Jumlah pengunjung setakat ini .

Google+ Followers

Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

July 03, 2014

AKU BUKAN TOUCH & GO BAB 5


   Hampir sejam menunggu. Tak ada tanda-tanda mata kail aku dimakan ikan. Umpan dah banyak kali tukar. Umpan aje habis, tapi mangsanya tak lekat pun. Geram pula aku tengok baldi abah yang penuh ikan. Besar-besar pula tu. Ilmu apa yang dia pakai agaknya? Pantang letak, tak sampai lima minit dah menggeletek ikan di hujung kail. Aku bangun dan pergi duduk dekat sikit dengan abah. Mana tahu, tempat abah tu memang lubuk penghuni dasar.
 “Bosanlah macam ni. Dari tadi asyik abah aje yang dapat. Sofea seekor pun tak ada lagi.”
            Abah gelak dengar aku merengek. Sambil pasang umpan, dia sengaja mengira ikan-ikan yang ada dalam baldi.
            “Fuh, ini tak pergi pasarlah seminggu jawabnya.”
            Aku jelir lidah. Berlagak betul abah. Aku campak batang pancing atas rumput dan rampas batang pancing abah.
            “Bagi orang pakai pancing abah. Sofea tahu mesti abah ada hembus-hembus kat pancing ni.”
“Mana ada. Ada-ada aje Sofea ni.”
Aku dan abah dah bertukar tempat. Aku yakin, pasti kejap lagi aku akan dapat hasil pancingan yang pertama. Lima minit menunggu, seperti yang dijangka. Batang pancing aku, eh salah, batang pancing abah yang aku pegang digegar oleh penghuni yang berada di dalam kolam. Aku cepat –cepat berdiri  untuk seimbangkan badan aku. Abah gelak tengok aku terjerit-jerit menaikkan ikan talapia merah bersaiz lebar tapak tangan orang dewasa.
            “Wo! Akhirnya, dapat juga. Sofea dah cakap dah. Mesti abah ada baca apa-apa kat batang pancing ni.”
Masih belum puas aku menyakat abah. Dia cuma menyeringai. Aku teruskan dengan cubaan yang kedua. Barulah seronok bila dah dapat hasil tangkapan. Sekurang-kurangnya, balik nanti mak tak perli aku.
“Zarin Sofea, abah nak tanya sikit, boleh?”
“Tak boleh. Kaunter pertanyaan tutup hari ni,” gurauku.
Abah tersengih lebar. Suka dengar abah panggil nama penuh aku. Dia memang tak pernah panggil nama anak-anak dia dengan nama singkatan. Tak macam mak. Nama aku Sofea, bertukar jadi Piah, ceh! Kan seronok kalau hari-hari dapat keluar memancing dengan abah.
“Abah nak tanya apa?”
             “Gambar yang tergantung kat rumah Sofea tu gambar siapa?”
            Alamak! Abah perasan ke gambar Ikmal? Aduh! Apa aku nak jawab ni? Hilang senyum, aku ganti dengan mulut yang menyenget. Aku buang pandangan ke tengah kolam. Buat-buat tengok ikan. Macamlah boleh nampak ikan kat dalam kolam air keruh tu.
            “Ikan talapia tu kalau bakar sedapkan abah.”
            Aku cuba ubah topik. Alahai, dah macam dalam cerekarama pulak.
            “Zarin Sofea, jawab dulu soalan abah.”
            Lembutnya suara abah. Cuba bayangkan kalau mak yang menyoal. Mahu mati terapung ikan-ikan dalam kolam ni. Bukan setakat ikan. Silap-silap haribulan aku terjun menyelam tak timbul-timbul dalam kolam tu sekali.
            “Gambar Naslah abah. Gambar siapa lagi?”
            “Hmm, bila masa pula Nas jadi polis? Nas ada buat pembedahan plastik buang tahi lalat kat pipi tu ke?”
