Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

December 18, 2013

DEMI KASIH KITA BAB 2

          Minggu ini kerja shif pagi. Kalau setiap minggu kerja siang pun aku sanggup. Tak adalah risau sangat pasal mak. Nak harapkan Asyura, ada saja alasannya. Mujur ada Nora. Kalau dia dah sambung belajar nanti, siapalah yang nak tengok-tengokkan mak?
           Pon!
          Terloncat aku ke bahu jalan. Sebuah kereta meluncur laju di sebelah aku. Kurang asam. Tak tahu peraturan ke? Mana boleh gunakan hon di dalam kawasan hospital. Panjang leher aku memerhatikan kereta Perodua Myvi berwarna hitam itu. Eh, pemandu itu meletakkan keretanya di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk kakitangan hospital. Aku melajukan langkah. Nak tengok siapakah pemandu yang kurang kesedaran sivik itu.
               “Dr. Zaiman!” Laju mulut aku menyebut namanya. Hati semakin panas. Doktor sombong ini rupanya yang hon aku tadi. Pasti pagi ini aku akan bertembung dengan dia di dalam wad nanti. Tunggu kau!
               Seperti yang aku jangka. Dr. Zaiman dan rakan-rakan doktor yang lain masuk ke dalam wad ginekologi untuk melihat keadaan pesakit. Aku dan Rani selaku staff nurse di wad itu akan mengiringi mereka. Tapi sebelum itu, aku selesaikan dulu kerja aku. Aku serahkan senarai ubat dan beri taklimat ringkas pada pembantu-pembantu jururawat.
               “Cepat sikit boleh tak? Kami banyak kerja lain lagi ni?” gesa Dr. Zaiman.
               “Doktor, staff nurse Rani kan ada tu. Tak ada bezanya kalau dia yang baca  report patient. Sekejap lagi saya datang. Saya nak selesaikan kerja saya dulu.” Aku menjawab tanpa memandang mukanya.
               “Dah tahu nak kena baca laporan, kenapa tak selesaikan kerja awak cepat-cepat? Awak ingat kami ni tak ada kerja lain ke?” Dr. Zaiman ni memang nak kena sembur dengan aku. Ada saja benda yang dia tak puas hati sejak aku menegur kesalahannya minggu lepas.
                Aku pandang dia sambil mencekak pinggang. “Doktor Zaiman. Saya kena pastikan betul-betul sukatan ubat untuk pesakit-pesakit ni. Saya ni teliti orangnya. Bukan main hentam keromo aje. Nanti ada pula pesakit yang kejung nanti. Tak pun ada yang bengkak tangannya.”
               Pembantu-pembantu jururawat yang menyaksikan perang mulut antara aku dan Dr. Zaiman menekup mulut menahan tawa. Akhirnya dia beredar. Puas hati aku. Beberapa minit kemudian aku menyertai Rani. Aku dan dia bergilir-gilir membacakan laporan perubatan pesakit untuk doktor-doktor praktikal itu.
               “Boleh baca kuat sikit tak?” tegur Dr. Zaiman.
               Aku pandang mukanya. Menyampahnya aku. Pekak ke apa? Nak aku bercakap guna mikrofon ke? Rani mengambil fail pesakit di tangan aku.
               “Biar saya baca,” ujar Rani.
               “Saya nak dia baca.” kata Dr. Zaiman. Dirampasnya fail di tangan Rani lalu disua pula pada aku.
               “Baca!” arahnya dengan suara yang keras. Dr.Rozy dan Dr. Joanne cuma diam.
               Aku ketap gigi. Bengang betul aku. Nafas aku tarik dalam-dalam. Wajah Rani aku pandang sekilas. Dia nampak risau.
               “Cepatlah! Ramai lagi pesakit nak kena tengok ni,” jerkah Dr.Zaiman.
               “Nama patient  Nurul Syazarina. Umur dua puluh lapan tahun…” Suara aku boleh didengari oleh semua orang yang berada di dalam bilik itu. Nak suruh aku baca kuat-kuatkan? Aku tak pedulikan cuitan Rani. Biar Dr. Zaiman tahu yang aku tak takut langsung dengan dia.
               “Kenapa ni staff nurse Akira? Dari luar lagi saya boleh dengar suara awak.”
               Bacaan terhenti. Aku pandang muka Dr. Idzham yang baru tiba. Kemudian aku kerling Dr. Zaiman. Perlahan-lahan dia tunduk, pura-pura menulis.
               “ Ada anak buah doktor ni yang mengalami masalah pendengaran. Sebab itu saya baca kuat-kuat. Biar dia dengar dengan jelas dan terang. Betul tak Doktor Zaiman?” Tajam jelingan aku padanya. Dia diam tidak berkutik.
               “Hmm, dah habis ke belum?” tanya Dr.Idzham.
               “Belum, ada dua bilik lagi,” jawab Rani. Mata aku masih terarah pada Dr. Zaiman. Ada lagi yang masih terbuku di hati aku ni.
               “Ok tak apa. Awak berdua boleh pergi. Biar diorang baca sendiri,” kata Dr. Idzham.
               “Oh ya, satu lagi doktor. Boleh tak tolong ingatkan pada anak-anak buah doktor ni tentang peraturan-peraturan ketika berada di dalam kawasan hospital.” Dr.Zaiman mengangkat kepala. Aku hadiahkan dia dengan senyum sinis.
               “Kenapa Akira?” tanya Dr.Idzham.
               “Ada anak buah doktor menggunakan hon di dalam kawasan hospital. Saya rasa budak sekolah pun tahu, mana boleh bising di dalam kawasan  hospital. Bukan setakat main hon, bawa laju pula tu. Tak menunjukkan kredibiliti seorang doktor langsung.” Aku letak fail yang masih berada di tangan di atas meja lalu terus keluar dari bilik itu. Puas hati dapat mengenakan Dr. Zaiman. Kau ingat kau bagus sangat? Baru jadi doktor praktikal  dah berlagak macam doktor pakar. Huh!
               “Berani betul kau kenakan dia Akira,” ujar Rani.
               “Padan muka dia! Dia ingat aku takut ke?” Punggung ku henyak di atas kerusi. Cuba menenangkan diri sebentar.
               “Yang kau angin sangat dengan Dr. Zaiman tu kenapa?” tanya Rani.
               “Mana tak nya? Pagi-pagi lagi dah sound  aku depan budak-budak ni. Dahlah pagi tadi bawa kereta laju-laju. Nasib baik aku tak tertonggeng kat tepi jalan tu.”
               Rani ingin bertanya lagi tetapi hasratnya terbantut tatkala kumpulan doktor-doktor tadi melintasi kaunter. Aku berpaling ke arah lain. Tak kuasa memandang muka Dr. Zaiman. Sehingga mereka semua masuk ke bilik yang seterusnya, barulah aku mengadap Rani kembali
               “Dia pandang kau aje tadi,” ujar Rani dengan suara berbisik.
               Aku hanya mencebik. Aku teruskan kerja seperti biasa. Keadaan agak tenang hingga waktu makan tengahari. Sebelum menyuap aku telefon mak dahulu. Apalah yang sedang dia buat pada waktu ini?
               “Boleh duduk kat sini?”
               Dr. Zaiman menarik kerusi. Melingas pandangan aku mencari Rani. Dia masih memilih makanan. Apa tujuan dia duduk di sini? Dr. Zaiman senyum sikit lalu terus memulakan suapan. Tak dihiraunya aku yang sedang merenungnya.
               “Awak nak telefon boyfriend ke?”
               Eh, baru aku perasan telefon yang masih berada di tangan. Aku simpan semula gajet comel itu di dalam poket baju. Aku masih pelik ni. Kenapa dia duduk sini? Masih banyak lagi  meja yang masih kosong.
               “Saya minta maaf pasal pagi tadi.”
               Terangkat kening aku. Apahal tiba-tiba jadi budak baik ni? Dia masih lagi menyuap. Laju betul suapannya. Aku pula, terus hilang selera nak menjamah. Tak selesa bila dia ada di sini.
               “Awak dengar tak saya cakap ni Staff Nurse Akira?”
               “Panggil Akira aje.”
               “Ha, ada pun suara. Ingatkan ada masalah pertuturan tadi.” Giliran dia pula perli aku.
               Dr. Zaiman menolak pinggan yang sudah licin ke tengah meja. Mulut dikesat dengan tisu. Ketika dia menyedut habis minumannya, barulah Rani tiba.
               “Eh, Dr.Zaiman pun ada kat sini? Dah selesai makan ke?”
               “Makan dah selesai. Ada hal lain yang belum selesai,” jawab Dr. Zaiman. Matanya mengerling aku sambil mencampakkan tisu yang telah digunakan ke dalam pinggan.
               “Hal apa?” Aku pula tanya dia. Kalau boleh aku mahu dia segera beredar. Tapi nak tahu juga hal apa yang masih belum selesai tu.
               “Saya nak cakaplah ni. Tapi saya takut kena marah pula nanti.”
               “Siapa pula yang nak marah?” tanya Rani.
               “Ni, kawan awak. Garangnya mengalahkan singa betina,” seloroh Dr. Zaiman. Tawa Rani langsung tidak berjaya memancing aku untuk tergelak sama.
               “Doktor nak cakap apa? Cepatlah cakap. Hilang selesa saya bila doktor ada di sinilah!” Aku dah tak larat nak kawal perangai sopan. Banyak pula basa-basinya Dr.Zaiman ni.
               “Awak off  bila?”
               “Buat apa nak tahu?”
               “Sebab saya nak selesaikan hal yang masih tertangguh tu.”
               “Hal apa?”
               “Cakaplah dulu, awak off  hari apa?” Dr. Zaiman mengulang soalan.
               “Saya dan Akira off hari  Sabtu.” Rani yang tolong jawabkan.
               Dr. Zaiman senyum pada Rani. Dia pandang aku semula. Ni apahal pula tenung-tenung orang ni?
               “Akira, boleh bagi alamat rumah awak?”
               “Eh, doktor nak buat apa?”
               “Saya nak ajak awak keluar tengok wayang hari Sabtu ni. Nanti saya jemput awak di rumah.”
               Tersembur air di mulut Rani. Nyaris tak terkena baju Dr.Zaiman. Aku pula dah terlopong. Tapi sekejap saja. Aku hulurkan tisu pada Rani. Dr.Zaiman berlagak biasa. Tiada reaksi.
               “Saya masih menunggu ni. Cepatlah, saya nak alamat rumah awak. Kalau awak takut, boleh bawa Rani sekali.” Dr.Zaiman mendesak.
               “Hari Sabtu ni saya nak keluar dengan tunang saya.” kata Rani.
               “Kalau macam tu awak ajaklah adik-beradik awak ke. Mak awak ke.” Dia masih tak mahu mengalah.
               “Maaf, saya tak berminat nak keluar dengan doktor.” Aku tarik pinggan dan mula menyudu nasi dan lauk. Melayan dia berbual sudahnya habis pula masa rehat aku.
               “Tapi saya berminat nak keluar dengan awak.”
               “Tak boleh.”
               “Kenapa pula tak boleh? Awak dah ada teman lelaki ke?”
               “Tak.”
               “Habis tu?”
               Aku biarkan Dr. Zaiman tertanya-tanya. Tak mungkin aku akan beritahu dia tentang masalah kesihatan mak. Itu menagih simpati namanya. Rani cuma diam. Makanan di dalam pinggannnya juga hampir licin.
               “Kalau awak tak nak bagi, saya masih boleh dapatkan alamat awak dengan cara lain. Cuma sekarang ni saya dengan berhemahnya minta alamat rumah awak dengan cara baik. Saya cuma nak berkawan. Tak ada niat lain.”
               Aku tolak pinggan dan menyedut minuman sedikit demi sedikit.
               “Doktor lupa ke dengan etika kerja? Doktor dan kakitangan lain mana boleh ada sebarang hubungan.”
               “Cik Akira, etika kerja tu cuma undang-undang manusia.”
               Aku tolak kerusi dan bangun. Malas nak melayan Dr. Zaiman. Rani juga turut sama bangun.
               “Eh, kita belum habis lagilah. Mana alamatnya?” Dr.Zaiman nak bangun juga. Tapi aku buntangkan mata tanda aku tak mahu dia ikut aku. Dia bersandar semula. Aku tarik tangan Rani dan cepat-cepat beredar dari situ.
               “Aku rasa dia nak berbaik-baik dengan kaulah Akira.”
               “Jangan merepeklah Rani. Aku kenal sangat dengan perangai doktor-doktor praktikal ni. Sama aje macam…”
               “Macam siapa? Kau nak cakap perangai Doktor Zaiman sama dengan perangai Doktor Naufal ke?”
               Aku cuba mengawal api kemarahan yang ingin menyala. Tak boleh nak salahkan Rani. Cuma dia saja yang tahu sejarah silam aku.


