Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

May 27, 2015

HEY MR. SPOTLIGHT BAB 12

Dah tiga hari aku tak nampak Raisya. Bohonglah kalau aku tak rindu. Padanlah dengan muka  aku. Kalau dah tahu  tak  boleh tenang bila tak  tengok  muka  Raisya  tu, kenapa luluskan cuti  dia? Sekarang apa  dah jadi?Nak pergi kerja pun rasa malas sangat. Jarang aku lewat ke tempat kerja. Tapi kebelakangan ini, dah nak dekat waktu makan tengahari baru aku masuk.Kadang-kadang lepas waktu makan baru aku keluar dari rumah.
Hati  bagai  digaru-garu untuk menelefon dia.  Tapi  aku  takut  dia akan bersoal-jawab. Sudah dua  kali  aku  terperangkap  dengan perbuatan sendiri. Tak mungkin Raisya  tak syak  apa-apa. Tapi  sejak  hari  terakhir  kami  bertembung di  rumah mak, aku  perasan topik  itu  langsung tidak  disentuh. Adakah  dia benar-benar tidak  mengesyaki  apa-apa  atau dia memang  langsung  tak perasan akulah  lelaki  yang bakal  menjadi  imamnya  nanti?
"Kau tak sihat ke Azraf?" Mak bertanya ketika dia masuk ke bilik untuk mengutip kain kotor.
Aku tak menjawab. Selimut yang membalut tubuh aku tolak ke bawah. Aku memangku kepala sambil berlenging di atas katil. Mak datang dekat. Belakang tapak tangannya mendarat di dahi. Tak puas hati, dia memeriksa aku. Gayanya dah macam doktor kanak-kanak. Siap suruh aku buka mulut.
"Hahhh!!!" Aku buka mulut serentak dengan hembusan nafas.
"Pergh! Bau macam taik lembu kering. Kurang asam punya botak!" Mak tekup bantal ke muka. Mula-mula aku meronta. Tetapi tekupan mak semakin kuat. Beberapa ketika kemudian aku mendiamkan diri. Tangan terdepang di atas katil. Perlahan-lahan mak mengalihkan bantal yang menutup muka aku. Aku tayang mata buntang siap dengan pakej lidah terjelir.
"Alahai Azraf...mak minta ampun! Tak ada niat nak bunuh anak sendiri. Abang! Tolong saya bang!!! Anak kita bang!!! Huwaaaa..."
Mak menggoyang-goyangkan badan aku. Dia melompat naik ke atas katil dan terus memangku kepala. Eleh, berlakon aje lebih tu. Aku tahu dia sedang memancing perhatian abah di luar untuk menyertai kami. Raungannya semakin kuat. Aku masih seperti tadi. Dah macam orang kena sawan. Mata sedikit terbuka untuk melihat aksi plastik mak. Tak lama kemudian abah masuk.
"Apahal terjerit-jerit ni?" Agak keras suara abah bertanya.
"Abang... tolong panggil ambulans.Anak kita kena sawan. Huwaaa!!!"
Sambil menangis, tangannya menampar-nampar pipi aku. Sakitlah! Mak memang suka mengambil kesempatan. Tunggulah bila ada peluang nanti aku akan kenakan dia lagi.
"Cuba tarik bulu hidung dia. Kalau tak sedar juga baru kita panggil ambulans," arah abah.
Nak tergelak aku mendengar kata-kata abah. Mak dah bersedia untuk melaksanakan perintah abah. Bersungguh-sungguh benar nampaknya mak. Tak semena-mena tawa yang puas aku tahan terlambak juga. Tak boleh nak bayangkan kalau mak betul-betul mencabut bulu hidung aku. Sakit siot!!!
"Apalah abah ni. Bulu hidung orang pula yang dia suruh tarik."
Mak pun dah terbahak-bahak ketawa. Abah cuma menggeleng. Nasiblah abah, dapat isteri dan anak yang sama-sama sengal. Kalau dah datang 'angin bengong' kami berdua, abah yang serius itu pun kami pedajalkan.
"Kau tak pergi kerja ke Azraf?" Abah bertanya apabila tawa kami berdua dah mula reda.