            Aduhai! Abah dah habis telek gambar Ikmal rupanya. Apa helah aku lagi ni? Buat-buat jawab telefonlah. Eh, telefon dalam kereta. Ha, buat-buat ada ikan makan umpan. Huh, nampak sangat pembohongnya. Tak ada satu pun jawapan logik yang melintas di kepala aku sekarang. Aku kemam bibir. Sempat lagi aku mengerling abah. Matanya tertumpu ke mata kail. Tapi aku  tahu dia sedang menantikan jawapan yang akan keluar dari mulut aku. Ya Allah, tolonglah aku. Nak jawab apa ni?
            Tak semena-mena aku rasa ada air menitik di lengan. Mula-mula halus saja titisan air tu. Lama-kelamaan semakin kasar. Hujan! Eh, doa aku dimakbulkanlah. Alhamdulillah. Ada alasan nak mengelak sekarang.
“Hujanlah Sofea. Jom balik,” kata abah.
            Aku angguk laju. Abah dah bangun. Sengaja kemas semua peralatan memancing lambat-lambat. Tangan lincah menyimpan batu ladung, tali tangsi dan umpan plastik di dalam kotak peralatan memancing. Tapi sambil-sambil tu mata mengerling abah yang sedang berteduh di  bawah pokok.          
“Hujan main-main aje ni abah. Kejap lagi teduhlah kut.”
Hish! Teduh apanya? Cuba tengok langit tu. Dah makin gelap. Cepatlah kemas tu. Jangan berhujan. Demam nanti, bising pulak Puan Juriah kat rumah tu.”
Aku mengekek gelak. Takut juga abah kena bebel dengan mak. Makin lama makin lebat hujan yang turun. Abah terus ajak aku balik. Hati makin lega. Yakin sangat yang abah dah lupa  soalan dia tadi. Masuk saja dalam kereta aku terus hidupkan enjin kereta. Niat hati nak ajak abah  lepak kat kedai mamak dulu. Tapi risau mengenangkan kalau kena bersoal-jawab lagi, aku batalkan aje niat tu.
“Sejak bila berkawan dengan budak tu?”
Uiks, abah ingatlah! Aduh! Memang tak boleh lari ke mana dah ni. Takkan aku nak terjun keluar dari kereta. Tak guna aku buat macam tu. Abah bukan Nas. Aku tahu abah masih boleh berkompromi dengan aku. Tapi risau juga ni. Boleh ke dia berkompromi dalam hal hati  dan perasaan ni?
“Sofea...”
            “Ya abah...”
            “Abah masih menunggu ni.”
Kerongkong terasa kering. Payah pula rasanya nak menelan air liur.
            “Dah dua tahun abah.”
            “Kenapa tak suruh dia jumpa mak? Kenapa gunakan Nas?”
            Tangan dah menggigil. Rasanya kalau aku ceritakan hal yang sebenar, abah akan naik hantu tak? Tak berani aku nak kerling abah. Walaupun dia tak tinggikan suara, kebimbangan tu  tetap ada. Nafas aku tarik panjang-panjang. Minta-minta abah tak melenting.
“Nama dia Ikmal. Polis berpangkat Koperal. Dah banyak kali Sofea ajak dia jumpa mak dengan abah, tapi dia sibuk. Sofea tak nak kahwin dengan orang lain abah. Tapi mak tak habis-habis paksa Sofea. Sebab tu Sofea suruh Nas berlakon.”
            Tangan aku genggam kuat-kuat pada stereng. Tak berani aku nak tengok muka abah. Rasa macam nak menangis pun ada. Nak terkucil pun ya juga. Belum pernah aku bicarakan soal hati dan perasaan secara terang-terangan dengan abah. Inilah kali pertama.
“Jadi Nas pun terlibat sekali dalam rancangan ni?”
            Aku pandang abah sekilas. Kebetulan pula, dia pun menoleh pada aku. Dalam takut-takut, aku hadiahkan abah senyum kelat. Serentak dengan itu abah tepuk perlahan peha aku.
            “Hmm, pandai makan pandai simpan. Jangan sampai mak tahu, abah tak boleh nak tolong masa tu nanti.”
            Aik! Abah tak marah? Sekali lagi aku menoleh. Abah tengah senyum. Pelik betul abah ni. Memang berbeza betul karakter dia dengan emak.
