Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 02, 2013

GURAUAN ASMARA BAB 1


Aku melangkah selaju mungkin untuk sampai ke pejabat, sebelum Tengku Haizal perasan aku terlambat hari ini. Kalau dia tahu memang habis. Mahu sampai petang dia berleter.
“Hah! Nanti dulu!”
Tadah telinga lagilah jawabnya ni.
“Kenapa sayang lambat ni? Anak meragam ke malam tadi?”
Tengku Haizal menghampiri sambil memeluk tubuh. Walaupun senyumnya kelihatan menawan tetapi masih tidak  mampu mencairkan hati aku.Geram betul aku dengan bos yang suis kepalanya tak berapa nak betul ni. Ikutkan hati mahu saja aku hempuk belakang dia dengan helmet.
“Maaf  Kuzal, saya pergi buat kerja dulu.”                                                                  
Aku cuba mengawal suara selembut mungkin. Dia tak bagi aku ruang untuk beredar dari situ. Liar betul mata dia.
“Lagi sekali awaj panggil saya Kuzal, saya cium awak!”
Dia ketawa mengekek. Suka sangatlah tu tengok aku tergamam. Tak boleh jadi ni. Aku tolak badan Tengku Haizal dengan helmet yang aku pegang. Muka aku? Jangan cakaplah. Manis sikit dari jeruk cermai.
“Gila! Pagi-pagi dah kacau orang!” aku membentak.
Ya Allah, siapa punya kerja ni? Habis bersepah meja aku!”
Seingat aku semalam, meja aku ni bersih. Siapa pulak yang letak fail bertimbun – timbun ni?
“Saya punya kerja. Kenapa? Tak puas hati ke?”
Aku toleh ke belakang. Bos aku si wayar putus tu tengah tersengih macam kerang busuk.
Selamba aje dia menjawab. Memang tak ada rasa bersalah langsung. Malas nak bersoal jawab, aku bawa semua dokumen yang perlu dibuat salinan ke mesin fotostat. Melakukan kerja rutin di pejabat peguam itu membuatkan aku bosan. Sisa mengantuk masih ada. Kesejukan penghawa dingin melayukan lagi mata yang sudah sedia kuyu. Mulut ni pula tak henti-henti menguap. Naik lenguh rahang  menganga luas-luas. Aduhai mata, tolonglah bertahan. Tak sabar rasa nak tunggu Tengku Haizal  keluar. Boleh aku membuta sekejap nanti.
Ini semua gara-gara cup cake. Kalaulah Maziah tu bukan kakak ipar aku, dah lama aku suruh dia bungkus aje bisnes online  dia. Dia yang nak berniaga, dengan aku sekali diheretnya berjaga sampai lewat malam. Nasib baik ada juga bahagian untuk aku.
“Ha, tidur pulak!”
“Aduh!”
Terkial-kial aku mengangkat penutup mesin fotostat. Terus celik biji mata. Kurang asam sungguh  dia ni. Kalau aku letak muka dia atas mesin pengimbas ni bagus juga rasanya. Kalau tak menyusahkan hidup aku sehari memang tak aman agaknya hidup Tengku Haizal. Dia masih terenjut-enjut ketawa.
“Mesin ni pun marah awak tidur. Sakit tak kepala tu? Mari saya tengok.”
Tangan Tengku Haizal sudah menggosok-gosok ubun-ubunku. Aku mengelak.Tak suka diperlakukan begitu. Malu kalau Kak Salmi nampak.
“Saya ok.Kuzal..eh,Tengku duduklah dulu dalam bilik. Dah siap nanti saya letak atas meja.”
Kekok pula rasanya memanggil dia Tengku. Macam bercakap dalam istana pula. Lega hati bila Tengku Haizal sudah beredar. Aku siapkan kerja yang tergendala tadi cepat-cepat.
“Dayang!”




Satu pejabat terperanjat. Kuatnya dia menjerit. Aku tinjau Tengku Haizal yang sedang tersandar di kerusi. Dari sana dia gamit aku  masuk ke bilik. Aku pandang Kak Salmi yang sibuk menaip.