December 16, 2013

DEMI KASIH KITA BAB 1


          Apahal pula ni? Rasanya tadi  semuanya dah ok. Aku tengok lampu yang berkelip-kelip di kaunter. Katil nombor lima. Pesakit di katil itu baru masuk petang tadi. Laju aku menyusun langkah ke bilik bersebelahan kaunter.
            “Kenapa kak?” Aku tanya seorang wanita yang kelihatan cemas.
            “ Nurse, kenapa tangan saya tiba-tiba bengkak ni?”
            Aku pandang lengan wanita itu. Ya Allah! Dah macam lengan Popeye! Botol dripyang tergantung di tiang hampir kosong. Patutlah tangan pesakit ni bengkak. Branula yang dipasang tak masuk ke dalam urat. Aku berlari semula ke kaunter. Nak ambil kapas basah.
            “Kenapa Akira?” tanya Rani, rakan setugas  yang baru selesai melakukan  ward round.
            Pertanyaan Rani aku abaikan. Aku berlari masuk ke bilik pesakit tadi. Rani pun ikut sekali.
            “Tahan sikit ya kak.” Aku cuba tenangkan pesakit yang sedang sarat itu sambil menarik  jarum  branula  yang melekat di tangannya.
            “Tangan akak tak sakit dik. Cuma kebas aje. Pelik juga akak, tiba-tiba kembung tangan akak ni.” Aku senyum dan baca nama pesakit itu  di kepala katil.
            “Kak Suhaila baru masuk petang tadi ya?” Pesakit itu mengangguk. Aku  tekap kapas basah di tempat yang aku cabut  branula tadi.
            “Jururawat mana yang pasang branula  ni?” Aku arahkan soalan aku pada Rani.
            “Entah,” jawab Rani sambil mengangkat bahu.
            “Bukan  nurse yang pasang benda alah ni dik. Doktor yang buat.” Aku pandang pesakit yang bernama Suhaila itu. Kemudian aku pandang Rani.
            “Doktor mana kak?” tanya Rani.
            “Akak tak tahu namanya tapi muka dia akak ingat,” jawab Kak Suhaila.
            “Besok akak tunjukkan pada saya doktor tu ya. Tak senonoh betul dia buat kerja.” Sambil mengomel aku pasang semula  branula. Tapi di tempat lain dan kali ini aku pastikan betul-betul branula itu berfungsi dengan baik. Selesai kerja, aku kembali ke kaunter. Kerja shif malam tak huru-hara seperti shif pagi. Kebanyakan pesakit tidur. Jarang juga ada kes-kes kecemasan.
           
            “Mak kau dah ok ke?” tanya Rani.
            Aku diam. Malam ini aku tak perlu fikirkan sangat soal mak. Asyura ada menemankan mak malam ini. Tapi bagaimana dengan malam esok dan malam-malam seterusnya?
            “Oi! Kau ok tak ni?” Rani menyergah.
            “Mak aku ok. Aku tengah serabut ni Rani.”
            “Serabut kenapa?”
            “Adik aku tu. Dia tak nak tolong aku jaga mak. Kalau aku kerja siang, ok lagi. Boleh minta tolong jiran-jiran tengokkan. Tapi kalau kerja malam susahlah sikit.”
            “Suruh ajelah dia tinggal situ.”
            “Kalau senang macam tu, dah lama aku suruh Rani. Suami dia tu, banyak songeh!”
            “Kenapa pula?”
            “Malaslah aku nak cerita. Aku nak buat air ni. Kau nak tak?”
            Aku tinggalkan Rani di kaunter dan menuju ke pantri. Kalau boleh, aku tak mahu dibebankan dengan masalah keluarga ketika waktu bekerja. Takut sangat kalau-kalau hilang tumpuan. Bekerja dengan nyawa orang bukannya satu kerja yang mudah.
            Keesokan paginya aku dan beberapa jururawat  melakukan  ward round  sekali lagi. Tugas terakhir sebelum  jururawat yang bekerja shif pagi pula mengambil alih.
           
