Hari ni pasti halaman rumah mak tersenyum dengan aku. Bersih daun-daun kering pokok mangga dan rambutan aku sapu. Seronok pula dapat mengeluarkan peluh di pagi hari. Mak pun turut tersenyum. Dekat seminggu mak suruh aku bakar sampah di belakang rumah, baru hari ni aku dapat tunaikan permintaannya.
“Dah pukul berapa ni mak?”
“Rasanya macam dah dekat pukul sebelas. Kenapa?”
“Mie nak keluar kejap lagi.”
“Nak pergi mana?”
“Dating...”
Mak menjuih
bibir. Macamlah dia tak tahu, hari aku tak kerja ajelah peluang untuk aku
luangkan lebih masa bersama Durani. Nak ajak dia makan-makan di rumah, mak juga
yang tak benarkan. Malu orang kampung tengok katanya. Macamlah orang kampung
tak nampak aku selalu keluar dengan Durani.
“Tak makan kat rumahlah tengahari ni?” Mak tanya lagi.
“Tengahari ni aje. Malam nanti Mie makan kat rumah.”
“Hmm... kalau macam tu, mak pun nak makan kat kedai
ajelah hari ni. Zarith dah banyak kali merengek nak makan Nasi Ayam Penyet.”
“Okey... Mie masuk dululah mak. Nak bersiap, pakai
wangi-wangi.”
Baju yang lencun dengan peluh aku buka kemudian aku
baling pada mak. Terjerit orang tua tu sambil menutup muka dengan dua tangan.
Acah aje pun. Bukannya betul-betul. Sehari tak dengar mak aku menjerit, macam
tak lengkap rasanya hidup.
Sebelum masuk bilik mandi, aku cuba call Durani. Mana tahu kalau-kalau dia tengah free. Kebiasaannya dia akan off
handphone kalau dia sedang mengajar. Minggu lepas, puas juga aku mogok bisu.
Gara-gara abah dia, kitaorang perang dingin. Tapi adat orang bercinta. Mana
tahan merajuk lama-lama. Dia yang merajuk, tapi dia juga yang pujuk aku. Aku
tak berapa pandai nak main ayat-ayat jiwang ni. Lagipun bukan salah aku. Abah
dia yang mula dulu, kan?
“Assalamualaikum sayang...” Sukanya bila dia jawab
panggilan aku. Dia dah habis mengajar agaknya.
“Waalaikumsalam... Joe, jadi keluar tak tengahari ni?”
“Jadi. Kenapa?” Ala... janganlah dia cakap ada mesyuarat
tergempar pula lepas sekolah nanti. Dah seminggu aku tak tengok dagu runcing
dia. Rindu ni!
“Dura tanya aje. Nanti Joe tunggu kat tempat biasa, ya.
Dura ambil Joe kat sana nanti.”
“Okey sayang. Emmm, Dura...”
“Ya...”
Alahai! Lembutnya suara dia. Habis longgar kepala lutut.
Perlahan-lahan punggung menyentuh birai katil. Bantal panjang aku tarik
perlahan, buat alas kepala. Gambar Durani di tepi katil aku ambil. Senyumnya
buat aku semakin tak sabar menanti waktu tengahari nanti.
“Dura...” Aku panggil sekali lagi.
“Ya Joe sayang... Dura dengar ni.” Aduh! Dia panggil aku
sayang.
“I miss you
sayang... Rindu sangat...”
“Eee..gatallah Joe ni!”
Dia gelak. Aku pun gelak juga. Jarang-jarang aku buat
dialog manja dengan dia. Rasa tak sanggup pula nak tamatkan panggilan. Aduhai!
Bilalah aku boleh pinang anak dara orang ni?
“Joe.” Dura panggil. Tapi kenapa suara dia tiba-tiba jadi
kasar? Aku bangun. Ada apa-apa yang tak kena ke?
“Kenapa sayang?” Dada dah berdebar ni. Kenapa mood dia
tiba-tiba berubah pula?
“I miss you too...
bye sayang.”
Dura matikan talian. Aku pandang telefon. Yahuu!!!
Sukanya dia cakap macam tu. Aku pandang cermin. Telek badan yang berlenging.
Aku buat gaya-gaya ahli bina badan. Dalam hati aku bangga dengan diri sendiri.