“Dia nak apa Kak Salmi? Dokumen dia belum siap lagi.Tinggal sikit aje lagi ni.”
“Entahlah Dayang. Pergilah masuk jumpa dia. Biar akak tolong habiskan kerja tu.”
Kak Salmi bangun membawa perutnya yang sarat. Kesian pula aku tengok mak buyung ni. Kerja dia sendiri pun banyak, tak pasal-pasal kena sambung kerja aku pulak. Dengan langkah malas aku masuk ke dalam bilik Tengku Haizal.
“Tengku panggil saya?”
“Tolong buatkan Milo.Cawan besar tau.”
“Itu aje?”
“Haah, milo letak lebih tau,” sambung Tengku Haizal.
Hanya kerana secawan Milo sanggup dia terpekik-pekik  panggil aku.Nak kata dia sibuk, aku tengok dia sedang bersenang-lenang membaca suratkhabar. Apalah salahnya kalau dia bancuh sendiri. Mentang-mentanglah dia bos. Boslah sangat! Dinesh pun bos juga. Tapi tak banyak songeh macam dia.
“Dayang! Cepat sikit! Saya dah nak pergi ni!”
Tercampak sudu yang aku pegang. Aku mengurut dada untuk meredakan rasa terperanjat. Aku rasa mak dia ni telan mikrofon semasa mengandungkan dia kot. Sebab itulah asyik nak menjerit. Bergoyang-goyang Milo di dalam cawan yang aku pegang.
“Nah!”
“Masya Allah! Anak dara apa ni? Macam ini cara awak hidang air pada saya? Dulang tak ada ke?”
Eleh. Aku dah buatkan air tu dah kira untung. Aku tentang matanya.
“Maaf, tadi Tengku suruh cepat.”



“Oh!Salah saya pulak! Tengok, dah tumpah air kat meja.Lap sampai kering. Bersemut pulak nanti.”
Amboi, sedapnya mulut dia mengarah aku. Aku ke pantri semula dan ambil kain lembap untuk membersihkan meja. Dulang kecil ku bawa sekali untuk mengalas cawan. Dia tak ada di dalam bilik semasa aku kembali semula untuk mengelap tumpahan air di atas meja. Legalah hati ni sekejap.
“Opocot!”
Ada orang cucuk pinggang aku. Terpelanting kain di tangan. Aku pusing ke belakang, nak tengok di mana kain tu mendarat. Alamak!
“Maaf Tengku. Saya tak sengaja, terperanjat tadi,” bela diri sendiri.
Kelam kabut aku ambil kain yang tersembam cantik  atas kemeja putih dia. Mujur tak meninggalkan kesan. Kalau tak, tadah telinga lagilah jawabnya. Padan muka! Gatal  sangat nak mengusik aku.
“Muda-muda lagi dah melatah. Dokumen saya dah siap?”
“Belum, tadikan Tengku suruh saya buat air,” aku bagi  alasan dan harap-harap dia faham. Dia juga yang melambatkan kerja aku. Jadi aku rasa aku layak membela diri. Kalau masuk mahkamah pun pasti aku menang.
“Habis tu sekarang awak tunggu apa lagi? Cepatlah sayang oi! Abang dah nak keluar ni.”
Sesedap rasa aje dia jerkah aku. Mujur Kak Salmi tolong. Tak sampai seminit, aku masuk balik bilik dia. Lambakkan semua dokumen yang dia nak.
“Letakkan dalam briefcase. Saya nak minum kejap.”
Ya ampun! Mengada-adanya dia ni. Macam dah tak ada tangan. Dia ingat aku ni bini dia ke? Semuanya nak aku yang siapkan. Lepas sumbat semua fail, briefcase warna hitam itu aku tutup kemas-kemas.
“Dah siap. Ada apa-apa lagi Tengku?”