           “Selamat pagi Kak Suhaila. Macam mana pagi ni?” Aku menegur. Tangannya sudah tidak bengkak seperti malam tadi.
            “Selamat pagi  nurse.”
            “Panggil saya Akira kak. Yang tu namanya Rani.” Aku muncungkan mulut ke arah Rani yang sedang memeriksa pesakit di katil sebelah. Aku dekatkan  dynamap  ke katil Kak Suhaila. Lengannya aku balut dengan cuff.  Sementara menunggu bacaan tekanan darah, aku letakkan termometer di bawah lidah wanita itu.
            “Emm…emmm…emmm!”  Jari telunjuk Kak Suhaila lurus menuding ke pintu.
            “Kenapa kak?” Aku keluarkan termometer dari mulutnya.
            “Itulah doktor yang buat tangan akak bengkak semalam.”
            Aku pandang ke arah pintu. Sekumpulan doktor-doktor pelatih masuk untuk memulakan tugas.
            “Yang mana satu kak?” Mata aku masih mengamati muka ketiga-tiga orang doktor itu.
            “Yang paling tinggi dan pakai cermin mata,” jawab Kak Suhaila.
            “Dr. Zaiman,” ujar Rani dari katil sebelah.
            “Akak pasti?” Aku tanya sekali lagi untuk pengesahan.
            “Ya. Akak ingat sangat sebab banyak kali dia cuba cucuk benda tu semalam. Akira tengok sendirikan lebam-lebam kat tangan akak ni?”
            “Rani,  cover  kejap.”
            Aku terus ke arah kumpulan doktor-doktor itu. Mata terus terarah pada Dr. Zaiman. Tak ada niat pun nak bergaduh, cuma nak bertanya untuk kesahihan.
          
            “Dr.Zaiman, boleh saya cakap dengan doktor sekejap.”
            Tiga pasang mata tertancap padaku. Aku buat muka serius. Tak ada yang perlu aku takutkan.
            “Cakap ajelah. Saya nak siapkan  report ni.”
            Amboi, berlagaknya kau. Sabar Akira. Jangan jatuhkan aib dia. Aku dekatkan sedikit jarak aku dengan mereka. Tak mahu didengari oleh pesakit-pesakit yang lain.
            “Semalam ada seorang pesakit baru admitted, namanya Suhaila.” Aku mulakan bicara.
            “Ok, so?” Dr.Zaiman berpeluk tubuh. Mata masih memandang aku.
            “Doktor yang on branula untuk patient  tu kan?”
            “Ya, kenapa?” Tegas betul suara Dr. Zaiman.
            “Lepas doktor on branula pada patient tu, doktor pastikan tak yang branula tu berfungsi?”
            “Masa saya buat tu ok aje. Tak ada masalah pun.”
            “Tapi doktor pastikan tak benda tu berfungsi?”
            “Jarum branula tu dah masuk …”
            “Saya cuma nak doktor jawab, ya atau tidak?” Aku dah tak boleh sabar. Banyak pula dolak-dalihnya.
            “Awak siapa yang nak mempertikaikan kerja saya?”
            “Saya bukan nak mempertikaikan kerja doktor …”
            “Habis tu kenapa sibuk-sibuk tanya?” Suara Dr.Zaiman sudah tinggi.
            “Sebab tangan patient tu bengkak malam tadi! Drip tu langsung tak masuk.”
            Terbeliak mata Dr.Zaiman. Tak percayalah tu. Kau ingat aku menipu ke? Dia tengok muka kawan-kawan dia yang lain. Kemudian dia memanjangkan leher ke arah Kak Suhaila. Langkahnya dibuka ke katil wanita itu.
          
           “Tarik langsir,” arah Dr. Zaiman.
            Aku ajak  Rani untuk turut serta. Biar dia menjadi saksi bahawa aku tak berbohong. Langsir ditarik. Dr.Zaiman, Dr.Rozy dan Dr.Joanne mengerumuni katil Kak Suhaila.
            “Mana satu doktor yang cucuk tangan akak semalam?” Aku tanya Kak Suhaila sekali lagi. Wanita yang sedang menunggu masa untuk melahirkan itu kelihatan takut-takut.
            “Tak apalah Akira. Akak dah ok ni,” ujar Kak Suhaila perlahan.
            “Bukan masalah ok kak. Ini masalah etika kerja. Mujur tak jadi apa-apa semalam. Kalau tidak? Siapa yang nak menjawab?” Aku makin berang. Bukan berang dengan Kak Suhaila tapi sakit hati dengan gelagat doktor-doktor pelatih ni.
            “Tak payahlah nak kecoh-kecoh. Benda kecil aje pun. Akak ni pun dah cakap yang dia ok. Kalau jadi apa-apa pada patient, doktor juga yang menjawab. Awak cuma jururawat.”
            “Dr.Zaiman, saya tahu saya ni cuma jururawat. Tapi doktor kena hormat juga senioriti kami di sini. Sekarang saya nak tanya…”
            Dengan isyarat mata, aku suruh  Dr. Rozy ke tepi. Aku selak sedikit lengan baju Kak Suhaila. Aku pandang mereka bertiga.
            “Kenapa tangan patient  ni jadi macam ni?”
            Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri.
            “Ini kesan yang saya buat semalam ke?” Pertanyaan Dr. Zaiman pada Kak Suhaila buat aku dan Rani menggeleng kepala. Aku turunkan semula lengan baju Kak Suhaila.
            “Dr.Zaiman, lain kali jangan bodoh sombong. Kalau tak tahu, buatlah cara tak tahu. Inilah masalah doktor-doktor baru ni. Belum apa-apa lagi dah berlagak.”
            “Cik Akira, jaga bahasa awak sikit. Antara doktor dan jururawat, doktor yang lebih berkuasa tau. Kami yang tentukan apa yang baik untuk pesakit-pesakit ni?” Dr.Zaiman masih tak mahu kalah.
            “Jadi apa yang doktor-doktor buat ni betullah ya? Saya tahu memang jururawat macam kami ni jadi balaci doktor aje. Tapi kami lebih berpengalaman dalam menggunakan peralatan-peralatan hospital ni. Kalau setakat nak  mengarah itu ini dan tulis nama ubat, Sister kami pun boleh buat.” Aku hadiahkan dia dengan senyum sinis. Dr.Zaiman  dah bersedia nak membidas.
            “Dahlah tu. Janganlah bergaduh lagi. Doktor Zaiman, Akira. Akak dah tak apa-apa. Terima kasih Akira sebab bantu akak semalam. Doktor Zaiman, lain kali berhati-hati. Nasib baik kena dengan akak. Akak ni bukan jenis suka saman-menyaman  orang. Tapi bayangkan kalau kena dengan orang lain.” Kak Suhaila cuba meleraikan perbalahan aku dan Dr. Zaiman.
       Tiba-tiba langsir terselak. Dr.Idzham, doktor pakar sakit puan merangkap pembimbing doktor-doktor praktikal muncul.
      “Ni apahal ramai-ramai kat sini?” tanya Dr.Idzham.
     Aku sorot wajah Dr.Zaiman. Pucat tidak berdarah. Inilah masa untuk aku kenakan dia. Kak Suhaila pegang lengan aku. Wajahnya seperti ingin menyatakan sesuatu. Rani menolak langsir lebih luas. Dr. Idzham masih menunggu jawapan.
     “Saya bagi  briefing  pada mereka doktor.” Laju saja mulut aku menjawab.
    “Ok, dah selesai ke belum?”
    “Dah Dr.Idzham, terima kasih.” Aku terus tarik Rani beredar dari situ.
    “Berani betul kau lawan doktor-doktor tu Akira.”
    Aku senyum mendengar kata-kata Rani. Hari ini kami pergi bersarapan dulu sebelum pulang ke rumah. Balik nanti dah senang, boleh terus tidur. Tapi rasanya banyak kerja yang sedang menanti aku di rumah.
     