"Orang nak cuti hari ni boleh tak abah? Kerja kat pejabat pun dah tak banyak. Orang penatlah..." Aku tunjuk muka kesian. Bahu mak aku jadikan tempat untuk memangku muka.
"Eleh, budak botak ni bukannya penat mana pun bang. Dia jadi lesu sebab budak Raisya tu kan tengah bercuti. Itu pasallah basau semacam aje dia ni." Seperti biasa, hobi mak kalau sedang membebel. Pasti kepala aku digosok-gosoknya.
"Huh! Sendiri yang cari penyakit. Nak berahsia sangat. Apa salahnya kalau Raisya tahu kau tu bakal suami dia?" Abah dah nak beredar dari situ. Tapi sempat lagi dia berhenti di depan pintu, nak mendengar jawapan yang sekian lama dia nantikan.
"Hish! Eloklah kalau dia tak tahu. Dulu saya bertunang dengan awak pun kita tak pernah jumpa. Masa nak nikah barulah saya dapat tengok muka bakal suami. Mujur handsome. Kalau tidak kesian anak saya terpaksa mewarisi kehodohan abah dia. Hahaha!"
Abah turut sama ketawa. Telinganya sudah lali dengan sindiran mak. Dia tahu mak bukan bersungguh pun. Cara mak bergurau dah memang begitu. Tahan telinga sajalah.
Handphone berbunyi sebaik sahaja abah keluar dari bilik. Mak lebih pantas mengambil handphone aku di atas meja lampu. Berkerut keningnya membaca nama yang tertera di skrin.
"Batu Lesung? Siapa ni Azraf?"
Aku terus terjun dari katil dan merampas telefon di tangan mak. "Raisya!" Aku menjerit keriangan.
"Batu Lesung kau panggil budak tu. Kenapa..."
Aku senyum lebar sambil menekan-nekan pipi sebelah kiri. Lama mak perhatikan perbuatan aku.
"Hish! Lambatlah mak ni. Lesung pipit dialah..."
"Ooo...cakaplah dimple! Barulah mak faham. Eh, buka loud speaker. Mak nak dengar juga."
Aku ikutkan saja kehendak mak. Tapi aku bagi isyarat supaya mak zip mulut. Sebaik saja terdengar suara Raisya memberi salam, aku terus duduk di birai katil. Mak pun turut serta.
"Encik Azraf, Encik sayang saya tak?"
Uik! Soalan apa tu?
Mak menyenggol bahu  aku  dengan kuat. Eh, dia  pula yang beria-ia  nak dengar  jawapan aku. Bergerak-gerak halkum mendengar  soalan Raisya. Nak jawab betul-betul  atau  masih nak  meneruskan lakonan?
“Awak okey ke tak  ni  Raisya? Tak malu  ke  tanya  soalan macam ni?”
Hati mula  memainkan rentak gendang. Muka  rasa berbahang. Mahu  saja  aku  menyuruh  mak  keluar. Malu pula bila  hal  peribadi   didengari. Tapi tak sampai hati  nak buat  begitu.
“Encik Azraf...”
“Ya  saya  masih mendengar.” Bergetar suara  menyahut  panggilan Raisya.
“Jawablah soalan saya  tadi.”
Sekali  lagi  bahu  disenggol. Aku  menggeleng perlahan. Dah parah budak ni. Kalau betul sayang aku, cakaplah terus  terang. Kepala  yang tidak berambut  aku  garu.  Apa yang patut aku  buat  sekarang?
“Raisya...” Aku panggil  dengan nada  memujuk.
“Dah ada  jawapannya  Encik Azraf?” Laju  Raisya  bertanya.
“Ehem... dah.”
Terjongket kening mak. Aku raup  muka  berkali-kali sebelum aku hadiahkan mak  dengan senyum kelat.
“Jadi  jawapannya? Ya  atau  tidak?” Raisya  masih menunggu  jawapan.
“Dua-dua pun tak.”
“Apa ni Encik Azraf? Jawablah betul-betul. Saya tengah susah hati  ni. Minggu  depan hari  pertunangan saya. Tapi  sampai  sekarang saya masih tak tahu  lagi  siapa  lelaki  tu. Saya perlukan jawapan Encik Azraf supaya senang saya  buat  keputusan  nanti.”