Walaupun tak pergi gym, tapi perut aku tak boroi. Otot-otot lengan tak
menggeleber. Warna kulit pun tak kusam. Tak terlalu cerah dan tak terlalu
gelap. Kalau bersanding sebelah Durani, memang sesuai sangat. Dia lawa, tinggi
dan tak gemuk.
“Pak pak...bung bung... Pak pak bung bung... Pak pak
bung... Bung bung bung...bung.”
Aku
tiru bunyi kompang. Siap aku ambil helmet di tepi meja, buat macam kompang.
Lepas tu aku tawaf bilik. Berangan kononnya sedang diarak bersama Durani.
“Oi! Apa kerja kau ni?”
Mak dah bercekak pinggang di depan pintu. Muka dia sedang
menahan tawa. Aku terkejang sekejap. Sejak bila mak perhatikan aku di situ? Aku
peluk helmet, buat-buat betulkan sticker.
“Kau berangan eh?” Mak masuk ke bilik. Gambar Durani di
atas katil diambil.
“Mana ada. Mie tengah betulkan helmet ni. Mak, tolong
gosokkan baju Mie. Ambillah yang mana-mana pun. Mie nak mandi kejap.”
Aku menonong keluar dari bilik bersama helmet yang masih
berada di tangan. Malu siot! Tak mustahil mak akan menyakat aku bila selesai
mandi nanti. Lantaklah. Biarlah mak tahu yang
aku memang dah cinta habis dengan Durani.
“Mie!”
“Ya...” Mulut menjawab laungan mak. Tapi mata tak boleh
dibuka sebab berlumuran sabun.
“Baju kau mak letak kat atas katil. Mak nak pergi jemput
Zarith.”
“Aik, awal lagi kan?”
“Memanglah. Mak nak jumpa geng-geng rempit mak dulu.”
Aku dengar mak tergelak di luar. Aku pula menguntum senyum di dalam bilik air. Tahu dah aktiviti mak kalau dia yang menjemput Zarith di sekolah. Bersembanglah, apalagi? Biarlah. Bukannya dia kacau orang pun.
Aku dengar mak tergelak di luar. Aku pula menguntum senyum di dalam bilik air. Tahu dah aktiviti mak kalau dia yang menjemput Zarith di sekolah. Bersembanglah, apalagi? Biarlah. Bukannya dia kacau orang pun.
“Nanti kunci pintu rumah tau.” Mak beri arahan lepas dia
habis gelak.
“Okey...”
Aku buka air pancut. Tak lama selepas itu terdengar bunyi
motor mak. Sekarang tinggal aku seorang di rumah. Sambil menyabun badan, aku
bernyanyi-nyanyi riang. Mahunya tidak. Kejap lagi nak jumpa buah hati. Lepas
satu lagu ke satu lagu aku dendangkan. Sudahnya dah tak ada idea nak nyanyi
lagu apa lagi.
Mulut masih tak henti berdendang walaupun sedang bersiap
di bilik. Minyak wangi tak boleh lupa. Nak jumpa buah hati mestilah pakai
wangi-wangi. Sebelum keluar rumah, aku belek sekali lagi wajah dan badan di
cermin.
“Perfect!” Aku puji diri sendiri. Puas hati dengan
penampilan hari ni.
Helmet yang aku letakkan di ruang tamu aku ambil. Pintu
rumah aku kunci dan dengan senang hatinya aku hidupkan enjin motor. Jam di
tangan aku kerling sekejap. Masih awal. Tak apalah. Aku bawalah motor
perlahan-lahan nanti. Tapi kalau dah rindu, tak sampai sepuluh minit aku dah parking motor di bus stop depan sekolah tempat Durani mengajar. Lepas menongkat motor,
aku duduk di situ.
“Eh, itu kereta Durani.”
Aku bangun dan cepat-cepat menyorok di belakang tempat
duduk di perhentian bas. Mata mengawasi kereta Durani yang sedang berhenti
untuk keluar ke jalan utama. Siapa yang duduk di sebelah dia tu? Anak mata
mengecil, cuba fokuskan pada orang yang berada di sebelah buah hati aku.
Hati berdebar ketika kereta Durani masuk ke jalan utama
dan melintas di depan perhentian bas. Aku masih berada di tempat persembunyian.
Mata terbeliak tatkala melihat seorang lelaki duduk di sebelah Durani. Dia nak
pergi mana tu?
Durani! Sampai hati kau menduakan aku. Tadi bukan main
lembut lagi bercakap. Suruh aku tunggu di tempat biasa konon. Tapi dalam diam
dia dating dengan orang lain pula.