      “Aku bukannya nak melawan Rani. Tapi doktor-doktor praktikal tu berlagak sangatlah. Dr. Zaiman tu. Susah sangat nak mengaku kesalahan sendiri. Sedap mulut dia pula tu nak mengutuk kita.”
Rani mengangguk, setuju dengan kata-kata aku. Kami tak ambil masa yang lama pun untuk menghabiskan sarapan kerana mata masing-masing dah berat. Aku belikan sarapan untuk mak sekali.
    “Bawa motor elok-elok Akira,” pesan Rani sebelum masuk ke dalam kereta. Dia memang rapat dengan aku. Dari kolej jururawat lagi kami sudah berkawan. Tempat tinggal kami juga berdekatan.
Sampai saja di rumah, adik aku Asyura sudah menunggu di depan pintu. Muka dia, jangan cakaplah. Masam semasam-masamnya. Pintu pagar dibuka dengan kasar. Tak sempat aku turun dari motor, dia dah rampas helmet di tangan.

       “Kenapa lambat? Laki aku dah bising kat rumah tau tak?” Asyura jerkah aku.
       “Kan Kak Ira dah suruh kau ajak Shukri tidur aje kat sini, temankan mak.”
      “Ala, dia mana nak tidur kat rumah orang kak. Bingitlah telinga aku. Setiap kali kau kerja malam aje aku kena jaga mak,” sungut Asyura.
     Malas aku nak perang mulut dengan dia. Setiap kali kena jaga mak, macam inilah perangai dia. Ikutkan sangatlah cakap suami dia tu.
     “Mak buat apa kat dalam?” Aku tanya Asyura. Dia dah duduk atas motor.
     “Ada kat dalam tu. Aku suruh mandi tak nak. Sejuk katanya,” jawab Asyura.
    “Kenapa kau tak jerangkan air panas?”
    “Malaslah. Eh, mak tu belum makan tau. Nanti kau masaklah. Aku malas nak kotorkan dapur.” Asyura dah hidupkan enjin motor.
    “Petang ni datang tau. Kak Ira kerja malam lagi.” Aku ingatkan dia.
    “Petang ni aku nak keluar beli barang dapur dengan laki aku. Lepas tu nak pergi tengok wayang. Kau pergi kerja naik bas ajelah hari ni.”
   “Habis tu mak macam mana?”
    Asyura dah memecut pergi. Sampai hati dia. Tergamak dia buat macam ni. Sejak berkahwin, perangainya seratus peratus berubah. Hilang semua janji-janji manis dia pada emak. Nak jaga mak sampai akhir hayat konon! Belum sakit tenat lagi orang tua tu, dia dah buat hal.

      “Ira…”
     Aku cepat-cepat kunci pintu pagar dan berlari masuk ke dalam rumah. Usai memberi salam,aku mencari mak. Dia baru selesai menyapu ruang tamu.
    “Mak, kenapa buat kerja rumah ni? Mak kan tak sihat.” Aku ambil penyapu di tangan mak dan pimpin dia duduk di kerusi.
    “Mak dah sihatlah Ira. Sakit-sakit badan mak, asyik baring aje.” Aku senyum dengar mak bersungut. Muka mak nampak kemerahan, tidak pucat lagi seperti semalam.
    “Mak nak makan? Ira ada belikan sarapan.” Aku nak bangun, tapi mak pegang tangan aku.
    Bab inilah yang paling aku lemah. Mak tenung aku dengan wajah sedih. Dah nak mulalah drama airmata ni. Dalam kepala macam dah boleh agak apa yang mak nak cakap nanti. Cepat-cepat aku kucup kedua belah pipi mak. Kemudian aku bangun.
    “Ira tak nak mak sedih-sedih. Tanggungjawab Ira jaga mak dan pastikan mak sihat. Sekarang Ira nak mak makan, lepas tu mandi. Ira jerang air dulu ya.”
Aku masuk ke dapur. Sebenarnya aku pun nak menangis juga. Sejak ayah meninggal, penyakit semput mak semakin menjadi-jadi. Bukan setakat semput. Lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis. Cukup pakej. Dulu aku dan Asyura dah berjanji dengan arwah ayah untuk menjaga mak. Tapi nampaknya sekarang cuma aku yang menunaikan janji itu.
      “Mak, Ira nak mandi dulu. Mak makan tau.” Aku laung mak dari bilik.
       Tak sampai sepuluh minit, aku selesai bersiram. Aku berlari ke dapur tatkala cerek sudah mengeluarkan bunyi keretapi. Aku siapkan air mandian mak. Aku tinjau dia di ruang tamu. Masih makan. Aku siapkan pakaian bersihnya. Kalau ikutkan, mak masih mampu lakukannya sendiri. Tapi aku  tak mahu mak penat. Bila lagi aku nak memanjakan mak kan?

      “Dah habis makan?” Aku kembali ke ruang tamu.
      “Dah. Ira, tengahari ni Ira nak makan apa? Mak masakkan untuk Ira ya.” Mak nak menghantar bekas makanan yang sudah kosong ke dapur tapi dengan pantasnya aku menahan.
     “Mak ni kan, pantang dah sihat sikit. Mulalah nak buat macam-macam. Hari ni biar Ira masak. Sekarang mak pergi mandi. Lepas tu makan ubat.”

      Mak senyum mendengar arahan aku. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke bilik utama. Air mandiannya sudah tersedia di situ. Aku menghenyak punggung di sofa. Lenguh terasa seluruh badan. Tangan menekan alat kawalan jauh. Televisyen terpasang. Mata saja di situ tapi otak sedang ligat berfikir. Macam mana aku nak ke tempat kerja hari ini? Fikir punya fikir, sudahnya aku terlelap.