Terbangun aku  dari  katil. Apa  maksud Raisya? Penting sangatkah jawapan aku  sehingga  mampu  mempengaruhi  keputusan dia. Laju kaki  mundar-mandir  di  hadapan mak.  Tak  aku  pedulikan mak  yang  menggapai-gapai  menyuruh aku  duduk  semula  di  sebelahnya. Pening betul  aku  dengan perangai  Raisya.
“Okey, sekarang biar  saya  yang tanya  awak. Kenapa  awak  tanya  soalan tu?” Dengan beraninya  aku  cabar keberanian Raisya. Gerenti  dia  akan tamatkan panggilan selepas ini.
“Saya tanya  macam tu  sebab saya nak Encik Azraf  berlakon jadi  teman lelaki  saya. Kalau  Encik  Azraf  memang tak  ada  perasaan pada  saya susahlah  nak  menjiwai  watak  nanti.  Tapi  kalau  Encik  Azraf  ada  sikit perasaan aje  pun pada  saya  itu  dah cukup  membantu.”
Hampir  terlepas  telefon di tangan. Tekaan aku  ternyata  melencong jauh. Mak terlopong di  atas  katil.  Pasti  dia pun tidak menjangkakan begitu  jauhnya  perancangan Raisya untuk menggagalkan majlis pertunangannya nanti.
“Gilalah awak ni. Saya tak mahu bersekongkol dengan niat  buruk awak  tu. Terima  ajelah pilihan keluarga  awak  tu.  Apa  yang susah sangat?”
Tiba-tiba aku  naik  angin. Cuba  bayangkan kalau  bukan aku  yang bakal jadi tunang dia? Makan hatilah jawabnya  nanti. Kenapa  tinggi sangat  ego  kau  Raisya? Takkan kurang pun perasaan aku  ni  kalau kau  berterus-terang. Salah ke kalau  perempuan  yang meluahkan dulu rasa hati?
Mak menarik tangan, memaksa aku  duduk  di  sebelah dia. Turun naik  dada aku  menahan geram. Ikutkan hati mahu saja aku  bocorkan rahsia  sendiri. Raisya, kenapalah kau merumitkan lagi  keadaan?
“Bagi   Encik  Azraf  mungkin tak  susah sebab Encik  Azraf  boleh kahwin empat. Saya ni  perempuan. Saya  tak mahu  jadi  isteri  derhaka. Sebab itulah saya  nak  gagalkan majlis  ni  sebelum terlambat. Saya dah ada  pilihan sendiri. Berapa kali  saya  nak  ulang?”
Agak nyaring suara  Raisya  di  dalam talian. Aku  tahu dia  sedang tertekan. Pasti  dia  sedang berusaha sedaya-upaya  mempertahankan egonya. Peha sendiri  kuramas  kuat. Tolonglah Raisya. Cakaplah kau  sayang aku. Aku  janji pasti  semua lakonan ini  akan aku  hentikan selepas itu.
“Okey, saya  tanya  untuk kali  terakhir. Encik  Azraf  sayang saya  tak?”
Badan aku  tegak  kembali  tatkala  mendengar  soalan Raisya. Aku  tarik nafas  dalam-dalam.  Hati  sudah nekad  untuk  memberikan jawapan pada Raisya.
“Saya akan beri  jawapannya pada hari  pertunangan awak nanti. Masa  tu  nanti  saya  nak  awak  buat  keputusan di depan semua  orang. Nak terima  lelaki pilihan keluarga  awak  atau sebaliknya. Bye!”
Perbualan tamat. Kasar  dengusan nafas yang keluar  dari  hidung dan mulut  aku. Aku  kerling kalendar besar  yang terlekat  di  dinding  bilik.  Lambatnya  nak tunggu minggu  depan.  Kalau  boleh hari  ini  juga  aku  nak  jumpa  Raisya  dan beritahu  akulah  bakal  tunang dia. Permainan  yang ku  atur  sendiri  nampaknya  seperti  kurang menjadi.  Ternyata ego  Raisya  lebih  tinggi  dari  aku.  Tapi tak semudah itu  aku  mengaku  kalah. Sebelum tiba  harinya aku  perlu buat sesuatu.