“Argh!!!”
Aku tendang tayar motor. Rasanya tak guna lagi aku berada
di situ. Aku segera duduk di motor dan hidupkan enjin. Menjerit-jerit enjin
motor. Sama nyaringnya hati aku yang menjerit kemarahan. Tak sangka Durani buat
aku macam ni.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~ ~ ~ ~
“Cepatnya balik dating...”
Aku buat-buat tak dengar aje komentar mak. Dia dan Zarith
baru saja tiba. Huh! Kalau aku ikut mak tadi tak adalah aku kebulur macam ni.
Perut lapar, hati sakit. Sudahnya aku jadi chef segera di rumah. Mi segera yang
sudah kembang aku bawa ke ruang tamu. Mug Milo aku letak di meja, mangkuk mi
segera aku tatang dan duduk bersila mengadap televisyen.
“Orang balik dating
selalunya kenyang. Tapi kau ni dah macam orang tak makan seminggu apa
cerita?”
Aku masih buat pekak. Hati masih menggelegak. Cili padi
yang aku campur sekali di dalam mi segera aku kunyah satu-persatu. Langsung tak
terasa pedasnya cili padi itu bila hati sedang marah. Mak ternganga, Zarith dah
bersila di depan aku.
“Kau kenapa Mie?” Mak bertanya.
Aku pandang mak sekejap. Kemudian sambung kunyah cili bercampur
dengan kuah mi segera yang masih panas. Mata dah berpasir. Bertahan Johaimi.
Tak macho langsung kalau lelaki menangis. Mulut dah berasap. Tapi hati
yang marah semakin pedih bila terbayang kembali Durani bersama lelaki itu.
Enam tahun menyulam kasih, tak pernah sekali pun aku
curang. Tapi kenapa Durani tega buat aku begini. Adakah dia malu dengan keadaan
aku sekarang? Hina sangat ke kerja atendan stesen minyak?
“Oi! Apa hal makan cili banyak-banyak ni? Buasir karang!”
Mak lepuk peha. Zarith ambil mangkuk mi segera di tangan.
“Tak elok makan benda ni. Nanti rambut cepat gugur.” Pandai pula budak kecik ni
menasihatkan aku.
“Mie tengah geram ni!” Aku cuba ambil kembali mangkuk di
tangan Zarith. Tapi dia lebih pantas menyorok di belakang mak.
“Geram dengan siapa?” Mak pula bertanya. Dia bagi isyarat
pada Zarith untuk membawa mangkuk yang masih berisi ke dapur.
“Kau bergaduh dengan Durani ke?”
“Jangan sebut nama dia mak. Mie tengah marah lagi ni...”
Aku capai mug milo dan menggogok rakus.
“Assalamualaikum...”
Aku kenal suara orang yang memberi salam.Mak lebih pantas
bangun. Zarith pun turut mengikut langkah mak ke pintu utama.
“Mak!”
“Oi mak kau ada sini...” Mak melatah seraya berpusing
badannya memandang aku.
“Apa jerit-jerit ni Mie? Terperanjat maklah!” Dia
bercekak pinggang. Dia hampiri aku yang sudah berdiri di tengah-tengah ruang
tamu.
“Jangan bagi Durani masuk. Mie tak nak jumpa dia.”
‘Ooo.... Tengah peranglah ni, ya?”
Sengihan mak buat aku rasa terpukul. Kali ni aku tak
main-main. Aku akan halau Durani balik
kalau dia masuk ke rumah ini. Cinta aku
pada dia ikhlas. Sejak dari zaman sekolah aku dah pasang angan-angan untuk memperisterikan dia.
Hati aku cuma untuk dia seorang.
“Abang Mie... Kak Dura nak jumpa. Dia tunggu kat luar.”
Zarith menjengul muka di pintu utama.
“Suruh dia balik! Cakap kat dia abang dah mati.”
“Eh! Tak baiklah cakap macam tu. Boleh tak jangan
bercakap ikut sedap mulut aje?”
Mak tampar perlahan mulut aku. Renungan tajamnya
buat aku terduduk keras di kerusi. Aku
belum bersedia nak berhadapan dengan Durani. Hati masih sakit. Aku takut kalau
aku tak mampu mengawal kemarahan ini di depan dia.
“Pergi ambil wuduk sekarang,” arah mak.