November 23, 2013

GURAUAN ASMARA BAB 13

"Kau dah buat keputusan?"
"Keputusan apa?"
"Pasal gambar tu lah! Terima ke tak?"
Aku tepuk dahi. Sumpah aku lupa terus pasal gambar tu. Mana aku letak hari tu eh?Ni kalau aku cakap aku lupa kat mana aku letak gambar tu sah-sah kena sembur dengan Kak Maziah.Apa alasan paling best nak bagi ni eh? Aku garu kepala yang tak gatal.
"Dayang rasa nanti dululah kak.Budak tu tak sesuai langsung dengan Dayang. Muka dia banyak bulu! Takut Dayang tengok.Itu baru muka. Belum tempat lain lagi!"
Aku buat muka geli geleman.Harap-harap lakonan menjadi.Kak Maziah pelik tengok aku.
"Habis tu Dayang nak yang macam mana?" tanya Kak Maziah.
"Ala, biar Dayang cari sendirilah. Tak pun biar turun sendiri dari langit."
"Bila nak cari?Umur tu bukannya muda lagi tau. Dah nak masuk  three series," bebel Kak Maziah.
"Kak, umur tu sekadar angka aje. Ella tu pun dekat lima puluh baru kahwin tau." Kukuh tak alasan tu? Kak Maziah terdiam. Heheh! Mati akallah tu. Sebelum dia buka mulut baik aku pergi kerja cepat.
Sampai pejabat, Muaz dah tunggu depan pintu. Siap melambai-lambai lagi. Lama betul dia bercuti. Seminggu tak jumpa dia. Lain betul gaya Muaz hari ni. Berbaju Melayu dan bersamping. Oh, hari Jumaatlah! Aduhai Muaz, kalau aku ni girlfriend dia memang aku dah suruh dia ni masuk askar atau polis. Biar keras sikit badan tu. Rupa ada tapi…
"Hari ni duduk kaunter dengan aku tau," kata Muaz.
Aku angguk saja.Seronok jugak berkawan dengan dia ni.Tak lokek dengan senyuman.Dia tak kisah pun orang panggil dia lembut.Lagi dia suka.Yang paling best, dia suka belanja aku makan.
"Kau cover kejap ya. Aku nak pergi toilet," suruh Muaz.
Aku geleng kepala tengok Muaz jalan tergelek-gelek. Nak pergi ke tandas yang dekat tu pun makan masa lima minit. Punyalah kepit dia jalan. Selesa pula dia jalan macam tu.
"Kak, ni ada bunga untuk  Cik Dayang."
Oh mak kau! Terkejut aku. Bila masa pula mamat ni masuk? Aku pandang bunga yang dia pegang. Lawanya! Tapi siapa yang bagi?
"Tadi awak cakap bunga ni untuk siapa?" Aku tanya lagi sekali.
"Untuk Cik Dayang."
"Siapa pengirimnya?"
"Ada dalam kad."
Aku tandatangan  resit penerima. Huh! Mimpi apa  wayar putus ni? Tiba-tiba bagi bunga pada aku. Budak yang hantar bunga tadi keluar. Tak sempat aku nak cakap terima kasih. Tapi tak lama kemudian budak tadi masuk balik bersama seorang lagi kawannya. Pembantu dia agaknya. Bawa bunga lagi.Tapi dalam pasu-pasu comel. 
"Eh, ni untuk siapa pulak?" Aku tanya budak tu.
"Untuk Cik Dayanglah."
"Untuk saya?"
"Ha’ah, kat luar tu banyak lagi."
"Ha?"
Aku keluar dari kaunter dan jenguk ke luar. Masya Allah! Apa kau dah buat ni Tengku Haizal. Habis satu kedai ke kau borong!Dah macam kedai bunga pejabat aku hari ni. Muka ni kejap kembang, kejap kuncup. Antara malu dan suka.Malu sebab kena usik, kononnya bertuahlah sangat dapat boyfriend romantik.Suka sebab diorang ucap Happy Birthday  pada aku. Heheh! Macam mana aku sendiri pun boleh lupa hari jadi aku hari ni? Dari kaunter, sampai ke pejabat sebelah atas, di mana-mana saja, mesti ada bunga. 
"Rasa macam bekerja dalam taman pulak hari ni," kata Muaz.
Aku senyum sumbing. Dari tadi aku tengok dia tak puas-puas cium bunga dalam jambangan tu. Silap- silap haribulan melekat tahi hidung dia di  situ. Heheh!
"Ni mesti pakwe yang makan sekali dengan kita tu bagi kan Dayang? Ya ampun, romantiknya! Kalau aku jadi kau dah lama aku melting, melting, melting ting kat dia."
Aku gelak besar tengok Muaz siap lentok-lentok kepala atas kaunter. Aku rasa dia kot yang dah melting dengan Tengku Haizal. Pintu pejabat terbuka.Ada customer masuk.Cepat-cepat Muaz betulkan duduk. Aku dah bersedia dengan senyum manis. Tapi senyum berubah jadi jeritan.
"Mr. Dinesh!" Hilang ingatan sekejap. Sukanya dapat jumpa bekas bos yang baik hati ni.
"Hai Dayang, apa khabar?" Lebar senyum dia tengok aku terlompat-lompat macam budak  baru dapat Choki Choki.
"Khabar baik. Lamanya tak jumpa.Mr.Dinesh sihat?"
"Sihat, saya singgah sekejap aje ni. Nak jumpa awak."
Aduh, masih tak boleh kawal lagi perasaan gembira ni. Suka sangat dapat jumpa bos yang seorang ni. Ikutkan hati mahu saja aku peluk dia.
"Kenapa Mr. Dinesh nak jumpa saya?" Aku tanya dia. Tiba-tiba dada berdebar pula. Dia nak ajak aku keluar dating  ke?
"McD delivery dah sampai ke belum?"
"Ha?"
Apahal dia ni? Ni syarikat kurierlah! Bukan restoran fast food. Tak sempat aku nak tanya balik, aku dengar bunyi motorsikal di luar pejabat. Bunyi sebuah, tapi berbuah-buah motorsikal di luar tu. Dan semuanya dari McDonalds. Apalagi ni? Aku pandang Muaz. Budak- budak McD tu masuk pejabat aku.Kalau tadi bau bunga, sekarang dah bertukar bau makanan pula. Salah sorang dari budak-budak tu hulur resit. Buntang mata aku tengok bil.
"Tapi saya tak order semua ni."
Gabra dah ni. Aku mana ada duit. Dalam beg duit pun cuma ada lima ringgit. Itu pun nak buat isi minyak motor.
"Tengku Haizal yang order, bagi sini bil tu."
Mr. Dinesh ambil kertas panjang di tangan aku. Selamba saja dia keluarkan beg duit. Berkeping-keping not lima puluh dia hulur pada budak McD tu. Aku teguk air liur. Aku rasa dalam sejarah hari ni satu pejabat dijamu dengan sarapan pagi McD. Muaz dah mula sibuk jadi wakil aku mengagihkan bungkusan sarapan pada kawan-kawan di department lain.
"Tengku Haizal ni tak habis-habis nak kacau sayalah Mr.Dinesh! Malu saya tau," Aku mengadu pada bekas bos aku yang berkening tebal ni.Dia gelak saja.
"Kenapa dia tak datang bayar sendiri?" tanya aku.
"Dia takut awak hempuk dia dengan helmet," jawab Mr. Dinesh sambil terkekeh gelak.
Eleh, tahu pulak takut.Sambil sembang kejap dengan Mr. Dinesh, kawan-kawan pejabat kejap-kejap datang ucap terima kasih pada aku. Kepala ni dah macam ayam catuk padi. Terangguk-angguk sambil cakap 'sama-sama'.
"Saya balik  dululah.Anyway, happy birthday Dayang.Semoga berbahagia dengan abang Tengku awak tu ya," usik Mr.Dinesh.
"Ala, Mr. Dinesh! Saya tak sukalah awak cakap macam tu. Dia bukan pakwe saya.Dia pakwe Natrah."
Sengaja aku memuncungkan mulut.Bahagia konon! Dia tak tahu ke aku ni macam nak gila melayan perangai Wayar Putus tu.
"Eh, Dayang. Nanti jangan lupa ambil gaji terakhir awak kat pejabat ya,” pesan Mr. Dinesh semasa aku hantar di keluar dari pejabat.
"Tak naklah pergi sana. Kirim pada Natrah aje boleh kan?"
Dia tak menjawab tapi cuma mengangguk. Tatkala semula ke pejabat, aku senyum sendiri. Muaz tengah mengadap McD.
"Dayang, kau tak call dia ke?"
Aku pandang Muaz. Pelik dengar soalan tu.
"Apahal pulak aku nak call dia?" Aku tanya Muaz balik.
"Kau ni, cuba ringan-ringankan mulut tu cakap terima kasih kat orang."
"Malaslah aku. Aku tak minta pun dia buat semua ni. Dia yang bermurah hati sangat siapa suruh?"
"Ala Dayang, sekurang-kurangnya sampaikan terima kasih kitorang pada dia. Save duit mak pagi ni kau!"
Muaz ketawa sambil tutup mulut dengan tisu. Hek eleh, sopanlah konon! Dalam pada tu dia ambil telefon bimbit aku.
"Call dia sekarang," suruh Muaz. Telefon bimbit disuakan.