Aku  tinggalkan katil  dan terus  capai  tuala. “Mak  tolong  siapkan baju  orang boleh tak?”
“Nak  pergi  kerja  ke?” Mak bertanya dan sudah bersedia  di  tepi  pintu  almari.
Aku  cuma  mengangguk  dan terus  masuk  ke  kamar  mandi. Kepala  paip  aku  pulas  habis. Menderu-deru  air  hujan tiruan keluar, kasar-kasar   jatuh di atas  kepala. Dingin air yang  menyentuh  kulit   belum mampu  menyejukkan hati  aku  yang sedang membara  dengan perangai  Raisya.
Satu  jam kemudiannya  aku  sudah  berada  di  pejabat. Mood  masih belum stabil. Sapaan Munirah langsung aku tak hiraukan. Surat-surat  di  dalam tray  aku ambil. Mana  pula  pisau  pembuka  surat ni? Laci  meja aku  buka  satu-persatu. Siapa  pula  yang ambil  benda  tu? Aku  beralih dari  tempat  duduk. Baru  perasan pisau  pembuka  surat  itu  terjatuh di  bawah  meja.  Terpaksa  pula  aku  menyangkung  dan masuk ke  bawah  meja.
Uik, kaki  siapa  pula  ni.  Aku berdiam diri  sekejap  di  bawah meja, mengawasi  kaki  yang sedang melangkah masuk  ke dalam bilik. Kaki  perempuan. Tak mungkin kaki  Munirah  sebab seingat  aku Munirah  tak  pernah  tak pakai  stokin. Dalam pejabat  ni  cuma  ada tiga orang  pekerja wanita. Tak mungkin Alia. Wanita kacukan Cina dan Melayu  itu memakai  gelang kaki.  Jangan-jangan ini  kaki...
“Raisya... adoi!”
Aduh sakitnya kepala aku. Macam mana boleh terlupa  yang aku  masih di bawah meja? Tangan menggosok laju  kepala  yang masih perit. Aku  keluar dari bawah meja dan terus  membelakangkan Raisya. Hidung dah tercium bau minuman kegemaran.  Bagus  betullah dia  ni. Ini  belum lagi  jadi  isteri.  Kalau  dah  jadi  isteri  aku  nanti, mata  belum  buka  lagi  sarapan pagi  dah siap terhidang agaknya.
“Buat apa  kat bawah meja tu? Nak menyorok  dari  saya  ke?” Raisya  menegur.
Serta-merta  aku  berpaling. Berkerut  kening melihat  Raisya menyua mug ke  mulut sendiri.  Eh, itu  bukan  untuk  aku  ke? Makin berkerut  apabila  dengan selambanya  Raisya  duduk  di  depan meja. Tak  ada  sekelumit  senyum pun yang terhias  di  wajahnya  hari  ini.
“Saya nak  bagi  ni.” Dia meletakkan sekeping sampul  surat   di atas  meja.
“Encik  Azraf bacalah dulu.  Saya buatkan air  sekejap.  Maaflah  sebab guna  mug  Encik  Azraf  tanpa  kebenaran. Ingatkan Encik  Azraf  tak masuk office.” sambung Raisya  lagi.
Dia  terus  keluar  tanpa  sempat  aku  buka  mulut. Tiga hari  tak nampak  batang hidung, hari ni muncul  saja terus hulur surat berhenti.  Tangan memegang sampul surat yang dia  letak tadi. Hati dah mula  rasa kurang enak. Melihat  pada air  muka Raisya  yang agak keruh, rasa-rasanya aku tahu  isi kandungan surat  yang diberi  tadi. Aku  tunggu  Raisya  masuk semula  nanti. Surat  itu  aku  akan baca  di depan dia.
Tak lama kemudian Raisya  tiba. Belum sempat  dia  meletakkan dulang, mata sudah menangkap  beg tangan yang tersangkut  di  bahunya.
“Nak pergi  mana ni?” Laju  aku  bertanya.