Dia betulkan tali leher yang senget. Mata nakalnya menjamah muka aku. Eee, tak kuasa nak pandang mata gatal dia. Kalau ada garfu masa ni memang aku korek keluar biji mata dia tau. Tak pernah tengok perempuan ke? Aku ambil cawan yang dah kosong. Dia dah tak bercakap tu, maknanya dah tak ada apa-apa lagi yang dia nak kot.
“Dayang.”
Aduh, apalagi ni? Aku memaniskan muka dan berpaling semula. Walaupun tengah geram, muka mesti kena maintain. Aku adjust  sikit ritma suara. Bagi lunak sikit.
“Ya Tengku?”
“Bawa beg saya ke kereta. Nak pergi tandas sekejap.”
Grrr, dia ni memang dah melampau tau. Aku ni pecacai dia ke? Rasanya benda-benda ni semua tak ada dalam skop kerja aku. Walaupun hati sakit, aku hantar juga beg hitam yang sarat dengan dokumen itu ke kereta. Berkunci pulak pintu kereta ni. Kenalah tunggu dia kejap. Dah macam model iklan beg pulak  aku rasa. Lamanya dia ni. Berak batu ke?
“Hai Dayang, awak nak ikut kami pergi court ke?” Seorang lagi bos aku menegur.
“Taklah Mr. Dinesh, Tengku Haizal minta saya letakkan beg dia dalam kereta,” aku jawab sambil senyum kelat.
Tak inginlah aku ikut lelaki mereng itu ke mahkamah. Aku dah tak sabar nak melelapkan mata ni.
“Amboi Zal, bertuah betul kau. Dapat layanan first class!”usik  Mr.Dinesh.
Tengku Haizal ketawa senang. Tapi aku rasa macam nak  muntah. Meluat betul tengok perangai dia. Selesai kerja,aku melangkah semula masuk ke dalam pejabat. Bila kedua-dua bos sudah tiada di pejabat, maka pejabat itu aku dan kak Salmi yang punya. Tak sabarnya nak melelapkan mata.
“Dayang, dokumen di atas meja ni siapa punya?”
Macam nak terkeluar biji mata aku. Dokumen Tengku Haizal! Aku tengok muka cemas Kak Salmi. Dokumen di tangan Kak Salmi aku ambil.
“Saya tak perasanlah tadi kak. Macam mana ni?”
“Kalau dia tahu mesti dia mengamuk. Kes dia start pukul berapa?”
“Sembilan.”aku menjawab perlahan.
Aku capai kunci motor dan helmet. Tak pasal-pasal aku jadi minah rempit hari ni. Dalam masa sepuluh minit aje aku dah pun sampai ke depan bangunan mahkamah. Aku  biarkan  saja skuter merah jambu aku tersadai di kaki tangga. Apa yang penting , dokumen ini mesti ada di tangan Tengku Haizal sebelum perbicaraan bermula. Melilau aku mencari Tengku Haizal. Menyesal pula tak bawa telefon tadi. Nak cepat punya pasal.
 “Boleh tepi sikit, saya nak tengok papan kenyataan ni sekejap,” aku cakap sambil menyelit di celahan orang  yang tengah tercongok kat depan papan yang tertampal bermacam-macam  jenis memo tu. Itulah untungnya jadi orang kenit ni.
Aku baca senarai firma guaman  yang terlibat  dalam  perbicaraan hari ini. Dah jumpa, tingkat lima. Aku tengok pintu lif. Ramainya orang. Tak ada pilihan. Kalau tadi minah rempit, sekarang dah macam olahragawati yang sedang menjalani ujian kecergasan. Mujur hari ini tergerak hati nak pakai seluar. Kalau pakai  baju kurung entah macam manalah rupa aku sekarang ni. Adoi. Macam nak  meletup jantung aku. Oksigen dan karbon oksida berlumba-lumba keluar masuk dari hidung.
Sampai tingkat lima. Aku teruskan pencarian. Banyaknya pintu. Mana pulak dia ni? Tengku Haizal, tolonglah menjelma. Aku dah penat ni. Aku nampak seseorang yang boleh menamatkan pencarian aku.