Aku tak bergerak. Zarith yang masih berada di pintu utama aku kerling
sebentar. Dari ekor mata, aku perasan Durani sudah berada di belakang Zarith.
Aku segera bangun. Bukan nak ambil wuduk tapi nak menghalau Durani.
“Pergi balik! Tak elok anak dara datang rumah orang
bujang.”
Aku terus bergerak ke dapur. Sebelum dia kejar aku ada
baiknya kalau aku beredar dulu.
“Dengar dulu penjelasan Dura, Joe.”
Langkah terhenti. Aku pejam mata, cuba lenyapkan suaranya
dari gegendang telinga. Sebak rasa hati. Tak dapat aku bayangkan suara Durani
semanja ini ketika berbual-bual dengan lelaki tadi.
“Pergi balik Dura. Nanti bising abah kau. Aku sedar, aku
ni tak sebagus kau...”
“Joe please...dengar
dulu...”
“Aku kata balik!” Mulut saja menjerit. Tapi mata tak
pandang pun pada dia. Aku yakin dia masih berada di muka pintu.
Terdengar derap kaki melangkah. Aku toleh sedikit. Mak
sedang memujuk Durani yang sudah menangis. Huh! Itulah kelebihan orang
perempuan. Suka menjadikan airmata sebagai senjata utama. Menyampah betul aku.
“Biar dia sejuk dulu, ya Dura. Nanti biar makcik tolong
pujukkan...”
“Dura sayang dia sorang aje makcik. Joe dah salah faham
ni...”
Durani teresak-esak. Aku kuatkan hati. Tak ingin tunduk
dengan rayuan Durani. Aku tinggalkan mak, Zarith dan Durani di situ.
Pandai-pandai maklah nak suruh dia balik. Apa yang penting sekarang, buat masa
ini aku tak mahu tengok muka dia. Punggung ku henyak kasar di sofa. Suara
televisyen aku kuatkan.
“Abang Mie... Kak
Dura tak nak balik. Dia kata selagi abang tak keluar, dia akan tunggu
kat dalam kereta.”
Huh! Pandai betul dia gunakan Zarith sebagai orang
tengah. Aku pandang ke pintu. Mak dah tak ada di situ. Agaknya dia pun dah tak
kuasa nak memujuk Durani. Aku bangun. Kononnya nak masuk ke bilik. Tapi belum
sempat melangkah Zarith dah tarik tangan.
“Tak baik buat orang perempuan macam tu lah. Abang tak
sayang Kak Dura ke? Nanti dia cari pakwe lain, baru padan muka abang.”
“Ewah-ewah! Pandainya kau bercakap. Tak padan dengan
kecik!”
Aku rentap tangan
yang dipegang Zarith. Melayan dia buat kepala aku makin serabut. Tapi sekali
lagi dia tarik tangan aku. Kali ini diheretnya aku sampai ke pintu. Cepat-cepat
aku berlindung di balik pintu. Durani masih duduk menggugu di tangga rumah.
Eleh! Sedih konon. Tadi masa dalam kereta dengan lelaki tu elok sangat bergelak
ketawa.
“Kak Dura, kenapa akak tak jadi keluar dengan abang
tadi?”
Aku jegil mata. Bila masa pula aku lantik budak kecik ni
jadi pegawai penyiasat? Muka Zarith selamba saja. Langsung tak peduli dengan
amaran aku. Dia keluar dan duduk di sebelah Durani. Mula-mula memang malas nak menelinga
perbualan mereka. Tapi hati menggeletek
pula nak tahu apa jawapan yang akan keluar dari mulut Durani.
“Akak pergi PPD tadi. Ada hal kerja. Tapi akak pergi
sekejap aje. Bukannya jauh pun...”
“Eh kejap... PPD tu apa?”
“Pejabat Pendidikan Daerah.”
Aku tepuk dahi. Nak tergelak pun ada juga. Apalah yang si
Zarith tu tahu dengan bahasa-bahasa singkatan ni? Durani ni pun satu. Rajin
sangat melayan. Hmm, hati dah nak sejuk ni. Dia pergi Pejabat Pendidikan Daerah
rupanya. Aku meninjau sikit di tepi pintu. Zarith sedang mengusap perlahan belakang badan Durani.
Tersungging senyum nipis di bibir. Pandai pula dia memujuk buah hati aku tu. Telefon
Durani yang berada di genggamannya berbunyi. Aku menyorok kembali di balik pintu.