Tiba-tiba aje suara berubah jadi suara jantan. Seriuslah tu konon. Aku dail jugak nombor Tengku Haizal. Sekali bunyi aje, dia dah jawab. Memang dia tunggu aku call kot.
"Dayang ya?"Tengku Haizal meneka.
"Taklah, Permaisuri,"
Aku buat loyar buruk. Sengal! Dah tentu-tentu nombor telefon aku yang keluar, mestilah aku yang call. Best pula dengar dia gelak. Hari ni ton gelak dia seksi, tak macam sebelum-sebelum ni. Gelak macam jin tertelan rumah api.
"Wahai permaisuriku, gembirakah adinda dengan pemberian kekanda hari ini?"
"Tak." Aku jawab pendek .
"Kenapa wahai adinda? Masih tidak cukupkah bunga-bungaan yang kekanda kirimkan?" 
"Tak." Aku bagi jawapan yang sama juga.
"Apalagi yang adinda mahukan? Katakan saja wahai permaisuri ku. Akan kekanda adakan dengan kadar segera."
Nak tergelak pulak dengar dia cakap bahasa sanskrit tu. Tapi masih boleh kawal lagi.Aku berdehem kejap. 
"Hari ni birthday saya kan?" Aku tanya dia.
"Ya adinda, hari ni hari lahir adinda yang ke tiga puluh."
"Kek mana?"
"Ha? Alamak, saya lupalah Dayang."
Dari zaman purba Tengku Haizal dah kembali ke zaman moden. Aku rasa memang dia betul-betul lupa pasal tu.
"Satu lagi lain kali jangan bagi bunga. Cuba bagi coklat ke, kereta sebiji ke, apa-apa saja asalkan bukan bunga."
"Kenapa?Awak tak suka ke?"
"Bukan tak suka."
"Habis tu?"
"Saya alergi bunga, ada resdung!"
Aku matikan talian. Muaz yang sedari tadi menelinga perbualan gelak terbahak-bahak. Aku senyum lebar. Seronok pula dapat mengenakan Tengku Haizal. Aku ambil sebuah pasu comel yang Muaz letakkan di atas kaunter. Haruman bunga mawar di dalam pasu itu sungguh menyegarkan.
“Betul ke kau ada resdung?”  Muaz tanya aku bila tawanya dah reda. Aku geleng laju. Dia sambung gelak lagi. Hilang suara kepitnya. gaya gelak dia betul-betul macam lelaki.
“Aku sukalah dengar kau gelak Muaz. Macam lelaki.” Terus terhenti tawa Muaz. Dia buat muka serius.
“Aku memang lelakilah!” Muaz tolak bahu aku.
“Yelah tu lelaki. Kalau lelaki kenapa jalan macam tu? Tu, suara tu. Apsal sengaja dikepit? Suara asal kau macho apa.” Aku pula tolak bahu dia. Muaz tersengih.
“Diamlah! Dah, dah. Kerja.” Muaz cuba mengubah topik.
Sesi bekerja berjalan seperti biasa hingga ke petang. Sampai di rumah semua dah ada. Abang Burn dah Kak Maziah sedang minum petang di dapur bersama anak-anak. Natrah saja yang tidak kelihatan. Pelik, selalunya waktu macam ni Tengku Haizal dah hantar dia balik.
“Dayang, Natrah tak ada malam ni. Kita balik kampung nak?” Aku pandang Abang Burn. Baru perasan yang dia anak-beranak dah bersiap-siap. Mungkin dia cuma menunggu saja.
“Natrah tak ada? Dia pergi mana?”  Aik, selalunya pandai dia telefon atau mesej aku. Kali ni senyap-senyap saja menghilang. Makin pelik perangai dia ni.
“Dia cakap dia balik rumah adik dia. Hari Isnin nanti terus pergi kerja dari sana,” jawab Kak Maziah.
“Tadi dia balik dengan siapa?” Aku masih tak puas hati.
“Dia balik dengan kawan dia.” Abang Burn pula menjawab.
“Kawan dia? Lelaki ke perempuan.” Masih tak puas hati lagi ni.
“Lelaki. Bawa kereta mahal. Dia keluar pun dengan lelaki tu. Eh, pergilah siap cepat. Macam polis pencenlah kau ni,” bebel Abang Burn.
Aku masuk bilik. Kemas apa-apa yang patut. Nak balik rumah abah tak payah bawa banyak baju sebab di kampung pun  satu almari pakaian aku tinggalkan di sana. Bella dan Benji dah menggendang pintu bilik. Tak sabar betul budak- budak ni nak balik rumah atuk dan wan.
“Selalunya kita balik rumah abah hari Sabtu kan? Kenapa macam tergesa-gesa aje balik ni?” Aku tanya Abang Burn setelah sepuluh  minit di dalam perjalanan.
“Saja,” jawab Abang Burn pendek.
“Tapi besok lepas minum petang kita balik KL tau. Hari Ahad ada orang tempah cupcake,” kata Kak Maziah pula.
Aku diam. Macam nak rasa kecil hati ni. Dia berdua ni tak tahu ke hari ni besday aku? Mata dah pedih. Selalunya Abang Burn tak pernah lupa. Tapi tahun ni, dari pagi tadi dia tak cakap apa-apa pun. Sedihnya aku. Punyalah melayan sedih sampai aku tertidur. Sedar-sedar dah sampai rumah abah.
“Kereta siapa tu Abang Burn?”
Aku gosok mata yang masih pisat. Cuba amati kereta warna merah berkilat di dalam garaj, bersebelahan dengan kereta abah. Tak mungkin kereta Abang Black  sebab kereta abang aku yang nombor dua tu juga ada di sebelah kereta merah tu.
“Kak Mas dah beli kereta ke?” Aku tak tujukan soalan tu pada siapa-siapa. Tapi masih mengharapkan jawapan.
“Tak mungkinlah Mas beli kereta. Dia kan tengah sarat sekarang ni. Takkan Black bagi dia  drive sendiri kot?” Kak Maziah pandang suaminya. Abang Burn cuma angkat bahu. 
Rumah abah masih terang- benderang. Benji dan Bella lebih dahulu menyerbu ke pintu dan memberi salam. Mak muncul di muka pintu dengan wajah ceria. Puas diciumnya pipi Bella dan Benji.
“Mak, kereta siapa kat garaj abah tu?” Aku tak boleh sabar lagi. Nak juga tahu siapa tuan punya kereta.
“Masuklah dulu kot ya pun,” tegur mak sambil bersalam dengan Abang Burn dan Kak Maziah.
“Yang lain mana?” tanya Abang Burn. Langkahnya terus dihala ke dapur. Macam itulah kebiasaannya kalau balik  ke rumah abah. Semuanya berkumpul di dapur. Cucu-cucu sahaja yang riuh di atas rumah.
“Mas ada kat bawah. Abah kau dengan Black belum balik dari surau,” jawab mak.
“Dah dekat pukul sembilan setengah tak balik lagi?” Aku pula tanya mak. Tapi mata ni memandang Kak Mas yang baru keluar dari bilik air. Kesiannya aku tengok kakak ipar aku yang seorang ni. Perutnya yang besar memboyot nampak macam tak pada dengan badan. Saiz badannya lebih kurang sama dengan aku. Agaknya kalau aku mengandung nanti macam itulah  rupanya. Eh, apa aku merepek ni.
“Abah menyinggah kedai kejap, beli sate.” Kak Mas tolong jawabka bagi pihak mak. Aku turun ke dapur dan bersalam dengan Kak Mas.
“Kak Mas mengidam sate eh,” usik aku. Dia cuma senyum saja. Aku masuk ke bilik air dan mengangkat wuduk. Apa-apa hal solat Isyak dulu. Perut ni memang dah berkeroncong. Tapi tadi mak cakap seorang pun belum ada yang makan malam, rasanya baik aku solat dulu. Senang nanti  kan?
             Belum sempat habis mengerjakan solat aku dah dengar riuh-rendah di dapur. Pasti abah dan Abang Black dah balik. Usai melipatkan telekung, aku cepat-cepat keluar dari bilik. Persoalan tadi masih belum terjawab. Kereta siapa di bawak tu? Tapi belum sekali lagi niat terbantut bila Bella dan Benji dah tarik tangan aku menuju ke dapur.
            “Cepat Mak Su, ada kek besar!” kata Bella.
            Aku dah senyum. Hmm, patutlah tak sempat-sempat nak balik kampung. Ada kejutan rupa-rupanya. Mak dah senyum pandang aku. Masing-masing dah bersedia di sekeliling meja makan. Aku duduk di tengah-tengah antara mak dan abah. Terharunya, rasa macam nak menangis pula. Bella dan Benji dah mula lagu “Happy Birthday” secara berjemaah. Yang lain-lain jadi tukang tepuk tangan. Aku,sengih sajalah. Dah tua-tua macam ni rasa malu pula bila diraikan macam ni. Selesai anak-anak buah aku menyanyi, abah membaca doa selamat. Sebak pula rasa hati bila abah mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan dan kesihatan yang sempurna untuk aku. Paling haru bila abah mendoakan semoga aku dipertemukan dengan seseorang yang boleh menjaga aku hingga ke akhir hayat. Huh, nak suruh aku kahwinlah tu. Insya Allah abah, sampai masa nanti kahwinlah anak abah ni.