 “Mr.Dinesh!”
Selamba aje aku menjerit. Cepat-cepat aku pergi dapatkan dia.
“Dayang,awak buat apa di sini?”
“Ni,tertinggal. Tengku Haizal punya.”
Tiba-tiba aje dokumen di tangan kena rampas dari belakang. Bos wayar  putus aku tenga terrsengih. Aku telan air liur, membasahkan tekak yang kering. Fuh, tiba-tiba terbayang ABC pulut. Heheh!
“Macam mana boleh tertinggal?”
Dia mula lagi. Sengajalah tu, nak malukan aku. Bukan nak cakap terima kasih. Sebelum dia buat hal, baik aku pergi dulu. Malas aku nak jawab soalan dia.
“Nanti.”
Apa lagi ni.Takkan di sini pun dia nak buli aku.
“Jom ikut saya.”
Dia tarik tangan aku ke pintu lif. Tak sempat nak cakap ‘bye-bye’ pada bos India aku yang handsome tu.Cuma kitorang  berdua aje yang berdiri kat depan pintu lif yang  menghala ke tingkat bawah. Dia sentap tangan aku masuk dalam lif. Kasar betul.
“Cuba tengok rupa awak kat dinding lif ni.”
Aku serba salah. Nak tengok ke tak? Tajamnya mata dia tenung aku. Apa yang tak kena ni? Tak semena-mena dia pegang dua-dua belah pipi aku.
 “Jangan Tengku,berdosa.”
Aku macam nak menangis.Tak sanggup hilang kesucian di tangan lelaki yang aku tak suka. Mak, tolong Dayang!
“Apa awak merepek ni? Ni, saya kata tengok muka awak kat sini. Lawa tak? Dah macam Tina Turner.”
Dia pusingkan muka aku mengadap dinding. Masya Allah! Patutlah banyak mata yang pandang aku tadi. Aku tahan tawa yang hampir meletus. Buruknya rupa kau Dayang! Tengku Haizal menyeluk sikat pendek di poket seluar sebelah belakang.Sekali lagi aku teragak-agak bila dia hulur sikat kontot tu pada aku.
 “Rambut saya bersihlah. Tak ada kutu. Atau awak nak saya sikatkan?”
Sepantas kilat aku ambil sikat kat tangan dia. Tak inginlah aku manja-manja  dengan dia. Dinding lif aku jadikan cermin. Bersikat ala kadar aje. Nanti aku pakai helmet, gerenti serabai balik rambut ni. Sebelum pintu lif terbuka, aku pulangkan balik sikat kontot dia. Aku senyum sikit. Buat syarat, jangan dia kata aku menyombong pulak.
 “Terima kasih.”
“Hmm…awak ni buta warna ke?”
“Hah?”
“Tu…”
Aku tunduk, nak tengok tempat yang dimuncungkan oleh Tengku Haizal.Aku tepuk dahi sekali dengan mulut yang terlopong. Ya Rabbi! Bila masa pulak aku sarung selipar jamban ni? Dahlah selipar jamban, lain-lain warna pulak tu! Aduh, mana nak letak muka ni?
“Saya pergi dulu Tengku.”
Aku meluru keluar sebaik sahaja pintu lif terbuka. Kan bagus kalau aku ada kuasa ajaib. Kelip mata aje terus sampai pejabat. Malunya! Macam ada pinggan yang melekat kat muka aku ni. Tengku Haizal panggil pun aku buat bodoh aje. Jumpa di pejabat ajelah nanti. Tak tahu ke aku tengah malu ni? Aku melompat duduk atas skuter. Gaya ala-ala rempit sejati. Tak nak tunggu lama-lama di situ, terus aku pecut skuter pink  kesayangan aku tu menghala balik ke pejabat.