“Dura... Dura dah nak baliklah ni abah. Singgah kedai kejap...”
Aku kemam bibir. Abah dia tu suka kacau daunlah! Kelam-kabut
Durani mengeringkan pipi. Dia ambil kunci kereta di dalam beg tangan.
“Akak kena baliklah Zarith. Cakap dengan abang nanti Kak Dura call dia, ya.” Durani cium ubun-ubun
Zarith kemudian berkejar masuk ke kereta. Alahai! Nak cium juga...boleh tak?
“Hmm... marah lagi ke?”
Aku berdiri tegak. Terperanjat ditegur mak dari belakang.
Aku tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Mak menggeleng kepala.
Zarith pun sudah masuk ke dalam selepas kereta Durani berlalu pergi.
“Kak Dura ada hallah tadi Abang Mie...”
“Abang dah dengar tadi...”
Zarith terus ke ruang tamu sebaik saja mendengar jawapan
aku. Tapi mak masih tercegat di depan
aku. Cara dia merenung seperti nak memulakan sesi ‘ceramah percuma’ saja
gayanya. Aku keluar dan duduk di tangga rumah, tempat Durani duduk tadi. Telefon
di dalam poket seluar aku keluarkan. Sengaja aku silent kan bunyinya tadi.
“Baru sekarang nak pujuk ke? Kenapa masa dia ada tadi tak
nak pujuk?” Mak perli aku. Dia masih berdiri di
muka pintu. Aku tak menoleh pun. Cuma senyum sendiri. Tak jadilah nak call dia. Malam nantilah aku jumpa dia di
balairaya nanti.
“Mie...”
“Hmm...”
“Cuba kau bayangkan kalau tiba-tiba abah Durani tu nikahkan dia dengan orang lain.”
“Apa mak ni? Jangan cakap macam tu boleh tak? Cakap mak
tu satu doa tau.”
Mak mengekek
ketawa. Tapi aku tidak. Menyirap darah aku. Tak kelakar langsung gurauan mak tu. Aku jauhkan diri sedikit bila
mak dah melabuhkan punggung di sebelah aku. Tersinggung betul hati ni. Pak kal yang bercakap tu mak. Kalau
kawan-kawan memang dah lama bertumbuk rasanya.
“Mak bukan mendoakan. Tapi kalau Durani tu anak dara mak,
mestilah mak nak yang terbaik untuk dia.”
“Mak nak cakap yang Mie ni tak sesuailah
dengan Durani?”
“Bukan tak sesuai. Anak mak ni handsome tau! Cuma tang kerja tu yang agak terkehel sikit...”
“Mie bukannya buat kerja haram...”
Hati sangat terguris bila terpaksa menelan kebenaran
kata-kata mak. Tapi bukan salah aku. Dah banyak permohonan jawatan kosong yang
aku isi. Semuanya bersesuaian dengan kelulusan yang aku ada. Tapi rezeki masih
belum berpihak pada aku.
“Sebelum dia dikebas orang, mak rasa lebih baik kau
keluar dari kampung ni...”
“Kalau Mie keluar dari kampung ni lagi senanglah dia kena
kebas...”
“Mak serius ni Mie!” Tangan mak melepuk kuat peha aku.
Geram agaknya bila aku acuh tak acuh saja dengan perkara yang sedang
dibincangkan.
“Laa... tiba-tiba pulak mak ni?” Aku pandang mak. Kali
ini wajahnya lebih serius. Tangan aku ditarik lalu ditepuk-tepuk perlahan.
“Carilah kerja yang lebih elok Mie. Kau bukan tak ada kelulusan.
Sampai bila kau nak kerja kat stesen minyak tu?”
“Bukan Mie tak nak mak. Siapa nak jaga adik dengan mak
nanti? Mie dah janji dengan arwah ayah nak jaga mak lepas Mie habis belajar.”
Mata dah panas. Mak dah tak sayang aku
ke?
“Mak masih sihat lagi Mie. Mak kesian tengok kau siang
malam bekerja, tapi duitnya tak pernah bertambah...”
Aku diam. Tak tahu apa yang harus aku katakan ketika ini.
Keluar dari kampung bermakna aku akan meninggalkan Durani. Itulah perkara yang tak sanggup aku lakukan. Tapi
kata-kata mak ada betulnya. Ya Allah, apakah yang harus aku lakukan?
No comments :
Post a Comment