            “Terima kasih semua. Dayang fikir tak ada yang ingat hari lahir Dayang. Nasib baik tak merajuk lagi,” ujarku lantas ku peluk tubuh mak.
“Eleh! Dah tua pun nak merajuk,” usik Abang Black.
Aku hanya balas dengan cebikan. Kek yang sudah dipotong aku suapkan sedikit ke mulut mak, abah dan anak-anak buah aku. Kiranya kek hari lahir tu dijadikan appettizer sebelum kami mulakan makan malam. Selesai makan malam, abah ajak aku ambil angin di luar rumah. Eh, pelik abah ni. Tak pernah dia ajak aku jalan-jalan di luar rumah pada waktu malam. Tapi malam tu, hampir semua ahli keluarga keluar ke halaman rumah. Apahal pula ni?
“Nah.” Abah keluarkan sesuatu dari poket baju melayu dan hulurkan pada aku.
“Apa ni?” Aku tanya abah. Kunci kereta? Kenapa abah beri aku kunci kereta? Aku pandang abah. Dia cuma senyum. Serta-merta aku teringat kereta warna merah berkilat tadi. Ternganga luas mulut aku. Tak sedar dah terlompat-lompat macam budak dapat ais krim. Laju aku berlari ke garaj. Alat kawalan jauh aku tekan. Sebelum aku buka pintu kereta aku pandang abah.
“Untuk Dayang?” Aku tanya. Rasanya dah memang untuk aku. Tapi saja gatal nak kepastian lagi. Hati makin girang bila tengok abah mengangguk perlahan.
Aku hidupkan enjin kereta. Macam tak percaya, dulu abah hadiahkan skuter sempena aku dapat tawaran sambung belajar. Sekarang abah hadiahkan kereta pula. Bertuahnya jadi anak perempuan tunggal. Heheh! Besoknya aku pulang ke KL dengan memandu kereta sendiri. Indahnya hidup!
Sedang memandu, telefon berbunyi.Cepat-cepat aku sumbat earphone.Mr.Dinesh?Apa hal pula dia telefon petang-petang ni?
"Hello."
"Dayang, awak kat  mana?"
"Saya on the way nak balik KL. Dari kampung ni. Ada apa Mr.Dinesh?"
"Lama lagi tak nak sampai?"
"Dalam setengah jam lagi. Kenapa?” Aku soal lagi sebab soalan yang tadi dia belum jawab.
"Kita jumpa kejap boleh tak? You dah sampai KL call I balik." Suara Mr.Dinesh kedengaran cemas.
"Kenapa?" Aku tanya lagi. Tak pernah Mr.Dinesh macam ni.
"Takpe, drive carefully ok. Dah sampai nanti call."
Talian dimatikan. Aku tak berusaha pula nak telefon semula. Apa-apa hal tunggu sampai KL nanti. Seperti yang dijanjikan, aku telefon Mr.Dinesh.Tapi sepotong ayat saja dia cakap.
"Pergi ke alamat yang saya SMS ni."
Tak sempat aku tanya apa-apa, dia dah letak telefon. Apa hal dia ni? Dah macam kena culik pula. Hish, mengarutlah kau ni Dayang. Kalau dia kena culik, macam mana dia boleh guna telefon?Telefon berbunyi lagi.Mesej masuk. Aku amati alamat yang diberi.
"Ini macam alamat kedai makan. Biar betul dia ni. Nak ajak aku dating ke?"Aku mengomel sendiri sambil cari alamat tu di GPS.Sejam selepas itu aku sampai.Kan betul aku cakap.Apahal pula Mr.Dinesh nak jumpa aku di sini?
Semasa mata ni melilau mencari Mr.Dinesh, aku ternampak satu meja yang tertulis 'Reservation For Miss Dayang'. Mak oi, siap ada reservation lagi. Ni candle light dinner ke apa? Mana Mr.Dinesh ni? Aku duduk jugalah di situ walau ada rasa  tak sedap hati. Dalam pada aku tengah tercangak-cangak mencari bos India aku tu, pelayan datang menghidangkan minuman.
"Eh, saya belum order apa-apa lagi." Memang terkejut beruk aku masa tu. Tapi pelayan tu senyum saja. Bimbang dah ni. Tak lama lepas tu beberapa orang pelayan datang lagi. Kali ni bersama beberapa hidangan makan malam. Banyaknya!
"Eh, nanti. Siapa yang order semua ni?" Aku tanya salah seorang pelayan yang sedang menyusun hidangan. Tapi dia tak menjawab. Diorang ni bisu ke? Aku dah cuak ni. Siapa nak bayar semua ni? Banyak pula tu. Macam sepuluh orang punya makan.Aku tolak kerusi ke belakang.Nak bangunlah.Tak pasal-pasal nanti kena cuci pinggan pula. Aku mana ada duit nak bayar bil nanti. Mr.Dinesh ni sengaja nak kenakan aku ke? Masa aku tengah kalut, terdengar orang nyanyi lagu 'Happy Birthday'. Aku toleh ke belakang.
Ya Allah! Mr.Dinesh, Puan Linda, Tuan Syed dan Tengku Haizal  dah macam kumpulan koir.Aku bangun dan peluk Puan Linda.Tak sangka sampai begini sekali kejutan yang diberikan untuk aku.Tak cukup dengan itu.Siap ada sebiji kek. Aku pandang Tengku Haizal dan semua yang ada.
“Tiuplah lilin tu,” suruh Mr. Dinesh.
Happy Belated Birthday!” ucap semua yang ada di situ. Tengku Haizal senyum sambil angkat kening.
“Kenapa susah-susah  buat semua ni?” Aku paut lengan Ms. Susan.  Kek yang belum berpotong  Tengku Haizal letak di tengah-tengah meja. Yang lain-lain sudah mengambil tempat masing-masing.
“Kami ni cuma menemankan Tengku Haizal aje Dayang. Bimbang kalau ingkar arahan nanti kena potong gaji.” Kata-kata Tuan Syed disambut dengan gelak tawa yang lain. Spontan saja kepala aku menoleh Tengku Haizal yang duduk di sebelah. Muka dah panas ni. Malunya!
"Kalau saya datang seorang, nanti awak lari. Jadi saya panggil diorang sekali. Jadi tukang pegang kalau awak lari nanti,” kata Tengku Haizal selamba. Sekali lagi meletus tawa masing-masing.
Mr.Dinesh bertindak selaku tuan rumah. Dia mempersilakan yang lain-lain memulakan suapan. Tengku Haizal menyudukan sedikit daging masak merah lalu diletak dalam pinggan aku. Sekali lagi disudunya lauk itu, letak pula dalam pinggan dia. Ambil pula telur bungkus, dia ulang perbuatan yang sama. Hampir semua lauk yang ada di atas meja diletakkan dalam pinggan aku. Lauk dah lebih banyak dari nasi. Mulut aku ni pula dah terkunci untuk menegah. Malu ke bengang? Aku sendiri pun tak pasti. Atau pun terharu? Eee, terharu kenapa pula? Habis diangkutnya semua geng peguam ke sini. Mujur tak ada makcik cleaner di Haizal, Dinesh & Partners. Kalau tidak rasanya mahu dibawanya sekali.
“Kenapa pandang aje pinggan tu? Makanlah.” Tengku Haizal mematikan lamunan.
Senyum Dayang. Tak baik menolak rezeki. Aku pujuk diri sendiri. Aku sudu sikit nasi yang  yang berkuahkan tom yam itu. Emm, sedap. Tapi macam tak feel guna sudu dan garfu. Aku bangun, nak basuh tangan. Mulanya nampak seperti Tengku Haizal nak menahan, tapi tak jadi sebab Puan Linda turut bangun menuju ke sinki.
“Dayang, Tengku  Haizal ni dah tenat tau.”
Aku pandang Puan  Linda yang sedang menyabun tangan. Tak faham.
“Dia tu dah jatuh cinta sepenuh hati pada awak,” sambung Puan Linda lagi.
“Adoi, mana ada Puan. Dia tu suka mengusik aje. Marah Natrah nanti.” Aku bidas kata-kata Puan Linda dengan cara berhemah. Jatuh cinta? Yaks!
“Kalau Tengku suruh saya datang sini untuk beri kejutan pada Natrah, saya rela kena buang kerja. Tak sesuai!” Puan Linda dah ketawa. Uiks, dia pun anti Natrah ke?
Sampai semula di meja makan, aku dan Puan Linda berlagak biasa semula. Tengku Haizal sengaja tarik kerusi aku dekat sikit dengan dia. Alahai dia ni. Nak rapat mana lagi? Rimas betul. Tak dapat aku nak mengalihkan kerusi itu sebab kakinya dah menghadang kaki kerusi. Aku mulakan suapan. Senyap sekejap meja makan. Sesekali Mr. Diensh berbual-bual dengan rakan-rakan peguam yang lain. Makin lama perbualan mereka semakin rancak. Aku tak ada ruang nak menyampuk. Nak menyampuk macam mana? Bercakap hal-hal kerja. Manalah ada kena-mengena dengan aku.