            “Abah tak marah Sofea?”
            “Hmm, marah juga. Tapi benda dah separuh jalan. Takkan nak patah balik. Sofea dah  besar. Abah yakin  Sofea dah cukup matang untuk membezakan baik dan buruknya. Satu aje abah nak ingatkan. Hal nikah kahwin ni tak boleh bawa main-main. Nanti diri sendiri yang susah.”
Terkesan juga aku dengan kata-kata abah. Walaupun abah ni pendiam, tapi kalau sekali dia bercakap memang makan dalam. Tak ada kata yang dapat aku ungkapkan untuk membalas kata-kata abah. Sudahnya kami melayan perasan masing-masing dalam perjalanan balik ke rumah. Kalau bukan aku yang  memandu  ketika ini, mahu saja aku rebahkan kepala di bahu abah. Hati rasa tenang sangat bila dapat meluahkan segala yang terbuku di hati. Sekurang-kurang  aku tahu, ada lagi yang masih prihatin dengan emosi aku. Perjalanan yang cuma mengambil masa setengah jam terasa tenang sangat. Hujan pun sudah teduh ketika kami tiba di depan pintu pagar rumah abah.
“Kereta Nas tu kan?”
            “Ha? Mana?”
            “Kat dalam garaj tu. Kereta dia tu, kan?”
            Aku abaikan saja soalan abah. Melingas mata aku memandang ke garaj. Hmm, memang kereta dia pun.Tapi apa dia buat di sini? Tak mungkin Lily tak maklumkan pada Nas yang aku minta cuti hari ni.
  “Abah turun dulu. Barang-barang kat bonet tu biar orang keluarkan.”
             Aku toleh ke kiri. Aik, bila masa pula abah turun? Tahu-tahu saja dia dah bergendang di bonet kereta. Cepat-cepat aku keluar dan tolong abah.
            “Err, abah. Sofea tak masuk ya. Nak balik rumah terus. Badan dah bau ikan ni.”
          Terhanti tangan abah menggendang bonet. Tangannya beralih pula ke bahu.
            “Masuklah dulu. Nas kan ada tu. Tak pasal-pasal pulak kena ceramah percuma nanti.”
            Abah tak menyebelahi aku kali ni. Dah tak ada pilihan. Kena masuk jugalah. Belum masuk lagi dah boleh suara mak dan Nas ketawa. Amboi, dah kamceng diaorang berdua ni. Nas pun dah berani datang sini tanpa pengetahuan aku. Punyalah seronok mak dan Nas bersembang sampai tak perasan langsung aku dan abah.
“Dah lama sampai Nas?”
            Abah yang tegur dulu. Terkedek-kedek Nas datang hulur tangan pada abah. Padan muka dia, cium tangan abah yang berbau ikan tu. Tanpa disangka-sangka, dengan beraninya dia cuit hidung aku depan abah.
            “Dalam setengah jam macam tu lah pakcik. Banyak dapat ikan tak sayang?”
            Uwek! Nak termuntah aku dengar Nas panggil aku sayang. Tapi aku sengih kambing juga pada dia. Abah dah masuk ke dalam rumah. Mak yang sedang duduk anjung rumah, cuma  memandang kami dari jauh.
  “Apahal kau datang ni? Aku kan cuti hari ni?”
            “Aku datang nak ukur badan mak, eh salah… makcik.”
            Aku tepis tangan Nas yang menutup mulut, siap dengan lentok kakinya. Macam tak ada tulang pula aku tengok dia berdiri. Rasa macam nak letak kayu kat dalam baju dia. Biar tegak  sikit badan tu bila berdiri. Aku kerling mak yang sedang sibuk membelek sesuatu di atas meja kopi.
 “Mak aku buat apa tu?”
            “Tengah pilih kad kahwin. Aku nak suruh kau pilih, lambat sangat. Suruh mak kau lagi senang. Selesai cepat kerja aku,” jawab Nas.