Jalan dah mula jem. Biasalah tu. Dah namanya Kuala Lumpur. Hujan sikit aje pun dah jem. Pelik aku. Padahal jalan dah makin besar. Fly over  dah bersimpang-siur. Tapi jem juga. Yang untungnya, penunggang motorsikal macam akulah. Boleh menyelit-nyelit. Tapi menyelit macam mana  hebat pun, mesti sangkut juga di traffic light. Ini pun satu kebencian aku juga. Kalau kena traffic light  rosak pada waktu puncak, memang masaklah. Duduklah dalam kereta masing-masing minyak kering.
Aku menguap lagi. Lambatnya nak tunggu lampu ni hijau. Tadi masa nak pergi rasa macam cepat aje. Nak balik ni rasa macam pejabat tu ada kat Seremban pulak. Enjin motor tiba-tiba mati. Aku tekan punat start. Tak nak hidup. Cuba lagi sekali. Masih sama. Ah, sudah!
“Aduh, masa nilah kau nak buat perangai!” aku jerit perlahan.
Aku pandang lampu merah. Ada empat puluh lima saat lagi. Apa kena motor ni? Takkan mogok sebab aku biarkan tersadai kat depan mahkamah tadi? Minyak banyak lagi. Apa pulak yang rosak ni? Aku dongak sekali lagi. Lima belas saat! Relaks Dayang. Apa-apa hal, aku tolak motor ke tepi jalan dulu. Malu? Mestilah malu. Bohonglah kalau cakap aku bangga  motor aku rosak kat tengah-tengah jalan ni. Buang tebiat ke? Aku duduk menyangkung di tepi motor. Blur kejap, tak tahu nak buat apa. Ada dua tiga buah kenderaan yang sengaja hon aku. Bongok! Tak pernah tengok motor rosak ke? Inilah masalah rakyat Malaysia, terlampau prihatin. Tapi prihatin tak kena tempat. Kalau berhenti tolong aku kan bagus!
"Oi!"
Sebuah kereta berhenti. Macam kenal aje kereta ni. Cermin kereta diturunkan. Dah agak dah, memang dia.
"Kot ya pun motor tu rosak, jangan menyangkung kat tepi jalan macam tu. Buruk betul kalau tengok dari jauh tau. Dah macam orang kena buasir."
Ek eleh! Kalau berhenti setakat nak bebelkan aku baik tak payah. Aku senyum sikitlah. Tak sampai hati nak maki balik. Dia kan bos aku. Aku bangun dan cuba hidupkan motor sekali lagi. Memang sah skuter aku ni mogok. Tengku Haizal keluar dari kereta. Terus pegang tangan aku, tarik masuk kereta.
"Motor saya macam mana?"
"Saya dah telefon mekanik. Kejap lagi diorang datang ambil," jawab Tengku Haizal.
"Kita tunggulah kat sini dulu. Takut motor tu hilang nanti."
"Kalau setakat skuter  pink awak tu, tak ada siapa yang berkenanlah."
"Atau pun saya tolak aje motor tu. Ada satu bengkel kat depan sana, tapi tak tahu dah buka ke belum."
"Duduk ajelah diam-diam.Kejap lagi diorang sampailah."
Aku diam, tak guna melawan. Dia kan peguam, banyaklah hujah dia nak bidas aku nanti.

"Tengku dah habis perbicaraan ke?"
Baru aku perasan. Aku baru aje keluar dari mahkamah. Aku tengok jam. Baru pukul sepuluh.
"Kes postponed, majistret demam," jawab Tengku Haizal.
Aku mengemam bibir. Kalau aku tahu majistret tu nak cuti tak payahlah susah-susah aku merempit tadi. Tengku Haizal tanggalkan tali leher, campak terus kat tempat duduk belakang. Lengan baju dilipat sampai siku. Terselah tangan dia yang berbulu halus. Aku pandang ke luar bila dia toleh pada aku. Takut nanti dia ingat aku syok tengok lengan berbulu dia. Tengku Haizal telefon mekanik  yang katanya nak datang  tengok motor aku. Lepas tu dia telefon orang lain pulak. Klien dia kot. Lantak dialah.  Kepala aku ni tengah ligat fikir apa pulak penyakit skuter aku ni. Punyalah berfikir, sampai tak perasan trak tunda dah sampai. Aku nak keluar tapi Tengku Haizal dah buka mulut dulu.