“Tambahlah lagi lauk tu,” suruh Tengku Haizal.
“Takpe Tengku. Yang ni pun dah banyak.” Aku menolak.
“Tak sedap ke?” Tengku Haizal sua pinggan daging masak merah. Aku geleng laju. Bukan tak nak tapi lauk di dalam pinggan masih belum luak. Terbantut selera makan aku bila perasan Tengku Haizal asyik merenung dari tadi.
“Kenapa pandang saya? Makanlah.” Aku tegur dia.
“Saya tengok awak pun dah kenyang.” Tengku Haizal jawab perlahan. Aku cebik, suapan di sambung lagi. Lenguh rahang aku mengunyah. Boleh ke habis semua lauk yang ada dalam pinggan ni?
“Berapa kali nak buat kejutan pada saya ni?” Aku tanya sambil menyedut  minuman. Sempat lagi mengerling yang lain-lain. Masih rancak berbual sambil mengisi perut.
“Kalau boleh, hari-hari saya nak bagi kejutan pada awak.”
“Kenapa pula?”
“Sebab saya suka awak.”
Uhuk! Uhuk! Ha, kan dah tersedak. Cepat-cepat dia hulur air. Aduh, nasib baik tak menyembur. Dia nak gosok belakang badan aku tapi Ms. Susan lebih pantas. Aku kerling Tengku Haizal. Amboi, pantang ada peluang. Cepat saja tangannya.
“Dah ok?” tanya Ms. Susan.
Aku mengangguk dan ucap terima kasih. Dia menyambung makan malam yang terhenti. Aku  pun sambung menyuap.  Mr.Dinesh yang duduk agak jauh di sudut meja sebelah sana pandang aku sambil angkat kening. Huh, tak sangka. Dalam baik dia jadi tali barut Tengku Haizal.
“Dayang,” panggil Tengku Haizal.
Aku pandang dia sekejap. Lepas tu tunduk balik.
“Saya suka awak tau.”
Adoi dia ni! Mula dah. Aku kemam bibir. Tarik nafas kejap.
“Natrah pun suka Tengku.” Aku senyum sebab Tengku buat muka terperanjat. Lepas tu dia mendengus keras.
"Kenapa awak suka kaitkan saya dengan Natrah? Berapa kali saya cakap, saya tak suka dia."
"Tapi dia suka Tengku. Berapa kali saya nak cakap?" Aku ulang balik ayat dia.
"Lantak dialah nak suka siapa pun. Sebelum dia kerja dengan saya pun memang saya dah suka awak kan?"
"Tapi saya tak suka Tengku." Aku sedut dan telan air cepat-cepat. Takut tersedak lagi.
Dia diam. Pinggan yang masih penuh ditolak sedikit ke tengah. Matanya, macam biasalah. Dia pandang aku sambil buat muka seposen.
"Cuba cakap dengan saya. Macam mana saya nak buat awak suka kat saya?"
Aku gelak. Soalan apa ni? Aku tutup mulut bila tengok dia makin serius. Macam nak bercantum bulu kening kiri dan kanan. Aku pula tolak pinggan ke tengah. 
"Dah kenyang ke?" Dia tanya.
"Belum." Aku jawab.
"Habis tu, kenapa berhenti? Banyak lagi nasi dalam pinggan tu."
"Dah tak ada selera. Tengku tahu tak apa masalah Tengku ni." Aku berpeluk tubuh.
"Apa?" Tengku Haizal nampak tak sabar.
"Kalau saya cakap, jangan marah ya." Aku bagi amaran awal-awal. Mana tahu, terbalik pula meja ni lepas aku sekolahkan dia kejap lagi.
"Tak, saya janji tak marah. Awak boleh cakap apa saja hari. Awak nak maki hamun pun boleh. Tapi hari ni aje." 
Aku senyum tengok dia angkat sebelah tangan, macam orang angkat sumpah.
"Cakaplah cepat!" gesa Tengku Haizal.
"Tengku ni suka mendesak. Miang. Suka kacau saya. Suka paksa saya dan satu lagi, Tengku ni angin satu badan. Nak orang ikut cakap Tengku  aje."
Fuh, bestnya dapat meluahkan perasaan. Tapi muka dia tenang aje. Lama-lama dia senyum.
"Apsal senyum  ni?" Aku tanya dia.
"Awak kata saya miang?" Dia pula tanya aku.
Aku angguk laju.
"Saya memang miang. Tapi saya nak tanya awak. Semiang-miang saya, pernah ke saya sentuh, raba atau cium awak?"
Uiks, ni soalan dalam court ke apa? 
"Jawablah. Pernah ke saya buat macam tu?" Dia desak aku.
"Tak." Aku jawab perlahan. Menyesal pula aku sekolahkan dia tadi.
"Dayang, saya suka awak. Saya sayang awak. Saya takkan sentuh dan rosakkan orang yang saya sayang." 
"Habis dengan Natrah tu? Boleh pula peluk-peluk." Aku bidas kenyataan dia.
"Lagi-lagi Natrah! Ada juga saya cium ni karang. Sebut lagi sekali nama minah galah tu. Memang tak balik awak malam ni." Suara Tengku Haizal kedengaran biasa. Tapi kaki dia menyepak kaki kerusi aku. Sebelum dia bertindak lebih ganas baik aku bangun.
“Nak pergi mana?”
Malas aku nak jawab. Tumpul terus selera nak menghabiskan hidangan di dalam pinggan. Aku ke sinki. Dia ikut. Tak puas hati lagilah tu. Aku picit sabun dan mula menggonyoh tangan. Aku jeling Wayar Putus melalui pantulan cermin. Asyik pandang aku saja. Ada juga aku sabun muka dia ni. Menyampah betul.
“Dayang.”
Aku diam.
“Dayang, saya panggil ni.”
“Cakap ajelah!” Aku pandang dia sambil mencerlang mata.
“Amboi garangnya.”  Dia buat jeling manja. Huh, tak tergoda langsunglah. Punya geram dengan dia, sampai ke pangkal lengan aku sabun. Dua-dua belah tangan pula tu. Sudahnya tak boleh pulas kepala paip sebab tangan licin. Tengku Haizal gelak sikit.
“Bukakanlah!” Aku bentak perlahan.
“Dengar saya cakap dulu,”kata Tengku Haizal. Sebelah tangan  dah pegang kepala paip. Aku pandang dia dengan muncung panjang.
“Bagi saya peluang, please…” Cewah! Punyalah lembut suara dia. Aku tahan senyum. Muncung masih seprti tadi.
“Saya janji akan ubah perangai. Saya akan jadi kekasih yang romantik dan  gentleman.” Dia angkat tangan macam orang angkat sumpah. Aku cuba alihkan tangannya di kepala paip. Tapi tak berjaya.
“Saya betul-betul ikhlas ni. Saya tak pernah sayang orang lain macam ni tau.”  Tengku Haizal masih cuba mempromosikan diri sendiri.
“Dengar tak saya cakap ni?” Dia tarik ekor kuda aku.
“Aduh! Ni ke romantik? Huh! Baru cakap tadi, tak sampai seminit dah tumbuh tanduk.  Sweet talker!”
Akhirnya Tengku Haizal terpaksa juga alihkan tangan sebab Puan Linda menghampiri kami. Dia kembali ke meja. Aku cepat-cepat bilas tangan. Mujur Puan Linda tak tahu  apa yang kami bualkan tadi. Kalau tidak, rentung aku kena usik.
“Nah.” Tengku Haizal letak kotak segiempat berbalut kain baldu merah  di atas meja.
Masing-masing yang ada di meja tu dah mula senyum-senyum. Apa lagilah dia ni?
“Saya tak boleh terima Tengku. Mahal ni.” Aku tolak semula kotak itu di hadapannya.”
“Ambil ajelah! Saya belikan untuk  awak dan awak kena terima.” Tengku Haizal mengeraskan suaranya.
“Bukalah Dayang, kami pun nak tengok juga.”
Aku toleh sebelah. Kepohnya Ms. Susan ni.  Macamlah aku tak boleh agak apa yang ada dalam kotak tu. Biasalah, macam dalam cerita Sinetron. Apa lagi yang ada dalam kotak merah macam tu kalau bukan cincin. Aku buka kotak cincin tu cepat-cepat dan letak semula atas meja. Tapi tak semena-mena aku ambil semula kotak itu.
“Apa ni!” Aku dah menjerit. Di tangan dah terpegang satu bungkusan yang dipenuhi dengan pil-pil berwarna coklat.
“Ubat resdung,” jawab Tengku Haizal.
“Ha?” terlopong mulut aku.
“Semalam awak cakap tak suka bunga sebab ada resdung kan? Mulai dari sekarang awak kena makan ubat resdung ni sebab saya akan bagi bunga pada awak tiap-tiap hari.”

Spontan aku baling bungkusan pil itu ke Tengku Haizal. Yang lain-lain dah terbahak-bahak ketawa. Malas nak tunggu lagi. Aku capai beg tangan dan terus pergi. Hampeh betul Wayar Putus ni!

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.