar melihat tingkah Kamal. Dia duduk kembali di sebelah
isterinya. Dia mengerling Fatin sebentar.
“Pakcik benarkan Kamal bawa Fatin ke rumah, tapi dengan
satu syarat.”
“Apa syaratnya pakcik?” tanya Kamal kurang sabar.
“Kena bawak Farina dan Farisya sekali.” Tuan Zakaria
menyambung.
Kamal tersenyum lebar. Spontan dia memeluk Tuan Zakaria. Tangan
lelaki itu dikucup berulang kali. Fatin dan mamanya terlongo. Kamal seperti
orang baru menang loteri. Dipeluknya papa Fatin sekali lagi.
“Saya takkan sia-siakan kepercayaan pakcik. Percayalah, kami akan menjaga maruah
kami dan nama baik keluarga. Terima kasih pakcik.”
Kamal menarik nafas lega. Wajah Fatin direnung dengan
penuh rasa sayang. Dia yakin kini Fatin percaya dengan dirinya. Apa yang perlu
dilakukan sekarang adalah menjaga pohon cinta yang baru bertunas agar
berkembang mekar sepanjang masa.