"Tak payah keluar, jaga kereta."
             Eleh, berlagak! Nasib baik aku tak pandai bawa kereta manual. Kalau tak memang aku tinggalkan aje dia kat sini.Tak sampai lima minit, Tengku Haizal masuk balik dalam kereta.

           "Kita ikut diorang pergi bengkel," kata Tengku Haizal.
          "Teruk ke rosak motor tu?"
          "Motor dah kena hukum buang dalam sungai, banyaklah kot penyakitnya."

           Amboi, sesedap mulut dia aje kutuk motor pemberian abah. Kecik hati aku. Motor tu dah banyak berjasa pada aku tau. Tiba-tiba Tengku Haizal berpaling. Badan dia rapat kat tepi bahu aku. Wangian Hugo Boss yang dia pakai dekat sangat dengan hidung. Lain macam aje cara dia pandang. Apahal pulak dia ni? Sambil pandang aku, tangan kanan dia kunci pintu kereta. Secara automatik keempat-empat pintu terkunci. Perlahan-lahan tangan dia cuba menjangkau muka aku. Spontan aje dua-dua tangan aku tutup muka.

          "Janganlah Tengku, tak baik buat macam ni. Ingat Tuhan!" Aku dah menjerit sambil tekup muka.
           "Oi!" Dia jerkah aku. Perlahan-lahan aku alihkan tangan. Muka dia macam nak ketawa tengok aku macam tu.
"Saya nak pakaikan tali pinggang keledarlah! Yang menjerit macam orang kena rogol ni apsal?" Tengku Haizal tersengih nakal.
Hish! Ringan aje tangan aku ni nak tumbuk muka dia. Memang ada wayar yang putus dalam kepala dia ni.
"Cakap aje tak boleh ke? Saya boleh buat sendiri."
Aku tolak badan dia yang masih rapat di bahu. Dia gelak melambak. Tak cukup dengan gelak, dia siap  geleng-geleng kepala lagi. Aku kemam bibir. Rasa macam nak melompat keluar aje dari kereta. Selamat ke tidak aku sekereta dengan dia ni? Buatnya dia bawa aku lari karang, macam mana? Kepala dia ni bukannya betul sangat. Sejak aku kenal dia  enam bulan lepas, belum pernah sehari pun dia tak menyakat aku. Macam dah jadi acara wajib dia. Kalau tak menyakat, mesti cari sebab nak maki hamun aku. Tak pun suruh aku buat kerja yang  tak sepatutnya aku buat. Kemas pejabat dia, belikan makanan dia, hantar baju dia ke kedai dobi, macam-macam lagilah. Kalau bukan sebab aku ni nak kena bayar balik pinjaman PTPTN, memang  aku tak kerjalah dengan dia. Dapat bos yang gatal, mengada-ada dan  cerewet macam dia ni buat aku serabut. Tapi nak buat macam mana? Selagi boleh sabar, aku tahan kan ajelah.
Sampai di bengkel aku, aku tengok mekanik  tu mengerjakan skuter  aku. Mujur kerosakannya tak teruk. Motor boleh siap repair  hari ni juga. Mata aku tak lepas tengok mekanik tu ‘bogelkan’ skuter aku satu persatu. Bagus juga kalau aku tengok dia repair  motor ni. Lain kali kalau rosak dah tak payah hantar bengkel.
Jual ajelah skuter buruk tu," kata Tengku Haizal.
"Mana boleh, itu skuter kesayangan saya."
"Eleh, sayanglah sangat. Macam boleh bawa tidur."