“Baliklah. Tapi  sebelum tu saya nak  kemas  barang-barang saya  sekejap.” Tenang sungguh Raisya  menjawab. Sedangkan aku  ni dah macam nak putus  urat merih menahan  geram.
“Mana boleh berhenti  macam tu  aje.  Awak  ni  melampau  betullah. Jangan buat  tempat  ni  macam abang  awak  yang punya!”
Terhenjut  bahu  Raisya di saat  aku  mengherdik. Sekali-sekala  kena tunjuk  garang sikit  dengan  Budak  Lesung  ni.  Memang  aku  sayang dia. Tapi  ini  tempat kerja. Kenalah profesional  sikit.
“Saya  tak  nak  terima surat  ni. Awak  pergi  letak balik beg tangan ni  dan buat  kerja  macam biasa. Kalau nak berhenti  juga bagi  saya  notis  sebulan. Memang tempat ni  nampak macam pejabat cabuk. Tapi  kami  ada  etika  kerja. Jangan semberono  aje, faham?” Sekali  lagi  dia  terpaksa  menadah tengkingan aku. Surat yang dia  beri  tadi  aku  renyuk-renyukkan  dan terus  buang ke  dalam tong sampah.
Raisya terduduk. Matanya  berair. Bibirnya kelihatan menggeletar.  Aku  cuba sedaya-upaya  untuk  tidak  terlalu  cepat   lembut  hati. Butang baju  di  bahagian lengan  aku  buka. Laju  aku  menyinsing lengan baju  hingga  ke  paras siku.  Namun mata masih mengawasi  tingkah Raisya  yang masih bungkam.
“Saya  nak  balik.”
Tak  berkerdip  mata aku  merenung dia.  Degilnya  budak ni.
“Waktu bekerja belum habis  lagi.” Aku melarang dengan suara  keras.
“Saya  dah tak  nak kerja  kat sini  lagi.” Raisya  bersuara  lirih. Airmata  yang ditahan mengalir  perlahan di  pipi.
“Kalau  dah tak  kerja  kat  sini  kenapa  menangis pulak? Ada orang suruh awak  berhenti  kerja ke?” Kedua-dua  tangan aku hentak  ke meja. Sengaja  nak  bagi  dia  gugup. Mana tahu  dengan cara itu  dia  akan luahkan apa  yang terbuku  di hatinya selama ini.
“Tak  ada  sesiapa pun yang paksa  saya  tinggalkan tempat  ni. Saya  rasa  tak  guna lagi  saya  berada  di  sini. Encik  Azraf... Encik  Azraf...” Suaranya  tersekat. Takut-takut  saja dia  memandang aku.
“Awak ada masalah ke  dengan saya? Awak  marah sebab saya  tak  nak tolong gagalkan majlis  pertunangan awak  nanti? Hei! Kalau  itulah sebabnya  yang buat awak  rasa  dah tak  betah bekerja  di  sini  lagi, awak boleh keluar  sekarang.”
Tak semena-mena  aku  berjalan laju  ke pintu. Daun pintu   aku  buka  luas  dan menanti  Raisya  keluar  dari  situ. Dia juga tak  mahu kalah. Sempat lagi  dia  menolak kerusi dengan kasar  sebelum menghampiri  aku.
“Encik Azraf  ni  bodoh tau tak? Kepala  licin Encik  Azraf ni sama licinnya  dengan otak  Encik  Azraf! Zero! Saya dah bagi  macam-macam  hint, tapi Encik  Azraf tetap  tak  perasan.” Raisya  mendengus kasar dan terus keluar.
“Hei! Jangan kaitkan kepala  saya  dengan semua  ni  ya. Awak  tu  yang  tak  reti  menggunakan peluang yang ada. Bukan salah kepala  sayalah!”  Geramnya aku! Ikutkan hati  mahu  saja  aku  menarik  hujung tocang Raisya.
“Yalah! Kalau  saya  mengaku saya  sayang Encik  Azraf sekali  pun, semuanya sudah terlambat. Lupakan ajelah. Selamat tinggal.”
Uik! Aku tak  salah dengar ke? Dia dah buat pengakuan. Yes! Helah sudah berjaya. Raisya, masih  belum terlambat  sayang.  Segalanya  baru  saja  bermula.


No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.