            Aku kemam bibir. Nas pula yang nampak teruja dengan perkahwinan ni. Ah, lantak dialah. Aku tinggalkan Nas dan mak di ruang tamu. Aku masuk dalam bilik, mandi dan lepak kejap atas katil. Malas aku nak join mak dan Nas di ruang tamu. Tak sampai sepuluh minit berlunjur pinggang, aku dengar mak melaung nama aku di luar. Sebelum dia gendang pintu bilik, lebih baik aku keluar sekarang.
            Aku dengar suara budak-budak kecil riuh di luar. Itu macam suara anak-anak saudara aku. Oh, baru teringat. Hari ni hari minggu. Memang dah jadi kebiasaan adik-adik aku berkumpul di rumah mak.
“Kak Sofea, kenapa kakak tak beritahu bakal suami akak ni pereka fesyen? Wah, senanglah lain kali kita tempah baju kat abang Nas aje.”
            Khairanee, adik aku yang nombor dua. Dia gila fesyen macam mak juga. Mulutnya pun lebih kurang sama juga, fotostat mulut mak. Kalau dia ada memang riuh rumah ni. Anak dah tiga tapi perangainya masih macam budak-budak. Kalau perang mulut dengan suaminya, datang sini mengadu dengan mak. Mak juga yang jadi pendama“Sejak bila ni Kak Sofea? Bukan  ke Nas tu bos akak?”
            Lagi seorang, adik aku yang bongsu. Khaimeera, agak pendiam. Dia ni macam abah. Bercakap bila perlu saja. Kebanyakan rahsia aku dia tahu. Agaknya sebab itulah dia hairan bila Nas diperkenalkan sebagai bakal abang ipar dia. Dia pernah terserempak dengan Ikmal  ketika kami pergi dating. Aku lebih percayakan dia berbanding Khairanee. Khaimeera jenis yang boleh simpan rahsia, macam abah juga.
           “Dah jodoh Meera.”
            Aku jawab pendek. Malas nak berkongsi apa-apa dengan dia buat masa ni. Nas jadi tumpuan adik-adik aku malam ni. Suka benar diaorang melayan agar-agar tu. Aku yang duduk tercongok di depan diaorang sikit pun tak kena layan. Mak dah hilang ke dapur, menyiapkan makan malam. Lepas seorang demi seorang Nas ambil ukuran badannya. Semuanya nak bergaya sakan di majlis perkahwinan kami nanti. Sampaikan anak-anak diaorang pun diambil ukuran badan sekali. Lantaklah, yang penting bukan aku yang keluar duit. Abah sedang rancak berbual di luar bersama menantu-menantunya. Ikutkan hati mahu aje menyertai mereka, tapi nampak macam tak manis pula.
            “Piah, mari tolong mak kat dapur.”
            Aik, mak ajak aku masak? Macam tak percaya. Selalunya dia lebih suka buat kerja sendirian. Aku bangun jugalah menuju ke dapur. Macam-macam bahan masakan ada di atas meja. Aku pandang mak yang tengah basuh ubi kentang di sinki.
            “Nak buat apa ni mak?”
            Aku garu kepala. Memasak bukanlah hobi aku. Dan aku bukannya tahu memasak sangat. Setakat masak mi segera, goreng telur, masak air dan masak nasi guna periuk elektrik tu pandailah. Aku pegang sayur kobis yang macam bola bowling besarnya itu. Aku lambung-lambung sambil menunggu arahan dari mak.
            “Hei, budak ni. Tak elok lambung barang makananlah! Pergi lumurkan ikan tu dengan kunyit dan garam. Kemudian goreng garing-garing. Kita buat ikan tiga rasa.”
            Goreng ikan? Aku pandang muka mak. Kenapa goreng ikan? Bagilah aku kerja yang lebih senang. Potong bawang ke, kacau gulai ke, tak naklah goreng ikan. Aku paling tak suka goreng ikan, nanti minyaknya terpercik di merata-rata tempat.
           