Dia ni apahal? Dari tadi asyik tak puas hati. Bukannya aku minta duit dia untuk repair motor tu. Menyampahnya aku tengok muka dia. Nak aje aku simbah dia dengan minyak hitam yang berlambak-lambak kat dalam bengkel ni. Aku menyangkung di sebelah mekanik yang tengah mengerjakan 'kekasih hati' aku tu. Bahu aku dicuit. Aku dongak ke atas. Angkat kening aje, malas nak buka mulut. Tengku Haizal ajak aku keluar dari bengkel.
"Ala kejaplah Tengku. Saya nak tengok dia  betulkan motor ni. Senang kalau jadi apa-apa hal lain kali, saya dah tahu macam mana nak buat."
Aku tengok motor balik. Kepala aku makin tunduk bila pomen tu menggedek bahagian enjin skuter di sebelah bawah.
"Adeh!" Telinga aku kena tarik. Nak tak nak kena juga aku berdiri. Macam nak tercabut cuping telinga aku. Dia tarik aku keluar dari bengkel.
"Apsal degil sangat hah! Suka sangat awak menyangkung kat sebelah apek tu kan?"
Dia lepaskan tangan. Sengaja buntang mata kat aku. Eleh, tak takut pun!
"Saya bukan mengorat apek tu. Saya nak tengok..."
"Diam! Jom pergi minum. Awak jangan lupa, sekarang ni masih dalam masa bekerja. Saya boleh potong gaji awak tau," ugut Tengku Haizal.
"Kenapa pulak nak potong gaji saya? Saya bukannya ponteng kerja. Saya pergi hantar dokumen Tengku tadi kan?"
Sekali-sekala kena melawan juga. Mentang-mentanglah dia bos, suka hati laki mak tiri dia aje nak potong gaji aku.
"Melawan, melawan! Kerat lidah tu karang. Jom!"
Lepas telinga, tangan aku pulak dia tarik. Langsung tak nak lepas walaupun dah duduk kat gerai cendol di tepi bengkel tu. Dia lepaskan tangan aku bila pakcik yang jual cendol tu datang nak ambil pesanan.
"Bang, bagi cendol pulut dua, sup ayam dua."
"Saya tak nak makan Tengku, masih kenyang," aku menolak.
"Siapa order untuk awak? Nak order sendirilah."
"Kalau macam tu takpelah. Saya belum nak minum lagi."
Aku rasa macam nak hirup darah kau aje sekarang ni. Aku senyum, bayangkan kalau aku cakap macam tu kat dia.
"Besok tak payah bawak motor pergi kerja."
Aku pandang Tengku Haizal. Apahal pulak ni. Dah kena buang kerja ke? Takkan sebab tak nak makan cendol pun kena buang kerja?
"Habis tu macam mana saya nak pergi kerja?"
Berani-berani takut aje aku tanya dia. Risau juga kalau betul-betul dia pecat aku, satu kerja pulak nak cari kerja lain.
"Nanti saya jemput awak kat rumah," jawab Tengku Haizal selamba.
"Hah?"
Aku ni dah pekak ke atau dia yang tengah sawan? Apa mimpi pulak tiba-tiba dengan sukarelanya nak jadi supir aku? Dia tak ulang balik apa yang dia cakap tadi sebab tengah sedap mencedok cendol masuk dalam mulut. Punyalah laju dia minum. Mak aih! Dia ni bela hantu raya ke? Cepatnya dia makan!
"Takpelah Tengku, saya lebih selesa naik motor."
Aku jawab elok-elok. Tapi dia pandang aku macam dia tak kenyang-kenyang lagi.
"Orang dah pelawa tu jual mahal pulak!" bentaknya.
"Bukan jual mahal Tengku. Tapi saya lebih..."
"Dahlah! Saya nak awak bayar semua ni. Upah sebab saya tumpangkan awak sampai ke bengkel."
Eh, dia tinggalkan aku macam tu aje? Menonong aje dia berjalan. Sempat lagi dia pandang aku sebelum masuk dalam kereta.
"Dayang!" dia panggil.
"Apa?"

"Lagi setengah jam kalau awak tak sampai ofis lagi, saya pecat awak!"

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.