“Kau pandang mak buat apa? Tu, ikan tu kau dengan abah yang pancing tadi kan? Mak dah siang, kau goreng pula. Goreng semua sekali, kita ramai malam ni.”
            Sambil menceceh tangan mak lincah menyiapkan bahan-bahan masakan yang lain. Dengan rasa terpaksa, aku ambil kuali untuk menggoreng, letak minyak dan hidupkan api. Sambil menunggu minyak panas, aku cari modal nak bersembang dengan mak.
“Kad kahwin kau tu mak dah pilih. Cantik-cantik contoh kad yang Nas bawa. Rambang mata mak. Citarasa dia sama dengan mak. Untuk tempahan dewan mak serahkan pada dia. Dia cakap dia ramai kenalan yang boleh bagi harga yang berpatutan.”
            Alahai, cerita Nas lagi. Aku belum sempat nak buka mulut mak dah sebut nama Nas. Dan dah tentu-tentunya topik perbualan akan berkisar pada majlis perkahwinan aku. Bosannya!
            “Ikut suka maklah, orang ikut aje.”
            Aku jawab acuh tak acuh. Kalau pengantin lelakinya Ikmal, mungkin aku tak macam ni. Langsung tak ada rasa teruja dalam diri aku. Ikmal, sejak pertemuan spontan semalam otak aku makin kuat fikirkan dia. Tengok pada gaya dia berpakaian semalam, aku yakin dia sedang buat tugas penyamaran. Ikutkan hati nak saja aku kejar dia. Tapi kalau aku buat macam tu, pasti rahsia dia akan terbongkar dan nyawa Ikmal akan terancam. Tidak, aku tak mahu bahayakan nyawa Ikmal.
            “Piah! Minyak dah panas tu. Kau pandang apa lagi dalam sinki tu? Masukkan ikan cepat!”
            Terpelanting sudip besi di tangan dengar laungan mak. Cepat-cepat aku masukkan seekor ikan talapia dalam kuali. Berdesir bunyi minyak yang menggoreng. Dengan rasa tak sabar, aku masukkan seekor ikan sembilang di dalam kuali. Kalau tadi bunyi berdesir, kali ini siap ada letupan-letupan kecil terhasil dari gorengan ikan sembilang. Aku larikan diri jauh dari kuali.
            “Kecilkan api tu. Anak dara apa ni? Goreng ikan pun tak tahu? Buat malu mak aje Piah ni tau.”
            Aku tak pedulilah mak nak cakap apa. Bersilang-silang tangan aku menghalang minyak dari terkena muka. Aset ni. Ada jerawat sebiji pun aku dah tak tentu arah, apa lagi kalau kena minyak. Jarak antara aku dan kuali dah macam dari Kuala Lumpur ke Johor. Punyalah jauh, sampai tak sedar aku dah berdiri di hujung pintu dapur.
            “Makcik masak apa ni? Riuhnya sampai depan.”
            “Oi ikan sembilang poco-poco dalam kuali!”
            Sekali melatah pula aku! Adoi, nyaris kepala Nas tak kena ketuk dengan sudip. Bila masa pula dia kat belakang aku? Apahal pula dia tersengih-sengih ni? Alamak, baru aku perasan. Aku dah terpeluk dia. Sekali lagi aku dapat tengok mata Nas dari jarak dekat. Tapi kenapa macam ada rasa lain? Best pula kena peluk dengan Nas. Eh,apa aku fikir ni?
            Aku lepaskan tubuh Nas. Muka dia selamba saja. Aku pula yang malu sendiri.
            “Bagi sini sudip tu. Goreng ikan macam nak pergi perang.”
            Nas ambil sudip di tangan aku dan ambil alih tugas menggoreng ikan. Aku tengok mak tengah senyum lebar sambil kopek bawang. Apalah yang difikirkan tu? Entah-entah dia nampak aku peluk Nas tadi.
            “Masak tiga rasa sedap ni makcik. Ikan sembilang ni kita buat goreng bercili.”
            Mak aku tengok Nas dan dia melebarkan lagi senyum.
            “Nas pandai masak ya? Untunglah Piah dapat suami pandai masak. Makcik risau juga. Dia tu tak tahu apa pun. Nas tengok ajelah tadi. Goreng ikan pun sampai bersilat-silat.”
            Aku jelir lidah pada Nas. Sukanya mak dah ada geng nak mengutuk aku. Memandangkan jawatan aku dah diambil oleh Nas, maka tak ada gunanya aku tercongok lagi di sini. Baik aku pergi bersembang dengan adik-adik aku.
            Dari memasak sampailah menghidang, Nas dengan setianya menolong mak. Aku gerenti dia dah berjaya tawan hati mak dua ratus peratus. Sampaikan di meja makan pun mak suruh Nas duduk sebelah dia. Nas pula tak kekok langsung berada di tengah-tengah keluarga aku.
            Punyalah meriah makan malam di rumah abah sampai tak sedar malam makin larut. Dah pukul sebelas, Nas masih lagi di sini. Makin lama  gaya lembutnya makin terserlah. Seronok benarlah anak-anak buah aku mengajuk gaya Nas. Tak  boleh jadi ni. Sebelum Nas menjelma jadiagar-agar jadian, baik aku ajak dia balik.
            “Okay, masa untuk balik ke sarang. Jom balik Nas.”
            Aku kecilkan mata dan kemam bibir pada Nas. Minta-minta dia faham isyarat aku. Kalau dia buat-buat tak faham memang aku kunyah-kunyah telinga dia nanti.
“Oh ya, lupa pula nak beritahu makcik. Minggu depan saya dan Rin akan pergi kursus kahwin. Habis aje kursus petang tu, kami ada sesi penggambaran untuk pra perkahwinan.”
           
Mak menyeringai suka. Aku jegil mata pada Nas. Macamlah tak boleh beritahu aku dulu. Memang nak kena dia ni. Aku tahu dia sengaja nak buat aku serba-salah. Tak apa, mujurlah aku dah janji tak nak masuk campur. Kalau tidak memang aku dah pecat dia jadi suami olok-olok aku.




Post a Comment

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.